PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI...

17
PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI MALAYSIA Wan Mohammad Hafiz bin Wan Mat Resab 1 Dr. Zulkifli bin Mohammad 2 ABSTRAK Penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat, dan Haji (JAWHAR) bertujuan menyelaras, memudahcara dan melengkapkan usaha-usaha membangunkan harta wakaf di Malaysia bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Penubuhannya pada tahun 2004 berasaskan kepada punca kuasa Perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan (No.2) (Pindaan) (No.2) 2009 (P.U. (A) 222). Kini setelah sembilan tahun penubuhannya, peranan yang dimainkan dalam membangunkan harta wakaf di Malaysia dan perubahan yang dicapai perlu dikaji. Oleh itu kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji sejauh mana peranan yang dimainkan oleh JAWHAR dalam membawa perubahan kepada pembangunan wakaf di Malaysia. Di samping mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh JAWHAR dalam membangunkan institusi wakaf di Malaysia. Lokasi utama kajian tertumpu di ibu pejabat JAWHAR, Putrajaya di samping beberapa buah MAIN untuk mendapatkan maklumat sokongan. Kajian ini menggunakan metod temubual tidak berstruktur untuk mendapatkan data-data penting di samping metod analisis dokumen digunakan dengan merujuk kepada bahan-bahan penulisan ilmiah seperti buku, jurnal, kajian ilmiah (tesis dan disertasi), majalah, akhbar dan laman web. Manakala metod komparatif digunakan sebagai metod analisis data. Hasil kajian mendapati peranan yang dimainkan oleh JAWHAR dalam pembangunan institusi wakaf amat besar. Projek-projek berskala besar di beberapa buah negeri sudah banyak dibangunkan malah ada yang sudah mula beroperasi, dahulunya tanah-tanah wakaf banyak yang terbiar kini tidak lagi. Kajian ini juga dapat mengenal pasti punca masalah yang dihadapi oleh JAWHAR. dan beberapa cadangan penyelesaian turut dikemukakan. Kata kunci : JAWHAR, peranan, pembangunan, wakaf THE ROLE OF JAWHAR IN THE DEVELOPMENT OF WAKAF IN MALAYSIA ABSTRACT The purpose of the establishment of the Department of Wakaf, Zakat and Hajj (JAWHAR) is to coordinate, facilitate and upgrade the efforts of developing wakaf property in Malaysia in collaboration with States’ Religious Council (MAIN). It was establishment in the year 2004 based on the order of the Federal Goverment ministers 1 Wan Mohammad Hafiz bin Wan Mat Resab merupakan pelajar siswazah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM sesi 2011 2014. 2 Dr Zulkifli bin Mohammad merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Umum, UKM.

Transcript of PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI...

Page 1: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI MALAYSIA

Wan Mohammad Hafiz bin Wan Mat Resab1

Dr. Zulkifli bin Mohammad2

ABSTRAK

Penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat, dan Haji (JAWHAR) bertujuan menyelaras,

memudahcara dan melengkapkan usaha-usaha membangunkan harta wakaf di

Malaysia bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Penubuhannya pada tahun

2004 berasaskan kepada punca kuasa Perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan

(No.2) (Pindaan) (No.2) 2009 (P.U. (A) 222). Kini setelah sembilan tahun

penubuhannya, peranan yang dimainkan dalam membangunkan harta wakaf di

Malaysia dan perubahan yang dicapai perlu dikaji. Oleh itu kajian ini dijalankan

bertujuan untuk mengkaji sejauh mana peranan yang dimainkan oleh JAWHAR

dalam membawa perubahan kepada pembangunan wakaf di Malaysia. Di samping

mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh JAWHAR dalam membangunkan institusi

wakaf di Malaysia. Lokasi utama kajian tertumpu di ibu pejabat JAWHAR, Putrajaya

di samping beberapa buah MAIN untuk mendapatkan maklumat sokongan. Kajian ini

menggunakan metod temubual tidak berstruktur untuk mendapatkan data-data penting

di samping metod analisis dokumen digunakan dengan merujuk kepada bahan-bahan

penulisan ilmiah seperti buku, jurnal, kajian ilmiah (tesis dan disertasi), majalah,

akhbar dan laman web. Manakala metod komparatif digunakan sebagai metod analisis

data. Hasil kajian mendapati peranan yang dimainkan oleh JAWHAR dalam

pembangunan institusi wakaf amat besar. Projek-projek berskala besar di beberapa

buah negeri sudah banyak dibangunkan malah ada yang sudah mula beroperasi,

dahulunya tanah-tanah wakaf banyak yang terbiar kini tidak lagi. Kajian ini juga

dapat mengenal pasti punca masalah yang dihadapi oleh JAWHAR. dan beberapa

cadangan penyelesaian turut dikemukakan.

Kata kunci : JAWHAR, peranan, pembangunan, wakaf

THE ROLE OF JAWHAR IN THE DEVELOPMENT

OF WAKAF IN MALAYSIA

ABSTRACT

The purpose of the establishment of the Department of Wakaf, Zakat and Hajj

(JAWHAR) is to coordinate, facilitate and upgrade the efforts of developing wakaf

property in Malaysia in collaboration with States’ Religious Council (MAIN). It was

establishment in the year 2004 based on the order of the Federal Goverment ministers

1 Wan Mohammad Hafiz bin Wan Mat Resab merupakan pelajar siswazah Jabatan Syariah,

Fakulti Pengajian Islam, UKM sesi 2011 – 2014.

2 Dr Zulkifli bin Mohammad merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Umum, UKM.

Page 2: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

393

(No.2) (amendment) (N0.2) 2009 (P.U. (A) 222). Now nine years have passed since

its establishment and the role it played in the development of Wakaf property in

Malaysia and the changes it has brought about need to be investigated. Therefore, this

study is conducted with the purpose of investigating the extent of the role of the

JAWHAR in bringing changes in the development of Wakaf in Malaysia. Besides,

identifying the problem faced by JAWHAR in the development of the Institution of

Wakaf in Malaysia. The main location of the study is the headquarter of JAWHAR in

Putrajaya along with some (MAIN) offices for obtaining supportive information. This

study used unstructured interview method for gathering relevant data. Besides it uses

document analysis method by referring to scientific written materials such as books,

journals, scientific research (thesis and dissertation), magazines, newspapers and web

site. Whereas, comparative method is used as a method of analyzing the data. The

finding of the study shows that JAWHAR has played a great role in the development

of the Institution of Wakaf. Many large scale projects are built by JAWHAR in many

states and some of these projects have already begun operation. Now the Wakaf

related land is no more left idle as before. This study could also identify the source of

the problem faced by JAWHAR and put forwards certain suggestions for solution.

