Othman Lebar

10
Perbezaan pencapaian peperiksaan SPM di antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan merupakan suatu isu yang sering diperkatakan pada masa kini. Terdapat beberapa faktor penyebab berlakunya perkara ini. Faktor-faktor tersebut adalah faktor diri pelajar, guru, dan juga rakan sebaya. Faktor pertama adalah faktor diri pelajar sendiri. Faktor ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu gaya pembelajaran dan juga sikap pelajar yang berlainan di antara pelajar lelaki dan perempuan. Menurut Dr. Zalizan Mohd Jelas (2001), dalam kajiannya tentang gaya pembelajaran, beliau menyatakan bahawa pelajar perempuan mengamalkan gaya pembelajaran yang lebih concrete sequential dalam proses pembelajaran berbanding pelajar lelaki. Pelajar perempuan dikatakan lebih bersedia dari segi persediaan untuk menghadiri kelas, mengambil nota pelajaran, menumpukan perhatian dan cuba memahami apa yang dipelajari dalam kelas berbanding pelajar lelaki. Persediaan ini membuatkan mereka lebih mudah memahami pelajaran dan membantu meningkatkan pencapaian Peperiksaan SPM mereka berbanding pelajar lelaki. Dalam kajian Dunn & Griggs (1995) dalam Kamarul Ariffin (2007), menunjukkan bahawa pelajar yang menggunakan gaya pembelajaran tertentu akan mendapat pencapaian yang lebih baik berbanding dengan pelajar yang tidak menggunakan gaya pembelajaran.

description

tq

Transcript of Othman Lebar

Perbezaan pencapaian peperiksaan SPM di antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan merupakan suatu isu yang sering diperkatakan pada masa kini. Terdapat beberapa faktor penyebab berlakunya perkara ini. Faktor-faktor tersebut adalah faktor diri pelajar, guru, dan juga rakan sebaya.

Faktor pertama adalah faktor diri pelajar sendiri. Faktor ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu gaya pembelajaran dan juga sikap pelajar yang berlainan di antara pelajar lelaki dan perempuan.

Menurut Dr. Zalizan Mohd Jelas (2001), dalam kajiannya tentang gaya pembelajaran, beliau menyatakan bahawa pelajar perempuan mengamalkan gaya pembelajaran yang lebih concrete sequential dalam proses pembelajaran berbanding pelajar lelaki.

Pelajar perempuan dikatakan lebih bersedia dari segi persediaan untuk menghadiri kelas, mengambil nota pelajaran, menumpukan perhatian dan cuba memahami apa yang dipelajari dalam kelas berbanding pelajar lelaki. Persediaan ini membuatkan mereka lebih mudah memahami pelajaran dan membantu meningkatkan pencapaian Peperiksaan SPM mereka berbanding pelajar lelaki.

Dalam kajian Dunn & Griggs (1995) dalam Kamarul Ariffin (2007), menunjukkan bahawa pelajar yang menggunakan gaya pembelajaran tertentu akan mendapat pencapaian yang lebih baik berbanding dengan pelajar yang tidak menggunakan gaya pembelajaran.

Selain itu beliau menekankan bahawa gaya pembelajaran pelajar mempengaruhi pencapaian seseorang pelajar. Pelajar perempuan mempunyai pelbagai gaya pembelajaran berbanding dari gaya pembelajaran pelajar lelaki yang tidak menentu. Gaya pembelajaran pelajar perempuan yang teratur membuatkan mereka lebih menguasai pelajaran tersebut.

Di samping itu, menurut Mat Hasrizam bin Said (2004), perbezaan sikap terhadap pembelajaran antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan dengan pencapaian akademik. Sikap pelajar dibahagikan kepada lima iaitu minat, keyakinan, kegelisahan, persepsi terhadap guru dan persepsi kepentingan peperiksaan SPM.

Hasil daripada kajian, beliau menyatakan bahawa pelajar perempuan mempunyai skor min yang lebih tinggi daripada pelajar lelaki. Ini bermaksud, pelajar perempuan lebih bersikap positif dalam pembelajaran. Sikap ini membenarkan pelajar perempuan mempunyai kelebihan dalam memahami dan menguasai pembelajaran dan boleh meningkatkan pencapaian mereka.

