PEMBANGUNAN DI MALAYSIA TELAH MEMBAWA KEPADA KEMEROSOTAN KUALITI ALAM SEKITAR

download PEMBANGUNAN DI MALAYSIA TELAH MEMBAWA KEPADA KEMEROSOTAN KUALITI ALAM SEKITAR

If you can't read please download the document

Transcript of PEMBANGUNAN DI MALAYSIA TELAH MEMBAWA KEPADA KEMEROSOTAN KUALITI ALAM SEKITAR

FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN PUSAT PENGAJIAN SOSIAL, PEMBANGUNAN DAN PERSEKITARAN SKAG 3113 PEMBANGUNAN & PENGURUSAN ALAM SEKITARSEMESTER 1 SESI 2010/2011

PENSYARAH: DR NOORAZUAN BIN MD HASHIM

NAMA NO MATRIK

: :

SITI NAIELAH BINTI IBRAHIM A125408

ISI KANDUNGAN

PENDAHULUAN

PERMASALAHAN KAJIAN

METODOLOGI

PERBINCANGAN

RUMUSAN

BIBLIOGRAFI

TAJUK : PEMBANGUNAN DI MALAYSIA TELAH MEMBAWA KEPADA KEMEROSOTAN KUALITI ALAM SEKITAR. BINCANGKAN.

PENDAHULUAN

Alam sekitar secara fitrahnya wujud dalam keadaan seimbang dan memerlukan keseimbangan kerana setiap komponen dalam alam sekitar saling bergantungan antara satu sama lain. Terdapat 5 komponen alam sekitar iaitu kepelbagaian organisma, ekosistem, populasi, pengkolonian dan sesaran dan juga interaksi antara organisma. Sekiranya salah satu daripadanya musnah ianya akan mengganggu atau memusnahkan komponen lain.

Pembangunan adalah satu proses untuk mencapai kemajuan dalam kehidupan. Pembangunan membawa implikasi kuantitatif dan kualitatif oleh kerana proses pembangunan melalui proses perubahan yang berterusan. Pembangunan turut meliputi pembangunan ekonomi, pembangunan teknologi, pembangunan pertanian dan juga pembangunan industri.

Pembangunan ekonomi di Malaysia mula dijalankan apabila terlancarnya Dasar Ekonomi Barun(DEB) pada tahun 1971 dan juga Rancangan Malaysia Kedua(RMK2). DEB merupakan pendekatan baru dalam rancangan pembangunan negara yang melibatkan program 20 tahun yang mana sepanjang tempoh ini pelbagai jenis pembangunan giat dijalankan termasuklah pembangunan bandar, pembangunan infrastruktur dan juga pembangunan teknologi. Ini menyebabkan penggunaan sumber alam yang banyak dan mengalami kemerosotan apabila ianya tidak dikawal.

Pembangunan

perindustrian

mula

pesat

membangun

setelah

Pelan

Induk

Pembangunan yang telah diumumkan pada tahun 1986. Pelan Induk Perindustrian (PIP) telah mengenalpasti 12 sektor industri yang patut diberi penekanan untuk pembangunan bagi memajukan negara. Tujuh daripada sektor-sektor ini adalah yang berasaskan sumber tempatan iaitu industri yang berasaskan getah, kelapa sawit, kayu-kayan, makanan, kimia,

logam bukan ferus dan keluaran- keluaran galian bukan logam. Lima sektor lagi merupakan industri yang bukan berasaskan sumber iaitu eletrik dan eletronik, peralatan

pengangkutan, mesin dan kejuruteraan, logam-logam ferus, dan tekstil dan pakaian.

Setelah terlaksananya dasar pertanian negara, bermulalah pembangunan pertanian. Dasar pertanian negara merupakan sebahagian daripada Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan dasar ini bertujuan untuk menjadikan sektor pertanian sebagai sebuah sektor yang matang, maju, berdaya saing dan berdaya tahan. Antara strategi bagi menjayakannya adalah pembukaan tanah baru,pembangunan in-situ,

perkhidmatan sokongan pertanian, pembangunan sosial dan institusi, penswastaan dan penyertaan pihak swasta dan juga pembangunan komoditi.

