Kebebasan Akademik memacu Malaysia sebagai Hub Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi
MODEL INTEGRASI WAKAF PENDIDIKAN INSTITUSI PENGAJIAN...
Transcript of MODEL INTEGRASI WAKAF PENDIDIKAN INSTITUSI PENGAJIAN...
MODEL INTEGRASI WAKAF PENDIDIKAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DI
MALAYSIA1
Roslina Hashim, Norizan Samri, Rahisam Ramli & Mohd Izzudin Mohd Noor
Akademi Pengajian Islam
Kolej Universiti Islam Melaka [email protected], [email protected], [email protected], [email protected]
Mohd Sabree Nasri Fakulti Undang – undang, Governan dan Hubungan Antarabangsa
Kolej Universiti Islam Melaka
ABSTRAK
Wakaf pendidikan di Malaysia telah melalui fasa perkembangan dari semasa ke semasa. Bermula
dengan penubuhan sekolah-sekolah pondok, madrasah dan sekolah agama rakyat, kini terdapat
beberapa buah institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta telah memperkenalkan wakaf pendidikan di institusi masing- masing. Wakaf pendidikan merupakan sesuatu dana dalam bentuk
kewangan dan bukan kewangan yang digunakan oleh institusi pengajian untuk tujuan pembangunan
pendidikan. Peningkatan kemajuan dan pembangunan negara secara tidak langsung telah
meningkatkan kos pendidikan. Oleh yang demikian wakaf dilihat sebagai satu instrumen yang dapat membantu IPT dalam menjana pendapatan dan manfaat yang boleh digunakan untuk pembangunan
dan pengembangan pendidikan masa kini Kertas kerja ini bertujuan untuk menganalisis model
pembangunan wakaf pendidikan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang terpilih dengan menumpukan kepada aspek kutipan dana wakaf, pembangunan projek serta penjanaan pulangan
harta wakaf. Kajian ini juga mencadangkan model integrasi wakaf pendidikan tinggi yang dijangka
berupaya mengurangkan beban kos pembiayaan pengajian. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif dengan kaedah analisis kandungan artikel jurnal, kertas persidangan, penyelidikan dan
dokumen yang berkaitan. Hasil kajian mendapati terdapat perbezaan dalam model wakaf pendidikan
yang dibangunkan oleh IPT di Malaysia. Implikasi penting kajian ini mencadangkan model integrasi
wakaf pendidikan yang lebih dinamik untuk pembangunan wakaf IPT.
Katakunci: Wakaf pendidikan, model integrasi wakaf, dana wakaf IPT
1 Kertas Kerja ini dibentangkan di Kolokium Penyelidikan Kebangsaan “Memartabatkan Penyelidikan ke Arah
Kesejahteraan Masyarakat 2018 pada 18 Januari 2018 bertempat di Auditorium Ibn Khaldun Kolej Universiti
Islam Melaka.
1.0 PENGENALAN
Islam amat menggalakkan umatnya untuk saling bantu membantu antara satu sama lain, di mana harta
kurniaan Allah S.W.T yang dimiliki digunakan kembali untuk membantu masyarakat yang
memerlukan. Selain dapat menjaga kepentingan sosioekonomi, dengan berwakaf seseorang individu dapat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan mendapat ganjaran pahala yang berterusan selagi
mana harta yang diwakafkan dapat memberikan manfaat.
Wakaf dari sudut istilah boleh ditakrifkan sebagai menahan harta yang bermanfaat, serta kekal fizikalnya untuk diberikan pada jalan kebaikan. Di samping itu wakaf berasal dari perkataan
Arab waqf, iaitu nama terbitan (masdar) dari kata kerja wakafa yang membawa pelbagai maksud,
antaranya ialah berhenti (السكن) ), menegah ( المنع ) dan menahan( الحبس). Amalan wakaf telah menjadi satu tradisi kepada para pemerintah dan hartawan-hartawan
muslimin di abad pertengahan Islam yang dilakukan secara meluas khususnya di negara-negara Arab
dan Asia Tengah. Islam mengambil pendekatan bahawa pembangunan ekonomi perlu disertai oleh
setiap ahli masyarakat. Ia tidak terhad kepada sektor awam semata – mata, malah sektor swasta serta individu perseorangan atau institusi yang berkemampuan juga boleh berganding bahu dalam
menyumbangkan untuk pembangunan dana wakaf. (Sharifah Nurulhuda, 2015).
Pelaksanaan wakaf pendidikan di Malaysia telah melalui fasa perkembangan di mana bermula dengan penubuhan sekolah pondok, ma’ahad tahfiz, sekolah agama rakyat dan kemudiannya kini
wakaf pendidikan tinggi telah mula berkembang di Malaysia selaras dengan hasrat kerajaan Malaysia
yang ingin mengurangkan kebergantungan pendidikan dengan menggunakan dana kerajaan. Terdapat beberapa buah institusi pendidikan tinggi awam dan swasta telah menubuhkan unit wakaf di institusi
pendidikan mereka. Wakaf merupakan salah satu cara yang dapat membantu institusi pengajian tinggi
(IPT) dalam menjana pendapatan dan manfaat yang boleh digunakan bagi tujuan peningkatan dan
kemajuan pendidikan Negara (Siti Zakiah Ali,2014). Dalam konteks pendidikan, amalan wakaf dapat memenuhi keperluan institusi untuk
membiayai pembinaan bangunan akademik, menambah baik infrastruktur dan fasiliti, membiayai kos
operasi, memberikan biasiswa kepada pelajar dan sebagainya. Walau bagaimanapun terdapat cabaran-cabaran yang dihadapi oleh IPT dan ianya menjadi satu halangan untuk menjadikan wakaf sebagai
instrumen penting dalam pembangunan sesebuah institusi. Kajian oleh Nur Yuhanis et.al (2015)
menyatakan kekangan dari aspek kewangan menjadi cabaran utama untuk membangunkan
kemudahan atau infrastruktur sesebuah institusi dengan menggunakan dana wakaf sedia ada yang telah disumbangkan.
Oleh yang demikian kajian ini dilaksanakan bagi mengenal pasti model pembangunan wakaf
pendidikan sedia ada yang telah dilaksanakan oleh IPT masa kini dan mencadangkan model integrasi wakaf pendidikan yang lebih dinamik untuk pembangunan wakaf IPT.
2.0 SOROTAN LITERATUR
Kajian awal yang mendapati wakaf berperanan dalam pembangunan sektor pendidikan telah
dilakukan oleh Murat Cizakca (1998) dan Monzer Kahf (1998). Kedua-duanya bersetuju dari aspek
sejarah dana wakaf terbukti menjadi instrumen penting bagi tiga perkara iaitu sebagai pembiayaan negara, mengurangkan perbelanjaan yang ditanggung oleh kerajaan dan menghapuskan amalan
riba.(Nur Yuhanis et al.,2015)
Institusi pendidikan wakaf merupakan institusi pendidikan yang ditubuhkan atau dibina dengan menggunakan harta yang telah diwakafkan oleh umat Islam. Pendidikan pula merupakan satu
proses aktiviti berterusan yang mengandungi unsur-unsur pengajaran, latihan, bimbingan, pimpinan
dengan tumpuan khas kepada pemindahan berjenis ilmu, nilai agama dan budaya serta kemahiran yang berguna yang dibukukan oleh satu generasi kepada generasi yang lain atau oleh seorang individu
kepada individu yang memerlukan pendidikan (Ahmad Zaki et al., 2008).
