MELANAU
Transcript of MELANAU
MELANAU
Masyarakat Melanau merupakan masyarakat etnik di Sarawak. Bagi sebahagian besar
penduduk negeri Sarawak, 'Melanau' adalah satu bangsa yang sama seperti bangsa Iban,
Melayu, Cina dan sebagainya. Ramai yang tidak mengetahui asal-usul dan makna perkataan
'Melanau'.
SEJARAH
Kira-kira setengah abad yang lalu, semasa Daerah Bintulu masih dalam jagaan Kerajaan
Kesultanan Brunei, kerap kali Baginda Sultan datang ke Bintulu untuk melihat keadaan daerah
ini serta memungut hasil daripada penduduknya. Pada suatu hari, sebuah perahu kerajaan
Brunei belayar menuju ke Kuala Bintulu, tiba-tiba bertembunglah dengan beberapa buah
perahu yang menuju ke destinasi yang sama. Nakhoda pun bertanya dengan seorang
kelasinya, "Perahu siapakah yang banyak di hadapan kita?" Jawab kelasi itu, "Perahu orang
memanau, Datuk." Dari sehari ke sehari perkataan 'memanau' ini dengan tidak disedari oleh
sesiapa bertukar menjadi 'Melanau'.
'Panau', begitulah asal perkataan yang sebenar dalam dialek Bintulu yang mana bererti
salah satu pekerjaan yang boleh didapati dalam daerah Bintulu pada masa ini. Pekerjaannya
ialah menangkap ikan duai, ikan jamah dan sebagainya. Pekerjaan ini dilakukan oleh enam
hingga sepuluh orang serta lengkap dengan perkarangan yang dinamakan "Idus" dalam dialek
Bintulu serta perahu yang besar kerana orang yang bekerja 'panau' harus pergi ke tengah laut
sejauh enam atau tujuh batu. Daun-daun 'mulong' dijadikan umpan. Di tengah-tengah laut inilah
kadang-kadang terjadi ribut yang kencang dan gelombang besar yang datang dengan tiba-tiba.
Sekiranya mereka memakai perahu yang kecil sudah tentu mereka karam dan nyawa mereka
juga mungkin terancam. Andaian lain tentang asal nama Melanau ialah kaitannya dengan nama
'Meranau' (Maranao) atau 'Mindanau' (Mindanao). 'Maranau' atau 'Marinau' ialah nama suku
kaum di Mindanao Tengah (lanun) yang sering menyerang kawasan persisiran Sarawak yang
didiami orang Melanau sekarang.
Orang Melanau tinggal di dalam rumah panjang (yang dibina dengan tinggi) sama
dengan suku kaum Iban. Walaupun begitu, masyarakat Melanau sekarang telah mengubah
cara kehidupan mereka dengan tinggal di dalam rumah kampung yang mengikut corak orang
Melayu. Masyarakat Melanau yang bukan beragama Islam mempercayai makhluk ghaib yang
dipanggil Ipok.
PENEMPATAN UTAMA
Penempatan utama masyarakat Melanau tertumpu di kawasan muara sungai dan juga di
kawasan persisiran pantai. Ini kerana mereka agak bergantung hidup dengan bertani dan
menangkap ikan. Mereka juga adalah penanam utama rumbia di Sarawak dan mempunyai
kebolehan yang tiada tandingannya dalam penyediaan makanan berasaskan rumbia seperti
sagu dan biskut. Kawasan penempatan mereka boleh dibahagikan dua seperti kawasan
berhampiran laut (Rajang, Paloh, Bebuai, Daro, Matu, Igon, Oya, Mukah dan Bintulu) dan
kawasan pedalaman (Dalat, Medong, Kut. Norub, Balingian dan Tatau). Keadaan muka bumi
yang berbukit bukau, paya dan hubungan yang sukar di antara satu kawasan dengan satu
kawasan yang lain menyebabkan wujudnya perbezaan yang ketara di dalam dialek pertuturan
mereka. Walaupun ada perbezaan dialek sesama mereka tetapi mereka masih lagi boleh
dikelaskan di dalam satu kumpulan budaya dengan watak sosiobudaya tertentu.
