PENGALAMAN MENGENDALI PUSAT PENJAGAAAN · PDF fileMalaysia mempunyai penduduk seramai 31.7...

15
32 PENGALAMAN MENGENDALI PUSAT PENJAGAAAN WARGA TUA Nurul Farhana Azman, Zuria Mahmud Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia ABSTRAK Isu pemberijagaan kepada orang tua merupakan isu yang mula dihadapi oleh generasi terkini di Malaysia. Kajian ini bertujuan meneroka pengalaman (cabaran, kekuatan, keperluan) penjagaan warga tua yang berada di pusat jagaan swasta. Tiga orang responden dari tiga pusat penjagaan yang berbeza telah ditemubual secara mendalam dan temubual telah dirakam secara audio. Rakaman ini seterusnya ditaip semula dalam bentuk transkrip verbatim dan dianalisis secara termatik. Dapatan menunjukkan pusat jagaan orang tua mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta serta NGO dalam aspek fizikal dan sosioemosi. Cabaran yang dihadapi termasuklah persepsi negatif masyarakat, kewangan, fasiliti, dan pengurusan kesejahteraan penghuni serta pekerja. Pusat jagaan melaporkan mereka perlukan pengetahuan dari aspek penjagaan, kelayakan pekerja, dan pendidikan kepada keluarga. Kajian ini mencadangkan Malaysia menyediakan program pendidikan kesejahteraan dan transdisiplinari yang menyokong ilmu dan kemahiran pemberijagaan warga tua. Katakunci: Penjagaan Warga Tua, Pendidikan Transdisiplinari, Kesejahteraan, Kaunseling, Keluarga. ABSTRACT Senior citizen caregiving is becoming an issue faced by the current generation in Malaysia. The aim of this study is to explore experiences (challenges, strengths, needs) of elderly caregiving in private care centers. Three respondents from three different care centers were interviewed in depth and the interviews have been audio recorded. The recordings are typed into verbatim transcripts and analyzed thematically. The findings show care centers receive support from various government agencies, private sector and NGOs in the aspects of physical and socioemotional. Challenges include negative perceptions of community, finance, facilities, and well-being of residents and staff management. Care centers report they need knowledge of aspects of care, staff qualifications, and education to families. This study suggests Malaysia provides educational programs that support the knowledge in well-being and transdisciplinary education and caregiving skills. Keywords: Elderly Caregiving, Transdisciplinary Education, Wellbeing, Counseling, Family.

Transcript of PENGALAMAN MENGENDALI PUSAT PENJAGAAAN · PDF fileMalaysia mempunyai penduduk seramai 31.7...

32

PENGALAMAN MENGENDALI PUSAT

PENJAGAAAN WARGA TUA

Nurul Farhana Azman, Zuria Mahmud

Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK

Isu pemberijagaan kepada orang tua merupakan isu yang mula dihadapi oleh generasi terkini di Malaysia.

Kajian ini bertujuan meneroka pengalaman (cabaran, kekuatan, keperluan) penjagaan warga tua yang

berada di pusat jagaan swasta. Tiga orang responden dari tiga pusat penjagaan yang berbeza telah

ditemubual secara mendalam dan temubual telah dirakam secara audio. Rakaman ini seterusnya ditaip

semula dalam bentuk transkrip verbatim dan dianalisis secara termatik. Dapatan menunjukkan pusat jagaan

orang tua mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta serta NGO dalam

aspek fizikal dan sosioemosi. Cabaran yang dihadapi termasuklah persepsi negatif masyarakat, kewangan,

fasiliti, dan pengurusan kesejahteraan penghuni serta pekerja. Pusat jagaan melaporkan mereka perlukan

pengetahuan dari aspek penjagaan, kelayakan pekerja, dan pendidikan kepada keluarga. Kajian ini

mencadangkan Malaysia menyediakan program pendidikan kesejahteraan dan transdisiplinari yang

menyokong ilmu dan kemahiran pemberijagaan warga tua.

Katakunci: Penjagaan Warga Tua, Pendidikan Transdisiplinari, Kesejahteraan, Kaunseling, Keluarga.

ABSTRACT

Senior citizen caregiving is becoming an issue faced by the current generation in Malaysia. The aim of this

study is to explore experiences (challenges, strengths, needs) of elderly caregiving in private care centers.

Three respondents from three different care centers were interviewed in depth and the interviews have been

audio recorded. The recordings are typed into verbatim transcripts and analyzed thematically. The findings

show care centers receive support from various government agencies, private sector and NGOs in the

aspects of physical and socioemotional. Challenges include negative perceptions of community, finance,

facilities, and well-being of residents and staff management. Care centers report they need knowledge of

aspects of care, staff qualifications, and education to families. This study suggests Malaysia provides

educational programs that support the knowledge in well-being and transdisciplinary education and

caregiving skills.

Keywords: Elderly Caregiving, Transdisciplinary Education, Wellbeing, Counseling, Family.

33

PENDAHULUAN

Malaysia mempunyai penduduk seramai 31.7 juta orang (anggaran) pada tahun 2016, (Bernama, 2016) di

mana 2.8 juta warga emas yang berusia 60 tahun ke atas pada tahun lalu atau 9% daripada jumlah

keseluruhan penduduknya (Farhana Hanim, 2016). Pada tahun 2020 nanti adalah dijangkakan penduduk

negara ini akan meningkat kepada 33.7 juta orang di mana 3.8 juta atau 11.3% adalah terdiri daripada warga

emas (Mohd Taha, 2008). Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani

Abdul Karim pula berkata, berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan, Malaysia dijangka mencapai status

negara tua pada 2035 apabila 15% penduduknya merupakan warga emas (Farhana Hanim, 2016).

Kementerian Kesihatan Malaysia pula telah memperkenalkan Program Kesihatan Warga Emas di bawah

Rancangan Malaysia ke-7. Program ini amat penting memandangkan bahawa negara kita mengalami

perubahan demografik penduduk di mana pertambahan penduduk dalam kalangan warga emas telah

meningkat dengan cepat (Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM, 2008).

Selain itu, Dasar Warga Tua Negara juga telah diperkenalkan oleh pihak JKMM sebagai pelan

tindakan mulai tahun 1999 dengan menjelaskan bahawa warga emas atau warga tua adalah mereka yang

umur melebihi 60 tahun. Tujuan dasar ini diwujudkan adalah untuk melahirkan masyarakat warga tua yang

sejahtera, mempunyai martabat diri yang tinggi, berwibawa dan dapat mengoptimumkan potensi diri dalam

memastikan mereka menikmati peluang disamping mendapat perlindungan dan penghargaan sebagai ahli

keluarga, masyarakat dan negara (Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat 2000).

