Penghinaan Mahkamah Di Mahkamah Syariah...
Transcript of Penghinaan Mahkamah Di Mahkamah Syariah...
16
Penghinaan Mahkamah Di Mahkamah Syariah Malaysia
Hariani Mohamad, Zuliza Mohd Kusrin & Mohd Zamro Muda
Universiti Kebangsaan Malaysia
ABSTRAK
Mahkamah Syariah adalah institusi kehakiman yang berperanan mengadili kes-kes
berkaitan hal ehwal keagamaan orang Islam, seperti yang dihadkan dalam Perlembagaan
Persekutuan Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat keputusan kes-kes di Mahkamah
Syariah yang tidak dipatuhi menyebabkan berlakunya penghinaan mahkamah. Objektif
artikel ini adalah untuk membincangkan konsep penghinaan mahkamah, punca kuasa
untuk Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan penghinaan
mahkamah serta hukuman untuk penghinaan mahkamah tersebut. Perbincangan artikel ini
hanya merujuk kepada statut-statut berkaitan di Wilayah-wilayah Persekutuan Malaysia
kerana umumnya peruntukan negeri-negeri lain di Malaysia adalah hampir sama.
Metodologi kajian adalah secara analisis kandungan. Data yang diperolehi dianalisis
secara deskriptif dan disusun secara tematik. Hasil perbincangan mendapati bahawa
dalam sistem kehakiman Malaysia umumnya konsep penghinaan Mahkamah Syariah
adalah sama seperti Mahkamah Sivil, iaitu ingkar mematuhi keputusan serta perintah
mahkamah, tetapi Mahkamah Syariah menekankan bahawa kepatuhan kepada keputusan
hakim adalah dengan syarat keputusan dan perintah tersebut tidak bertentangan dengan
Hukum Syarak. Tiada statut khusus berkenaan kesalahan penghinaan Mahkamah Syariah,
kerana punca kuasanya difahami dengan merujuk kepada pelbagai statut berkaitan, sama
ada yang menyatakan kesalahan tersebut secara langsung atau sebaliknya. Hukuman
terhadap kesalahan penghinaan Mahkamah Syariah adalah pelbagai dari aspek jumlah
denda dan tempoh masa penjara, bergantung kepada peruntukan undang-undang yang
dirujuk serta keseriusan pelanggaran keputusan atau perintah mahkamah syariah tersebut.
Kata kunci : mahkamah Syariah, penghinaan mahkamah, hukuman, denda, penjara.
Pengenalan
Mahkamah merupakan salah satu institusi penting dalam sistem pentadbiran negara. Ia
berfungsi untuk menegakkan keadilan dengan memastikan pihak-pihak yang
mengemukakan tuntutan di mahkamah dibicarakan dengan adil dan seterusnya pihak-
pihak yang terlibat mendapat keadilan dengan mematuhi keputusan yang diputuskan oleh
mahkamah. Ia merupakan institusi kehakiman yang penghakimannya perlu dipatuhi dan
dilarang sama sekali mengkritiknya kecuali melalui saluran perundangan khusus. Walau
bagaimanapun, seringkali berlaku kes-kes di mana pihak defendan/respondan yang
sepatutnya akur dengan keputusan serta perintah mahkamah telah bertindak tidak
17
mematuhi atau ingkar untuk melaksanakan perintah tertentu mahkamah tersebut. Justeru,
keadaan sedemikian dianggap mencabar perintah mahkamah dan tidak menghormati
perintah mahkamah menyebabkan jika perlakuan ingkar tersebut berjaya dibuktikan,
pihak yang ingkar didapati melakukan kesalahan penghinaan mahkamah. Artikel ini
membincangkan tentang konsep umum penghinaan mahkamah. Memandangkan konsep
penghinaan Mahkamah adalah suatu prinsip yang diambil daripada undang-undang sivil,
perbincangan berkenaan konsep penghinaan Mahkamah Sivil juga relavan dirujuk bagi
memahami konsep penghinaan Mahkamah Syariah. Perbincangan seterusnya
menfokuskan kepada statut atau peruntukan undang-undang yang menjadi punca kuasa
bagi Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman penghinaan mahkamah berserta
hukumannya dalam bentuk denda yang pelbagai jumlahnya dan penjara yang tempoh
masanya berbeza berdasarkan ringan atau berat kesalahan penghinaan mahkamah yang
dikomitkan. Perbincangan disertakan dengan seksyen serta kes perundangan berkaitan.