Sebelum merdeka, pembangunan di Malaysia lebih tertumpu kepada sektor yang membekalkan bahan mentah untuk penjajah. Namun keadaan ini berubah dari semasa ke semasa di mana ekonomi Malaysia tertumpu kepada pertanian dan juga perindustrian termasuklah perindustrian berat. Keadaan ini pastinya akan melibatkan penggunaan sumber alam dan juga alam sekitar.

PERMASALAHAN KAJIAN

Pembangunan yang tidak mengikut garis panduan yang dijalankan di kawasan pinggir pantai akan menyebabkan kemerosotan alam sekitarnya. Sebagai contoh, di kawasan pinggir pantai Pulau Tioman. Pembangunannya yang meliputi pembinaan resort dan pembinaan marina akan menjejaskan persekitaran terutamanya terumbu karang kerana terumbu karang agak sensitif dengan pencemaran. Selain itu, ianya juga turut menyebabkan masalah pencemaran air, sedimentasi, kehilangan biodiversiti dan juga pemendapan dan hakisan di suatu tempat sahaja. Malahan, ianya secara tidak langsung akan menjejaskan habitat hidupan akuatik sekitarnya.

Pembinaan Empangan Sg. Selangor telah mendapat tentangan pelbagai pihak yang mendakwa akan menjejaskan koloni kelip-kelip di Kg. Kuantan dan Bukit Belimbing. Namun begitu, hasil kajian yang dilakukan telah mendapati bahawa pembinaan empangan tidak menjejaskan populasi kelip-kelip di Sg. Kuantan. Keadaan sungai sedikit tercemar dan keruh bukannya akibat daripada pembinaan empangan tetapi berpunca daripada pertanian kelapa sawit. Pertanian kelapa sawit menyebabkan pencemaran air kerana baja dan racun daripada ladang akan menyusup masuk ke dalam tanah dan menjadi air larian dan seterusnya akan mengalir ke sungai berdekatan.

Pertambahan penduduk adalah selari dengan pembangunan yang dilakukan. Hal ini kerana, pertambahan penduduk menyebabkan bertambahnya permintaan tempat tinggal dan juga bertambahnya permintaan infrastruktur bagi memenuhi keperluan budaya dan sosial. Pada masa ini pembangunan yang dijalankan bukan hanya memberikan tekanan kepada kawasan tanah pamah di sekitar bandar utama dan pusat pertumbuhan yang sebelumnya sebaliknya turut memberi tekanan di kawasan bukit, lereng bukit serta jaluran pinggir pantai. Secara tidak langsung ini akan menyebabkan berlakunya perubahan kepada alam sekitar dan sekiranya pembangunan yang dijalankan melampaui kemampuan alam, ianya akan mendatangkan impak negatif kepada alam sekitar.

Pembangunan yang dijalankan berdekatan Sungai Skudai menyebabkan kualiti airnya menurun. Hal ini kerana aktiviti pertanian, perindustrian dan juga petempatan menyumbang kepada pencemaran di mana pertanian menyumbang kepada pencemaran daripada bahan kimia organik seperti baja. Malahan penggunaan biosid yang berlebihan dan tidak terkawal akan menyebabkan implikasi yang buruk terhadap persekitaran akuatik. Dari segi petempatan pula, penduduk sekitar koridor sungai akan menjejaskan sungai dengan aktiviti pembuangan sampah ke dalam sungai serta pelepasan sisa air domestik yang tidak dirawat. Keadaan ini pastinya menghasilkan bau busuk serta akan memudaratkan penduduk yang menggunakan air sungai itu untuk keperluan harian dengan jangkitan pelbagai penyakit. Aktiviti penternakan khinzir di kawasan berdekatan juga menjadi punca terjadinya pencemaran di Sungai Skudai.

METODOLOGI

Pengenalan

Di dalam sebuah kajian, metodologi kajian amat penting dan menjadi fokus utama bagi mengetahui bagaimana sesuatu data diperolehi. Di samping itu, metodologi juga menjadi satu petunjuk bagaimana untuk melakukan sesuatu kajian dengan cara yang ditetapkan supaya kajian yang dilakukan tidak bercelaru dan mengikut langkah yang telah ditetapkan. Sesuatu kajian yang teratur akan mempengaruhi data sesebuah kajian sama ada kajian tersebut baik atau sebaliknya.

