Mengintegrasikan Pendidikan Alam Sekitar Dalam Pengajaran

3
Mengintegrasikan Pendidikan Alam Sekitar Dalam Pengajaran Ditulis oleh Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin. Posted in Berita Harian Pada hari ini didapati kemerosotan mutu alam sekitar semakin meruncing sehingga telah menimbulkan pelbagai isu yang berterusan seperti banjir kilat, tanah runtuh, pemusnahan hutan, pencemaran, kesan rumah hijau, penipisan lapisan ozon, hakisan dan juga kepupusan spesies. Permasalahan ini merupakan antara isu besar yang tidak pernah surut, sebaliknya saban hari kita menyaksikan berlakunya peningkatan terhadap isu-isu berkenaan. Mengapakah situasi sedemikian berlaku? Jika diamati, bukan tiada usaha yang dilaksanakan bagi membendung permasalahan ini. Malah, saban tahun begitu banyak program dan aktiviti kesedaran alam sekitar dilaksanakan. Namun demikian, ia dilihat seolah-olah kurang memberi impak kepada rata-rata kita. Buktinya, kita masih lagi melihat perbuatan segelintir daripada kita yang membuang sampah merata-rata tanpa sedikit pun rasa bersalah. Ini jelas memberi cerminan kepada kita bahawa kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar masih lagi berada pada tahap yang rendah. Justeru, usaha berterusan dan proaktif perlu dilakukan bagi mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Salah satu usaha yang boleh diterapkan ialah dengan mengintegrasikan pendidikan alam sekitar dalam pengajaran di sekolah baik di peringkat pra, rendah, menengah dan juga di institusi pengajian tinggi bagi melahirkan generasi yang terdidik dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap aspek pemeliharaan alam sekitar pada masa hadapan. Penerapan pendidikan alam sekitar dalam pengajaran merupakan wadah penting yang tidak seharusnya hanya dibebankan di bahu pendidik semata-mata. Sebaliknya perlaksanaannya perlu mendapat sokongan padu daripada semua pihak agar ia dapat dijayakan bagi meningkatkan kesedaran berhubung kualiti alam sekitar, di samping membantu generasi masa hadapan untuk mengawal kehidupan mereka dengan lebih baik dalam memastikan usaha memakmurkan alam dapat dilaksanakan dengan sewajarnya. Hal ini amat bertepatan dengan peranan manusia yang diciptakan oleh Allah SWT sebagai khalifah yang telah ditugaskan untuk mentadbir dan memakmurkan alam dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang telah disebut di dalam surah Hud, ayat

description

sc

Transcript of Mengintegrasikan Pendidikan Alam Sekitar Dalam Pengajaran

Mengintegrasikan Pendidikan Alam Sekitar Dalam PengajaranDitulis oleh Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin. Posted inBerita HarianPada hari ini didapati kemerosotan mutu alam sekitar semakin meruncing sehingga telah menimbulkan pelbagai isu yang berterusan seperti banjir kilat, tanah runtuh, pemusnahan hutan, pencemaran, kesan rumah hijau, penipisan lapisan ozon, hakisan dan juga kepupusan spesies.

Permasalahan ini merupakan antara isu besar yang tidak pernah surut, sebaliknya saban hari kita menyaksikan berlakunya peningkatan terhadap isu-isu berkenaan. Mengapakah situasi sedemikian berlaku?

Jika diamati, bukan tiada usaha yang dilaksanakan bagi membendung permasalahan ini. Malah, saban tahun begitu banyak program dan aktiviti kesedaran alam sekitar dilaksanakan. Namun demikian, ia dilihat seolah-olah kurang memberi impak kepada rata-rata kita. Buktinya, kita masih lagi melihat perbuatan segelintir daripada kita yang membuang sampah merata-rata tanpa sedikit pun rasa bersalah. Ini jelas memberi cerminan kepada kita bahawa kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar masih lagi berada pada tahap yang rendah.

Justeru, usaha berterusan dan proaktif perlu dilakukan bagi mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Salah satu usaha yang boleh diterapkan ialah dengan mengintegrasikan pendidikan alam sekitar dalam pengajaran di sekolah baik di peringkat pra, rendah, menengah dan juga di institusi pengajian tinggi bagi melahirkan generasi yang terdidik dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap aspek pemeliharaan alam sekitar pada masa hadapan.

Penerapan pendidikan alam sekitar dalam pengajaran merupakan wadah penting yang tidak seharusnya hanya dibebankan di bahu pendidik semata-mata. Sebaliknya perlaksanaannya perlu mendapat sokongan padu daripada semua pihak agar ia dapat dijayakan bagi meningkatkan kesedaran berhubung kualiti alam sekitar, di samping membantu generasi masa hadapan untuk mengawal kehidupan mereka dengan lebih baik dalam memastikan usaha memakmurkan alam dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.

