Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA)

download Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA)

of 25

description

Penilaian impak alam sekitar (EIA) adalah satu kaedah yang dibentuk bagi mengenal pasti dan meramal kesan negatif serta positif sesebuah projek pembangunan yang akan dijalankan terhadap persekitaran, kesihatan manusia, sosial dan ekonomi.

Transcript of Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA)

1.0 PengenalanPenilaian impak alam sekitar (EIA) adalah satu kaedah yang dibentuk bagi mengenal pasti dan meramal kesan negatif serta positif sesebuah projek pembangunan yang akan dijalankan terhadap persekitaran, kesihatan manusia, sosial dan ekonomi.

EIA mula diperkenalkan pertama kalinya secara formal di Amerika Syarikat pada tahun 1969. Semenjak itu, EIA mula berkembang ke serata negara. Dasar EIA telah diformulakan oleh Natural Enviroment Policy Act (NEPA). Oleh itu, EIA secara keseluruhannya telah menjadi polisi alam sekitar. Sejak terbentuknya enakmen yang telah diperkenalkan oleh NEPA, sistem EIA telah mula digunakan di kebanyakan negara. EIA mula diadaptasi oleh negara-negara yang pesat membangun seperti Kanada (1973), Austaralia dan New Zealand (1974). Selepas itu, pada tahun 1975, German Barat turut melaksanakan sistem EIA. Perancis pula pada tahun 1976 dan Jepun 1981. Pada tahun 1996 dianggarkan lebih kurang 100 buah negara telah mempunyai sistem EIA yang lengkap. Pada dasarnya, EIA telah menjadi semakin berkesan dan matang dalam perlaksanaannya ekoran daripada pelbagai kajian dan penyelidikan yang telah dijalankan oleh negara-negara maju. Kajian dan penyelidikan dijalankan bertujuan untuk memastikan sistem EIA yang diguna pakai mampu memastikan pembangunan persekitaran mencapai keseimbangan yang optimum.

Melihat kepada situasi di Malaysia pula, Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) mula dirumuskan prosedurnya secara terperinci setelah tiga tahun Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (AKAS) diluluskan. Pada tahun 1979 satu draf buku panduan EIA telah diterbitkan. Sekitar bulan April 1985 pula AKAS telah dipinda dengan memasukkan keperluan EIA di bawah Seksyen 34A. 19 aktiviti telah dikuatkuasakan dibawah prosedur EIA.

Menurut AKAS, EIA mestilah mengandungi satu penilaian mengenai kesan kepada alam sekeliling yang akan atau mungkin berlaku apabila sesuatu aktiviti itu dijalankan. Di samping itu, langkah cadangan untuk pencegahan, pengurangan dan pengawalan kesan yang merugikan dan membahayakan alam sekitar perlu terkandung dalam EIA.2.0Perkembangan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA)

EIA dilihat sesuatu yang sangat penting dalam memastikan keadaan alam sekeliling sentiasa terjamin walaupun berlaku perkembangn pesat di dalam sektor pembangunan mahupun perindustrian. Dengan ini, EIA menjadi satu alat untuk mengawal kualiti alam sekitar dan seterusnya memastikan keadaan alam sekitar tidak terganggu dengan pembangunan dan aktiviti manusia. Penyediaan EIA mula dititikberatkan apabila kita mula didedahkan dengan impak yang sangat membimbangkan daripada kesan pembangunan yang kian maju dewasa ini. Oleh itu, penyediaan EIA ini adalah satu langkah yang wajar bagi mengawal aktiviti manusia yang sentiasa mengejar kekayaan tanpa mengambil kira kesannya terhadap masyarakat dan alam sekeliling seperti berlakunya pencemaran daripada aktiviti perindustrian. Selain itu, dengan adanya EIA juga, maka sesuatu permasalahan dapat ditangani dengan cekap. Hal ini berikutan, EIA membantu pihak-pihak pemaju dalam mengenalpasti masalah dan seterusnya merancang tindakan wajar bagi mengatasi masalah tersebut secara bersepadu dan seimbang iaitu dengan mengambil kira peraturan-peraturan alam sekeliling.

EIA ini mula diperkenalkan untuk pertama kalinya secara formal di Amerika Syarikat pada tahun 1969. Sejak daripada itulah EIA mula berkembang dan diterima di negara-negara lain kerana kepentingannya yang sangat besar kepada alam sekitar. Dasar EIA telah diformasikan oleh Natural Environment Policy Act (NEPA), dan daripada itulah ia telah menjadi satu model yang nampaknya sangat penting kerana ia secara keseluruhannya telah menjadi polisi alam sekitar. Sejak terbentuknya enakmen yang telah diperkenalkan oleh NEPA, sistem EIA telah mula dibentuk di kebanyakan negara. EIA mula diadaptasi oleh negara-negara yang pesat membangun seperti Kanada pada tahun 1973, diikuti pula oleh Australia dan New Zealand pada tahun 1974. Seterusnya, ia turut diikuti oleh German Barat pada tahun 1975 dan Perancis pada tahun 1976. Negara Jepun pula telah mengadaptasi EIA pada tahun 1981, diikuti dengan Netherland pada tahun 1986. Menyedari akan pentingnya EIA kepada kualiti alam bagi sesebuah negara, maka pelbagai kajian serta penyelidikan telah dilaksanakan oleh negara-negara maju bagi memastikan pembangunan persekitaran mencapai keseimbangan yang optimum. Disebabkan hal ini, EIA nampaknya telah menjadi semakin berkesan dan matang dalam perlaksanaannya. Menurut kajian, pada tahun 1996 lebih dari seratus buah negara telah mempunyai sistem EIA yang lengkap.

Kepesatan dunia dalam menggunakan EIA sebagai pensyaratan untuk meluluskan sesuatu projek pembangunan turut mempengaruhi negara kita. Bagi Malaysia, EIA bukanlah sesuatu yang baru kerana ia telah diperkenalkan sejak tahun 1997. Untuk memastikan keadaan EIA di Malaysia dapat dijalankan dengan sempurna, maka satu panel yang dikenali sebagai ad hoc telah ditubuhkan bagi mengkaji dan memperakukan sistem EIA ini. Pihak kerajaan telah menerima prosedur EIA ini pada tahun 1978. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan telah mengenakan syarat iaitu perlunya penyediaan satu garis panduan untuk melaksanakan EIA. Oleh itu, dengan menggunakan bantuan pakar iaitu John o Brian melalui Regan Colombo, satu garis panduan telah diluluskan oleh Majlis Kualiti Alam Sekeliling pada tahun 1979 (Jabatan Alam Sekitar 1987). Selain itu, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS) adalah Akta Persekutuan yang bertepatan dalam melindungi, memelihara, dan mengawal segala bentuk pertambahan pencemaran terhadap persekitaran (Jabatan Alam Sekitar 1987). Pada lewat tahun 1984, set perundangan ini telah diperkenalkan serta dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar di Malaysia. Perintah Kualiti Alam Sekeliling ( Aktiviti yang ditetapkan) (Penilaian Kesan ke atas Alam Sekeliling) 1987 telah dikuatkuasakan pada 1 April 1988 bagi semua 13 negeri di Malaysia.3.0Proses EIA di MalaysiaPada tahun 1995, kesemua 13 pejabat Jabatan Alam Sekitar negeri telah melaksanakan proses pengagihan kerja-kerja menyemak dan meluluskan EIA. Walau bagaimanapun, proses yang melibatkan lebih daripada satu negeri akan menjalani pemprosesan laporan terperinci EIA di Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar (Jabatan Alam Sekitar 1995). Jabatan Alam Sekitar merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk memberi kelulusan atau menolak laporan EIA. Bagi menyediakan maklumat dan nasihat dalam proses penyediaan laporan EIA, pihak yang terlibat bukanlah hanya Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar sahaja , malah turut melibatkan ramai pihak iaitu pencadang projek, jururunding EIA, pihak berkuasa EIA, agensi-agensi lain yang berkaitan, pemeriksa laporan EIA, pihak berkuasa meluluskan cadangan projek, orang awam serta pihak-pihak lain yang berkepentingan (Abdullah Mohamad Said, 2000).