Selain itu, terdapat juga kajian yang menekankan bahawa pembiayaan pendidikan melalui
instrumen wakaf dapat membantu mengurangkan masalah keciciran sekolah dan ketinggalan di kalangan kanak-kanak Islam-Melayu yang disebabkan oleh kemiskinan. Kajian yang sama juga
menjelaskan empat faktor yang menentukan kejayaan pelaksanaan wakaf untuk pendidikan iaitu
kesedaran masyarakat, keadaan demografi, iaitu penduduk Islam yang tinggi, ekonomi Islam yang stabil dan tadbir urus yang profesional dan cekap (Wan Kamal Mujani et al., 2014).
2.1 Perkembangan Wakaf Pendidikan di Malaysia
Perkembangan amalan wakaf dalam pendidikan dalam kalangan umat Islam di Malaysia telah
bermula semenjak kedatangan Islam ke Alam Melayu dan boleh dianggap sebagai satu tradisi yang
positif yang perlu dikembangkan. Amalan Wakaf pendidikan terdapat dalam pelbagai bentuk dan sifat harta yang telah diwakafkan oleh pewakaf. Antaranya ialah wakaf asrama pelajar, wakaf biasiswa,
wakaf saraan, wakaf bangunan dan wakaf alat pembelajaran seperti buku, meja dan lain-lain. Institusi
pondok merupakan antara wakaf pendidikan yang terawal di Tanah Melayu diwakafkan oleh para ulama yang kebanyakannya tamat pengajian agama di Mekah. Bentuk pengajian pondok ini begitu
popular di kalangan masyarakat Islam terutamanya di akhir abad ke 19 M dan awal abad 20 M.
Negeri-negeri yang terkenal dengan pengajian pondok ini seperti Pattani, Kelantan, Terengganu,
Kedah, Perak, Seberang Prai dan lain-lain. (Mohd Syakir et al., 2017). Selain itu, menurut kajian Mohd Syakir et el. (2017) juga menunjukkan bahawa madrasah
yang terawal didirikan di atas tanah wakaf ialah Madrasah al-Attas, Pekan, Pahang atau sekarang
dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama al-Attas, Pekan, Pahang. Madrasah pertama telah didirikan di atas tanah yang telah diwakafkan oleh al-Habib Hassan al-Attas. Bagaimanapun ada juga
yang berpendapat bahawa Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam, Seberang Prai, Pulau Pinang yang
diasaskan oleh Tuan Guru Hj Salleh al-Masri merupakan Institusi pendidikan wakaf terawal di Tanah Melayu ketika itu. Setelah itu diikuti pula dengan penubuhan Madrasah al-Iqbal di Singapura pada
tahun 1907. Dengan wujudnya pengajian berbentuk madrasah memudahkan pelajar lulusannya untuk
menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi terutamanya ke universiti di Timur Tengah
khususnya ke Universiti al-Azhar. Kemudian telah lahir beberapa buah sekolah dan madrasah yang telah didirikan atas dana dan sistem wakaf.
Kini wakaf pendidikan di Malaysia semakin berkembang dari semasa ke semasa. Kebanyakan
institusi pengajian tinggi (IPT) telah diberi peluang untuk menjana pendapatan bagi membiayai kos perbelanjaan pengurusan dan pendidikan di institusi pengajian tingi masing-masing. Wakaf
pendidikan tidak lagi semata-mata berkisar kepada penyediaan pusat pendidikan pondok, madrasah,
sumbangan buku atas nama sistem pendidikan tradisional, malahan ia turut melibatkan institut
pengajian tinggi awam dan swasta. Antaranya IPT yang telah melaksanakan wakaf di institusinya ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan yang terbaru adalah
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Dana wakaf ini secara umumnya bertujuan untuk menerima aset,wang tunai, saham dan aset-aset kewangan dalam negara dan luar negara yang akan digunakan
untuk membiayai biasiswa, pinjaman dan urusan pengembangan dana seperti aktiviti pelaburan.
(Najibah & Mohd Zamro, 2014) Ahmad Shaifful Anuar Ahmad Shukor (2015) turut berpendapat bahawa perkembangan IPT
Malaysia yang telah melaksanakan wakaf pendidikan tinggi semakin menggalakkan. Ini adalah kerana
instrumen wakaf pendidikan tinggi sangat berpotensi memainkan peranan bagi melestarikan IPT
Malaysia di samping membantu universiti dalam mengatasi kos kewangan untuk melaksanakan aktiviti pelajar serta pembangunan IPT yang semakin meningkat. Wakaf pendidikan tinggi ini juga
bukan sahaja membantu pembangunan pendidikan pelajar bahkan membantu IPT daripada segi
merangka dasar serta strategi yang mantap agar lebih berdaya saing dan kompetitif kerana adanya faktor kewangan yang kukuh.
Melihat kepada potensi wakaf dalam pendidikan, terdapat tiga universiti swasta yang telah
melaksanakan wakaf di institusi pengajian mereka iaitu Universiti Islam Malaysia (UIM), University College Bestari (UCB) dan Universiti Antarabangsa Al-Bukhari (AiU) (Rohayati Hussin et al., 2016).
Menurut Mohd Ali (2016), UCB yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia
(PEYATIM) di Kuala Terengganu memperkenalkan skim wakaf untuk pembiayaan pendidikan dan
pembangunan institusinya. Universiti Antarabangsa AlBukhari (AiU) di Kedah pula adalah contoh institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia yang dibiayai oleh dana wakaf sepenuhnya.
Di samping itu, terdapat juga IPT yang memperkenalkan skim endowment bagi membiayai
pendidikan tinggi. Antaranya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkenalkan Tabung
Endowment UTM (TEUTM) pada tahun 2009 sebagai usaha untuk menjana pendapatan sendiri. Selain itu Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkenalkan Tabung Amanah Biasiswa dengan
objektif untuk memberi bantuan biasiswa kepada mahasiswa yang kurang berkemampuan melalui
dana sumbangan warga UMS sendiri. Manakala Seksyen Endowment UMS adalah jabatan yang
dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dana ini. Universiti Malaysia Pahang (UMP) pula menubuhkan Tabung Amanah Endowment sebagai inisiatif untuk memudahkan warga universiti dan
orang ramai menyumbang kepada pembangunan pendidikan secara umumnya. Antara lain tujuan
pengenalan tabung ini ialah untuk memberi biasiswa kepada pelajar memerlukan secara tajaan penuh atau sebahagian mengikut kelayakan dan keperluan pelajar. (Mohd Ali Muhamad Don 2016)
3.0 METODOLOGI KAJIAN
Matlamat utama kajian ini adalah untuk menganalisis model pembangunan wakaf pendidikan
institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang terpilih dengan menumpukan kepada aspek kutipan
dana wakaf, pembangunan projek serta penjanaan pulangan harta wakaf. Di samping itu, kajian ini diperluaskan lagi dengan mereka bentuk satu model integrasi wakaf pendidikan tinggi yang boleh
dibangunkan dan dilaksanakan oleh IPT.
Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif. Pengumpulan data kajian ini menggunakan metod kajian perpustakaan. Kajian perpustakaan adalah berbentuk pengumpulan bagi mendapatkan
maklumat daripada jurnal, dokumen-dokumen berautoriti, buku-buku berkaitan wakaf, laporan
penyelidikan, laporan-laporan rasmi yang berkaitan serta penulisan-penulisan kontemporari berkaitan dengan wakaf bagi membantu penyelidikan kajian ini. Di samping itu, bagi membentuk landasan
konsep dan teori bagi kajian ini, maka rujukan dibuat terhadap bahan-bahan semasa yang terdapat
dalam perpustakaan sama ada secara manual mahupun secara dalam talian dalam tajuk yang
berkaitan.
4.0 MODEL WAKAF PENDIDIKAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) DI
MALAYSIA
Terdapat beberapa model wakaf pendidikan yang dilaksanakan di peringkat institusi pengajian tinggi.
Dalam kajian ini hanya membincangkan beberapa model wakaf terpilih iaitu tiga 3 buah universiti
awam (UA) dan 3 buah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
i) Endownment Fund Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan antara IPT yang terawal
menubuhkan dana wakaf. International Islamic University Malaysia (IIUM) Endownment Fund
merupakan sebuah badan atau jabatan yang ditubuhkan oleh UIAM secara rasmi pada tahun 1999 oleh rektor universiti yang kedua iaitu Prof. Datuk Dr. Abdul Hamid Abu
Sulaiman.(Maffuza & Noor Syahida, 2014).
Hasil kajian yang telah dilakukan oleh Siti Zakiah Ali & Hairunnizam Wahid (2014)
mendapati UIAM membuat kutipan dana wakaf secara menyeluruh merangkumi kakitangan, pelajar, alumni, badan korporat dan sumber sumbangan dari dalam dan luar Negara. Dapatan
ini dapat disokong melalui kajian oleh Maffuza & Noor Syahida (2014) yang menyatakan
pertubuhan ada menerima bantuan kewangan dari organisasi-organisasi atau pun individu-individu terutama dari kakitangan universiti yang memberi sumbangan atas nama pemberian
zakat (sama ada zakat harta simpanan atau pun perniagaan). Terdapat juga individu atau
organisasi yang memberikan sumbangan atau nama sedekah kepada pihak pertubuhan. Bagi dana yang diterima atas nama sedekah, pertubuhan akan membuat pelaburan dari dana tersebut
untuk mengembangkan sumber pendapatan yang ada. Secara tidak langsung, akan memberi
penambahan sumber dana yang sedia ada. Antara organisasi yang memberikan bantuan adalah
seperti bank, yayasan, dan syarikat swasta. Selain itu, kajian yang dibuat oleh Mohd Ali Muhamad Don (2016) yang bertajuk
“Peranan Wakaf Untuk Pembangunan Pendidikan Tinggi; Sejarah Silam Dan Pelaksanaan Di
Malaysia” turut membincangkan berkaitan model wakaf yang dilaksanakan oleh UIAM. Hasil
kajian mendapati IIUM Endownment Fund bermula dengan dana Kerajaan Malaysia berjumlah
RM3.5 juta selain dana wakaf sumbangan individu, tokoh korporat, hartawan daripada dalam
dan luar negara. Selain itu, bekas rektornya Dato Dr Abdul Hamid Sulayman telah mewakafkan
keseluruhan gratuiti persaraan berjumlah RM400,000, manakala Tan Sri Kamal Hassan pula telah mewakafkan sebidang tanah miliknya di Gombak, Selangor. Setiap tahun UIAM melalui
International Islamic University Waqf Fund (IEF) berjaya membantu seramai 4000 pelajar
dengan biasiswa hasil penjanaan dana wakaf terkumpul. Daripada dana yang dikumpulkan, satu projek wakaf telah dilaksanakan iaitu Kompleks
Azman Hashim yang terletak dalam kampus UIAM Gombak yang mana telah berjaya
memperuntukkan RM500,000 dalam bentuk biasiswa kepada pelajar UIAM yang terpilih.
Peruntukan tersebut diperoleh menerusi pulangan sewaan dari kompleks terbabit yang dinamakan Dana Hartanah Endowment Kekal UIAM. Program ini merangkumi yuran
pengajian, yuran asrama, buku dan elaun bulanan tambahan sebanyak RM600 setiap bulan.
Malah, pakej biasiswa itu juga termasuk sebuah komputer bimbit bernilai RM2,500.(Nur Yuhanis et al., 2015)
ii) Dana Wakaf Ilmu Universiti Putra Malaysia(UPM)
Wakaf Ilmu UPM adalah satu cara berinfaq dan berwakaf melalui wang tunai dengan
menafkahkan ke dalam Dana Wakaf Ilmu UPM sebagai pemegang amanah dan dengan niat
mewakafkan selama-lamanya kerana Allah S.W.T. demi kepentingan dan kemajuan ilmu. Dalam konteks universiti, dana wakaf ilmu UPM bermaksud inisiatif program penjanaan dana
di UPM yang menggunkan kaedah wakaf melalui sumbangan individu, sumbangan korporat,
koperasi dan badan bukan kerajaan, pulangan dari hartanah wakaf, hasil projek sektor pertanian dan perladangan, hasil projek sektor perindustrian dan pulangan portfolio pasaran wang dan
modal bertujuan untuk mewujudkan suatu infrastruktur jangka panjang yang lestari bagi
memenuhi sebahagian keperluan dan pembiayaan aktiviti akademik melibatkan Warga UPM. Di samping itu, kajian yang dilakukan oleh Siti Umairah & Siti Mashitoh (2016)
mengenal pasti pelbagai kaedah kutipan wakaf di DWI UPM di antaranya adalah seperti
pengumpulan dana melalui organisasi seperti syarikat-syarikat, hasil mudarabah, intensif
penerbitan, jurnal dalaman, e-claims, cimb clicks, peti derma statik, skim potongan gaji dan kaunter.
Manfaat wakaf yang diperolehi disalurkan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran,
aktiviti dakwah dan pengimarahan, penyelidikan dan inovasi serta khidmat komuniti yang menjadi aktiviti teras universiti. Sehingga kini pengurusan Dana Wakaf Ilmu UPM telah
mengagihkan RM50,000 kepada pelajar tahun akhir yang menyiapkan Latihan Ilmiah dan
RM60,000 untuk naskhah al-Quran dan kitab yang diletakkan di surau kampus dan surau
berhampiran.(Mohd Ali Muhamad Don 2016) Kajian oleh Siti Zakiah Ali & Hairunnizam Wahid (2014) mendapati dari aspek
perancangan projek dan penjanaan pulangan harta wakaf UPM telah mula mengorak langkah
tersebut dengan beberapa pelaksanaan projek wakaf contohnya projek membangunkan kompleks komersial dan tempat letak kereta di Hospital Serdang. Selain itu hasil kajian yang
sama juga telah mendapati UPM telah memperoleh hasil manfaat dari deposit simpanan
menggunakan kontrak mudharabah sebanyak RM200,000.00 setahun dan perolehan tersebut digunakan untuk memberikan pembiayaan kepada pelajar yang memerlukan. Menurut Siti
Umairah & Siti Mashitoh (2016) pula dalam menjana pendapatan yang berterusan, DWI UPM
telah merangka satu projek bangunan komersial di mana bangunan sedia ada di UPM misalnya
Kompleks Muhammad Rashid telah dibaik pulih dan beberapa premis perniagaan diwujudkan untuk disewakan sebagai menjana pendapatan bulanan kepada Dana Wakaf Ilmu.
iii) Dana Wakaf Ilmu Universiti Kebangsaan Malaysia (DWIUKM)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor
(PWS), sebuah agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang
merupakan mutawalli tunggal di Negeri Selangor telah mewujudkan program Dana Wakaf Ilmu UKM (DWIUKM) bagi membolehkan para pewakif yang budiman berwakaf kepada UKM.