Konsep Penghinaan Mahkamah
Menurut Oxford Dictionary (2014) penghinaan mahkamah boleh dilihat menurut
Mahkamah Sivil iaitu Contempt of court, often referred to simply as “contempt”, is the
offense of being disobedient to or disrespectful towards a court of law and its officers in
the form of behavior that opposes or defies authority, justice, and dignity of the court.
L.C.J McNae (1990) pula menyatakan penghinaan mahkamah bermaksud melanggar
tatasusila mahkamah, membantah sesuatu tindakan yang bertujuan untuk menimbulkan
prasangka terhadap sesuatu perbicaraan yang adil (Mohd Safar Hasim 2002). Seterusnya
definisi yang agak menyeluruh diberi oleh A. Vijayalakshmi Venugopal (2014) seperti
berikut:
“… a basic definition of contempt of court might be when a legal persona (be it a natural
person or a company) interferes, by act or omission, with the administration of justice.
This may be committed by anyone, anywhere, and in any context. Contempt of court is a
power given to every court, expressly by statute, or through the inherent jurisdiction of
courts”
Menurut Harith Suleiman Faruqi penghinaan mahkamah ialah setiap perbuatan atau sikap
menyimpangkan dari maksud asal mahkamah atau perintah mahkamah. Kesalahan
penghinaan mahkamah ini boleh terjadi sama ada melaui perkataan atau perbuatan (Mohd
Nadzri Hj Abdul Rahman 2008). Salleh Abas (1997) menyatakan penghinaan mahkamah
ditakrifkan sebagai perbuatan samaada mengingkari perintah mahkamah atau membuat
perkara-perkara keji terhadap mahkamah.
Merujuk kepada definsi penghinaan Mahkamah Syariah, Munir al-Baalbaki menyatakan
penghinaan mahkamah adalah perkataan derhaka atau tidak menghormati kebenaran
mahkamah atau kadi atau keputusan-keputusan tashriciyat (Mohd Nadzri Hj Abdul
Rahman 2008: 98). Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab 33: 36 bermaksud:
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan , apabila Allah
dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara tidaklah harus mereka
18
mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka dan sesiapa yang
tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan
kesesatan yang jelas nyata”.
Hakim Mahkamah Syariah adalah individu yang melaksanakan hukum syarak melalui
sistem kehakiman Islam yang adil berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Justeru, sebagai
seorang Muslim, tidak seharusnya menghina dan mengingkari keputusan hakim di dalam
Mahkamah kerana keputusannya berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah ataupun ijtihad
sekiranya tidak terdapat dalam kedua-dua sumber tersebut. Oleh itu, keputusan kadi atau
hakim wajib diikuti selagi ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Mengingkari
keputusan hakim syarie merupakan penghinaan kepada institusi kehakiman dan
khususnya kepada kadi atau hakim itu sendiri.
Saleh Buang (2014) memberi beberapa contoh tentang perlakuan yang boleh difahami
sebagai perbuatan menghina mahkamah. Contohnya, perbuatan mengingkari apa-apa
injunksi yang dikeluarkan oleh mahkamah untuk menyerahkan sesuatu benda kepada
pihak tertentu atau perbuatan mengingkari injunksi mahkamah yang melarang melakukan
sesuatu perbuatan. Contoh yang lain ialah seperti seseorang saksi atau pemerhati dalam
mahkamah melakukan perkara yang tidak senonoh seperti membuat bising atau
berkelakuan biadab di mahkamah, walaupun setelah ditegur agar tidak melakukan
perbuatan tersebut. Dalam kes Azman Abdul Talib lwn Suhaila Ibrahim [2004] CLJ (Sya)
391, kegagalan defendan memenuhi perintah interim (interim order) berkaitan hak
penjagaan anak supaya menyerahkan anaknya kepada plaintif, dianggap menghina
mahkamah. Seterusnya dalam kes Mohd Asraf bin Sultan Mohamad lwn Mumtaj Bebe
binti Rahmat [2005] 19(2) JH 276, kegagalan memenuhi perintah mahkamah agar
mengosongkan rumah Plaintif, dianggap melakukan penghinaan mahkamah. Dalam kes
Ahmad Shapial lwn Hani Itam Ali Husin & Yang Lain [2002] 1 CLJ (Sya) 381, perbuatan
melenggah-lengahkan prosiding perceraian dalam mahkamah dianggap suatu penghinaan
mahkamah.
