Peringkat proses kaunseling

29
PROSES KAUNSELING Dr Sapora Sipon Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) PENGENALAN Kaunselor boleh membahagikan proses kaunseling kepada beberapa fasa sewaktu melaksanakan kaunseling (Brammer, 1973). Setiap fasa ini pula mengandungi beberapa peringkat serta langkah tertentu. Fasa-fasa yang perlu dilalui tersebut adalah seperti berikut; Fasa Satu Sebelum proses kaunseling (Peringkat pra-persediaan) Fasa Dua Semasa proses kaunseling (Peringkat penyediaan, kemasukan, penetapan/penjelasan,menst ruktur perhubungan,penerokaan, pengukuhan dan perancangan) Fasa Tiga Selepas proses kaunseling (Peringkat penamatan)

Transcript of Peringkat proses kaunseling

Page 1: Peringkat proses kaunseling

PROSES KAUNSELING Dr Sapora Sipon Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

PENGENALAN

Kaunselor boleh membahagikan proses kaunseling kepada beberapa fasa sewaktu melaksanakan kaunseling (Brammer, 1973). Setiap fasa ini pula mengandungi beberapa peringkat serta langkah tertentu. Fasa-fasa yang perlu dilalui tersebut adalah seperti berikut;

Fasa Satu Sebelum proses kaunseling(Peringkat pra-persediaan)

Fasa Dua Semasa proses kaunseling(Peringkat penyediaan, kemasukan, penetapan/penjelasan,menstruktur perhubungan,penerokaan, pengukuhan dan perancangan)

Fasa Tiga Selepas proses kaunseling(Peringkat penamatan)

Fasa Satu: Sebelum proses membantu/kaunseling

Pra-persediaan

Dalam peringkat ini perkara-perkara yang perlu dilihat oleh kaunselor ialah mengkaji latar belakang klien. Segala maklumat peribadi klien perlu dikumpul secara teratur dan sistematik untuk memudahkan kaunselor tersebut memahami persoalan sebenar kliennya. Di tahap ini, kaunselor tersebut perlu membentuk hubungan dan seterusnya memberikan pertolongan.

Page 2: Peringkat proses kaunseling

Pada awal sesi, kaunselor tersebut haruslah menjadikan klien lebih selesa. Kaunselor tersebut perlu menyatakan tujuan pertemuan dengan jelas dan tekankan bahawa dirinya (kaunselor) sentiasa prihatin dan bersedia membantu setakat yang terdaya. Dua komponen penting yang perlu diambilkira di tahap ini ialah;

Tempat sesi kaunseling

Sebelum memulakan sesi kaunseling, kaunselor haruslah memikirkan dan menyediakan tempat serta menentukan masa yang sesuai untuk berbincang tanpa banyak gangguan. Tempat yang selesa dan menarik akan menggalakkan klien tersebut merasa selesa untuk menghadiri sesi kaunseling dan seterusnya sesi tersebut dapat diadakan dengan jayanya.

Tahap kemampuan kaunselor dengan klien

Sebelum memulakan sesi kaunseling, kaunselor perlu mengambil kira tahap kemampuan sama ada dirinya sendiri mahupun klien. Kaunselor yang kelihatan letih akan menimbulkan rasa kurang yakin di kalangan klien terhadap kaunselor. Selain dari itu, kaunselor harus peka akan tahap kemampuan klien. Klien juga mungkin kelihatan letih, lemah dan malas untuk bekerjasama. Dengan itu akan terdapat juga keadaan di mana tahap kemampuan kedua-dua pihak ini harus dititikberatkan sebelum memulakan sesuatu sesi kaunseling agar proses kaunseling dapat dijalankan dengan lancar.

Apabila kaunselor dan klien masing-masing bersedia untuk memulakan proses kaunseling, persetujuan antara kedua-dua pihak bagi memulakan proses kaunseling mestilah dipersetujui. Brammer (1973) menganggap persetujuan ini sebagai satu kontrak antara kaunselor dan kliennya serta sebagai tanda persetujuan tanda permulaan sesuatu proses kaunseling. Persetujuan antara kontrak ini akan berubah pada bila-bila masa mengikut kehendak dan keadaan klien itu sendiri.

Fasa dua. Semasa proses kaunseling

Setelah memastikan peringkat pra-persediaan berjalan dengan lancar, perkhidmatan kaunselor boleh memasuki fasa kedua iaitu fasa “semasa proses kaunseling”. Dalam fasa ini, beberapa peringkat terlibat iaitu peringkat penyediaan dan kemasukan, penetapan, penstrukturan, perhubungan, penerokaan, pengukuhan dan perancangan.

(i) Peringkat penyediaan dan kemasukan

Page 3: Peringkat proses kaunseling

Di tahap ini, temu bual secara minima antara kaunselor dan klien akan berlaku. Sewaktu memulakan temubual, seseorang kaunselor itu hendaklah menggunakan soalan-soalan yang tidak menakutkan serta mempamerkan perlakuan yang membantu. Umpamanya perbuatan pertentangan mata dan kedudukan tubuh badan kaunselor tersebut hendaklah disesuaikan.

Jarak kedudukan antara kaunselor dan klien juga perlu diberi perhatian bagi memudahkan proses komunikasi. Selain dari itu, keadaan tempat juga merupakan satu perkara yang penting dalam permulaan hubungan antara klien-kaunselor. Ini amat penting kerana suasana bilik yang tenang akan memberangsangkan serta menggalakkan klien untuk meluahkan perasaannya.