DWIUKM diwujudkan selari dengan hasrat universiti bagi mewujudkan satu bentuk
infrastruktur kewangan yang lestari bagi membantu menjaga kebajikan pelajar UKM khususnya
serta keseluruhan warga UKM secara amnya. Selain daripada objektif utama ini, DWIUKM juga akan berfungsi bagi merancakkan lagi program-program akademik, penyelidikan, jaringan
industri dan mobiliti pelajar di UKM.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Mohd Ali Muhamad Don (2016), UKM menyediakan program penjanaan Dana Waqaf dan Infaq UKM sebagai aktiviti penjanaan dana
pendidikan di universiti. Ia bagi memudahkan warga dan alumni UKM serta masyarakat
menyumbang kepada UKM melalui konsep waqaf dan infaq. Terdapat 3 skim yang disediakan iaitu; Skim Hadiah dan Derma UKM, Skim Waqaf Tunai UKM dan Skim Waqaf Takaful
UKM . Matlamat pengenalan program wakaf ini adalah untuk memobilisasikan sumbangan
dana waqaf dan infaq, menjana pendapatan universiti, mengagihkan pendapatan dari harta
wakaf dan infaq kepada yang berkelayakan di samping meningkatkan kesedaran warga dan alumni UKM dan masyarakat umumnya tentang kelebihan menginfakkan harta fisabilillah.
Manfaatnya diagihkan untuk Skim Pendidikan dan Kebajikan Pelajar, Skim Pembangunan
Pelajar, Skim Pembangunan Akademik dan Penyelidikan dan Skim Jaringan UKM Industri dan Masyarakat. Walau bagaimanapun sehingga kini manfaat wakaf terkumpul belum dapat
diagihkan kerana masih sedikit dan tidak mencukupi.
Di samping itu, Siti Zakiah Ali & Hairunnizam Wahid (2014) mendapati aktiviti kutipan dana wakaf UKM adalah tidak menyeluruh kerana sumber kutipan hanya menumpukan kepada
sumber dalaman sahaja iaitu dana wakaf daripada warga serta kakitangan UKM dan tiada
kutipan dari luar negara mahupun dari badan-badan korporat. Manakala dari sudut perolehan
pula, sehingga tahun 2014 UKM masih belum memperoleh sebarang perolehan
manfaatnya.
iv) Tabung Wakaf Universiti Islam Malaysia (TWUIM)
Latiff et al., (2013) dalam kajiannya menjelaskan terdapat sebuah universiti yang berasaskan
institusi wakaf pendidikan iaitu Universiti Islam Malaysia (UIM). Penubuhan UIM ini
mendapat persetujuan dan galakkan daripada pentadbiran kerajaan dan dinaungi di bawah
Majlis Raja-Raja Melayu. Di samping itu, menurutnya penubuhan UIM telah memberi transformasi dalam institusi wakaf pendidikan di Malaysia dan bertindak sebagai platform bagi
pembangunan institusi pendidikan pengajian tinggi di Malaysia dan di serantau dunia.
Penubuhan UIM diasaskan daripada Kolej Islam Malaysia yang berteraskan kepada dana dan harta wakaf sebagai menyambung tradisi yang diamalkan sejak ia diperkenalkan pada
1955. UIM merupakan universiti pertama di Malaysia dizahirkan dengan perkenan Majlis Raja-
Raja Melayu. UIM telah menerima dana wakaf berjumlah RM5.18 juta daripada tujuh pihak
yang terdiri daripada syarikat, pertubuhan dan individu. Permodalan Nasional Bhd (PNB) menyumbang RM5 juta, Shahpadu Corp Sdn Bhd menyumbang RM100,000, Datuk Dr Haron
Din mewakili bekas pelajar Kolej Islam Malaya (KIM) menyumbang RM30,675, waris dan
warga KIM Petaling Jaya menyumbang RM17,000, alumni Kolej Islam (Alkis) yang diwakili Datuk Sallehuddin Ishak menyumbang RM11,000, Persatuan Bekas Pelajar KIM dan bekas
ketua pelajar Kolej Islam Klang tahun 1975. (Roslina Hashim et.al, 2015)
Di samping penubuhan UIM sendiri adalah berteraskan kepada wakaf, UIM telah mengambil langkah untuk menubuhkan Tabung Wakaf Universiti Islam Malaysia (TWUIM )
pada 7 April 2016 dan ianya telah dilancarkan oleh YBhg. Tan Sri Prof. Dr. Mohd Yusof Noor,
Presiden UIM. Dana Wakaf UIM adalah satu skim amanah yang mengutip apa-apa sumbangan
dalam bentuk wakaf tunai satu pendapatan dana (kekal) secara lebih telus, yang akan diuruskan oleh universiti dalam projek-projek seperti menambah dan membangunkan harta tak alih seperti
hartanah dan bangunan, serta dalam skim pelaburan faedah. Dimana hasil atau pulangan akan
digunakan untuk memberi manfaat kepada UIM. Pada masa ini UIM telah menerima sumbangan dari kakitangan, pegawai pengurusan, ahli akademik dan orang awam melalui skim
potongan gaji dan wang tunai. Dana wakaf UIM bertujuan untuk memberikan manfaat kepada UIM dalam bentuk akademik, penyelidikan, projek khas dan perpustakaan. Selain itu untuk
menampung keperluan operasi, keperluan kampus tetap, menampung aktiviti alumni &
masyarakat seterusnya untuk acara dan penjenamaan.
Siti Umairah & Siti Mashitoh (2016) juga telah meneliti pelaksanaan wakaf di UIM dalam kajiannya. UIM mempunyai harta wakaf sedia ada semenjak tahun 1955 lagi iaitu ketika
UIM menggunakan nama Kolej Islam Malaya (KIM). Harta-harta wakafnya terdiri daripada
harta alih dan tidak alih. Kajian yang dilakukan menjelaskan, selain bergantung kepada harta wakaf sedia ada, UIM juga ada menerima sumbangan daripada individu perseorangan, Majlis
Agama Islam Negeri dan syarikat-syarikat korporat. Bukan itu sahaja, UIM juga telah
memperolehi harta wakaf dalam bentuk tunai dan buku-buku sama ada daripada individu dan syarikat-syarikat korporat. Walaupun masih baru ditubuhkan, aset-aset wakaf UIM kekal
sehingga kini dan mempunyai nilai yang tinggi sehingga ke hari ini.
