Prinsip Ar Rahnu

16
Artikel ini membincangkan prinsip Al-Rahn yang mendasari pelaksanaan skim pajak gadai Islam di Malaysia. Penulisan ini merujuk kepada sumber- sumber berautoriti daripada al-Quran dan al-Sunnah serta pendapat para ulama’ dalam menjelaskan konsep Al-Rahn. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa gabungan prinsip Al-Rahn bersama-sama prinsip-prinsip muamalat Islam yang lain seperti al-qard al-hasan, al-wadi’ah yad damanah dan al-ujrah diperlukan bagi mewujudkan satu produk pajak gadai yang berland- askan Islam. Kajian ini memfokuskan kepada skim pajak gadai Islam Ar Rahnu yang ditawarkan di Bank Rakyat memandangkan Bank Rakyat begitu komited dalam melaksanakan skim ini dan menjadikannya sebagai salah satu produk perbankan yang ditawarkan di semua cawangannya. Kajian ini menunjukkan bahawa produk pajak gadai Islam melaksanakan prinsip- prinsip muamalat yang telahpun dibahaskan oleh para ulama’ sejak dahulu dalam perbendaharaan fiqh Islam. Prinsip Al-Rahn Sebagai Asas Pelaksanaan Skim Pajak Gadai Islam Di Malaysia Kata kunci: Al-Rahnu, sejarah pajak gadai, pajak gadai Islam. 1 Muhammad Saiful Islami Mohd Taher (Corresponding author) E-mail: [email protected] Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) Universiti Teknologi MARA Kedah Peti Surat 187, 08400 Merbok, Kedah. Siti Aisyah Yusof E-mail: [email protected] Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) Universiti Teknologi MARA Kedah Peti Surat 187, 08400 Merbok, Kedah. Norridzwan Abidin E-mail: [email protected] Jabatan Pengurusan Bank Universiti Teknologi MARA Kedah Peti Surat 187, 08400 Merbok, Kedah. ABSTRAK Muhammad Saiful Islami Mohd Taher, Siti Aisyah Yusof & Norridzwan Abidin / Voice of Academia Vol.5 No.1 2010

description

Prinsip Ar Rahnu

Transcript of Prinsip Ar Rahnu

Page 1: Prinsip Ar Rahnu

Artikel ini membincangkan prinsip Al-Rahn yang mendasari pelaksanaan skim pajak gadai Islam di Malaysia. Penulisan ini merujuk kepada sumber-sumber berautoriti daripada al-Quran dan al-Sunnah serta pendapat para ulama’ dalam menjelaskan konsep Al-Rahn. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa gabungan prinsip Al-Rahn bersama-sama prinsip-prinsip muamalat Islam yang lain seperti al-qard al-hasan, al-wadi’ah yad damanah dan al-ujrah diperlukan bagi mewujudkan satu produk pajak gadai yang berland-askan Islam. Kajian ini memfokuskan kepada skim pajak gadai Islam Ar Rahnu yang ditawarkan di Bank Rakyat memandangkan Bank Rakyat begitu komited dalam melaksanakan skim ini dan menjadikannya sebagai salah satu produk perbankan yang ditawarkan di semua cawangannya. Kajian ini menunjukkan bahawa produk pajak gadai Islam melaksanakan prinsip-prinsip muamalat yang telahpun dibahaskan oleh para ulama’ sejak dahulu dalam perbendaharaan fiqh Islam.

Prinsip Al-Rahn Sebagai Asas Pelaksanaan Skim Pajak Gadai Islam Di Malaysia

Kata kunci: Al-Rahnu, sejarah pajak gadai, pajak gadai Islam.

1

Muhammad Saiful Islami Mohd Taher (Corresponding author)E-mail: [email protected]

Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU)Universiti Teknologi MARA Kedah

Peti Surat 187, 08400 Merbok, Kedah.

Siti Aisyah YusofE-mail: [email protected]

Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU)Universiti Teknologi MARA Kedah

Peti Surat 187, 08400 Merbok, Kedah.

Norridzwan AbidinE-mail: [email protected]

Jabatan Pengurusan BankUniversiti Teknologi MARA Kedah

Peti Surat 187, 08400 Merbok, Kedah.

ABSTRAK

Muhammad Saiful Islami Mohd Taher, Siti Aisyah Yusof & Norridzwan Abidin / Voice of Academia Vol.5 No.1 2010

Page 2: Prinsip Ar Rahnu

Pendahuluan

Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur dan menikmati kestabilan politik serta pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Rakyatnya yang berbilang kaum dan agama hidup secara harmoni dan aman damai. Namun begitu, di sebalik kepesatan ekonomi yang dicapai, satu realiti yang tidak dapat dinafikan ialah tidak semua masyarakat di negara ini terdiri daripada golongan berada dan hidup senang. Ada yang susah dan memerlukan bantuan, ada juga yang tidak terlalu miskin tetapi memerlukan wang tunai pada waktu tertentu bagi memenuhi keperluan masing-masing (Mahmud Saedon, 1993). Maka perkhidmatan pajak gadai menjadi pilihan yang sering dimanfaatkan oleh kebanyakan pihak terutama oleh mereka yang terdesak untuk memperolehi wang tunai dengan segera dan mudah (Ab. Mumin, 1999). Justeru artikel ini bertujuan untuk membincangkan prinsip Al-Rahn dalam muamalat Islam yang digunakan sebagai asas produk pajak gadai Islam di Malaysia.