Penghinaan mahkamah terbahagi kepada dua kategori iaitu penghinaan in-facie, iaitu
penghinaan yang berlaku dalam mahkamah dan penghinaan ex-facie, iaitu penghinaan
yang berlaku di luar mahkamah. Menurut ulasan Kamal Halili (1990) penghinaan ex-facie
dilakukan di luar premis mahkamah tetapi kesannya berupaya menghalang perjalanan
keadilan. Penghinaan ini kerap dilakukan di media massa jika dibandingkan dengan
penghinaan mahkamah in-facie. Kesalahan bentuk ini tidak semestinya dilakukan dalam
bentuk tulisan sahaja, tetapi boleh dilakukan juga dalam bentuk perlakuan lain, seperti
menghasut seseorang atau khalayak agar membenci badan kehakiman sehingga boleh
menjatuhkan nama baik badan tersebut.
Definisi penghinaan mahkamah atau contempt of court secara keseluruhan mempunyai
makna yang sama iaitu penghinaan terhadap institusi kehakiman serta gangguan yang
dilakukan oleh masyarakat ketika prosiding dijalankan serta apa-apa perkara yang boleh
melemahkan atau memudaratkan berlaku ketika di dalam mahkamah atau di luar
mahkamah. Umumnya penghinaan mahkamah terbahagi kepada dua bentuk iaitu
penghinaan di dalam mahkamah iaitu perlakuan menghina hakim secara terus manakala
bentuk penghinaan mahkamah yang kedua ialah penghinaan di luar mahkamah iaitu
19
perihal menghina hakim atau mahkamah semasa pelakunya tidak berada di dalam
mahkamah atau dilihat oleh hakim.
Status Berkenaan Kuasa Mahkamah Syariah Dalam Penghakiman Kes Penghinaan
Mahkamah
Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan yang mengamalkan dua sistem mahkamah,
iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Persekutuan Malaysia terdiri daripada tiga
belas buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Perak,
Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor Baharu, Pahang, Sarawak dan Sabah.
Termasuk juga di dalamnya tiga buah Wilayah-wilayah Persekutuan iaitu, Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan
Putrajaya. Setiap negeri tersebut mempunyai Mahkamah Syariah masing-masing yang
mentadbir hal ehwal agama Islam masing-masing. Walaupun Mahkamah-mahkamah
Syariah negeri-negeri tersebut ditadbir secara berasingan tetapi umumnya ia mempunyai
persamaan dari aspek struktur sistem perundangan Mahkamah Syariah di mana setiapnya
mempunyai struktur mahkamah tiga peringkat yang sama iaitu Mahkamah Rendah
Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.
Prinsip penghinaan Mahkamah di Mahkamah Syariah asasnya adalah merujuk kepada
amalan di Mahkamah-mahkamah Awam. Oleh kerana prinsip ini tidak bertentangan
dengan hukum syarak bahkan bertujuan menegakkan prinsip Syariah serta meningkatkan
status dan kedudukan Mahkamah Syariah serta menjamin kehormatan terhadap
Mahkamah Syariah, prinsip ini diaplikasi dan menjadi sebahagian daripada teras kepada
Mahkamah Syariah untuk mempertahankan kewibawaan dan integritinya.
Berkaitan isu penghinaan mahkamah, kedua-dua Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah
mempunyai bidang kuasa untuk menghukum kesalahan berkaitan penghinaan mahkamah,
tetapi punca kuasa antara keduanya adalah berbeza. Ini kerana kedua-dua mahkamah
tersebut ditadbir secara berasingan, iaitu Mahkamah Sivil adalah di bawah pentadbiran
kerajaan pusat manakala Mahkamah Syariah ditadbir oleh pentadbiran Mahkamah
Syariah negeri masing-masing.
