R13July26 - Ramadan Mempertingkatkan Amal.doc

download R13July26 - Ramadan Mempertingkatkan Amal.doc

of 11

Transcript of R13July26 - Ramadan Mempertingkatkan Amal.doc

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

26 Julai 2013 / 17 Ramadan 1434Ramadan Mempertingkatkan Amal

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Kita kini sudah berada di minggu ketiga Ramadan. Marilah kita terus bermohon semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita kekuatan untuk melakukan segala apa yang diperintahkan-Nya dan menjauhi segala apa yang dilarang-Nya. Mohonlah kepada-Nya mudah-mudahan kita akan keluar daripada Ramadan sebagai seorang yang lebih bertakwa. Amin Ya Rabbal Alamin.Sidang Jumaat Rahimakumullah,Kita juga bersyukur kerana masih lagi diberi peluang Tuhan Yang Esa untuk mengharungi hari-hari dalam bulan Ramadan, sehingga ke hari ini. Setiap hari pada bulan Ramadan sebenarnya merupakan peluang untuk kita meraih pahala yang tiada batasnya. Setiap detiknya pula adalah kesempatan yang berharga kepada mereka yang mengerti nilai keindahan Ramadan.

Berpuasa mungkin menyebabkan sebahagian daripada kita lemah, lapar dan dahaga di siang hari. Namun saudara, perasaan lapar dan dahaga ini jugalah yang menyegarkan mata hati dan keimanan kita untuk bersemangat memperbanyakkan amalan dan usaha baik demi Allah s.w.t. Sejarah membuktikan bahawa ibadah puasa tidak pernah menjadi sebab penghalang kecemerlangan bagi insan-insan istimewa yang dididik oleh Rasulullah s.a.w. iaitu para Sahabat.

Bahkan sepanjang sejarah Islam, terdapat lebih dari sepuluh peristiwa yang penting serta getir yang telah berlangsung pada bulan Ramadan yang suci ini, antaranya peperangan Badar dan pembukaan kota Mekah.

Ini merupakan satu inspirasi dan motivasi buat umat Islam sepanjang zaman. Ia menunjukkan bahawa Ramadan merupakan bulan yang telah memperkasakan kesungguhan para Sahabat untuk mengejar dan mencapai keredhaan Allah s.w.t. sesuai firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 133:

Yang bermaksud: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."Saudara sekalian,

Kunci untuk membangkitkan keimanan kita Ramadan ini adalah dengan menyedarkan diri kita bahawa setiap kepayahan fizikal dan pengorbanan waktu yang kita habiskan untuk beribadah adalah semata-mata untuk Allah s.w.t. Oleh itu, ketika kita merasakan terlalu dahaga atau lapar, berdoalah Ya Allah ketika ini aku sedang dahaga dan lapar maka saksikanlah bahawa dahaga dan laparku ini untuk-Mu. Ketika kita menahan anggota badan kita daripada melakukan sesuatu yang dimurkai Allah s.w.t. maka pohonlah Ya Allah aku menahan diriku daripada melanggar batasan-Mu maka redhailah. Ini adalah agar diri kita lebih bersemangat mengorbankan masa, tenaga dan harta untuk Allah s.w.t.

Dengan demikian kita berharap kita dapat menjejaki semangat para Sahabat untuk semakin rancak melakukan kebaikan dan kebajikan di bulan Ramadan ini.Dan untuk mendapatkan peluang mempertingkat kebaikan ini, kita tidak perlu pergi jauh-jauh sidang Jumaat sekalian. Lihat di sekeliling kita, adakah di antara ahli keluarga kita masih lagi ada mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan? Adakah di antara jiran kita yang masih lagi tiada makanan yang mencukupi buat seisi keluarga sepanjang Ramadan? Rasulullah s.a.w. pernah berpesan melalui sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari :

"Bukanlah dari kalangan orang yang beriman, apabila ia dalam keadaan kenyang, sedangkan jirannya dalam kelaparan." [Al-Adab Al-Mufrid].Inilah masanya untuk kita suburkan keihsanan kita. Lagi-lagi dalam bulan di mana pahala amalan soleh digandakan, ia seharusnya menjadi pemangkin semangat kita untuk terus menambahkan usaha.