PENGENALAN

Wakaf merupakan sebuah institusi yang boleh meningkatkan ekonomi umat Islam di

samping mendekatkan diri pewakaf kepada Allah Taala. Keberkesanan manfaat

sistem wakaf kepada masyarakat Islam dapat dilihat melalui pengurusan organisasi

wakaf yang mantap serta kakitangan yang berkelayakan dan berdedikasi. Kejayaan

Universiti al-Azhar dalam melahirkan intelektual Islam sememangnya telah terkenal

di pelusuk dunia. Bermula dari sebuah masjid akhirnya menjadi pusat pengajian

berbagai ilmu yang terulung.

Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang berada di bawah

kendalian badan wakaf yang dikenali sebagai Waqf al-Azhar. Badan wakaf al-Azhar

dikendalikan oleh sebuah kementerian khas yang dinamakan Kementerian Wakaf.

Dipercayai mempunyai aset yang banyak sehingga mampu menyediakan berbagai

kemudahan untuk masyarakat Islam seperti sekolah, hospital dan sebagainya.

Universiti Al-Azhar adalah satu institusi pendidikan Islam yang dibiayai sepenuhnya

melalui sumber wakaf yang mempunyai puluhan ribu pelajar dari seluruh dunia.3

Begitu juga kecemerlangan pengurusan wakaf di Singapura yang diuruskan oleh

Majlis Agama Islam Singapura (MUIS) amat terkenal khususnya di Asia Tenggara.

Dalam menangani keperluan wakaf yang semakin mencabar MUIS telah menubuhkan

anak syarikat yang dikenali Warees Investments Pte Ltd, pada tahun 2002 untuk

mengambil alih fungsi komersial iaitu mengurus dan membangunkan hartanah wakaf.

Keberkesanan Warees yang terhasil daripada kecekapan dan kefleksibelan dalam

pengurusan dan pembangunan aset wakaf di Singapura membolehkan MUIS

dianugerahkan sijil ISO9001 untuk pentadbiran dan pengurusan wakaf di Singapura.

Antara kejayaan Warees Investments ialah melakukan istibdal terhadap 43 wakaf

kecil yang bermutu rendah dengan membeli bangunan 6 tingkat yang bernilai S$34

3 Abdul Rauh Yaccob, Muslim World and Modernization : charges in land law and tenure in

Egypt. dalam al-Hadarah, Bangi : UKM, 1994, hlm. 185-187.; A.B. De Guerville, New Egypt, London :

William Heinemann, t.th. hlm. 165-166.; www.wakafselangor.gov.my

Page 3: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

394

juta pada tahun 2008. Hasil dari sewaan bangunan tersebut, MUIS berjaya

memperolehi keuntungan hampir 4% setahun iaitu S$1.2 juta.4

Di Malaysia pengurusan harta wakaf berada di bawah penguatkuasaan Majlis Agama

Islam Negeri (MAIN). MAIN yang merupakan pemilik tunggal harta wakaf yang

berhak membangun dan mengurus harta wakaf miliknya. MAIN juga

bertanggungjawab ke atas semua aktiviti yang dijalankan di atas tanah wakaf

miliknya serta menjaga tanah-tanah tersebut sebaik mungkin.

Namun, Kerajaan Malaysia pada 27 Mac 2004 melalui Perdana Menteri ketika itu

YAB Dato’Seri Abdullah bin Ahmad Badawi telah menubuhkan Jabatan Wakaf,

Zakat, Mal dan Haji (JAWHAR) yang bertujuan untuk membantu urusan pentadbiran

dan pengurusan wakaf, zakat, mal dan haji seluruh negara agar lebih sistematik,

tersusun dan berkesan.

PERMASALAHAN KAJIAN

Matlamat penubuhan JAWHAR terutama bahagian wakafnya adalah untuk

memelihara dan memastikan hartanah wakaf benar-benar memberi manfaat kepada

masyarakat Islam dengan menyediakan keperluan yang sepatutnya untuk memajukan

harta wakaf dari sudut dana dan perancangan yang baik.

Sebelum kewujudan JAWHAR, tanah-tanah wakaf yang diletak di bawah bidang

kuasa mutlak setiap MAIN turut diusahakan, dibangunkan dan dipantau oleh MAIN.

Malah jika dilihat, setiap MAIN terdapat unit atau bahagian khusus untuk mentadbir

harta wakaf. Kewujudan unit atau bahagian wakaf ini lebih awal jauh daripada

kewujudan JAWHAR sendiri contohnya Lembaga Wakaf, Zakat dan Baitulmal

(LUKMAL) yang ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pada 1

Disember 1982. Tujuan penubuhannya ialah untuk memajukan dan membangunkan

harta wakaf di negeri Melaka.5 Jarak tempoh penubuhan LUKMAL dan JAWHAR

adalah dua puluh tahun. Begitu juga kewujudan unit atau bahagian wakaf di negeri-

negeri lain yang lebih awal daripada JAWHAR.

Unit atau bahagian wakaf MAIN ini sudah pastinya sentiasa berusaha memajukan

tanah-tanah wakaf milik mereka. Namun, disebabkan oleh berbagai halangan,

pembangunan tanah wakaf sering terbantut, antaranya persepsi masyarakat terhadap

tanah wakaf yang diwakafkan untuk umat Islam, maka boleh didiami oleh umat Islam

selama-lamanya, pihak berkuasa tidak boleh mengambil alih tanah tersebut

sebagaimana yang dihadapi oleh JAWHAR dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang

4 Zaini Osman, Pengurusan Wakaf : pengalaman Singapura. Kertas Kerja dalam Seminar

Wakaf Serantau.Anjuran JAWHAR dengan kerjasama JAKIM & MAIWP, 4-5 September 2012,

bertempat di Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur, hlm. 7-8. (Zaini Osman merupakan Pengarah

Eksekutif Warees Investments Pte Ltd).

5 Abdul Halim Ramli, Pengurusan Wakaf di Malaysia : Cabaran dan Masa Depan. dalam

Islam Hadhari Pengukuhan Institusi Baitulmal dan Wakaf di Malaysia, Abdul Halim Ramli dan

Ahmad Che Yaacob (pnyt.), Shah Alam : Universiti Teknologi Mara, 2005, hlm. 84.