Terdapat beberapa langkah utama dalam melakukan sesuatu kajian iaitu rujukan di perpustakaan, rujukan kajian lepas serta kerja di lapangan. Namun untuk kajian ini, hanya satu kaedah yang digunakan iaitu rujukan di perpustakaan.

Kaedah penyelidikan di perpustakaan

Kaedah ini digunakan untuk mendapatkan beberapa maklumat tertentu yang berkaitan dengan pembangunan di Malaysia dan kesannya kepada kualiti alam sekitar terutamanya dari segi pencemaran. Kaedah ini bagi membolehkan seseorang penyelidik mendapat maklumat tambahan seperti jurnel, buku akademik, laporan kerajaan, tesis-tesis yang lepas, kertas kerja yang dibentangkan di dalam dan luar negeri. Malahan data ini digunakan sebagai bukti atau sokongan semasa kajian dilakukan. Data-data ini diperolehi di Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL), perpustakaan Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran (PPSPP), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) serta pusat rujukan yang berkaitan.

Selain daripada rujukan bertulis, rujukan melalui laman sesawang juga dilakukan bagi mendapatkan maklumat yang tidak diterbitkan oleh buku bertulis. Rujukan diperolehi daripada pihak ataupun badan tertentu sama ada di dalam negara mahupun luar negara.

PERBINCANGAN

Pembangunan yang berlaku pastinya akan menyebabkan perubahan terhadap persekitaran fizikal. Pada peringkat awal petempatan manusia di negara ini, pembangunan terdapat di pinggir pantai serta di tepi-tepi sungai dan muara sungai namun ianya tidak mewujudkan tekanan yang jelas terhadap persekitaran kerana pada ketika itu, teknologi, bahan dan tenaga yang digunakan adalah lebih mesra alam. Pembangunan yang diwujudkan setelah zaman penjajah telah menyebabkan tekanan kepada persekitaran. Antara pencemaran yang telah berlaku adalah pencemaran bunyi, air, udara, bau dan berlaku perubahan suhu.

Pembangunan yang berlaku mempengaruhi bunyi bising. Hal ini kerana pembangunan negara akan seiring dengan pembangunan industri, pembangunan pengangkutan,

pembangunan teknologi dan juga pembangunan infrastruktur. Perkembangan sektor perindustrian akan mempengaruhi pembangunan pengangkutan dan juga berlakunya pertambahan penduduk. Pertambahan bilangan kenderaan bermotor dan konsentrasi penduduk yang tinggi di kawasan kediaman telah menimbulkan masalah persekitaran terutamanya di kawasan bandar. Keadaan ini akan mempengaruhi kesihatan fizikal dan psikologi manusia,terutamanya di kawasan perumahan di mana akan menyebabkan masalah bunyi.

Masalah bunyi bising turut dikesan di kawasan yang padat penduduk. Kawasan ini biasanya mempunyai masalah pencemaran bunyi bising komoditi di Malaysia. Daripada kajian yang dilakukan, sepuluh peratus daripada sampel di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur telah merekodkan aras bunyi yang melebihi 76.0 dBA dan 74.5 dBA. Aras tersebut telah melebihi standard bunyi bising yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi komoditi bandar iaitu 55 dBA. Pencemaran bunyi ini pastinya menimbulkan keadaan tidak selesa kepada penduduk yang terlibat terutamanya pada waktu tertentu seperti waktu malam, tidur ataupun waktu sedang beristirehat.

Bunyi yang berpunca daripada bunyi kapal terbang juga dikenali sebagai bunyi bising sekiranya kawasan sekitarnya berdekatan dengan kawasan lapangan terbang. Kapal terbang diperlukan bagi negara membangun seperti Malaysia bagi memudahkan ketersampaian di suatu kawasan. Sepatutnya bunyi kapal terbang tidak akan menimbulkan apa-apa masalah bunyi kepada kawasan kediaman di sekitarnya namun oleh kerana lapangan terbang di Malaysia kebanyakannya sudah dikelilingi oleh rumah-rumah kediaman, ianya mungkin akan mewujudkan tekanan bagi penduduk sekitarnya. Bagaimanapun masalah ini terjadi akibat kesilapan dari segi perancangan dan pihak berkuasa yang meluluskan projek pembinaan kawasan itu.