ORGANISASI SOSIAL
Pada suatu masa dahulu, klafikasi masyarakat berdasarkan pangkat dan kedudukan
wujud dalam kehidupan seharian masyarakat Melanau. Kedudukan seseorang di rumah
panjang menentukan pangkatnya. Contohnya golongan atasan akan tinggal di bahagian tengah
rumah panjang; sementara golongan yang lebih rendah akan tinggal di bahagian yang agak ke
penghujung rumah. Masyarakat bawahan akan tinggal di penghujung rumah panjang dan
bertindak sebagai pengawal. Secara amnya pengkelasan masyarakat yang pernah wujud suatu
ketika dahulu adalah berdasarkan turutan berikut;
a) bangsa Pengeran: pangkat tertinggi dan merupakan bangsawan Brunei yang mewakili sultan
Brunei dan bertugas mengumpul cukai.
b) bangsa sembilan Pikul (A-Metahei): pangkat tertinggi Melanau
c) bangsa Tujuh pikul : bangsa kelas pertangahan
d) bangsa Tujuh Beritih: orang tahanan dan hamba
e) Dipen : golongan hamba abdi.
Akan tetapi sistem pengkelasan berdasarkan pangkat ini hampir tidak wujud lagi sekarang.
Lebih-lebih lagi mereka sekarang menghuni di rumah-rumah berasingan bukan lagi rumah
panjang.
BUDAYA
Pakaian Tradisional
Pakaian Tradisional (Lelaki)
1) Pakaian lelaki Melanau dari satin berwarna gelap
dipadankan dengan kain songket bunga tabur dan
pakaian kepala sengkulon dari Jawa.
2) Lelaki menggayakan baju potongan moden bersamping
broked oren keemasan, pinggang berikat selendang sifon
berkopiah Jawa.
Pakaian Tradisional (Wanita)
1) Wanita Melanau menggayakan baju baldu hitam
dengan sarung songket Brunei tenunan Sarawak,
bertali pinggang pending besar, diserikan dokoh
dan perhiasan kepala kepih sanggul.
2) Wanita Melanau menggayakan Baju Baban asal
pakaian pengantin Melanau. Baju kurung pendek
warna hitam dipadankan dengan kain songket. Di
dada memakai 2 helai selendang merah dan
perhiasan diri kepih dada dan kepih sanggul.
Makanan tradisional
Sagok merupakan makanan ruji masyarakat Melanau selain daripada nasi. Sagok ini
diperbuat daripada lemantak ataupun kanji pokok rumbia. Untuk membuat banyak proses perlu
dilalui, ia sama seperti membuat biskut. Proses akhir sekali adalah membakar dengan Dapur
yang dipanggil "Belanga" yang diperbuat daripada tanah liat dan luas "Belanga" adalah dalam
lingkungan 2.5m panjang X 2.5m lebar dan menggunakan kayu api sebagai bahan bakar.
Pipuih pula adalah makanan tradisi masyarakat melanau yang diperbuat daripada ikan. Ia
diperbuat daripada ikan yang dipanggang, kemudian dihancurkan dan dibuang tulang-temulang
dan seterusnya dipanggang di dalam sejenis daun yang dipanggil daun isaing sehinggalah
seperti gambar di bawah(Berbentuk seperti belacan). Masyarakat Melanau biasanya akan
membuat Pipuih ini pada musim kemarau dan ia disimpan untuk bekalan makanan pada musim
tengkujuh, semasa ketiadaan ikan dipasaran dan nelayan tidak turun ke laut. Pipuih ini dapat
disimpan dalam tempoh 1 hingga 2 tahun. Biasanya ia akan dimakan dengan saguataupun
bubur nasi. Rasanya memang enak.
Rumah tinggi
Rumah Tinggi Melanau merupakan rumah tradisi masyarakat Melanau dahulu kala.
Ketinggian rumah ini adalah 10m dan keatas daripada permukaan tanah. Ini adalah kerana
zaman dahulu kala masyarakat hidup berpuak-puak dan peperangan antara kaum berlaku.
Rumah tinggi melanau merupakan tempat yang paling selamat dari segi pertahanan.
Ketinggiannya membolehkan ia tidak dapat dijolok dengan tombak dari permukaan tanah.
Di samping itu, keunikannya juga boleh dilihat dari segi struktur lantai rumah tersebut,
sekiranya tuan-tuan berkunjung ke Kampung Budaya sarawak, tuan akan melihatnya sendiri.
Struktur lantainya yang jarang, namun peliknya orang yang berada di bawah rumah ini tidak
akan dapat melihat pergerakan orang yang berada di atas, tetapi orang yang berada di atas
dapat melihat jelas pergerakan orang bawah rumah. Ia adalah disebabkan oleh struktur
susunan dan kombinasi lantai nibong yang unik. Keadaan ini, dipercayai membolehkan tuan
rumah menyimbah musuh di bawah rumah dengan air panas dan ambuyat panas.