EIA tidak lagi menjadi satu keperluan mandatori daripada segi perundangan mulai tahun 1979. Dalam tempoh tersebut juga, terdapat 32 projek pembangunan yang melaksanakan prosedur EIA. Antaranya adalah pemaju Gas Asli di Bintulu dan projek Fasa 1 Seksyen Janakuasa Kemajuan di Terengganu. Selain itu, dalam jangka masa 5 tahun, terdapat banyak lagi projek-projek lain yang menyusul. Projek-projek ini adalah projek yang dilihat memberikan kesan yang begitu ketara terhadap alam sekitar. Antara projek yang dimaksudkan termasuklah projek dalam kategori tenaga petroleum dan gas, industri utama, infrastruktur, pelancongan dan tebus guna tanah.

EIA adalah sesuatu yang sangat penting untuk menjamin keseimbangan kualiti alam sekeliling dengan pembangunan yang berlaku. Oleh itu perlaksanaan EIA adalah suatu perkara yang perlu diambil berat oleh kerajaan dan setiap pemaju. Namun, dapat dilihat terdapat sesetengah pemaju yang bersikap dingin terhadap pelaksanaan EIA secara sukarela. Hal ini mungkin disebabkan proses EIA memerlukan prosedur yang agak rumit untuk dijalankan. Dalam hal ini, para pemaju sepatutnya bersikap bertanggungjawab terhadap alam dan masyarakat sekeliling. Mereka tidak boleh mengamalkan sikap lepas tangan dalam melaksanakan sesuatu projek pembangunan sedangkan mereka sudah mendapat keuntungan yang besar dari satu-satu projek. Disebabkan hal ini, kerajaan telah meminda Akta Kualiti Alam sekeliling 1974. Daripada pindaan yang telah dibuat, maka pada tahun 1985, akta ini telah memperuntukkan subseksyen 34A bagi mewajibkan kajian EIA dilaksanakan terhadap projek pembangunan yang telah ditetapkan.

Seterusnya, pada tahun 1987, pihak kerajaan telah mengeluarkan satu perintah Kualiti Alam Sekitar (aktiviti yang telah ditetapkan) penilaian kesan Alam sekitar 1987, yang telah berkuatkuasa pada 1 April 1988. Kemudian, sebanyak 14 jenis aktiviti telah dimasukkan dalam keperluan untuk dikemukakan dalam laporan EIA . Selain itu, bagi mempertingkatkan lagi kualiti EIA, pindaan juga turut dilaksanakan pada tahun 1996. Pindaan yang dibuat pada tahun 1996 ini adalah lebih tertumpu kepada pengurusan dan kawalan produk serta bahan buangan berbahaya yang lebih mementingkan keadaan mesra alam. Dengan adanya kaedah buangan yang bersifat mesra alam ini, kualiti alam sekeliling dilihat lebih terjamin dan seterusnya mampu memberikan keseimbangan biodiversiti terhadap masyarakat sekeliling. Di Malaysia, terdapat tiga peringkat prosedur EIA yang telah dikuatkuasakan iaitu penilaian awal, penilaian terperinci dan laporan semakan.

Penilaian awal adalah bertujuan untuk memilih projek yang akan dijalankan daripada beberapa alternatif yang tersedia. Selain itu, penilaian awal ini bertujuan untuk mengenalpasti dan seterusnya menggabungkannya ke dalam perancangan projek. Di dalam penilaian ini juga, segala langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang dijangka akan memberi impak negatif kepada alam sekitar akan diambil kira. Kesan-kesan residu iaitu kesan negatif yang masih berlaku walaupun langkah-langkah pencegahan dan kawalan telah dilakukan akan dikenalpasti dan diambil tindakan. Penilaian ini akan dilakukan pada awal perancangan sesuatu projek. Kakitangan Jabatan Alam Sekitar akan mengulas laporan penilaian yang disediakan pada peringkat ini. Seterusnya cadangan akan dibuat kepada pihak berkuasa untuk membuat keputusan mengenai kelulusan projek tersebut.

Seterusnya laporan EIA akan dinilai pula di peringkat penilaian terperinci. Penilaian terperinci adalah peringkat di mana penilaian ini hanya melibatkan projek-projek yang telah dikenalpasti sahaja. Biasanya projek yang dikenalpasti tersebut akan melalui laporan penilaian awal terlebih dahulu. Peringkat ini juga melibatkan projek-projek yang meninggalkan kesan-kesan ketara ke atas alam sekitar. Oleh itu, kajian yang lebih mendalam harus dilakukan. Kajian terperinci ini juga harus diteruskan pada perigkat kajian kemungkinan di mana laporannya akan dikemukakan untuk kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar. Selepas daripada itu, barulah kelulusan muktamad dibuat oleh pihak yang meluluskn projek. Selain itu juga, kajian terperinci EIA akan dibuat berdasarkan bidang rujukan yang telah disemak oleh panel pengulas ad hoc. Panel ini akan dilantik dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar yang kemudiannya akan menyemak laporan EIA tersebut. ( Jabatan ALam Sekitar 1994, 1995).

Sebelum sesuatu projek diluluskan, ia perlu melalui satu lagi peringkat bagi prosedur EIA iaitu laporan semakan EIA. Laporan awal Semakan bagi sesuatu projek akan dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar dan untuk laporan terperinci pula semakan akan dibuat oleh panel pengulas ad hoc. Keputusan muktamad kepada projek yang akan dijalankan akan diluluskan oleh pihak berkuasa setelah meneliti segala ulasan mengenai laporan yang telah dikemukakan. Selain itu, prosedur EIA di Malaysia juga adalah direka bentuk mengikut konsep perancangan projek bersepadu di mana setiap perancangan projek perlu mengambil kira aspek teknikal dan ekonomi yang dijalankan. Hal ini adalah bertujuan untuk menyelaraskan projek tersebut dengan aspek alam sekitar.4.0Keperluan EIA

Bagi memastikan keadaan negara berada pada tahap kestabilan alam yang seimbang iaitu sentiasa terpelihara daripada sebarang pencemaran atau bencana alam yang berpunca daripada pembangunan yang tidak terkawal, maka penguatkuasaan EIA dilihat suatu langkah yang wajar. EIA dilihat sebagai satu alat yang mampu mengawal sebarang perkara negatif yang mampu membahayakan kesihatan alam dan masyarakat keseluruhannya. Oleh itu, pihak kerajaan telah memperuntukkan penyediaan EIA di bawah seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Di bawah peruntukan ini, setiap pemaju yang ingin menjalankan sesuatu projek hendaklah menyediakan laporan EIA terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar untuk pertimbangan yang sewajarnya bagi memperolehi kelulusan sebelum apa-apa projek diteruskan (Jabatan Alam Sekitar 1995,2000). Dengan ini, segala impak negatif daripada sesuatu projek dapat dikenalpasti dan seterusnya pihak yang berkenaan boleh melakukan tindakan pencegahan.