Dalam kehidupan kita masakini yang penuh dengan cabaran dan kesibukan, sebenarnya bukan satu penghalang untuk kita terus memberi manfaat kepada orang lain. Alhamdulillah kita melihat kini tren semakin ramai anggota masyarakat Islam kita yang mengambil insiatif sendiri untuk menyemarakkan semangat keihsanan di Ramadan ini. Mereka bergotong royong bersama teman dan keluarga untuk membawa harapan dan sinar kegembiraan kepada mereka yang memerlukan semampu mereka. Mudah-mudahan Allah s.w.t. memekarkan terus semangat gotong-royong dalam menebar keihsanan sedemikian dalam masyarakat kita sehingga ia menjadi saksi kebaikan kita kelak di hadapan Allah s.w.t.

Seterusnya saudara untuk meransang jiwa keihsanan di dalam diri kita. Ramadan ini, ketika kita kelaparan dan kehausan kenangkanlah saudara, sahabat atau jiran kita yang memerlukan. Kita mungkin hanya kelaparan waktu siang hari Ramadan dalam setahun. Namun kenangkanlah mereka bagaimana beliau dan seisi keluarganya terpaksa selalu melelapkan mata dalam keadaan perut yang kosong sepanjang tahun. Kita mungkin dikurniakan kemewahan untuk berbelanja raya dan membeli beberapa pasang baju; walhal mereka yang memerlukan ini, samada memiliki jamuan di pagi raya ataupun tidak?

Oleh itu saudaraku sekalian, sertailah mana-mana usaha yang tersedia ada untuk kita menyumbang dana dan bakti, demi menyokong usaha-usaha murni tersebut. Sikap seperti ini sepatutnya perlu ada pada setiap dari kita, kerana inilah sikap rahmat yang ditunjukkan oleh baginda yang peka kepada masyarakat sekelilingnya. Ingatlah sabda baginda Rasulullah s.a.w.:

Ertinya: "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat untuk manusia lain." [Hadith Riwayat Imam Baihaqi]. Semoga dengan kita membantu saudara kita, Allah s.w.t. pula akan membantu diri kita ini, akan mengampuni segala keterlanjuran diri. Semoga dengan kita meringankan kesengsaraan orang lain, Allah s.w.t. akan meringankan bebanan dan kesengsaraan kita tatkala kedua kaki kita ini berdiri di padang mahsyar kelak di hadapan-Nya. Amin ya Rabbal Alamin.

Khutbah Kedua26 Julai 2013 / 17 Ramadan 1434

Allahumma Ya Rahman, Ya Rahim,

Kami menadah kedua tangan kami dengan penuh keinsafan.

Kami tunduk di hadapan wajah-Mu dengan penuh harapan.

Jadikan kami di kalangan hamba-hamba-Mu yang pemurah dan gemar dalam memberikan pertolongan dan sumbangan kepada yang memerlukan.

Moga dengan sumbangan infak dan zakat yang tidak seberapa ini...Mampu memberikan kami keredhaan di sisi-Mu.Keredhaan yang memberi cahaya sepanjang kehidupan.Keredhaan yang menjadi penerang sepanjang perjalanan.Agar kami senantiasa bertasbih memuji-Mu.

Agar kami senantiasa berzikir mengingati-Mu.

Allahumma Ya Fattah, Ya Alim.

Basahkanlah lidah-lidah kami dengan membaca Al-Quran.

Bantulah hamba-hamba-Mu ini memahami Al-Quran.

Agar kami dapat menyelami setiap rahsia dan keajaiban

Menjadi mutiara dan pengajaran.

Untuk diterjemahkan dalam kehidupan, demi memartabatkan Al-Quran dan Insan.