Menurut Neale (1967) dalam artikelnya yang bertajuk The Pole of Attitudes in Learning Mathematics dalam Mat Hasrizam bin Said (2004), sikap dan kepercayaan terhadap Matematik mempengaruhi objektif pengajaran Matematik. Sikap ini mempengaruhi pembelajaran Dan pengajaran seseorang pelajar di mana sikap yang positif seseorang pelajar terhadap Proses pembelajaran dan pengajaran akan menyebabkan pelajar tekun belajar dan mempunyai pencapaian yang lebih baik berbanding pelajar yang mempunyai sikap yang negatif.

Selain itu, guru juga merupakan salah satu faktor berlakunya situasi ini. Faktor guru juga dibahagikan kepada dua elemen iaitu kaedah mengajar yang tidak menarik perhatian pelajar dan juga persepsi guru terhadap pelajar lelaki dan perempuan. Menurut Dr. Zalizan bin Mohd Jelas (2001), pengajaran guru meliputi aspek-aspek strategi pengajaran, penggunaan sumber, penerapan kemahiran berfikir, penerapan nilai, penampilan, pengurusan bilik darjah, penggunaan ganjaran daan hukuman, keperihatinan dan penilaian.

Menurut Norawati binti Hashim (2004), strategi pengajaran yang biasa digunakan oleh guru adalah kaedah tradisional yang biasa dilaksanakan oleh guru-guru sebelum ini iaitu guru hanya memberi penerangan tanpa melakukan sebarang aktiviti yang menarik. Kaedah ini tidak sesuai untuk pelajar lelaki kerana mereka akan mudah hilang fokus dan tidak menumpukan perhatian kepada pembelajaran kerana berasa jemu. Berlainan dengan pelajar perempuan yang boleh menerima pengajaran secara tradisional ini. Pelajar perempuan dikatakan lebih bersedia untuk menghadiri kelas dan mereka akan fokus dengan pengajaran guru. Walau apa kaedah yang digunakan sekali pun, pelajar perempuan tetap fokus.

Menurut Norawati binti Hashim (2004) dalam kajiannya, beliau menyatakan bahawa guru seharusnya kreatif dalam pengajaran supaya dapat manarik minat pelajar terhadap proses pembelajaran. Peranan guru adalah penting untuk mewujudkan kreativiti di dalam bilik darjah. Leonard M.S et al (1996, m.s. 47) dalam Norawati binti Hashim telah menyatakan bahawa kreativiti di dalam bilik darjah boleh dan seharusnya memimpin murid-murid supaya lebih berminat dan mengambil bahagian dalam pengalaman dan pengajaran.Di samping itu, persepsi guru terhadap pelajar lelaki dan perempuan juga mempengaruhi perbezaan pencapaian dalam peperiksaan SPM kedua-dua jantina ini. Persepsi guru terhadap pelajar lelaki dan perempuan dilihat dari aspek motivasi, minat, kepatuhan kepada arahan, ketepatan masa, kesediaan untuk belajar, tanggungjawab, kebolehterimaan pelajaran, kekemasan kerja, kesungguhan, inisiatif, kreativiti dan inovatif. Dr. Zalizan bin Mohd Jelas (2001) dalam kajiannya, mengkaji perbandingan persepsi guru lelaki dan guru perempuan terhadap pelajar lelaki dan pelajar perempuan yang mempengaruhi pencapaian kedua-dua jantina pelajar.

Hasil kajian menunjukkan bahawa guru lelaki secara keseluruhannya mempunyai persepsi positif terhadap pelajar lelaki dan juga pelajar perempuan berbanding guru perempuan. Dengan lain perkataan, guru lelaki tidak mempunyai persepsi yang berbeza terhadap pelajar lelaki dan perempuan. Mereka tidak bias dalam melabelkan kebolehan pelajar, baik pelajar lelaki mahupun pelajar perempuan, berbanding guru perempuan. Keadaan ini turut dikukuhkan lagi dalam kajian Brophy dan Evertson (1981) dan Bank (1987).