Dari segi tiangnya pula, ia adalah diperbuat daripada batang balak kayu berlian yang
mampu bertahan hingga 100 tahun dan lebih. Di Sarawak cuma terdapat 2 buah rumah tinggi
Malanau yang masih wujud, pertama sekali di Kampung Budaya Sarawak dan keduanya di
Kampung Sok, Matu, Mukah.
Kepercayaan
Seperti mana kebanyakan masyarakat peribumi setempat lainnya, masyarakat Melanau
tidak terlepas daripada mewarisi adat istiadat dan kepercayaan yang bercorak animisme.
Terutamanya mereka yang masih lagi menganut agama tradisional. Menurut kepercayaan
mereka, makhluk halus biasanya menetap di anak sungai, pokok, batu dan sebagainya. Bagi
makhluk halus yang lebih tinggi, ia akan tinggal di kawasan yang lebih strategik dan luas seperti
muara sungai, laut dan hutan. Ianya dikenali sebagai ipok dan dipuja setiap tahun dalam
Perayaan Kaul. Kepercayaan seperti ini membawa kepada pemujaan makhluk-makhluk halus
tersebut untuk menghindari pengaruh kuasa ghaib. Di sinilah munculnya peranan bomoh
sebagai perantara dalam sistem kepercayaan masyarakat ini. Suatu yang menarik mengenai
kepercayaan animisme Melanau ialah Tuhan yang menguasai segala aspek kehidupan dikenali
sebagai Allah atau Allah Taala. Tetapi perlu diingat, hanya istilah yang dipinjam bukan isinya.
Ini dengan jelas menunjukkan pengaruh agama Islam yang telahpun sampai ke Nusantara
sejak berdekad lamanya.
Selain itu, terdapat budaya yang masih utuh diamalkan oleh masyarakat Melanau
khususnya yang melibatkan peristiwa kematian ahli keluarga. Walau bagaimanapun, amalan
tersebut berbeza-beza mengikut daerah dan kampung. Bagi masyarakat Melanau yang
mendiami daerah Matu, amalan yang berkaitan dengan kematian sudah banyak dipengaruhi
oleh agama Islam. Selepas selesai majlis pengebumian, ahli keluarga akan bersedia untuk
mengadakan upacara "sare" iaitu seperti rumah terbuka selama tujuh malam berturut-turut.
Rumah keluarga si mati akan dikunjungi oleh sanak saudara dan masyarakat setempat. Akan
tetapi ia sudah dipengaruhi oleh agama Islam secara dengan majlis tahlil, bacaan yassin,
sembahyang berjemaah, dan kenduri arwah. Adalah fenomena biasa bagi satu keluarga
Melanau yang orang tuanya menganuti agama tradisional, dan anak-anak menganuti agama
Islam dan Kristian.
Perayaan Kaul
Kaul Melanau atau pesta Melanau adalah hari kebesaran dan perayaan yang dirayakan
oleh orang Melanau di Sarawak. Ia bertujuan menghargai pelbagai jenis semangat seperti
semangat laut, tanah, hutan, dan kebun mereka. Ia dirayakan pada akhir Mac atau awal April
setiap tahun. Asal usul perayaan ini dikatakan berbalik pada berkurun dahulu, di mana mereka
mempercayaai kepercayaan animisme.
Perayaan ini disambut dengan meriah oleh orang Melanau di sepanjang persisiran pantai
Sarawak. Tibow, iaitu buaian setinggi 20 kaki adalah puncak perayaan ini. Pemuda-pemuda
akan melompat dari buluh bengkok yang panjang dan akan menangkap tali berayun yang
tinggi. Sehingga tujuh atau lapan orang akan bergayut di buaian gergasi ini. Ianya akan
berbuai-buai di tepi pantai. Kaul ini juga bukan setakat buaian gergasi. Ia adalah pesta warna-
warni yang diserikan dengan bot-bot berhias, sukan pantai, dan makanan- makanan Melanau
yang enak. Biasanya di musim monsun kuala sungai akan ditutup, dengan tiada seorang pun
akan dibenarkan keluar masuk. Semuanya menjalani upacara menyucikan diri.
Kaul dimulakan dengan bot-bot berhias berlayar dengan membawa ‘seraheng’ iaitu bakul
dari buluh. Sementara itu ‘bapa Kaul’ atau ketua perayaan akan menjamu semangat dengan
jampi dan jamuan. Selepas itu, terdapat juga permainan pantai, pertunjukan seni
mempertahankan diri, tarian tradisional Melanau dan jamuan makan. Setelah matahari
terbenam, pesta disambung di rumah-rumah. Orang-orang akan mengunjungi sanak saudara
dan sahabat handai sebagai tanda muhibbah. ‘Sago’ adalah juadah yang istimewa dalam Kaul
ini. Ia adalah sagu yang dimasak dengan pelbagai cara sehingga membangkitkan
keenakannya. Orang Melanau memang terkenal sebagai penebang sagu yang mahir di
Sarawak. Walaupun Kaul Melanau ini tidak begitu popular di kalangan orang luar, tetapi
masyarakat Melanau merayakannya dengan begitu meriah, sehingga seminggu lamanya.