Selain itu, di bawah peruntukan seksyen 34A juga, kerajaan telah mewajibkan laporan EIA yang akan dihantar kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar hendaklah selaras dengan panduan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar (Jabatan Alam Sekitar 1995, 2000). Dalam memastikan keselarasan tersebut, pihak Jabatan Alam Sekitar telah menerbitkan sebuah buku yang berjudul A Handbook Of Environment Impact Assessment Guidelines. Buku ini adalah satu garis panduan umum bagi penilaian kesan alam sekitar untuk semua aktiviti pembangunan. Dengan terhasilnya buku ini, maka tidak ada alasan bagi para pemaju untuk tidak menyediakan laporan EIA dengan lengkap dan terperinci. Setiap format penulisan dan segala maklumat yang perlu disediakan hendaklah seperti garis panduan yang terdapat di dalam buku tersebut. Selain itu, bagi memastikan kemantapan lagi prosedur EIA, Jabatan Alam Sekitar telah menyediakan garis panduan yang lebih khusus bagi aktiviti yang ditetapkan semenjak tahun 1992.

Dalam menyediakan laporan EIA ini juga, penglibatan orang awam adalah sesuatu yang penting. Walaupun pada laporan awal penglibatan orang awam tidak diwajibkan, namun bagi laporan terperinci, penglibatan orang awam adalah diwajibkan. Penglibatan orang awam ini mampu untuk menyediakan maklumat kepada para pemaju bagi membuat penilaian tentang impak signifikan dan tidak signifikan terhadap sesuatu projek. Selain itu juga, bagi menyediakan laporan projek pada awalnya, kebanyakan perunding EIA akan melantik pencadang projek untuk melaksanakan tugas tersebut. Walau bagaimanapun, cara ini dilihat tidak sistematik apabila setiap perunding boleh melantik sesiapa sahaja yang mereka kehendaki. Oleh itu, sejak tahun 1994, hanya perunding EIA yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar sahaja yang dibenarkan untuk melakukan penilaian kesan alam sekitar (Jabatan Alam Sekitar 1996). Hal ini dibuat adalah bertujuan untuk memperbaiki lagi kualiti di dalam laporan EIA. Sejumlah 313 perunding individu dan 80 firma perunding EIA telah diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Alam Sekitar sejak skim pendaftaran diperkenalkan pada tahun 1991 sehingga 2003 (Jabatan Alam Sekitar 2004).5.0Kandungan Laporan EIA

Melalui prosedur EIA, dapat dilihat bahawa kandungan laporan penilaian awal dan laporan penilaian terperinci adalah hampir sama. Walau bagaimanapun, di dalam laporan terperinci hanya melibatkan projek yang telah dikenalpasti mempunyai impak ketara ke atas alam sekitar daripada laporan awal. Oleh itu, kajian yang lebih mendalam harus dilakukan kepada projek-projek yang telah dikenalpasti tersebut.

Di dalam setiap laporan yang disediakan, akan terdapat bahagian tajuk, pencadang projek, gambaran projek dan sebagainya. Pada bahagian pilihan projek misalnya, kandungan yang perlu ada pada bahagian ini adalah pada dasar pilihan projek, perlu diberi ciri-ciri ekonomi, teknikal dan persekitaran yang boleh dimanfaatkan atau tidak serta akan dibincang dan dinilai. Pada bahagian gambaran tentang persekitaran sedia ada pula hendaklah berdasarkan garis panduan EIA. Bahagian ini akan menjelaskan tentang persekitaran sama ada dari sudut fiziko-kimia, biologi, dan sosio-ekonomi. Bahagian ini juga akan ditunjukkan dalam bentuk kualitatif dan kuantitatif. Jadual 1: Format ringkasan laporan EIA awal dan terperinci

Laporan awal EIALaporan EIA terperinci

Pendahuluan

Tajuk projek

Pencadang projek

Kenyataan keperluan

Gambaran projek

Pilihan-pilihan projek

Gambaran tentang persekitaran sedia ada

Impak ketara yang mungkin

Langkah-langkah penebatan

Impak residu

Ringkasan

Sumber data, perunding dan penglibatan orang awam

Rujukan

Pendahuluan

Tajuk projek

Pencadang projek

Kenyataan keperluan

Gambaran projek

Pilihan-pilihan projek

Gambaran tentang persekitaran sedia ada

Hasil penilaian awal

Penilaian impak terperinci

Langkah-langkah penebatan

Impak residu

Penilaian semula impak

Ringkasan

Sumber data, perunding dan penglibatan orang awam

Rujukan

Sumber : Jabatan Alam Sekitar 2000

Bagi setiap penyediaan laporan EIA, kesan yang berkemungkinan besar akan berlaku hendaklah digambarkan dengan jelas. Selain itu, pertimbangan juga perlu diberikan ke atas impak kumulatif gabungan (synergistic) dan kesan persekitaran yang bertentang (antagonistic) (Jabatan Alam Sekitar 1995). Pada bahagian laporan penilaian terperinci, dua peringkat keadaan di mana, apabila penilaian awal yang telah disiapkan menunjukkan bahawa projek yang dicadangkan memberikan kesan signifikan terhadap impak alam sekitar atau apabila penilaian awal tidak dapat mengenal pasti dengan jelas alam sekitar yang berkemungkinan sehingga memerlukan kajian lebih terperinci dan impak residu yang dijangka terjadi.

Selain itu, langkah penebatan hanya perlu dibuat seandainya impak yang telah digambarkan adalah signifikan. Langkah penebatan ini bertujuan untuk meminimumkan atau menyingkirkan impak yang signifikan tersebut. Impak residu di sini bermakna impak persekitaran yang masih ada selepas langkah-langkah penebatan telah dilaksanakan. Impak residu ini seharusnya diberikan perhatian daripada pihak pemaju yang akan menjalankan sesuatu projek. Pihak pemaju seharusnya lebih peka terhadap masalah ini dan harus membuat perbincangan dalam penilaian awal. Impak residu yang dikenalpasti akan menentukan sama ada Bidang Rujukan serta satu kajian terperinci patut dibuat atau tidak untuk setiap impak residu yang mungkin terjadi.6.0Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA)

Penyediaan laporan EIA adalah penting dalam mengenalpasti isu-isu alam sekitar yang diramalkan berpotensi akan memberi kesan negatif kepada alam sekitar apabila sesuatu pembangunan hendak dilaksanakan. Laporan EIA ini juga akan mencadangkan langkah-langkah kawalan dan tebatan yang berkesan bagi meminimumkan impak ke atas alam sekitar akibat sesuatu aktiviti yang akan dijalankan. Penyediaan Laporan EIA ini adalah merupakan satu keperluan di bawah seksyen 34A, Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi aktiviti-aktiviti yang tersenarai di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 1987. Kelulusan EIA yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar adalah merupakan input berkaitan kesan kepada Alam Sekitar akibat dari pelaksanaan projek untuk dimaklumkan kepada pihak yang meluluskan projek seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan Kerajaan Negeri bagi membolehkan pertimbangan yang terbaik dibuat dalam proses membuat keputusan terhadap sesuatu cadangan projek pembangunan.

