Laporan Ringkas Kajian Tindakan

6
LAPORAN RINGKAS KAJIAN TINDAKAN TAJUK KAJIAN: APLIKASI VARIASI LATIHAN DALAM KEMAHIRAN HANTARAN LANTUN PERMAINAN BOLA BALING SEKOLAH RENDAH 1.0 PENGENALAN Kurikulum Pendidikan Jasmani hari ini boleh dikategorikan kepada bidang pendidikan perkembangan, pendidikan pergerakan, pendidikan humanistik, pendidikan sukan, pembelajaran kinesiologikal dan pendidikan kesihatan. Pendidikan Jasmani terbukti mampu membentuk sahsiah pelajar sekiranya dilakukan secara teratur sebagaimana seorang guru mengajar pelajar membaca dan menulis. Aktiviti-aktiviti dalam kelas Pendidikan Jasmani mempunyai nilai etika dan estetika yang perlu dipupuk dengan betul kepada generasi muda. Kelas Pendidikan Jasmani selain dari menyediakan peluang melakukan kemahiran sukan, ia merupakan satu-satunya kurikulum yang menyediakan pengalaman-pengalaman secara langsung sama ada secara teori atau amali. Maka saya berpendapat bahawa pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani berfokuskan penguasaan kemahiran sesuatu permainan adalah sangat sesuai dalam merealisasikan kurikulum Pendidikan Jasmani khususnya untuk murid-murid sekolah rendah. Saya berusaha agar murid- murid ini mempunyai minat dan motivasi mempelajari dan menguasai sesuatu kemahiran permainan yang sebenarnya memberikan manfaat bukan sahaja dari segi sukan malah memberikan ruang kepada mereka untuk terus meneroka dan mengekalkan minat mereka sendiri dengan seronok dan ia menghasilkan faedah yang baik. Melalui kaedah ini murid-murid sekaligus dapat memupuk semangat kendiri terutamanya berusaha untuk menguasai sesuatu kemahiran permainan, kerjasama dalam pasukan, mengatur strategi permainan serta mampu berfikiran rasional sebelum sesuatu tindakan. 2.0 FOKUS KAJIAN / MASALAH KAJIAN Pengkaji mendapati bahawa kebanyakkan murid-murid tahap dua iaitu murid- murid dari Tahun 4, 5 dan 6 di sebuah sekolah yang dikaji menghadapi kesukaran untuk membuat hantaran lantun kepada rakan sepasukan dalam permainan bola baling. Penguasaan kemahiran hantaran lantun adalah salah satu kemahiran yang penting dalam permainan bola baling kerana permainan bola baling adalah permainan yang menggunakan kemahiran hantaran secara keseluruhan. Semasa pengajaran dan pembelajaran permainan bola baling seperti mana juga dalam latihan bola baling yang saya laksanakan terhadap pemain bola baling sekolah, pengkaji dapati penguasaan kemahiran hantaran lantun boleh dikatakan sangat rendah semasa permainan bola baling, mereka kerap membuat hantaran aras dada dan hantaran sisi kepada rakan sepasukan sedangkan sekiranya mereka mahir membuat hantaran lantun dalam permainan bola baling, akan memantapkan lagi corak pemain secara individu. Hal ini mendorong pengkaji membuat kajian mengenai kesan penguasaan kemahiran hantaran lantun dalam permainan bola baling. 1