Permainan Tibow
Sejenis permainan tradisi masyarakat Melanau yang sangat popular. Dikenali sebagai Pisa'
Tibow dan dilangsungkan oleh masyarakat kampung sebagai simbol perpaduan dan bersuka ria
di samping menyambut ketibaan musim buah. Sebagai pemainan yang digemari ramai, waktu
inilah anak-anak muda berkaul - ia sebenarnya merupakan pesta untuk mencari jodoh.
Tibow lazimnya dimainkan di kawasan tanah lapang, belakang atau hujung kampung.
Biasanya, tapak untuk permainan tersebut haruslah lembut dan tidak mempunyai batu-batu
kerikil yang keras. Bahkan di sesetengah tempat, diletakkan pasir untuk mengelakkan para
pemain yang jatuh hayunan daripada mendapat sebarang kecederaan parah. Diadakan pada
musim buah, lazimnya pada awal tahun, tibow dimainkan bermula pada waktu petang, hingga
kadang-kadang sehingga larut malam. Pada zaman dahulu, penduduk akan bermain pada waktu
bulan mengambang, kerana pada waktu inilah suasana di sekitar tapak permainan tampak
terang. Dan dari segi keselamatan, ia akan memudahkan permainan tersebut.
Bermain tibow mengikut tradisi Melanau Mukah, tidaklah semudah seperti yang dilihat.
Terdapat beberapa pantang larang dan tradisi yang perlu diikuti untuk membolehkan si pemain
bermain dengan selamat. Bahkan untuk mendirikan peralatannya pun harus dengan tertib dan
istiadatnya sendiri. Ini termasuklah dengan menyediakan bubur kacang dan penglibatan tenaga
yang banyak.
Sebanyak dua tiang kayu yang masing-masingnya panjang melebihi 30 kaki diperlukan
untuk pembinaan tiang tibow ini, selain beberapa batang kayu
sederhana sebagai tangga rak. Rotan sega dan daun muda
pula digunakan untuk membentuk penghayun manakala set
canang dan gendang melela pula dipalu bagi memeriahkan
dan menambahkan gempar suasana. Semasa mengangkat
untuk mendirikan kedua-dua tiang itu, pantun dinyanyikan
beramai-ramai: Kat kerakat, Kerurieng udat, Tibow idei pada
'mekat' Pantun ini merupakan pemujaan kepada ipok tibow
atau dewa yang menguasai permainan tibow dan bertujuan
meminta pertolongan untuk memudahkan tugas-tugas
mendirikan tiang itu.
ADAT DAN PANTANG LARANG
Kelahiran
>> Sewaktu Mengandung
Tiada sebarang adat khusus yang diamalkan oleh wanita hamil di kalangan masyarakat
Melanau, namun begitu mereka juga terikat daripada mengamalkan pantang larang.
Kebanyakan larangan yang dikenakan banyak bergantung kepada faktor pemakanan
seperti tidak boleh memakan buah-buahan yang berbau kuat seperti durian atau ulam
seperti petai kerana badan akan menjadi busuk. Wanita hamil tersebut juga tidak boleh
makan pucuk-pucuk paku kerana susu badan akan menjadi masam. Haiwan buruan yang
dibunuh di dalam hutan tidak boleh diberikan kepada wanita hamil kerana diyakini anak
dalam kandungan akan melecur seluruh badan.
Larangan ini juga tidak terhad kepada wanita hamil tersebut sahaja, malah si suami
juga dikehendaki menjauhi beberapa perkara. Si suami tidak boleh memotong kayu yang
bertindan atau memakan ikan pari kerana dikhuatiri bibir anak akan menjadi sumbing. Si
suami juga tidak boleh mengecat kerana dikhuatiri anak di dalam kandungan akan diiringi
minyak. Sekiranya terdapat sebarang kematian, si suami tidak boleh melihat kerana anak di
dalam kandungan akan mendapat penyakit. Suami juga tidak boleh memotong akar temalet
kerana anak akan meninggal dunia tanpa sebab. Semasa mengandung juga wanita
tersebut tidak boleh ditakut-takutkan kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak dalam
kandungan cacat ataupun gugur.