Kepentingan Pajak Gadai

Pajak gadai merupakan antara institusi mikro kredit yang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai bagi mendapatkan perkhidmatan mudah tunai. Walaupun terdapat pandangan yang negatif terhadap mereka yang menggunakan perkhidmatan pajak gadai, namun pajak gadai tetap menjadi saluran utama bagi golongan yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan wang (Che Mohd Yusri, 1995; Mustapa, 1995; Hajjah Rugayah, 1986). Satu kempen pernah dijalankan bertujuan mengelakkan masyarakat daripada beru-rusan di kedai-kedai pajak gadai, namun rancangan tersebut tidak berjaya memandangkan golongan yang berpendapatan rendah sudah tidak mempu-nyai alternatif lain untuk mendapatkan pinjaman (Ab. Mumin, 1999; Mohd. Hamdan, 2002).

Terdapat perbezaan yang jelas antara mereka yang bergaji tetap dan mempunyai harta yang boleh disandarkan kepada bank apabila membuat pinjaman berbanding dengan mereka yang berpendapatan kecil dan tidak mempunyai sebarang sandaran sebagai jaminan kepada pihak bank. Pihak bank akan merasa ragu-ragu untuk memberi pinjaman kewangan kepada golongan yang berpendapatan rendah disebabkan jaminan pembayaran balik untuk pinjaman tersebut selalunya tiada. Bank-bank perdagangan boleh mem-berikan pinjaman peribadi kepada individu yang memerlukannya tetapi pada masa yang sama mengenakan syarat-syarat yang terlalu ketat. Pinjaman peribadi tersebut dilihat lebih menjurus kepada soal keselamatan kepada bank yang memberi pinjaman kerana bank memerlukan jaminan daripada para peminjam. Kesannya golongan yang berpendapatan rendah tidak dapat mem-buat pinjaman dengan pihak bank dan ini menyebabkan mereka beralih

2

Page 3: Prinsip Ar Rahnu

kepada perkhidmatan pajak gadai bagi menyelesaikan masalah kepicikan wang yang dihadapi (Abibullah, 2002).

Wang yang dipinjam itu digunakan untuk pelbagai tujuan sama ada untuk memenuhi keperluan peribadi, perniagaan atau membiayai kos pendidi-kan. Keperluan peribadi adalah seperti membayar cukai jalan kenderaan, kos perubatan dan keperluan asas. Bagi keluarga yang kurang berkemampuan wang pinjaman tersebut digunakan untuk membiayai persekolahan anak-anak. Peniaga-peniaga kecil pula menjadikan wang pinjaman tersebut sebagai modal untuk menguruskan perniagaan (Syarifah, 2005; Mustafa, 2005).

Pajak gadai menjadi pilihan mereka disebabkan sukar mendapat pinjaman dari institusi-institusi kewangan. Mereka menggadai barang kemas untuk tujuan mendapatkan modal pusingan perniagaan dan akan menebusnya kembali setelah mendapat keuntungan daripada perniagaan yang dijalankan (Muhammad Saiful Islami, 2006).

Sejarah Perkembangan Pajak Gadai Islam di Malaysia

Pajak gadai merupakan satu bentuk perkhidmatan pinjaman yang mudah dan cepat yang memerlukan cagaran sahaja. Sekiranya pinjaman tersebut tidak dapat dijelaskan apabila sampai tempohnya maka cagaran tersebut akan dilelong untuk menjelaskan hutang tersebut (Mohd Sharif, 2002). Amalan pajak gadai ini sebenarnya bukanlah suatu perkara baru di kalangan masyarakat dunia. Sejarah mencatatkan amalan pajak gadai telahpun wujud sejak zaman Babylon, Athens dan Rom lagi. Seseorang boleh mencagarkan apa-apa saja barang seperti barang kemas, pakaian berharga atau alat penyem-bahan dan pemujaan untuk mendapatkan wang (Syarifah, 2005). Menurut T. S Whelan (1979), sejarah pajak gadai di China dikesan bermula pada suku terakhir kurun kelima selepas Masihi semasa Dinasti Ch’i Selatan (479-502M). Pada masa itu perkhidmatan pajak gadai berada di bawah kawalan golongan sami Buddha. Di bawah pemerintahan Dinasti Ch’ing pada awal kurun ke-19 menyaksikan pertumbuhan bilangan kedai pajak gadai yang mencecah hampir 25 ribu buah di China. Ini terjadi kerana perniagaan pajak gadai memberikan keuntungan yang lebih besar berbanding mengusahakan tanah.

Amalan pajak gadai di Tanah Melayu dikatakan telah wujud sejak abad ke-15 lagi dan diperkenalkan oleh pedagang-pedagang China pada zaman Kesultanan Melayu Melaka (Burhanuddin, 1994). Kegiatan pajak gadai semakin berkembang dengan wujudnya kegiatan perlombongan bijih timah di Larut pada abad ke-19 (Bala & Skully, 1991). Pada masa kini kita dapat melihat kebanyakan kedai pajak gadai di Malaysia didominasi oleh pengusaha-pengusaha daripada kaum Cina. Mereka memonopoli kedai-kedai

3

Muhammad Saiful Islami Mohd Taher, Siti Aisyah Yusof & Norridzwan Abidin / Voice of Academia Vol.5 No.1 2010

Page 4: Prinsip Ar Rahnu

pajak gadai di merata tempat termasuk di pekan-pekan kecil di seluruh negara. Pajak gadai yang dijalankan secara konvensional ini mengenakan kadar faedah yang tinggi bagi setiap pinjaman yang diberikan. Sistem konvensional ini dilihat lebih bermotifkan keuntungan daripada membantu mereka yang terpaksa meminjam akibat desakan hidup (Mustafa, 2005).