Hal ini amat bertepatan dengan peranan manusia yang diciptakan oleh Allah SWT sebagai khalifah yang telah ditugaskan untuk mentadbir dan memakmurkan alam dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang telah disebut di dalam surah Hud, ayat 61 yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya". Justeru, dalam konteks pendidikan alam sekitar, ia dilihat sebagai sebahagian daripada usaha ke arah melunaskan tanggungjawab dan amanah berkenaan dalam usaha memastikan keharmonian alam terus dapat dipertahankan.

Oleh yang demikian, penglibatan semua pihak adalah penting dalam memastikan matlamat perlaksanaan pendidikan alam sekitar dapat direalisasikan dengan jayanya bagi membentuk sebuah kerangka masyarakat yang bukan sahaja lebih peka dan prihatin terhadap isu-isu alam sekitar sejagat, tetapi juga dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan alam sekitar dan berkemahiran tinggi untuk bertindak secara individu atau bersama dalam menyelesaikan isu-isu semasa berkaitan alam sekitar. Malahan, dengan pengetahuan dan kemahiran yang ada ia secara tidak langsung turut juga dapat meningkatkan komitmen masyarakat terhadap permasalahan alam sekitar yang timbul.

Dalam mengintegrasikan pendidikan alam sekitar, ia tidak hanya terhad dalam proses pengajaran dan pembelajaran sahaja. Sebaliknya ia perlu diperluaskan lagi sebagai suatu bidang pendidikan yang bersifat merentasi kurikulum dan kokurikulum. Ini adalah bagi memastikan pendidikan alam sekitar lebih berkesan kepada para pelajar dan dapat disepadukan dengan mata pelajaran lain (seperti Sains, Matematik, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni, Kemahiran Hidup, Pendidikan Moral dan sebagainya) di dalam kelas dan juga aktiviti-aktiviti luar kelas yang lain.

Dengan usaha penyepaduan pendidikan alam sekitar dan aktiviti kokurikulum, ia dapat menjadi tanda aras sejauh mana pendidikan alam sekitar yang diterapkan di dalam bilik darjah difahami dan diaplikasikan oleh para pelajar. Malah melalui aktiviti kokurikulum juga dapat dijadikan garis panduan untuk para pendidik menilai keberkesanan penyepaduan pendidikan alam sekitar dengan subjek-subjek lain yang diajar di dalam kelas berdasarkan pengamatan terhadap para pelajar dalam menggunakan pengetahuan dan kemahiran tentang alam sekitar semasa aktiviti luar kelas dijalankan.

Proses penyepaduan unsur pendidikan alam sekitar dalam kedua-dua kurikulum dan kokurikulum perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran yang penting. Ini kerana, proses pembelajaran secara teori yang disusuli dengan pembelajaran secara praktikal (iaitu memberi peluang dan pendedahan kepada para pelajar untuk merasai sendiri pengalaman berinteraksi dengan alam sekitar serta melihat segala permasalahan alam sekitar yang berlaku) adalah lebih berkesan dan bermakna dalam memastikan kesedaran yang lahir adalah betul-betul terkesan kepada jiwa mereka.

Kesedaran seumpama inilah yang hendak kita jelmakan agar generasi akan datang tidak mudah goyah dan terpengaruh dengan godaan materialistik sehingga sanggup mengorbankan kepentingan alam sekitar. Pada masa yang sama, pelajar yang diberi pendedahan secara langsung terhadap senario semasa alam sekitar akan lebih memahami segala kemelut alam sekitar yang berlaku di sekeliling mereka. Ini sekali gus dapat menjadi pendorong kepada para pelajar untuk bergiat secara lebih proaktif dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.

Dalam konteks ini, ruang dan peluang yang wujud dalam kokurikulum seharusnya digunakan dengan sebaik mungkin oleh golongan pendidik bagi mempelbagaikan strategi ke arah pembelajaran dan pengajaran yang lebih berkesan sebagai salah satu pendekatan yang bijak dalam usaha mempromosikan pendidikan alam sekitar dalam kancah pendidikan semasa pada hari ini. Aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan seperti kerja lapangan, perkhemahan, trekking dan kempen alam sekitar semasa aktiviti kokurikulum adalah disarankan agar proses pembelajaran tidak membosankan dan mudah diterima oleh para pelajar.

Kejayaan pengintegrasian unsur pendidikan alam sekitar dalam kurikulum dan kokurikulum sekolah adalah bergantung kepada komitmen yang diberikan oleh golongan pendidik sebagai pelaksana dan juga semua pihak yang terlibat baik secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha ini. Malah, matlamat pendidikan alam sekitar untuk melahirkan individu yang berkeperibadian tinggi serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar pastinya dapat dicapai dengan jayanya jika semua pihak khususnya pihak-pihak berwajib mengambil tanggungjawab dan peranan masing-masing untuk memberi pendidikan alam sekitar dengan lebih serius tanpa rasa dibebani dengan tanggungjawab berkenaan.