mt4

25
[PERANCANGAN DAN PENGAJARAN MATEMATIK] MTE3107 PENULISAN ARTIKEL APLIKASI TEORI BEHAVIORISME, KOGNITIVISME, KONSTRUKTIVISME DAN HUMANISME DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK OLEH : RUZANA BINTI HAMZAH UNIT : PISMP MATEMATIK AMBILAN JANUARI 2012 1.0 PENDAHULUAN Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (1988), matlamat pendidikan Matematik adalah untuk memperkembangkan pemikiran mantik, analitis, bersistem dan kritis, kemahiran penyelesaian masalah serta kebolehan menggunakan ilmu pengetahuan matematik supaya individu dapat berfungsi dalam kehidupan seharian dengan berkesan (Noraini Idris, 2001). Untuk mencapai matlamat pendidikan ini, maka proses pengajaran dan pembelajaran Matematik di sekolah perlu dipertingkatkan. Menurut Noraini Idris (2001), Matematik telah dikenal pasti mengandungi kekuatan dan kekurangan serta halangan dalam proses pengajaran yang dijalankan dalam sesuatu bilik darjah. Memandangkan sekolah merupakan medan ilmu untuk murid menimba ilmu pengetahuan, maka wajarlah bagi guru untuk menyediakan satu situasi pengajaran dan pembelajaran yang cukup berkesan. Pengajaran dan pembelajaran yang baik lagi berkesan tidak akan berlaku tanpa perancangan yang rapi. Perancangan yang rapi perlu berlandaskan sesuatu yang kukuh dan diakui kebenaran atau kewajarannya. Perancangan itu merupakan sesuatu yang terbukti boleh dan benar. Sesuatu yang dimaksudkan itu dikenali sebagai teori. Justeru itu, kerja amali dan pelaksanaan pengajaran dan

description

teori pembelajaran

Transcript of mt4

PERANCANGAN DAN PENGAJARAN MATEMATIK

[PERANCANGAN DAN PENGAJARAN MATEMATIK]MTE3107

PENULISAN ARTIKEL APLIKASI TEORI BEHAVIORISME, KOGNITIVISME, KONSTRUKTIVISME DAN HUMANISME DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK OLEH : RUZANA BINTI HAMZAHUNIT : PISMP MATEMATIK AMBILAN JANUARI 2012

1.0 PENDAHULUAN

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (1988), matlamat pendidikan Matematik adalah untuk memperkembangkan pemikiran mantik, analitis, bersistem dan kritis, kemahiran penyelesaian masalah serta kebolehan menggunakan ilmu pengetahuan matematik supaya individu dapat berfungsi dalam kehidupan seharian dengan berkesan (Noraini Idris, 2001). Untuk mencapai matlamat pendidikan ini, maka proses pengajaran dan pembelajaran Matematik di sekolah perlu dipertingkatkan. Menurut Noraini Idris (2001), Matematik telah dikenal pasti mengandungi kekuatan dan kekurangan serta halangan dalam proses pengajaran yang dijalankan dalam sesuatu bilik darjah. Memandangkan sekolah merupakan medan ilmu untuk murid menimba ilmu pengetahuan, maka wajarlah bagi guru untuk menyediakan satu situasi pengajaran dan pembelajaran yang cukup berkesan. Pengajaran dan pembelajaran yang baik lagi berkesan tidak akan berlaku tanpa perancangan yang rapi. Perancangan yang rapi perlu berlandaskan sesuatu yang kukuh dan diakui kebenaran atau kewajarannya. Perancangan itu merupakan sesuatu yang terbukti boleh dan benar. Sesuatu yang dimaksudkan itu dikenali sebagai teori. Justeru itu, kerja amali dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang baik serta wajar perlu berdasarkan teori yang terbukti keupayaan dan kejayaannya. Menurut Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), Kerlinger (1986) menyatakan bahawa teori ialah satu set prinsip dan definisi yang saling berkait serta menerangkan sesuatu fenomena secara sistematis. Menurut mereka lagi, Jary dan Jary (1995) pula melihat teori sebagai satu set hipotesis atau prinsip yang berkait secara logik atau berdasarkan penerangan matematik yang menerangkan hakikat empirikal sesuatu fenomena. Sebenarnya, teori ialah hasil daripada kajian saintifik yang telah sah dan diterima sebagai sesuatu prinsip atau asas yang boleh dijadikan panduan pelaksanaan. Terdapat beberapa teori pengajaran dan pembelajaran yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik. Antara teori-teori tersebut ialah Behaviorisme, Kognitivisme, Konstruktivisme dan Pendekatan Humanisme.