Dalam satu kajian yang dibuat oleh Prof. Diraja Ungku Aziz, beliau mendapati kegiatan pajak gadai yang dijalankan selama ini benar-benar men-indas golongan yang berpendapatan rendah. Perkhidmatan pajak gadai ini dikatakan satu penindasan kerana kadar bunga yang dikenakan terhadap pem-injam terlalu tinggi iaitu antara 2 hingga 4% sebulan (Dinsman, 1994). Apa yang menyedihkan ialah sebahagian besar pelanggan pajak gadai di Malaysia adalah terdiri daripada orang Islam yang berpendapatan rendah. Hal ini mung-kin kerana masyarakat Islam tidak ambil kisah dengan hukum halal haram sesuatu perkara, yang penting tujuan mereka mendapatkan wang tercapai.

Walaupun aktiviti pajak gadai ini dikawal oleh undang-undang di bawah Akta Pemegang Pajakgadai 1972, namun akta ini masih gagal mem-bendung masalah penindasan dan penyelewengan yang dilakukan oleh golon-gan pengusaha pajak gadai terhadap peminjam bahkan hal ini menggalakkan lagi pengamalan riba. Akta ini membenarkan pengusaha pajak gadai men-genakan faedah ke atas setiap pinjaman yang diberikan iaitu tidak melebihi 2% sebulan. Hal ini bermakna jika tempoh pinjaman selama setahun maka kadar faedah yang dikenakan adalah sebanyak 24%. Kadar faedah sebanyak ini boleh dianggap sebagai satu eksploitasi memandangkan pelanggan pajak gadai terdiri daripada golongan miskin (Nor Mohamed, 1996). Sudah tentu sistem pajak gadai konvensional yang mengenakan faedah terhadap pinjaman ini bertentangan dengan ajaran Islam yang mengharamkan riba dan penin-dasan.

Atas kesedaran pelbagai pihak terhadap penyelewengan dan penin-dasan yang dilakukan oleh pengusaha pajak gadai konvensional, maka pelba-gai kajian telah dijalankan sehingga membawa kepada pengenalan sistem pajak gadai Islam pada awal tahun 1990-an (Mohd Sharif, 2002; Abd. Rahim, 1983). Sistem pajak gadai Islam di Malaysia dipelopori oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang melancarkan secara rasmi Muassasah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) pada 23 Januari 1992 yang berkonsepkan Al-Rahn dan al-qard al-hasan. Pada 12 Mac 1992 Permodalan Kelantan Berhad pula menubuhkan Kedai Ar Rahnu yang memperkenalkan konsep upah simpan dalam pajak gadai Islam. Seterusnya Bank Rakyat dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) turut memperkenalkan skim Ar Rahnu pada 27 Oktober 1993 (Syarifah, 2005; Mustafa, 2005).

4

Page 5: Prinsip Ar Rahnu

Skim pajak gadai Islam yang diperkenalkan ini mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan daripada masyarakat kerana skim ini meru-pakan sistem yang adil dan telus serta mengutamakan konsep kebajikan terhadap masyarakat yang memerlukan wang. Mengikut statistik, hingga akhir Mei 2010 jumlah pembiayaan pajak gadai Islam meningkat kepada RM5.4 bilion dengan jumlah pelanggan seramai 4.3 juta orang manakala jumlah kedai pajak gadai Islam pula sebanyak 121 buah kedai.

Di Bank Rakyat, skim Ar Rahnu dijadikan sebagai salah satu produk perbankan. Masyarakat umumnya mengetahui bahawa skim Ar Rahnu ini ditawarkan di setiap cawangan Bank Rakyat. Bank Rakyat berusaha mem-perkenalkan Ar Rahnu sebagai satu produk perbankan dengan tujuan mengi-kis pandangan masyarakat terhadap urusan pajak gadai yang terkenal di kalangan golongan yang berpendapatan rendah. Usaha membawa perkhidma-tan pajak gadai yang selama ini dijalankan di kedai-kedai pajak gadai ke dalam bangunan dan pengurusan bank adalah satu langkah yang sangat baik dalam usaha memantapkan sistem kewangan Islam di Malaysia (Ab. Mumin, 1999).

Melalui usaha ini bank dapat meluaskan lagi dimensi perkhidmatan perbankannya terhadap golongan miskin dan berpendapatan rendah yang kurang selesa dengan sistem pinjaman bank terutama bank konvensional, sebaliknya lebih selesa dengan sistem pinjaman mudah secara pajak gadai. Ternyata skim Ar Rahnu ini begitu popular kerana urusan pinjaman yang mudah tanpa memerlukan pelanggan mengisi pelbagai jenis borang atau menyerahkan pelbagai jenis dokumen sebagai memenuhi syarat untuk memo-hon pinjaman wang (Mohd Sharif, 2002).