Laporan EIA yang disediakan juga dapat membantu pihak pemaju untuk mengambilkira keperluan-keperluan penting pemuliharaan alam sekitar dari aspek pemantauan dan kawalan pencemaran alam sekitar untuk dilaksanakan serta mengambilkira kos yang diperlukan untuk menyediakan keperluan-keperluan alam sekitar yang telah dikenalpasti di peringkat awal perancangan pelaksanaan projek tersebut. Sebahagian besar Laporan EIA yang diterima adalah berkaitan dengan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual, perumahan, pembalakan keretapi, perlombongan, perindustrian, infrastruktur, loji rawatan air dan pembinaan bandar baru.

Walaupun kebanyakan projek telah diluluskan dalam penyediaan Laporan EIA, didapati bahawa masih ada lagi projek yang gagal mematuhi syarat-syarat kelulusan EIA yang telah ditetapkan. Keadaan ini akan menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar di mana pihak pemaju gagal mematuhi syarat-syarat EIA yang disenaraikan. Sepertimana yang diketahui, penekanan dalam EIA merangkumi kepada kebaikan dan keburukan daripada sesuatu projek tersebut. Ia meliputi kesan kepada alam sekitar, masyarakat setempat serta pihak pemaju itu sendiri. Disebabkan hal inilah, laporan EIA perlu sentiasa dipantau supaya projek yang dilaksanakan tidak memberi kesan yang tidak baik kepada alam sekitar dan kehidupan sekitarnya.

Selain itu juga, siasatan akan dijalankan oleh unit EIA Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap projek-projek yang akan dijalankan ataupun masih dalam proses setiap masa bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Dalam proses pemeriksaan tempat projek pula, Jabatan Alam Sekitar turut menyertai program pemeriksaan tapak-tapak projek dengan pelbagai agensi teknikal yang berkenaan. Agensi teknikal antaranya seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), Kumpulan IKRAM Berhad (IKRAM), Lembaga Perumahan dan Hartanah serta agensi yang berkaitan dengan bergantung kepada sesuatu projek yang akan dilaksanakan.

Terdapat pelbagai isu penguatkuasaan yang timbul akibat kurang tindakan pemantauan oleh Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar terhadap keperluan Laporan EIA dalam membangunkan sesuatu projek. Ekoran daripada itu, banyak kesan buruk yang berlaku ke atas persekitaran sehingga mengakibatkan banyak nyawa yang terkorban serta kemusnahan harta benda. Secara amnya, perkara yang dititikberatkan berkaitan dengan mengukuhkan pelaksanaan EIA, peraturan-peraturan, penguatkuasaan dan mengawal segala aktiviti pembangunan yang boleh merosakkan sumber semulajadi (Urban et al., 1977)

7.0 Projek yang menyediakan Laporan EIA

a) Projek Perumahan di Kawasan Lereng Bukit

Projek perumahan di kawasan lereng bukit ini dikesan di negeri Selangor yang dilaksanakan dan melibatkan penguatkuasaan Laporan EIA. Jaafar dan Ismail (1998) telah mendefiniskan EIA sebagai :

Suatu aktiviti atau proses yang direka untuk mengenalpasti serta meramalkan kesan ke atas persekitaran biogeofizikal dan kesihatan manusia serta cadangan kesejahteraan perundangan, dasar, program, prosedur operasi dan dapat mentafsir serta menyampaikan maklumat mengenai impak.

Hal ini membuktikan bahawa EIA merupakan satu alat pengurusan persekitaran yang mampu menjadikan kawasan projek perumahan lereng bukit diurus secara lestari tanpa memberi kesan yang buruk ke atas persekitaran. Dalam isu ini, ia dikaitkan dengan kejadian bangunan runtuh iaitu Highland Tower di Ampang Selangor pada tahun 1993 yang telah mengejutkan semua pihak yang terlibat dalam perancangan, kelulusan dan pembinaan pembangunan di kawasan bukit. Perkara ini telah memberi kesedaran tentang betapa pentingnya kawalan pembangunan yang sesuai dengan keadaan alam semulajadi (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor, 1997). Disebabkan hal ini, penguatkuasaan dalam menyediakan Laporan EIA itu dititikberatkan dan dijadikan iktibar supaya perkara sedemikian tidak akan berulang lagi. Dalam menyediakan Laporan EIA tersebut, didapati terdapat pelbagai pengawasan dan pengawalan daripada semua pihak yang terlibat. Antaranya seperti Kerajaan Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri bertindak sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam memberikan kelulusan kepada sesuatu projek yang melibatkan projek perumahan di lereng bukit.

Bahkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor ketika itu turut menyemak semula Garis Panduan Perancangan Pembangunan di kawasan bukit pada tahun 1997 bagi mengambil kira garis panduan berkenaan yang telah disediakan oleh jabatan-jabatan yang berkaitan serta menyelaraskan garis panduan perancangan yang disemak semula supaya selari dengan perkembangan semasa dan dapat mengikut keperluan semua pihak yang terlibat bagi pembangunan di kawasan lereng dan berbukit. Beberapa perkara turut diberi penekanan dalam menentukan kawasan berbukit iaitu melalui kecerunan bukit tersebut. Kawasan bercerun di bawah 15 darjah adalah kawasan berisiko rendah dan sederhana, manakala kawasan bercerun melebihi 15 darjah adalah berisiko tinggi (Jabatan Mineral dan Geosains, 2002).

Namun, didapati bahawa penguatkuasaan EIA yang longgar oleh pihak Jabatan Alam Sekitar ke atas pihak pemaju adalah salah satu penyumbang kepada berlakunya masalah sedemikian. Menurut Sentian dan Mohd Tuah (2001), kebanyakan projek perumahan di Malaysia dibina sebelum mendapat kelulusan Laporan EIA terlebih dahulu. Bahkan walaupun Laporan EIA telah dihantar kepada Pengarah Kualiti Alam Sekeliling bagi tujuan kelulusan laporan, tetapi pihak pemaju sudah memulakan pembangunan atau pembangunan yang hampir siap sepenuhnya. Ini membuktikan bahawa pihak pemaju bertindak berani melanggar peraturan dan garis panduan pembinaan perumahan bahkan menunjukkan kurangnya pemantauan pihak JAS sehingga projek perumahan ini telah berada di fasa akhir pembinaannya. Hal ini disebabkan kerana kelemahan pengawalan dan penguatkuasaan pihak berwajib mengenai penyediaan dan kelulusan yang diberikan dalam Laporan EIA tersebut.

Disebabkan masalah inilah, pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku. Seharusnya pihak berwajib sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa supaya sesuatu projek yang ingin dilaksanakan dapat mengikut peraturan yang telah ditetapkan dalam Laporan EIA. Kelulusan EIA dalam sesuatu projek itu tidak akan bermakna sekiranya tiada pemantauan atau pengawalan secara berterusan oleh pihak yang bertanggungjawab. b) Projek Kuari

Satu projek kuari di negeri Selangor telah ditinjau dan Laporan EIA mengenainya yang diberikan kepada Jabatan Alam Sekitar pada tahun 2009 dinilai. Penguatkuasaan terhadap operasi kuari ini diteruskan bersama Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) bagi memastikan arahan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dipatuhi. Arahan itu menetapkan supaya semua kuari yang beroperasi di Selangor menyediakan sistem kawalan pencemaran yang berkesan, antaranya memastikan sistem konveyer dibuat secara tertutup dan habuk daripada kawasan stockpile dikawal menggunakan semburan air yang dipatuhi.