2.0 TEORI BEHAVIORISME

Teori Behaviorisme diperkenalkan oleh John B. Watson (1878-1958), menekankan kajian tentang pemerhatian, pengukuran tingkah laku. Antara tokoh-tokoh terkenal dalam teori ini ialah B.F Skinner dan E.L.Thorndike.

2.1 Teori Pelaziman Operan B.F Skinner

Pelaziman operan menekan hasil kesan-akibat yang membawa kepada tingkah laku baharu, tingkah laku diteruskan atau diulangi dan sebaliknya. Kesan akibat boleh berlaku dalam bentuk ganjaran ataupun hukuman. Oleh itu, hukuman dan dendaan, ganjaran dan peneguhan membawa kesan yang tertentu kepada kemungkinan wujudnya tingkah laku baharu atau sebaliknya. Mok Soon Sang (2003), memberi ilustrasi ringkas tentang pelaziman operan seperti yang berikut :

Rajah 2.1 Contoh Pelaziman Operan

Tingkah laku operan adalah sejenis tingkah laku yang boleh dijangka dan mungkin tidak perlu beroperasi dengan rangsangan yang telah ditentukan sebelum ini. Kewujudan tingkah laku ini bergantung pada akibat peneguhan yang telah diberikan sebelum itu. Menurut Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), peneguhan bermaksud mengukuhkan lagi tingkah laku yang memungkinkan tingkah laku tersebut diulangi atau diteruskan. Skinner mengkategorikan peneguhan kepada dua iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif merupakan peneguhan yang diberikan menjadi rangsangan kepada tingkah laku seterusnya. Kebarangkalian tingkah laku diteruskan adalah tinggi disebabkan pujian, galakan dan ganjaran yang diterima merangsang gerak balas seterusnya. Peneguhan negatif pula ialah peneguhan yang diberikan memungkinkan tingkah laku diteruskan apabila rangsangan yang tidak selesa disingkirkan. Kebarangkalian tingkah laku diteruskan adalah tinggi apabila leteran, bebelan dan teguran tidak diberikan lagi. Berikut merupakan contoh-contoh untuk peneguhan positif dan peneguhan negatif dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik: a) Peneguhan positifCikgu: Apakah songsangan bagi darab, Siti? Siti: Bahagi, Cikgu. Cikgu: Jawapan yang sangat baik! (peneguhan positif). (Peneguhan positif yang diberikan oleh guru akan menggalakkan Siti untuk menjawab soalan yang diberikan oleh guru untuk sesi pembelajaran yang seterusnya).

b) Peneguhan negatif Cikgu: Apakah yang dimaksudkan dengan nombor genap, Susy? Susy: (Berdiri, tetapi tidak menjawab soalan) Cikgu: Sepertinya Susy telah lupa cara untuk bercakap . (Peneguhan negatif) (Peneguhan negatif yang diberikan oleh guru menggalakkan Susy untuk bercakap dan menjawab soalan guru. Hal ini kerana, Susy berasa segan untuk berdiam diri jika guru mengatakan dia sudah lupa cara untuk bercakap.)

2.2 Teori Pelaziman Operan E.L Thorndike

Proses pembelajaran yang diperkenalkan oleh Thorndike ialah connectionism. Menurut Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), Thorndike menyatakan bahawa hubungan atau connection antara rangsangan dan gerak balas akan menjadi kukuh jika kesan tingkah laku menyeronokkan dan memuaskan.

Menurut Mok Soon Sang (2003), Edward L. Thorndike menjelaskan dalam kajiannya bahawa pembelajaran dilihat sebagai satu proses percubaan dan kesilapan atau memilih dan menghubungkan. Dalam proses ini, kerana latihan berulang, kesilapan-kesilapan yang dibuat pada permulaan gerak balas berkurangan, dan kadar ketepatan menghubungkan rangsangan dan gerak balas adalah meningkat. Oleh itu, proses menghubungkan gerak balas dengan rangsangan, pada hakikatnya, merupakan proses pembelajaran.