Page 4: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

395

(MAIPP) di Kampung Makam Pulau Pinang. Sehinggakan projek pembangunan yang

telah diluluskan untuk kampung tersebut terpaksa dibatalkan.6

JAWHAR, sejak dilancarkan secara rasmi sembilan tahun yang lalu, fungsi

penubuhannya perlu dijelaskan dan peranan yang dimainkan oleh JAWHAR perlu

dikaji untuk melihat perbezaan atau perubahan yang berlaku terhadap pembangunan

wakaf di Malaysia. Saranan ini bertepatan dengan kajian yang dijalankan oleh Abdul

Halim Ramli.7 Beliau menyatakan fungsi penubuhan JAWHAR dan operasi yang

dijalankan masih belum jelas.

Razali bin Md Jani turut mempersoalkan peranan yang dimainkan oleh JAWHAR

sejak ditubuhkan perlu dipertingkatkan lagi. Beliau mengharapkan supaya JAWHAR

membuktikan kepada masyarakat bahawa kewujudannya tidak sia-sia terutama dalam

bidang wakaf dan zakat.8 Persoalannya, apakah fungsi penubuhan JAWHAR dan

peranan yang dimainkan dalam membawa perubahan terhadap pembangunan wakaf?

METODOLOGI KAJIAN

Dalam penulisan disertasi ini, secara umum penulis akan mendapatkan maklumat-

maklumat serta data-data yang lengkap berpandukan metod pengumpulan data-data

dan metod penganalisaan data-data yang terkumpul. Metod kajian yang akan

digunakan adalah seperti berikut:

Metode Pengumpulan Data

a) Metode analisis dokumen

Bahan-bahan perpustakaan boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti dokumen

lama, manuskrip, buku-buku ilmiah, juornal, ensiklopedia, kertas seminar dan

sebagainya. Dalam metod analisa dokumen ini, penulis telah berusaha meneliti isi

dokumen berkenaan. Penulis juga menilai fakta dan segala hujah yang dikemukakan

bagi memastikan ianya dari sumber yang asli. Untuk membuat kesimpulan kepada

setiap fakta dan hujah, penulis membuat perbandingan antara pengarang yang

berlainan dan dokumen yang berlainan.

b) Metode temubual

Metod temubual diguna oleh penulis terhadap pihak-pihak yang signifikan seperti

pegawai-pegawai JAWHAR dan pegawai-pegawai MAIN bagi mendapat maklumat

dengan lebih cepat dan tepat. Bentuk temubual yang digunakan ialah tidak

berstruktur. Bentuk temubual ini dilakukan dengan cara penyelidik memulakan

dengan pengenalan permasalahan kajian secara ringkas dan peserta kajian diminta

untuk memberi responnya. Dikenali sebagai tidak berstruktur kerana tiada peruntukan

6 Zainal Abidin bin Haji Yusof, Pegawai Pembangunan Projek Tanah Wakaf, Bahagian Wakaf

JAWHAR, Temu bual pada 16 Mei 2013, 2:15 pm. ; Azri bin Mohaideen, Penolong Pengarah

Bahagian Wakaf JAWHAR, Temubual pada 4 Oktober 2013, 3:30 pm.

7 Abdul Halim Ramli, Pengurusan Wakaf di Malaysia : Cabaran dan Masa Depan. 2005,

hlm. 84.

8 Razali Md Jani, Pegurus Kanan Unit Penyelidikan dan Pembangunan Korporat PPZ-

MAIWP, Temubual pada 4 Julai 2013, 3:00 pm.

Page 5: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

396

masa diberikan untuk proses temubual dan soalan-soalan yang dikemukakan pula

bebas tidak terikat dengan susunan.9

Penulis telah menemubual beberapa individu menggunakan persampelan berasaskan

tujuan atau pertimbangan (Purposive/Judgemental). Ia bermaksud sampel-sampel

yang dipilih bersesuaian dengan objektif dan matlamat kajian.10

Individu tersebut

ialah Encik Azri bin Mohaideen Timbalan Pengarah Bahagian Wakaf JAWHAR dan

Encik Zainal Abidin bin Haji Yusof Pegawai Pembangunan Projek Tanah Wakaf

JAWHAR. Kedua-dua individu ini menepati matlamat dan objektif kajian kerana

mereka terlibat secara langsung dalam pembangunan wakaf yang dilaksanakan oleh

JAWHAR.

Di samping itu, penulis juga telah menemubual Cik Fatimah Zariah binti Harun,

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Unit Wakaf Majlis Agama Islam Dan Melayu

Terengganu (MAIDAM), En Shaiful Nizam bin Not Eksekutif Hartanah Majlis

Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan Ridhuan Abdul Rahman, Pegawai

Baitulmal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Tiga individu ini

dipilih untuk ditemu bual kerana menepati objektif kajian bagi menyokong maklumat

yang diperolehi oleh penulis berkaitan JAWHAR. Mereka juga merupakan individu

yang terlibat secara langsung mewakili majikan masing setiap kali berurusan dengan

JAWHAR.

Selain itu, Pengurus Kanan Unit Penyelidikan dan Pembangunan Korporat PPZ-

MAIWP iaitu Encik Razali bin Md Jani serta Encik Fauzi bin Ismail Pembantu

Eksekutif Pemasaran Daerah Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) turut juga ditemu

bual oleh penulis bagi mendapatkan maklumat mengenai pengalaman dan kejayaan

badan masing-masing dalam bidang wakaf dan zakat. Mereka merupakan individu

yang bertepatan dengan objektif dan matlamat kajian penulis kerana terlibat secara

langsung dalam urusan iklan dan pemasaran. Melalui kaedah temubual yang

dijalankan ini, penulis memperolehi maklumat yang lebih jelas berdasarkan

pengalaman individu-individu terbabit dalam bidang masing-masing untuk

dicadangkan kepada JAWHAR.

Metode Penganalisisan Data

Penganalisaan data dilakukan oleh penulis menggunakan metod kemparatif, ianya

dilakukan setelah data-data yang terkumpul dianalisa, disemak dan disunting secara

teliti.

Metode komparatif

Metode komparatif bermaksud metod perbandingan antara satu perkara dengan satu

perkara yang lain. Dalam konteks kajian penulis ini, metod ini digunakan bagi

membandingkan antara pendapat fuqaha’ terhadap konsep wakaf. Hasil daripada

perbandingan yang dilakukan, penulis dapat mengkelaskan pandangan yang sama

mengikut hujah-hujah yang dikemukakan.

9 Ahmad Sunawari Long, Pengenalan Metodologi Penyelidikan Islam, Jabatan Usuluddin Dan

Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, 2011, hlm. 65 – 66.

10 Ahmad Sunawari Long, 2011, hlm. 72.

Page 6: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

397

PENUBUHAN JAWHAR

Sebelum memulakan perbincangan mengenai fungsi penubuhan dan peranan yang

dimainkan oleh JAWHAR dalam pembangunan wakaf, penulis datangkan terlebih

dahulu sejarah penubuhan JAWHAR, punca kuasanya supaya gambaran mengenainya

dapat difahami dengan lebih jelas.