>> Selepas Lahir
Apabila si ibu melahirkan anak, orang kampung dan saudara mara akan datang
melawat. Mereka lazimnya akan membawa hadiah bersama. Masyarakat Melanau juga
dilarang daripada memuji bayi yang baru dilahirkan. Sebaliknya mereka lebih senang jika
bayi itu dikatakan hodoh dan sebagainya. Selepas bersalin, ibu tersebut dikehendaki
mengeringkan badannya di puyan dan tidak boleh makan sembarangan. Sesiapa yang ingin
bermalam di dalam rumah tersebut hendaklah bermalam selama tiga hari. makanan dan
barang-barang di dalam rumah tidak boleh dipinjam atau dibawa keluar, jika tidak anak akan
jatuh sakit atau meninggal.
Dalam tempoh berpantang juga, si ayah tidak dibenarkan memegang anak itu selepas
balik dari hutan atau balik dari laut kerana bau laut dan hutan masih melekat di badannya
sehingga boleh menjejaskan kesihatan anak tersebut. Bagi bayi perempuan, semasa
kecilnya dahinya dipipihkan dengan sejenis alat iaitu jak. Ini bertujuan untuk mencantikkan
dahinya. Proses ini sudah menjadi identiti khas di kalangan masyarakat Melanau.
PERKAHWINAN
Perkahwinan dalam masyarakat Melanau mengandungi beberapa istiadat yang sangat
diambil berat kerana implikasi sosial yang terdapat padanya. Aspek pangkat dititikberatkan
dalam institusi perkahwinan berbanding dengan institusi yang lain. Masyarakat Melanau
juga begitu mementingkan status sosial mereka iaitu sembilan pikul, tujuh pikul, tujuh betirih
dan lima betirih. Jenis barangan dan hadiah yang perlu dibawa untuk tanda tunang dan
barang yang mengiringi mas kahwin seperti adat menuga, adat mebin dan pakan juga dikira
berdasarkan status sosial ini. Namun begitu, asas adat perkahwinan adalah sama seperti
masyarakat lain iaitu merisik, meminang dan majlis perkahwinan.
>> Merisik
Di kalangan masyarakat Melanau, perkahwinan antara pasangan daripada status sosial
yang sama dikenali dengan sama gara. Perkahwinan antara pasangan yang berlainan
status sosialnya dikenali sebagai sida adat. Wakil pihak lelaki mengunjungi rumah keluarga
perempuan untuk mengetahui lebih lanjut dan memastikan status sosial keluarga
perempuan dan untuk menentukan sama ada gadis itu sudah berpunya atau belum.
Sekiranya gadis itu belum berpunya, ditanyakan sama ada gadis itu boleh dipinang ataupun
tidak serta mas kahwinnya.
>> Meminang
Pada hari yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak keluarga lelaki dan
perempuan, maka diadakanlah adat tanda tunang, wakil keluarga lelaki, iaitu beberapa
orang lelaki dan perempuan yang telah berumur akan menyerahkan barang hantaran
peminangan iaitu sebentuk cincin emas, sebilah senjata, segantang padi, sebiji kelapa dan
satu pikul barang tembaga. Dengan penyerahan barang tersebut oleh wakil keluarga lelaki
dan diterima oleh wakil keluarga perempuan maka rasmilah pertunangan itu. Kedua-dua
pihak hendaklah mematuhi segala syarat yang telah dipersetujui bersama. Jika persetujuan
dilanggar, pertunangan boleh diputuskan. Sekiranya pihak perempuan yang
memutuskannya, barang tanda tunang mesti dikembalikan kepada pihak lelaki tetapi jika
pihak lelaki yang memutuskannya, tanda tunang itu menjadi milik pihak perempuan.
>> Majlis Perkahwinan
Majlis perkahwinan diadakan secara besar-besaran kecuali perkahwinan jenis
'peramas' iaitu perkahwinan kerana ditangkap basah. Persiapan untuk majlis ini
berlangsung beberapa hari lebih awal. Bakal pengantin lelaki dikehendaki menyerahkan
hadiah mas kahwin iaitu 'penyekab' dan 'berian' dan hadiah lain seperti 'adat menuga', 'adat
mebin' dan 'pakan' sehari sebelum majlis itu diadakan. Penyerahan ini disusul dengan acara
pernikahan. Pernikahan boleh juga diadakan pada pagi keesokannya iaitu pada hari
diadakan majlis perkahwinan. Kenduri perkahwinan diadakan di rumah kedua-dua belah
pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang dihadiri oleh sanak saudara, jiran
dan sahabat handai.