Di negara maju dan membangun pula, takrifan warga tua ialah mereka yang berumur melebihi 65 tahun

disebabkan oleh taraf ekonomi, tahap pendidikan, taraf kesihatan yang lebih tinggi, kemudahan perubatan

yang lebih mantap, kualiti pemakanan yang baik, persekitaran yang bersih, kesedaran tentang penjagaan

kesihatan dan jangka hayat yang lebih panjang berbanding dengan negara yang sedang membangun. Warga

tua merupakan penyumbang kepada produktiviti negara dan mempunyai hak, kehendak serta kepentingan,

sama seperti warga lain di negara kita kerana peranan dan tugas yang dilaksanakan oleh golongan ini

sepanjang kehidupan mereka.

Oleh itu, dasar ini akan memastikan objektif untuk meningkatkan kehormatan, harga diri dan

martabat diri warga tua dalam keluarga, masyarakat serta negara terlaksana dengan perancangan serta pelan

jangka panjang yang sistematik. Pada masa sama berusaha memajukan potensi warga tua dalam segala

aspek agar mereka terus aktif dan produktif dalam pembangunan negara serta mewujudkan pelbagai

peluang bagi membantu mereka terus hidup berdikari dan berdaya saing dalam apa jua bidang yang

diceburi. Di samping itu, dasar berkenaan juga bertujuan menggalakkan pewujudan dan menyediakan

kemudahan yang tertentu demi menjamin penjagaan dan perlindungan warga tua di negara ini ke arah

memastikan kebajikan serta kesejahteraan hidup mereka terpelihara.

PENJAGAAN WARGA TUA DI MALAYSIA

Pusat Penjagaan

Namun begitu, dilema penjagaan warga tua dalam masyarakat moden merupakan satu fenomena global

yang terhasil melalui perubahan dan kejayaan proses modenisasi, sosialisasi dan pembangunan. Di

Malaysia, penjagaan warga tua oleh anak dewasa telah banyak berubah. Struktur keluarga luas beransur-

ansur runtuh dan bertukar menjadi keluarga asas. Secara tidak langsung impaknya terhadap penjagaan

informal warga tua juga mulai mengecil (Rahimah, 2000). Penjaga yang berpotensi (anak dewasa)

mempunyai batasan kemampuan untuk menjaga ibu bapa yang tua dan uzur. Ada kalanya anak dewasa ini

memerlukan sokongan dan bantuan institusi formal dan tidak formal bagi mengendalikan penjagaan ibu

bapa mereka.

34

Oleh itu, kerajaan Malaysia telah menubuhkan pelbagai institusi-institusi dan pusat jagaan dalam usaha

memelihara kebajikan dan mengembangkan perkhidmatan sosial negara seperti rumah orang tua, rumah

perlindungan serta pusat-pusat untuk golongan yang tidak berkeupayaan. Hal ini adalah sebagai salah satu

langkah yang diambil untuk menilai kesan sosioekonomi penduduk semakin menua yang meliputi

penyediaan penjagaan kesihatan, jaminan pendapatan dan perumahan. Dasar dan pelan tindakan mengenai

masyarakat semakin menua akan dikaji semula untuk memudah dan melaksana program yang

membolehkan warga tua menjalani kehidupan yang sihat dan produktif (S. Shalini, 2012).

Rumah warga tua adalah sebuah institusi kebajikan yang memberi penjagaan dan perlindungan

penuh kepada warga tua yang tidak mempunyai pendapatan untuk menampung kehidupan sendiri oleh

sebab tidak berkemampuan dari segi fizikal dan kewangan, tidak mempunyai tempat tinggal, tidak

mempunyai anak yang sanggup menyumbang nafkah hidup kepadanya atau kerap kali menjadi punca

perselisihan tanggapan dan menjejaskan keharmonian serta kesejahteraan keluarga (S. Shalini, 2012)

Selain daripada itu, terdapat pusat-pusat jagaan swasta yang ditubuhkan oleh orang perseorangan atau

syarikat. Pertubuhan pusat-pusat swasta ini adalah sebagai satu perniagaan dan bayaran perkhidmatan akan

dikenakan ke atas tempat tinggal, pemakanan, rawatan kesihatan dan aktiviti harian semasa berada di pusat

jagaan tersebut. Terdapat dua jenis pusat jagaan secara am di Malaysia iaitu pusat jagaan harian dan pusat

jagaan berkediaman. Semua penubuhan pusat-pusat jagaan tersebut adalah tertakluk kepada Akta Pusat

Jagaan 1993. Akta Pusat Jagaan 1993 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran,

pengawalan dan pemeriksaan pusat-pusat jagaan dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Isu Pengabaian Warga Tua di Malaysia

Terdapat beberapa jenis pengabaian dalam kalangan warga tua seperti pengabaian fizikal, emosional serta

kewangan dan material. Menurut Khadijah Alavi et al. (2011) melalui kajiannya menjelaskan bahawa

konsep pengabaian fizikal adalah berkaitan dengan keganasan yang dilakukan terhadap warga tua secara

fizikal sama ada oleh anak-anak, penjaga atau sesiapa sahaja yang bertanggungjawab dalam melindungi

dan menjaga warga tua. Antara bentuk pengabaian adalah seperti kurang perhatian, kurang penjagaan

personal atau peribadi serta terdapat tanda kecederaan dan dapat dilihat pada mana-mana bahagian tubuh

seperti dipukul secara berulang kali atau tidak diberikan makanan. Pengabaian emosional yang dinyatakan

oleh Khadijah et al. (2011) adalah dalam bentuk gangguan psikologi terutamanya dari segi mental dan

fizikal yang didera atau dianiaya oleh ahli keluarga, penderaan emosional iaitu seperti membenci, tidak

dilayan kerenahnya, sering dimarah, ditengking, tidak memberi kasih sayang yang cukup, ditakut-takutkan

dan ahli keluarga bermusuhan dengan warga tua. Pengabaian kewangan dan material pula adalah seperti

penipuan atau penganiayaan terhadap harta warga tua. Kegagalan penjaga dalam memberikan penjagaan

atau keperluan asas seperti rawatan emosi dan fizikal serta keselamatan juga termasuk dalam pengabaian

kewangan dan material (Khadijah, 2011).

