Laporan - Program Motivasi Kecemerlangan

15
LAPORAN PELAKSANAAN PROJEK INTERNSHIP : “PROGRAM MOTIVASI KECEMERLANGAN AKADEMIK DAN SAHSIAH MURID TAHAP 2” NAMA PELAJAR : Siti Soffiah binti Ibrahim PROGRAM : PISMP (PAI/BA/AQ) Semester 8 Ambilan JAN 2011 NAMA SEKOLAH : SK Taman Dusun Nyior, Seremban, Negeri Sembilan NAMA PROJEK : Program Motivasi Kecemerlangan Akademik Dan Sahsiah Murid Tahap 2 TEMPOH PELAKSANAAN : 15 Julai 2014 ( 1 hari) OBJEKTIF: 1. Menimba ilmu dan pengalaman untuk menguruskan sesuatu program di sekolah. 2.Meningkatkan kredibiliti sebagai guru pelatih yang berkebolehan untuk merancang, mengurus dan memimpin sesebuah program yang dianjurkan.

description

laporan bagi program kecemerlangan

Transcript of Laporan - Program Motivasi Kecemerlangan

Page 1: Laporan - Program Motivasi Kecemerlangan

LAPORAN PELAKSANAAN PROJEK INTERNSHIP :

“PROGRAM MOTIVASI KECEMERLANGAN AKADEMIK DAN SAHSIAH

MURID TAHAP 2”

NAMA PELAJAR : Siti Soffiah binti Ibrahim

PROGRAM : PISMP (PAI/BA/AQ) Semester 8 Ambilan JAN 2011

NAMA SEKOLAH : SK Taman Dusun Nyior, Seremban, Negeri Sembilan

NAMA PROJEK : Program Motivasi Kecemerlangan Akademik Dan Sahsiah

Murid Tahap 2

TEMPOH PELAKSANAAN: 15 Julai 2014 ( 1 hari)

OBJEKTIF:

1. Menimba ilmu dan pengalaman untuk menguruskan sesuatu program di sekolah.

2.Meningkatkan kredibiliti sebagai guru pelatih yang berkebolehan untuk merancang,

mengurus dan memimpin sesebuah program yang dianjurkan.

3. Membantu murid-murid untuk meningkatkan minat mereka terhadap pelajaran, guru

dan sekolah.

4. Memberi motivasi agar murid meningkatkan potensi diri mereka secara holistik. 

5. Memupuk sikap cinta akan ilmu dan berdaya saing dalam mencapai kecemerlangan.

6.Membantu mencapai kecemerlangan akademik

7. Membentuk insan berpersonaliti unggul.

8.Membina insan berilmu, berpengetahuan dan bermaklumat.

Page 2: Laporan - Program Motivasi Kecemerlangan

STRATEGI PELAKSANAAN :

1) Fasa Sebelum.

Pada minggu pertama internship, saya dan rakan-rakan yang lain telah membuat

perbincangan berkenaan tentang projek yang hendak dilaksanakan sepanjang tempoh

kami berinternship di Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior. Kami telah bersepakat

untuk melaksanakan tiga projek dalam tempoh yang telah diberikan. Perbincangan

juga telah dibuat bersama mentor untuk mendapatkan pendapat dan persetujuan hasil

daripada perbincangan yang telah dilakukan di antara saya dan rakan-rakan. Program

Motivasi Kecemerlangan Akademik Dan Sahsiah Murid Tahap 2 ini adalah salah satu

projek atau program yang telah kami laksanakan dan merupakan projek pertama yang

telah kami laksanakan.

Program motivasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Unit Bimbingan dan

Kaunseling dan Panitia Pendidikan Islam. Sebelum program ini dijalankan, kami telah

bekerjasama dalam membuat kertas kerja dan membuat beberapa kali pertemuan

dengan guru bimbingan dan kaunseling iaitu En. Mohd Hasley untuk mendapatkan

tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman dalam membuat kertas kerja bagi program

motivasi yang pernah dijalankan.

Untuk melaksanakan program motivasi ini, kami telah bersetuju untuk

menampilkan kaunselor daripada unit kaunselor di Institut Pendidikan Guru Kampus

Raja Melewar iaitu En. Nurul Amin Bin A.Aziz untuk menyampaikan ceramah motivasi

kepada murid-murid. Kami telah menghubungi beliau dan persetujuan telah dibuat.