Selain itu, hasil kajian yang dilakukan oleh Siti Umairah juga mendapati dua (2) daripada
tanah-tanah wakaf yang diperolehi semenjak tahun 1955 dan kekal sehingga ke hari ini telah disewa oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPM). Tanah wakaf UIM yang terletak di Klang
Selangor telah disewakan kepada Sekolah Berasrama Penuh iaitu Kolej Islam Sultan Azlan
Shah (KISAS) manakala tanah wakaf UIM di Petaling Jaya pula disewakan kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan menempatkan pelajar-pelajar dalam bidang asasi. Walau
bagaimanapun sehingga kini UIM belum lagi melaksanakan agihan dana wakaf, tetapi mereka
mencadangkan untuk menyalurkan manfaat wakaf kepada aktiviti penyelidikan dan pembiayaan yuran pelajar.
v) Universiti Kolej Bestari (UCB)
Kajian oleh Mutiara Dwi Sari et al.,(2016) dan Mohd Ali Muhamad Don (2016) telah
membincangkan pembangunan wakaf pendidikan di UCB. Universiti Kolej Bestari (UCB)
ditubuhkan oleh Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) di Kuala Terengganu. Pengurusan universiti telah mengambil langkah menjual keseluruhan tanah
kampus UCB di Kuala Terengganu berkeluasan 320 ekar dan diwakafkan dengan kadar RM30
bagi 0.1 meter persegi. Konsep jual dan wakaf ini dilihat berjaya menyumbang pulangan
lumayan kepada UCB yang sehingga kini berjaya mengumpulkan RM 6 juta daripada derma wakaf tersebut. Malah secara purata Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim atau Miskin
Malaysia (YAWATIM) yang bertanggungjawab menguruskan dana wakaf tersebut berjaya
mengumpulkan RM 500,000 hingga RM 600, 000 setiap bulan. Keunikan skim wakaf UCB dapat diperhatikan kepada manfaat wakaf tersebut yang disalurkan terus kepada anak-anak
yatim dan miskin dalam bentuk pembiayaan pendidikan, kos makanan dan penginapan secara
percuma di UCB. Tambahan lagi selepas pembeli atau masyarakat mewakafkan semula tanah yang mereka
beli tersebut, pihak UCB memanfaatkan semula sebagai bahagian daripada universiti, manakala
wang hasil penjualan lot-lot tanah tersebut dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan. Antaranya
wang tersebut dilaburkan semula, membangun infrastruktur seperti asrama mahasiswa dan fasiliti lainnya. Dalam hal ini prinsip istibdal dijalankan. Langkah istibdal wakaf dimaksudkan
ialah dengan menjual harta wakaf sedia ada kemudian membeli harta atau aset yang sama atau
aset yang lain pada tempat yang lain. Menurut Mutiara Dwi Sari et al., pihak UCB juga telah mula membangunkan dan memanfaatkan aset (tanah) yang sedia ada bagi aktiviti pertanian dan
penternakan. Kawasan pertanian dan penternakan yang dikenali dengan ‘Trigona’ merupakan
lahan yang dimanfaatkan bagi aktiviti pertanian dan penternakan. Hasil daripada pertanian dan penternakan ini dimanfaatkan untuk keperluan pendidikan.
Selain daripada kutipan dana wakaf melalui penjualan tanah kampus, pihak UCB dan
universiti telah mula menggerakkan alumni secara aktif serta menjadikannya sasaran penting
sebagai salah satu upaya melestarikan wakaf universiti. Bagaimanapun usaha ini masih di peringkat awal iaitu pihak UCB melalui bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) mula
mengumpulkan data-data keseluruhan alumni dalam rangka menarik alumni agar berperanan
aktif untuk kemajuan universiti. (Mutiara Dwi Sari et al., 2016)
vi) Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM)
KUIM telah mengorak langkah untuk menubuhkan “Tabung Wakaf Amal Jariah” atau “Amal
KUIM” dan telah dilancarkan pada 11 Mac 2013. Penubuhan tabung wakaf amal jariah ini
mempunyai beberapa objektif iaitu bertujuan untuk membiayai keperluan dan pembiayaan aktiviti akademik yang melibatkan mahasiswa KUIM, mengurangkan perbelanjaan pengurusan
yang ditanggung oleh kolej dan mengurangkan kebergantungan kepada dana yang disalurkan
oleh kerajaan Negeri Melaka. Di samping itu, sumbangan tabung wakaf juga akan disalurkan untuk membiayai fasiliti dan kemudahan yang diperlukan bagi aktiviti akademik, pembangunan
mahasiswa dan penyelidikan. Selain itu sumbangan tabung wakaf ini diharap dapat
dimanfaatkan bagi tujuan membiayai projek-projek serta aktiviti seperti pembiayaan penyelidikan dan penerbitan, pembiayaan pembangunan projek-projek khas seperti pembaikan
dewan kuliah, pembinaan asrama dan faisiliti penginapan mahasiswa.
Aktiviti kutipan dana wakaf KUIM setakat ini hanya tertumpu kepada sumber dalaman
sahaja iaitu melalui potongan gaji kakitangan KUIM serta sumbangan wakaf tunai daripada masyarakat sekitar Kuala Sungai Baru. Daripada dana yang telah dikumpulkan, satu projek
telah dibangunkan iaitu Cafe Ilmi yang bertempat dalam perkarangan Masjid Ilmi KUIM.
Perolehan hasil sewaan cafe tersebut akan digunakan untuk tujuan membiayai keperluan dan pembiayaan aktiviti akademik yang melibatkan mahasiswa KUIM pada masa akan datang.
Walau bagaimanapun sehingga kini manfaat wakaf terkumpul belum dapat diagihkan kerana
masih sedikit dan tidak mencukupi. (Temu bual oleh pengkaji pada 27 November 2017)
Berdasarkan penelitian yang dilakukan ke atas enam (6) buah IPT yang terpilih ini mendapati setiap
institusi mempunyai model pengendalian yang berbeza.
IPTA/IPTS KUTIPAN DANA
WAKAF PEMBANGUNAN
PROJEK PENGEMBANGAN
DANA WAKAF
UIAM Kakitangan
Pelajar
Alumni
Badan korporat
Sumber sumbangan dari dalam dan luar
Negara
Kompleks Azman Hashim
Perolehan pulangan sewaan dikenali
sebagai Dana
Hartanah Endowment Kekal UIAM
UPM Kakitangan/pelajar,
Alumni,
Badan korporat
Sumber sumbangan
dari dalam dan luar
Negara (Peti derma statik, e-claims,
cimb clicks dan
kaunter)
Intensif penerbitan
Jurnal dalaman
Kompleks
komersial
Tempat letak
kereta di Hospital
Serdang
Manfaat dari deposit
simpanan
menggunakan kontrak mudharabah
Pulangan sewaan
premis perniagaan
UKM Kakitangan
Pelajar
Alumni
Sumber sumbangan dari dalam Negara
Tiada Tiada
UIM Kakitangan dan
pegawai pengurusan
Ahli akademik (skim potongan gaji)
Syarikat-syarikat
korporat
Orang awam
Sewaan tanah Hasil sewaan tanah
UCB Orang awam Membangunkan
aktiviti
pertanian dan penternakan
Hasil daripada
pertanian dan
penternakan
KUIM Kakitangan
Orang awam
Cafe Ilmi Hasil sewaan
Jadual 1: Perbandingan sumber kutipan dana, pembangunan projek dan pengembangan dana wakaf
oleh IPT terpilih
5.0 MODEL INTEGRASI WAKAF PENDIDIKAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI
(IPT)
Gagasan wakaf pendidikan tinggi tercetus dari saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang
ingin melihat konsep wakaf diperkenalkan dalam pendidikan universiti untuk menggalakkan
universiti supaya lebih berdikari terutamanya dalam menjana kewangan kendiri sambil menggalakkan rakyat untuk sama-sama membiayai pendidikan tinggi menerusi amalan berwakaf. Tambahan pula,
sistem pembiayaan pendidikan tinggi menggunakan dana kerajaan sudah tidak lagi lestari (Ridwhan et
al., 2014). Di Malaysia, beberapa institusi telah mendahului dalam memperkenalkan model wakaf secara
integratif dalam sistem pengurusan pendidikannya. Ini termasuk Universiti Putra Malaysia, Universiti
Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Islam Antrabangsa Malaysia, Universiti Antarabangsa Al-Madinah Malaysia, dan Universi Islam Malaysia. Universiti
Antarabangsa Al-Buhkary dan Kolej Universiti Bistari Malaysia berada di dalam kategori tersendiri
kerana kedua-duanya adalah universiti wakaf.( Abdul Hamid,2016).