description

Ringkasan

Transcript of Laporan Ringkas Kajian Tindakan

LAPORAN RINGKAS KAJIAN TINDAKAN

TAJUK KAJIAN:APLIKASI VARIASI LATIHAN DALAM KEMAHIRAN HANTARAN LANTUN PERMAINAN BOLA BALING SEKOLAH RENDAH

1.0PENGENALANKurikulum Pendidikan Jasmani hari ini boleh dikategorikan kepada bidang pendidikan perkembangan, pendidikan pergerakan, pendidikan humanistik, pendidikan sukan, pembelajaran kinesiologikal dan pendidikan kesihatan. Pendidikan Jasmani terbukti mampu membentuk sahsiah pelajar sekiranya dilakukan secara teratur sebagaimana seorang guru mengajar pelajar membaca dan menulis. Aktiviti-aktiviti dalam kelas Pendidikan Jasmani mempunyai nilai etika dan estetika yang perlu dipupuk dengan betul kepada generasi muda. Kelas Pendidikan Jasmani selain dari menyediakan peluang melakukan kemahiran sukan, ia merupakan satu-satunya kurikulum yang menyediakan pengalaman-pengalaman secara langsung sama ada secara teori atau amali.Maka saya berpendapat bahawa pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani berfokuskan penguasaan kemahiran sesuatu permainan adalah sangat sesuai dalam merealisasikan kurikulum Pendidikan Jasmani khususnya untuk murid-murid sekolah rendah. Saya berusaha agar murid-murid ini mempunyai minat dan motivasi mempelajari dan menguasai sesuatu kemahiran permainan yang sebenarnya memberikan manfaat bukan sahaja dari segi sukan malah memberikan ruang kepada mereka untuk terus meneroka dan mengekalkan minat mereka sendiri dengan seronok dan ia menghasilkan faedah yang baik. Melalui kaedah ini murid-murid sekaligus dapat memupuk semangat kendiri terutamanya berusaha untuk menguasai sesuatu kemahiran permainan, kerjasama dalam pasukan, mengatur strategi permainan serta mampu berfikiran rasional sebelum sesuatu tindakan.

2.0FOKUS KAJIAN / MASALAH KAJIANPengkaji mendapati bahawa kebanyakkan murid-murid tahap dua iaitu murid-murid dari Tahun 4, 5 dan 6 di sebuah sekolah yang dikaji menghadapi kesukaran untuk membuat hantaran lantun kepada rakan sepasukan dalam permainan bola baling. Penguasaan kemahiran hantaran lantun adalah salah satu kemahiran yang penting dalam permainan bola baling kerana permainan bola baling adalah permainan yang menggunakan kemahiran hantaran secara keseluruhan.

Semasa pengajaran dan pembelajaran permainan bola baling seperti mana juga dalam latihan bola baling yang saya laksanakan terhadap pemain bola baling sekolah, pengkaji dapati penguasaan kemahiran hantaran lantun boleh dikatakan sangat rendah semasa permainan bola baling, mereka kerap membuat hantaran aras dada dan hantaran sisi kepada rakan sepasukan sedangkan sekiranya mereka mahir membuat hantaran lantun dalam permainan bola baling, akan memantapkan lagi corak pemain secara individu. Hal ini mendorong pengkaji membuat kajian mengenai kesan penguasaan kemahiran hantaran lantun dalam permainan bola baling.

Seperti mana yang diketahui umum, kemahiran yang banyak digunakan dalam bola baling adalah kemahiran hantaran dan kemahiran-kemahiran tersebut ialah hantaran bahu, hantaran aras dada, hantaran sisi, hantaran lompat dan hantaran lantun. Kemahiran ini sangat penting dalam permainan bola baling kerana ia adalah di antara beberapa kemahiran asas permainan ini. Sesuatu keputusan perlawanan juga dipengaruhi jika hantaran dalam sesuatu pasukan berjaya dilakukan dengan baik. Oleh itu, kemahiran yang ingin dilihat adalah kemahiran membuat hantaran lantun dengan betul dan sempurna semasa permainan. Hanya enam orang peserta kajian sahaja akan digunakan untuk kajian tindakan ini, iaitu murid yang berpotensi bermain bola baling dengan baik tetapi tidak dapat menguasai kemahiran hantaran lantun dengan baik.

Secara amnya, permainan bola baling adalah salah satu sukan yang memerlukan kekuatan, kepantasan dan ketangkasan tangan.Beim (1977) menegaskan ketangkasan bergantung kepada koordinasi, kekuatan dan reaksi individu mengatasi momentum berat badan. Jika peserta kajian dapat menguasai hantaran lantun dengan baik maka corak persembahan yang pantas dan tangkas dapat dilakukan semasa bermain bola baling. Kemahiran ini bukan sahaja dapat diaplikasikan semasa waktu pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani sahaja malah mereka juga dapat menunjukkan kemahiran mereka semasa mereka menghadiri pemilihan dan semasa perlawanan bola baling, sehubungan dengan itu, sudah pasti jurulatih akan memilih pemain yang dapat membuat hantaran khususnya hantaran lantun dengan betul dan berkesan.

Kemahiran hantaran lantun adalah penting untuk mengubah corak permainan bola baling. Kemahiran membuat hantaran lantun bukan sahaja dilakukan secara individu malahan ia juga memerlukan kerjasama yang baik dengan rakan sepasukan. Hal ini kerana permainan bola baling adalah permainan secara berpasukan. Oleh itu, fokus kajian pengkaji semasa pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani dalam kemahiran bola baling ialah mengaplikasi latihan variasi hantaran lantun dengan menggunakan teknik yang betul.