Prinsip Al-Rahn Sebagai Asas Pajak Gadai Islam

Al-Rahn merupakan satu akad atau kontrak muamalat yang diharuskan oleh syarak. Menurut Kamus Dewan Edisi Baru, perkataan gadai bermaksud pinja-man wang dengan menyerahkan barang sebagai cagaran untuk tempoh yang tertentu. Jika barang tersebut tidak ditebus kembali dalam tempoh yang ditetapkan, barang itu akan menjadi milik pemberi pinjaman (Sheikh Othman, 1991). Gadaian atau Al-Rahn dalam bahasa Arab mempunyai beberapa makna. Ibn Manzur (1994), al-Razi (1972) dan Ibn Faris (1970) mentakrif-kannya sebagai “al-thubut wa al-dawam” yang bermaksud tetap dan kekal. Al-Zubaydi (t.t.) dan al-Azhari (t.t.) pula mengatakan Al-Rahn ialah “al-habs” yang bermaksud menahan atau mengikat. Pengertian tersebut dapat dilihat dalam firman Allah SWT:

5

Muhammad Saiful Islami Mohd Taher, Siti Aisyah Yusof & Norridzwan Abidin / Voice of Academia Vol.5 No.1 2010

Page 6: Prinsip Ar Rahnu

Maksudnya: “Tiap-tiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.” (Surah al-Tur ayat 21)

Menurut al-Zuhayli (1989), kedua-dua definisi tersebut mempunyai makna yang sama dan saling melengkapi antara satu sama lain. Selain itu, perkataan Al-Rahn boleh juga bermaksud jaminan dan barang gadaian itu sendiri (al-Raghib al-Asfahani, 1961). Dari sudut istilah syarak, Al-Rahn ialah menjadikan sesuatu barang atau harta sebagai cagaran terhadap hutang yang boleh dibayar dengannya ketika hutang tersebut tidak dapat dijelaskan (al-Khatib, 1958).

Hal ini bermakna barang gadaian akan menjadi cagaran dan jaminan terhadap hutang yang diberikan oleh pemegang gadai terhadap penggadai. Sekiranya penggadai gagal menjelaskan hutangnya dalam tempoh yang ditetapkan, Islam membenarkan pemegang gadai menjual barang gadaian tersebut untuk mendapatkan haknya kembali dan baki harga barang gadaian tersebut jika ada akan dikembalikan kepada penggadai. Jelas di sini tujuan daripada gadaian menurut Islam adalah untuk menjaga hak tuan punya hutang iaitu haknya tidak akan hilang sekiranya penghutang tidak dapat menjelaskan hutangnya. Hukum gadaian ialah harus sebagaimana jual beli berdasarkan nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah serta ijma’ ulama’ (al-Jaziri, 1970).

a) al-Qur’an

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).” (Surah al-Baqarah ayat 283) Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa hukum menggadai adalah harus iaitu tidak wajib berdasarkan firman Allah SWT:

6

Page 7: Prinsip Ar Rahnu

Maksudnya : “Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya.”

(Surah al-Baqarah ayat 283)

Allah SWT memerintahkan agar dipegang barang gadaian sekiranya tiada penulis untuk menuliskan hutang, sedangkan penulisan hutang itu huku-mnya tidak wajib, maka hukum bagi ganti penulisan hutang iaitu gadaian juga menjadi tidak wajib (al-Da’ilaj, 2000).

b) al-Sunnah

Terdapat banyak hadith berkenaan keharusan penggadaian antaranya seperti berikut:

Maksudnya: “Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi secara bertempoh dan baginda SAW telah menggadaikan baju besinya.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah)

Maksudnya: “Saidina Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barang gadaian (binatang) boleh ditunggang dan diambil susunya sebagai balasan kepada perbelanjaan yang dikeluarkan untuk bina-tang itu dan orang yang menunggang dan mengambil susunya hendaklah mengeluarkan perbelanjaan untuknya.” (Riwayat Bukhari, Tirmidhi, Abu Dawud dan al-Daraqutni)

c) Ijma’

Kesemua ulama’ telah bersepakat bahawa hukum gadaian ialah harus (Ibn Qudamah, 1972; Ibn Abidin, 1966; Mustafa al-Khin, 1996).

Majoriti ulama’ daripada mazhab Hanafi (Ibn Abidin, 1966), Maliki (Ibn al-Arabi, t.t.), Syafi‘i (al-Syirazi, 1976) dan Hanbali (Ibn Qudamah,

7

Muhammad Saiful Islami Mohd Taher, Siti Aisyah Yusof & Norridzwan Abidin / Voice of Academia Vol.5 No.1 2010

Page 8: Prinsip Ar Rahnu

1972) juga berpendapat bahawa hukum menggadai adalah harus meskipun ketika berada di tempat sendiri. Walaupun ayat mengenai gadaian di dalam al-Qur’an disebut dengan dua syarat iaitu dalam keadaan musafir dan ketika ketiadaan penulis, namun mereka menyatakan bahawa kedua-dua syarat terse-but hanyalah untuk menerangkan kebiasaan yang berlaku. Hal ini demikian kerana Rasulullah SAW sendiri melakukan gadaian ketika baginda berada di Madinah. Oleh hal yang demikian, majoriti ulama’ mengharuskan gadaian dalam apa jua keadaan sama ada ketika berada di tempat sendiri mahupun ketika bermusafir. Mujahid pula berpendapat gadaian hanya harus ketika bermusafir sahaja meskipun tiada penulis (Ibn al-Arabi, t.t; al-Da’ilaj, 2000) manakala al-Dahhak dan sebahagian ulama’ Zahiriyyah berpendapat gadaian hanya harus ketika bermusafir dan ketika ketiadaan penulis sahaja (Ibn Qudamah, 1972).

Pada masa kini di negara-negara Asia Tenggara terutamanya Indone-sia yang mempunyai penduduk Islam yang teramai di dunia, skim Ar Rahnu diterima sebagai satu daripada mekanisme Program Mikro Kredit yang pent-ing untuk menangani keperluan kumpulan kasar khususnya golongan berpendapatan rendah bagi memenuhi keperluan kewangan segera dan tujuan produktif. Dari segi ekonomi, skim ini menjadi platform untuk mendapatkan modal segera dalam perniagaan barang-barang runcit.

