Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

12
1 PERINTAH ULUNG JENERAL TAN SRI DATO’ SRI ZULKIFELI BIN MOHD ZIN PANGLIMA ANGKATAN TENTERA KE–18 PADA 17 JUN 2011 Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia. Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran saya tawadukkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah dan inayahNya telah mengurniakan mandat kepada saya untuk memimpin Angkatan Tentera Malaysia selaku Panglimanya yang ke-18. Di kesempatan ini, izinkan saya dengan takzimnya merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja- Raja Melayu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang Berhormat Menteri Pertahanan atas kepercayaan penuh kepada saya untuk menjunjung amanah besar ini. Dengan penuh ikhlas serta rasa rendah diri, saya berjanji akan melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan untuk memimpin dan memerintah Angkatan Tentera Malaysia dengan sebaik mungkin demi memelihara keutuhan keselamatan dan kedaulatan negara.

description

 

Transcript of Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

Page 1: Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

1

PERINTAH ULUNG JENERAL TAN SRI DATO’ SRI ZULKIFELI BIN MOHD ZIN

PANGLIMA ANGKATAN TENTERA KE–18

PADA 17 JUN 2011

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran saya tawadukkan ke

hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah dan inayahNya

telah mengurniakan mandat kepada saya untuk memimpin Angkatan

Tentera Malaysia selaku Panglimanya yang ke-18. Di kesempatan ini,

izinkan saya dengan takzimnya merakamkan setinggi-tinggi ucapan

terima kasih dan penghargaan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-

Raja Melayu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang

Berhormat Menteri Pertahanan atas kepercayaan penuh kepada saya

untuk menjunjung amanah besar ini. Dengan penuh ikhlas serta rasa

rendah diri, saya berjanji akan melaksanakan segala tugas dan

tanggungjawab yang diamanahkan untuk memimpin dan memerintah

Angkatan Tentera Malaysia dengan sebaik mungkin demi memelihara

keutuhan keselamatan dan kedaulatan negara.

Page 2: Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

2

Bersempena dengan hari yang bersejarah ini, izinkan saya secara

peribadi dan bagi pihak seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia

dengan setulus-tulusnya merakamkan ucapan setinggi-tinggi

penghargaan kepada Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan

Ariffin TUDM, mantan Panglima Angkatan Tentera, yang telah

memimpin Angkatan ini sehingga melakar keunggulan yang signifikan

baik di persada negara, mahupun di kacamata masyarakat dunia.

Sesungguhnya, kepimpinan Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato’ Sri

Azizan yang pragmatik lagi inklusif telah berjaya memulakan

pelaksanaan proses transformasi Angkatan Tentera Malaysia menerusi

Pelan Pembangunan Strategik Fourth Dimension Malaysian Armed

Forces atau 4D MAF dalam tahun 2009. Kita akan mengingati langkah

pertama tersebut yang telah beliau pimpin dengan komitmen jitu sebagai

penggerak kepada momentum 4D MAF pada hari ini, bak kata pepatah

Inggeris, “The journey of a thousand miles begins with the first step”.

Pada hemat saya, khidmat bakti dan jasa Jeneral Tan Sri Dato’ Sri

Azizan kepada nusa dan bangsa amnya, serta Angkatan Tentera

Malaysia khususnya adalah sumbangan yang tidak ternilai, dan sudah

pasti akan sentiasa kita sanjung dan kenang. Dalam nada yang sama,

ingin saya mengambil kesempatan ini untuk memanjangkan

penghargaan khas kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan atas

sokongan terhadap pelantikan saya sebagai Panglima Angkatan Tentera

yang baru. Justeru, saya bertekad untuk meneruskan kecemerlangan

Angkatan Tentera Malaysia menerusi permuafakatan dan kerjasama

dengan Panglima-Panglima Perkhidmatan sebagai pemegang amanah

teras atau core stakeholder Angkatan ini dengan meletakkan

kepentingan agama, bangsa dan negara sebagai pegangan mutlak.