Sebagai pemilik tunggal tanah-tanah wakaf negeri Majlis Agama Islam Negeri

(MAIN) sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membangunkan tanah-tanah wakaf

milik masing-masing. Bukan hanya pembangunan berbentuk fizikal sahaja malah

yang bukan fizikal juga diutamakan seperti mendaftar tanah-tanah yang diwakafkan,

menyimpan data wakaf, mengawal selia harta wakaf, mengurustadbir kumpulan wang

wakaf dan sebagainya. Namun tidak semua proses ini berjalan dengan lancar

disebabkan oleh pelbagai kekangan seperti kekurangan tenaga11

serta dana12

di

samping pelbagai karenah pewakaf atau waris mereka,13

penduduk setinggan dan

tidak kurang juga dari sudut perundangan yang terpaksa dihadapi MAIN bagi

membangunkan sesebuah tanah wakaf.14

Pada tahun 1999 telah dicadangkan supaya ditubuhkan sebuah Jabatan Wakaf di

peringkat Persekutuan untuk tujuan penyelarasan pembangunan tanah-tanah wakaf.

Cadangan yang sama turut dikemukakan oleh Dato’ Ahmad Tajudin Abdul Rahman

pada tahun 2004, mengharapkan tertubuhnya Institusi Wakaf di peringkat pusat bagi

membantu MAIN membangunkan tanah wakaf melalui khidmat kepakaran, rakan

kongsi atau pemberi modal melalui kontrak-kontrak mucamalah Islam seperti ijārah,

mudarabah, mushārakah, murābahah dan lain-lain.15

Kemuncak kepada cadangan

tersebut ialah penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji yang bermatlamat ke arah

memajukan pengurusan dan pembangunan harta wakaf di Malaysia secara lebih

sistematik.16

Perdana Menteri ketika itu Y.A.B. Tun Abdullah bin Ahmad Badawi telah

mengisytiharkan penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada 27 Mac

2004 bersamaan 6 Safar 1425H. Sebagai satu langkah permulaan Kerajaan

Persekutuan dalam usaha membantu pihak Majlis Agama Islam Negeri untuk

memajukan harta wakaf umat Islam.

Pada 8 Oktober 2004 bersamaan 23 Syaaban 1425H JAWHAR telah dilancar secara

rasminya oleh Y.B. Dato’ Seri Dr Abdullah bin Md Zin, mantan Menteri di Jabatan

11 Nik Mohd Zain bin Haji Yusof dan Azimuddin bin Bahari, Kedudukan dan Potensi

Pembangunan Hartanah Wakaf di Malaysia : Satu Penilaian. dalam Nik Mustapha bin Nik Hassan

(pnyt.) Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, IKIM, Bab 6, 1999, hlm. 128.

12 Nik Mohd Zain bin Haji Yusof dan Azimuddin bin Bahari, Bab 6, hlm. 120-124.

13 Nik Mohd Zain bin Haji Yusof dan Azimuddin bin Bahari, Bab 6, hlm. 137-135.

14 Nik Mohd Zain bin Haji Yusof dan Azimuddin bin Bahari, Bab 6, hlm. 124.

15 Abdul Halim Ramli, Pengurusan Wakaf di Malaysia : Cabaran dan Masa Depan. 2005, hlm.

92.

16 Nik Mohd Zain bin Haji Yusof dan Azimuddin bin Bahari, Bab 6, hlm. 149.

Page 7: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

398

Perdana Menteri bertempat di Dewan 2, Aras Concourse, Pusat Konvensyen

Putrajaya.

Dengan penubuhan JAWHAR ini, Kerajaan Persekutuan mengharapkan segala

kesulitan khususnya dalam memajukan hartanah wakaf di seluruh negara yang

dianggarkan berjumlah seluas 8,825.05 hektar dengan nilaian harga mencapai

RM1,141,485,133.4017

dapat di atasi secara lebih efektif. Namun kewujudannya

bukanlah bertujuan untuk mengambilalih hakmilik Majlis Agama Islam Negeri dan

juga bukan untuk mencari kelemahan mana-mana institusi yang sedia ada tetapi

bertujuan untuk saling bekerjasama dengan MAIN dan semua pihak serta membantu,

menyelaras, memudahcara dan melengkapkan usaha-usaha membangunkan dan

memelihara harta wakaf milik umat Islam di negara ini. Demikian sebagaimana yang

telah dijelaskan oleh mantan Pengarah JAWHAR Allahyarham Dr. Hj. Sohaimi Bin

Hj. Mohd Salleh.18

Menyokong kenyataan di atas Datuk Hj. Anan C. Mohd. Pengarah JAWHAR semasa

menegaskan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) tetap pemegang amanah tunggal

kepada harta wakaf di negeri masing-masing. JAWHAR pula merupakan sebuah

jabatan Kerajaan Persekutuan yang merancang, melaksana dan menyelaras dasar serta

program pembangunan wakaf, zakat, mal dan haji. Manakala Yayasan Wakaf

Malaysia merupakan sebuah entiti wakaf di peringkat kebangsaan yang telah

ditubuhkan oleh JAWHAR berperanan untuk mengembleng sumber-sumber harta

wakaf di Malaysia supaya dapat menjana pulangan ekonomi yang berpotensi tinggi

dan bermanfaat untuk kebajikan umat Islam dan masyarakat.19

Justeru, penubuhan JAWHAR amat jelas matlamatnya, sebagai pelengkap dan

pemudahcara dalam institusi pembangunan wakaf khususnya begitu juga pengurusan

haji dan zakat di negara ini.

Punca Kuasa

Punca kuasa yang membawa kepada penubuhan JAWHAR adalah seperti berikut:

Minit mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Jun 2004 telah menyatakan dalam perkara

15. Hal-hal lain (11) Penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Urusan Haji seperti

berikut:

“Jemaah menteri mengambil maklum akan keterangan bahawa mesyuarat untuk

membincangkan penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Urusan Haji yang akan

diadakan pada 1 Jun 2004 dengan nama Jabatan Wakaf, Zakat dan Urusan Haji yang

akan menyelaras, memantau dan menyeragam sistem Wakaf, Zakat dan Urusan

Haji”20

17 JAWHAR, 2013, http//e-bayanat/tanahamkhas.asp [19 Oktober ] 12:59 pm.

18 Dr.Hj. Sohaimi Bin Hj. Mohd Salleh, Peranan Dan Cabaran JAWHAR Dalam

Pembangunan Dan Pengurusan Wakaf Dan Mal, Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pengurusan

Harta Pusaka, Wasiat & Wakaf, Anjuran Bersama Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM dan

MAIDAM, 2008, 18 & Oktober, hlm. 73. 19

Anan C. Mohd. Pengurusan Wakaf : pengalaman Malaysia. Kertas Kerja dalam Seminar

Wakaf Serantau. Anjuran JAWHAR dengan kerjasama JAKIM & MAIWP, 4-5 September 2012.

