Puisi Sajak Patriotik Sempena Bulan

download Puisi Sajak Patriotik Sempena Bulan

of 16

Transcript of Puisi Sajak Patriotik Sempena Bulan

Puisi Sajak Patriotik Sempena Bulan Kemerdekaan

SUMPAH ANAK MERDEKA Aku anak merdeka Bangkit dari persada luka Berdiri megah di pentas wira Inginku tebus maruah bangsa Aku anak merdeka Terjaga dari ranjang kecewa Berpaksi gagah di panggung perkasa Ingin ku bela nasib bangsa Aku anak merdeka Harapan nusa dan bangsa Akan kutentang petualang negara Yang tegar membuat angkara Aku anak merdeka Di hati semangat waja Di dada penuh satria Ini Tuah akan membela Untuk kubalut luka lama Serunai Faqir Wangsa Maju

PADA TANAH MERDEKA INI Kami kenal tanah ini selutnya pernah berbaur hanyar darah yang tumpah daripada liang derita para pejuang lumpurnya pernah tersimbah daripada batang tumbuh para pahlawan relung tanah ini pernah bergegar dek jerit pekik pejuang kemerdekaan yang mencari benih kebebasan dadanya pernah mengambus kujuran kaku anak nusa yang bangkit membina benteng bersama keris dan tombahk bersahaja menyambung nyawa demi tanah ini tidak diragut ganas. Pada tanah merdeka ini telah tumbuh rimba kemajuan dan manusia kian lupa asal diri lalu api nasionalisme yang lantang bertiup sejak berdekad lalu kini terpaksa menunggu sepi mentari Ogos untuk bernyala kembali yang membelah relung tanah ini dahulu kini kian lenyap ditawan arus duniawi erti kemerdekaan kian kabur dalam mata fikir anak-anak kini. Namun kami tetap bersyukur kerana dengan korban suci Nukilan: Wan Muhamad Shukri Wan Abd Rahman

UNTUK BANGSA MERDEKA Untuk sebuah bangsa merdeka jauhlah daripada rendah diri dan hipokrasi mimpi malam kolonialisme yang ngeri keluh-kesah hak asasi menghilang identiti diri. Untuk sebuah bangsa merdeka luas dalam horizon perjuangan tiada lupa akar bangsa serta sejarah yang mengalurkan nama megahnya tiada lupa tentang jerit bahasa. Untuk sebuah bangsa merdeka teruslah bergelut dengan dilema yang mengganggu citra unggul semakin kuat ditekan makin kemas berpegang kepada ikatan bukan nama simbol keris merdeka tapi semangatnya menjadi tajam hingga akhirnya. Seperti sebuah jarak padang terbuka tetap berani dengan kewujudan dirinya seorang yang memahami tangis bangsa monolog pada dirinya sendiri bersyukur kepada hari-hari lalunya. MOHD FADZIL YUSOF

CINTA WAJA WARGA MERDEKA Dengan zikir kasih kami bukakan singgahsana menjulang jalur gemilang bersama sejarah Yang tertarik ceritera luka bersama air mata dari simbahan maruah moyang berzaman inilah bisikan cinta kami istana kasih yang kukuh merangkul mesra di persada visi menganyam janji pada diri. Meski telah kami punahkan sejarah berdarah dalam zikir kasih menyusur perjuangan namun segala yang pernah musnah membangkitkan urat nadi pembela pertiwi menjujnjung martabat bangsa bermaruah kerana, kamilah warisan turun temurun memadu sumpah buat dititipkan pada seluruh cakerawala setia - akan kami laungkan keamanan - akan kami nyanyikan semangat merdeka. Di maya ini, kami tafsir segala peradaban menyirami kuntum perkasihan di laman telah kami baja keakraban pengalaman musteru ngeri luka silam masih mengimbau menggamit sejuta pesona waspada akan kami tangkis durjana menepis mengikis tapak sengsara di mata di sini, kamilah anak merdeka melangkah maju tidak gementar membentuk wawasan tidak gegar. Demi cinta bersemi ketamadunan hakiki melaut kasih pada keharmonian kamilah pejuang pembangunan abadi akan kami cincang cabaran merentang akan kami tentang jejak melentang kamilah pewaris menunjang pedang kerukunan dengan benteng sejuta pagar keamanan akan kami wangikan seluruh maya menabur bunga bijaksana bangsa atas gemala cita menyatu sejahtera tidak akan rebah dimamah sejarah tidak akan goyah dipatah dugaan kami abadikan seluruh degup jantung membina cinta waja dalam sumpah - kami anak merdeka ada misi membentuk kemenangan ada visi membentuk kemahuan.