Sepanjang pengkaji mengajar aktiviti yang melibatkan permainan bola baling pengkaji dapati ada sesetengah murid langsung tidak dapat menguasai kemahiran hantaran lantun dengan baik. Kebanyakan mereka hanya lebih kerap membuat hantaran aras dada dan hantaran sisi menyebabkan pasukan pihak lawan dapat membaca pergerakan mereka seterusnya yang boleh menghalang daripada gerakan sempurna dilaksanakan yang berakhir kepada membuat jaringan. Apabila seseorang murid itu dapat menguasai kemahiran hantaran lantun dengan baik, murid berkenaan tentu berasa yakin semasa bermain dan cara permainan pantas dapat dilakukan selaras dengan corak permainan yang dimainkan oleh mana-mana pasukan handalan seluruh dunia, turut menjadi fokus kajian pengkaji yang mana sekaligus dapat membantu pengkaji mencungkil bakat baru dalam sukan bola baling dan secara tidak langsung dapat melahirkan satu pasukan bola baling sekolah yang berkualiti dan menjamin masa depan yang cemerlang dalam sukan bola baling di sekolah pengkaji.

3.0OBJEKTIF KAJIAN

i.Mengenalpasti tahap penguasaan kemahiran hantaran lantun murid dalam permainan bola baling.ii.Aplikasi variasi latihan hantaran lantun dapat meningkatkan penguasaan kemahiran hantaran lantun murid dalam permainan bola baling.iii.Mengenalpasti minat murid dalam aplikasi variasi latihan kemahiran hantaran lantun permainan bola baling.

4.0PESERTA KAJIANKumpulan sasaran kajian yang dijalankan ialah murid-murid Tahap Dua iaitu Tahun 5 Akademik di sebuah sekolah dalam daerah Kudat semasa proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani permainan bola baling. Kumpulan ini mempunyai seramai 30 orang murid, oleh itu saya mengambil hanya beberapa orang murid dari populasi tahun 5 Akademik ini untuk dijadikan peserta kajian. Bilangan peserta kajian yang diambil ialah 6 orang murid, iaitu 3 orang murid lelaki dan 3 orang murid perempuan yang berpotensi untuk mewakili sekolah dalam permainan bola baling. Pemilihan ini berdasarkan bilangan murid yang tidak dapat melakukan aktiviti hantaran lantun dengan menggunakan teknik yang betul.

5.0PENDEKATAN / INSTRUMEN / CARA ANALISIS DATAPendekatan kajian yang digunakan ialah kaedah kualitatif. Kajian ini menggunakan pemerhatian, temubual dan senarai semak bagi mendapatkan data untuk dianalisis. Kaedah ini dianggap bertepatan dalam mengumpul dan menganalisis data kerana pemerhatian penguasaan kemahiran hantaran lantun dalam permainan bola baling memerlukan masa dan latihan yang sesuai serta mencukupi di samping program-program latihan yang telah dirancang. Manakala instrumen kajian merangkumi tiga Variasi Latihan iaitu Latihan Hantaran Lantun Diagonal, Latihan Hantaran Lantun Straight Pass dan Latihan Hantaran Lantun Through Pass. Variasi Latihan Hantaran Lantun Diagonal dilaksanakan pada gelung pertama, Variasi Latihan Hantaran Lantun Through Pass dilaksanakan pada gelung kedua dan Variasi Latihan Hantaran Lantun Straight Pass dilaksanakan pada gelung ketiga.

Bagi penganalisisan kualitatif, data diperiksa untuk menentukan sama ada ianya sesuai untuk kategori yang dikehendaki. Melalui proses ini, data ditapis dan kemudiannya pembuangan bagi data-data yang tidak berkaitan dilakukan untuk memudahkan analisis kajian. Di dalam kajian ini, soalan temubual yang dijalankan adalah dalam bentuk soalan semi-struktur. Penggunaan pita rakaman video dan catatan nota lapangan digunakan untuk merekod maklumbalas daripada responden. Semasa sesi temubual dijalankan, adalah penting bagi pengkaji untuk mendengar dengan jelas segala butiran yang disampaikan oleh responden dan menulis kembali setiap pita rakaman sebaik sahaja temubual selesai dijalankan. Ini bertujuan membolehkan pengkaji mengingati segala maklumat yang di berikan kerana ianya masih segar dalam ingatan pengkaji.

Data yang dikumpulkan daripada sesi temubual yang telah dijalankan rakan-rakan responden, guru dan responden sendiri perlu diterjemahkan, diinterpretasi dan dianalisis. Kajian ini menggunakan soalan temubual, senarai semak dan pemerhatian sebagai alat pengumpulan data kajian. Semua maklumat yang diperolehi akan ditriangulasikan dengan nota yang diambil semasa temubual dan pemerhatian.