Mahkamah-mahkamah Syariah Malaysia di Wilayah-wilayah Persekutuan dan negeri
mendapat kuasa khusus untuk menghukum kes kesalahan penghinaan mahkamah
daripada tiga statut iaitu:
(1) Statut yang memberi definisi kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah untuk negeri
atau wilayah Persekutuan tersebut.
(2) Statut berkaitan tatacara mal di Mahkamah Syariah.
(3) Statut berkaitan tatacara jenayah di Mahkamah Syariah.
Punca kuasa atau peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada
Mahkamah Syariah menghukum kesalahan penghinaan mahkamah adalah seperti
Seksyen 229(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah
Persekutuan) Akta 1998 yang menyatakan bahawa mahkamah mempunyai bidang
kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina
mahkamah dan boleh membuat perintah untuk pengkomitan seseorang selama
tempoh yang tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak
melebihi dua ribu ringgit.
20
Peruntukan undang-undang lain adalah seperti seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan
Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, mana-mana orang mengingkari,
melanggar, pertikaian, mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana
perintah mahkamah adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan
denda tidak melebihi RM3,000.00, penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau
kedua-duanya.
Seterusnya, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984
juga memperuntukkan perlakuan khusus sebagai penghinaan mahkamah kerana gagal
mematuhi perintah mahkamah berkaitan hal ehwal kekeluargaan seperti berikut;
(1) Seksyen 74(1) adalah kuasa Mahkamah Syariah memerintahkan pembayaran
nafkah. Seksyen 74(2) pula berkenaan kuasa mahkamah untuk menghukum
individu yang dikomitkan ingkar dengan perintah tersebut melakukan kesalahan
penghinaan mahkamah.
(2) Seksyen 105 (1) adalah kuasa mahkamah untuk menghalang anak dibawa keluar
dari Malaysia iaitu berkenaan mahkamah boleh, atas permohonan bapa atau ibu
seseorang anak, (a) jika keputusan sesuatu perbicaraan hal ehwal suami isteri
belum selesai; (b) jika, di bawah sesuatu perjanjian atau di bawah perintah
mahkamah, hanya ibu sahaja atau bapa sahaja ada mempunyai jagaan atas anak itu
manakala yang satu lagi itu tidak ada mempunyai jagaan.
Mahkamah juga boleh mengeluarkan suatu injunksi iaitu menahan pihak yang satu
lagi daripada membawa anak keluar dari Malaysia atau mahkamah boleh
membenarkan anak itu dibawa keluar daripada Malaysia sama ada tanpa syarat
atau tertakluk kepada apa-apa syarat atau aku janji yang difikirkan patut oleh
Mahkamah.
(3) Seksyen 106 (1) kuasa bagi mahkamah membatalkan dan menghalang
perpindahan yang dimaksudkan untuk mengecewakan tuntutan nafkah
jika (a) perbicaraan hal ehwal suami isteri belum selesai atau (b) sesuatu perintah
telah dibuat di bawah seksyen 56, 59, atau 73 dan belum lagi dibatalkan; atau (c)
nafkah kena dibayar di bawah apa-apa perjanjian kepada atau untuk faedah
seorang isteri atau isteri yang dahulu atau anak,
Mahkamah juga mempunyai kuasa atas permohonan (i) jika mahkamah berpuas
hati bahawa apa-apa perpindahan harta telah dilakukan oleh suami atau suami
yang dahulu atau ibu atau bapa bagi orang yang telah membuat atau yang bagi
pihaknya telah dibuat permohonan itu, dalam masa tiga tahun sebelumnya, dengan
tujuan di pihak orang yang melakukan perpindahan itu hendak mengurangkan
kemampuannya membayar nafkah atau kemampuan suami itu membayar mut’ah
atau hendak menghalang isterinya daripada apa-apa hak berhubungan harta itu,
tertakluk kepada subseksyen (2), menghendaki orang yang membuat perpindahan
itu membatalkan perpindahan itu; dan (ii) jika ia berpuas hati bahawa apa-apa
perpindahan harta dicadang hendak dilakukan dengan sesuatu tujuan yang
demikian, memberi suatu injunksi menghalang perpindahan itu.