AKSARA MERDEKA Setelah sekian lama kita menyusun dan mewarnakan aksara merdeka,kenapa masih ada lagi warga tanah bersejarah ini yang kenal huruf tetapi terlupa maknanya yang kenal angka tetapi terlupa nilainya yang kenal bunyi tetapi terlupa nadanya yang kenal rentak tetapi terlupa geraknya yang kenal lagu tetapi terlupa iramanya yang kenal akhir tetapi terlupa awalnya. Setelah sekian lama kita membaca dan menghafal aksara merdeka,kenapa masih ada lagi warga tanah tercinta ini yang cerah mata tetapi gelap hati yang cerdik minda tetapi dungu peribadi yang cantik bahasa tetapi buruk sikap yang lembut budi tetapi keras lagak yang merdu suara tetapi sumbang bicara. Setelah sekian lama kita mencatat dan merakam aksara merdeka,kenapa masih ada lagi warga tanah pusaka ini yang impikan kemajuan tetapi menolak teknologi yang impikan kemakmuran tetapi membelakangkan ekonomi yang impikan kesejahteraan tetapi mencetuskan pergolakan yang impikan kegemilangan tetapi meremehkan wawasan. Setelah sekian lama kita menganalisis dan mentafsir aksara merdeka,kenapa masih ada lagi warga tanah bertuah ini yang terlepas kaki tetapi terikat tangan yang terlepas mata tetapi terikat jiwa yang terlepas fakir tetapi terikat cita-cita. Setelah sekian lama kita menjulang dan memarbatkan aksara merdeka,kenapa masih ada lagi warga tanah bertuah ini yang kasihkan bangsa tetapi bencikan pemimpin yang cintakan agama tetapi menyelewengkan fatwa. Setelah sekian lama menghargai dan menghormati aksara merdeka,kenapa masih ada lagi warga tanah berdaulat ini yang menanam bunga tetapi menabur duri. Karya: Wadi Leta S.A

NEGERI INI, ANAK Negeri ini, anak adalah tanah hijau penuh mahsul terlalu pemurah dan saksama pada tiap warga yang berjasa yang rela memberikan keringat serta setia untuk bumi tercintanya. Usah kau persoalkan tentang derita milik siapa di negeri kaya dan kesuraman sekejap siapa pula menjadi dalang kalau tiba-tiba terdengar laungan dari bukit penuh gelap itu hanyalah lolongan sang pertapa yang lemas ditikam bayang! Negeri ini, adalah tanah luas sesayup pandangan yang telah melahirkan ribuan pahlawan. Rela memilih terbuang dari berputih mata, kerana baginya, mati itu cuma sekali dan tidak harus sia-sia. Mereka tidak rela ini negeri tercinta jadi kuda tunggangan atau dipekosa warga tidak bernama. Meski darah dan tulang jadi gantian. Kerana baginya: negeri adalah tanah adalah air, adalah api, adalah angin. Adalah maruah, adalah permai, adalah berani, adalah susila. Adalah segala-galanya. Dan hari ini, kata keramat itu dilaungkan. Tanpa mengira kulit atau warna, tampuk atau asal, percaya atau agama: MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! Di negeri ini anak, mari kita hidup tanpa curiga atau rasa berbeza. Siapa di sini adalah warganya, kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah. Darahnya tetap merah. Usah dilebarkan jurang atau mencipta kelam. Mari kita dirikan harapan dan teguhkan kesetiaan. Marsli N.O 17 Jun Julai 1988 Dari antologi: Di Atas Mimbar Merdeka, terbitan DBP 1989