Triangulasi adalah satu keperluan dalam kajian kualitatif. Triangulasi bermaksud integrasi kaedah yang berbeza bagi mendapatkan lebih dari satu bentuk data supaya dapatan kajian kualitatif yang bersifat subjektif akan lebih meyakinkan dandapat meningkatkan kesahan data yang dikumpul.

Petikan (quotation) daripada sesi temubual juga dipilih sebagai rujukan dalam penulisan bab yang seterusnya berdasarkan kepada isu dan masalah yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan (Kvale, 1988). Petikan ini dapat menerangkan kesan semulajadi dan menyokong isu yang berkaitan dengan penguasaan kemahiran membuat hantaran lantun oleh responden dalam permainan bola baling. Petikan ini juga digunakan bagi tujuan kesahihan dengan merujuk kepada temubual yang telah dijalankan ke atas responden yang berbeza-beza.

Pengkaji menggunakan panduan yang dikemukakan oleh Miles dan Huberman (1994) dalam menjalankan analisis ke atas data kualitatif yang telah diperolehi. Menurut Miles dan Huberman (1994), terdapat tiga aliran aktiviti dalam menjalankan analisis kualitatif. Tiga aktiviti ini ialah pengurangan data (data reduction), mempamerkan data (data display) dan kesimpulan dan pembuktian (conclusion drawing and verification).Pengurangan data merujuk kepada proses pemilihan, fokus, perincian, dan menukarkan data daripada catatan nota atau transkrip yang diperolehi semasa pengumpulan data dijalankan.

Pengurangan data berlaku sepanjang penyelidikan dijalankan di mana pengkaji akan memilih dan menentukan rangka kerja yang harus diikuti, persoalan kajian yang perlu dikemukakan dan pendekatan pengumpulan maklumat yang harus dipilih. Selepas pengumpulan data dilakukan, pengurangan data juga berlaku dalam membentuk kesimpulan, pengkodan, penyingkiran, pembentukan kelompok atau dalam penulisan memo. Aktiviti pengurangan data ini juga diteruskan selepas kerja lapangan dijalankan sehingga laporan akhir disempurnakan.

Langkah seterusnya dalam aktiviti penganalisisan data ialah mempamerkan data tersebut. Pameran data melibatkan aktiviti seperti mengendalikan, memadatkan maklumat bagi memudahkan kesimpulan dan tindakan dilakukan. Dengan memerhatikan data yang dipamerkan, ianya dapat membantu pengkaji untuk memahami perkara yang berlaku untuk analisis seterusnya dan tindakan selanjutnya yang perlu diambil berdasarkan kepada pemahaman pengkaji. Berdasarkan kepada transkrip yang dipamerkan, ianya memudahkan pengkaji untuk membuat rumusan kerana kebiasaannya manusia sukar untuk memproses maklumat dalam kuantiti yang besar.

6.0DAPATAN KAJIANBerdasarkan pemerhatian, tidak terdapat seorang pun responden yang dapat menguasai semua lakuan tangan, kaki dan kedudukan badan dengan baik semasa membuat hantaran lantun selepas tiga minggu latihan dijalankan. Ini adalah kerana responden tersebut masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan lakuan-lakuan yang diajar oleh guru dan masih memerlukan latihan yang lebih untuk menguasai kemahiran hantaran lantun secara keseluruhan. Namun setelah tiga lagi baki minggu latihan disempurnakan, semua responden telah dapat menguasai lakuan tangan, kaki dan kedudukan badan dengan lebih baik. Ini adalah kerana latihan yang mencukupi memberi peluang kepada responden memperbetulkan kesilapan dan mempraktikkan latihan dengan lebih sistematik dan berkesan.

Hasil dapatan maklumbalas responden melalui temubual menunjukkan bahawa aplikasi variasi latihan hantaran lantun melalui Program Latihan yang terancang dan sistematik dapat meningkatkan penguasaan kemahiran hantaran lantun dalam permainan bola baling. Tambahan melalui kaedah ini dapat mewujudkan keseronokkan dalam kalangan murid semasa bermain.