21
(4) Seksyen 107(1) berkenaan dengan injuksi terhadap gangguan iaitu mahkamah
hendaklah mempunyai kuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri
masih belum selesai atau pada atau selepas pemberian sesuatu perintah perceraian,
fasakh, atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya daripada
mengganggu atau menceroboh dengan pelbagai cara ke atas suami atau isteri atau
bekas suami atau bekas isterinya.
(5) Seksyen 107(2) berkenaan kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yang dibuat di
bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap
Mahkamah.
Terdapat juga kategori peruntukan perundangan yang tidak secara khusus merujuk kepada
penghinaan mahkamah tetapi ia adalah penghinaan terhadap undang-undang yang
kesalahannya adalah penghinaan mahkamah. Seksyen 7 (c) Akta Kesalahan Jenayah
Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 menyatakan bahawa mana-mana orang
yang secara lisan, secara bertulis, melalui gambaran yang boleh dilihat atau dengan apa
cara juga mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-
undang mengikat yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu
kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3,000.00, penjara yang
tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Had hukuman yang sama terpakai
kepada menghina perintah mahkamah dan menghina undang-undang di Mahkamah
Syariah di Wilayah Persekutuan. Walaupun telah ada statut khusus yang dipakai untuk
kes-kes kesalahan penghinaan mahkamah di Mahkamah Syariah wilayah-wilayah
Persekutuan dan setiap negeri, Mahkamah Syariah tidak ditegah daripada mengaplikasi
statut-statut lain yang berkaitan atau relevan. Dalam kes penghinaan mahkamah, menjadi
amalan Mahkamah Syariah mengaplikasi prinsip-prinsip yang menganggap perkara
tersebut tidak termasuk dalam kategori penghinaan di mahkamah undang-undang,
peraturan-peraturan tatacara berkaitan kes-kes penghinaan mahkamah di mahkamah
selain Mahkamah Syariah dan penghinaan mahkamah di Mahkamah Syariah di negeri-
negeri lain (A. Vijayalakshmi Venugopal 2014).
Contohnya dalam kes Hakim Mahkamah Rayuan Perak, YAA Muhamad Asri Abdullah
dalam kes Ahmad Shapiai lwn Hani Itam Ali Husin & Yang Lain [2005] CLJ (Sya) 381-
393 “… applied legal principles from natural law (the right to be heard), evidence
(hearsay) and criminal law (pleading guilty or not guilty for a charge)...”. Hakim di
Mahkamah Tinggi Syariah, YA Abdul Rahman Yunus J Pahang dalam kes Azman Abdul
Talib lwn Suhaila Ibrahim [2004] CLJ (Sya) 391-398 telah mengaplikasi peraturan-
peraturan prosedur daripada Rules of the High Court 1980. Hakim Mahkamah Tinggi
Shah Alam, YA Haji Saarani Ismail telah mengaplikasi peraturan lalu dalam Subordinate
Courts Rules 1980. Kedua-dua Peraturan-peraturan tersebut kini telah diganti dengan the
Rules of Court 2012. Seterusnya Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, YA.
Zulkifli Yasoa dalam kes Hasnan Yusof lwn Yasmin Mohd Yacob [2008] 1 CLJ (Sya)
406 telah merujuk kepada kes Roslaili bt Abdul Ghani v. Ahmad Azman b. Yaacob
[2006] 1 ShLR 135 di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Hukuman yang dikenakan terhadap kesalahan peghinaan mahkamah adalah pelbagai,
berdasarkan peruntukan undang-undang mana pengkomitan tersebut dibuat. Antara
contoh-contoh kesalahan dan hukuman bagi kesalahan penghinaan mahkamah adalah
seperti Seksyen 229(1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah
22
Persekutuan) 1998 menyatakan bahawa seseorang yang didapati melakukan kesalahan
penghinaan mahkamah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000.00 atau
penjara tidak melebihi enam bulan. Seksyen 210 Akta Tatacara Jenayah (Wilayah-
wilayah Persekutuan) 1997 menyatakan bahawa hukuman untuk kesalahan penghinaan
mahkamah adalah tidak melebihi RM1,000.00.