(ii) Peringkat penetapan/penjelasan

Pada peringkat ini, kaunselor akan cuba mendapatkan gambaran yang jelas tentang persoalan serta permasalahan yang dihadapi oleh klien serta menentukan matlamat kaunseling yang diperlukan mengikut kehendak klien. Biasanya dua cara boleh dilakukan iaitu;

Jika klien mudah bercakap dan meluahkan perasaan segala isi hatinya, kaunselor akan terus mendorong klien tersebut untuk terus bercerita.

Jika klien tersebut sukar untuk bercerita, maka kaunselor hendaklah bijak mengemukakan soalan-soalan yang terbuka agar menggalakkan klien tersebut untuk bercerita.

Kaunselor hendaklah mengelakkan pendekatan ‘soal-selidik’ digunakan kepada klien kerana ini akan menyebabkan klien tersebut merasa terancam atau takut. Kaunselor haruslah mahir menggunakan pendekatan psikologi yang boleh menimbulkan suasana selesa, sayang, hormat dan terbuka. Kaunselor juga hendaklah menunjukkan sifat-sifat sebagai pendengar yang baik dan kritikal serta membantu klien jika menghadapi keadaan tersekat-tersekat sewaktu meluahkan pengalaman dan perasaanya.

Kaunselor haruslah dapat juga menggalakkan klien menghurai dan menentukan pernyataannya tentang bentuk dan jenis pertolongan yang dikehendaki. Di tahap ini, kaunselor juga harus mengamati dan menentukan siapa sebenarnya sedang menghadapi permasalahan tersebut iaitu sama ada diri beliau sendiri atau pun melibatkan orang lain.

Pengetahuan dan kemahiran ini amat penting bagi membantu merangka alternatif ke arah penyelesaian. Pada peringkat ini, kaunselor sepatutnya sudah dapat merangkakan ketetapan untuk melihat matlamat klien. Kaunselor juga sudah boleh mencungkil kehendak sebenar klien.

Page 4: Peringkat proses kaunseling

(iii) Peringkat Penstrukturan

Di peringkat ini, kaunselor dan klien akan menetapkan sama ada perhubungan mereka itu boleh diteruskan atau tidak. Kaunselor harus menilai dirinya sendiri sama ada beliau berkemahiran membantu klien, memenuhi harapan, berasa selesa dengan klien tersebut dan selanjutnya perlu atau tidak mengadakan kontrak kaunseling dengan klien.

Bagi pihak klien juga sudah dapat menentukan sama ada kaunselor tersebut boleh dipercayai atau tidak dan bersediakah ia melibatkan diri serta menerima syarat-syarat yang dikenakan oleh kaunselor nanti.

Tahap penstrukturan ini akan menentukan sifat, batasan dan matlamat perhubungan menolong. Kaunselor boleh memberitahu klien langkah-langkah yang diambil bagi menyediakannya arah yang sedang dituju.

Kontrak kaunseling akan dibuat pada peringkat ini iaitu persetujuan antara kaunselor dan klien bagi berusaha mencapai matlamat yang ditentukan serta bertanggungjawab untuk menepatinya. Dengan adanya kontrak ini klien akan merasa lebih komited menjalankan sesuatu tindakan untuk mencapai matlamat-matlamat yang ditetapkan.

(iv) Peringkat Perhubungan

Di peringkat ini, matlamat utama kaunseling ialah untuk mengeratkan perhubungan antara kaunselor dengan klien. Perhubungan akan terbina dengan baik melalui keyakinan dan rasa selamat yang dirasai oleh klien semasa sesi kaunseling. Pada peringkat ini, kaunselor hendaklah mewujudkan suasana sekeliling dan tingkah laku yang meyakinkan serta sentiasa menunjukkan kemesraan. Kaunselor hendaklah membina tanggapan pertama yang positif dan untuk tujuan ini, kaunselor perlu mengambil kira beberapa perkara yang dapat membina perhubungan yang baik dan selesa.

Membina suasana alam sekeliling yang kondusif

Tempat yang sesuai amat diperlukan semasa pengendalian sesi kaunseling. Kerusi meja yang sesuai perlu disediakan seperti kerusi yang tidak meyakitkan pinggang, bergoyang-goyang sehingga menggangu tumpuan atau pemikiran. Keadaan bilik tidak terlalu panas, terlalu sempit atau terlalu bising.

Elakkan tempat lalu-lalang yang boleh mengganggu tumpuan klien atau kaunselor. Pastikan juga tidak ada bau yang tidak menyenangkan seperti bau tandas yang berhampiran atau fail dan

Page 5: Peringkat proses kaunseling

buku-buku yang bertimbun atau berselerak sehingga menyusahkan penglihatan klien atau kaunselor.

Jarak antara kaunselor dengan klien

Dalam melaksanakan sesi kaunseling, jarak atau ruang antara klien dengan kaunselor harus diambilkira bagi mempastikan agar tidak terlalu dekat sehingga menyukarkan kedua-dua pihak untuk berkomunikasi. Jarak antara 1 hingga 1.5 meter dapat menimbulkan rasa selesa dan klien akan berasa mendapat perhatian yang baik.

Penampilan diri

Pandangan pertama amat penting dalam menentukan keberkesanan hubungan yang akan terjalin seterusnya. Sekiranya klien berasa selesa dan gembira dengan penampilan kaunselor, ia merupakan ciri pertama yang akan menentukan kejayaan sesi seterusnya. Kaunselor atau klien hendaklah berpakaian mengikut norma-norma tempatan, tidak keterlaluan sehingga klien memerlukan masa untuk menerima kaunselor atau sebaliknya.

