Pengenalan kepada Alam Seketar - ftsm.ukm.my Buku/Pendahuluan Buku Sains Sosial... · Globalisasi...

download Pengenalan kepada Alam Seketar - ftsm.ukm.my Buku/Pendahuluan Buku Sains Sosial... · Globalisasi misalnya adalah tema penting dalam ... dikaitkan dengan disiplin Antropologi ...

If you can't read please download the document

Transcript of Pengenalan kepada Alam Seketar - ftsm.ukm.my Buku/Pendahuluan Buku Sains Sosial... · Globalisasi...

  • ii

    Pendahuluan

    Buku ini ditulis khas untuk pelajar sains dan teknologi maklumat yang mengambil kursus

    TM1813 Pengantar Sains Sosial. Walaupun kursus ini bersifat pengantar tetapi isu yang

    dibincangkan tidak terhad kepada asas sains sosial tetapi turut meliputi isu semasa yang

    relevan dengan kehidupan kontemporari. Berdasarkan pengalaman penulis mengajar

    kursus ini beberapa semester, isu asas sains sosial seperti falsafah, teori dan aliran

    pemikiran yang mendasari perkembangan ilmu sains sosial tidak dapat dihayati oleh

    mahasiswa sains dan teknologi maklumat lalu menganggap kursus ini tidak relevan.

    Pengalaman tersebut menyebabkan penulis memikirkan untuk mendedahkan pelajar

    kepada isu sosial yang menjadi fokus sains sosial gunaan atau sains sosial moden.

    Globalisasi misalnya adalah tema penting dalam sosiologi moden.

    Kursus ini mendedahkan kepada pelajar sifat dan asal-usul disiplin sains sosial.

    Sains sosial memberi tumpuan kepada hal sosial dan kemasyarakatan dan sering

    dikaitkan dengan disiplin Antropologi dan Sosiologi. Oleh itu kursus ini sering

    ditanggapi tidak relevan untuk pelajar jurusan sains dan teknologi maklumat

    mempelajarinya. Ini adalah tanggapan yang tidak benar. Sains sosial adalah lebih luas

    daripada hanya antropologi dan sosiologi. Antropologi gunaan pula adalah disiplin yang

    banyak mengkaji hal kemanusiaan dan terbukti berjaya menggarab isu sosial dengan

    baik.

    Meskipun sains sosial berbeza daripada sains tulen namun disiplin ini

    menggunakan kaedah saintifik untuk melakukan penyelidikan. Ciri-ciri sains ditekankan

    supaya penyelidikan berdasarkan bukti empiris meskipun subjek kajian adalah manusia

    dan masyarakat. Ini berbeza dari kajian sains tulen yang menekankan kajian makmal.

    Oleh itu pelajar sains dan teknologi maklumat harus didedahkan dengan kaedah

    penyelidikan sains sosial supaya dapat mengimbangi pengetahuan dalam kaedah

    pembangunan projek yang diberi penekanan dalam kursus prasiswazah selama tiga tahun.

    Kandungan kursus ini diolah khas supaya pengisiannya dapat memaparkan su

    semasa yang menyelubungi kehidupan seharian. Oleh itu pelajar jurusan sains dan

    teknologi maklumat dapat mengimbangi pengetahuan mereka supaya apa juga

    perancangan yang melibatkan teknologi tidak akan mengabaikan kesejahteraan sosial.

    Walau apapun kemajuan yang dibawa, manusia tetap menjadi fokus utama. Manusia

    juga pencetus pembangunan dan mempunyai kreativiti yang seharusnya dijana untuk

    kemakmuran dan kesejahteraan sejagat. Manusia adalah subjek utama sains dan

    teknologi, agama falsafah, seni dan skema hidup yang lain. Oleh itu pengetahuan tentang

    budaya dan kejadian manusia membantu mahasiswa memahami hakikat kehidupan

    bahawa teknologi seharusnya digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti

    kehidupan sosial. Teknologi yang mengancam manusia dan persekitaran harus dijauhi.

