Punca Berlakunya Pencemaran Alam Sekitar.docx

8
Punca Berlakunya Pencemaran Alam Sekitar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan yang bertujuan mencegah, menghapus, mengawal pencemaran serta memperbaiki kualiti alam sekeliling dan dari aspek yang sering dikaitkan dengan alam sekitar iaitu pencemaran yang membawa kepada maksud apa-apa perubahan secara langsung dan tidak langsung terhadap sifat-sifat fizikal, haba dan kimia termasuk kesan biologikal terhadap alam sekeliling yang meliputi pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut dan untuk masalah ini, pelbagai punca telah dapat dikenal pasti yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Transcript of Punca Berlakunya Pencemaran Alam Sekitar.docx

Punca Berlakunya Pencemaran Alam Sekitar

Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan yang bertujuan mencegah, menghapus, mengawal pencemaran serta memperbaiki kualiti alam sekeliling dan dari aspek yang sering dikaitkan dengan alam sekitar iaitu pencemaran yang membawa kepada maksud apa-apa perubahan secara langsung dan tidak langsung terhadap sifat-sifat fizikal, haba dan kimia termasuk kesan biologikal terhadap alam sekeliling yang meliputi pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut dan untuk masalah ini, pelbagai punca telah dapat dikenal pasti yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Antara punca yang telah dapat dikenal pasti yang membawa kepada masalah pencemaran alam sekitar ini ialah masalah sikap individu dan organisasi yang tidak bertanggungjawab. Hal ini jelas kerana tiada kesedaran sivik dalam diri mereka untuk menjaga alam sekitar kerana bagi sesetengah individu, mereka akan sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata tanpa menghiraukan keadaan persekitaran dan mungkin mereka merasakan itu adalah perkara remeh apabila mencampakkan secebis tisu atau sisa makanan di tepi jalan. Walhal, jika direnungkan andai ada seratus orang pengguna yang bersikap sedemikian sudah semestinya jalan raya akan menjadi kotor dan dipenuhi dengan sampah-sarap. Manakala untuk organisasi seperti kilang yang menjalankan operasi pengeluaran yang melibatkan sisa toksik dalam penghasilan keluaran mereka, pada kebiasaannya kilang itu akan mengambil langkah mudah apabila membuang sisa toksik tersebut terus ke dalam laut dan sungai jika kilang itu didirikan berdekatan dengan kawasan tersebut. Ini akan mengakibatkan pencemaran air dan kilang yang melepaskan asap tanpa pemasangan alat penapis udara akan menyebabkan terjadinya pencemaran udara. Hal ini berikutan sikap individu dan pemilik kilang yang tidak bertanggungjawab dan peka pada persekitaran sekeliling hasil dari pencemaran alam sekitar yang mereka cipta sendiri.

Selain itu, antara punca lain ialah pembangunan secara tidak sistematik. Apabila pihak kerajaan atau pihak swasta merancang untuk membangunkan sesuatu kawasan, mereka seharusnya memikirkan secara terperinci kesan-kesan negatif yang akan timbul terutama yang melibatkan alam sekitar dan bukan tertumpu kepada kebaikan dan keuntungan pembangunan semata-mata kerana akibat dari pembangunan yang akan dijalankan boleh menyebabkan berlakunya pencemaran air, udara, tanah dan bunyi yang akan dihasilkan. Mungkin disebabkan penggunaan jentera yang terlalu banyak akan menghasilkan pencemaran bunyi dan pencemaran udara jika jentera-jentera berteknologi tinggi tersebut mengeluarkan asap yang berlebihan. Akibat daripada projek-projek pembangunan itu, ia juga boleh terjadinya pencemaran air terutama pada waktu hujan jika tanah lapang yang telah dibersihkan untuk projek pembangunan itu iaitu tanah merah mengalir terus ke dalam sungai atau laut yang berdekatan . Hal ini boleh menjejaskan tahap kebersihan kualiti air dan boleh mengancam kehidupan ekosistem dalam air yang seterusnya membawa kepada pencemaran alam sekitar.

Di samping itu, penggunaan kenderaan bermotor seperti kereta, motosikal, lori dan kapal terbang juga merupakan salah satu dari penyumbang kepada berlakunya pencemaran alam sekitar seperti pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Hal ini kerana setiap kenderaan akan melepaskan asap kenderaan yang mengandungi gas yang berbahaya. Hal ini jika peningkatan taraf hidup masyarakat terus meningkat pada zaman sekarang maka tahap pencemaran juga akan turut meningkat berikutan semakin bertambah jumlah penggunaan bilangan pengguna jalan raya yang selesa menggunakan kenderaan mereka sendiri untuk bergerak ke destinasi yang ingin dituju berbanding beramai-ramai menggunakan kenderaan awam yang semestinya dapat mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya. Hal ini akan menyebabkan pencemaran udara dan seterusnya menjejaskan sistem pernafasan dan daya penglihatan manusia serta pencemaran bunyi yang terhasil oleh kapal terbang yang berlepas atau mendarat terutama dikawasan perumahan yang berhampiran dengan lapangan terbang boleh menjejaskan daya pendengaran manusia. Hal ini jelas menerangkan bahawa penggunaan kenderaan bermotor juga menjadi salah satu punca berlakunya pencemaran alam sekitar.

Antara punca lain penyebab berlakunya pencemaran alam sekitar ialah pembakaran secara terbuka. Hal ini jelas dapat dilihat berikutan pembakaran pokok-pokok tua di kawasan ladang dan hutan untuk tujuan penanaman semula. Jika dilihat dari satu sudut, penanaman semula sememangnya sangat baik tetapi akibat daripada pembakaran secara terbuka yang dilakukan oleh sesetengah pihak sebenarnya boleh menyebabkan berlakunya pencemaran udara. Di samping turut memusnahkan kehidupan flora dan fauna disekitarnya. Disebabkan pembakaran secara terbuka ini jugalah suhu bumi menjadi semakin meningkat dan keadaan cuaca di bumi semakin panas. Inilah sebenarnya akibat daripada pembakaran secara terbuka yang dijalankan yang akhirnya membawa kepada pencemaran alam sekitar serta sekali gus turut menjejaskan kehidupan dan kesihatan manusia.

Tambahan pula, kurangnya peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan juga menjadi salah satu punca terus berlakunya pencemaran alam sekitar pada masa ini. Pihak kerajaan seharusnya membuka mata dan lebih peka terhadap pembangunan yang dijalankan oleh semua pihak dengan mengambil kira masalah pencemaran yang bakal terjadi dari setiap projek pembangunan tersebut dan bukan hanya melihat kepada peningkatan taraf hidup masyarakat sahaja. Perkara ini sangat penting untuk membantu mengurangkan pencemaran udara, air, tanah dan bunyi, hasil daripada pembangunan pesat yang giat dijalankan dan tingkah laku sesetengah organisasi dan masyarakat yang kurang kesedaran sivik. Oleh disebabkan kerajaan kurang memainkan peranan dalam menilai aspek-aspek inilah yang menyebabkan masalah pencemaran berada ditahap yang semakin membimbangkan pada masa kini.

Kesimpulannya, punca-punca pencemaran yang telah dikenal pasti ini harus diambil langkah serius oleh semua pihak dan organisasi untuk mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar baik daripada pencemaran air, udara, tanah dan bunyi. Ia penting demi memastikan kehidupan dibumi ini terjamin dan terhindar dari masalah pencemaran yang semestinya membahayakan dan mengancam kesihatan serta kehidupan flora dan fauna untuk generasi akan datang yang lebih baik dan sihat serta bebas dari pencemaran alam sekitar.