Page 3: Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

3

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, Perubahan yang berterusan terhadap lanskap geo-strategik global

serta serantau telah mencetuskan penafsiran semula Konsep

Pertahanan serta Keselamatan Nasional. Walaupun rantau Asia

Tenggara kini tampak aman daripada sebarang ancaman berbentuk

tradisional, namun beberapa isu dalaman serta luaran dilihat mampu

mencetuskan konflik. Oleh yang demikian, kita tidak boleh sekali-kali

leka dibuai oleh keamanan yang dikecapi pada hari ini. Kita hendaklah

sentiasa peka terhadap perkembangan geo-politik serantau, khususnya

fenomena pergeseran geo politik dengan mengambil kira keadaan saling

memerlukan yang wujud di kalangan negara-negara di rantau ini.

Dewasa ini, fokus terhadap rantau Asia Tenggara semakin meningkat

berikutan kebangkitan kuasa-kuasa serantau seperti China dan India

yang bukan hanya melibatkan kuasa ekonomi malah ketenteraan. Isu

tuntutan bertindih telah mula diperkatakan semula yang berpunca dari

perebutan sumber asli di Laut China Selatan. Isu keselamatan bagi

kapal dagang dilaluan Selat Melaka juga dijadikan modal bagi

campurtangan ketenteraan oleh negara asing.

Selain itu, suka saya menarik perhatian saudara dan saudari

sekalian mengenai peningkatan ancaman bukan tradisional yang

berbentuk militan. Dalam konteks ini, aktiviti-aktiviti berbentuk jenayah

seperti aktiviti lintas sempadan, ketenteraman awam, keganasan, akibat

pasca bencana alam serta gejala-gejala sosial termasuk politik mampu

menggugat kestabilan negara serta mendedahkannya kepada campur

tangan asing. Oleh itu, pendekatan beberapa agensi kerajaan telah

diwujudkan melalui Arahan-Arahan Majilis Keselamatan Negara di mana

Angkatan Tentera Malaysia merupakan agensi utama dalam semua

tindakan berkaitan. Kita turut akur bahawa bantuan kepada Pihak

Page 4: Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

4

Berkuasa Awam merupakan peranan sekunder Angkatan Tentera

Malaysia, lebih-lebih lagi di masa aman. Oleh itu, demi kepentingan

agama, bangsa dan negara, kita akan terus mempergiatkan peranan

sekunder agar Angkatan Tentera Malaysia tetap peka terhadap situasi

semasa serta dipandang relevan dari kacamata masyarakat khususnya.

Komitmen ini memerlukan penafsiran semula konsep Pertahanan

dan Keselamatan Nasional bagi menjamin perseimbangan keupayaan

dalam spektrum tanggungjawab yang kian berkembang. Selain daripada

keupayaan teras Angkatan Tentera Malaysia sebagai sebuah

ketumbukan perang, fokus juga perlu diletakkan kepada tanggungjawab

membantu Pihak Berkuasa Awam serta Pembangunan Negara Bangsa.

Hakikat ini adalah selaras dengan anologi bahawa pertahanan daripada

ancaman luar tidak akan berjaya tanpa kestabilan dalam negeri. Pada

masa yang sama, kestabilan negara tidak akan tercapai tanpa kita

sebagai agen pelindung daripada ancaman luar.

Berdasarkan senario yang dinyatakan, keadaan saling bergantung

yang wujud antara pertahanan dan keselamatan kerap kali menimbulkan

kekaburan dari segi garis sempadannya. Bagi mengatasi kekeliruan ini,

Angkatan Tentera Malaysia melalui Dasar Pertahanan Negara telah

membangunkan Strategi Ketenteraan Negara di mana Pelan

Pembangunan Strategik 4D MAF berfungsi sebagai medium bagi

memenuhi aspirasi pertahanan negara. Sepertimana yang saya

nyatakan tadi, Angkatan Tentera Malaysia telah mengorak langkah ke

arah menzahirkan Dimensi Keempatnya semenjak tahun 2009.

