Pengenalan kepada Alam Seketar - ftsm.ukm.my Buku/Pendahuluan Buku Sains Sosial... · Manusia...
Transcript of Pengenalan kepada Alam Seketar - ftsm.ukm.my Buku/Pendahuluan Buku Sains Sosial... · Manusia...
ii
Pendahuluan
Buku ini adalah edisi semakan kepada edisi yang ditulis pada tahun 2003. Buku ini ditulis
khas untuk mahasiswa sains dan teknologi maklumat yang mengambil kursus TM1813
Pengantar Sains Sosial. Walaupun kursus ini bersifat pengantar tetapi isu yang
dibincangkan adalah isu semasa yang relevan dengan kehidupan kontemporari.
Berdasarkan pengalaman penulis mengajar kursus ini beberapa semester, topik
fundamental dalam sains sosial seperti falsafah, teori, aliran pemikiran dan tokoh besar
dalam sains sosial tidak dapat dihayati oleh mahasiswa sains dan teknologi maklumat
lalu tidak dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Lantas peranan disiplin
Sains Sosial tidak dapat dihayati. Pengalaman tersebut mendorong penulis untuk
mendedahkan mahasiswa kepada isu-isu sosial yang menjadi fokus sains sosial gunaan
atau sains sosial moden. Globalisasi, hak asasi, alam sekitar dan keadilan adalah tema
penting yang mendapat perhatian sosiologi moden. Sains Sosial yang fundamental hanya
sesuai diajar jika pelajar mempunyai peluang mengambil kursus sains sosial gunaan.
Oleh kerana pelajar Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat tidak mempunyai peluang
tersebut, maka penulis berasakan kursus ini harus memberi pendedahan yang luas
terhadap isu yang sedang mengguliti masyarakat global dengan harapan pelajar sentiasa
peka, memahami sesab musabab dan berwaspada dalam menghadapi cabaran sosial pada
masa-masa mendatang. Kursus ini juga merupakan satu usaha mendokong pendidikan
liberal dengan harapan dapat menjadikan graduan yang serba boleh dan sentiasa peka
kepada isu yang berkaitan dengan kemanusiaan dan kesejahteraan sosial.
Lantas, kursus ini direka sedemikian rupa bagi memberi pendedahan kepada pelajar
mengenai sifat dan asal usul disiplin sains sosial serta bidang rangkumannya. Sains sosial
memberi tumpuan kepada hal-hal sosial dan kemasyarakatan yang sering dikaitkan
dengan disiplin Antropologi dan Sosiologi dan tidak perlu dipelajari oleh pelajar sains
dan teknologi. Ini adalah tangapan yang terkeliru kerana intipati kepada aplikasi sains
dan teknologi ialah manusia itu sendiri. Setiap inovasi teknologi harus mengutamakan
kesejahteraan sosial dan kursus ini dapat menyedarkan mahasiswa akan peranannya
dalam masyarakat dan tujuan inovasi sains dan teknologi dilakukan. Tidak dinafikan
bahawa disiplin Sains Sosial terutama sosiologi gunaan telah banyak mengkaji hal-hal
kemanusiaan dan kemasyarakatan serta terbukti berjaya menggarab masalah dan isu
sosial dengan baik termasuk yang ditimbulkan oleh sains dan teknologi.
Meskipun sains sosial berbeza daripada sains tulen namun disiplin ini menggunakan
kaedah saintifik untuk melakukan penyelidikan. Ciri-ciri sains ditekankan supaya
penyelidikan berdasarkan bukti empirikal meskipun subjek kajian adalah manusia dan
masyarakat. Ini berbeza dari kajian sains tulen yang menekankan kajian makmal. Oleh itu
mahasiswa sains dan teknologi maklumat harus didedahkan dengan kaedah penyelidikan
sains sosial supaya dapat mengimbangi pengetahuan dalam kaedah pembangunan projek
yang diberi penekanan dalam kursus prasiswazah selama tiga tahun.
Kandungan kursus ini diolah khas supaya pengisiannya dapat memaparkan isu-isu
semasa yang menyelubungi kehidupan seharian. Oleh itu mahasiswa sains dan teknologi
maklumat dapat mengimbangi pengetahuan mereka supaya apa juga perancangan yang
iii
melibatkan teknologi tidak mengabaikan kesejahteraan sosial. Walau apapun kemajuan
yang dibawa, manusia tetap menjadi subjek utama. Manusia juga pencetus pembangunan
dan mempunyai kreativiti yang seharusnya dijana untuk kemakmuran dan kesejahteraan
sejagat. Pengetahuan tentang budaya dan kejadian manusia membantu mahasiswa
memahami hakikat kehidupan bahawa teknologi seharusnya digunakan untuk
meningkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan sosial. Teknologi yang mengancam
manusia dan persekitaran harus dijauhi. Manusia sebagai khalifah yang diamanahkan
dengan tanggungjawab harus memikul tanggungjawab tersebut dengan baik dan tidak
mengorbankan kemanusiaan semata-mata faedah yang menguntungkan terutamanya
apabila yang melibatkan teknologi maklumat dan komunikasi.