    Manusia sebagai khalifah yang diamanahkan dengan tanggungjawab harus memikul

    tanggungjawab tersebut dengan baik dan tidak mengorbankan kemanusiaan semata-mata

    faedah yang menguntungkan terutamanya apabila teknologi maklumat dan komunikasi

    terlibat.

  • iii

    Pemahaman tentang budaya, norma dan aturan hidup juga penting supaya projek

    pembangunan teknologi dapat diterima selaras dengan nilai dan pegangan hidup

    masyarakat setempat. Mahasiswa juga perlu memahami bahawa tidak semua masalah

    boleh diselesaikan menggunakan teknologi.

    Teknologi maklumat dan komunikasi yang canggih dan terkini tidak mungkin

    dapat dihargai sekiranya masalah asas seperti pencemaran alam sekitar, hak asasi

    manusia yang tercabul, keadilan yang tidak terlaksana, masyarakat yang pincang dan

    ikatan kekeluargaan yang longgar tidak ditangani. Bakal pengusaha teknologi maklumat

    yang kelak menerajui bidangnya diharap tidak mengabaikan tanggungjawab sosial. Oleh

    itu pengetahuan mengenai tanggungjawab pemimpin, teori ekonomi, nilai dan

    tanggungjawab manusia adalah penting sebagai bekalan yang boleh memandu mereka

    dalam dunia teknologi maklumat.

    Sebenarnya lebih banyak lagi topik yang boleh dirangkumkan tetapi pengarang

    menghadkan kepada 14 topik selaras dengan jangka masa perkuliahan selama 14 minggu.

    Topik ini mewakili setiap disiplin yang terangkum dalam sains sosial seperti sains

    politik, ekonomi, psikologi, sosiologi, antropologi, undang-undang, sejarah dan geografi.

    Setiap isu seboleh-bolehnya dibincangkan dari sudut pemikiran Barat dan juga Islam

    supaya mahasiswa dapat melihat sesuatu isu dari perspektif yang luas dan berbeza

    seterusnya memahami masalah sosial dengan lebih baik.

    Akhirnya, kursus ini merupakan kursus yang mengajak para mahasiswa berfikir.

    Kursus dalam bidang tujahan FTSM adalah berbentuk data dan fakta yang memerlukan

    mahasiswa berfikiran objektif. Kursus ini memberi ruang kepada mahasiswa berfikir di

    luar dari wewenang sains komputer. Sains tabii kini turut cenderung menerangkan

    konsep manusia tetapi dari aspek sains semata-mata. Manusia saintifik, rasional dan

    mantic yang dibangunkan ini kehilangan pertimbangan moral yang berpaksikan kepada

    nilai tradisi dan agama. Ini akhirnya melenyapkan kebahagiaan dan kedamaian kehidupan

    manusia moden. Kemajuan dan kemakmuran tidak bererti jika manusia saintifik tidak

    lagi memahami konsep kebahagiaan dan kesejahteraan serta lupa tujuan asal kehidupan.

    Mengenali hakikat manusia adalah penting kerana pembangunan manusia dari perspektif

    yang sebenarnya adalah juga penting. Kemajuan menerokai angkasa tidak membawa erti

    jika manusia tidak dapat menjaga alam persekitaran tempat tinggalnya. Penguasaan sains

    dan teknologi belum boleh menjanjikan kepuasan seandainya manusia tidak memahami

    hakikat dan tujuan hidup. Sains dan pemikiran rasional dan logik semata-mata

    dibimbangi akan melahirkan mahasiswa yang rakus, pengeksploitasi yang akhirnya,

    memusnahkan alam ini.

    Keperluan kepada sains sosial adalah sepanjang zaman. Dunia tetap memerlukan

    manusia yang berfikiran kritis, betrfikir secara falsafah serta boleh merenungi dan

    menganalisis masyarakatnya.