Selain itu, pembangunan kawasan industri juga menyebabkan salah satu daripada punca pencemaran bunyi bising. Bunyi bising yang dihasilkan bukan hanya menyebabkan ketidakselesaan pekerja di dalam kilang tetapi akan mempengaruhi penghuni kediaman di kawasan berdekatan. Dalam satu kajian mendapati sebuah kilang kelapa sawit di Klang pada 1979, mendapati bunyi bising yang dikeluarkan oleh kilang berkenaan mengganggu penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan, terutamanya pada waktu malam. Malahan didapati bunyi bising daripada kilang itu antara 67.5 dBA hingga 70.5 dBA dan nilainya adalah lebih tinggi daripada bunyi bising ambien.

Peningkatan jumlah penduduk yang tinggal di suatu kawasan akan menyebabkan peningkatan jumlah bahan buangan pepejal atau sampah sarap terutamanya di kawasan bandar. Ini menyebabkan pihak berkuasa bandar terbeban kerana perlu menguruskan bertantan sisa setiap hari. Sisa-sisa ini juga meliputi sisa dari kilang dan sisa domestik. Sisa yang tidak diuruskan dengan sempurna akan mencemarkan alam sekitar seperti pencemaran sungai dan pencemaran bau. Air kumbahan mengandungi kandungan bahan tercemar yang tinggi dan jika tidak dirawat dengan sempurna ianya akan dilepaskan ke sungai sebagai air yang tercemar dan akan menyebabkan pelbagai penyakit kepada masyarakat. Malahan, bau yang terhasil daripada kawasan pelupusan sisa dan loji kumbahan juga akan menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk di sekitarnya.

Perkembangan petempatan bandar dan industri telah diketahui akan menyebabkan peningkatan suhu bandar sementara penggunaan kenderaan bermotor serta pembakaran terbuka dan pembakaran hutan telah menyebabkan masalah jerebu. Hal ini kerana terbebasnya gas-gas beracun seperti gas metana, karbon dioksida(CO2), nitrogen oksida (NO2) dan gas hidrokarbon lain serta debu. Di kawasan bandar, pencemaran udara banyak dipengaruhi oleh aktiviti industri dan juga kenderaan bermotor. Di dapati pada waktu puncak, kenderaan bermotor menjadi punca utama peningkatan pencemaran udara kerana jumlah kenderaan yang banyak ketika itu. Keadaan lapisan troposfera di bandar yang kering juga akan menyebabkan udara memerangkap lebih banyak bahan pencemar. Keadaan ini pastinya boleh menyebabkan berlakunya jerebu.

Pembakaran hutan dan juga pembakaran terbuka yang dijalankan oleh segelintir pihak untuk pertanian untuk pembukaan ladang dan juga penanaman baru boleh menyebabkan berlakunya jerebu. Hal ini kerana, mereka ingin mengambil langkah yang mudah dan menjimatkan kos tanpa memikirkan kesannya kepada alam sekitar. Aktiviti pembakaran ladang pertanian dan hutan telah dibakar sebagai persediaan untuk menanam semula kelapa sawit. Malahan aktiviti ini telah dikenalpasti telah menyebabkan berlakunya jerebu di Semenanjung Malaysia pada tahun 2005. Malahan jerebu yang teruk ini menyebabkan beberapa negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia telah diisytiharkan darurat.

Malaysia mempunyai sumber air yang banyak kerana Malaysia menerima hujan pada monsun timur laut dan monsun barat daya. Pembangunan ekonomi mampu menyebabkan berlakunya kemerosotan alam sekitar contohnya pembalakan sumber balak akan mencemarkan sumber air. Pencemaran air yang berlaku sama ada di sungai atau laut bukan hanya menyebabkan kemusnahan hidupan akuatik, malahan ianya akan menimbulkan masalah kepada manusia yang mana manusia kehilangan punca pendapatan serta badan air untuk rekreasi. Pembalakan haram yang dilakukan di hulu sungai dan juga berdekatan kawasan tadahan air akan menjejaskan bekalan sumber air untuk berpuluh-puluh ribu penduduk. Selain itu, bencana alam seperti runtuhan tanah dan banjir lumpur juga akan berlaku akibat kegiatan pembalakan yang giat dijalankan di kawasan tanah tinggi.