20Laporan Tahunan JAWHAR 2012, hlm. 17.

Page 8: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

399

Perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan (No.2) (Pindaan) (No.2) 2009 (P.U.

(A) 222).

“Jabatan Wakaf, Zakat dan Urusan Haji untuk menyelia, memantau dan

menyelaraskan urusan zakat, wakaf dan haji ”.21

Berdasarkan kenyataan di atas jelas bahawa penubuhan JAWHAR bertepatan dengan

perundangan negara. Ianya memberi kuasa mutlak kepada JAWHAR untuk bersama

badan sedia ada mengembleng tenaga dalam memertabatkan institusi wakaf, zakat

dan urusan haji di Malaysia. Bukan untuk bersaing apatah lagi mengambil hakmilik

atau mencampuri urusan dalaman badan sedia ada.

Fungsi penubuhan JAWHAR

JAWHAR telah menggariskan funsi-fungsi utama penubuhannya seperti berikut :

a) Merancang, melaksana, memantau dan menyelaras pembangunan institusi

Wakaf, Zakat, Mal dan Haji/Umrah agar dapat berfungsi dengan lebih

berkesan dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah.

b) Merancang dan menyelaras keperluan serta keseragaman sistem perundangan

bagi pembangunan institusi Wakaf, Zakat, Mal dan Haji/Umrah.

c) Menjalinkan kerjasama pintar dengan agensi-agensi Kerajaan serta

Government Linked Companies (GLC) / pihak swasta dalam pembangunan

institusi Wakaf, Zakat, Mal dan Haji/Umrah.

d) Menjalankan kajian serta penyelidikan, penerbitan dan penyelarasan mengenai

isu dan program-program pembangunan khazanah umat Islam supaya dapat

dimanfaatkan sepenuhnya oleh ummah.

e) Membantu dan memberi khidmat sokongan dalam pengurusan sumber

manusia, kewangan dan ICT kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri-negeri

dan agensi-agensi berkaitan.

Walau bagaimana pun, kajian ini hanya menfokuskan kepada Bahagian Wakaf

JAWHAR.

Dapatan Awal Kajian

Peranan Bahagian Wakaf Jawhar

Berdasarkan fungsi penubuhan yang dinyatakan, penulis dapat membuat kesimpulan

peranan yang dimainkan oleh JAWHAR dalam pembangunan wakaf ialah :

a. Merancang

b. Menyelaras

c. Membangunkan

21Perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan (No.2) (Pindaan) (No.2) 2009 (P.U. (A)

222).; Laporan Tahunan JAWHAR 2012, hlm. 17.

Page 9: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

400

d. Memantau

Walau pun peranannya begitu kecil, tetapi hasilnya amat besar. Melalui empat teras

inilah JAWHAR mencapai kejayaan demi kejayaan dalam membangunkan institusi

wakaf. Penulis akan jelaskan setiap peranan tersebut secara terperinci :

Merancang

Melalui temubual penulis dengan Pegawai Pembangunan Projek Tanah Wakaf

JAWHAR22

, pihak JAWHAR telah membuat perancangan yang strategik dalam

membangun dan memperkasakan institusi wakaf negara tujuannya untuk

merealisasikan objektif serta fungsi penubuhannya. Maka untuk lebih jelas dan

praktikal lagi, visi ini diterjemahkan melalui Projek JAWHAR 2020. Projek mega ini

adalah seiring dengan hasrat kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia sebuah negara

maju menjelang tahun 2020. Oleh itu JAWHAR juga turut sama mainkan peranannya

bagi memastikan impian tersebut benar-benar menjadi kenyataan.23

Bagi merialisasikan impian mega ini, JAWHAR telah menyusun perancangan melalui

tiga fasa, iaitu :

(1) Fasa I : Pelan strategik lima tahun JAWHAR (2007 – 2011)

Pelan Strategik JAWHAR (2007 – 2011) merupakan gerbang kepada wawasan dan

impian yang ingin dicapai oleh JAWHAR pada tahun 2020 yang dinamakan sebagai

Projek JAWHAR 2020.

Pelan ini merangkumi idea konkrit dan perancangan rapi yang meliputi fasa-fasa

penyediaan, analisa SWOT, teras-teras strategik, jadual pelaksanaan dan mekanisme

institusi bagi memastikan wawasan melalui Projek JAWHAR 2020 menjadi

kenyataan.24

Ini dapat dilihat melalui kejayaan membangunkan tanah-tanah wakaf di

seluruh negara hasil usaha sama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

(2) Fasa II : Semakan & Penambahbaikan Berterusan

Dalam fasa II ini, semakan berkala ke atas setiap teras strategik dan program akan

ditekankan supaya penambahbaikan berterusan sentiasa dapat dilakukan ke atas pelan

Strategik JAWHAR.

(3) Fasa III : Semakan Projek JAWHAR

Manakala dalam fasa ini, lebih memfokuskan kepada pemantauan dan semakan untuk

menilai pencapaian sebenar yang diimpikan dalam Projek JAWHAR 2020.

Melalui Projek JAWHAR 2020 ini, JAWHAR telah memulakan langkahnya menerusi

pembangunan melangkaui zaman seperti Program Pembangunan Harta Wakaf di

bawah Rancangan Malaysia Ke-9 serta penerbitan Siri Manual Pengurusan JAWHAR

22 Zainal Abidin, JAWHAR, Temubual pada 15 Mei 2013, 12:11pm.

23 Buku Pelan Strategik JAWHAR (2007 – 2011). hlm.23.

24 Pelan Strategik JAWHAR (2007 – 2011). hlm. 25.

Page 10: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

401

kepada agensi-agensi berkaitan sebagai paiwai bagi tujuan peningkatan keberkesanan

tadbir urus wakaf, zakat, mal dan haji.25

Ini merupakan perancangan yang telah digariskan oleh JAWHAR ke arah

membangunkan institusi wakaf di Malaysia. Melalui pelan-pelan ini JAWHAR dapat

bergerak dengan lebih tersusun.

Menyelaras

Bertepatan dengan tujuan penubuhannya iaitu menyelaras dan membangunkan harta

wakaf bersama MAIN. Berdasarkan pengalaman MAIN yang berbeza-beza dalam

pengurusan tanah wakaf sebagaimana dinyatakan oleh pengkaji-pengkaji sebelum ini

seperti Nik Mohd Zain bin Haji Yusof26

dan ramai lagi.