Perkembangan Skim Pajak Gadai Islam

Pelaksanaan Skim Pajak Gadai Islam Ar Rahnu di Bank Rakyat

Skim Ar Rahnu merupakan usahasama di antara Bank Rakyat, Yayasan Pem-bangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Bank Negara. Perkhidma-tan Ar Rahnu ini diperkenalkan dengan tujuan untuk membantu golongan yang memerlukan wang tunai dengan segera tanpa mengenakan sebarang faedah. Menerusi skim ini, hanya upah simpan dikenakan bagi barang kemas yang digadai yang jumlahnya lebih rendah berbanding dengan kadar faedah oleh pajak gadai konvensional.

Pada 21 Ogos 1993, Menteri Kewangan pada ketika itu telah mengu-mumkan bahawa skim Ar Rahnu akan dilaksanakan oleh Bank Rakyat dengan kerjasama YaPEIM. Oleh demikian, pada 11 Oktober 1993, satu memoran-dum persefahaman skim pajak gadai Islam Ar Rahnu telah ditandatangani di antara kedua-dua belah pihak. Menerusi kerjasama berbentuk perkongsian untung secara amanah ini, Bank Rakyat bertindak sebagai pelaksana operasi skim Ar Rahnu melalui cawangan-cawangannya di seluruh negara manakala YaPEIM pula menyediakan peruntukan kewangan dan menjadi penyelaras modal daripada pihak lain (Bank Rakyat, 1996). Sebagai permulaan, YaPEIM menyumbangkan modal sebanyak RM5 juta dalam bentuk pelaburan khas

8

Page 9: Prinsip Ar Rahnu

al-Mudarabah bagi melaksanakan skim ini bersama Bank Rakyat (Bank Rakyat, 1993). Majlis dan yayasan Islam negeri turut menyumbangkan modal masing-masing berjumlah RM10.9 juta antaranya Yayasan Islam Negeri Kedah, Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Majlis Agama Islam & Adat Istia-dat Melayu Perlis, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Melaka, Majlis Agama Islam Johor dan Tabung Baitulmal Sarawak (Majlis Islam Sarawak) (Norsham, 1994). Penglibatan Bank Rakyat dalam kegiatan pajak gadai adalah berdasarkan keputusan Bank Negara walaupun Bank Rakyat tidak berada di bawah kawalan dan pengawasan bank pusat tersebut (Dinsman, 1994). Terda-pat beberapa faktor mengapa Bank Rakyat dipilih sebagai organisasi untuk melaksanakan skim pajak gadai Islam Ar Rahnu, antaranya ialah:

i) Bank Rakyat merupakan sebuah koperasi yang dikecualikan daripada peruntukan-peruntukan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972. ii) Bank Rakyat mempunyai rangkaian cawangan yang banyak dan terdapat di setiap pusat bandar di setiap negeri.iii) Bank Rakyat komited untuk melaksanakan sistem perbankan Islam secara keseluruhan dan telah menawarkan produk-produk perbankan Islam (Bank Rakyat, 1994).

Mulai 27 Oktober 1993, skim Ar Rahnu telah diperkenalkan di enam buah cawangan Bank Rakyat dalam fasa pertama iaitu di cawangan Muar, Seremban, Butterworth, Bandar Tun Razak, Mergong dan Kuala Terengganu (Bank Rakyat, 1994). Fasa kedua dilancarkan pada 22 Januari 1994 di cawangan-cawangan Jitra, Baling, Machang, Temerloh dan Taiping. Dalam fasa ketiga pula, skim Ar Rahnu diperkenalkan di cawangan-cawangan Kulim, Klang, Sitiawan, Bagan Serai dan Melaka pada 26 Februari 1994 (Kadir, 1994).

Sejak skim pajak gadai Islam Ar Rahnu ini diperkenalkan, sambutan masyarakat terhadapnya sangat menggalakkan melebihi jangkaan pihak pengurusan Bank Rakyat sendiri. Skim Ar Rahnu bukan sahaja mendapat sambutan daripada orang Melayu, bahkan golongan bukan Islam juga turut menggunakan perkhidmatan ini. Sehingga kini, seluruh cawangan Bank Rakyat di seluruh negara telahpun menawarkan skim Ar Rahnu dalam usaha memberikan kemudahan kepada masyarakat khususnya golongan yang berpendapatan rendah (Salawati, 2008). Dalam masa terdekat, Bank Rakyat bercadang untuk mengembangkan perkhidmatan Skim Ar Rahnu di Indonesia dan Brunei di bawah jenama Ar-Rahn X‘change iaitu syarikat pajak Islam yang menjalankan operasi melalui sistem francais. Bank Rakyat yakin mampu

9

Muhammad Saiful Islami Mohd Taher, Siti Aisyah Yusof & Norridzwan Abidin / Voice of Academia Vol.5 No.1 2010

Page 10: Prinsip Ar Rahnu

membantu memberi manfaat kepada pembangunan dan peningkatan taraf hidup golongan rendah dan sederhana serta peniaga-peniaga kecil di negara serantau.

Skim Ar Rahnu yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat mempunyai beberapa objektif seperti berikut:

i) Menyediakan kemudahan kepada orang ramai bagi mendapatkan wang tunai secara segera atau cepat melalui satu sistem yang adil dan telus.ii) Menghapuskan unsur riba dalam urusan pajak gadai.iii) Menyediakan pilihan kepada umat Islam untuk berurusan dengan pajak gadai secara Islam yang murah lagi adil.iv) Membebaskan golongan peminjam khususnya umat Islam daripada penindasan pajak gadai konvensional.v) Memecahkan monopoli perniagaan pajak gadai yang dikuasai oleh satu kaum sahaja.