TANAH PEJUANG Jika diundurkan tika Kau akan lihat masa dulu kala Terlihat betapa pentingnya perjuangan Terlihat betapa besar dan agung Jasa dan keringat mereka taburkan Wang, tenaga, masa dan fikiran Hanya didambarkan untuk perjuangan Satu perjuangan yng lahir dari jiwa Satu perjuangan yang terbit dari naluri Jiwa mereka perkasa Jiwa mereka murni suci Setiap langkah hanya untuk anak bangsa Untuk lihat lahirnya negara bangsa Perjuangan mesti diteruskan Hanya itu jalan penyelesaian Langkah kaki mesti dipercepat Kerana itu cara perjuangan Kelompok pimpinan diperkuat Hati masyarakat semua ditambat Perjuangan ini murni Perjuangan ini suci Hanya ingin satu kebebasan Kita lihat tika ini Bangsa kita bangsa merdeka Separuh abad terpasak di dada dunia Gah, juara digeruni seantero Malaysia Namamu melakar sejarah Lagakmu mencabar Kelibatmu ghairah Sang negara dunia hati hati denganmu Resepi bercampur kaum Serat isi inti dalamnya Penuh dengan pelbagai rasa Perpaduan utuh punca segala Globalisasi dunia pemangkin utama Namamu gah merentasi sempadan dunia Ekonomi, teknologi kepakaran terbukti Semat di jiwa simpan di hati Merdeka ini anugerah Illahi.. OSMAN ZAINI 080808 09PM E005 IPS,MIRI

Dihidang semua untuk bangsa dicintai Merdeka separuh abad Bukti keagungan bangsamu Bukti kekuatan perpaduanmu Anak bangsa untung menikmati Dijaga rapi kemas merdeka ini Untuk santapan cucu cicit Untuk ingatan cerita nenek moyang Merdeka sudah dianugerahi

MENCARI WIRA Berkurun kita berburu mencari makna kata Berkurun kita keliru mengenal makna wira: Jebat dan Tuah, siapa patut dipuja? Lemas kita dilanda curiga antara setia dengan pembela. Selamanya wira dinilai oleh masa selaman wira dicanai kuasa selamanya wira dinobat oleh harta. Akhirnya wira entah dimana didepan kita pengkhianat bangsa. Bangunlah dari lena khayali kita kembalikan kata pada lidah kita pulangakan pandang pada akal ita keringkan rajuk pada tindak. Akal tak pernah mengalah kalau diajak bertelagah tapi selamanya kita mematikan akal kerana akal membijaksanakan manusia dan si bijak tidak perlu hidup seperti wajarnya budak ditikam atas kebijaksanaan yang mengancam. (ah ! sejarah todak kerap sangat berulang) Marilah kita didihkan akal mentafsir kata dengan sempurna - ada waktunya berontak itu keji - ada waktunya berontak itu suci - ada waktunya berontak itu cemar - ada waktunya berontak itu samara berubah musim beralih sikap bertukar pimpin bersalin harap tapi pejuang tidak pernah terpuja tika darahnya mengucur seksa matanya dicungkil buta tanganya diikat waja kakinya dirantai sula

dan kita mengulang keanehan berebut menabur bunga dan pandan didada mereka setelah kematian Sesal hanya datang sekali tapi seksanya sepanjang hayat lukanya berparut berabad-abad Nukilan: Mohamad Saleeh Rahamad NEGARAKU TERBILANG Tatkala aku menggagahi diri membelah kotaraya, Aku mendongak melihat tiang-tiang seri mencecah awan, Rasa bangga bangsa menyala-nyala di dada, jauh sudah rupanya negaraku mengembara. Fikiran menggugah zaman remajaku, Zaman tiada gerbang, tiada simbol pencakar langit, Yang ada hanya siulan burung di bendang, Tapi disana kaya kemanusiaan, Kaya keampunan dan kasih sayang, Kaya tangan menghulur bantuan, Di tengah ribuan wira tak didendang. Di luar sempadan ada cabaran, Dunia semakin deras bergelora, Tidak terperangkap kite dengan kata-kata, Yang cepat mendapat habuan luar biasa, Yang lambat mendapat sisa-sisa, Kita memilih sederhana daripada yang mutlak, Pelbagai daripada yang menyendiri, Percaya daripada mencurigai, Bersama daripada menguasai, Ke hadapan dengan acuan kita sendiri, Yang diwarisi tidak berkurang, Yang dijaga tidak susut. Di sini di bumi ini, Kita sulam pencakar langit dengan jernih susu kemanusiaan, Anyamkan cita-cita Alfred Nobel dengan puisi Jalaludin Rumi Bajai kembang kemboja keamanan pada kubur rakusnya perang, Tiupkan serunai budaya cinta merentas sempadan, Sambil memacak panji-panji di puncak khairuummah Cemerlang, gemilang dan terbilang. Oleh:- DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI (Sajak ini dideklamasikan pada Pesta Puisi Patriotik Ke-5, 29 Ogos 2004 Sunken Garden, Putrajaya.)