Isu pengabaian timbul melalui beberapa faktor antaranya ialah apabila golongan wanita turut

terlibat dalam dunia pekerjaan. Kini, persekitaran yang semakin maju mendorong golongan wanita untuk

bersama-sama golongan lelaki bagi menampung perbelanjaan keluarga. Oleh sebab itu, mereka kesuntukan

masa untuk menjaga ibu bapa kerana terlibat dalam dunia pekerjaan. Malah, peranan mereka sebagai ibu

bapa untuk memberi pendidikan mengenai hubungan kekeluargaan kepada anak-anak juga diserahkan

sepenuhnya kepada pihak sekolah. Hal ini menyebabkan anak-anak tidak didedahkan tentang kepentingan

menjaga orang tua serta tidak dapat membina hubungan yang positif dengan mereka. Selain itu, anak-anak

yang pentingkan kerjaya sehingga sanggup berjauhan dengan ibu bapa mereka. Mereka lebih memilih

untuk berhijrah ke tempat lain yang boleh menjamin kesenangan dan kemewahan untuk kehidupan mereka

tanpa memikirkan ibu bapa yang tua dan uzur. Tambahan pula, jurang komunikasi antara warga tua dan

anak-anak juga menyebabkan golongan ini lebih memilih untuk berada di pusat jagaan. Tahap pendidikan

yang tinggi serta jawatan besar yang disandang oleh anak-anak mereka makin menyebabkan mereka sibuk

dalam mengejar kejayaan berterusan tanpa menghiraukan ibu bapa mereka. Selain itu, faktor pengabaian

juga adalah disebabkan oleh anak-anak yang tidak tahan dengan karenah warga tua yang bersikap keanak-

anakan, mudah merajuk dan tersentuh, suka membebel, mudah marah dan melakukan sesuatu yang

menimbulkan konflik antara mereka. Masalah kewangan pada diri anak-anak juga mendorong kepada

pengabaian warga tua. Hal ini adalah kerana mereka mempunyai pendapatan yang rendah dan perlu

35

menyara ahli keluarga yang ramai. Oleh itu, mereka tidak dapat memberi tumpuan terhadap ibu bapa yang

memerlukan penjagaan yang teliti seperti berkaitan dengan keselamatan dan pemakanan. Tahap kesihatan

warga tua juga mendorong berlakunya pengabaian. Kesibukan anak-anak dalam bekerja menyukarkan

mereka untuk memantau ibu bapa yang tua dan uzur seperti untuk mendapatkan ubat-ubatan dan rawatan

susulan ke klinik atau hospital. Daripada membiarkan ibu bapa mereka bersendirian tanpa pengawasan di

rumah, mereka telah memilih untuk menghantar ibu bapa di pusat jagaan.

Kitaran kehidupan atau roda kehidupan keluarga

Kitaran kehidupan individu dan keluarga terhasil melalui konsep perkembangan yang berlaku dalam setiap

kehidupan individu dan keluarga dan bersifat berkesinambungan. Kitaran yang berlaku saling memberi

kesan dan perubahan dari segi perhubungan, perubahan fizikal, mental dan sosial. Konsep perkembangan

juga merujuk kepada tiga dimensi menurut Edler (1975) iaitu dimensi waktu peribadi atau individu, waktu

sosial dan waktu sejarah. Pertama, waktu peribadi yang merupakan waktu kehidupan antara kelahiran

hingga kematian seseorang. Segala kecemerlangan dan kejayaan dapat dilihat sepanjang waktu kehidupan

tersebut. Kedua, waktu sosial di mana waktu tersebut berkaitan dengan sesuatu peristiwa seperti majlis hari

jadi, perkahwinan dan perjumpaan keluarga manakala yang ketiga pula adalah waktu sejarah. Waktu

sejarah merupakan waktu yang mempengaruhi seseorang melalui budaya, pengalaman, cara hidup,

pemakanan dan pemakaian. Contohnya, individu yang lahir pada zaman Jepun menjalani kehidupan yang

berbeza dengan individu yang lahir pada zaman sekarang. Ketiga-tiga dimensi ini mempengaruhi gaya

kehidupan seseorang sehingga mendorong kepada keunikan dan perbezaan seseorang individu dengan

individu yang lain. Bagi Schwartz (1999), beliau menyatakan bahawa tidak ada seorang pun atau keluarga

yang berkembang dan berinteraksi secara berasingan, tetapi ia saling berkaitan antara satu sama lain.

Secara umumnya, perkembangan individu menggambarkan tentang segala perkara yang terjadi

terhadap seseorang individu berdasarkan kepada ‘Roda Kehidupan Keluarga’. Roda kehidupan keluarga

ini merupakan tahap yang dilalui oleh sesebuah keluarga dalam melengkapkan sebuah pusingan antaranya

adalah seperti tahap awal perkahwinan, keluarga dengan anak kecil, keluarga dengan anak remaja, ‘sarang

kosong’ dan keluarga di penghujung kehidupan. Tahap pertama ialah tahap awal perkahwinan iaitu

pasangan baru berkahwin dan bertemu dengan kedua-dua belah keluarga. Tahap ini merupakan takap bagi

seseorang untuk mempelajari budaya serta memahami pasangan. Tahap yang kedua pula adalah keluarga

dengan anak kecil iaitu sesebuah keluarga yang menerima ahli baru dalam kehidupan mereka dan

mempelajari mengenai peranan keibubapaan, datuk atau nenek serta memikul tanggungjawab masing-

masing. Tahap ketiga adalah keluarga dengan anak remaja iaitu keanjalan sesebuah keluarga untuk

memberi ruang kepada remaja dalam mencari identiti. Contohnya cabaran dalam menangani isu-isu remaja,

kerjaya dan hubungan suami isteri. Tahap keempat pula merupakan ‘sarang kosong’ iaitu dengan

melepaskan anak-anak membina kehidupan sendiri. Pada tahap ini, antara cabarannya adalah mempelajari

hubungan ‘dewasa dan dewasa’ dengan anak-anak, menyesuaikan diri melalui hubungan baru sebagai

mertua, datuk atau nenek serta berhadapan dengan keuzuran dan kematian ibu bapa. Tahap kelima adalah

akhir kehidupan iaitu menerima perubahan dalam peranan generasi tua dan muda seperti keuzuran diri

daripada aspek fizikal, kognitif dan sosial serta keuzuran dan kehilangan pasangan dan adik-beradik.

Tahap-tahap kehidupan ini terjadi secara berturutan dan dapat dijangkakan. Namun begitu, setiap

kegagalan atau kejayaan yang dihadapi dalam kehidupan bergantung kepada seseorang individu dalam

berhadapan dengan situasi tersebut. Perubahan daripada satu tahap kepada tahap yang lain merupakan

perjalanan kehidupan yang akan dilalui oleh setiap individu dalam memastikan kehidupan mereka stabil,

positif dan sejahtera.