Kemuncak acara majlis ialah persandingan yang biasanya diadakan pada tengah hari.
Persandingan pertama diadakan di rumah pengantin lelaki dan ini diikuti dengan
persandingan kedua di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki dan perempuan yang
lengkap dengan pakaian tradisional bersanding di atas pelamin untuk disaksikan oleh para
jemputan. Pada hari yang ditetapkan, bakal pengantin perempuan bersama-sama
rombongan keluarganya pergi ke rumah pengantin lelaki. Ketibaan mereka disambut oleh
keluarga pengantin lelaki. Wakil keluarga pengantin lelaki akan menghadiahkan 'adat pahe'
kepada pengantin perempuan. Penyerahan hadiah ini sangat penting kerana selagi
pengantin perempuan belum menerima hadiah tersebut, dia dilarang memakan sebarang
makanan di rumah pengantin lelaki itu.
Selesai bersanding di rumah pengantin lelaki, diadakan pula persandingan di rumah
pengantin perempuan untuk menjalani 'adat petudui' iaitu penyerahan pelbagai barang,
antaranya termasuklah sebentuk cincin emas dan seutas gelang perak oleh pengantin lelaki
kepada pengantin perempuan. Semasa menjalani adat ini, kedua-dua pengantin dikenakan
pelbagai pantang larang, misalnya tidak boleh mandi di sungai dan tidak boleh tidur pada
waktu siang.
Pada sebelah malam, di rumah pengantin perempuan diadakan pula upacara makan
nasi temuan. Semasa jamuan berlangsung upacara suap-menyuap antara kedua-dua
pengantin itu dilakukan. Selepas itu, diadakan pula upacara 'begendang', iaitu tari-menari.
Hadirin dijemput untuk ikut serta tetapi pasangannya mestilah daripada kaum sejenis yakni
lelaki berpasangan sesama lelaki dan perempuan dengan perempuan. Mereka menari
hingga larut malam. Pada hari ketujuh, diadakan upacara membebaskan mereka daripada
pantang yang dikenakan. Upacara membuang pantang ini juga bertujuan untuk membuang
ke laut segala bala atau bencana yang mungkin mengancam pasangan suami isteri itu.
Upacara ini sebenarnya lebih merupakan upacara bersuka-ria dan mandi-manda beramai-
ramai di tepi pantai.
>> Bangsa Sembilan Pikul
Apabila hari perkahwinan akan dilangsungkan, mas kahwin diberikan. Terdapat dua
bahagian yang penting iaitu penyekab dan berian. Penyekab terdiri daripada sembilan amas
emas, sebilah pedang, sehelai persarakap betabor (sapu tangan berebang emas dengan
corak tertentu) dan sebuah tumo' (bekas diperbuat daripada kayu dalam bentuk tertentu).
Berian pula terdiri daripada barang-barang tembaga kuning sebanyak sembilan pikul (133
paun x 9) atau harta lain yang senilai dengan harga barangan tersebut.
Keperluan-keperluan lain ialah Adat Menuga sebanyak satu pikul barangan tembaga
kuning atau harta senilai sebagai syarat pengangkutan pengantin perempuan ke rumah
lelaki pada hari perkahwinan. Adat Mebin adalah satu pikul barangan tembaga sebagai
syarat untuk pengantin perempuan naik ke rumah pengantin lelaki apabila rombongan
sudah sampai di rumah itu. Pakan pula hanya berupa duit mengikut kehendak pihak
perempuan. Semua barangan hantaran akan disampaikan kepada pihak perempuan sehari
sebelum tarikh perkahwinan.
Pada keesokkan paginya pengantin perempuan akan berangkat ke rumah pengantin
lelaki. Pada masa yang sama, rumah pengantin lelaki akan dihias dengan menarik dan
kemudian pangkat pihak lelaki dipamerkan. Pada masa yang sama, sembilan helai bendera
akan dikibarkan, lima di hadapan rumah dan empat di sebelah jalan raya. Sebaik sahaja
rombongan pengantin perempuan sampai, seorang wakil lelaki akan menghadiahkan
sebuhuong pranakan siantan betabor (kain tenun berbenang emas dengan corak tertentu).
Kemudian pengantin perempuan akan berdiri di atas batu asah yang disediakan sambil
menyentuh kanan seni (tempayan). Wakil lelaki merenjis kedua-dua belah kakinya ke kiri.
Setelah itu barulah wakil tersebut memberi hadiah kepada pengantin perempuan sebagai
syarat Adat pahe'.