Oleh itu JAWHAR memulakan langkah penyelarasan dengan menerbitkan siri manual

pengurusan wakaf, perundangan wakaf, perletakhakkan harta wakaf dan manual

istibdal wakaf. Secara lebih terperinci penulis terangkan mengenai siri manual ini

seperti berikut :

a. Penerbitan Siri Manual Pengurusan JAWHAR

Terdiri daripada berbagai siri seperti siri pengurusan wakaf, siri pengurusan zakat dan

siri pengurusan haji. Di sini penulis hanya mengutarakan manual pengurusan

berkaitan tanah wakaf. Siri penerbitan yang dikeluarkan oleh JAWHAR ini hasil

daripada kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Ketua Pengarah

Tanah dan Galian (JKPTG), Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), dan dibantu

oleh tokoh-tokoh Akademik dari universiti tempatan.

Ia terdapat dalam empat bahagian iaitu:

i. Manual Pengurusan Tanah Wakaf

ii. Manual Pengurusan Perletakhakan Tanah Wakaf

iii. Manual Pengurusan Istibdal Wakaf

iv. Manual Pengurusan Model Perundangan Wakaf

Penerbitan ini bertujuan memberi panduan asas tentang tatacara mentadbir serta

mengurus hal ehwal berkaitan tanah wakaf, seperti proses pendaftaran tanah wakaf,

proses mewakaf tanah, proses Istibdal tanah wakaf, proses perletakhakan terhadap

tanah-tanah wakaf dan juga dari sudut proses perundangan tanah-tanah wakaf kepada

MAIN sebagai pemegang amanah tunggal tanah-tanah wakaf di negeri masing-

masing. Dengan penerbitan ini juga diharapkan segala proses yang berkaitan tanah-

tanah wakaf dapat diselaras dan diseragamkan.

25 Pelan Strategik JAWHAR (2007 – 2011). hlm. 11.

26 Nik Mohd Zain bin Haji Yusof dan Azimuddin bin Bahari, Bab 6, hlm. 149.

Page 11: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

402

Membangunkan

Peruntukan dana yang diterima JAWHAR daripada peruntukan RMKe-9 dan RMKe-

10 sememangnya bertujuan untuk membangunkan institusi wakaf. JAWHAR sebagai

sebuah badan Kerajaan Persekutuan berusaha memanfaatkan dana tersebut sebaik

mungkin.

Berdasarkan analisa dokumen dan juga temubual yang penulis lakukan, amat banyak

projek pembangunan wakaf yang telah dilaksanakan oleh JAWHAR sama ada

berbentuk fizikal atau bukan fizikal. Projek-projek yang dibangunkan ini

menggambarkan hasil kejayaan yang telah dimainkan oleh JAWHAR. Program yang

dimulakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 dengan peruntukan yang diluluskan

sebanyak RM256.5 juta kemudian disambung dengan dana daripada peruntukan

RMKe-10 sebanyak RM72.76 juta. Bajet ini melibatkan projek fizikal dan bukan

fizikal.27

Dalam kajian ini penulis mendatangkan sebahagian sahaja projek-projek

yang dilaksanakan oleh JAWHAR.

Program ini diberi nama Program Pembangunan Harta Wakaf yang terkandung dalam

Projek JAWHAR 2020. Program ini terbahagi kepada dua bahagian:

a) Projek Bukan Fizikal:

1. Entiti Waqaf Kebangsaan (Yayasan Waqaf Malaysia [YWM])

2) Pembangunan Sistem E-Wakaf dan Kajian Perwakafan.

3) Penyusunan Semula Masyarakat di Tanah Wakaf, Kg. Makam

Georgetown, Pulau Pinang.

b) Projek Fizikal

Projek fizikal adalah projek pembangunan yang telah diluluskan oleh Jabatan Perdana

Menteri (JPM). Ia melibatkan pembinaan struktur bangunan di atas tanah wakaf yang

dicadangkan oleh pihak MAIN.28

Bermula dengan langkah pertama JAWHAR

meminta setiap MAIN menghantar cadangan pembangunan di tanah-tanah wakaf

masing-masing. Tanah-tanah yang dicadangkan itu mestilah ready cangkul, iaitu

bersih dari segi perundangan dan juga fizikal. Bermaksud tanah tersebut

sememangnya milik MAIN 100% dan dari segi fizikal tanah itu kosong tidak ada

sebarang bangunan dan sebagainya. Ini bertujuan memudahkan proses pembangunan.

Untuk lebih mudah dilihat, proses pembangunan fizikal ini telah penulis ringkaskan

dalam carta alir berikut:

27 Laporan Tahunan JAWHAR 2008. hlm. 24.

28 Laporan Tahunan JAWHAR 2008. hlm. 24.

Page 12: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

403

Rajah 3.2 Carta Alir Proses Pembangunan Projek Fizikal

c) Status Projek Fizikal

Projek fizikal ini memberi fokus utama terhadap lima konsep, iaitu kebajikan,

kesihatan, perumahan, pendidikan dan ekonomi. Di mana setiap projek yang hendak

dilaksanakan mesti bertepatan dengan konsep-konsep tersebut. Ini supaya

pembangunan harta-harta wakaf yang dilaksanakan mencakupi semua aspek tidak

hanya tertumpu pada satu konsep sahaja.

Projek fizikal yang berkonsep kebajikan diserahkan kepada MAIN dan terus menjadi

hakmilik MAIN. Tanpa perlu membayar apa-apa bayaran kepada JAWHAR.

Manakala projek fizikal berkonsep ekonomi pula, seperti hotel, rumah kedai, ruang

niaga, unit kediaman dan pejabat menjadi hakmilik MAIN tetapi ianya diurus oleh

YWM.

Projek ekonomi adalah meliputi projek-projek yang boleh menjana pulangan

kewangan yang akan digunakan bagi pembangunan ummah. Tujuan utama

pembangunan projek ekonomi ini adalah untuk membangunkan sosio-ekonomi umat

Page 13: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

404

Islam di dalam bidang pelajaran, keusahawanan, tahap kesihatan, kualiti kehidupan,

usaha-usaha dakwah dan membantu meringan atau membebaskan umat Islam

daripada pelbagai kebejatan sosio-ekonomi termasuk kemiskinan.29

Pulangan kewangan yang dijana daripada projek-projek ekonomi ini akan diagihkan

kepada pihak-pihak terlibat. Gambaran yang mudah ialah seperti hotel, MAIN sebagai

pemilik, JAWHAR pembiayai projek dan YWM sebagai pengurus. YWM akan

menyewakan bangunan hotel terlibat kepada pihak ketiga. Hasil sewaan akan

diagihkan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama kepada MAIN, kedua kepada

YWM dan ketiga untuk tujuan selenggaraan. Jumlah agihan tersebut berdasarkan

persetujuan bersama di dalam dokumen perjanjian.30

Rajah 3.3 menunjukkan aliran

pengagihan keuntungan.