Seksyen 211 pula bagi kesalahan memberi maklumat, keterangan dan pengakuan salah,
hukumannya adalah denda tidak melebihi RM2,000.00 atau penjara tidak melebihi satu
tahun atau kedua-duanya sekali. Seksyen 212 adalah bagi kesalahan pegawai agama
mengingkari arahan undang-undang dengan tujuan menyebabkan kecederaan kepada
mana-mana pihak, hukumannya adalah denda tidak melebihi RM2,000.00 atau penjara
tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Seksyen 213 kegagalan seseorang
yang diperintahkan oleh mahkamah mengemukakan dokumen kepada pegawai agama
yang sepatutnya, hukumannya adalah tidak melebihi RM1,000.00 atau penjara tidak
melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Ataupun jika dokumen yang
dimaksudkan itu perlu dikemukakan dan diserahkan kepada mahkamah, kegagalan
berbuat demikian boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000.00 atau
penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Contoh-Contoh Kes Penghinaan Mahkamah
Merujuk kepada kes Rohaiza bt Ahmad lwn Kamal Hazelly bin Mohamed. Kes Mal Bil.:
10100-036-0226-2005, dalam Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dihadapan Hakim
Yang Arif Hj Saarani bin Ismail. Pihak Responden perlu menunjukkan sebab mengapa
tindakan pengkomitan tidak boleh diambil terhadapnya kerana menghina mahkamah di
mana mahkamah mempunyai bidang kuasa membuat satu perintah pengkomitan selama
tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu
ringgit. Di dalam kes ini pemohon merupakan bekas isteri kepada responden. Hasil
daripada perkahwinan dikurniakan dua orang anak. Permohonan dibuat kerana
Responden telah gagal mematuhi perintah persetujuan Kes Mal Bil.:10005-055-460-2004
di atas pembahagian harta sepencarian. Kes diselesaikan secara persetujuan bersama iaitu
Responden mengambil alih segala hak kepentingan setengah bahagian Pemohon ke atas
sebuah rumah di Semenyih Hulu Langat Selangor. Responden juga mengambil alih segala
liabiliti Pemohon terhadap pinjaman yang diberikan oleh CIMB Bank Berhad bagi
pembelian rumah melalui perjanjian bertarikh 20hb Mac 2001 dan gadaian bertarikh 9hb
Mac 2001 seolah-oleh Reponden adalah peminjam mutlak. Responden juga menanggung
rugi segala liabiliti yang timbul daripada tindakan pihak bank di atas kegagalan
Responden membuat pindah milik rumah tersebut dan membayar ansuran sebagaimana
yang diperintahkan melalui perintah Mahkamah yang dimeterai pada 16hb Disember
2004.
Di samping itu Responden juga diperintahkan mengambil alih segala liabiliti serta
menanggung rugi Pemohon terhadap sebarang tunggakan bayaran cukai pintu, cukai
tanah, saman dan sebarang bayaran yang timbul terhadap rumah tersebut dan perintah ini
tidak mengubah dan ataupun menafikan hak Pemohon untuk mkengambil tindakan
23
pelaksanaan terhadap perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor
dalam Kes Mal Bil.: 10005-055-460-2004 sekiranya perintah bersetujuan ini gagal
dilaksanakan dengan pihak CIMB Berhad.
Kes di atas merupakan kes penghinaan Mahkamah yang telah difailkan oleh Pemohon
untuk mendapatkan pegambilalihan segala liabiliti Pemohon terhadap pinjaman yang
diberikan oleh CIMB Bank Berhad bagi pembelian rumah dan apa-apa yang berkaitan
dengan pinjaman rumah tersebut. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor telah
meluluskan permohonan tersebut secara persetujuan bersama pada 20hb September 2007
(Fail Kes Mahkamah Tinggi Syariah Selangor 2005).