Ekspresi muka/wajah

Ekspresi wajah yang timbul dari penglahiran rasa hati, emosi, fikiran, penilaian dan keadaan diri individu juga perlu diambil kira. Dalam sesi kaunseling, ekspresi wajah dapat membantu menerangkan erti mesej yang hendak disampaikan. Oleh itu, amat penting bagi para kaunselor mempamerkan ekspresi muka atau wajah yang dapat menyakinkan klien.

Cara duduk dalam sesi kaunseling

Cara duduk boleh menggambarkan penerimaan kita terhadap orang lain. Seseorang yang bersifat terbuka dan mesra akan duduk condong sedikit ke arah orang yang bercakap dengannya.

Senyuman

Senyuman merupakan unsur penting dalam sesi kaunseling terutama sekali di peringkat awal sesi tersebut. Ini adalah kerana senyuman bertindak sebagai penjalin hubungan yang baik antara kaunselor dengan klien.

Lazimnya, senyuman kaunselor boleh meredakan ketegangan emosi di pihak klien. Senyuman juga harus diberikan mengikut

Page 6: Peringkat proses kaunseling

kesesuaian dalam sesi kaunseling. Sekiranya senyuman tidak bersesuaian, ia akan mengakibatkan kesilapan interpretasi di kalangan pihak klien.

Senyuman klien juga harus difahami oleh kaunselor. Klien mungkin tersenyum untuk menutup rasa takut, risau, keliru atau keadaan serba salah. Terdapat juga klien yang senyum kerana ingin mengejek, sedih atau gembira. Kepekaan kaunselor melihat senyuman ini sangat penting untuk memastikan sesi kaunseling yang dijalankan itu sesuai dan menepati matlamatnya.

Nada suara

Nada suara selalunya membawa bersama emosi yang terkandung dalam sesuatu perkataan atau ayat. Sesuatu perkataan yang disebut dengan nada yang berbeza akan membawa erti yang berbeza. Oleh itu, adalah penting bagi kaunselor mendengar dan memahami nada suara tersebut kerana ia akan memberi peluang kepadanya untuk memahami emosi klien seperti nada tegang, geram, pemarah, sedih, tidak bermaya, merungut dan sebagainya.

(v) Peringkat Penerokaan

Pada peringkat ini, kaunselor akan semakin mengenali klien terutamanya dari segi pendirian, matlamat dan juga strategi yang bakal diambil untuk membantu kliennya. Antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh kaunselor di peringkat ini ialah;

Terus mewujud dan mengeratkan hubungan agar perasaan yakin, percaya dan selamat timbul di pihak klien terhadap kaunselor.

Klien di waktu ini digalakkan untuk meneroka masalah dan perasaannya bagi mencapai kesedaran kendiri.

Kaunselor boleh memutuskan sama ada akan meneruskan hubungan sesi kaunseling ini atau menghentikannya atas sebab-sebab tertentu.

Kaunselor boleh memberi panduan kepada klien tentang kemahiran-kemahiran yang perlu bagi mencapai matlamatnya.

Kaunselor boleh memberikan aktiviti “kerja rumah” untuk klien bagi membolehkannya mencapai matlamat.

Pada tahap ini, kaunselor harus lebih bersifat aktif, tegas dan cergas dalam tindakannya. Kaunselor seharusnya semakin jelas tentang apa yang diperlukan oleh kliennya.

Page 7: Peringkat proses kaunseling

Kaunselor juga perlu menggunakan segala kemahirannya untuk meneroka persoalan klien. Menurut Eisenberg dan Delaney (1977), peringkat ini merupakan proses berlakunya komunikasi yang didorong oleh keikhlasan dan kejujuran serta berterus-terang terhadap peranan sebenar yang hendak dibincangkan antara kedua-dua pihak.

Segala perasaan tidak logik, tidak rasional sama ada dalam diri kaunselor atau klien mestilah dikikis dan dihindari segera supaya tidak mengganggu pencapaian matlamat sebenarnya. Perhubungan yang erat sangat penting untuk menimbulkan keyakinan sehingga klien dapat berasa bebas, selamat dan selesa serta terbuka dan sedia berkongsi perasaan dan masalah dengan kaunselor.

(vi) Peringkat Pengukuhan

Pada peringkat pengukuhan ini, klien akan menjelaskan dengan lebih lanjut tentang perasaannya serta menentukan pilihan-pilihan yang boleh diambil olehnya. Kemahiran-kemahiran baru juga perlu diamalkan. Klien seharusnya telah benar-benar melibatkan dirinya secara langsung dan secara aktif di peringkat ini. Seboleh-bolehnya, sesuatu pilihan telah dibuat, diterima dan diyakinkan serta disepadukan mengikut proses-proses yang telah dipersetujui bersama.

(vii) Peringkat Perancangan

Peringkat perancangan merupakan satu peringkat ketetapan dan kata muktamad kepada rancangan tindakan yang khusus. Kaunselor seboleh-bolehnya menolong kliennya merancang strategi-strategi yang hendak diambil termasuk langkah-langkah perlaksanaan strategi tersebut. Peringkat ini lebih merupakan peringkat memperjelaskan matlamat yang diharapkan oleh klien dan menyesuaikannya dengan tindakan yang bakal diambil. Di tahap ini, proses perancangan sudah hampir kepada tahap penyelesaian.

Fasa tiga: Selepas proses kaunseling

Berada di fasa ini bererti, kaunselor yang telah berjaya melaksanakan peringkat-peringkat dalam fasa kedua perlu melakukan peringkat penamatan.