Sistem Keluarga Bowen

Murray Bowen merupakan ahli terapi yang pertama pada tahun 50an yang menggunakan teori sistem dalam

terapi keluarga. Beliau percaya bahawa sistem emosi wujud dalam keluarga yang mempengaruhi darjah

kebersamaan ‘fusion’ dan perbezaan diri ‘differentiation of self’ dalam kalangan ahli keluarga. Matlamat

Bowen adalah untuk membentuk ‘differentiation’ atau kebebasan dalam kalangan ahli keluarga. Hal ini

36

adalah kerana apabila seseorang ahli keluarga mengalami identiti ‘fuse’, individu tersebut akan hilang

identiti diri kerana terlalu bergantung kepada orang lain. Secara tidak langsung, individu tersebut tidak

bebas untuk membuat sesuatu keputusan atau tindakan. Ahli keluarga yang tidak mempunyai jati diri untuk

membuat keputusannya dengan tidak menjadi ‘fused’, sebaliknya mereka boleh menunjukkan ihsan kepada

ahli keluarga yang lain. Bowen beranggapan adalah menjadi suatu kesalahan apabila seseorang cuba

mengatasi masalah ‘fusion’ dengan melarikan diri, menyendiri daripada keluarga atau menafikan masalah

tersebut. Individu ini akan mengalami kerugian pada diri mereka kerana bersikap tidak matang serta tidak

rasional dengan menggunakan ‘escape mechanism’.

Menurut Bowen (1978) dan Okun (1984) pula menyatakan bahawa interaksi antara ahli keluarga

sememangnya mempengaruhi kehidupan seseorang sama ada yang masih hidup atau meninggal dunia.

Sebagai contoh, Bowen (1978) telah mengemukakan genogram untuk memahami pola antara pelbagai

generasi dalam sesebuah keluarga. Faktor sejarah ini akan memberikan maklumat kepada seseorang untuk

memahami masalah keluarga, susunan kelahiran atau kedudukan adik-beradik, tarikh perkahwinan dan

perceraian, tarikh kelahiran dan kematian, hubungan antara individu dengan individu dalam keluarga,

umur, taraf pendidikan dan pekerjaan. Penggunaan genogram dapat membantu individu untuk mendalami

salasilah keluarga dan perhubungan yang wujud dalam keluarga tersebut antara generasi.

Pendidikan Pemberijagaan

Di Malaysia, masih belum terdapat suatu latihan khusus yang berupa silibus tertentu terhadap pemberijaga

(caregiver) dalam menguruskan warga tua secara formal. Walau bagaimanapun, pendidikan dan garis

panduan untuk pihak penjaga warga tua secara formal telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan

Malaysia. Lazimnya isu berkaitan dengan penjagaan selalu dikaitkan dengan golongan warga emas.

Penjagaan yang diberikan adalah berbentuk formal (institusi) dan tidak formal (keluarga/komuniti).

Meskipun begitu, semua penjagaan boleh memberi kesan kepada penjaga dari aspek fizikal, emosi dan

sosial. Justeru itu, usaha yang diambil oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian

Kesihatan Malaysia adalah dengan menyediakan Panduan Penjaga Warga Emas amat bertepatan sekali

dengan keperluan semasa (Mohd Taha, 2008).

Bekas Menteri Kesihatan Malaysia pada tahun 2008 telah memberikan kata dua berkenaan

Panduan Penjaga Warga Emas di mana panduan ini disediakan oleh mereka yang berpengalaman dalam

bidang geriatrik untuk memberi maklumat dan pengetahuan dalam aspek penjagaan warga emas. Panduan

ini juga boleh digunakan sebagai rujukan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat dalam penjagaan warga

emas tetapi juga warga emas itu sendiri dan diharapkan agar panduan ini dapat memberi manfaat kepada

penjaga, warga emas dan masyarakat umumnya dalam aspek penjagaan warga emas. (Bahagian

Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM, 2008)

Dalam buku panduan tersebut juga diterangkan tentang maksud istilah tertentu, misalnya penjaga

formal adalah kakitangan di institusi atau tempat penjagaan warga emas. Penjaga tidak formal pula ialah

ahli keluarga termasuk isteri, suami, anak, adik, kakak, abang, pembantu rumah dan orang lain dalam

komuniti termasuk saudara-mara dan kawan-kawan serta jiran). Penjagaan warga emas yang baik

hendaklah mengambil kira aspek-aspek seperti berikut:-

Kehormatan.

Maruah dan martabat diri.

Perasaan.

Keselamatan

Kepercayaan atau amalan keagamaan.

Pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki oleh warga emas.

Kebebasan memilih dan membuat keputusan.

Kebolehan berdikari.

Komitmen dan penglibatan diri.

Perhatian dan kesabaran.

Peruntukan undang-undang.

37

Persekitaran yang sesuai dan selesa.

Keikhlasan.

Satu lagi badan penting yang berperanan dalam menggariskan panduan terhadap penjagaan dan kebajikan

warga emas ialah Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia yang telah ditubuhkan pada tahun 1946. Selain itu,

sebuah Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) peringkat kebangsaan yang telah berdaftar dengan R.O.S

turut terlibat dalam program khidmat jagaan dan perlindungan orang tua atau warga emas sejak 1946

(Selepas Perang Dunia Ke-2).

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, majoriti warga emas (80%) tinggal dalam komuniti

yang bertanggungjawab memberi penjagaan untuk mereka di rumah persendirian mereka sendiri atau lebih

dikenali dengan istilah “Community-Based Care”. Malah perkhidmatan penjagaan orang tua dalam

komuniti telah menjadi trend di Amerika Syarikat berbanding penjagaan di institusi penjagaan warga emas

dan di “Nursing Home-Care”. Malah keputusan Mahkamah Agung telah mengekalkan keputusan

mahkamah yang sebelumnya berkenaan hak seseorang individu berumur lanjut untuk menerima penjagaan

dalam komuniti berbanding di hantar ke institusi atau pusat jagaan warga emas (Robert B. Friedland, 2015).

Warga emas di negara maju seperti Amerika Syarikat kebiasaannya tinggal dan dijaga di institusi

penjagaan orang tua setelah mereka mencapai umur yang lebih lanjut iaitu umur 85 tahun ke atas. Statistik

menunjukkan 13% daripada mereka yang berumur 85 tahun ke atas tinggal di institusi rumah orang tua

berbanding hanya 1% yang berumur 65 hingga 74 tahun yang tinggal di pusat jagaan orang tua (Robert B.

Friedland, 2015).