Didapati daripada 30 buah kuari yang beroperasi di Selangor hanya 80 peratus sahaja telah dilengkapi dengan alat kawalan habuk sepenuhnya manakala 18 peratus lagi masih berusaha untuk melengkapi alat kawalan habuk. Masalah utama yang dihadapi oleh kuari-kuari yang sedang beroperasi adalah kedudukannya yang terlalu berhampiran dengan kawasan perumahan. Antara perkara-perkara yang menjadi pemasalahan kepada penduduk berkenaan projek kuari ialah :

i. Pencemaran habuk dari aktiviti letupan, penghancuran (crushing), stock pile dan pengakutan bahan batuan.

ii. Bunyi dan gegaran dari aktiviti kuari khususnya aktiviti letupan.

iii. Kerosakan harta benda seperti keretakan struktur rumah dari letupan

iv. Keselamatan pengguna jalan raya akibat dari pergerakan lori-lori yang membawa bahan batuan dan aduan bau yang terhasil daripada operasi premix plant yang berada di tapak kuari.Perintah Kualiti Alam Sekeliling iaitu aktiviti yang ditetapkan dalam Penilaian Kesan Alam Sekeliling, 1987 (pindaan) 2000 dalam Perkara 14 menjelaskan mengenai projek Kuari. Dalam projek Kuari dicadangkan penguarian agregat, batu kapur, silika, kuarzit, batu pasir, marmar dan batu bangunan untuk hiasan yang termasuk dalam lingkungan 3 kilometer dari kawasan kediaman, perniagaan atau perindustrian yang sedia wujud atau mana-mana kawasan yang berkenaan dengannya telah ada diberikan lesen, permit atau kelulusan bagi pemaju kediaman, perniagaan, perniagaan atau perindustrian. Di sini kita dapat lihat bahawa penguatkuasaan undang-undang mengenai alam sekitar dititikberatkan dalam pembinaan Projek Kuari ini. Hal ini dilakukan supaya garis panduan dapat diberikan kepada pemaju untuk menitikberatkan penjagaan alam sekitar disamping hidupan lain. Disebabkan hal ini, Laporan EIA itu perlu bagi memacu kelancaran sesuatu projek dilaksanakan tanpa mempunyai sebarang masalah kelak.c) Projek Tapak Pelupusan Sisa Pepejal

Projek Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di negeri Selangor ini dilaksanakan pada tahun 2009 dan diselia oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Didapati terdapat pelbagai masalah yang timbul sepanjang tapak pelupusan ini beroperasi. Antaranya ialah seperti yang berikut.

i. Masalah ruang tapak pelupusan sisa pepejal yang terhad dan penjanaan sampah sarap yang sangat tinggi menyebabkan jangka hayat atau keupayaan tapak untuk menampung sisa pepejal menjadi lebih singkat.

ii. Pelaksanaan pengurusan sisa pepejal yang kurang baik di mana sisa pepejal yang diterima tidak dikambus dengan tanah pada hari yang sama menyebabkan timbul masalah pencemaran bau terutamanya bagi tapak pelupusan yang terletak berhampiran dengan kawasan kediaman.

iii. Tapak pelupusan tidak mempunyai kemudahan pengolahan air larut resap dan masalah pencemaran air larut resap (leachate) yang tidak dirawat menyebabkan berlakunya pengaliran air larut resap secara terus memasuki sistem sungai berhampiran.

Dalam isu ini, didapati bahawa projek ini banyak mendatangkan kesan kepada alam sekitar dan perlu diambil perhatian oleh pihak berwajib. Pemantauan serta pencegahan perlu dilakukan supaya projek ini tidak akan menganggu kualiti kehidupan serta alam sekitar kelak.d) Projek Sumber Air Bawah TanahSelaras dengan pembangunan dan kemajuan negara, pelbagai projek baru dijalankan bagi memastikan negara mampu bersaing dengan negara-negara maju yang lain. Justeru, satu kawasan seluas 2 712 km di Batang Padang, Perak telah dicadangkan oleh pihak Sime Darby Berhad untuk dijalankan projek pengekstrakan air bawah tanah. Projek ini bertujuan untuk membekalkan air mentah ke kawasan Lembah Klang. Di dalam Seksyen 34 A Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, bilangan 19 (b), menyatakan bahawa pembangunan pengeluaran air bawah tanah untuk kegunaan industri, pertanian atau pembekalan air yang melebihi 4.5 MLD dikehendaki menyediakan kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Hal ini bagi memastikan projek yang dijalankan tidak menjejaskan alam sekitar.

Walau bagaimanapun, laporan yang disediakan ini telah dipertikaikan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM). Antara perkara-perkara yang dipertikaikan ialah:

i. Tiada model simulasi untuk mendapat kadar aliran masuk untuk suatu jangkamasa panjang.ii. Faktor-faktor untuk menjamin kadar aliran masuk melebihi kadar pengekstrakan tidak dinyatakan. Sebarang pembangunan atau perubahan yang berlaku di kawasan aliran masuk akan memberi impak langsung kepada kadar aliran air.iii. Kesemua laporan EIA perlu mengenalpasti lokasi spesifik untuk projek yang dicadangkan. Malangnya, tiada lokasi spesifik dinyatakan dalam laporan EIA projek ini.

iv. Penganggaran terhadap perubahan paras air tidak dinyatakan.

Di samping itu, laporan EIA bagi projek ini turut dipersoalkan kerana kajian ini seolah-olah hanya bertujuan untuk mendapat kelulusan secara blanket approval tanpa menjalankan penyelidikan terperinci.

Secara keseluruhannya, pihak FOMCA dan WECAM telah menyediakan satu laporan bantahan yang menyenaraikan beberapa inisiatif bagi membatalkan atau sekurang-kurangnya menangguhkan projek pembangunan sumber air bawah tanah di Batang Padang ini. Laporan tersebut telah dihantar kepada pihak kerajaan untuk diteliti secara terperinci. Oleh itu, haruslah diingatkan bahawa kerajaan, industri dan rakyat adalah bertanggungjawab ke atas alam sekitar. Proses untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berwajib haruslah dijalankan mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan. Pembangunan secara tidak terancang adalah punca utama yang mengganggu kestabilan alam sekitar dan hal ini perlulah dielakkan daripada terjadi.

e) Projek Cadangan Meninggikan Empangan Timah Tasoh, Perlis

Empangan Timah Tasoh berfungsi sebagai kawasan tebatan banjir, membekalkan air kepada kawasan pertanian dan sebagai sumber bekalan air kepada penduduk di sekitar negeri Perlis. Selepas pembukaan empangan ini, didapati bahawa aliran masuk ke dalam empangan adalah lebih tinggi berbanding anggaran asal. Oleh itu, operasi empangan terpaksa melepaskan air dengan lebih kerap. Ini menyebabkan kerapnya berlaku banjir di kawasan hilir empangan seperti di Kangar. Bagi mengatasi masalah ini, kerja penambahbaikan sungai termasuk pembinaan terusan Kangar, Flood Bypass telah dilaksanakan. Namun, keberkesanan sistem ini masih diragui kerana masalah banjir masih juga berlaku.

Keperluan untuk meninggikan empangan Timah Tasoh adalah selaras dengan penambahan isipadu takungan air yang diperlukan bagi menampung permintaan bekalan air untuk kegunaan domestik, industri dan pengairan di negeri Perlis dan juga kawasan utara Semenanjung Malaysia. Kajian sumber air negara (2000-2050) mengesyorkan projek meninggikan empangan Timah Tasoh Fasa II disiapkan pada tahun 2009. Pembinaan terusan ini akan membekalkan air yang mencukupi kepada kawasan pertanian terutamanya untuk tanaman padi iaitu sebanyak dua kali setahun.