Peringkat penamatan

Peringkat ini merupakan tahap pencapaian keputusan. Lazimnya satu penamatan sesi dicapai melalui persetujuan pihak kaunselor dengan klien. Di peringkat ini hasil atau pencapaian klien akan dirumuskan. Jika masih terdapat matlamat-matlamat yang tidak

Page 8: Peringkat proses kaunseling

tercapai, maka sebab-sebabnya haruslah dikenal pasti. Di peringkat ini pihak klien seharusnya sudah berpuas hati dengan proses kaunseling.

Sebaliknya jika klien tidak mahu lagi meneruskan sesi, maka klien tersebut bolehlah merujuk kepada kaunselor atau pakar-pakar lain. Penamatan juga boleh berlaku jika kaunselor mendapati klien tidak mahu bekerjasama, tidak mahu berubah atau pun atas permintaan klien sendiri.

Dapatlah dirumuskan bahawa peringkat penamatan ini merupakan peringkat penilaian kaunselor terhadap keberkesanan strategi atau teknik yang telah diaplikasikan terhadap kliennya. Sebaliknya, jika tidak berkesan, mungkin sesi dan tindakan susulan akan diteruskan.

Walaupun proses kaunseling sudah ditamatkan, ini tidak bererti hubungan antara kedua-duanya akan terputus langsung. Sebaik-baiknya adalah digalakkan supaya kaunselor mengikuti perkembangan klien yang pernah dibantunya. Penamatan dalam konteks ini hanya merupakan pemberhentian proses kaunseling sahaja.

Fungsi Penamatan

Terdapat beberapa fungsi penting penamatan, Pertama, penamatan menunjukkan sesuatu ingin ditamatkan. Penamatan adalah peluang untuk mengakhiri pembelajaran pengalaman dengan baik sama ada di peringkat peribadi atau peringkat profesional. Dalam kaunseling, penamatan lebih kepada tindakan yang menandakan berakhirnya terapi, sebagai penggerak motivasi. Kesedaran bahawa sesi kaunseling mempunyai limitasi seperti masa membawa klien untuk bekerja keras.

Masa Penamatan

Menurut Gladding (2000), tidak ada satu jawapan jelas bila perhubungan itu ingin ditamatkan. Jika penamatan ditamatkan dengan lebih awal, klien mungkin akan hilang asas yang telah mereka temui dalam sesi kaunseling dan mengundur diri sebagai tingkah laku awal. Dengan kata lain, jika penamatan tidak dinyatakan, proses kebergantungan klien kepada kaunselor akan berlaku dan klien akan gagal menyelesaikan segala kesukaran yang dialami sebagai perkembangan manusia.

Terdapat beberapa pertimbangan yang pragmatik untuk penamatan sesi (Gladding, 2000) iaitu;

Adakah klien telah mencapai matlamat tingkah laku, kognitif atau matlamat kontrak afektif? Bila klien dan kaunselor mempunyai idea yang jelas sama ada matlamat yang khusus telah bertemu,

Page 9: Peringkat proses kaunseling

masa penamatan menjadi mudah untuk dinyatakan. Kunci pertimbangan ini adalah membentuk kontrak yang saling dipersetujui di antara kaunselor dan klien sebelum kaunseling dimulakan.

Adakah klien secara konkrit menunjukkan bahawa dirinya telah menunjukkan perkembangan. Dalam situasi ini, kemajuan yang spesifik mungkin menjadi asas kepada klien dalam membuat keputusan tentang penamatan.

Adakah kaunseling satu perhubungan yang membantu? Jika klien atau kaunselor merasai apa yang berlaku dalam sesi kaunseling tidak membantu, penamatan adalah sesuai.

Adakah konteks pengaturan permulaan kaunseling telah berubah? Dalam kes di mana mereka mengalami kesakitan jangka panjang, penamatan (termasuk rujukan) akan dipertimbangkan.

Keseluruhannya, tidak ada masa yang tepat untuk menamatkan perhubungan kaunseling. “Bila” penamatan perlu adalah berdasarkan menurut keunikan situasi dan menurut garis panduan etika dan profesional.

Isu-Isu Penamatan

Penamatan Sesi Individu

Penamatan diutarakan ketika sesi kaunseling. Sesi permulaan telah jelas mendefinisikan limitasi masa. Kaunselor mungkin mengambil masa di antara 5-10 minit untuk menyesuaikan klien dan kerisauan klien. Sesi kaunseling yang tamat awal mungkin kurang produktif. Benjamin (1987) menyatakan terdapat dua faktor penting dalam mengakhiri sesi iaitu;

(1)Kaunselor dan klien sedar bahawa sesi sudah berakhir dan

(2)Tiada isu-isu baru, yang diperkenalkan atau dibincangkan ketika berakhirnya sesi. Jika klien mengutarakan isu baru, kaunselor perlu memfokuskan pada sesi akan datang.

Kaunselor boleh menamatkan sesi secara berkesan dengan pelbagai cara. Salah satunya ialah membuat pernyataan ringkas bahawa sesi telah tamat. Contohnya, “nampaknya masa telah tamat untuk hari ini.”

Jika klien membincangkan perkara tertutup-terbuka berdekatan dengan pengakhiran sesi, kaunselor akan mengingatkan klien bahawa

Page 10: Peringkat proses kaunseling

terdapat hanya 5 hingga 10 minit lagi masa yang tinggal. Selepas itu, klien boleh berfokus kepada perkara-perkara yang penting.

Sebagai alternatif pernyataan secara langsung, kaunselor boleh menggunakan gerak badan bukan lisan untuk menunjukkan sesi tamat. Contohnya melihat jam atau berdiri (Gladding, 2000). Gerak badan adalah baik digunakan dengan indikator lisan untuk tujuan peneguhan klien.