Kesinambungannya, rancangan untuk memperkukuhkan lagi domain-

domain pertahanan daratan, bawah permukaan, udara dan maklumat

terus rancak dilaksanakan walaupun dibatasi oleh kekangan ekonomi.

Namun begitu, cabaran ini tidak seharusnya memberi kesan ke atas

Page 5: Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

5

keupayaan teras semasa Angkatan. Ingin saya tegaskan bahawa

Angkatan Tentera Malaysia perlu mengekalkan ciri-ciri atur gerak,

versatil dan memusnah di samping memperkasa kesedaran bersama

agar sentiasa mencapai Gambaran Operasi Bersama atau Joint

Operational Picture. Ini akan membolehkan Angkatan Tentera Malaysia

meneroka lebih jauh, memutuskan dengan pantas dan memberi respon

secara berhemah. Untuk mencapai matlamat tersebut, Angkatan

Tentera Malaysia perlu meningkatkan lagi pemangkin Command,

Control, Communications, Computers, Intelligence, Surveillance,

Reconnaissance and Targeting (C4ISRT) bukan sahaja dalam aspek

perkakasan (mesin), bahkan manusia dan kaedah. Saya percaya

bahawa peningkatan Gambaran Operasi Bersama melalui sistem

C4ISRT akan mencorakkan tahap kesiagaan Angkatan serta menjana

respon yang menyumbang kepada penjimatan usaha.

Melalui pengekalan Gambaran Operasi Bersama, adalah amat

mustahak bagi Angkatan Tentera Malaysia untuk mengekalkan tahap

kesiagaan yang tinggi pada sebilang masa. Respon yang pantas serta

bertepatan oleh satu ketumbukan bersama yang bersifat seimbang

merupakan kunci bagi mengelakkan situasi yang boleh mencetuskan

konflik. Justeru itu, adalah amat penting untuk aset-aset semua

Perkhidmatan berada di tahap pengoperasian yang tinggi selaras

dengan direktif yang dikeluarkan. Di samping itu, Markas Angkatan

Bersama hendaklah sentiasa bersedia untuk menerima assigned forces

dari setiap Perkhidmatan serta melaksanakan operasi berdasarkan

Direktif Permulaan yang akan saya keluarkan dari semasa ke semasa.

Di sini, saya berkehendakkan supaya Sistem Perancangan Bersama

dikaji dan diuji pada tempoh tertentu bersama Perkhidmatan yang lain

bagi mengekalkan keberkesanannya, terutamanya sewaktu krisis.

Page 6: Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

6

Tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia untuk membantu

Pihak Berkuasa Awam atau apa yang ditakrifkan sebagai Operasi

Ketenteraan Selain Daripada Peperangan atau Military Operations Other

Than War merupakan pemangkin bagi mencapai tujuan tersebut. Selain

daripada melaksanakan operasi-operasi keselamatan dan membantu

penguatkuasaan undang-undang, Angkatan Tentera Malaysia perlu

bersedia untuk melaksanakan operasi Bantuan Kemanusiaan dan

Menyelamat Bencana yang semakin menimpa kita. Sesuai dengan itu

juga, Angkatan ini perlu bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada

mangsa-mangsa bencana yang berlaku di luar negara sepertimana yang

akan diarahkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa. Salah satu lagi

tanggungjawab yang telah disandarkan kepada Angkatan Tentera

Malaysia adalah memberi bantuan untuk Pembangunan Negara

Bangsa. Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia dalam pelaksanaan

National Blue Ocean Strategy (NBOS), khususnya dalam Program

Pemasyarakatan Banduan serta pengambilalihan Kawasan

Tanggungjawab Polis DiRaja Malaysia di OP NYAH/WAWASAN

membuktikan bahawa Angkatan Tentera Malaysia sentiasa pro-aktif

dalam bekerjsama ke arah menjayakan agenda keselamatan nasional.