Thorndike mengemukakan tiga hukum atau prinsip pembelajaran iaitu, Hukum Kesediaan, Hukum Latihan dan Hukum Kesan.

a) Hukum kesediaan

Menurut Menurut Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), individu perlu ada kesediaan untuk memungkinkan tindakan atau gerak balas berlaku. Kesediaan belajar termasuklah kesediaan kognitif (pengetahuan sedia ada dan pengalaman lepas), kesediaan afektif (kecenderungan dan minat) serta psikomotor (kemahiran fizikal). Oleh itu, guru hendaklah memastikan murid-murid mempunyai kesediaan yang diperlukan untuk memulakan sesuatu topik atau aktiviti pembelajaran.

Sebagai contoh, dalam sesi pengajaran dan pembelajaran topik Peratus, guru menyediakan set induksi di mana guru bertanyakan kepada murid jika pernah melihat simbol seperti dalam gambar rajah 1.1 semasa membeli belah bersama ibu bapa di pasar raya. Melalui pertanyaan guru ini, ada kemungkinan jawapan yang diberikan oleh murid ialah mereka pernah melihat simbol tersebut di pasar raya terutamanya pada musim perayaan.

Gambar 1.1 : Simbol Peratusb) Hukum Latihan

Hubungan rangsangan dan gerak balas menjadi kukuh dengan adanya pengulangan dan latihan yang banyak serta pelbagai. Hukum latihan menegaskan bahawa manusia belajar melalui proses membuat, manakala lupaan berlaku apabila perkara yang dipelajari tidak digunakan atau tidak dibuat lagi.

Untuk menjamin kelangsungan pembelajaran, latihan dalam pelbagai bentuk, pengulangan, latih tubi, aplikasi pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dalam situasi lain hendaklah dibuat dengan lebih kerap. Latihan dan penggunaan pengetahuan serta kemahiran yang dikuasai akan mengukuhkan pembelajaran.

Sebagai contoh, untuk mengukuhkan lagi penguasaan murid dalam kemahiran menambah dan menolak, guru menyediakan lembaran kerja yang terdiri daripada pelbagai bentuk soalan menambah dan menolak dan seterusnya membuat penyemakan hasil kerja murid tersebut. Selain itu, untuk memantapkan lagi penguasaan sifir dalam kalangan murid, sebelum memulakan sesi pembelajaran pada setiap waktu matematik, guru boleh menyuruh murid berdiri di hadapan kelas dan menyebut sifir tersebut.

c) Hukum Kesan

Sesuatu gerak balas yang diikuti kesan yang menyeronokkan dan memuaskan akan memungkinkan gerak balas itu berulang. Apabila situasi berulang, hubungan gerak balas dengan situasi adalah merangsangkan.

Guru hendaklah menyediakan suasana pembelajaran yang dapat membawa kepada perasaan rasa berjaya. Sekiranya pelajar dapat menguasai pembelajaran atau mendapat pujian, pelajar akan berasa puas hati dan gembira. Situasi ini akan membuatkan pelajar akan berusaha dengan lebih gigih untuk terus berjaya.

Sebagai contoh, guru boleh menyediakan suasana pembelajaran yang dapat membawa kepada perasaan rasa berjaya dengan cara menyediakan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan dan memberi pengetahuan. Salah satu aktiviti yang sesuai ialah aktiviti yang berunsurkan pertandingan seperti Kuiz Siapa Cepat Dia Dapat. Dalam aktiviti kuiz ini, murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kemudian, murid dikehendaki menjawab soalan kuiz Matematik secara berkumpulan dan markah akan direkodkan. Di akhir aktiviti, akan diumumkan kumpulan yang mendapat markah tertinggi dan seterusnya diiktiraf sebagai pemenang kuiz. Aktiviti seperti ini bukan sahaja memberi keseronokan dan perasaan berjaya kepada murid, malah ia dapat memberi motivasi kepada murid untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya.

3.0 TEORI KOGNITIVISME

Menurut Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), teori pembelajaran kognitif melihat pembelajaran sebagai perubahan proses mental yang berlaku secara aktif. Antara tokoh-tokoh dalam terkenal dalam teori kognitivisme ini ialah Jean Piaget dan Jerome Bruner.