Ketika kaunselor ingin menamatkan sesi, rumusan boleh membantu kaunselor ataupun klien untuk meringkaskan apa yang berlaku dalam sesi. Kaunselor atau klien boleh merumuskan apa yang berlaku iaitu ciri utama sesi dan akan diringkaskan kepada butir-butir tanpa interpretasi. Ringkasan juga membolehkan kaunselor dan klien sedar apa yang akan mereka perolehi dari luar sesi dan membekalkan maksud menyelesaikan apa-apa salah faham.

Satu lagi yang penting dalam melakukan proses penamatan ialah merangka sesi yang akan datang. Umpamanya,

Kaunselor : “Kita ada lima minit saja lagi, jadi saya rasa elok saya rumuskan apa yang telah kita rundingkan dalam sesi ini. Pada peringkat awal kedatangan tuan ialah untuk membincangkan masalah tuan dengan anak remaja tuan. Tuan rasa tidak dapat mengawal anak ini, begitu juga isteri tuan. Jadi, dalam perbincangan kita, tuan bersetuju untuk bekerja sama dengan isteri tuan. Tuan mengambil keputusan untuk membincangkan masalah ini dengan isteri tuan. Ini adalah beberapa langkah yang akan tuan ambil dalam masa dua minggu ini. Sekiranya tuan rasa perlu berbincang lagi setelah dua minggu lagi dengan saya, tuan dipersilakan”.

Penamatan Perhubungan Kaunseling

Penamatan perhubungan kaunseling adalah berbeza dari satu klien kepada klien yang lain. Kaunselor dan klien perlu bersetuju bila perhubungan perlu ditamatkan. Umumnya, mesej lisan tentang kesediaan untuk penamatan. Klien berkata “Saya berfikir, saya telah banyak membuat kemajuan beberapa bulan yang lepas.” Atau kaunselor menyatakan, “Anda kelihatan amat baik dan saya rasa anda tidak perlu lagi menggunakan perkhidmatan saya.” Pernyataan ini mencadangkan akan berakhirnya sesi kaunseling. Di antara contoh lain iaitu;

Kaunselor : “Kita telah bertemu sebanyak lima sesi, saya lihat tuan bertambah gembira sekarang. Tuan

Page 11: Peringkat proses kaunseling

juga menyatakan yang tuan telah berjaya berbaik-baik dengan anak tuan. Jadi, saya rasa bolehlah kita memberhentikan hubungan kaunseling ini. Saya harap tuan berjaya di dalam kehidupan tuan”.

Penamatan juga melibatkan perubahan dalam diri klien ataupun mencapai resolusi. Beberapa tingkah laku lain juga menandakan berakhirnya sesi kaunseling termasuklah ketidaksungguhan klien ketika sesi dijalankan, menarik diri, marah, bersedih atau bergantung.

Shulman (dlm Gladding, 2000) mencadangkan beberapa perkara perlu diberi perhatian apabila sesi ingin ditamatkan seperti;

1. Memeriksa sama ada masalah atau simptom awal klien telah dikurangkan atau dihapuskan.

2. Menentukan sama ada tekanan perasaan yang telah dihasilkan membawa kepada penamatan kaunseling.

3. Menilai kebolehan untuk menangani persoalan klien dan tahap pemahaman diri dan orang lain.

4. Penentuan sama ada klien boleh dihubungkan lebih baik dengan orang lain dan boleh untuk mencintai dan dicintai.

5. Memeriksa sama ada klien dapat mencapai kebolehan untuk merancang dan bekerja dengan produktif

Sekurang-kurangnya terdapat dua cara bagi memudahkan berakhirnya perhubungan kaunselor-klien. Satu darinya menggunakan fading. Dixon dan Glover (1984) mendefinisikan fading sebagai penurunan yang beransur-ansur dalam struktur yang bukan semulajadi dikembangkan dengan keinginan untuk berubah.

Dengan lain perkataan, klien secara beransur-ansur berhenti menerima peneguhan tingkah laku dalam beberapa cara. Matlamat yang diingini dalam setiap kaunseling membantu klien menjadi kurang bergantung pada kaunselor dan sesi kaunseling lebih bergantung pada diri mereka sendiri dan saling kebergantungan dengan orang lain.

Cara lain untuk melakukan penamatan ialah dengan membantu klien mengembangkan kemahiran penyelesaian masalah. Jika kaunselor dapat membantu klien mempelajari cara yang berkesan untuk menangani kesukaran, klien tidak memerlukan masa yang lama untuk menamatkan perhubungan kaunseling. Ini adalah proses generalisasi pengalaman kaunseling untuk digunakan. Proses ini termasuklah menekankan pendidikan, pencegahan dan kemahiran membuat keputusan pada setiap keputusan dan situasi krisis.

Resistan Penamatan

Page 12: Peringkat proses kaunseling

Keengganan penamatan mungkin datang dari kaunselor atau klien. Patterson dan Einsberg (dlm Gladding, 2000) menyatakan resistan berlaku bila perhubungan kaunseling berlaku terlalu lama atau penglibatan keintiman berada pada tahap yang tinggi.

Faktor lain yang menggalakkan klien resistan iaitu kesakitan awal, kesunyian, kesedihan yang tidak diselesaikan, mahukan ganjaran, takut ditolak dan tidak mempunyai kepercayaan diri.

Klien Resistan

Beberapa perkara membuktikan bahawa klien resistan untuk menamatkan sesi seperti

(1) Banyak bertanya di akhir sesi (2) ingin mengadakan banyak temujanji ketika matlamat telah

dicapai.