Selaras dengan itu, aspek perhubungan antara agensi-agensi

keselamatan dan penguatkuasaan perlu diperkemaskan lagi bagi

mengoptimumkan peranan yang boleh dimainkan oleh Angkatan

Tentera Malaysia dalam projek keselamatan dan pembangunan

nasional. Oleh itu, saya berkehendakkan supaya Arahan-Arahan Majlis

Keselamatan Negara difahami oleh seluruh warga Angkatan Tentera

Malaysia. Sebagai langkah berkaitan, imej Angkatan ini sebagai

pelindung negara dan masyarakat harus dipupuk melalui ketrampilan

yang meyakinkan serta tingkah laku yang terpuji.

Page 7: Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

7

Tindakan bersepadu oleh pelbagai elemen tidak akan tercapai

tanpa latihan yang efektif serta realistik. Di samping meningkatkan

pengetahuan, kemahiran dan sikap, latihan merupakan ejen pengikat

pelbagai pengetahuan, kemahiran, nilai serta tradisi yang dilaksanakan

di setiap Perkhidmatan. Di sini, pembangunan serta kajian semula

Doktrin Bersama atau PPB (Mal) adalah kunci kepada pelaksanaan

latihan yang efektif. Ke arah itu, Perancangan Bersama perlu

dilaksanakan di semua peringkat mahupun latihan satu atau dua

Perkhidmatan untuk membiasakan input kebersamaan. Pencapaian

latihan-latihan bersama harus dapat dinilai dan dikaji semula untuk

menentukan Pengurusan Pengetahuan yang efektif serta keberkesanan

impak proses pembelajaran. Atas kesedaran ini, Angkatan Tentera

Malaysia akan terus melaksanakan latihan dua serta pelbagai hala

dengan negara-negara jiran. Saya yakin bahawa hasilnya akan dapat

mendedahkan anggota kepada amalan terbaik semasa serta memberi

peluang untuk meningkatkan keyakinan serta memupuk keakraban di

kalangan warga tentera negara-negara sahabat. Sehubungan itu,

perancangan yang rapi perlu dilaksanakan supaya matlamat ini dapat

dicapai serta menjadi nilai tambah kepada Strategi Ketenteraan Negara.

Mengurus serta melengkapi sebuah ketumbukan perang yang

mengandungi rencam kepelbagaian seperti Angkatan Tentera Malaysia

merupakan satu tanggungjawab yang berat. Selari dengan itu, adalah

penting bagi Angkatan Tentera Malaysia untuk meningkatkan

pembangunan keupayaan melalui pengurusan sumber serta sistem

logistik yang telus, efektif dan efisyen. Saya sedar bahawa kekangan

ekonomi akan mempunyai impak terhadap pelaksanaan 4D MAF.

Namun begitu, saya yakin bahawa agenda transformasi Angkatan tetap

akan dapat kita realisasikan sewajarnya dengan membangunkan sifat

inovatif serta kemampuan berfikir di luar kotak atau thinking out of the

Page 8: Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

8

box bagi mengatasi cabaran-cabaran yang mendatang. Di samping itu,

adalah perlu bagi kita mengamalkan ketelusan serta integriti dalam

menguruskan inventori agar lebih efesyen dan efektif. Keupayaan untuk

menentukan sesuatu aset itu berada dalam keadaan baik dari mula

ianya digunakan sehingga akhir hayatnya harus dilaksanakan demi

menentukan setiap sen yang dibelanjakan dapat dimanfaatkan dengan

maksima.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

Berlandaskan kriteria-kriteria yang telah dinyatakan, pertahanan

dan keselamatan negara ini secara jelas bergantung kepada sebuah

Angkatan Tentera yang kredibel, responsif, dinamik, mampu

mengeksploit teknologi serta dianggotai oleh warga yang menikmati

kepuasan untuk berkhidmat demi negara. Selain daripada menyediakan

aspek-aspek yang boleh dilihat dengan mata kasar, Angkatan Tentera

Malaysia perlu menentukan bahawa siasah warganya diperkasakan

melalui peningkatan tahap kepuasan berkhidmat untuk negara.

Sehubungan itu, adalah amat penting untuk mencapai keseimbangan

dalam elemen manusia, mesin dan kaedah bagi menentukan respons

yang holistik, bersepadu serta berkesan.