Dalam amalan pajak gadai Islam di Bank Rakyat, pihak bank men-syaratkan barang gadaian mestilah barangan emas yang dimiliki sendiri atau milik pasangan. Barang kemas yang digadai mestilah bermutu 18 karat ke atas. Batu-batu permata berharga yang menghiasi barang kemas tidak akan diambilkira. Skim Ar Rahnu menawarkan pinjaman wang tunai sebanyak 65% daripada nilai barang emas yang digadai (marhun). Jumlah minimum pinjaman bagi satu akaun ialah RM100.00 dan maksimum pinjaman ialah RM100,000.00. Bank akan mengenakan upah simpan terhadap barang gada-ian. Hal ini berbeza dengan pajak gadai konvensional yang mengenakan faedah atas pinjaman yang diberi. Upah simpan ini dikira berdasarkan nilai marhun dan tempoh bilangan bulan gadaian ditebus. Upah simpan skim Ar Rahnu yang dikenakan oleh Bank Rakyat ini sebenarnya jauh lebih murah berbanding kadar faedah yang dikenakan pajak gadai konvensional.

Tempoh maksimum gadaian ialah enam bulan. Jika penggadai tidak dapat menebus barang gadaiannya dalam tempoh tersebut, maka tempoh lanjutan dua bulan akan diberikan. Penggadai akan diberi tempoh lanjutan dua bulan lagi untuk kali terakhir jika masih gagal menebus barang gadaiannya. Oleh hal yang demikian, tempoh maksimum pinjaman pajak gadai Ar Rahnu setelah dicampur dengan tempoh lanjutan ialah selama sepuluh bulan. Bank Rakyat memberikan dua kali tempoh lanjutan dengan tujuan untuk membantu penggadai yang terdiri daripada golongan yang benar-benar susah dan berpendapatan rendah.

Bagi penggadai yang tidak dapat menebus barang gadaiannya dalam masa yang ditetapkan, maka pihak bank akan melelong barang kemas

10

Page 11: Prinsip Ar Rahnu

tersebut. Sekiranya selepas lelongan terdapat lebihan atau kekurangan harga jualan setelah ditolak jumlah pinjaman, upah simpan dan kos-kos lain, peng-gadai akan dimaklumkan untuk menjelaskan kekurangan atau mengambil lebihan tersebut (Muhammad Saiful Islami, 2006).

Prinsip-Prinsip Muamalat Lain Dalam Skim Ar Rahnu

Pelaksanaan skim Ar Rahnu di Bank Rakyat adalah berdasarkan empat prinsip syariah iaitu Al-Rahn, al-qard al-hasan, al-wadi‘ah yad damanah dan al-ujrah (Bank Rakyat, t.t.). Prinsip al-qard al-hasan merujuk kepada suatu kontrak hutang terhadap sesuatu yang bernilai dengan pembayaran balik pada kadar yang sama. Dalam kata lain, konsep ini bererti pinjaman kebajikan tanpa faedah yang diberikan kepada peminjam. Berdasarkan konsep ini, peminjam hanya membayar balik hutangnya pada kadar yang sama dengan jumlah pinjaman yang diberikan oleh pemberi pinjam. Justeru, kontrak pinjaman dalam Islam bebas daripada unsur riba yang menindas peminjam dan bercanggah dengan dasar tolong-menolong antara golongan yang mampu dengan yang tidak mampu (Abdul Halim, 2001). Prinsip al-wadi’ah yad damanah pula merujuk kepada simpanan barang kemas yang digadaikan dengan jaminan terhadap keselamatan barang tersebut. Barang gadaian akan disimpan oleh pihak bank dan diinsuranskan di bawah takaful. Simpanan ini akan dikenakan upah terhadap penggadai. Konsep upah simpan ini dikenali sebagai al-ujrah. Penggadai perlu membayar upah simpan mengikut kadar yang ditetapkan apabila hendak menebus barang gadaian bersama-sama dengan jumlah yang dipinjam (Syarifah, 2005).

Keistimewaan-Keistimewaan Skim Ar Rahnu Bank Rakyat

Bank Rakyat sememangnya memperkenalkan skim Ar Rahnu dengan tujuan untuk membantu masyarakat yang memerlukan wang tunai dengan segera dan mudah. Terdapat pelbagai keistimewaan skim Ar Rahnu Bank Rakyat yang menjadikannya sebagai produk popular dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah khususnya orang Melayu seperti berikut:

i) Pinjaman yang diberikan tidak dikenakan faedah.ii) Upah simpan barang kemas yang murah.iii) Bayaran balik pinjaman boleh dibuat secara ansuran.iv) Tempoh gadaian sehingga enam bulan dan boleh dilanjutkan lagi selama enam bulan.v) Barang gadaian disimpan dengan selamat dan dilindungi dengan takaful.

11

Muhammad Saiful Islami Mohd Taher, Siti Aisyah Yusof & Norridzwan Abidin / Voice of Academia Vol.5 No.1 2010

Page 12: Prinsip Ar Rahnu

vi) Layanan kakitangan Bank Rakyat yang mesra, cekap dan profesional.vii) Urusan menggadai dibuat di hadapan pelanggan di kaunter khas.viii) Notis-notis dihantar kepada penggadai dari masa ke masa sebagai peringatan.ix) Jika penggadai tidak dapat menebus barang gadaiannya, maka bank akan melelong barang tersebut. Lebihan daripada lelongan itu jika ada akan diserahkan kembali kepada penggadai.