3.1 Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget

Menurut Noor Shah Saad dan Sazelli Abdul Ghani (2008), teori Piaget menyatakan bahawa perkembangan kognitif manusia berlaku mengikut empat peringkat tahap perkembangan. Empat peringkat tersebut ialah peringkat deria motor, peringkat pra operasi, peringkat operasi konkrit dan peringkat operasi formal.

a) Peringkat deria motorPeringkat ini bermula dari masa lahir hingga ke umur dua tahun. Kanak-kanak mengetahui alam sekitarnya melalui kesan deria dan gerak balasnya. Mereka mengetahui benda-benda wujud dalam alam persekitaran mereka secara fizikal dan bukan fizikal, tetapi tidak berfikir langsung kenapa benda itu wujud. Misalnya, kanak-kanak tahu ibu akan mendampinginya jika dia menangis. Dia juga mengetahui adanya perhubungan antara benda-benda. Misalnya, jika dia berasa lapar, dia menangis; jika hendak menaiki meja, dia akan menggunakan kerusi.

b) Peringkat pra operasiPeringkat ini bermula dari umur dua tahun hingga ke enam tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak lebih sosial dan menggunakan bahasa serta tanda untuk menggambarkan sesuatu konsep. Mereka masih tidak dapat membuat perbandingan antara benda, tidak mengetahui padanan satu dengan satu antara objek dan hubungan antara objek, tidak dapat mengelaskan objek-objek mengikut saiz, warna dan sebagainya. Tambahan pula, pemikiran mereka dipengaruhi oleh apa yang diamatinya.

c) Peringkat operasi konkritPeringkat ini bermula dari umur enam tahun hingga dua belas tahun. Kanak-kanak mula dapat mengekalkan konsep padanan 1 dengan 1 antara dua set, mereka dapat juga memahami konsep keterbalikan dan dapat membalikkan proses secara abstrak.Pada peringkat ini juga, kanak-kanak dapat mempelajari lebih daripada dua perkara pada satu masa dan dapat menguasai konsep keabadian. Selain itu, kanak-kanak mempunyai kebolehan mengelas, menyusun dan membezakan objek-objek. Mereka dapat juga memahami aritmetik asas, jisim, panjang, sifat transitif dan proses matematik. Tetapi pembelajaran berkesan masih bergantung kepada objek-objek konkrit dan pengalaman secara langsung.

d) Peringkat operasi formal Peringkat ini bermula daripada umur dua belas tahun. Kanak-kanak memasuki peringkat pemikiran abstrak. Mereka mempunyai kebolehan berfikir tanpa pengalaman konkrit, membuat kesimpulan dengan menstrukturkan situasi secara mental, misalnya, membuktikan teori-teori matematik dan menyelesaikan soalan penyelesaian masalah matematik. Selain itu, mereka dapat menggunakan simbol-simbol matematik dan mengulas idea abstrak, mengaitkan satu konsep dengan konsep yang lain, memanipulasikan konsep secara mental dan menggunakan logik dalam menyelesaikan masalah.

3.2 Teori Pembelajaran Penemuan Bruner

Teori pembelajaran penemuan Bruner memberi penekanan kepada pembelajaran berpusatkan murid dan berbentuk induktif. Menurut Noor Shah Saad dan Sazelli Abdul Ghani (2008), Bruner mengkategorikan teori pembelajaran kepada tiga peringkat iaitu enaktif (berasaskan perlakuan), ikonik (berasaskan imejan) dan simbolik (berasaskan bahasa). Teori ini juga menekankan penggunaan bahan manipulatif dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Enaktif (0-2 tahun) Pembelajaran berdasarkan pergerakan dan tingkah laku kanak-kanak.

Ikonik (2-4 tahun) Pembelajaran tidak terhad kepada pergerakan badan kanak-kanak tetapi juga menggunakan otak untuk membantu kanak-kanak berfikir dan membayangkan imej di dalam minda mereka.

Simbolik (5-7 tahun)Kanak-kanak pada peringkat ini boleh berfikir dengan menggunakan bahasa yang betul. Mereka mendapat konsep baru setiap masa dan menggunakan konsep baru tersebut secara meluas. Mereka juga boleh memanipulasi simbol.