Manakala di Iceland pula telah memperkenalkan Akta Khas untuk penjagaan warga tua di pusat

jagaan harian warga tua. Akta ini bertujuan memberi hak kepada warga tua dan sebagai salah satu bentuk

sokongan kepada warga tua yang memerlukan jagaan dan perhatian dan dalam masa yang sama masih

boleh terus tinggal di rumah sendiri. Pusat jagaan harian ini juga perlu menyediakan khidmat penjagaan

kejururawatan/ ‘nursing care’. Malah, khidmat pengangkutan untuk menghantar pergi dan balik untuk

warga tua berulang-alik daripada rumah ke pusat jagaan harus disediakan. Selain itu juga, khidmat seperti

konsultansi, penilaian tahap kesihatan, aktiviti riadah, sokongan sosial dan pendidikan perlu disediakan di

pusat jagaan harian. (Zheng-Yi Goh, Ming-Ming Lai, Siok-Hwa Lau & Nazihah Ahmad, 2013)

METODOLOGI

Metod Rekabentuk Kajian

Kajian yang berbentuk kualitatif ini menggunakan pendekatan fenomenologi untuk memahami cabaran

pemberijaga dalam menjaga warga tua. Pendekatan ini mencadangkan kajian dibuat berdasarkan

pengalaman subjektif responden dan tafsiran mereka terhadap cabaran dan pengalaman yang dilalui.

Pengkaji menggunakan penyelidikan kualitatif iaitu menggunakan kaedah temu bual separa-berstruktur

(semi-structured interview) yang dijalankan secara temu bual mendalam (in-depth interview) dengan

mempersiapkan soalan protokol terlebih dahulu sebagai garis panduan untuk menjalani sesi temu bual

bersama responden. Menurut Mazalah (2002), temu bual separa-berstruktur membolehkan pengkaji

mendapat maklumat yang diperlukan, di samping memberi peluang kepada responden meluahkan sesuatu

dengan lebih mendalam semasa temu bual dijalankan.

Pengkaji berpendapat bahawa pengumpulan data menerusi kaedah temu bual separa-berstruktur

membolehkan maklumat yang diperoleh dengan lebih mendalam. Bagi memastikan data yang dikumpulkan

menjawab persoalan kajian, pengkaji membina soalan berdasarkan persoalan kajian iaitu berkaitan dengan

latar belakang responden dan cabaran, pengalaman, pendekatan dan kemahiran kaunseling yang digunakan

serta keperluan warga tua sepanjang berada di pusat jagaan warga tua sebagai panduan semasa temu bual.

Matlamat utama penyelidikan kualitatif bukan untuk membuat generalisasi (Merriam, 1998), tetapi adalah

untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam terhadap sesuatu fenomena yang dikaji. Maka

penyelidikan adalah sangat bergantung kepada kaedah persampelan bertujuan (Gay dan Airasan, 2000).

38

Kaedah persampelan bertujuan sangat sesuai bagi penyelidikan kualitatif bagi mendapatkan responden

yang boleh memberi maklumat (data) mencukupi atau mendalam mengenai perkara yang sedang dikaji.

Sampel Kajian

Bilangan sampel dalam kajian kualitatif adalah kecil yang mungkin terdiri daripada individu tertentu

(Patton, 1990). Sampel kajian terdiri daripada tiga orang responden di tiga buah pusat jagaan warga tua

yang berasingan di daerah Kajang dan Bangi dan merupakan persampelan bertujuan (purposive sampling)

bagi memenuhi ciri-ciri yang telah ditetapkan. Responden merupakan seseorang yang mempunyai

pengalaman melebihi tiga tahun dalam penjagaan warga tua.

Prosedur

Proses temubual dimulakan dengan menemubual latarbelakang demografi responden terlebih dahulu.

Temubual berdasarkan kepada soalan protokol yang telah dibentuk. Soalan protokol ini dibentuk setelah

meneliti dan merumuskan sorotan literatur. Responden turut dirangsang untuk menjawab secara lebih

terperinci dengan menyiasat dan bertanya selanjutnya (probing). Maklumat temubual direkodkan

menggunakan perakam digital. Temubual yang lengkap kemudiannya ditranskrip ke dalam bentuk

verbatim untuk tujuan analisis.

DAPATAN DAN PERBINCANGAN

(i) Cabaran

Cabaran merupakan antara perkara yang menyebabkan responden berhadapan dengan pelbagai masalah

dan dugaan sepanjang penglibatan mereka dalam penjagaan warga tua. Namun begitu, mereka sentiasa

berusaha untuk menangani dan mengatasi setiap cabaran tersebut dengan berfikiran terbuka serta positif.

Beberapa sub tema muncul berkaitan dengan cabaran pemberijaga dalam menjaga warga tua. Antaranya

ialah (a) persepsi negatif masyarakat, (b) kewangan, (c) fasiliti, dan (d) pengurusan kesejahteraan penghuni

serta pekerja.

(a) Persepsi negatif masyarakat

“Halangan dia tu memang banyak lah, sebab kita nak membina sebuat pusat kebajikan ni, yelah persepsi

masyarakat setempat, orang kampung. Orang tak tahu apa matlamat kita nak buat di sini, jadi complaint,

tohmahan-tohmahan tu banyak la. Memang banyak betul. Sampai Menteri Besar Selangor sendiri pun

orang hantar tak setuju, maknanya tak setuju rumah kebajikan ni ada di kampung ini sebab jaga orang-

orang tua, takut penyakit berjangkit la, itu lah… Ini lah.”

R1

“Aaa.. Untuk orang menyokong kita ni terlalu kurang. Jadi banyak yang complaint, bermacam-macam

masalah. Jadi, kena lah kita tempuh.”

R1

“Kadang-kadang cakap tanpa fakta jadi benda lain. Kadang-kadang pada hari Jumaat, orang kata

“Kenapa tak bawa diorang ni pergi sembahyang Jumaat? Jaga pandai tapi bawa sembahyang tidak.”

Tapi yang bercakap banyak, tapi yang mengendali kita je kan. Jadi, kita nak cakap macam mana? Kalau

dia cakap di luar. Kalau tuan-tuan rasa lebih selesa lagi, lebih baik tuan-tuan datang sini, ambil diorang,

bawa pergi. Sebab diorang ni kadang-kadang ni takde kaki, kadang-kadang kita nampak dia sihat tapi dia

39

takde kaki. Kadang dia buta. Cacat. Jadi tak kan semua kita mampu bawa solat semua. Yang mana boleh

naik van, saya bawa la. Yang tak boleh tu kita nak buat macam mana. Tu yang kata yang terlantar tu. Yang

tu macam mana kita nak bawa.”