Dengan adanya ciri-ciri keistimewaan tersebut telah menyebabkan skim Ar Rahnu Bank Rakyat mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di kalangan pelanggan pajak gadai seterusnya dapat menjadi alternatif yang lebih baik daripada pajak gadai konvensional.

Penutup

Kesimpulannya Islam sebagai agama yang syumul telah menyediakan hukum-hukum muamalat yang lengkap kepada umat manusia untuk diprak-tikkan dalam kehidupan. Kita dapat melihat dengan jelas bagaimana hukum-hukum yang berkaitan gadaian telah dibahaskan oleh para ulama’ di dalam kitab-kitab fiqh klasik. Walaupun hukum-hukum gadaian tersebut telah ditulis beberapa abad yang lalu, namun pelaksanaannya dilihat sangat relevan bahkan mencakupi keperluan yang dikehendaki oleh sistem gadaian Islam pada masa kini. Hukum-hukum tersebut juga dilihat menjaga kepentingan dan maslahah kedua-dua pihak yang terlibat di dalam transaksi gadaian iaitu peng-gadai dan pemegang gadai tanpa ada ruang untuk berlakunya kezaliman atau penindasan terhadap mana-mana pihak.

Skim Ar Rahnu yang dilaksanakan oleh Bank Rakyat ini adalah berte-patan dengan hukum syarak dan selari dengan tuntutan ajaran Islam yang menuntut umatnya saling membantu dan menolong antara satu sama lain. Di samping pelaksanaan yang telus dan upah simpan yang rendah, beberapa keistimewaan produk Ar Rahnu yang lain menjadikan skim ini semakin mendapat sambutan masyarakat. Diharapkan pada suatu masa nanti penggadai-penggadai yang masih berurusan di kedai pajak gadai konven-sional akan beralih kepada perkhidmatan Ar Rahnu memandangkan sistem ini adalah jelas lebih baik, lebih adil dan lebih telus berbanding pajak gadai konvensional. Usaha mempromosikan Skim Ar Rahnu patut dipertingkatkan lagi dengan sokongan kuat badan-badan kerajaan seperti Bank Negara Malay-sia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

12

Page 13: Prinsip Ar Rahnu

Rujukan

Al-Qur’an al-Karim.

Ab. Mumin Ab. Ghani.(1999). Sistem kewangan islam dan pelaksanaannya di Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Abd. Rahim Md Ariff.(1983). Ke arah mewujudkan pajak gadai tanpa faedah (Kertas projek yang tidak diterbitkan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya).

Abibullah Haji Samsudin.(2002). Skim Ar Rahnu: satu model mikro kredit di Malaysia (Konvensyen Pajak Gadai Islam (Ar Rahnu) Serantau, Kuala Lumpur, 27-28 Oktober 2002).

Abu Dawud, Sulayman b. al-Asy‘ath al-Sijistani al-Azdi.(t.t.). Sunan Abi Dawud. Kaherah: Dar Ihya’ al-Turath al-Nabawiyyah.

Asfahani, al-Raghib al-.(1961). Al-Mufradat fi Gharib al-Qur’an. Kaherah: Syarikah Maktabah wa Matba‘ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladih.

Azhari, Abu Mansur Ahmad b. Muhammad al-.(t.t.). Tahdhib al-Lughah. Kaherah: Dar al-Misriyyah li al-Ta’lif wa al-Tarjumah.

Bala Shanmugam and Skully, M. T. (1991). Pawnbroking in Malaysia, The Official Publication of The National Pawnbrokers Association, Fort Lauderdale.

Bank Rakyat.(t.t.). Modul pinjaman pajak gadai islam. Kuala Lumpur: Bank Rakyat.

Bank Rakyat.(1993, Okt-Dis.). Memorandum persefahaman Ar Rahn ditanda tangani dalam Majalah Rakyat. Kuala Lumpur: Bank Rakyat.

Bank Rakyat.(1994). Laporan Tahunan 1994. Kuala Lumpur: Bank Rakyat.

Bukhari, Muhammad b. Isma‘il Abu ‘Abd Allah al-.(t.t.). Sahih al-Bukhari. Kaherah: Dar al-Hadith.

Burhanuddin Abdul Jalal.(1994, Mei/Jun). Kenali sistem pajak gadai islam, Usahawan Malaysia.

Che Mohd Yusri Che Hashim.(1995, Julai). Pelopor sistem gadaian Islam, Dewan Ekonomi.

Da‘ilaj, Mubarak b. Muhammad b. Hamad al-Da‘ilaj.(2000). Al-Rahn fi a l-Fiqh al-Islami. Riyad: Maktabah al-Malik Fahd al-Wataniyyah.

13

Muhammad Saiful Islami Mohd Taher, Siti Aisyah Yusof & Norridzwan Abidin / Voice of Academia Vol.5 No.1 2010

Page 14: Prinsip Ar Rahnu

Daraqutni, ‘Ali b. ‘Umar al-.(1993). Sunan al-Daraqutni. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi.

Dinsman.(1994, Februari). Ar Rahn satu produk perbankan Islam?, Dewan Masyarakat.

Fayruzabadi, Majd al-Din Muhammad b. Ya‘qub al-.(t.t.). al-Qamus al-Muhit. Kaherah: Mu’assasah al-Halabi wa Syurakah.

Ibn ‘Abidin, Muhammad b. Amin.(1966). Hasyiyah Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar: Syarh Tanwir al-Absar. Kaherah: Syarikah Mak tabah wa Matba‘ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladih.