Jadual 3.1: Peringkat pembelajaran Bruner

Menurut Noor Shah Saad dan Sazelli Abdul Ghani (2008), Bruner mencadangkan bahawa kesediaan murid untuk belajar bergantung kepada kesesuaian penggabungan ketiga-tiga peringkat pembelajaran iaitu enaktif, ikonik dan simbolik. Oleh itu, proses pembelajaran harus di bangunkan berdasarkan susunan peringkat pembelajaran tersebut. Pengetahuan dipersembahkan dalam bentuk maklumat. Pelbagai jenis bahan boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat. Berikut merupakan sebahagian contoh bahan yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Jenis bahanEnaktifIkonikSimbolik

Manipulatif Bahan maujud dan model objek. Cip bergambar Kad nombor dan kad simbol.

Bercetak Buku teks, poster, gambar fotografik Buku teks dan poster

Paparan Transperansi dan filem Transperansi, filem dan slaid Transperansi, filem dan slaid

Interaktif Perisian komputer Perisian komputer Perisian komputer

Jadual 3.2: Jenis bahan pengajaran dan pemelajaran matematik mengikut peringkat pembelajaran teori Bruner

Contoh penggunaan ketiga-tiga peringkat ini dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik ialah murid menggunakan blok asas sepuluh untuk meneroka operasi asas aritmetik dan nilai tempat. Satu set blok asas sepuluh terdiri daripada ukuran kubus 1 cm x 1 cm, ukuran rod 10 cm x 1 cm dan ukuran blok 10 cm x 10 cm x 1 cm. satu unit kubus mewakili 1, satu rod mewakili 10 dan satu blok mewakili 100.

Blok (100)Unit (1)Rod (10)

Gambar rajah 3.1

Jika murid diminta untuk membuat penambahan 122 + 231, mereka dapat mewakili operasi ini menggunakan blok asas sepuluh seperti dalam gambar rajah 3.2.

Gambar rajah 3.2+

Murid menyedari terdapat 3 blok, 5 rod dan 3 kubus dan ini memberikan jumlah sebanyak 353.

4.0 TEORI KONSTRUKTIVISME

Menurut Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), konstruktivisme ialah teori pembelajaran yang melihat pelajar sebagai pembina pengetahuan, bukannya sebagai penerima pengetahuan. Murid membina pengetahuan tentang topik yang dipelajari dengan cara mengaitkannya dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada masing-masing, bukannya menerima bulat-bulat pengetahuan yang disampaikan.

Mengikut Noor Shah Saad dan Sazelli Abdul Ghani (2008), Solomon (1990) percaya bahawa kanak-kanak harus belajar matematik melalui pengalaman mereka sambil berinteraksi secara fizikal dengan persekitaran sosial mereka. Dengan cara itu, pembelajaran baru akan wujud apabila idea yang lama distrukturkan semula melalui penyelesaian masalah dan pembinaan konsep baru. Menurut mereka lagi, Hiebert (1990) menyediakan satu situasi di mana murid pra sekolah mengembangkan pemahaman mereka mengenai penambahan dan penolakan. Dalam situasi tersebut, murid diberi masalah dalam bentuk ayat di mana murid tersebut menerima tiga hadiah daripada kawan baiknya dan empat hadiah daripada keluarganya sempena sambutan hari lahirnya. Masalah tersebut memerlukan murid tersebut mencari jumlah hadiah yang dia terima. Untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya, murid tersebut menggunakan blok-blok untuk membantu dia mengira dan menjawab soalan. Dia kemudian merekod hasil pengiraannya iaitu 3 + 4 = 7 di atas sehelai kertas. Oleh itu, murid tersebut dikatakan telah membina 3 bentuk perhubungan iaitu suasana masalah sebenar, penggunaan objek konkrit dan menulis secara simbolik. Proses ini membantu murid membangunkan pemahaman mereka tentang konsep penambahan. 4.1 Teori Konstruktivisme Sosial Lev Vygotsky

Menurut Vygotsky, perkembangan konsep kanak-kanak berkembang secara sistematis, logikal serta rasional dengan bantuan dan bimbingan verbal orang lain. Lantaran itu, konteks sosial memainkan peranan utama dalam pembelajaran. Justeru, teori ini melihat pembelajaran manusia dalam konteks sosiobudaya. Dalam konteks sosial inilah individu berkongsi dan saling membina pengetahuan baru.