Justeru itu, bagi memastikan kepentingan agama, bangsa dan

negara sebagai satu pegangan mutlak, penumpuan terhadap aspek-

aspek berikut akan dititikberatkan untuk mencapai matlamat tersebut.

PERTAMA : ANGKATAN SPEKTRUM PENUH.

Perubahan terhadap lanskap geo-strategik telah mengakibatkan

pembesaran kepada spektrum tanggungjawab. Ini merangkumi tindakan

ke atas ancaman tradisional dan bukan tradisional. Secara umumnya,

Page 9: Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

9

Angkatan Tentera Malaysia diwujudkan dan dipersiapkan untuk

menghadapi ancaman luar. Pada masa yang sama, sesuai dengan

peranannya di masa aman, peranan Angkatan Tentera Malaysia

membantu Pihak Berkuasa Awam dalam menjayakan dasar kerajaan

kini semakin menyerlah. Perkembangan ini menuntut Angkatan Tentera

Malaysia untuk berkemampuan memberi respons dalam pelbagai bentuk

persekitaran. Dalam konteks ini, Angkatan Tentera Malaysia perlu

menentukan agar elemen-elemennya sentiasa berupaya menonjolkan

kesan sinergi dalam memberi respons di darat, laut, udara dan juga

ruang siber.

KEDUA : PENGLIBATAN KEPIMPINAN. Transformasi yang dilalui oleh Angkatan Tentera Malaysia

memerlukan kepimpinan yang berwibawa bagi menentukan perubahan

yang berlaku menjana impak yang positif. Penerapan aspek-aspek

pemerintahan, kepimpinan serta pengurusan dalam setiap aktiviti yang

melibatkan Angkatan ini akan dapat menentukan pencapaian yang tinggi

dan sistematik. Di samping itu, Angkatan Tentera Malaysia, khususnya

di peringkat pemerintahan perlu melaksanakan Penglibatan Kepimpinan

atau Participative Leadership untuk menentukan semangat setiakawan

yang sejati antara ketiga-tiga Perkhidmatan serta menjana sifat inovatif

di kalangan warga mereka. Pelaksanaan keputusan dari perbincangan

sesama pemimpin adalah menjadi asas pendekatan ini. Saya percaya

pendekatan kepimpinan ini akan memberi kepuasan serta memperkasa

semangat juang warga Angkatan Tentera Malaysia untuk berkorban

demi negara.

Page 10: Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

10

KETIGA : PENGUKUHAN KELAKUAN ORGANISASI

ANGKATAN TENTERA. Kelakuan Organisasi merupakan acuan di mana kelakuan individu

digabungkan bagi menjana kelakuan yang mencerminkan sesebuah

organisasi. Dalam ruang lingkup ketenteraan, kelakuan ini didorongi oleh

disiplin, tradisi, nilai serta etos yang diguna pakai oleh setiap warga

tentera. Ianya mencerminkan ketrampilan serta kegagahan profesyen

ketenteraan di samping menjadi pencetus semangat kepahlawanan dan

patriotisme yang sinonim dengan profesyen mulia ini. Apa pun jua tugas

atau tanggungjawab yang diamanahkan, setiap warga Angkatan Tentera

Malaysia perlu sentiasa menonjolkan kelakuan organisasi yang positif

melalui agar seia sekata dengan ikrar kesateria dan sumpah perajurit

yang dilafazkan.

EMPAT : KEPUASAN BERKHIDMAT. Angkatan Tentera Malaysia perlu menentukan bahawa setiap

warganya mencapai kepuasan dalam perkhidmatan. Ianya dapat dicapai

melalui peningkatan kualiti hidup mereka serta keluarga,

memperkasakan diri melalui pembangunan siasah, membantu mereka

mencapai aspirasi serta menyediakan setiap warga secara

komprehensif untuk menyambung hidup sebagai orang awam setelah

tamat perkhidmatan. Ini dapat dilaksanakan melalui penggembelingan

polisi-polisi perkhidmatan yang sedia ada serta penglibatan kepimpinan

yang efektif.