Ibn al-‘Arabi, Abu Bakr b. ‘Abd Allah (t.t.). Ahkam al-Qur’an. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Ibn Faris, Abu al-Husayn Ahmad.(1970). Mu‘jam Maqayis al-Lughah. Kaherah: Syarikah Maktabah wa Matba‘ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladih.

Ibn Majah, Muhammad b. Yazid Abu ‘Abd Allah al-Qazwini.(t.t.). Sunan Ibn Majah. Kaherah: al-Maktabah al-‘Ilmiyyah.

Ibn Manzur, Abu al-Fadl Jamal al-Din Muhammad b. Mukarram al-Ansari.(1994). Lisan al-‘Arab. Beirut: Dar Sadir.

Ibn Qudamah, Muwaffaq al-Din Abu Muhammad ‘Abd Allah b. Ahmad b. Muhammad.(1972). al-Mughni. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi.

Jaziri, ‘Abd al-Rahman al-.(1970). Kitab al-Fiqh ‘ala al-Madhahib al-Arba‘ah. Kaherah: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra.

Kadir Ahmad.(1994). Ar Rahn dapat sambutan menggalakkan dalam Majalah Rakyat, 1. Kuala Lumpur: Bank Rakyat.

Mahmud Saedon Awang Othman.(1993). Akta Pajakgadai (1972) dari pandangan Islam dan hubungannya dengan Al-Rahn (Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Pajakgadai Islam (Ar-Rahn) anjuran Persatuan Ulamak Malaysia dengan kerjasama MAE Escapades Sdn. Bhd. di Hotel Subang Merlin, Subang Jaya, 13 November 1993).

Mohamad Sofee Razak.(2010, 15 Mei). Pajak gadai Islam Ar-Rahnu: 4.3 juta dapat manfaat, Harian Metro.

Mohd Hamdan Hj. Adnan.(2002). Pajak gadai konvensional di Malaysia: Suatu sorotan daripada perspektif pengguna Malaysia (Konvensyen Pajak Gadai Islam (Ar Rahnu) Serantau, Kuala Lumpur, 27-28 Okto ber 2002).

14

Page 15: Prinsip Ar Rahnu

Mohd Sharif Baharudin. (2002). Skim Ar Rahnu: Ke arah pengukuhan kerjasama serantau (Konvensyen Pajak Gadai Islam (Ar Rahnu) Serantau, Kuala Lumpur, 27-28 Oktober 2002).

Muhammad Saiful Islami b. Mohd Taher. (2006). Penerimaan pelanggan terhadap skim pajak gadai islam Ar Rahnu: Kajian di kedai Ar Rahnu Bank Rakyat Alor Setar, Kedah (Disertasi Sarjana yang tidak diter bitkan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya). Muslim, Abu al-Husayn b. al-Hajjaj al-Qusyairi al- Naisaburi.(1955). Sahih Muslim. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi.

Mustafa al-Khin.(1996). al-Fiqh al-Manhaji. Damsyik: Dar al-‘Ulum al-Insaniyyah.

Mustafa Dakian.(2005). Sistem kewangan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Mustapa Mohamed.(1995). Sistem dan institusi kewangan Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Cahaya Pantai (M) Sdn. Bhd.

Nor Mohamed Yakcop.(1996). Teori, amalan dan prospek sistem kewangan Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distribu tors Sdn. Bhd.

Norsham Firdaus.(1994). Modal skim Ar-Rahn bertambah dalam Majalah Rakyat, 3. Kuala Lumpur: Bank Rakyat.

Nuzulsham Shamsuddin.(2010, 21 Jun). Ar Rahnu X’Change diperluas ke Indonesia, Kosmo!

Razi, Muhammad b. Abu Bakr b. ‘Abd al-Qadir al-. (1972). Mukhtar al-Sihah. Beirut: Dar al-Fikr.

Salawati Haris.(2008, Mei). Sistem pajak gadai Islam Ar Rahnu: Pilihan atau kewajipan?, Milenia Muslim.

Sheikh Othman bin Sheikh Salim.(1991). Kamus dewan edisi baru. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syarbini, Syams al-Din Muhammad b. Muhammad al-Khatib al-.(1958). Mughni al-Muhtaj. Kaherah: Syarikah Maktabah wa Matba‘ah Mus tafa al-Babi al-Halabi wa Awladih.

Syarifah Md. Yusof. (2005, Mac). Pajak gadai Islam: Sistem yang adil dan telus, Dewan Ekonomi.

15

Muhammad Saiful Islami Mohd Taher, Siti Aisyah Yusof & Norridzwan Abidin / Voice of Academia Vol.5 No.1 2010

Page 16: Prinsip Ar Rahnu

Syirazi, Abu Ishaq Ibrahim b. ‘Ali al-.(1976). al-Muhadhdhab. Kaherah: Syarikah Maktabah wa Matba‘ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladih.

Tirmidhi, Abu ‘Isa Muhammad b. ‘Isa b. Saurah al-.(1976). Sunan al-Tirmidhi. Kaherah: Syarikah Maktabah wa Matba‘ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladih.

Whelan, T.S. (1979). The pawnshop in China. Michigan: Centre For Chinese Studies, The University of Michigan.

Zaid Mohd. Noor.( 2010, 17 Jun). Sistem gadaian Islam beri manfaat, Kosmo!.

Zubaydi, al-Sayyid Muhammad Murtada al-.(t.t.). Taj al-‘Arus. Banghazi: Dar Libya li al-Nashr wa al-Tauzi‘.

Zuhayli, Wahbah al-.(1989). al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Damsyik: Dar al-Fikr.

.

16