7.0PERBINCANGAN / RUMUSANMelihat kepada keputusan dapatan kajian, dapatlah dirumuskan bahawa kajian tindakan ini telah mencapai objektif yang diharapkan. Intervensi melalui kaedah variasi latihan dalam pembelajaran kemahiran dalam sukan dapat meningkatkan penguasaan kemahiran membuat hantaran lantun permainan bola baling dalam kalangan responden telah menunjukkan keberkesanannya. Malahan bukan itu sahaja, motivasi murid untuk membuat latihan juga menunjukkan perubahan yang ketara. Menurut Baharom dan Iliyas (2009), motivasi adalah penggerak kepada kemahuan dan keinginan mahu berjaya atau mencapai sesuatu. Justeru itu, kajian ini juga telah menampakkan motivasi dan semangat yang tinggi dalam kalangan peserta kajian. Ini dapat dilihat menerusi keputusan analisis data yang sentiasa menunjukkan peningkatan minat serta penguasaan kemahiran responden. Kaedah variasi latihan berjaya menaikkan motivasi murid untuk lebih bersemangat mempelajari kemahiran membuat hantaran lantun dalam permainan bola baling. Berdasarkan pengalaman pengkaji menjalankan kajian tindakan ini, didapati bahawa penguasaan peserta kajian dalam sesuatu kemahiran adalah bergantung kepada inisiatif guru untuk mempelbagai kaedah pengajarannya. Oleh itu, pengkaji bercadang untuk menambahbaik kajian yang seterusnya agar menjadi lebih berkesan.

Semasa kajian, pengkaji mendapati penggunaan variasi latihan dalam melaksanakan Program Latihan dapat menarik minat murid untuk menguasai kemahiran membuat hantaran lantun dalam permainan bola baling. Justeru itu, pengkaji berhasrat untuk memperluaskan penggunaan kaedah ini kepada semua murid bermula dari tahun empat. Ini adalah kerana kemahiran hantaran telah mula dipelajari seawal murid tahun satu dalam KSSR sehingga tahun enam. Murid-murid tahun empat dipilih kerana perkembangan otot kanak-kanak pada peringkat ini menggalakkan pergerakan motor yang lebih mencabar. Selain itu, pengkaji juga berhasrat untuk menambahbaik program latihan yang digunakan pada masa akan datang. Antaranya menambah latihan stamina seperti Latihan Litar sebelum latihan kemahiran dijalankan. Langkah ini diharap dapat menarik lebih ramai murid untuk menguasai kemahiran hantaran lantun dalam permainan bola baling yang dianggap sukar. Pengkaji berharap untuk menghasilkan program latihan yang lebih mantap, kreatif dan inovatif yang tertumpu kepada satu kemahiran sahaja. Hal ini bertujuan untuk memastikan setiap murid boleh menguasai satu kemahiran sebelum melangkah kepada kemahiran yang lain. Sedikit penambahbaikan akan dilakukan ke atas soalan temubual iaitu dengan menambah bilangan soalan. Hal ini bertujuan memastikan bukti pencapaian pembelajaran adalah lebih berkesan serta dapat menjamin kesahan ujian. Ini bertepatan dengan Shamsina 2013 yang menyatakan soalan yang dibina mestilah menepati objektif dan kandungan yang hendak diukur. Di samping itu, pengkaji juga berhasrat untuk meneruskan kajian dengan menambah bilangan peserta kajian serta melibatkan peserta kajian meliputi tahun empat, lima dan enam. Bukan itu sahaja, tempoh pelaksanaan kajian juga turut dipanjangkan. Ini bagi memastikan murid yang terpilih mendapat pendedahan lebih awal dan lebih memahami kepentingan kemahiran dalam sukan dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani itu sendiri.

Kesimpulannya, banyak penemuan dan pengetahuan berguna diperolehi daripada kajian yang telah dijalankan ini. Kajian seperti ini amat diperlukan oleh seseorang guru untuk mengesan kaedah, teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Pengkaji berpendapat, maklumat dan input kajian ini membolehkan pengkaji melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan, bukan hanya membuat jangkaan dan generalisasi semata-mata. Ini selari dengan Rahil dan Habibah, 2007 yang menyatakan pembelajaran yang baik terjadi apabila perubahan yang berlaku berkekalan dan dapat bertahan untuk jangka masa yang lama. Pembelajaran boleh berlaku apabila terdapat rangsangan yang menyebabkan terjadinya tindak balas terhadap rangsangan tertentu, seperti alat bantu mengajar, kaedah pengajaran dan tingkah laku guru. Oleh sebab itu, dengan menjalankan kajian banyak penelitian terhadap pelaksanaan pengajaran dapat dikenalpasti dan ditambahbaik. Diharap pada masa akan datang, ada pengkaji lain yang dapat meneruskan kajian ini dengan lebih baik dan sempurna.

5