KELIMA : PERHUBUNGAN TENTERA – AWAM.

Keberkesanan Angkatan Tentera Malaysia bergantung kepada

tahap penerimaan masyarakat terhadap perkhidmatan yang diberi. Dari

sudut peperangan moden, penerimaan oleh masyarakat adalah amat

penting, yang antara lain mampu mengekalkan kesinambungan

Page 11: Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

11

pelaksanaan operasi ketenteraan. Sejarah Angkatan Tentera Malaysia

menunjukkan bahawa strategi tentera - awam telah wujud semenjak

Darurat Pertama lagi melalui program jiwa murni yang telah digantikan

dengan konsep KESBAN. Sesungguhnya, pengalaman Angkatan

Tentera Malaysia dalam menjalin hubungan dengan pihak awam adalah

luas dan memberangsangkan. Namun begitu, dengan perubahan nilai

yang meresapi masyarakat, usaha perlu diambil untuk menilai semula

pendekatan awam dan tentera melalui pelbagai inisiatif yang relevan

seperti kerjasama awam - tentera, hal-ehwal awam - tentera serta

pengaplikasian operasi perang saraf.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

Saya meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa dengan sokongan

serta pengorbanan saudara dan saudari sekalian, Angkatan Tentera

Malaysia akan berupaya untuk menempa kejayaan yang berterusan

serta kekal relevan ke arah memartabatkan integriti pertahanan negara.

Keupayaan Angkatan Tentera Malaysia untuk bertindak sebagai

Angkatan spektrum penuh akan meningkatkan lagi kesan cegah rintang

di samping membina keyakinan di kalangan negara-negara sahabat.

Saya penuh yakin bahawa legasi Angkatan Tentera Malaysia dalam

mempertahankan kedaulatan dan kepentingan strategik negara serta

melindungi masyarakat akan ditulis dengan tinta emas dalam lipatan

sejarah negara. Namun begitu, ingin saya mengingatkan agar janganlah

kita lalai atau terlalu mengagungkan kegemilangan di masa lalu.

Tindakan yang harus diambil adalah untuk terus membangunkan

keupayaan, memperkasa imej serta meningkatkan keyakinan rakyat

terhadap Angkatan Tentera Malaysia.

Page 12: Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera

12

Saya menyeru kepada semua warga Angkatan Tentera Malaysia

untuk memperkukuhkan lagi institusi bermaruah ini, meningkatkan lagi

tahap profesionalisme serta menyemarakkan keiltizaman untuk memacu

kemajuan organisasi ke tahap yang lebih tinggi. Sentiasalah berusaha

memberi khidmat terbaik dan meletakkan kepentingan perkhidmatan

mengatasi segalanya kerana kitalah perisai negara yang menjadi

harapan negara dan rakyat, dan kitalah pendokong utama tanah air

yang tercinta demi masa hadapan pewaris kita yang terus cerah.

Bagi mengakhiri amanat ini, izinkan saya bagi pihak seluruh warga

Angkatan Tentera Malaysia melafazkan ikrar taat setia yang tidak

berbelah bagi kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong

selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Izinkan juga

saya bagi pihak seluruh perwira, bintara dan perajurit melafazkan

sokongan padu kepada kerajaan yang memerintah. Marilah kita

memperbaharui iltizam untuk bersatu padu demi menentukan jaminan

keselamatan yang konsisten kepada pentadbir negara dan rakyat jelata

menerusi pelaksanaan tanggungjawab dengan profesional, berdedikasi

dan ikhlas. Akhir kata, semoga Allah Subhanahu Wataala memberkati

segala usaha murni Angkatan Tentera Malaysia dan mengurniakan kita

dengan kecemerlangan, perlindungan dan kekuatan yang berterusan,

insya Allah.

“SENTIASA BERSEPADU”

................................................................................

JENERAL TAN SRI DATO’ SRI ZULKIFELI BIN MOHD ZIN PANGLIMA ANGKATAN TENTERA

17 Jun 2011