Pencemaran sungai boleh berpunca daripada pelbagai faktor antaranya perbandaran, perindustrian, pembetungan dan juga ternakan dan pertanian. Dari segi perindustrian, sisa industri yang terdiri daripada bahan bauangan yang berbahaya akan dibuang ke sistem sungai. Kilang sawit umpamanya mampu untuk mengeluarkan 25,000 mg/l BOD, 53,360 mg/l COD dan 12,020 mg/l pepejal terampai (Mohd Ekhwan Hj Toriman. 2007) manakala industri pakaian akan mampu mengeluarkan 875 mg/l BOD dan sebanyak 3720 mg/l COD (Mohd Ekhwan Hj Toriman. 2007) keadaan ini pasti akan memberikan impak kepada kualiti air sungai sekiranya sisa yang dilepaskan tidak dirawat dengan betul. Dari segi pembetungan pula, penggunaan sistem pembetungan yang lama akan menyebabkan berlakunya masalah pencemaran kerana perkembangan pertumbuhan bandar tidak diikuti dengan perubahan kepada sistem pembetungan.

Malahan, pada awal tahun 1998, lokasi pengambilan air di Sungai Langat telah dicemari dengan teruk oleh minyak diesel dan kandungan amonia yang tinggi akibat daripada aktiviti perindustrian. Ianya bukan sahaja menyebabkan gangguan bekalan air yang teruk kepada penduduk sekitar Lembah Kelang selama beberapa bulan tetapi turut menyebabkan banyak industri yang terpaksa menutup operasinya dan mengalami kerugian berjuta-juta ringgit. Pada tahun 1991, beberapa batang sungai di Semenanjung Malaysia telah mula dicemari oleh logam berat terutamanya plumbum(Department of Environment 1992).

Pencemaran air turut meliputi pencemaran marin yang berlaku yang berpunca daripada pembangunan yang dilakukan berdekatan dengan sumber air. Penebangan dan pembersihan kawasan tanah lembap, terutamanya di kawasan tanah bakau untuk tujuan pembalakan dan projek akuakultur telah berkembang dengan banyaknya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pembangunan industri rekreasi dan peranginan telah menyebabkan kemusnahan habitat hidupan akuatik yang penting sebagai sumber bekalan protein penduduk negara ini, malahan ianya turut menimbulkan banyak lagi masalah di perairan pinggir pantai dan juga hakisan di kawasan pantai yang berhampiran. Kewujudan beberapa bandar besar di zon pinggir pantai didapati menyumbangkan konsentrasi BOD, minyak dan gris serta bakteria Coliform yang tinggi. (Jamaluddin Md Jahi 2000).

Pembangunan juga akan menyebabkan kita kehilangan sumber yang ada sekiranya pembangunan yang dijalankan itu secara haram. Hal ini telah berlaku di kawasan Sungai Lalang di mana kegiatan mencuri pasir untuk pembangunan giat dijalankan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Malahan sumber kayu juga akan dimusnahkan dan bukit ditarah bagi mendapatkan pasir tersebut.Hal ini secara tidak langsung akan memungkinkan berlakunya kejadian runtuhan tanah dan juga air sungai berkelodak. malahan kawasan rekreasi yang berdekatan seperti kawasan air terjun juga tercemar dengan kelodak dan lumpur apabila berlakunya hujan lebat di kawasan itu.

Pembangunan juga memungkinkan berlakunya bencana alam seperti banjir kilat, banjir lumpur dan juga kemarau. Sebagai contoh banjir, ianya berlaku akibat daripada kurangnya kawasan telap air kerana apabila tanah baru dibuka, ianya akan digantikan dengan banyak kawasan tak telap air. Berdasarkan satu kajian yang dilakukan di Georgetown, Pulau Pinang, kekurangan kawasan lapang atau hijau merupakan salah satu punca-punca

berlakunya banjir di kawasan Jalan P. Ramlee dan Jalan Terengganu. Malahan didapati bahawa kawasan berturap, konkrit, batu-bata, bertar dan permukaan jalan raya lebih banyak terdapat di kawasan Jalan P. Ramlee dan Jalan Terengganu berbanding dengan kawasan lapang atau hijau yang peratusannya mungkin kurang daripada 10% daripada luas keseluruhan kedua-dua kawasan tersebut. Malahan pemendakan kelodak di dalam sungai turut menyebabkan berlakunya bencana ini kerana sungai menjadi cetek.