Rajah 3.3 Aliran Pengagihan Keuntungan

YWM akan menggunakan wang agihan tersebut untuk membangunkan projek-projek

wakaf yang lain pula.31

Dengan cara ini, dana wakaf sentiasa ada dan mudah untuk

membangunkan sesuatu projek wakaf yang akan mendatangkan manfaat besar kepada

masyarakat Islam sejagat. Tanpa perlu menunggu wang peruntukan Kerajaan

Persekutuan atau peruntukan dari Kerajaan Negeri yang agak terhad.

Buat masa ini terdapat tiga buah hotel yang diuruskan oleh YWM iaitu Hotel Warisan

Taiping Perak (JAWHAR – MAIPk), Hotel Pantai Puteri Tanjung Kling, Melaka

(JAWHAR – MAIM) dan Hotel Grand Puteri Kuala Terengganu (JAWHAR –

MAIDAM). Manakala Hotel Klana Beach Resort Teluk Kemang, Port Dickson,

Negeri Sembilan (JAWHAR – MAINS) diuruskan oleh MAINS sendiri.

Antara projek-projek fizikal yang telah siap dilakasanakan JAWHAR ialah:

1) Asrama Anak Yatim Mukim Derga, Kedah.

2) Bangunan Asrama Anak Yatim, Machang, Kelantan.

29 Laporan Tahunan JAWHAR 2008, hlm. 24.

30 Azri bin Mohaideen, Penolong Pengarah Bahagian Wakaf JAWHAR, Temubual : 4 Oktober

2013, 3:30 pm.

31 Zaim bin Sulaiman, Penolong Jurutera Bahagian Wakaf JAWHAR, Temu bual : 4 Oktober

2013.

Wang sewaan yang dibayar penyewa

MAIN YWM

Selenggaraan

Page 14: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

405

3) Kompleks Wakaf di atas Lot PT 45531 Seksyen 9, Kajang, Ulu Langat,

Selangor (kerja awalan).

4) Ruang Niaga Mukim Ulu Kinta, Tambun, Perak.

5) Kompleks Pendidikan al-Mashoor al-Islami, Balik Pulau, Pulau Pinang.

6) Pusat Saudara Baru Seremban, Negeri Sembilan.

7) Hotel Pantai Puteri, Tg. Kling, Melaka

8) Hotel Warisan Taiping, Perak.

9) Rumah Kedai Mukim Utan Aji, Kangar, Perlis.

10) Ruang Niaga dan Pusat Dialisis Batu Pahat, Johor.

11) Rumah Perlindungan Wanita di atas sebahagian PTD 25810 Tapak Masjid

Taman Perling, Mukim Pulai, Johor Bahru.

12) Hotel Klana Beach Resort dan Baitul Hilal Teluk Kemang, Port Dickson,

Negeri Sembilan.

13) Asrama Kg. Raja, Besut, Terengganu.

14) Hotel Grand Puteri Kuala Terengganu, Terengganu.

15) Unit Kediaman Kos Sederhana Rendah Di Wakaf Masjid Sg. Nibong, Pulau

Pinang Projek Sambungan RMKe-9 bernilai RM13.73 Juta (kini masih dalam

pembinaan).

Memantau

Penulis difahamkan semua projek fizikal yang berasakan ekonomi akan dipantau

aktiviti, pendapatan yang dijana dan penyelenggaraannya. Cara pemantauan

dijalankan iaitu laporan perjalanan aktiviti dan kewangan mesti dihantar kepada

JAWHAR setiap bulan. Contohnya hotel wakaf yang dibangunkan, laporan

pengurusannya akan dihantar kepada JAWHAR setiap bulanan.

Tujuan laporan tersebut dihantar kepada JAWHAR ialah untuk memastikan dana

wakaf tersebut sentiasa berkembang iaitu mendapat keuntungan. Jika tidak mendapat

keuntungan yang disasarkan, pihak JAWHAR, MAIN terlibat dan YWM akan

menyiasat permasalahan yang berlaku. Contohnya jika disebabkan oleh kekurangan

promosi, maka pihak-pihak terlibat akan meningkatkan lagi promosinya.

Manakala projek fizikal yang tidak berkonsep ekonomi, seperti rumah anak yatim,

sekolah dan sebagainya, pemantauan secara berkala tidak dilakukan. Tetapi jika

terdapat sebarang kerosakan, pihak pengurusan akan memaklumkan kepada

JAWHAR.32

32 Zainal Abidin bin Haji Yusof, Temubual pada 28 Januari 2014, 10:00 am.

Page 15: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

406

Rumusan kajian

Berdasarkan kajian yang dijalankan, penulis membuat kesimpulan seperti berikut :

a) Fungsi penubuhan JAWHAR dan peranannya amat jelas iaitu merancang,

menyelaras, membangunkan dan memantau. JAWHAR telah melaksanakan peranan

ini melalui perancangan mantap yang dinamakan sebagai Projek JAWHAR 2020.

Projek mega ini adalah seiring dengan hasrat kerajaan yang ingin menjadikan

Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

b) Sembilan tahun penubuhan JAWHAR, telah berjaya membangunkan tanah-tanah

wakaf milik MAIN dengan projek-projek yang bermanfaat. Walau pun dengan bidang

kuasa yang terhad.

c) JAWHAR telah membawa perubahan bukan hanya pembangunan tanah wakaf

sahaja, tetapi turut memperkemaskan lagi pengurusan dan perundangan wakaf agar

ianya tersusun dan seragam. Penerbitan Siri Manual Wakaf ialah salah satu contoh

penyeragaman dan penyelarasan yang dicadangkan oleh JAWHAR kepada MAIN.

Namun begitu, JAWHAR hanya sekadar mencadangkan yang terbaik, pelaksanaan di

peringkat negeri merupakan hak MAIN. Faktor ini disebabkan oleh bidang kuasa

JAWHAR yang terbatas.

d) JAWHAR akan memastikan laporan pengurusan projek berkonsep ekonomi akan

dihantar setiap bulan kepada JAWHAR untuk memastikan kelancaran pengurusannya.