Selain itu, klien akan juga menambahkan persoalan-persoalan baru yang bukan berkenaan dengan dirinya seperti kemurungan atau kerisauan. Resistan klien ini akan menyebabkan penamatan lebih sukar. Ada kalanya, klien akan menyakinkan kaunselor bahawa kaunselor sahaja yang dapat menolongnya. Kemudian, kaunselor mungkin merasa berkewajipan untuk meneruskan sesi kaunseling. Lerner & Lerner (1983 dalam Gladding, 2000) menjelaskan klien yang resistan seringkali takut untuk berubah. Ada kalanya mereka takut mereka tidak dapat berfungsi baik tanpa kaunselor.

Cara yang terbaik untuk mengelakkan resistan ialah proses penamatan dijalankan secara beransur-ansur Cormier & Cormier (dlm Gladding, 2000). Sesi akan menjadi semakin berkurangan dan kaunselor akan memberi tumpuan kepada kemahiran, kebolehan dan sumber klien.

Kaunselor Resistan

Resistan bukan sahaja berlaku kepada klien. Terdapat kaunselor yang menentang untuk menamatkan sesi. Antara sebab-sebab kaunselor resistan ialah kerana klien mempunyai keistimewaan yang menjadi tarikan kepada kaunselor. Goodyear (dlm Gladding, 2000) menyenaraikan beberapa keadaan di mana penamatan mungkin sukar bagi kaunselor iaitu;

1. Apabila penamatan menandakan berakhirnya perhubungan yang signifikan

2. Apabila penamatan membangkitkan kerisauan kaunselor tentang kebolehan klien untuk berfungsi secara tidak bergantung.

Page 13: Peringkat proses kaunseling

3. Apabila penamatan muncul, kaunselor rasa bersalah kerana tidak melaksanakan tugas dengan efektif.

4. Apabila klien mengancam meninggalkan kaunselor dalam keadaan mendesak dan marah.

5. Apabila penamatan menunjukkan berakhirnya pengalaman menarik kaunselor

6. Bila penamatan menandakan berakhirnya pengalaman pembelajaran kaunselor (contoh, kaunselor mungkin bersandar pada klien untuk mempelajari tentang dynamic disorder atau subbudaya yang khusus).

Susulan

Proses susulan berlaku apabila kaunselor menyemak untuk melihat bagaimana klien melakukan perancangan selepas proses penamatan dilakukan. Tujuannya ialah untuk penyeliaan yang positif yang menggalakkan pertumbuhan klien.

Susulan penting kerana ia dapat meneguhkan dapatan klien yang berlaku dalam proses kaunseling. Susulan juga membantu kaunselor dan klien menilai semula pengalaman. Ia menekankan pada sikap kaunselor yang tulen dan mengambil berat. Susulan dijalankan sama ada dalam jangka masa pendek (3 hingga 6 minggu) dan jangka panjang (sekurang-kurangnya selepas 6 bulan penamatan). Susulan dilakukan dalam banyak cara. Kebiasaanya empat cara digunakan iaitu;

1. Menjemput klien ke sesi untuk membincangkan kemajuan berterusan dalam memenuhi matlamat yang ingin dicapai.

2. Melalui telefon, klien boleh melaporkan kepada kaunselor secara verbal

3. Kaunselor menghantar surat kepada klien bertanyakan perkembangan terkini dan

4. Kaunselor menghantar kepada klien soal selidik berkenaan dengan tahap kefungsiaan terkini klien dan ini dilakukan menerusi pos .

Proses Rujukan

Shertzer & Stone (1980) menjelaskan tindakan merujuk individu kepada pihak atau agensi lain adalah bertujuan untuk membantu kepakaran yang tidak ada dari sumber dalaman kaunselor. Selain daripada itu, rujukan juga boleh dilakukan di sebabkan oleh etika atau alasan peribadi. Cormier & Hackney (2001) menjelaskan rujukan melibatkan beberapa langkah iaitu;

Page 14: Peringkat proses kaunseling

1. Mengenal pasti keperluan untuk merujuk2. Menilai potensi sumber rujukan3. Memperlengkapkan klien untuk dirujuk4. Menyelaraskan perpindahan

Keperluan Merujuk

Keperluan merujuk berlaku apabila kaunseling yang sedia ada tidak dapat menawarkan perkhidmatan yang diperlukan oleh klien. Adakalanya juga, keperluan dari segi gender, etnik, budaya dan berkaitan dengannya memerlukan kaunselor membuat rujukan. Kebiasaannya klien biasanya akan menentang untuk dibuat rujukan. Kaunselor akan menerangkan risiko yang akan diterima dengan berbincang berkenaan klien yang mudah dilukai dan memberi sokongan kepada klien.

Membuat Rujukan

Terdapat lima sumber utama klien dirujuk kepada seorang kaunselor iaitu;

- Pemerhatian kaunselor sekolah- Guru atau kakitangan sekolah.- Individu atau agensi dalam komuniti- Ibu bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan- Rujukan klien sendiri.

Setiap sumber rujukan ini membuat satu penentuan sama ada perlu atau tidak merujuk seorang individu kepada kaunselor berdasarkan pemerhatian, maklum balas daripada individu lain, berhubung secara langsung atau rekod lepas individu tersebut.

Pemerhatian Kaunselor Sendiri

Kaunselor meluangkan masanya untuk memerhatikan tingkah laku seorang individu, mengulas rekod di sekolah atau agensi dan membincangkan isu yang berkaitan dengan individu seperti guru atau profesional yang lain. Dengan demikian, kaunselor akan mengenal pasti individu yang perlu dirujuk.

Guru Dan Kakitangan Sekolah.