Terdapat tiga bentuk adat pahe' yang perlu disediakan oleh wakil pengantin lelaki iaitu
pahe' Mukad yang merangkumi satu amas emas, sepasang gelang perak (batuong) dan
sembilan biji manik (kehet). Pahe' Atap pula adalah terdiri daripada lima biji manik pasin.
Pahe' Id adalah lima biji manik tebalan dan Pahe' Keman adalah lima biji manik pingeh
yuong. Selepas itu upacara persandingan akan dilakukan di rumah pengantin lelaki.
Setelah beberapa lama pasangan pengantin akan pergi ke rumah pengantin
perempuan untuk melangsungkan adat pedudui yang berkaitan dengan acara malam
pertama sehingga hari ketiga. Antara barangan adat pedudui adalah seperti berikut:
- Satu amas emas
- Tujuh biji manik kehet
- Lima manik tilak
- Sepasang gelang perak
- Empat bilah lembing
- Dua belas belan
- Sehelai kain lugi
- Tiga ketul dammar
- Bagou tulei (bekas damar yang diperbuat daripada tembaga)
- Bulang anyaman
- Sebilah lembing untuk mengikis dammar
- Satu terusuong (seperti bentuk kon untuk ceduk air)
Barang-barang yang disediakan ini dimasukkan ke dalam bilik khas pengantin. Setelah itu
pasangan pengantin akan masuk ke dalam bilik. Pengantin lelaki memberi cincin emas
kepada pengantin perempuan. Kemudian pengantin lelaki memberi seutas gelang perak
yang diikat dengan manik-manik dalam kain hitam kepada isterinya lagi. Mengikut tradisi
masyarakat Melanau, pasangan pengantin yang baru berkahwin tidak dibolehkan keluar
dari rumah selama sehari. Tempoh ini dinamakan sebagai adat pedudui yang mensyaratkan
mereka tidak boleh mandi di sungai atau tidur pada waktu siang. Sungguhpun demikian
pasangan tersebut bebas melawat rumah kedua-dua ibu bapa mereka.
>> Bangsa Tujuh Pikul
Perkahwinan untuk golongan berpangkat bawah dari Sembilan Pikul hampir sama.
Cuma yang membezakan adalah dari segi jumlah mas kahwin sahaja. Penyekab terdiri
daripada tujuh amas emas, sebilah keris, sehelai persarakab, sapu tangan berbenang emas
dan sebuah tumo'. Berian pula terdiri daripada barangan tembaga kuning sebanyak tujuh
pikul atau pelbagai jenis barangan lain yang senilai.
Adat Menuga' adalah sebanyak sepikul barangan tembaga kuning atau wang tunai.
Pakan yang diberi dalam bentuk wang tunai mengikut jumlah yang ditetapkan oleh pihak
perempuan. Semasa pengantin perempuan menaiki rumah lelaki, dia diberi sebuhuong
pranakan bercura' (kain tenun berbenang emas dengan corak khas). Pahe' makad juga
akan dihadiahkan kepada pengantin perempuan dengan mengandungi satu amas emas,
tujuh biji manik kehet dan sepikul juga diberi bersama manik-manik dan diikat dalam kain
hitam. Dalam adat petudui katil akan disediakan empat bilah lembing. Kemudian, tiga ketul
damar disediakan bersama perkakas seperti bagou tulei, kila, sebilah mata lembing dan
terusung. Minyak kelapa akan dimasukkan ke dalam tembikar kecil. Selain itu pengantin
lelaki juga akan menghadiahkan isterinya dengan beberapa bentuk hadiah sebanyak satu
amas emas, lima biji manik tilak, sepasang gelang perak dan bibe' kuali.
>> Bangsa Tujuh Beritih
Bagi golongan Tujuh Beritih, adat pemberian mas kahwin adalah seperti sebentuk
cincin yang diletakkan dalam bekas anak selapak, segantang padi diletakkan di dalam
segamut yang tidak bertutup dan sebiji kelapa yang diletakan di dalam bukor dan ditudung.
Penyekab pula terdiri daripada lima amas emas, sebilah keris, sebuah sipir, pinggan
tembaga bergigi di sisi dan sehelai kain perasa. Berian pula terdiri daripada barang-barang
tembaga kuning sebanyak tiga pikul sembilan puluh kati atau harta yang lain senilai dengan
tembaga tersebut. Adat Menuga pula adalah sebanyak sepikul barang tembaga kuning atau
wang tunai yang sama nilai. Manakala pakan yang diberikan dalam bentuk wang tunai
bergantung pada pihak perempuan. Semasa pengantin perempuan menaiki rumah
pengantin lelaki, wakil pengantin lelaki akan diberi kain sebuhuong tanjing sarek. Pahe'
mukad yang mengandungi satu amas emas, lima biji manik tilak yang diikat bersama bibe'
kuali dan sepikul barang tembaga kuning (menuga).