Guru perempuan pula mempunyai pandangan yang kurang positif terhadap pelajar lelaki. Keadaan ini boleh mempengaruhi tingkah laku dan sikap guru terhadap pelajar. Menurut Dr. Zalizan lagi, guru perempuan kurang memberi perhatian kepada pelajar lelaki yang dianggap bermasalah di dalam kelas. Guru lebih memberi perhatian kepada pelajar perempuan yang sering mengikut arahan guru dan mudah untuk dikawal.

Pelajar lelaki sering kali dikatakan hilang fokus di dalam kelas, mengganggu rakan lain serta tidak membuat kerja rumah. Guru perempuan akan mengambil tindakan untuk mengabaikannya sekiranya segala amaran dan peringatan yang diberikan tidak dihiraukan. Dengan mengabaikan pelajar lelaki di dalam kelas, sudah semestinya akan mengganggu pencapaian mereka dalam Peperiksaan SPM kerana mereka tidak dapat menguasai pelajaran yang diajar. Maka wujudlah perbezaan pencapaian Peperiksaan SPM di antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan.

Berdasarkan apa yang dinyatakan, maka sudah tentulah amat penting sekali bagi guru-guru untuk mewujudkan persekitaran bilik darjah yang kreatif serta sesi pengajaran yang menarik. Di samping itu, guru tidak harus bersikap bias terhadap pelajar lelaki dan pelajar perempuan .

Pelajar dikatakan mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Remaja biasanya akan memilih rakan sebaya yang mempunyai persamaan tingkah laku, sikap dan identiti dengan mereka (Akers, Jones & Coyle, 1998; Hogue & Steinberg, 1995). Selain dipengaruhi mereka juga didominasi oleh rakan sebaya (Brown, 1990) dalam Norawati binti Hashim(2004).

Pelajar perempuan biasanya akan berkawan dengan rakan-rakan yang berada di sekeliling mereka seperti rakan sekelas. Sikap pelajar perempuan yang mementingkan pelajaran, akan mempengaruhi rakan-rakan mereka yang lain untuk sama-sama mementingkan pelajaran. Menurut Zalizan bin Mohd Jelas (2001), pelajar perempuan akan belajar bersama dan berkongsi pendapat sekiranya terdapat sebarang keraguan. Dengan aktiviti seperti ini, pelajar perempuan lebih menguasai pelajaran yang dipelajari dan mendapat pencapaian yang lebih baik.Berbanding pelajar lelaki, mereka lebih gemar berkawan dengan rakan yang lebih tua. Pergaulan sosial yang melampau seperti melepak, berlumba haram, dan macam-macam lagi mudah diikut kerana bagi mereka perkara itu sesuatu yang bebas untuk dilakukan berbanding mengulangi pelajaran. Menurut Syarifah Alwiah Alsagoff (1988), segala gerak-geri dan tingkah laku akan ditiru atau diikuti oleh rakan sebaya. Disebabkan pergaulan dengan rakan-rakan yang tidak minat untuk menimba ilmu, pelajar lelaki tidak menguasai pelajaran yang dipelajari kerana tidak membuat latihan yang diberi dan hilang fokus dalam kelas. Maka, pencapaian mereka adalah lebih rendah berbanding pelajar perempuan.

Bagi mengatasi masalah perbezaan pencapaian Peperiksaan SPM antara pelajar lelaki dan perempuan, beberapa cadangan telah dikenalpasti yang berkemungkinan boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini.

Pelajar lelaki biasanya memerlukan suasana pembelajaran yang lebih interaktif. Mereka merasa resah dan gelisah serta sukar menerima apa yang diajar sekiranya terpaksa berdiam diri dan hanya mendengar apa yang diajar guru. Sukar bagi seorang pelajar lelaki untuk belajar jika cara penyampaian membosankan. Jadi, apa yang ingin dicadangkan di sini ialah guru perlulah merancang kaedah pembelajaran yang boleh menarik minat pelajar lelaki.