Selain itu, merujuk kepada kes Mohd Asraf bin Sultan Mohamad lwn. Mumtaj Bebe binti
Rahmat. Kes Mal Bil: 10100-036-143-2004. Dalam Mahkamah Tinggi Syariah Selangor
di Shah Alam. Permohonan notis tunjuk sebab Plaintif ke atas Respondan kerana enggan
mengosongkan rumah milik Plaintif. Disebabkan Respondan masih gagal mematuhi
perintah, Plaintif berpendapat Respondan telah menghina Mahkamah dan memohon
kepada Mahkamah mengeluarkan Notis Tunjuk Sebab kepada Respondan mengapa
prosiding pengkomitan tidak boleh diambil terhadap Repondan serta memohon
Respondan dikomitkan ke penjara kerana masih gagal mematuhi perintah Mahkamah.
Mahkamah telah memutuskan Perintah Pengkomitan tidak patut dikeluarkan dan
permohonan Plaintif ditolak. Pelanggaran tersebut bukan penghinaan Mahkamah
mengikut seksyen 229(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor )
2003 berdasarkan alasan yang diberikan oleh Respondan bahawa rumah tersebut dituntut
sebagai harta sepencarian dan Respondan tinggal bersama anak (Jurnal Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia 2005.
Kes tersebut merupakan contoh permohonan kes penghinaan Mahkamah yang dipohon
oleh Reponden namun ditolak oleh Mahkamah iaitu pelanggaran terhadap perintah yang
telah dikuatkuasakan oleh Mahkamah. Namun hakim telah menolak permohonan tersebut
kerana pelanggaran perintah tersebut bukan penghinaan Mahkamah kerana alasan rumah
tersebut dituntut sebagai harta sepencarian.
Kes seterusnya merujuk kepada kes Zetty bt Zabir lwn Mohamad Rafi bin Mohamed
Yaacob (Kes Mal Bil.: 10000-036-011-2009) dalam Mahkamah Tinggi Syariah Selangor
di Shah Alam. Pelanggaran terma persetujuan bersama kes hadanah iaitu Prosiding
Pengkomitan. Atas persetujuan bersama, Mahkamah Tinggi Syariah Selangor telah
memutuskan tuntutan hadanah tersebut yang secara ringkasnya hak jagaan anak diberikan
kepada Perayu. Manakala hak lawatan diberikan kepada Respondan pada setiap hari
Sabtu dan Ahad yang mana tempat pengambilan dan penghantaran anak-anak adalah di
pangsapuri yang diduduki oleh Perayu.
Kemudian pihak Respondan telah memfailkan permintaan untuk mengeluarkan notis
tunjuk sebab dan kebenaran perintah pengkomitan ke atas Perayu kerana Respondan tidak
dapat mengambil anak seperti di dalam terma perjanjian. Kegagalan tersebut disebabkan
Perayu telah berpindah ke tempat lain dan perpindahan tersebut dalam pengetahuan
Responden. Mahkamah Tinggi Syariah Selangor telah membenarkan notis tunjuk sebab
dikeluarkan kepada Perayu. Sebelum Reponden memfailkan prosiding pengkomitan
pihak perayu telah terlebih dahulu membuat satu permohonan untuk mengubah perintah
hadanah. Namun Mahkamah Tinggi Syariah Selangor telah menolak permohonan ubah
24
perintah tersebut. Pihak perayu tidak puas hati dan telah membuat rayuan kepada
Mahkamah Rayuan Syariah. Setelah Hakim Rayuan meneliti alasan rayuan, rekod rayuan
dan setelah mendengar hujah-hujah kedua-kedua belah pihak diputuskan rayuan pihak
perayu diterima dan hukuman denda RM2000.00 atau penjara enam bulan jika gagal
membayar denda diketepikan (Jurnal Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia 2013).
Kes tersebut merupakan kes penghinaan Mahkamah yang telah diputuskan oleh Hakim
Mahkamah Tinggi Syariah Selangor namun apabila dirayu oleh pihak Responden dengan
alasan yang munasabah telah diterima oleh Hakim Mahkamah Rayuan atas alasan-alasan
yang munasabah dan hukuman penghinaan mahkamah iaitu denda atau penjara telah
diketepikan.