TANAH JANTUNG Ini negeri kita Negeri kasih Kasih kita pada yang tak berbelah Kasih kita dalam rangkul genggaman sejarah Kita genggam sejarah Sejarah moyang di usap bahagia dan gundah Gundah beradap akhirnya terlerai Telah kita redahi pahit getir di lembah dan ngarai Pengalaman menjadikan kita lebih dewasa Jatuh dan bangun anak ank bangsa Kenal makna fahami erti slogan warga Kita menjadi wrga berani, percaya diri, dan perkasa Ini ibu pertiwi kita negeri tercinta Cinta kita yang setia terukir Berdenyut di nadi bersama merah darah mengalir Alirnya memercikkan cita Cita kita memercukan jaya Jaya ini kelak menjulangkan maruah Maruah tinggi di tanah merdeka yang indah Selamatlah kau tanah jantungku yang indah Dari utara ke selatan, timur dna ke barat jua Petamu keplaj sudah Udaramu camilha akhirnya Melindung memayungi Bumi kekasih ini Ini negeri kita Diukir ikrar dan kata Dikibar jalur gemilang merata Senandung dan nyanyi bernafas setia Kesetiaan kita hanyalah kesetiaan untuk tanah jantung Dari perut laut hingga ke puncak gunung Awan-gemawan tanah air gemilang Kerenjis mawar keashi ke sekian kalinya untuk kau negeri yang kukasihi. Dideklamasikan oleh arwah Datin Seri Endon Mahmood NEGERI BERTUAH INI

Negeri bertuah ini Tanah air tercinta Di sini kita dilahirkan Di sini kita dibesarkan Di sini taat setia dicurahkan. Negeri bertuah ini Warisan nenek moyang Kaya dengan budaya Kaya dengan adat dan suku Air setitik menjadi tasik Tanah sekepal menjadi gunung Rakyat dididik hidup muafakat Bijak dijadikan panglima Alim dijadikan imam. Negeri bertuah ini Pernah terjajah dan dijajah Demi maruah bangsa dan tanah air tercinta Rakyat bangun menentang Darah tumpah merata. Negeri bertuah ini Sudah merdeka Yang gagah tidak lagi mengunus senjata Yang berani tidak lagi bermaharajalela Rakyat bangun berjuang Melawan kemiskinan Membasmi kejahilan. Negeri bertuah ini Rakyat belajar berdikari Hutan diteroka menjadi ladang Desa dibangunkan Bandar dimodenkan Rakyat bersama mengecap pembangunan Negeri bertuah ini Tanah air tercinta Pesan nenek moyang Di mana bumi dipijak Di situ jejak bertapak Di mana tempat bernaung Di situ taat dijunjung Di mana darah tumpah Di situ kasih dicurah. Negeri bertuah ini Negeri kita Mari kita bangunkan