R1

“Halangan tu, mungkin kalau saya boleh katakan di sini lebih kepada persepsi masyarakat terhadap

golongan warga emas dan lazimnya, untuk Pusat Jagaan Siti Nor Aini di sini, saya tahu ada penduduk di

sekeliling yang membantah kewujudan pusat jagaan di sini atas faktor kesihatan dan mereka berpendapat

pusat jagaan ini merupakan satu pusat yang mengumpul pesakit-pesakit berjangkit yang boleh

menjangkitkan mereka dengan penyakit. Sehinggakan pada masa tu, penghuni di pusat jagaan kami

dilarang untuk menggunakan surau taman atas faktor masalah kesihatan. Dan di bangunan yang lagi satu

yang saya uruskan sendiri, kami mendapat tentangan kerana bangunan itu terletak dalam lot banglo,

dalam kawasan... Boleh dikatakan dalam kawasan berada dan ada sebahagian daripada penduduk di

taman itu kurang setuju dengan adanya pusat jagaan.”

R2

“Mereka membantah kerana boleh menjejaskan nilai ‘keelitan’ kawasan tersebut. Haa.. Sebab alasan

semasa berlakunya perjumpaan dengan mereka, alasan-alasan yang diberikan pada saya agak kurang

munasabah kerana katanya bila ada pusat jagaan di situ, mengganggu privacy mereka dan boleh

mengancam keselamatan dan mengganggu ketenteraman dari segi ambulans yang datang. Dan sehingga

ke hari ini di kedua-dua pusat jagaan, masih ada bantahan tetapi alhamdulillah, kita boleh lihat

berkurangan la.”

R2

“Tak dinafikan memang akan ada suara-suara sumbang daripada orang sekeliling dengan wujudnya pusat

ini. Mereka ada tanggapan dan persepsi mereka sendiri mengenai pusat jagaan. Apa yang kita buat pun

tujuannya baik, untuk kebaikan warga tua.”

R3

(b) Kewangan

“Tapi buat permulaan sebelum ni tak ramai la, dalam sepuluh orang. Kita jaga sikit-sikit. Sekarang sudah

mencapai 70 orang. Tapi lesen kita sebenarnya boleh mencapai 100 lebih. Kita hadkan setakat itu sebab

perbelanjaan kita tak mampu menampung. Sekiranya tambahan penghuni, maka bertambah la kewangan

kita, masalah pun akan bertambah lagi.”

R1

“Dari segi bantuan tu memang la. Kita harapkan, kita memang mengharap sangat la kalau orang dapat

membantu. Sebab sekarang ni kita pun faham ekonomi tak berapa cantik kan. Orang yang menyalurkan

kewangan, sedekah-sedekah pun kurang. Jadi kita mengharapkan kalau dapat sesiapa juga yang ada

rezeki lebih bantu-bantu la sedikit Al-Fikrah ni sebab kita pun, slogan kita “Sama-sama la kita beramal

jariah bersama Al-Fikrah.”

R1

40

“Dari segi kewangan tu saya rasa semua pusat jagaan mempunyai masalah yang sama, sebab kita tahu

kerajaan menyediakan peruntukan yang boleh dikatakan kurang daripada separuh untuk membantu NGO-

NGO. Dan kita faham la, kerana NGO di Malaysia ini pun banyak dan peruntukan yang diperlukan itu

pun semakin hari semakin ketat untuk dibelanjakan. Dan dari segi tu, alhamdulillah kami berjaya untuk

bukan mengatasi tetapi kami berjaya mengurangkan kesan masalah kewangan dengan meletakkan tabung-

tabung. Kalau perasan di kedai mamak, kami meletakkan tabung untuk mendapatkan sumbangan orang

ramai dan abang saya sekarang ni, dia sendiri jarang ada di pusat jagaan kerana dia mempunyai

perniagaan, yang mana keuntungan daripada perniagaan tu digunakan untuk menampung setakat mana

yang boleh perbelanjaan di pusat jagaan ni.”

R2

“Kewangan tu memang penting la. Banyak perkara boleh kita laksanakan bila adanya sumber kewangan

yang cukup contohnya penambahbaikan pusat jagaan.”

R3

(c) Fasiliti

“Cumanya masalah untuk naik ke tingkat atas dan dari atas untuk turun ke bawah la sebab kalau perasan

kita punya ramp tu agak curang. Jadi tak boleh, masalah untuk mereka akses ke tingkat atas tu dan dari

atas ke bawah tu sangat… Sangat terhad. Kalau keluar daripada pusat jagaan, kalau kata kita nak bawa

mereka berjalan ke, itu satu kekangan. Satunya kekangan dari segi pengangkutan. Kalau kita bawa satu

van untuk warga emas, kita perlukan satu lagi van untuk bawa wheelchair, tongkatnya dan juga

kelengkapan-kelengkapan lain la.”

R2

“Kami memang cuba sediakan kemudahan yang terbaik untuk penghuni kat sini. Kalau ada yang rosak,

kita akan baiki atau gantikan yang baru untuk keselesaan penghuni.”

R3

(d) Pengurusan kesejahteraan penghuni serta pekerja

. “Buat masa ini, kita pun tengok takde masalah yang besar dah. Sekarang cuma remeh-temeh, kecil-kecil

je dengan kerenah pekerja, kerenah penghuni-penghuni kita. Sebab kadang-kadang jabatan-jabatan yang

hantar pada kita ni bukannye orang tua je, sebab saya pun terpaksa terbuka ruang tu sedikit. Tidak ambil

orang tua sahaja. Macam anak yatim, yang usia 20-an ni kadang-kadang kan. Anak yatim atau pun

keluarga yang pecah-belah tak menentu kan, kita terpaksa membantu diorang juga.”

R1

41

“Kalau kita boleh berikan kasih-sayang pada diorang. Dah la anak dia tak tengok dia. Sebab tu kan,

apabila kita mendekati diorang, kadang-kadang kita sentuh dia, badan dia, pakcik-pakcik ni akan

menangis tau. Sebab dia fikir, imbas kembali anak dia pun tak pernah pegang dia, tak pernah sentuh dia.”

R1

“Contoh macam saya sekarang, dalam pejabat ni pun, saya ambil orang lebih ni pun sebab apa? Sebab

nak jaga akaun, nak jaga pentadbiran supaya benda ni licin kan. Jadi ruang untuk orang cakap ni susah

sikit la kan.”

R1

“.. Basic-basic ilmu agama ni, tapi bila kata nak buat kelas agama, satunya mereka berasa tersinggung

dan keduanya mereka rasakan…. Emmm.. Bila mereka tersinggung tu satu, dan keduanya bila mereka

lebih tahu, ada warga emas yang tak tahu ni rasa rendah diri pula.”

R2

“Adakalanya kalau pakcik tu.. Iyelah, kalau orang tua ni kadang-kadang tu emosi dia lain macam sikit.

Kalau dia ok, alhamdulillah semua akan ok. Tapi apabila dia datang angin kurang baik atau moody dia,

memang dari pihak pekerja dan staf semua harus bersabar dan pandai untuk tackle hati dia masa tu la.