4.1.1 Zon Perkembangan Terdekat Menurut vygotsky, isi pelajaran mudah dikuasai oleh murid jika berasaskan skema ataupun pengetahuan sedia ada. Zon perkembangan terdekat (ZPD) merujuk kepada tugasan pembelajaran yang sukar dilakukan sendiri oleh murid tetapi dapat menguasainya dengan bimbingan orang lain yang lebih mahir.

Sekiranya murid dapat melakukan pembelajaran secara sendiri, isi pelajaran tersebut dikatakan berada pada zon bawah. Sebaliknya, jika murid dapat menguasai tugasan dengan bimbingan orang lain, tugasan tersebut berada dalam ZPD.

Isi pelajaran yang berada di luar zon aras bawah bermakna tidak berlaku pembelajaran kerana murid sudah menguasai isi pelajaran. Isi pelajaran yang berada di zon aras atas, tidak akan dapat dikuasai murid walaupun dengan bimbingan orang lain. Contohnya, jika murid belum menguasai olahan tambah, murid tidak akan dapat belajar olahan darab kerana skema olahan tambah perlu ada dalam struktur kognitif murid untuk mempelajari topik pendaraban.

Bagi membantu murid menguasai isi pelajaran yang berada dalam ZPD, teknik scaffolding diperkenalkan iaitu proses membimbing dan membantu pembelajaran. Scaffolding ialah peringkat bimbingan dan sokongan yang dilakukan mengikut keperluan murid. Bimbingan akan dikurangkan apabila murid telah menguasai peringkat demi peringkat. Akhirnya, bimbingan dilepaskan apabila pelajar telah dapa melakukannya sendiri. Berikut merupakan cadangan yang boleh digunakan oleh guru untuk mengaplikasikan teknik scaffolding dalam pengajaran matematik: a) Galakkan murid bertanya dan beri jawapan yang munasabah bagi soalan mengapa san bagaimana yang ditimbulkan oleh murid. b) Minta pelajar membuat jangkaan terhadap perkara yang akan berlaku apabila membuat uji kaji di dalam kelas. c) Guna analogi untuk membantu murid mengaitkan konsep dan idea baru kepada pengetahuan sedia ada mereka. d) Sertakan model simbolik atau model sebenar untuk membantu murid membuat rumusan tentang sesuatu entiti atau fenomenon. e) Beri penjelasan sesuai dengan aras kognitif murid. f) Minta murid membuat refleksi dan mengaitkan isi pelajaran yang telah dipelajari.

5.0 TEORI HUMANISME

Menurut Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), humanisme melihat manusia sebagai makhluk yang istimewa dan mempunyai keupayaan yang tidak serupa dengan haiwan. Humanisme percaya bahawa manusia bertindak atas dasar keperluan, motivasi, minat dan nilai. Humanisme juga percaya bahawa individu harus dilihat sebagai satu entiti. Gagne dan Berliner (1991) menyenaraikan lima objektif asas pendidikan daripada pandangan humanisme. Antaranya ialah : a) Memupuk pembelajaran arah kendiri dan tidak bergantung pada orang lain. b) Mengembangkan keupayaan bertanggungjawab ke atas pembelajaran dan perkara yang dipelajari. c) Mengembangkan kreativiti dan pemikiran bercapah. d) Mencungkil dan mengembangkan daya ingin tahu serta penerokaan. e) Mengembangkan kecenderungan aspek seni dan emosi. Menurut Gagne dan Berliner (1991), prinsip-prinsip pendekatan humanisme merangkumi: 1) Murid akan mudah belajar perkara yang ingin dipelajari oleh mereka dan perkara yang ingin diketahui oleh mereka.2) Mengetahui cara belajar adalah lebih penting daripada memiliki banyak pengetahuan. 3) Penilaian kendiri hasil kerja murid merupakan penilaian yang lebih bermakna, namun murid perlu dapat mencapai tahap pencapaian yang ditetapkan. 4) Perasaan adalah sama penting dengan fakta. 5) Murid belajar lebih baik dalam persekitaran yang tidak mengancam seperti selamat secara fizikal, emosional, psikologikal serta nyaman. Dua tokoh utama dalam teori humanisme ini ialah Carl Rogers dan Abraham Maslow.