Mari kita makmurkan Mari kita pertahankan. A. Latip Talib Negeri Sembilan. BAPA KEBEBASAN (Al-Fatihah Untuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra) Dialah yang memugar rimba sejarah dan meletakkan batu tanda bertatah indah dialah yang membina sempadan gagah antara musim terjajah dan gerbang waktu melepas gundah. Dialah yang bergelar bapa mewariskan sebidang tanah menganjur, dengan bukit-bukau hijau mengimbau disuburi jernih air sungai masyhur bumi subur warisan leluhur. Dalam lembut bicara semanis kata-kata, dia menolak cengkam tajam dari kuku-kuku hitam yang kejam mengikis karat musibat dengan minda yang padat berkat lalu dia kembali melepaskan merpati melayah di mega pelangi. Dia yang meletakkan makna merdeka dalam kamus peradaban bangsa lalu kita meluaskan aksara mencanai istilah bertuah sehingga anak-anak warisanmu berdiri di persada mercu restu menjamah madu syahdu dari embun di rumput baldu 31 Ogos tanggal keramat dia meletak tapak kebebasan di bumi warisan tahun demi tahun kita kenang dalam insaf betapa hidup terjajah berbaur seribu masalah. Dialah bapa ! yang telah mewariskan pada kita sebuah kemerdekaan yang perlu dipertahankan. Ghazali Lateh Banting, 11 Jun 2000

WATIKAH DI DAERAH MERDEKA Telah berpesan Laksamana Hang Tuah kepada kita Takkan Melayu Hilang di Dunia Ayuh! Mari kita susur pantai maknanya di negeri tempat darah pahlawan Melayu mengalir berselirat ke akar umbi buminya mencengkam lumat hasad dan dendam takkan sekalipun meracuni himpunan setia meski dimesrai penjajah bersilih ganti. Melayu yang dikurnia akalbudi tiadalah gentar mendaulatkan jatidiri meski dibelenggu derita dan mimpi ngeri ayuh! Kita rentang semangat, tenaga dan minda menghindar sengketa, menggarap cita di daerah merdeka. Menjelang malam 31 Ogos aromanya bak kasturi menyusup ke tiap pelusuk empat belas negeri dengan sejuta harapan dan doa mengharum setiap nadi anak bumi gemilangnya daerah merdeka milik abadi! Di daerah merdeka yang permai ini kita berdiri teguh bercakap tentang maruah bangsa kedaulatan pertiwi dan gagasan mengangkat makna merdeka di bawah rahmat Yang Maha Esa siap siaga bukan sekadar sedar di mata halangan dan cabaran menuntut ketelusan menghayati tindakan dan kewajipan menyelinap ke tiap kerangka visi dan misi kemajuan dunia melangkah seiringan tegas mendepani perubahan! Dengan keyakinan dan iltizam bangsa jihad ke daerah merdeka menekuni perkongsian perjuangan dan kehidupan jangan sampai tergadai diselar petualangan yang sering datang bertandang mesra sedang hati diulit dengki khianat suka melihat kita tersungkur, memaut ehsan. Demikian terkenang pesan pahlawan terbilang gah! Suara anak Malaysia bergema di medan pembangunan lantang meningkat ekonomi dan martabat dunia menyaksi tamadun bergerak pantas lenyaplah kesedihan bangsa kita!

Kini mendepani generasi bijak bestari pendengar dan ajarkan perjuangan silam jangan sampai terbiar hingga alpa harga diri bukan pada kemajuan semata kebebasan, keadilan dan teknologi canggih tetapi jua menuntut pertanggungjawapan di jiwa! Karya: Jariah Haji Taha INI TANAH AIR, TEMPAT BERMULA DAN BERAKHIR Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir, Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir! Kita telusuri batas sejarah ke musim suram terjajah, Menguak hitam belenggu dalam murup durja yang gundah, Saat melangkah runduk di bawah serakah telunjuk, Suara pun hilang terpanar di tengah sorak petualang. Di denai waktu membiak tunas insaf seluruh warga, Musibah lalu jangan lagi meragut sejahtera wangsa, Bumi ini tanah air pesaka warisan pejuang, Dari darah, dari keringat dan semangat menjulang. Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir, Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir! Malaysiaku, bumi mewangi seribu restu, Melimpah sejuta anugerah dari rahmat teguh bersatu, Menjulang wawasan gemilang ke puncak persada mercu biru, Membias bayu kecundang jelmaan cemburu sejuta seteru. Anak-anak bumiku tercinta, Hulurkan tangan memalu genta kelangsungan merdeka, Rapatkan barisan keramat berbekal azimat muafakat, Segera cantaskan pucuk angkuh rusuh dengan minda yang ampuh. Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir, Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir! Alaf ini tempoh memacu asmara cinta berahi bumi pertiwi, Membilas noda hitam dari kemelut sengketa selisih semalam, Muhibah rimbun, mesra anggun, menghijau santun, Ini negeri terbaik, bumi tercantik, rakyat terdidik, Mengorak langkah, berkongsi arah menancap monumen terindah. Sahutlah gemersik suara nafiri seruan perjuangan, Cokmar kebebasan biar lestari kukuh dalam genggaman, Tanah ini milik hakiki zaman berzaman, Jangan sampai berulang lagi diulet kehinaan.