Page 15: Peringkat proses kaunseling

Di sekolah, guru, pentadbir dan staf sokongan juga boleh mengenalpasti individu yang memerlukan bantuan kaunseling. Individu yang selalu menghadapi masalah disiplin di sekolah boleh dirujuk untuk mendapatkan bantuan dalam proses mengubah tingkah laku maladaptif. Tingkah laku individu yang menyebabkan masalah utama sama ada terhadap individu tersebut ataupun individu lain adalah antara kemungkinan yang menyebabkan mereka dirujuk kepada kaunselor.

Individu Atau Agensi Dalam Komuniti

Rujukan juga boleh datang daripada beberapa agensi sosial dan individu dalam komuniti.

Ibu Bapa, Ahli Keluarga Dan Rakan-Rakan

Ibu bapa, adik beradik, ahli keluarga yang lain atau kawan-kawan juga boleh merujuk individu yang memerlukan bantuan daripada kaunselor.

Kebanyakan rujukan dilakukan dengan menyertakan sekeping surat rujukan ataupun melalui satu laporan yang dibuat secara lisan menerangkan sebab-sebab yang mendorongnya dirujuk untuk mendapatkan manfaat daripada proses kaunseling.

Maklumat tambahan haruslah dikumpul dan dianalisis oleh kaunselor lain bagi setiap kes yang dirujuk oleh sumber rujukan. Daripada maklumat yang sedemikian, kaunselor boleh mengenal pasti punca-punca setiap isu yang dibawa oleh setiap klien yang dirujuk. Walau bagaimanapun, kaunselor harus menghubungi sumber rujukan yang berkaitan untuk mendapatkan penjelasan berhubung dengan maklumat yang diterima.

Kaunselor haruslah memberitahu sumber rujukan tentang apa yang mungkin diharapkan sepanjang proses menolong dalam sesi kaunseling. Sekiranya kaunselor mengambil keputusan untuk menolak rujukan tersebut yang biasanya agak rumit, beberapa bantuan haruslah diberikan kepada klien atau sumber rujukan dalam usaha mendapatkan bantuan yang bersesuaian

Sekiranya ahli adalah tidak berkemampuan menjadi profesional dalam memberikan bantuan kepada seorang klien, ahli haruslah mengelak daripada memulakan perhubungan kaunseling atau ahli menamatkan sesi kaunseling.

Dalam salah satu daripada situasi tersebut, ahli adalah diwajibkan untuk merujuk klien tersebut kepada seorang kaunselor yang bersesuaian. Ini adalah satu tugas atau tanggungjawab kepada ahli yang mempunyai matlamat berkaitan dengan sumber rujukan supaya berbincang dengan kaunselor tersebut sebelum memulakan

Page 16: Peringkat proses kaunseling

proses rujukan. Sekiranya klien tersebut menolak cadangan rujukan, kaunselor adalah tidak dibenarkan untuk meneruskan perhubungan menolong.

Syarat-syarat yang harus di ambil kira dan dipertimbangkan dalam membuat rujukan adalah seperti berikut;

1. Adakah rujukan itu satu keperluan? Keperluan haruslah ditentukan sama ada masalah tingkah laku klien adalah jenis yang memerlukan perubahan.

2. Adakah klien berminat? Perubahan tingkah laku akan menjadi lebih senang sekiranya klien mempunyai minat dalam mengubah tingkah lakunya.

3. Adakah masa yang diperuntukkan dan kemudahan yang disediakan mencukupi? Satu persediaan garis kasar pelan rawatan yang berkemungkinan haruslah disediakan dengan masa dan kemudahan yang mencukupi untuk melaksanakan pelan rawatan tersebut.

4. Bolehkah satu persetujuan secara kontrak dilakukan? Persetujuan sedemikian adalah perlu sekiranya keputusan untuk memberikan rawatan kepada klien telah diambil. Persetujuan di antara kaunselor-klien perlu digunakan sebagai pengantara sepanjang sesi kaunseling ini dijalankan.

5. Adakah saya merupakan seorang kaunselor yang secara profesionalnya layak untuk membantu klien tersebut?

6. Adakah diri saya mempunyai kelemahan yang berkemungkinan menyebabkan saya gagal memainkan peranan secara efektif dengan klien.

7. Adakah terdapat individu lain atau agensi yang lebih baik untuk menolong klien tersebut ?

Tujuh persoalan yang disenaraikan di atas haruslah dipertimbangkan untuk menyediakan satu kerangka kerja di antara kaunselor yang boleh mengambil keputusan sama ada seseorang klien itu harus dirujuk kepada seseorang kaunselor yang lain, ditamatkan atau diberi perkhidmatan kaunseling.

Sekiranya kaunselor mengambil keputusan untuk menerima klien, klien haruslah diberitahu tentang jenis-jenis bantuan yang akan diberikan kepadanya, tempoh masa yang akan diperuntukkan dalam

Page 17: Peringkat proses kaunseling

satu sesi kaunseling dan penglibatan individu yang dirujuk atau agensi adalah diperlukan dalam proses menolong.

Keputusan kritikal yang harus dibuat dalam memproses klien adalah sama ada rujukan tersebut bersesuaian ataupun tidak. Kaunselor akan mengumpulkan maklumat yang berkaitan dengan klien untuk mengambil keputusan tentang kesesuaian kaunseling terhadap klien. Kaunselor akan menganalisis laporan diri klien secara langsung ataupun kaunselor akan meneroka persoalan yang dibawa oleh klien sehingga menjalinkan persefahaman.