5.1 Teori Carl Rogers

Carl Rogers beranggapan bahawa manusia pada dasarnya adalah baik dan mempunyai motivasi yang tinggi untuk mencapai potensi diri. Sebagai insan yang baik, jika dijuruskan ke arah yang betul akan berkembang secara positif, baik rohani mahupun jasmani.

Rogers terkenal dengan teori pembelajaran pengalaman (experiential learning). Pembelajaran pengalaman melibatkan aplikasi pengetahuan. Contohnya belajar kemahiran asas mengira seperti menambah, menolak, mendarab dan membahagi untuk diaplikasikan di dalam kehidupan seharian seperti situasi ketika membeli di pasar raya. Menurut Rogers, pembelajaran pengalaman mengambil kira keperluan dan kehendak murid. Lantaran itu, pembelajaran ini melibatkan perkembangan personel, motivasi, daya usaha, penilaian kendiri dan mempunyai kesan jangka panjang.

Pembelajaran pengalaman ialah belajar melalui proses membuat. Murid akan terlibat secara aktif dalam pembelajaran, merancang, membuat kajian, menghasilkan sesuatu yang pasti akan ada hasil dan kesan yang merangsangkan. Dengan yang demikian, murid meneroka, mencari jalan penyelesaian, membuat uji kaji, kajian dan sebagainya. Melalui proses membuat sendiri, terutama dalam kumpulan, murid akan belajar bekerjasama, berfikir, merancang, menghayati nilai dan memupuk sikap yang baik. Melalui pembelajaran pengalaman ini, murid dapat belajar mengambil tanggungjawab ke atas pembelajaran sendiri.

5.2 Teori Abraham Maslow

Menurut Abraham Maslow, keperluan fisiologi dan keperluan psikologi perlu dipenuhi agar seseorang itu bermotivasi untuk mengembangkan potensi diri, belajar perkara baru, memanipulasi keupayaan diri sepenuhnya serta berjaya mencabar diri untuk melakukan yang terbaik.

Untuk memastikan murid dapat belajar dengan baik, seorang guru Matematik hendaklah : a) Memastikan keperluan fisiologi murid dapat dipenuhi. Contohnya, pastikan murid mendapat makanan dan minuman, ada masa rehat dan pengudaraan bilik darjah yang baik. b) Menyediakan keadaan fizikal bilik darjah selamat seperti susun atur meja dan kerusi, saiz meja dan kerusi sesuai dengan saiz murid, tiada ancaman buli, ada peraturan dan rutin bilik darjah yang sesuai, wujudkan semangat setia kawan dan dinamika kumpulan. c) Menerima individu (murid) sebagai insan yang ada potensi. Layan murid sebagai individu bukan sebagai kelas dan kenali nama setiap murid. d) Berikan tugasan yang sesuai dengan keupayaan murid supaya murid dapat berjaya membuatnya. Perkara ini akan menimbulkan rasa berjaya dan meningkatkan harga diri murid. Selain itu, beri peneguhan dan pengiktirafan bagi hasil kerja murid.

6.0 KESIMPULAN

Proses pengajaran dan pembelajaran Matematik dalam bilik darjah harus dirancang dengan rapi agar ilmu pengetahuan yang diajari dapat disampaikan kepada murid dengan berjaya. Perancangan yang rapi dapat dilakukan apabila mengikuti panduan yang betul. Contohnya, perancangan pengajaran Matematik berpandukan beberapa teori yang telah dinyatakan sebelum ini, iaitu teori behaviorisme, teori kognitivisme, teori konstruktivisme dan teori humanisme. Dengan ada perancangan yang rapi serta berpandukan teori-teori ini, maka proses pengajaran dan pembelajaran Matematik dapat dilaksanakan dengan baik dan berjaya.