Penyediaan laporan EIA projek ini turut menyatakan kesan peninggian empangan Timah Tasoh kepada alam sekeliling dan langkah-langkah tebatan. Antaranya ialah punca pencemaran yang berpotensi untuk memberikan kesan sementara kepada kualiti air semasa fasa pembinaan disebabkan pembinaan struktur sedia ada dan struktur baru. Oleh itu, sistem pengudaraan dan kawalan hakisan serta mendapan yang baik akan dilaksanakan untuk mengurangkan kadar penguraian dan enapan semasa aliran perlahan.

Selain itu, kawasan yang terdedah kepada banjir seperti bandar Kangar akan terjejas teruk sekiranya banjir berlaku. Oleh itu, strategi pengurusan banjir sama ada struktur atau bukan struktur akan dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah sedia ada dan kesan daripadanya. Amaran awal banjir, pengurusan banjir dan langkah pengawalan bukan struktur juga telah dicadangkan di dalam kajian Pelan Induk Tebatan Banjir yang dilaksanakan oleh JPS akan diberikan penekanan.

Kajian penilaian sosio-ekonomi turut dijalankan bagi menyediakan maklumat berkenaan kesan positif dan negatif yang mungkin dihadapi. Antara kesan positif termasuklah penambahbaikan dua jalan kampung dan jalan utama, penambahan peluang pekerjaan dan mengurangkan kebarangkalian berlakunya banjir. Walau bagaimanapun, kesan negatifnya pula adalah perlunya penempatan semula penduduk tempatan yang diambil tanahnya, ancaman terhadap mata pencarian penduduk setempat dan tambahan bahan pencemaran serta risikonya kepada populasi penduduk. Untuk memastikan keselamatan penduduk sekitar diurus dengan baik, komunikasi berterusan secara dua hala adalah perlu untuk memahami kehendak sosial, keperluan dan isu-isu masyarakat.

Berdasarkan hasil penilaian laporan EIA, didapati bahawa pelaksanaan projek ini memberi banyak faedah tanpa memberi kesan yang tidak terkawal atau buruk kepada alam sekitar. Langkah-langkah tebatan dan kawalan yang sesuai serta program pemantauan seperti mana yang disyorkan dalam laporan EIA ini haruslah dilaksanakan dengan cekap bagi mengurangkan kesan kepada alam sekitar. Namun, aspek penting yang harus diberi perhatian ialah EIA ini mestilah mendapat kelulusan JAS terlebih dahulu.f) Operasi Pengorekan untuk Penambakan Tanah

Projek pembangunan yang melibatkan penambakan tanah merupakan suatu kerja menambak tanah di kawasan air cetek sepanjang persisiran pantai yang bertujuan menyediakan satu kawasan baru bagi tujuan industri, pengangkutan, perumahan atau pembangunan rekreasi. Bagi sesuatu projek penambakan tanah, pihak-pihak yang terbabit seperti pemaju, kontraktor dan konsultan hendaklah mengetahui cara dan panduan yang perlu diikuti dalam menjalankan EIA. Kelulusan kajian EIA adalah penting untuk diperolehi sebelum sesuatu projek dijalankan.

Pembangunan projek penambakan pantai adalah subjek kepada EIA di bawah EIA order, 1987 dan perkara yang berkaitan di bawah jadual Prescribed Activities dan melibatkan lain-lain Undang-Undang Malaysia yang berkaitan pengawalan zon pantai dan pembangunan yang berkaitan. Panduan EIA bagi projek Penambakan Pantai oleh Kementerian Alam sekitar (1987) mendefinisikan persekitaran pantai sebagai gabungan empat unit lanskap iaitu zon laut, zon antara air pasang dan air surut, zon tepi pantai dan zon backshore iaitu terletak di daratan dan berada dalam lingkungan satu kilometer dari persisiran pantai.

Bagi mencapai objektif kajian EIA, pertimbangan kejuruteraan, reka bentuk sementara dan infrastruktur adalah penting, terutama dalam penilaian asas persekitaran. Pertimbangan kejuruteraan dapat mengurangkan keperluan mereka bentuk semula jika tidak membatalkan kesemuanya sekali dan pertimbangan infrastruktur dalam lingkungan mudah diperolehi dalam kawasan penambakan adalah diperlukan sebelum kerja pembangunan dijalankan.

Panduan-panduan yang berkaitan projek penambakan tanah memainkan peranan yang penting dalam menyediakan maklumat untuk menyelaraskan kajian-kajian yang perlu dilaksanakan sebelum sesuatu kelulusan diberikan oleh jabatan yang berkaitan untuk memulakan projek. Oleh itu, konsep dan kehendak projek dapat diimplementasikan dengan lebih teratur. Maklumat yang dikeluarkan oleh pihak pencadang projek hendaklah mematuhi garis minima yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.8.0 Isu Sampingan

8.1Isu-isu penguatkuasaan keperluan Laporan EIA

a) Ketidakpatuhan

Paddock (2006) menyatakan tidak patuh sebagai ingkar atau melanggar sesuatu yang telah menjadi ketetapan dalam peraturan, akta atau perintah yang diwartakan. Manakala menurut INECE (2009), ketidakpatuhan bermaksud melanggar undang-undang yang telah ditetapkan dalam penguatkuasaan persekitaran yang mana setiap pelanggaran wajar dikenakan tindakan undang-undang, sekiranya ia adalah pelanggaran atau kesalahan buat kali pertama maka amaran atau denda akan dikenakan, dan jika kesalahan adalah pengulangan maka hukuman yang lebih berat akan dikenakan bertepatan dengan setiap kesalahan tersebut. Terdapat segelintir pemaju yang tidak patuh akan arahan yang diberikan. Sebagai contoh, pemaju tidak mematuhi perkara yang diperuntukkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Selain itu juga, pemaju juga bertindak acuh tidak acuh dalam menyediakan Laporan EIA. Mereka beranggapan bahawa kelulusan Laporan EIA adalah salah satu syarat untuk mendapatkan kelulusan pihak kerajaan untuk melaksanakan sesuatu projek namun mereka tidak memahami konsep sebenar yang ditekankan dalam EIA tersebut.

b) Penguatkuasaan

Menurut Swanson (2009), penguatkuasaan bermaksud lingkungan tindakan dan prosedur yang diambil oleh pihak negeri yang berhak atau kompeten bagi memastikan agensi atau sesuatu organisasi atau orang perseorangan itu yang berpotensi melakukan kesalahan tanpa mematuhi undang-undang persekitaran, atau melanggar perjanjian perlaksanaan persekitaran di mana segala kegagalan ini akan dibawa atau kembali kepada pematuhan atau akan dihukum melalui mahkhamah sivil, pentadbiran serta diambil tindakan untuk dipenjarakan. Dalam isu ini, ia dikaitkan dengan kesalahan undang-undang. Antaranya seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Selain itu, akta-akta lain adalah mengikut kepada kriteria sesuatu projek tersebut. Terdapat Akta Pemuliharaan Tanah 1960, Akta Kerja-kerja Saliran 1965, Akta Perancangan Bandar dan Desa, Enakmen Perlombongan, Perintah Kualiti Alam Sekitar 1987 (Penilaian Kesan Alam Sekitar-Aktiviti yang dijalankan), Akta Kerja-kerja Saliran 1954 dan sebagainya.