Seterusnya, pemurnian kertas kerja dilakukan dan kami membuat surat permohonan

Page 3: Laporan - Program Motivasi Kecemerlangan

bagi menjemput penceramah untuk diberikan kepada Pengarah IPG Kampus Raja

Melewar. Kami telah mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak

pentadbiran sekolah iaitu Guru Penolong Kanan 1, Puan Azihan Binti Ahmad untuk

memberikan pandangan mengenai kos bayaran penceramah. Kami juga telah berjumpa

dengan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior, En. Mohd Baharin Bin

Mohd Sari untuk mendapatkan kelulusan kertas kerja dan surat permohonan jemputan

penceramah serta kos bayaran kepada penceramah. Buku program juga telah

disediakan untuk memberi maklumat kepada warga sekolah berkenaan program

motivasi yang dijalankan ini.

2) Fasa Semasa

Pada hari program motivasi ini berlangsung, kami telah membuat persediaan

sebelum program bermula pada jam 8.00 pagi. Kami memastikan tempat program

dijalankan dalam keadaan yang baik dan selesa untuk murid-murid dan guru-guru

berada di dalam dewan sepanjang program berlangsung. Peralatan-peralatan yang

hendak digunakan dipasang dan disediakan seperti mikrofon, lcd dan komputer riba.

Kami juga memastikan semua peralatan yang hendak digunakan dapat berfungsi

dengan baik bagi kelangsungan program tanpa ada masalah teknikal yang berlaku.

Selepas perhimpunan pagi dijalankan, murid-murid tahun 4 dan 5 diminta untuk

bergerak masuk ke dalam dewan mengikut kelas dan pendaftaran peserta program

dijalankan. Murid-murid duduk dalam keadaan bersedia menunggu ketibaan En. Nurul

Amin bin A. Aziz untuk memberikan ceramah motivasi beliau. Setibanya penceramah,

program dimulakan dengan bacaan doa dan diteruskan dengan ceramah motivasi oleh

En Nurul Amin bin A. Aziz. Murid-murid memberikan sepenuh perhatian dan melibatkan

Page 4: Laporan - Program Motivasi Kecemerlangan

diri dalam aktiviti yang dijalankan sepanjang ceramah motivasi disampaikan. Tayangan

multimedia, video dan nyanyian lagu gemuruh jiwa telah dapat menarik minat murid

untuk terus menumpukan sepenuh perhatian terhadap penceramah.

Selesai ceramah motivasi yang disampaikan oleh En Nurul Amin bin A. Aziz, sesi

penyampaian cenderahati kepada penceramah diadakan sebagai penghargaan dan

tanda kenang-kenangan daripada pihak sekolah kerana sudi untuk berkongsi ilmu

pengetahuan dan memberikan suntikan semangat kepada murid-murid. Cenderahati

tersebut telah disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Dusun

Nyior. Murid-murid bergerak masuk ke dalam kelas untuk meneruskan proses

pembelajaran apabila selesai sesi penyampaian cenderahati kepada penceramah.

3) Fasa Selepas

Selepas program motivasi ini telah berjaya kami laksanakan, kami mengemas

semula peralatan yang telah digunakan sepanjang program dijalankan dan memastikan

dewan dalam keadaan bersih dan teratur. Sepanjang  program ini berlangsung,  murid-

murid  telah didedahkan dengan kepentingan menguasai dan menggunakan teknik-

teknik pembelajaran yang sesuai dengan persekitaran seiring arus pemodenan yang

berlaku dalam arena pendidikan dewasa ini. Murid-murid juga disuntik semangat untuk

lebih minat belajar dan cinta akan ilmu pengetahuan. Murid-murid kelihatan begitu

bersemangat semasa sesi motivasi dijalankan. Diharapkan semangat dan kesedaran

yang telah disuntik dari program ini akan berkekalan dan menjadikan mereka murid-

murid yang akan mencapai kejayaan yang cemerlang pada masa akan datang.