Dalam kes sedemikian, kaunselor tidak akan berjumpa dengan klien sehinggalah sesi temuduga yang pertama apabila perhubungan kaunseling akan diterangkan. Mengikut prosedur, individu yang dirujuk akan dikenal pasti oleh kerana tingkah lakunya di dalam kelas telah menimbulkan masalah. Dalam situasi ini, kaunselor akan berunding dengan orang yang merujuk pelajar untuk mengumpul ke semua maklumat yang sesuai dan berkaitan dengan tingkah lakunya yang menimbulkan masalah.

Kaunselor juga akan menganalisis rekod yang diperolehi bersama-sama dengan sumber maklumat lain yang telah dikumpulkan. Kaunselor akan mengulas dan menganalisis maklumat dengan berdasarkan kepada kecekapan profesional yang ada pada seorang kaunselor dan seterusnya akan mengenal pasti kesesuaian rujukan tersebut. Sekiranya kaunselor mengambil keputusan bahawa rujukan adalah bersesuaian, kaunselor akan menghubungi individu tersebut dan menentukan temujanji klien untuk berjumpa dengan kaunselor.

Individu yang merujuk klien tersebut perlu diingatkan mengenai kerahsiaan kaunseling di samping memahami apakah yang diharapkan dalam perhubungan kaunselor-klien. Setelah kesemua makalumat yang berkaitan dengan klien telah dikumpulkan daripada sumber rujukan, kaunselor akan bersedia untuk memulakan sesi temuduga bersama dengan klien.

Menilai Sumber Potensi

Kaunselor perlu membiasakan dirinya dengan sumber rujukan yang digunakan dalam masyarakat. Dalam beberapa komuniti, perkhidmatan kesihatan mental akan menyenaraikan beberapa senarai agensi am, perkhidmatan-perkhidmatan yang dibekalkan, yuran dan bagaimana rujukan akan disempurnakan. Direktori telefon Yellow Pages juga membekalkan maklumat sama ada agensi kerajaan dan swasta.

Menyelaraskan Perpindahan

Apabila kaunselor merujuk klien kepada kaunselor lain, kaunselor berharap rujukan dapat berlaku dengan berjaya tanpa

Page 18: Peringkat proses kaunseling

memberi sebarang tekanan kepada klien. Jika klien mempunyai kebimbangan yang tinggi, atau jika kaunselor merasakan klien mungkin tidak boleh menerima rujukan, perhatian yang tertentu akan ditumpukan pada kebimbangan klien. Tambahan kaunselor perlu membekalkan maklumat dalam usaha memudahkan proses rujukan.

Memperlengkapkan Klien Untuk Dirujuk

Menyediakan klien untuk rujukan mungkin membimbangkan klien. Oleh itu, penting bagi kaunselor untuk meringankan kebimbangan klien dengan memberi tahu klien berkenaan dengan potensi kaunselor baru secara terperinci seperti ciri-ciri peribadi, kecekapan profesional dan kefahaman mereka terhadap rujukan.

Berkomunikasi dengan ‘ Receiving Professional’

Sebelum rujukan dibuat, kaunselor perlu memastikan sama ada kaunselor yang ingin dirujuk bersedia atau tidak untuk menerima rujukan. Cara ini akan dilakukan secara berkesan melalui telefon. Ketika klien telah dikenal pasti, perpindahan maklumat tentang kes mesti dinyatakan. Ringkasan kes beserta dengan maklumat demografi perlu dinyatakan. Laporan penamatan akan diterangkan lebih awal dengan tujuan memberikan maklumat yang memadai untuk bertemu keperluan ini.

Sebelum menghantar bahan bertulis, kaunselor perlu mendapatkan persetujuan yang ditandatangani daripada klien. Kebanyakan pusat kaunseling menggunakan borang persetujuan yang standard.

Hubungan kaunseling

Hubungan kaunseling sama ada antara kaunselor-klien atau klien-kaunselor memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan sesuatu proses kaunseling. Corey (1996) telah menyatakan bahawa hubungan kaunselor-klien bukan sahaja bertindak untuk meningkatkan peluang-peluang bagi klien mencapai matlamatnya, malah bertindak sebagai model untuk mewujudkan perhubungan interpersonal yang boleh digunakan oleh klien untuk mempertingkatkan kualiti bentuk hubungan lain di luar setting kaunseling.

RUMUSAN

Dalam proses kaunseling, kaunselor boleh melaksanakannya dalam beberapa peringkat. Brammer (1973) telah membahagikan

Page 19: Peringkat proses kaunseling

peringkat kaunseling kepada beberapa fasa. Bab ini telah membincangkan secara mendalam fasa-fasa yang terdapat dalam proses kaunseling. Fasa-fasa yang telah dibincangkan adalah fasa satu iaitu fasa sebelum proses kaunseling, fasa dua, semasa proses kaunseling dan fasa tiga iaitu fasa selepas proses kaunseling.

RUJUKAN

Brammer (1973). The helping relationship: Process and skills. New Jersey: Prentice Hall.

Cormier, W. & Cormier, L.S (1991). Interviewing strategies for helpers: Fundamental skills and cognitive behaviour intervention: Pacific Grove CA: Brooks/Cole.

Cormier, L.S., & Hackney,H (1999). Counselling strategies and interventions (5 th ed). Boston: Allyn & Bacon.

Eisenberg,S. & Delaney,D.J. (1977). The counseling process. Chicago: Rand McNally Publishing Co.

Gladding,S (2000). Counseling: A comprehensive profession (4th ed). Upper Sadle River. NJ: Prentice Hall.

Shetzer, B., & Stone, S.C. (1980). Fundamentals of counselling. Bostton: Houghton Miflin.

Page 20: Peringkat proses kaunseling