Perlaksanaan wakaf pendidikan di Malaysia terdiri daripada dua model iaitu pertama wakaf dalam sistem keseluruhan universiti dan yang kedua wakaf dalam sebahagian komponen aktiviti
sahaja. Model yang pertama digunakan untuk menubuhkan institusi pendidikan dan seterusnya
pengurusan institusi juga adalah menggunakan wakaf. Manakala model yang kedua pula diaplikasikan oleh institusi yang sudah sedia tertubuh mahupun institusi yang menggunakan model wakaf sebagai
satu komponen dalam pengurusan aktiviti universiti.
Kertas ini mencadangkan beberapa perkara utama yang perlu dipertimbangkan dalam merangka
model integrasi wakaf pendidikan.
i) Tadbir urus
Setiap institusi pengajian perlulah mempunyai unit atau entiti wakaf yang berasingan daripada
pengurusan universiti dan mempunyai kakitangan khas yang menguruskan dana wakaf dan
mengendalikan perlaksanaan pembangunan wakaf. Kakitangan yang dilantik perlulah mempunyai kepakaran dan pemahaman yang jelas berkaitan wakaf dan komited dalam
melaksanakan tugas. Tadbir urus yang sistematik dan tersusun dapat menjamin pengurusan
wakaf yang lebih efisien.
Menurut Siti Zakiah Ali & Hairunnizam Wahid (2014) kelestarian dana wakaf juga bergantung kepada pentadbiran dan pengurusan wakaf itu sendiri iaitu bagaimana pentadbir
atau pengurus wakaf tersebut mengelola dana wakaf tersebut. Ini penting agar dana wakaf dapat
dibangunkan sehingga berkembang bagi menambahkan kuantiti wakaf dan kualiti manfaat di samping struktur dalam organisasi wakaf juga harus jelas bagi memastikan dana wakaf ini
dapat dikembangkan dan dikomersialkan.
Selain itu, bagi menggalakkan perlaksanaan wakaf di IPT, pihak Majlis Agama Islam
Negeri (MAIN) perlulah memberikan kebebasan dan kelulusan kepada pihak IPT untuk menjadi pengurus tunggal kepada dana wakaf yang disumbangkan bagi memperluas dan
memperkasakan wakaf di peringkat IPT. Seperti mana yang telah termaktub dalam undang-
undang, MAIN merupakan pemegang amanah tunggal wakaf negeri. Zakaria Bahari (2013) menjelaskan masalah kekangan pentadbiran di antara pihak universiti dengan pihak MAIN
dalam keperluan pihak universiti memohon sebagai mutawalli harta wakaf tersebut akan
menyebabkan kebebasan dan kemajuan berwakaf tersebut kurang menggalakkan di samping pihak universiti yang ingin memperkasa wakaf tersebut terpaksa tidak mengumumkan
pelaksanaan pembiayaan dengan wakaf dan menukarkannya kepada yayasan untuk
mengelakkan campur tangan pihak MAIN (Zakaria Bahari, 2013).
Oleh yang demikian, bagi mewujudkan wakaf pendidikan di IPT, pihak pengurus wakaf IPT mestilah mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada MAIN. Kelulusan ini boleh
diperolehi dengan mengadakan memorandum persefahaman sepertimana yang dilakukan oleh
UKM dan UPM. Di samping itu, USIM melalui Al-Abrar Waqf Fund juga telah diluluskan permohonan mereka oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dilantik sebagai
mutawalli. (Najibah & Mohd Zamro, 2014)
ii) Skop kutipan
Kaedah pengumpulan dana wakaf IPT yang dilaksanakan pada masa kini melibatkan
penerimaan harta alih dan tidak alih. Tanah merupakan satu bentuk harta tidak alih yang biasanya diwakafkan. Wakaf tidak alih pula melibatkan wakaf tunai, buku dan sebagainya.
Wakaf tunai merupakan kaedah yang paling popular dilaksanakan di mana orang ramai
memberi sumbangan wakaf dalam bentuk wang ringgit mengikut kadar yang termampu. Berdasarkan penelitian yang dibuat oleh pengkaji, terdapat beberapa buah IPT yang
hanya menghadkan skop kutipan kepada sumber dalaman sahaja. Oleh yang demikian bagi
memastikan kelestarian wakaf pendidikan ini, skop kutipan perlulah diperluaskan bukan sahaja
melibatkan sumber dalaman tetapi juga sumber luaran. Selain itu, kutipan dari dalam dan luar negara serta badan-badan korporat juga perlu dilaksanakan.
Di samping itu kepelbagaian kaedah kutipan perlu dilaksanakan dan bukannya hanya
bergantung kepada kutipan dalam bentuk wakaf tunai semata-mata. Kaedah pengumpulan lain yang boleh dilaksanakan adalah melalui wakaf korporat. Wakaf korporat merujuk kepada suatu
aspek pengurusan harta-harta wakaf yang berbentuk harta alih seperti wang tunai, saham
syarikat dan dividen saham yang diurus tadbir secara penuh oleh entiti korporat ataupun secara kerjasama di antara syarikat korporat dan pihak berkuasa wakaf (Asharaf dan Abdullaah, 2013).
Bagi membangunkan lagi harta wakaf penglibatan entiti korporat dalam wakaf pendidikan
merupakan satu usaha yang perlu dilaksanakan.
Berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Keempat yang telah bersidang pada 13 hingga 14 April 1982 di Kuala Lumpur
telah memfatwakan bahawa mengadakan saham wakaf yang musytarik dengan syarikat-syarikat
perniagaan melalui belian saham, kemudian diwakafkan dengan tujuan memajukan harta wakaf, adalah diharuskan mengikut syarat-syarat wakaf (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
[JAKIM], 2009).