Page 5: Laporan - Program Motivasi Kecemerlangan

REFLEKSI

1) Kekuatan Projek

Melalui Program Motivasi Kecemerlangan Akademik Dan Sahsiah Tahap 2 yang

telah dijalankan beberapa kekuatan telah dapat dikenal pasti. Kekuatan pertama yang

dapat dilihat ialah ketika fasa sebelum program ini berlangsung. Hubungan kerjasama

antara Guru Bimbingan dan Kaunseling, En Mohd Hasley bin Mohd Raus telah banyak

membantu dan memberi sokongan yang penuh kepada kami dari segi perbincangan

mengenai masalah-masalah yang sering dihadapi oleh murid dan juga memberi

beberapa pandangan yang membina sebelum program motivasi ini dilaksanakan.

Melalui perbincangan dan persetujuan beliau, projek ini dilihat dapat memberikan impak

yang positif kepada murid selain dapat memberikan murid sebuah pengalaman yang

baharu untuk menambah ilmu pengetahuan mereka daripada masa ke semasa.

Selain itu juga, kekuatan dari segi kerjasama yang baik telah diberikan oleh

beliau ialah membantu kami dalam memahami beberapa prosedur sebelum

melaksanakan sesebuah projek di sekolah. Semasa proses menyediakan kertas kerja

cadangan, perbincangan serta penambahbaikan telah dilakukan beberapa kali

sebelum kami berjaya menghasilkan sebuah kertas kerja yang mengikut format yang

betul serta menepati beberapa kriteria yang telah ditetapkan. Proses pembelajaran dan

pengalaman yang berharga seperti ini dapat membantu kami pada masa yang akan

datang.

Page 6: Laporan - Program Motivasi Kecemerlangan

Kekuatan seterusnya yang diperoleh daripada projek ini ialah sokongan dan

kerjasama daripada Panitia Pendidikan Agama Islam yang telah memberi ruang dan

peluang kepada kami untuk memenuhi sebahagian daripada program Ihya’ Ramadhan

memandangkan ia berlaku di dalam bulan Ramadhan.

Tambahan pula, kekuatan dari segi sokongan pihak pentadbir sekolah

terutamanya Guru Besar Sk Taman Dusun Nyior , En Mohd Baharin bin Mohd Sari

yang sentiasa menyokong usaha kami ini dan memberi kebenaran untuk menggunakan

masa yang telah diperuntukkan dan bersetuju untuk melanjutkan masa program

sehingga jam 9.00 pagi bagi memberi ruang masa yang secukupnya untuk projek kami

berlangsung dengan lancar.

Dari segi pembayaran wang dan cenderahati kepada penceramah juga dilihat

sebagai satu kekuatan kepada kami kerana Guru Besar telah memberi keizinan untuk

menggunakan peruntukan yang telah disediakan bagi program Ihya’ Ramadhan. Guru

penyelaras program ini juga telah menyediakan juga cenderahati berbentuk kuih raya

kepada penceramah. Kami sangat berbesar hati dengan bantuan dan kerjasama yang

telah diberikan.

Kekuatan di dalam projek ini juga ialah dapat meningkatkan kemahiran dan

kebolehan kepada guru pelatih untuk melaksanakan program ini dengan jayanya

memandangkan setiap daripada kami telah diberi tugasan masing-masing dan

berusaha sedaya upaya bagi memastikan perjalanan program berjalan dengan lancar.

Page 7: Laporan - Program Motivasi Kecemerlangan

Melalui program motivasi yang telah dijalankan ini juga, salah satu kekuatan yang

paling besar bagi kami ialah semangat kerjasama yang tinggi dan persefahaman yang

baik di antara kami. Oleh hal yang sedemikian, hubungan silaturahim dapat dieratkan

dengan lebih baik dan berpanjangan.

2) Kelemahan Projek

Melalui program ini juga, kami telah mengenal pasti beberapa kelemahan yang

terdapat perlu diperbaiki bagi meningkatkan keberkesanan program ini pada masa

hadapan. Kelemahan yang telah dikenal pasti ialah penglibatan murid. Program yang

dilaksanakan ini tidak melibatkan semua murid dan hanya difokuskan bagi murid tahap

dua iaitu murid tahun 4 dan 5. Murid tahun 6 yang akan menghadapi peperiksaan

UPSR tidak dapat melibatkan diri kerana membuat persediaan untuk menghadapi

peperiksaan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Antara kelemahan lain yang dapat dikenal pasti ialah dari segi tempoh masa

yang telah diperuntukkan di dalam program ini iaitu selama 1 jam. Dalam tempoh yang

terhad ni, aktiviti secara Latihan Dalam Kumpulan (LDK) tidak dapat dijalankan. Hanya

input daripada penceramah melalui slide power point yang telah dipaparkan. Oleh yang

sedemikian, murid mula menunjukkan reaksi-reaksi seperti bosan dan mengantuk.