Melalui EIA dan Perundangan, Seksyen 34A(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Akta 127) pada pindaan 1985 telah mengariskan setiap kesalahan akan didenda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

c) Sikap pemaju

Terdapat segelintir pihak pemaju yang bersikap sambil lewa atau kurang prihatin terhadap alam sekitar selepas mendapat kelulusan Laporan EIA kerana telah menganggap prosedur tersebut hanyalah di atas kertas semata-mata. Menurut Rasip (2006), pihak pemaju menganggap perkara tersebut adalah remeh bahkan menjalankan pembangunan secara tidak terkawal dan terancang serta mengabaikan ciri-ciri keselamatan. Selain itu, terdapat segelintir pihak pemaju melakukan penipuan butiran maklumat dalam laporan awal yang dihantar kepada PBT bagi mendapatkan kelulusan tapak dan sekaligus terkecuali dalam menyediakan Laporan EIA (Mahmud, 2008).

d) Campurtangan politik

Terdapat spesikulasi yang mengatakan bahawa berlaku campurtangan politik bagi mendapat kelulusan Laporan EIA ini melibatkan sesetengah pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam pembangunan projek perumahan (Mahmud, 2005). Seharusnya dalam memberikan kelulusan kepada sesuatu projek, penelitian serta ketelusan perlulah dititikberatkan. Sekiranya sesebuah projek itu tidak mendapat kelulusan EIA, maka sudah tentulah projek tersebut tertangguh pembinaannya. Ini akan memberi kesan kepada pelaburan yang telah diberi untuk mendapat keuntungan dari projek tersebut. Maka, akan terdapat sikap sesetengah pihak pemaju yang meminta campurtangan politik bagi mempercepatkan penyelesaian kepada pemasalahan ini. 8.2Permasalah melibatkan penilaian EIA dari sudut Jabatan Alam Sekitar dan Pemaju

8.2.1 Jabatan Alam Sekitar dan Pelaksanaan EIA

Satu kajian telah dijalinkan bagi mengkaji masalah yang timbul dalam perlaksanaan EIA dari sudut pandangan JAS. Pertama, JAS mengalami kesukaran apabila pihak pemaju lewat mengemukakan laporan EIA. Terdapat sesetengah pemaju yang mengemukakan laporan EIA tidak mengikut masa yang telah ditetapkan. Kebanyakan daripada mereka mempunyai pengaruh kuat dalam politik. Kelewatan ini memberikan tekanan kepada pihak JAS kerana perlu menyemak serta mebuat penilaian dalam tempoh masa yang pendek. Tekanan semakin bertambah apabila laporan tersebut perlu dinilai segera kerana projek sudah ingin dimulakan oleh pemaju. Hal ini kemudiannya menyebabkan JAS tidak dapat menilai laporan tersebut secara menyeluruh dan lengkap. Secara tidak langsung, perkara ini telah menjejaskan mutu sebenar pemeriksaan EIA dan memberi kesan kepada alam sekitar apabila projek siap dilaksanakan.

Selain itu, masalah yang sering dihadapi oleh JAS adalah laporan EIA yang dihantar oleh pemaju adalah tidak lengkap. Laporan yang dihantar hanya meliputi perkara-perkara asas mengenai kesan projek terhadap alam sekitar tetapi tidak diterangkan dengan terperinci cara atau sebab kesan tersebut boleh berlaku. Di samping itu, langkah penebatan bagi kesan alam sekitar juga adalah terhad dan kadang kala tidak releven.

JAS juga berhadapan dengan masalah kekurangan kakitangan. Masalah kekurangan kakitangan menyebabkan sesetengah projek yang sepatutnya memerlukan pemeriksaan rapi tidak dapat dijalankan meskipun masa yang agak lama diperuntukkan. Faktor kekurangan ini juga menimbulkan rungutan dalam kalangan pemaju kerana laporan yang dikemukakan tidak dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan.

Seterusnya, penglibatan agensi-agensi kerajaan lain yang agak lewat memberikan respon tentang laporan EIA juga menimbulkan masalah. Sebelum sesuatu laporan itu dikembalikan kepada pemaju, pihak JAS akan meminta nasihat dan saranan daripada agensi-agensi tertentu. Terutamanya projek yang memerlukan pemeriksaan rapi. Antara agensi-agensi terlibat adalah Jabatan Geologi, Jabatan Parit dan Saliran, Pejabat Tanah. Agensi-agensi ini dianggap penting dalam mengawal alam sekitar. Masalah timbul apabila terdapat agensi yang mengambil masa yang lama untuk memberikan nasihat terhadap laporan EIA.

Di samping itu, terdapat juga masalah pemaju tidak mematuhi syarat kelulusan. Setelah sesuatu laporan EIA siap dijalankan pemeriksaan dan diserahkan kepada pemaju terdapat beberapa syarat kelulusan yang perlu dipatuhi. Pada kebiasaanya, pada peringkat permulaan pemaju berjanji akan mengikut segala syarat kelulusan yang telah diberikan oleh JAS namun begitu secara realitinya segala syarat itu dilanggar kerana beranggapan bahawa pihak JAS tidak akan menjalankan pemeriksaan. Meskipun pihak JAS menyedari masalah ini tetapi langkah-langkah pencegahan tidak dapat dilakukan kerana ketidakmampuan JAS menjalankan pemeriksaan berkala ke tapak projek.

8.2.2Pemaju dan laporan EIA

Selain masalah-masalah yang dinyatakan oleh pihak JAS terdapat juga beberapa masalah yang dihadapi oleh pihak pemaju apabila berhadapan dengan EIA. Pertama, pelaksanaan EIA memerlukan kos yang tinggi untuk dijalankan. Kebanyakan pihak pemaju beranggapan bahawa kos bayaran Fees Perkhidmatan Laporan EIA yang dikenakan oleh pihak jurutera adalah tinggi. Perbandingan dilakukan dengan bayaran fees bagi penyediaan EIA di negara-negara lain seperti Thailand dan Indonesia. Perbandingan tersebut mendapati bayaran di Malaysia adalah 3 kali ganda lebih tinggi berbanding negara-negara tersebut. Selain itu, di Malaysia kadar bayaran berbeza mengikut tempat meskipun projek pembangunan yang dijalankan adalah sama. Pemaju juga tidak berpuas hati kerana bayaran fees yang tinggi tidak menjanjikan kelulusan laporan EIA. Kebiasaanya ketidaklulusan berlaku kerana pemaju tidak mematuhi garis panduan dan kehendak terperinci yang dikehendaki oleh Jabatan Alam Sekitar. Oleh itu, pemaju perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk melantik jurutera bagi menyediakan laporan EIA.

Kedua, pemaju juga mendapati bahawa keperluan laporan EIA dalam menjalankan pembangunan menyebabkan sesuatu projek lambat dilaksanakan. Hal ini dikatakan demikian kerana penyediaan dan penyemakan laporan EIA memakan masa yang panjang sedangkan kerja-kerja pembangunan perlu dilaksanakan dengan sesegera yang mungkin. Penyediaan laporan EIA memakan masa yang lama kerana perlu dilakukan dengan teliti dan menepati syarat dan garis panduan yang disediakan oleh Jabatan Alam Sekitar. Akibat daripada tempoh masa yang lama dalam memperolehi kelulusan EIA adalah pihak pembeli bangunan memberikan tanggapan tidak baik terhadap pemaju. Perkara ini berlaku sedemikian kerana apabila sesuatu cadangan projek pembangunan diperkenalkan, kerja-kerja pemasaran telah dimulakan. Oleh itu, kerja pembinaan seharusnya selaras dengan jangkaan fasa pembangunan. Kelewatan ini memberikan kesan seperti tanggapan kurang baik dikalangan pembeli, menjejaskan harga pasaran unit-unit yang bakal dibina, meningkatkan kos bayaran faedah pinjaman bank atau institusi kewangan kerana aliran masuk kewangan projek daripada pembeli berkurangan dan meningkatkan kos-kos pembinaan.