SUMBER RUJUKAN

Mok Soon Sang. (2003). A mathematics course for diploma education. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn BhdNoor Shah Saad & Sazelli Abdul Ghani. (2008). Teaching mathematics in secondary schools: theories and practices. Perak: Universiti Pendidikan Sultan IdrisNoraini Idris. (2001). Pedagogi dalam pendidikan matematik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan alam belajar. Selangor: Oxford Fajar Sdn BhdZawawi Hussin. (2010). Teori-teori pembelajaran matematik. Diakses dari http://amirasofea-matematik.blogspot.com/2010/08/teori-teori-pembelajaran-matematik.html

REFLEKSI INDIVIDU MTE3107OLEH : RUZANA BINTI HAMZAHUNIT : PISMP MATEMATIK AMBILAN JANUARI 2012

KEKUATAN

Semasa menjalankan kerja kursus MTE 3107 ini, terdapat beberapa kekuatan yang saya perolehi. Salah satunya ialah tugasan yang diberikan dalam kerja kursus ini sangat menarik. Tugasan yang diberikan ialah guru pelatih dikehendaki membuat satu rancangan pengajaran mikro matematik dan membuat rancangan pengajaran harian bagi pengajaran mikro tersebut. Semasa membuat rancangan pengajaran harian, saya menyedari bahawa dalam menyediakan rancangan pengajaran harian, sukatan pelajaran dan rancangan pengajaran perlu dijadikan rujukan agar rancangan pengajaran harian yang dihasilkan berstruktur dan terancang.

Seterusnya, semasa pengajaran mikro, saya dapat mengetahui lebih lanjut tentang penghasilan rancangan pengajaran harian apabila diberi penerangan oleh pensyarah MTE3107 iaitu Dr. Hajah Rosnah. Guru pelatih dikehendaki membuat dua pengajaran mikro iaitu pengajaran KSSR dan KBSR. Saya membentangkan bahagian KSSR.

Semasa membuat penulisan artikel, saya dapati bahawa setiap teori-teori pengajaran dan pembelajaran mempunyai kelebihan dan kekurangan. Walau bagaimanapun, kesemua teori yang dibincangkan iaitu teori behaviorisme, kognitivisme, konstruktivisme dan humanisme boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik.

Akhir sekali, kerja kursus ini memberi peluang kepada guru pelatih untuk bekerjasama dan memberi komitmen terhadap tugasan yang diberikan, serta kerja kursus ini memberi pendedahan awal kepada guru pelatih mengenai proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

KELEMAHANKerja kursus ini pada pendapat saya tidak mempunyai sebarang kelemahan. Namun, semasa menjalankan tugasan ini, saya menghadapi beberapa kesukaran yang saya kategorikan sebagai kelemahan semasa menjalankan tugasan.Salah satu kelemahan yang saya dapati ialah semasa membuat bahan bantu belajar, saya menggunakan bahan-bahan yang kurang kukuh. Oleh itu, semasa membentangkan rancangan pengajaran mikro, saya mengalami kesukaran untuk menggunakan bahan bantu belajar tersebut. Selain itu, semasa membentangkan rancangan pengajaran harian, Dr. Hajah Rosnah telah memberi komen terhadap rancangan pengajaran harian KSSR yang saya bentangkan. Beliau mengatakan bahawa dalam sesi perkembangan, tidak ada penekanan makna setiap prisma. Ini merupakan kesilapan saya semasa merancang rancangan pengajaran harian. Beliau juga memberi komen bahawa di akhir rancangan pengajaran harian, perlu disediakan ruang untuk refleksi.

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN DAN HARAPAN Setelah menjalankan kerja kursus ini, saya telah melakukan penambahbaikan terutamanya dalam penulisan dan perancangan rancangan pengajaran harian KSSR. Saya telah memberi butiran mengajar tentang penekanan kepada makna setiap prisma di dalam rancangan pengajaran harian KSSR kumpulan saya. Saya juga telah membuat pembaikan terhadap bahan bantu belajar yang telah saya dan ahli kumpulan saya yang lain bina sebelum pengajaran mikro berlangsung. Akhir sekali, diharapkan agar kerja kursus seperti ini dapat dijalankan pada masa akan datang. Hal ini kerana, melalui kerja kursus ini, guru pelatih dapat didedahkan dengan suasana proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Selain itu, kerja kursus ini memberi peluang kepada para guru pelatih untuk lebih bersedia menghadap cabaran sebagai seorang guru apabila berada di sekolah kelak.