RUMUSAN

Walaupun setiap pembangunan ada kesannya, ianya perlu bagi memastikan ekonomi negara dapat dijana, sekiranya pembangunan dihentikan, ianya akan turut menjejaskan ekonomi sesebuah negara dan juga akan membantutkan pertumbuhan negara. Oleh itu, pembangunan negara akan tetap berlaku namun pihak yang terlibat seharusnya memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh Kualiti Alam Sekeliling (EIA). Hal ini kerana EIA telah menetapkan beberapa etika bagi menjamin kesejahteraan bersama. Para pemaju pembangunan perlu sedar dengan apa cara sekalipun tentang nilai alam sekitar semasa pembangunan dilakukan.

Selain itu, langkah kerajaan mewartakan beberapa hutan yang ada sebagai hutan simpan juga boleh dianggap langkah yang bijak seperti hutan simpan, hutan dara dan juga taman negara. Selain itu, usaha memindahkan tumbuhan yang terancam untuk ditanam ke kebun khusus atau abretum juga antara salah satu cara untuk memelihara sumber alam. Malahan, pusat pembiakan haiwan yang terancam dengan kepupusan di tempat khas juga adalah satu proses pemeliharaan dan pemuliharaan.

Diharapkan pengisytiharan tahun 2010 sebagai Tahun Inovasi Malaysia adalah sebagai satu usaha murni dan baik bagi memperkenalkan dan mempergiatkan lagi penerokaan ekoinovasi bagi membela alam sekitar yang kian celaru sekarang. Diharapkan eko-inovasi dapat menyumbang kepada pembangunan mapan sekaligus mengurangkan impak pembangunan kepada alam sekitar.

BIBLIOGRAFI

Suzane M.Samy. 2007. Kesan-kesan Pembangunan ke Atas Ekosistem Terumbu Karang Di Pulau Tioman. Bangi:Universiti Kebangsaan Malaysia. Mahani binti Mohamad. 2008. Penilaian Terhadap Kelimpahan Dan Taburan Populasi Kelip-Kelip Sebagai Produk Eko Pelancongan Di Kg. Kuantan Selepas Pembinaan Empangan Sungai Selangor. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Katiman Rostam & Asmah Ahmad. 2006. Penilaian & Pengurusan Sumber Alam. Bangi:Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohd Ekhwan Hj Toriman. 2007. Status Alam Sekitar. Ke Arah Keseimbangan Alam Dan Pembangunan Di Malaysia. Puchong:Scholar Press (M) Sdn. Bhd. Sham Sani, Abdul Samad Hadi & Jamaluddin Md Jahi. 1993. Alam Sekitar Dan Pengurusannya Di Malaysia. Katiman Rostam,Noraziah Ali, Yaakob Mohd Jani & Mokhtar Jaafar. 2000. Alam, Manusia Dan Pembangunan Di Malaysia : Dasar, Strategi dan Kelestariannya. Bangi: Persatuan Kebangsaan Geografi Malaysia (PGKM) & Jabatan Geografi, FSSK, Universiti Kebangsaan Malaysia. Ahmad Norazhar bin Mohd Yatim. 2008. Perubahan Guna Tanah Dan Kesan Terhadap Kualiti Air Sungai Skudai. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. http://pmr.penerangan.gov.my/index. php?option=com_content&view=article&id=1375%3Adasar-perindustriannegara&catid =300%3Adasar-dasar-ekonomi&Itemid=3 (26 Oktober 2010) Kementerian Pelajaran Malaysia. http://apps.emoe.gov.my/bppk/nota/DASAR/DASAR%2 0PERTANIAN%20NEGARA%201. Pdf (30 September 2010) IKIM. http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=

2185&cmd=resetall (9 Oktober 2010) Berita Harian. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sentral_Bukitkiangondol/Article (14 Oktober 2010)