Ada juga kadang-kadang akan bergaduh sesama sendiri atas alasan yang boleh dikatakan agak remeh

la.”

R2

“Ada sesetengah waris ni bila masuk kat sini dia berasa sedih. Sebab yelah, persepsi orang kita bila masuk

rumah orang tua, tu satu pengakhiran yang sangat sedih. Tapi, ada beberapa pihak bila dia berjumpa

dengan pakcik-pakcik atau orang lain yang sama nasib dengan dia, dia rasa terubat. Maksudnya dia rasa

dia bukan seorang. Dan ada juga dia rasa terkilan. Yela, sebab anak-anak tu dia dah jaga dari kecil sampai

dewasa. Orang kata dah buat macam-macam tapi still anak-anak tak nak jaga atau abaikan dia sampai

akhir hayat.”

R2

“Penghuni kat sini memang la dia berasa sedih, murung tetapi kita akan selalu ceriakan diorang dengan

menjaga mereka dengan baik. Kita juga terima kunjungan daripada orang ramai untuk buat aktiviti

dengan diorang dan gembirakan diorang.”

R3

“Pekerja kat sini pun memang uruskan mereka dengan elok, cuma kita takde la terima latihan yang khusus

dari aspek penjagaan ni.”

R3

42

(ii) Kekuatan

Kekuatan merupakan perkara yang amat penting bagi responden dalam meneruskan usaha mereka dalam

membantu warga tua. Kekuatan ini melibatkan ahli keluarga serta rakan-rakan dalam memberikan

sokongan kepada mereka sama ada dalam bentuk tenaga, wang ringgit, perkongsian ilmu dan nasihat.

Antara kenyataannya ialah:

“Kawan-kawan sekeliling kita la. Yang mana kita selalu berganding bahu, pergi tolong-tolong diorang

dekat hospital dulu. Jadi diorang bersama-sama dengan saya la membantu.”

R1

“Dulu saya banyak bekerjasama dengan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia. Diorang la banyak

membantu saya di sini, hantar penghuni-penghuni daripada hospital. Kemudian bila dah banyak

berkembang, orang dah tahu, daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat pun banyak hantar ke sini.

Sekarang daripada pihak agama, pejabat zakat pun ada hantar, JKM pun ada hantar dan sekarang

berbagai-bagai jabatan la sekarang. Yang mana diorang tahu kita ni, diorang akan hantar ke sini lah.”

R1

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat la sebab Pejabat Agama Hulu Langat sanggup menghantar

seorang ustazah untuk mengajar lagi tentang agama. Kita dah bantu. Dia datang pula lagi bagi bantuan.”

R1

“Itu la melalui pamplet kita, melalui tv kalau ada yang tv datang, surat khabar.”

R1

“Dato’ Seri Najib pun ada datang sini, datang sendiri untuk tengok. Dua kali dalam satu bulan datang.”

R1

“Dari segi membantu semasa pembukaan pusat jagaan ni sudah semestinya keluarga abang saya,

keluarga mereka sendiri, keluarga kecil mereka. Dan alhamdulillah mendapat sokongan daripada

keluarga besar, daripada saya, daripada ayah saya dan juga daripada pakcik makcik la kan. Daripada

Jabatan Kebajikan Masyarakat juga amat menyokong sebab semasa pembukaan pusat jagaan ini, masa tu

pusat jagaan yang menjaga khas penghuni warga emas Islam sangat sedikit. Jadinya semasa pembukaan

tu memang mendapat sokongan daripada hospital, daripada pihak Kebajikan Masyarakat.”

R2

“Saya rasa kekuatan saya adalah pada abang saya sendiri sebab sejujurnya, kalau bukan sebab dia, saya

tak kan berada kat sini dan saya tak rasa untuk teruskan untuk jalankan.”

R2

43

“Sekarang ni ada satu group wassup untuk semua pengendali warga emas Islam. Jadi mudah juga untuk

kita war-warkan.”

R2

“Memang keluarga banyak membantu la sepanjang saya di sini. Selain daripada tu, kawan-kawan pun

ada juga yang bagi sokongan.”

R3

“Kita banyak berhubung dengan JKM la. Mereka pun sering bagi bantuan pada kita.”

R3

(iii) Keperluan

“Yang penting kita dari segi pemakanan la. Kalau yang kecil-kecil ni, yang paling kita nak jaga sekarang

ni makanan la. Kalau dapat limau. Bukan kita nak minta yang besar-besar, orang bagi ikan masin. Orang-

orang tua ni dia tak minta pun ayam daging semua tu. Kalau ada orang boleh support kita ikan masin,

ikan-ikan kembung. Ikan-ikan yang biasa macam kita makan kat rumah. Tak payah special pun takpe. Jadi

kita boleh masak, bagi diorang makan. Itu yang penting. Aaa.. Sebab orang-orang tua ni dia lebih suka

makan makanan kampung.”

R1

“Kita memang perlukan pekerja yang bagus la untuk bekerja di sini, tetapi pekerja susah. Zaman sekarang

tak boleh dapat. Itu masalah dia. Apa yang kita hendak tu, dia takde. Terpaksa kita latih. Aaa.. Sekarang

kalau ada orang yang keluar universiti tu tak kan nak basuh berak, mandi kan orang. Diorang tak nak.

Kita nak benda tu sebab kadang-kadang emergency terlalu banyak yang berlaku di sini kan. Jadi, kita nak

tenaga diorang tapi diorang tak boleh bagi. Diorang ni kena belajar. Kena latih diorang. Kena tunjuk.

Sebab diorang kebanyakannya jijik. Kalau terutama sekali pekerja-pekerja orang Melayu susah, dia tak

tahan.”

R1

“Keperluan daripada pakaian, cadar-cadar. Benda-benda macam tu memang kita perlu sebab cadar-

cadar ni memang kita tiap-tiap hari kita tukar kan.”

R1

“Kita ada empat orang ustaz lagi yang mengajar tentang agama. Lepas tu kalau ada pun daripada hospital

kan. Itu pun dulu tiap-tiap bulan datang untuk exercise, sekarang dah takde. Macam-macam la, takde

budjet la, takde itu la..”

R1

“Kita titikberatkan tentang agama, solat kena jaga. Itu yang paling penting. Dalam masa solat tu selalunya

kita mudah untuk bagi kaunseling pada diorang, kita dekat dengan diorang. Mudah.”