Seterusnya, pihak pemaju juga merasakan bahawa terlalu banyak perkara yang ditekankan dalam menyediakan laporan EIA. Garis panduan diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar kepada pemaju dalam menyediakan laporan EIA. Oleh itu, laporan EIA yang disediakan perlu mengikut garis panduan berkenaan supaya kelulusan segera dapat diperolehi. Namun begitu, pemaju beranggapan bahawa garis panduan tersebut agak rumit dan memakan masa yang lama untuk disiapkan. Antara perkara yang ditekankan dalam laporan EIA adalah senarai matrik penilaian kesan alam sekitar. Senarai ini memfokuskan kepada segala keadaan dalam aktiviti projek. Bermula daripada kerja-kerja peringkat pembinaan, kerja-kerja operasi dan penyelengaraan hingga ke projek lanjutan. Selain itu, penekanan juga diberikan terhadap senarai penilaian kesan alam sekitar. Senarai ini pula melibatkan perkara-perkara berhubung dengan tanah, air permukaan, atmosfera, habitat, estetik, keselamatan dan seterusnya berhubung dengan ekonomi. Penilaian kesan alam sekitar ini melibatkan pelbagai penekanan dan kadang kala berada di luar bidang pengetahuan jurutera yang membuat laporan EIA. Penekanan yang terlalu banyak juga memakan masa yang lama dalam menyediakan Laporan EIA. Selain itu, syarat-syarat kelulusan yang ditetapkan juga agak rumit. Apabila sesebuah laporan EIA diluluskan, terdapat beberapa syarat kelulusan yang perlu dipatuhi oleh pihak pemaju bagi memastikan projek dapat dijalankan. Walau bagaimanapun, kadang kala syarat yang diberikan rumit dan sukar untuk dipatuhi. Lazimnya, syarat-syarat adalah merangkumi konsep perlaksanaan, kawalan kerja tanah, kawalan hakisan tanah, kawalan kualiti udara, perlupusan buangan, kawalan bunyi bising hingga pentadbiran dan pengurusan. Syarat-syarat kelulusan yang ketat ditetapkan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar dilihat baik untuk menjaga kelestarian alam sekitar dan penduduk sekeliling namun agak rumit untuk dilaksanakan oleh pemaju kerana melambatkan proses pembangunan.

Pemaju juga menghadapi masalah apabila Pihak Jabatan Alam Sekitar memerlukan laporan EIA dalam kadar segera. Tindakan pihak Jabatan Alam Sekitar yang menghendaki laporan EIA disediakan dalam tempoh yang singkat menyukarkan pihak pemaju atas dua sebab. Pertama, pihak pemaju terlebih dahulu perlu melantik jurutera yang benar-benar mahir dalam menyediakan EIA suapaya laporan yang disediakan memenuhi garis panduan yang disediakan JAS. Masa yang panjang perlu diambil untuk melantik jurutera yang betul-betul layak. Kedua, daripada sudut jurutera pula, masa yang panjang diambil untuk memastikan laporan yang diberikan adalah tepat, terperinci dan mengikut garis panduan yang disediakan. Hal ini penting kerana, jika laporan tidak lengkap dan terperinci berkemungkinan besar kelulusan projek sukar diperoleh. Rentetan daripada itu, pelbagai kesan perlu ditanggung oleh pihak pemaju termasuk perlu menyediakan semula laporan EIA.9.0Rumusan

Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) penting dalam menjaga kelestarian alam sekeliling. Walaupun terdapat beberapa kekurangan dalam perlaksanaannya, penambaikan telah dijalankan bagi memastikan laporan EIA ini berkualiti dan dapat dipercayai. Akan tetapi, semua pihak harus bertanggungjawab dalam melaksanakan laporan EIA dengan jujur dan amanah. Kepincangan dalam membuat laporan ini mampu memberi impak negatif dalam jangka masa panjang. Hal ini dapat dilihat apabila terjadinya masalah dalam beberapa projek pembangunan yang telah mendapat kelulusan setelah laporan EIA diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar. Kepincangan ini bukan sahaja menyebabkan kemusnahan harta benda, bahkan alam sekitar dan nyawa manusia turut melayang. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab menyediakan laporan EIA ini perlulah mengambil sikap serius dan jujur dalam menjalankannya.

Selain itu, laporan EIA turut mengambil kira pandangan masyarakat tentang sesuatu projek. Hal ini jelas menunjukkan keprihatian pihak berwajib mengenai kebajikan masyarakat. Masyarakat setempat merupakan golongan pertama yang akan menerima impak daripada sesuatu projek yang dijalankan. Atas sebab ini, pandangan mereka tidak wajar diketepikan. Kesedaran dalam diri masyarakat perlu dititikberatkan dalam menyuarakan pandangan mereka. Pihak yang berkenaan juga harus menerangkan kebaikan dan keburukan sesuatu projek yang mahu dijalankan di sesuatu kawasan. Penerangan yang jelas dapat membuka mata dan minda masyarakat untuk menerima pembangunan yang dijalankan. Tambahan pula, laporan EIA turut mengandungi cadangan bagi mengatasi masalah yang akan berlaku akibat pembangunan.Pihak pemaju pula, haruslah menghindari sikap mementingkan keuntungan sehingga mengabaikan alam sekitar. Alam ini merupakan sumber rezeki sekiranya kita tahu menghargainya. Setiap prosedur yang digariskan perlu dipatuhi. Walaupun rumit, prosedur ini penting bagi memastikan laporan yang disediakan mampu mengatasi masalah pembangunan justeru pembangunan lestari dapat diamalkan. Dengan menjaga alam sekitar, kita bukan sahaja dapat menikmati hidup yang lebih sihat dan aman malah generasi akan datang juga dapat menikmatinya secara bersama. 10.0Rujukan

Brian D. Clarck (1984). Perspective on Environmental Impact Assessment. Lancaster: R.Reidal Publishing

FOMCA, WECAM dan Forum Air Malaysia (2009). Laporan Kajian bagi Projek Pembangunan Sumber Air Bawah Tanah di Batang Padang, Perak Darul Ridzuan: Satu Peringatan kepada Malaysia

Jabatan Pembangunan Alam Sekitar (2002). Ordinan Impak Alam Persekitaran

(1994). Evironmental Impact Assesment (EIA) Procedur And Requirments in Malaysia. Department of Enviroment, Malaysia.

Mohd Razali Agus, Yahaya Ibrahim (2003). Penilaian Dampak Sosial. Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.

Madya Herawati Bte Ahmad (Jun 2012). Isu-Isu Penguatkuasaan Terhadap Penilaian Kesan Ke Atas Alam Sekeliling (EIA) Bagi Projek Perumahan Di Kawasan Lereng Bukit, Kajian Kes Negeri Selangor Darul. Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Laporan kajian bagi projek pembangunan sumber air bawah tanah di Batang Padang, Perak. Diambil di http://www.fomca.org.my/v2/images/stories/pdf/210809_bm.pdfLaporan tahunan Jabatan Alam Sekitar (2009). Penilaian Alam Sekitar. Diambil di http://www.doe.gov.my/portal/wp-content/uploads/2010/11/BAB3.pdf

23