Oleh yang demikian, IPT boleh melakukan kerjasama dengan institusi kewangan Islam di mana individu dan organisasi boleh membuat sumbangan dengan mendepositkan wang tunai
sebagai aset wakaf di mana-mana kaunter bank yang bekerjasama tersebut. Pengurusan dana
wakaf pula diuruskan oleh jawatankuasa yang dilantik. Kolaborasi ini boleh dijadikan sebagai
pemangkin utama dalam usaha membangunkan dan mengembangkan wakaf korporat.
iii) Pembangunan dan penjanaan dana wakaf
Pembangunan projek serta aktiviti penjanaan pulangan harta wakaf perlulah dilaksanakan
secara proaktif oleh IPT. Dana wakaf yang disumbangkan oleh orang ramai perlulah diuruskan
secara sistematik agar dana tersebut dapat lestari dan berkekalan. Pelbagai cara perlu dilakukan bagi memastikan dana wakaf yang sedia ada digerakkan untuk tujuan pembangunan yang
mendatangkan manfaat secara berterusan kepada IPT.
Pihak IPT boleh menggunakan instrumen-instrumen pasaran modal dan wang bagi membiayai pembangunan harta modal pendidikan. Dengan cara ini terdapat pelbagai projek
pembangunan wakaf yang akan bersifat penjanaan hasil dimana sebahagian pulangan akan
digunakan bagi membiayai kos projek dan sebahagiannya untuk tujuan perkembangan wakaf. Md Nurdin Ngadimon (2011) menyatakan masih belum terdapat pendanaan bagi tujuan
pembangunan asset wakaf menggunakan alat kewangan kontemporari pasaran modal Islam dan
kebanyakan pembangunan aset wakaf ini lebih kepada mengharap sumbangan kewangan
daripada orang ramai dan dana daripada kerajaan. Padahal untuk memastikan kelestarian dana wakaf ini perlulah dibangunkan aset tersebut agar berkembang bagi menambahkan kuantiti
wakaf dan kualiti manfaat di samping struktur dalam organisasi wakaf juga harus jelas bagi
memastikan dana wakaf ini dapat dikembangkan dan dikomersialkan (Siti Zakiah Ali, 2014). Wakaf Amanah Pelaburan Hartanah Islam atau Islamic Real Estate Investment Trust (I-
REIT) merupakan instrumen pelaburan yang boleh diterokai oleh IPT. Wakaf I- REIT
merupakan instrumen pelaburan secara kolektif melalui pengumpulan dana daripada pelabur bagi tujuan pembelian, pengurusan dan penjualan hartanah, seperti rumah kediaman, bangunan
komersial, ladang, gudang tempat letak kereta atau aset kewangan lain yang berkaitan dengan
hartanah. Struktur I-REIT dan wakaf melibatkan proses pensekuritian harta tanah, iaitu
menukarkan pemilikan harta tanah kepada unit yang kecil yang boleh dilanggan oleh orang ramai dan kemudian hasilnya diwakafkan untuk kepentingan benefisiari. Dana yang terkumpul
juga dapat disalurkan bagi tujuan membeli aset wakaf yang baharu bagi mencapai objektif
penjanaan modal secara konsisten dan memaksimumkan pulangan manfaat wakaf. Secara tidak langsung cara ini berupaya menggabungkan usahasama pelbagai pihak meliputi individu
Muslim serta institusi korporat melanggan unit yang ditawarkan dan seterusnya mewakafkan
keseluruhan atau sebahagian dividen berasaskan prinsip musyarakah. Di samping itu,
mekanisme I-REIT juga dapat menjamin hasil pulangan yang berterusan kepada benefisiari wakaf menerusi hasil sewaan bangunan atau harta tanah REIT (Syahnaz Sulaiman, 2012).
Dalam konteks ini, sekiranya pihak IPT mempunyai tanah yang ingin dibangunkan maka
ia boleh disekuritikan dengan membahagikan pemilikan tanah kepada unit yang kecil. Melalui kaedah ini, ia boleh dilanggan oleh orang ramai dan hasilnya diwakafkan. Pihak penerbit I-
REIT, iaitu IPT dapat memanfaatkan modal yang diperoleh daripada pelabur yang melanggan
unit I-REIT untuk tujuan membiayai pembelian peralatan dan kelengkapan pengajian serta membiayai pembinaan fasiliti dan bangunan akademik.
Dalam kajian lain yang dilakukan oleh Mokthar Hj.Ismail et al., (2015) turut
mencadangkan satu kaedah penjanaan dana wakaf yang baharu iaitu Wakaf Telco. Kerjasama
strategik diantara IPT dan syarikat telekomunikasi (TelCo) dalam membangunkan dana wakaf pendidikan tinggi wajar diterokai. Cadangan ini memerlukan persefahaman yang erat diantara
IPT dengan syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi (TelCo) yang terdapat di
Malaysia. Justeru itu, pembangunan yang lebih dinamis juga perlu dilakukan oleh pihak IPT
contohnya membangunkan bangunan komersial seperti premis perniagaan, perhotelan dan
sebagainya. Manfaat dari aset yang dibina sama ada dari hasil sewaan kemudiannya boleh diagihkan semula ke dalam dana wakaf dan juga boleh disalurkan untuk membiayai fasiliti dan
kemudahan yang diperlukan bagi aktiviti akademik, pembangunan mahasiswa dan penyelidikan
serta membiayai projek-projek khas seperti pembaikan dewan kuliah, pembinaan asrama dan
fasiliti penginapan mahasiswa.
iv) Perkukuhkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi
Kerjasama dengan pelbagai syarikat-syarikat korporat perlu diperluaskan bukan sahaja bagi
mendapatkan idea dan pandangan tetapi juga bagi mendapatkan sokongan dalam usaha untuk
meraih dana wakaf dari syarikat-syarikat korporat ini. Hubungan yang baik dengan syarikat-syarikat korporat dari dalam dan luar negara, pelopor wakaf yang telah maju ke depan dan
berbagai-bagai lagi adalah amat penting.
Rajah 1: Model Integrasi Wakaf IPT (Pengkaji, 2017)
6.0 KESIMPULAN
Perkembangan wakaf pendidikan telah memasuki fasa yang lebih mencabar kerana melibatkan
pelbagai peringkat pengurusan dan sumber-sumber yang belum dioptimumkan. Kertas ini mencadangkan model integrasi wakaf pendidikan tinggi meliputi empat teras iaitu tadbir urus, skop
kutipan, pembangunan dan penjanaan dana wakaf dan kerjasama strategik dalam meningkatkan tahap
kelestarian dana wakaf. Kajian empirikal dicadangkan untuk menguji model ini sama ada berupaya
menghadapi segala risiko wakaf bagi pembuat dasar wakaf IPT.
RUJUKAN
Abdul Hamid Hj. Mar Iman.(2016). UMK Dan Agenda Wakaf – Strategi Pelaksanaan Dan Cabaran.
Seminar Wakaf Pendidikan Tinggi, Universiti Malalysia Kelantan, Bachok, 21 Ogos 2016.
Ahmad Shaifful Anuar Ahmad Shukor. (2015). Kelestarian Pengurusan Aset Wakaf Pendidikan Tinggi Malaysia: Satu Sorotan. Prosiding Seminar International Islamic Development
Management Conference yang ke-9 (IDMAC9), Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam
(ISDEV), 8-9 Disember 2015 di Universiti Sains Malaysia (USM). Ahmad Zaki Abd. Latiff, Abdul Halim Ramli, Che Zuina Ismail, Kamarulzaman Sulaiman &
Norzaidi Mohd Daud. 2008. Wakaf Pengurusan dan Sumbangannya Terhadap Pendidikan
Islam di Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), UiTM. Ahmad Zaki b. Haji Latiff, Norzaidi b. Mohd Daud & Che Zuina bt. Ismail. 2008. Pengurusan Harta
Wakaf dan Potensinya Ke Arah Kemajuan Pendidikan Umat Islam di Malaysia. Jurnal
Pengurusan JAWHAR, 2(2).