R1

44

“Penjagaan khusus daripada pihak hospital atau pun pihak jabatan itu hanya diberikan kepada staf yang

menguruskan. Eemmm… Macam saya sendiri di bahagian office akan diberikan satu taklimat atau

penerangan bagaimana untuk menguruskan rekod-rekod pesakit, penghuni di sini dan juga khusus untuk

menguruskan rekod-rekod perubatan dan cara untuk mengendalikan ubat-ubat mereka. Dan kalau

pekerja-pekerja yang emmm.. Menjaga bahagian kebersihan itu, biasanya hanya akan diberi latihan

secara tidak formal di sini la.”

R2

“Ok, kalau dari segi sumbangan, atau boleh saya kata sokongan la. Boleh dikatakan pakcik-pakcik ini

lebih perlukan motivasi untuk terus hidup untuk …. Biasanya kalau ada pelawat atau ada pelajar, biasanya

saya sangat galakkan mereka untuk bersembang dengan pakcik-pakcik di sini supaya satunya untuk

mengelakkan daripada rasa murung, mengelak daripada rasa tertekan. Jadi, saya rasa sumbangan yang

paling diperlukan oleh warga emas ini adalah dalam bentuk sokongan moral. Sebab kalau dari segi

kewangan atau pun kebendaan tu, kurang bagi mereka.”

R2

“Ok, soalan ini saya akan jawab base on pandangan abang saya. Dalam penjagaan warga tua yang paling

penting bagi beliau adalah kebersihan. Yang mana kebersihan ni ialah pakcik di sini harus bersih, pusat

jagaan harus bersih. Dan yang keduanya lebih menjurus kepada penjagaan emosi. Dan yang ketiga

mungkin dari segi penyediaan atau pendekatan ilmu agama. Jadi tiga faktor ini la yang dititikberatkan di

sini.”

R2

“Kita memang mempunyai seorang ustaz dan dia akan datang bergantung kepada kelapangan beliau dan

lazimnya bila dia datang tu bukan untuk mengadakan kelas agama tetapi lebih kepada kelas usrah,

maknanya lebih kepada kelas perbincangan.”

R2

“Mereka ni amat perlu diberi sokongan khususnya berkaitan emosi. Pengisian atau aktiviti yang menarik

boleh membantu mereka untuk berasa gembira.”

R3

“Keperluan lain tu banyak la macam pakaian, makanan dan pengisian ilmu pengetahuan. Sesi kaunseling

juga penting untuk diorang meluahkan perasaan.”

R3

45

KESIMPULAN

Artikel ini telah membincangkan sebuah kajian berkenaan pengalaman pemberijagaan terhadap warga tua.

Pusat jagaan warga tua menyatakan bahawa terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil kira atau

dititikberatkan apabila berhadapan dengan penjagaan warga tua antaranya ialah cabaran, kekuatan dan

keperluan. Terdapat juga sub tema yang diperolehi melalui kajian ini iaitu cabaran yang dihadapi oleh

pemberijaga seperti persepsi negatif masyarakat, kewangan, fasiliti, dan pengurusan kesejahteraan

penghuni serta pekerja. Maklumat daripada kajian ini diharap dapat membina literatur ke arah pendidikan

pemberijagaan yang masih berkurangan di Malaysia. Hal ini adalah penting dalam mewujudkan program

pendidikan kesejahteraan dan transdisiplinari yang menyokong ilmu dan kemahiran pemberijagaan warga

tua pada masa hadapan.

RUJUKAN

Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) Pindaan hingga Jun 2006, Percetakan Nasional Berhad 2006.

Amla, Zuria & Salleh. 2009. Bimbingan dan Kaunseling Sekolah. Edisi ke-2. Siri Penerbitan Fakulti

Pendidikan UKM. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Azizi, Halimah, Shahrin, Yusof & Jamaludin. 2009. Modal Insan: Membentuk Keluarga Berkesan. Siri

Penerbitan UTM. Universiti Teknologi Malaysia.

Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia. 2008. Panduan untuk

Penjaga Warga Emas. Kuala Lumpur.

Bernama. 2016. Penduduk Malaysia 31.7 Juta Orang pada

2016.http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penduduk-malaysia-31-7-juta-orang-pada-2016

1.356722. 22 Julai 2016

Farhana Hanim Mohd. Mydin. 2016. Warga Emas di Malaysia Meningkat 2.8 Juta Orang. Kosmo. Kuala

Lumpur. 26 Mac 2016.

Fauziah Hanim. 2007. Strategi Membantu Keluarga. Siri Penerbitan Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Khadijah Alavi, Rahim M. Sail, Khairuddin Idris, Asnarulkhadi Abu Samah & Christine Chan. 2011.

Keperluan Sokongan Emosional dalam Kalangan Anak Dewasa yang menjaga Warga Tua. Jurnal E- Bangi.

Volume 6, Number 1, 102- 114. ISBN: 1823-884x

Noraini Che’ Sharif, Khadijah Alavi, Ponnusamy Subramaniam & Zainah Ahmad Zamani. 2015.

Pengalaman dan Faktor Pengabaian Warga Emas dalam Komuniti. Jurnal E- Bangi. Volume 10, Number

1, 118- 134.ISSN: 1823-884x

Normala binti Riza. 2012. Faktor yang Mempengaruhi Kemurungan dalam Kalangan Warga Tua di Pusat

Jagaan Terpilih. 3rd Conference in Advancing Social Work Series: Improving Practice Compentencies

through Education & Mentoring. 17-18 Julai 2012 Kuching, Sarawak.

Panduan untuk Penjaga Warga Emas. 2008. Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian

Kesihatan Malaysia.

Rika Fatimah & Abdul Aziz Jemain. 2015. Institusi Keluarga di Malaysia. Peranan dan Kualiti. 2015. Siri

Penerbitan UKM. Universiti Kebangsaan Malaysia.

R. Manthei and R. Nourse. 2012. Evaluation of a Counselling Service for the Elderly. New Zealand Journal

of Counselling VOLUME 32/ 2

46

Robert B. Friedland, Ph.D., Center on an Aging Society, Georgetown University. 2015. Selected Long-

Term Care Statistics. https://www.caregiver.org/selected-long-term-care-statistics

S. Pohlmann, P. Heinecker and C. Leopold. 2014. Social Counselling for Older People-Between Advice

and Therapy. European Journal of Social Work. Vol. 17, No. 3, 415–432

Wook Endut dan Fariza Ahmad. 2009. Prospek Permintaan terhadap Perkhidmatan Penjagaan Warga

Tua.Prosiding Perkem IV, Jild 1(2009) 337-353 ISSN: 2231-962X

Zheng-Yi Goh, Ming-Ming Lai, Siok-Hwa Lau & Nazihah Ahmad. 2013. The Formal and Informal Long-

Term Caregiving for the Elderly: The Malaysian Experience. Asian Social Science; Vol. 9, No. 4. Canadian

Center of Science and Education.