Ini sebahagian daripada peranan JAWHAR iaitu memantau semua projek yang

dibangunkan. Namun, pemantauan terhadap projek-projek bukan berkonsep ekonomi

tidak dilakukan secara berkala. Termasuk pemantauan terhadap sistem-sistem yang

dibangunkan. Rekod pemantauan juga tidak didapati.

Masalah dan cadangan penambahbaikan

Setelah meneliti pencapaian dan permasalahan yang ada, penulis mencadangkan

JAWHAR perlu melaksanakan perkara-perkara berikut :

a. Menerapkan kefahaman mengenai wakaf kepada masyarakat

Kefahaman mengenai konsep wakaf amat penting difahami oleh masyarakat umum

bertujuan bagi mengelak sebarang ketidakpuasan hati sesetengah masyarakat , bila

mana sesuatu tanah wakaf ingin dibangunkan oleh pihak berkuasa. Menyedari hakikat

ini, penulis mengharapkan Bahagian Wakaf JAWHAR boleh mainkan peranan ini

dengan menganjurkan seminar, diskusi ilmiah, slot tv dan radio yang disertai

masyarakat umum, perkara ini tidak boleh diserahkan kepada MAIN semata-mata

kerana kekangan kewangan dan masalah lain sering menghantui MAIN.

Tindakan sebegini sememangnya wajar dilakukan oleh pihak JAWHAR

memandangkan ia sebuah jabatan Kerajaan Persekutuan. Banyak perkara yang boleh

dilaksanakan untuk membantu MAIN dalam pembangunan institusi wakaf. Di mana

MAIN sendiri kekurangan tenaga dan dana. Bagi JAWHAR, walau pun kakitangan

tidak ramai namun fokus kerja telah dikhususkan kepada bidang wakaf sahaja begitu

juga bidang haji, zakat dan lain-lain. Manakala dari segi kewangan pula, JAWHAR

tidak menghadapi masalah yang besar dengan peruntukan Pusat yang sememangnya

sudah ada.

Page 16: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

407

b. Peruntukan kuasa

Peruntukan kuasa yang terbatas menyebabkan terdapat projek yang dilaksanakan oleh

JAWHAR tidak mendapat sambutan yang baik oleh pihak MAIN. Sudah sedia

maklum, setiap projek yang dibangunkan menelan belanja yang bukan sedikit, jika

tidak mendapat sambutan daripada MAIN, ia sesuatu yang amat merugikan.

Oleh itu, penulis berpandangan adalah wajar JAWHAR diberi sedikit kuasa walau

dalam beberapa perkara pun, bertujuan memastikan tidak ada pembaziran yang

berlaku.

c. Pemantauan terhadap projek yang dibangunkan.

Pemantauan terhadap semua projek termasuk bukan fizikal dan bukan berkonsep

ekonomi perlu dilakukan dengan lebih kerap dan berkala. Program-program online

yang dibangunkan seperti e-Wakaf dan e-Bayanat perlu sentiasa dipantau agar ianya

berada dalam keadaan baik. Setiap aduan yang diterima perlu diambil tindakan

dengan secepat mungkin.

d. Mempunyai rekod

JAWHAR terutama Bahagian Wakaf perlu mempunyai data atau rekod lengkap

mengenai proses pemantauan yang dijalankan. Ini bertujuan supaya sejauh pencapaian

setiap program yang dilaksanakan dapat dinilai, seterusnya langkah-langkah ke arah

mempertingkatkannya boleh diambil.

Kesimpulan

Justeru, sebagai kesimpulan kepada kajian ini, penulis berpendapat JAWHAR telah

memainkan peranan yang sangat besar dalam membangunkan harta wakaf di

Malaysia. Segala pencapaian yang ada kini harus dipuji. Walaupun begitu masih

terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan lagi oleh JAWHAR

dalam memaju dan memantau tanah-tanah wakaf di Malaysia. Memandangkan zaman

sentiasa bergerak pantas kehadapan, JAWHAR juga memerlukan langkah yang laju

dalam membuat sebarang perancangan dan juga tindakan untuk tidak ketinggalan ke

belakang.

RUJUKAN

Abdul Halim Ramli, Pengurusan Wakaf di Malaysia : Cabaran dan Masa Depan.

dalam Islam Hadhari Pengukuhan Institusi Baitulmal dan Wakaf di Malaysia,

Abdul Halim Ramli dan Ahmad Che Yaacob (pnyt.), Shah Alam: Universiti

Teknologi Mara, 2005, hlm. 84.

Abdul Rauh Yaccob, 1994, Muslim World and Modernization : charges in land law

and tenure in Egypt. dalam al-Hadarah, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

A.B. De Guerville, t.th. New Egypt, London : William Heinemann.

Ahmad Sunawari Long, 2011. Pengenalan Metodologi Penyelidikan Islam, Jabatan

Usuluddin Dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Bangi : Universiti Kebangsaan

Malaysia.

Page 17: PERANAN JAWHAR DALAM PEMBANGUNAN WAKAF DI …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/32-Wan-Mohamm… · Universiti al-Azhar merupakan salah satu institusi pendidikan yang

408

Anan C. Mohd. 2012. Pengurusan Wakaf : pengalaman Malaysia. Kertas Kerja

dalam Seminar Wakaf Serantau. Anjuran JAWHAR dengan kerjasama JAKIM &

MAIWP, 4-5 Sept.

Buku Laporan Tahunan JAWHAR 2008.

Buku Laporan Tahunan JAWHAR 2012.

Buku Pelan Strategik JAWHAR (2007 – 2011).

Dr.Hj. Sohaimi Bin Hj. Mohd Salleh .2008. Peranan Dan Cabaran JAWHAR Dalam

Pembangunan Dan Pengurusan Wakaf Dan Mal. Prosiding Konvensyen

Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat & Wakaf. Anjuran Bersama

Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM dan MAIDAM, 18 – 19 Oktober.

JAWHAR.2013. http//e-bayanat/tanahamkhas.asp

Nik Mohd Zain bin Haji Yusof dan Azimuddin bin Bahari, 1999, Kedudukan dan

Potensi Pembangunan Hartanah Wakaf di Malaysia : Satu Penilaian. dalam Nik

Mustapha bin Nik Hassan (pnyt.) Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di

Malaysia, IKIM.

Perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan (No.2) (Pindaan) (No.2) 2009 (P.U.

(A) 222).

www.wakafselangor.gov.my

Zaini Osman, Pengurusan Wakaf: pengalaman Singapura. Kertas Kerja dalam

Seminar Wakaf Serantau.Anjuran JAWHAR dengan kerjasama JAKIM &

MAIWP, 4-5 September 2012, bertempat di Hotel Sunway Putra Kuala

Lumpur. (Zaini Osman merupakan Pengarah Eksekutif Warees Investments

Pte Ltd).