Seterusnya kes penghinaan mahkamah merujuk kepada kes Khairudin bin Minhaj lwn
Hazelen bt Hamzah (Kes Mal Bil.:10200-036-0354-2009) dalam Mahkamah Tinggi
Syariah Selangor di Shah Alam di hadapan Yang Arif Tuan Zainor Rashid bin Hasin
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di Shah Alam. Mahkamah telah meluluskan
permohonan untuk mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap Responden untuk
menunjukkan mengapa Responden tidak patut dikomitkan ke penjara selama tempoh
tidak melebihi enam bulan atau dikenakan denda tidak melebihi RM2000.00 kerana
melakukan kesalahan menghina Mahkamah iaitu telah dengan sengaja mengingkari dan
atau melanggar perintah Mahkamah bertarikh 4hb Julai 2007 dalam Kes Saman
No.:10200-017-0046-2005.
Kes telah diselesaikan secara persetujuan bersama. Mahkamah memutuskan dan
memerintahkan Responden hendaklah menyerahkan segala hak dan kepentingan beliau
terhadap rumah di Selangor kepada Pemohon. Responden tidak akan menuntut apa-apa
hak dan kepentingan terhadap rumah tersebut. Pemohon tidak akan menuntut jumlah
wang sebanyak RM60,000.00 seperti yang diperintahkan dalam tuntutan harta
sepencarian. Hakim juga memerintahkan Pemohon tidak akan menuntut tunggakan
bayaran ansuran pembelian rumah tersebut. Selain itu Responden hendaklah memberi
kerjasama sepenuhnya bagi urusan pindah milik rumah tersebut. Beliau juga dikehendaki
keluar daripada rumah tersebut sebulan selepas perintah dikeluarkan dan menjelaskan
segala tunggakan berkaitan bil-bil. Perintah persetujuan ini berkuatkuasa pada 6hb
Disember 2010 dan mengikat semua wakil-wakil diri, waris-waris, pengganti-pengganti
dan pemegang-pemegang serahhak kedua-dua belah pihak.
Kes pemohonaan penghinaan yang difailkan oleh Pemohon berjaya dengan persetujuan
bersama terhadap hak milik rumah dan apa-apa kaitan yang melibatkan penyelenggaraan
rumah tersebut dengan terma-terma persetujuan yang telah dipersetujui pihak-pihak (Fail
Kes Mahkamah Tinggi Syariah Selangor 2009).
Kesimpulan
Konsep penghinaan Mahkamah Syariah adalah satu aspek penting dalam sistem
kehakiman, bagi memastikan pelaksanaan peruntukan undang-undang berkaitan dapat
berjalan dengan adil, baik dan lancar. Mahkamah Syariah perlu kepada ‘ketahanan’ dan
‘kekuatan’ dalam melaksanakan keadilan. Justeru, konsep penghinaan mahkamah ini
perlu difahami dan disedarkan kepada masyarakat awam, terutamanya yang berurusan
dengan mahkamah, bagi memastikan kedudukan dan kemuliaan mahkamah diperkasa.
25
Rujukan
Al- Quran al-Karim.
A.Vijayalakshmi Venugopal. 2014. Contemptof Court in Malaysia. Subang Jaya
Selangor: Thomson Reuters Malaysia.
Jurnal Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. 2005. Notis Tunjuk Sebab Pengkomitan.
Jurnal Hukum Jilid XIX Bahagian II. ( ISSN 0823-092X1544): 334.
Lembaga Penyelidikan Undang-Undang. 2008. Kamus Undang-Undang. International
Book Services Wisma ILBS Selangor.
Mohd Nadzri Haji Abdul Rahman. 2008. Penghinaan Mahkamah Undang-Undang Sivil
& Undang-Undang Islam. Selangor: Mahzum Book Services.
Mohd Nadzri Haji Abdul Rahman. 2010. Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah
Syariah, Prinsip dan Amalan. Kula Lumpur: Karya Kreatif Publications.
Mohd Safar Hasim. 2002. Mengenali Undang-Undang Media dan Siber. Kuala Lumpur:
Utusan Publication and Distributors.
Mohd Saleh Haji Ahmad. 2010. Sistem Kehakiman Islam. Selangor: Pustaka Haji Abdul
Majid.
Saleh Buang. 2014. Artikel Objektif Akta Hina Mahkamah. http://www.utusan.com.my.