Pemahaman tentang budaya, norma dan aturan hidup juga penting supaya projek
pembangunan teknologi dapat diterima selaras dengan nilai dan pegangan hidup
masyarakat setempat. Perlu juga difahami bahawa tidak semua masalah boleh
diselesaikan menggunakan teknologi.
Teknologi maklumat dan komunikasi yang canggih dan terkini tidak mungkin dapat
dihargai sekiranya masalah asas seperti pencemaran alam sekitar, hak asasi manusia
yang tercabul, keadilan yang tidak terlaksana, masyarakat yang pincang dan ikatan
kekeluargaan yang longgar tidak ditangani. Bakal pengusaha teknologi maklumat yang
kelak menerajui bidangnya diharap tidak mengabaikan tanggungjawab sosial. Oleh itu
pengetahuan mengenai tanggungjawab pemimpin, teori ekonomi, nilai dan
tanggungjawab manusia adalah penting sebagai bekalan yang boleh memandu mereka
dalam dunia teknologi maklumat
Banyak topik yang boleh dirangkumi tetapi pengarang menghadkan kepada 14 topik
selaras dengan jangka masa perkuliahan selama 14 minggu. Topik-topik ini mewakili
setiap disiplin yang terangkum dalam sains sosial seperti sains politik, ekonomi,
psikologi, sosiologi, antropologi, undang-undang, sejarah dan geografi. Setiap isu
dibincangkan dari sudut pemikiran Barat dan juga Islam supaya mahasiswa melihat
sesuatu isu dari perspektif yang luas lantas memahami masalah sosial dengan baik.
Meskipun sains tabii kini turut cenderung menerangkan konsep manusia tetapi dari aspek
sains semata-mata. Manusia saintifik, rasional dan mantik yang dibangunkan ini
kehilangan pertimbangan moral yang berpaksikan kepada nilai tradisi dan agama. Ini
akhirnya melenyapkan kebahagiaan dan kedamaian kehidupan manusia moden.
Kemajuan dan kemakmuran tidak bererti jika manusia saintifik tidak lagi memahami
konsep kebahagian dan kesejahteraan dan lupa tujuan asal kehidupan. Mengenali hakikat
manusia adalah penting kerana pembangunan manusia dari perspektif yang sebenarnya
adalah penting. Kemajuan teknologi tidak membawa erti jika manusia tidak dapat
menjaga alam persekitaran tempat tinggalnya dan meningkatkan ketamadunan.
Penguasaan sains dan teknologi belum boleh menjanjikan kepuasan seandainya manusia
tidak memahami hakikat dan tujuan hidup. Sains dan pemikiran rasional dan logik
semata-mata dibimbangi akan melahirkan mahasiswa yang rakus dan pengeksploitasi
yang akhirnya memusnahkan alam ini.
iv
Keperluan kepada sains sosial adalah sepanjang masa. Dunia tetap memerlukan manusia
yang berfikiran kritis, berfikir secara falsafah yang boleh merenungi dan menganalisis
masyarakatnya. Meskipun kursus ini tidak memenuhi tuntutan pasaran kerja semasa
tetapi adalah penting untuk meningkatkan tamadun manusia.
Kursus ini merupakan kursus yang mengajak para mahasiswa berfikir. Kursus-kursus
dalam bidang tujahan FTSM banyak melibatkan data, numerik dan logik menyebabkan
mahasiswa kurang menggunakan kemahiran berfikir secara kritis mengenai kemanusiaan.
Kursus ini memberi ruang kepada mahasiswa berfikir di luar dari wewenang sains dan
teknologi maklumat.
Terdapat beberapa perubahan dalam edisi semakan ini. Selain dari daripada beberapa
penambahan fakta dan pengguguran, edisi semakan ini menambah satu topik baru iaitu
‘Stratifikasi Sosial’ dan menggabungkan topik ‘Sejarah, Perkembangan dan Kedudukan
Sains Sosial’ dan ‘Sains Sosial dalam Islam’ kepada topik baru iaitu ‘Sains Sosial,
Sejarah dan Pengaruh Islam’.
Wassalam
Pengarang