Bagi adat petudui Tujuh Beritih, tiga ketul damar akan disediakan dengan bagou tulei,
kila' (sebilah mata lembing) dan terusung. Barang-barang lain pula digunakan kecuali
minyak kelapa yang diletakkan di dalam selepak sahaja. Adat lima beritih tidak wujud lagi di
kalangan yang berkedudukan paling rendah. Ini disebabkan golongan seperti ini tidak wujud
lagi dalam masyarakat Melanau.
>> Peraturan Dalam Perkahwinan
Oleh kerana perkahwinan merupakan satu institusi yang penting, terdapat beberapa
peraturan dalam kehidupan mereka yang perlu diikuti oleh kedua-dua pasangan pengantin
sama ada lelaki atau perempuan. Antara peraturan yang perlu diikuti oleh mereka ialah:
- Setelah menjadi pasangan suami isteri, suami tidak boleh menetak bumbung rumah
dengan parang kerana cara ini boleh menyebabkan hubungan renggang antara suami dan
isteri.
- Suami tidak boleh memerah kelapa yang sudah diparut kerana boleh menyebabkan perut
isteri sakit atau memulas.
- Pakaian yang dipakai semasa upacara perkahwinan tidak boleh dijahit walaupun koyak
kerana boleh menyebabkan penyakit di kalangan suami isteri.
- Isteri dilarang keras memarut rumbia atau menyeberangi sungai kerana akan jatuh sakit
sehingga boleh menyebabkan anak di dalam kandungan keguguran.
Umai adalah makanan yang dianggap penting dan popular bagi etnik Melanau di
Sarawak. Satu hidangan yang ringkas dengan variasi yang cukup mudah untuk
disediakan.
Untuk menyediakan Umai, cuma perlukan ikan terpilih yang masih segar kerana tidak
semua jenis ikan yang boleh dibuat Umai. Biasanya untuk menyediakan Umai, etnik
Melanau memilih ikan bawal hitam, ikan bawal putih, ikan terubuk, ikan pirang, ikan
yu atau udang. Umai sebenarnya adalah hirisan ikan mentah segar yang diperap
dengan jus limau kasturi, bawang merah, bawang besar dan chilli, garam dan sedikit
penambah perisa.
Secara tradisi untuk memberi rasa yang lebih ‘authentic’, etnik melanau menyediakan
Umai dengan langkah-langkah yang tersusun. Hirisan ikan mentah digaul atau diperap
dengan jus limau kasturi terlebih dahulu untuk menghilangkan bau ikan, dan proses ini
menyebabkan isi ikan tersebut kelihatan seolah sudah masak. Setelah itu barulah
dicampur dengan hirisan bawang merah, bawang besar dan chilli,. yang terakhir
tambah garam dan sedikit penstabil atau penambah rasa.
Umai boleh terus dimakan setelah selesai digaul dengan bahan-bahan tersebut.
Terserah kepada citarasa seseorang untuk menambah lebih pedas atau sebaliknya.
Terdapat juga variasi ‘Umai Jeb’ yang sangat digemari etnik Melanau. ‘Jeb’ dalam
bahasaMelanau Mukah bermaksud ‘cecah’. Ertinya, ‘Umai Jeb’ adalah ‘Umai Cecah’.
Umai Jeb disediakan dengan memisahkan hirisan ikan mentah dan sambal, cara makan
ialah dengan mencecah hirisan ikan mentah dengan sambal, sama seperti makan ulam.
Ikan yang digunakan etnik Melanau untuk membuat ‘Umai Jeb’ biasanya; bawal hitam,
bawal putih, terubuk atau ikan yu. Meskipun versi ini mungkin kurang popular bagi
masyarakat lain, tapi sangat digemari oleh etnik Melanau atau Cina dikawasan Mukah
dan Sibu.
Umai yang digaul bersama jus limau, bawang, chilli dan perasa.
Bagi etnik Melanau umai jarang dimakan bersama nasi,
sebaliknya dihidang bersama sagu seperti dalam gambar.
Food 1
Ini pula 'Umai Jeb' yang dicecah seperti makan ulam.
Untuk membuat sambal terserah pada selera anda,
tapi etnik Melanau biasanya mencampur bawang merah, bawang besar,
halia, chilli, limau kasturi, sedikit belacan dan kicap.
Food 2