Ini tanah kita, padang permainan seluruh anak bangsa, Ini darah kita, nafas kita, roh dan jiwa generasi merdeka, Nusa ini maruah kita, citra kita, martabat daulat perkasa, Wilayah ini wadah wacana hitam putih pemangkin wibawa. Ini tanah air, tempat bermula dan berakhir, Biar luluh jiwa raga, darah setiaku tetap mengalir, Di sini setia terukir, cinta pertama dan terakhir, Biar nyawa luluh tercicir, janji ini tiada mungkir. Ghazali Lateh Banting, September 2000 # Sajak ini pernah memenangi sayembara Puisi Puteri Pos, dan dimuatkan dalam antologi Jamung Merdeka kelolaan Gapena. Di Halaman Kembang Sepatu Ini, Selamanya Sejahteralah Warga Ketika desar-desir suara angin menyentak rumput di halaman, Udara hitam dari sukma duka wangsa menyentuh gusar malam Bahtera kebanggaan yang selama ini teguh dan agam Tiba-tiba tercarik layar, tersasar haluan. Ketika angin serong menyusur ke lembah gersang Badai malam dari kalbu musykil murba menggigit sumsum alam Bangsa yang sekian lama megah dan padu Tiba-tiba menerka udara mahing kemarau silatur Menyeret ke musim silam yang kontang. Kau bangsaku, jangan lupa pada harumnya tubuh Sepumtum Kaku menjulur di tali gantung, demi mempertahankan sekangkang Pasir Salak. Kau saudara seagamaku, jangan lupa pada wanginya jenazah Tok Janggut, Terjerut songsang di pinggir jalan demi mendaulatkan seketing tanah Pasir Putih generasiku, jangan lupa akan manisnya darah leftenan Adnan yang terpercik di makam Tanjung Puteri demi menegakkan martabat nusa. Jangan sesaat pun kau lupa akan nyaringnya pekikan para katwal yang redha berputih tulang membentengi Rumah Pasung Bukit Kepong demi memelihara maruah pertiwi. Generasiku yang merdeka, Kita tidak pantas meneruskan nafas perjuangan ini Andai kita menjadi api yang marak diam merentungkan sekam Kita tidak pantas mengembangkan kuntum kemerdekaan ini Jika gunting dendam terus meracik licik dalam lipatan Kita tidak pantas merenjiskan madu kedamaian ini

Kalau duri iri masih merodok setiap serat daging kita, Saudara sebangsa ku. Di sinilah halaman mesra kita, Halaman pusaka pusaka pejuang terbilang Halaman merdeka merdeka tanpa decitan darah, Halaman membangun membangun dengan keringat kendiri, Mengorak maju bersama perbawa pemimpin, Menyantap damai berkat perpaduan warga, Moga kekal selamanya. Dihalaman kembang sepatu ini, Pertahankanlah daulah addin nan quddus Di halaman udara segar bugar ini, Perteguhkan maruah bangsa nan mulus Dihalaman redup rimbun pohon kemerdekaan ini, Abadikanlah kemakmuran sejati Di halaman multi bangsa nan demokrasi ini, Selamanya sejahteralah warga, Sepanjang alaf menjulang bangsa Karya: Sazalee Haji Yacob Anda boleh membaca lebih banyak puisi patriotik di sini

Entri ini dikirim pada hari Rabu, 12 Ogos 2009, 2:56 pm dan diletakkan dalam kategori Puisi Patriotik. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi entri ini melalui suapan RSS 2.0. Anda boleh meninggalkan respons atau menjejak balik daripada tapak web anda.