Asharaf Mohd Ramli & Abdullaah Jalil, (2013). Model Perbankan Wakaf Korporat: Analisa Wakaf Selangor Muamalat. Universiti Sains Islam Malaysia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia [JAKIM]. 2009. Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Kebangsaan Berhubung Dengan Isu-Isu Muamalat. Putrajaya: Author. Latiff Azha, Sayin Baharuddin, Sayurno, S. S Salahuddin, Mohd Rani Afandi, & Hamid Afifah H.
(2013). The practice and management of waqf education in Malaysia. Procedia - Social and
Behavioral Sciences, 90( InCULT 2012), 22–30. doi:10.1016/j.sbspro.2013.07.061 Maffuza binti Salleh & Noor Syahida binti Abdul Rahman.(2014). Wakaf Pendidikan di Malaysia:
Satu Tinjauan. Kertas kerja ini dibentangkan di International Research Management and
Innovation Conference 2014 (IRMIC2014) KL, 17 – 18 November 2014.
Md. Nurdin Ngadimon, (2011). Membangunkan Aset Wakaf Menggunakan Prinsip Musyarakah. Jurnal Muamalat Bil.4 (2011). Pp. 31-56.
Mohd Ali Muhamad Don.(2016). Peranan Wakaf Untuk Pembangunan Pendidikan Tinggi; Sejarah
Silam dan Pelaksanaan di Malaysia. E-Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization, e-ISSN: 2289-6759, volume 3-2016.
Mohd Syakir Mohd Taib, Wan Kamal Mujani, Noor Inayah Yaakub & Mohamad Khairul Izwan
Rifin. (2017). Wakaf Pendidikan di Malaysia: Suatu Pengenalan. Proceedings of the
International Conference on Islam, Development and Social Harmony in Southeast Asia 2017. ISBN 978-983-9368-79-6.
Mokthar Hj. Ismail, Hairullfazli bin Muhammad Som, Mohd. Isa Mohd. Deni & Muna binti
Sulaiman. (2015). Model Operasi Wakaf Pendidikan Di Malaysia. Proceedings of International Conference on Cash Waqf (ICCW 2015) (e-ISBN978-967- 0850-08-5). 28, 29 & 30 May 2015,
Sepang, Malaysia.
Muhammad Ridhwan Ab. Aziz, Mohd Asyraf Yusof, Fuadah Johari, Asharaf Ramli, and Hisham Sabri.(2014). The Relief of Higher Education Loan through Islamic Waqf Bank. Asian Social
Science, 10 (22): 175-181.
Mutiara Dwi Sari, Ab. Aziz Yusof & Ahmad Shaifful Anuar Ahmad Shukor. (2016). Pembangunan
Wakaf Pendidikan di University College Bestari, Terengganu. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities, Volume 1, Issue 4, (page 1-17).
Najibah Mustaffa & Mohd Zamro bin Muda. 2014. Pengurusan Wakaf Pendidikan di Institusi
Pengajian Tinggi Malaysia: Satu Sorotan Literatur, International Journal of Islamic and Civilizational Studies, Vol. 1 No.1 (2014) pp.45-57.
Nur Yuhanis Ismon, Rahisam Ramli, Nur Farhana Dahalan, Shahrina Romli & Roslina Hashim.
(2015). Mekanisme Wakaf Sebagai Instrumen Pendidikan Tinggi Swasta. Kajian Kes Kolej Universiti Islam Melaka. Kertas kerja dibentangkan di Persidangan Meja Bulat Wakaf
Pendidikan Tinggi. Anjuran Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Shah
Alam. 12 Februari 2015 di UiTM Shah Alam.
Rohayati Hussin, Rusnadewi Abdul Rashid, & Noor Inayah Ya’akub. (2016). Exploratory Study on Waqf Implementation in Malaysian Public and Private Universities: With Special Reference to
Turkish Universities. In Kuala Lumpur International Business, Economics and Law Conference
9, 2016, pp. 399–409
Roslina Hashim, Rahisam Ramli, Nur Farhana Dahalan, Nur Yuhanis Ismon & Shahrina Romli. (2015). Prospek Penjanaan Dana Wakaf Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Melalui Instrumen
Pelaburan. Kertas kerja dibentangkan di International Conference On Waqf 2015 (ICW2015)
"Waqf: Issues and Challenges, the Way Forward". Anjuran UniSZA. Dewan Perdana, UniSZA.
10 & 11 Mei 2015. Siti Umairah Ali Hamdan & Siti Mashitoh Mahamood. (2016). Aplikasi Prinsip Berkekalan Wakaf
Di Institusi Pengajian Tinggi Terpilih: Perspektif Perundangan. Journal of Shariah Law
Research (2016) vol. 1 (2) 229-250. Siti Zakiah Ali & Hairunnizam Wahid, (2014). Peranan dan Kepentingan Dana Wakaf Institusi
Pendidikan Tinggi di Malaysia. PROSIDING PERKEM ke-9 (2014) 216 - 225 ISSN: 2231-
962X. Sharifah Nurulhuda S Ab Latif & Mawaddah Baderun.(2015). Pembangunan Wakaf Korporat Dalam
Pembiayaan Pendidikan Pengajian Tinggi. Kertas Kerja Wakaf Pendidikan Tinggi di Malaysia:
Satu Penantian. Institut Kajian Zakat Malaysia (IKaZ), Akademi Pengajian Islam Kontemporari
(ACIS), Universiti Teknologi MARA. Syahnaz Sulaiman, (2012). Isu Pembangunan Wakaf Menggunakan Struktur Amanah Pelaburan
Hartanah Islam Di Malaysia: Satu Tinjauan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa. (2010). Pembangunan Wakaf Pendidikan di Malaysia. Kertas kerja dibentangkan di Persidangan Antarabangsa ke 7: Epistemologi Tauhid-Ekonomi
Zakat dan Wakaf, ILIM Bangi Selangor.
Wan Kamal Mujani, Mohd Syakir Mohd Taib, & Noor Inayah Ya’akub. 2014. Educational Waqf (Islamic Endowment) in Malaysia. Lecture Notes in Management Science 2014 2nd
International Conference in Humanities, Social Sciences and Global Business Management
(ISSGBM 2014) London, UK, 21-22 June 2014, pp. 117-120.
Zakaria Bahari. (2013). Pembiayaan pembangunan pengajian tinggi: Kes pembangunan wakaf kompleks ISDEV, Universiti Sains Malaysia. Kertas kerja Seminar Serantau Institusi Pengajian
Tinggi Islam (SeiPTI2013), Bandar Sri Begawan, Brunei, 4-5 Disember 2013.
TEMU BUAL
Muhammad Iqbal Zahin bin Ismail (Jawatankuasa Tabung Wakaf Amal Jariah KUIM), dalam temu
bual bersama penulis, 24 November 2017.