Cadangan kedua yang mungkin boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah perbezaan pencapaian ini ialah dengan memberikan tumpuan yang seimbang. Ibu bapa dan guru perlu memberikan perhatian kepada pelajar lelaki sama seperti yang diberikan kepada pelajar perempuan. Galakkan pelajar lelaki belajar mengikut cara yang disukainya.

Cadangan ketiga yang mungkin boleh dilaksanakan ialah dengan mengawal aktiviti pelajar lelaki. Dapatan kajian Zalizan (2005), menunjukkan keluarga lebih mengawal pelajar perempuan lalu menyebabkan mereka mempunyai lebih ruang dan peluang untuk memberikan lebih tumpuan kepada pelajaran. Sebaliknya pelajar lelaki diberikan lebih kebebasan oleh keluarga. Kurang kawalan keluarga terhadap pelajar lelaki menyebabkan mereka terbiar. Keluarga perlu memainkan peranan dalam mengawal aktiviti pelajar lelaki agar kebebasan yang diberikan adalah kebebasan yang terkawal.

Seterusnya, cadangan yang mungkin boleh dilaksanakan adalah melibatkan guru dan kaunselor sekolah. Guru dan kaunselor sekolah haruslah memainkan peranan untuk membantu pelajar lelaki supaya berminat terhadap proses pembelajaran dan pengajaran dan secara tidak langsung boleh membantu mereka meningkatkan pencapaian mereka di dalam peperiksaan SPM. Peranan guru adalah dengan mengenalpasti pelajar lelaki yang lemah dalam proses pemebelajaran untuk di bawa berjumpa dengan kaunselor dan peranan kaunselor pula memberi khidmat nasihat dan menyedarkan mereka kepentingan peperiksaan SPM untuk masa hadapan. Ini mungkin akan boleh memotivasikan pelajar lelaki untuk meningkatkan pencapaian mereka dalam peperiksaan SPM.

Beberapa langkah mengatasi seperti yang dicadangkan mungkin boleh membantu dalam meningkatkan pencapaian peperiksaan SPM pelajar lelaki bagi mengurangkan jurang perbezaan pencapaian antara jantina. Semua pihak harus bekerjasama dalam membantu dan menggalakkan pelajar lelaki meningkatkan pencapaian mereka dalam peperiksaan SPM. Prestasi pencapaian akademik pelajar adalah berkaitan dengan tahap kecemerlangan seseorang individu atau sejauh mana seseorang individu dapat menguasai ilmu yang dipelajari berdasarkan kepada purata nilai gred yang tertinggi yang dapat dikumpul. Isu perbezaan pencapaian akademik mengikut gender dalam pendidikan sering dikaji oleh pengkaji di serata dunia.

Berdasarkan perbincangan dan penyelidikan yang dilakukan di dapati bahawa pencapaian Matematik pelajar perempuan lebih menyerlah berbanding pelajar lelaki. Antara faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku adalah seperti yang telah dibincangkan termasuklah dakwaan bahawa stail pengajaran dan pengujian yang lebih berpihak kepada pelajar perempuan. Hasil kajian yang ditinjau juga mendapati bahawa pelajar perempuan mempunyai sikap yang lebih positif dan memberi perhatian yang lebih serius berbanding pelajar lelaki.

Berdasarkan perbincangan di dalam kelas juga, Dr. Lim telah mengemukan pandangan beliau bahawa pelajar lelaki dan pelajar perempuan mempunyai keupayaan yang sama. Pelajar perempuan akan menjadi lebih bagus pencapaiannya jika diberi peluang. Pelajar perempuan akan menunjukkan prestasi yang baik kerana diberi peluang dan melalui peluang yang diberikan, pelajar perempuan akan berusaha untuk menonjolkan keupayaannya.

Sehubungan dengan itu, kerjasama daripada semua pihak amatlah perlu bagi mengatasi masalah ini. Semua pihak harus berganding bahu dan memastikan perbezaan pencapaian antara jantina dapat dikurangkan.