Kelemahan yang di telah kenal pasti juga ialah masalah teknikal yang berlaku

ketika program dijalankan. Antara masalah ialah berlaku komputer riba tidak dapat

berfungsi dengan baik dengan LCD yang sedia ada. Seterusnya, masalah teknikal dari

segi kelancaran paparan slide yang ditayangkan apabila melibatkan beberapa aplikasi

seperti media player dan audio.

Page 8: Laporan - Program Motivasi Kecemerlangan

Kelemahan seterusnya adalah berkaitan dengan keselesaan murid yang terpaksa

duduk di lantai selama satu jam lima belas minit. Hal ini juga menyebabkan murid hilang

fokus kepada penceramah dan mula mengganggu rakan-rakan yang lain sehinggakan

ada murid yang telah ditegur oleh penceramah kerana bersikap sedemikian.

3) Cadangan Penambahbaikan

Berdasarkan kelemahan-kelemahan yang terdapat semasa program motivasi ini

dilaksanakan, terdapat beberapa cadangan penambahbaikan yang boleh dibuat bagi

meningkatkan keberkesanan program pada masa akan datang. Melihat kepada

penglibatan murid pada program yang dilaksanakan ini adalah dibuat hanya kepada

murid tahap dua iaitu murid-murid tahun 4 dan 5 sahaja. Penglibatan oleh semua murid

boleh dilaksanakan bagi program motivasi yang akan datang supaya semua murid

berpeluang untuk melibatkan diri.

Selain itu, masa yang diperuntukkan kepada penceramah untuk menyampaikan

ceramah motivasi adalah singkat. Oleh itu, masa program ini boleh dipertingkatkan dan

dipanjangkan agar lebih banyak aktiviti dan latihan dalam kumpulan dapat dijalankan.

Masa program juga boleh dibuat selepas waktu persekolahan supaya tidak

mengganggu masa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan.

Di samping itu, persediaan dalam menyediakan peralatan yang hendak

digunakan perlu dibuat lebih awal sebelum berlangsungnya program bagi mengelakkan

sebarang masalah teknikal berlaku. Kaedah alternatif lain juga perlu disediakan lebih

awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Page 9: Laporan - Program Motivasi Kecemerlangan

Cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah

keselesaan murid adalah dengan menyediakan kerusi. Keselesaan murid juga perlu

diambil berat kerana memainkan peranan yang penting untuk memastikan murid duduk

dalam keadaan bersedia, fokus dan dapat menumpukan sepenuh perhatian dengan

lebih baik.

4) Kesimpulan

Program motivasi yang telah dirancang dan diatur telah kami laksanakan

dengan jayanya. Pelbagai ilmu pengetahuan baru yang telah kami peroleh sepanjang

penganjuran program ini dilaksanakan. Kami berharap program motivasi ini dapat

membantu murid-murid untuk mempertingkatkan semangat untuk belajar dan

memantapkan minda mereka dalam usaha mencapai kecemerlangan dalam bidang

akademik. Diharapkan juga program seperti ini akan terus dijalankan agar dapat

memotivasikan murid untuk sentiasa berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang.

Akhir kata, kami ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan ucapan terima

kasih kepada Guru Besar, guru pembimbing dan guru-guru yang lain kerana memberi

sokongan untuk menjayakan projek ini.

Disediakan oleh:                                        

……………………………………                   

( SITI SOFFIAH BINTI IBRAHIM )          

Guru Pelatih,

IPG Kampus Raja Melewar

Page 10: Laporan - Program Motivasi Kecemerlangan

Disemak oleh:                                        

……………………………………                   

(PN RAMLAH BINTI MOHD ZAIN)          

Guru Bimbingan,

Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior.