SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

17
SASBADI MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA STPM2018 S TPM 2018 Pengajian Am (900)

Transcript of SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

Page 1: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SASBADI

MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA

STPM2018STPM2018Pengajian Am(900)

Page 2: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

STPM2018STPM2018Pengajian Am(900)

SASBADI SDN. BHD. (139288-X)(Anak syarikat milik penuh Sasbadi Holdings Berhad (1022660-T))

PETALING JAYA MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA

Page 3: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

Diterbitkan oleh

Sasbadi Sdn. Bhd. (139288-X),

(Anak syarikat milik penuh Sasbadi Holdings Berhad (1022660-T))

Lot 12, Jalan Teknologi 3/4, Taman Sains Selangor 1,

Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya,

Selangor Darul Ehsan.

Tel: +603-6145 1188

Faks: +603-6145 1199

Laman web: www.sasbadisb.com

e-mel: [email protected]

Majlis Peperiksaan Malaysia,

Persiaran 1, Bandar Baru Selayang,

68100 Batu Caves,

Selangor Darul Ehsan.

Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan memetik atau mencetak kembali

mana-mana bahagian isi buku ini dalam bentuk apa jua dan dengan cara apa

pun, baik secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman, atau yang lain-lain

sebagainya sebelum mendapat izin bertulis daripada Penerbit.

© Majlis Peperiksaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia

ISBN 978-983-77-1293-5

Page 4: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

(iii)

Pengajian Am (900/1) ............................................................................... 1 – 3

Pengajian Am (900/2) ............................................................................... 4 – 7

Pengajian Am (900/3) ............................................................................... 8 – 12

KANDUNGAN

Page 5: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SE

ME

STE

R 1

1

PRESTASI KESELURUHANPada Semester 1, sebanyak 43 497 calon menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran ini dan 70.32% daripadanya telah mendapat lulus penuh.

Peratusan calon mengikut gred adalah seperti yang berikut:

Gred A A– B+ B B– C+ C C– D+ D F

Peratusan 7.80 6.36 9.70 11.94 13.22 8.71 12.59 7.63 11.86 3.86 6.35

RESPONS CALON

BAHAGIAN A: Aneka Pilihan

Kunci jawapan

Nombor Soalan

Kunci Jawapan

Nombor Soalan

Kunci Jawapan

Nombor Soalan

Kunci Jawapan

1 B 6 C 11 C

2 D 7 A 12 C

3 A 8 B 13 B

4 D 9 A 14 B

5 C 10 A 15 D

Komen am

Daripada analisis yang dibuat, didapati bahawa tiada soalan mudah bagi calon dan tiga soalan lagi ialah soalan sukar bagi calon. Soalan nombor 11, 12, dan 15 ialah soalan beraras sukar bagi calon kerana kurang daripada 30% calon yang dapat menjawabnya dengan betul. Soalan-soalan lain ialah soalan beraras sederhana bagi calon.

BAHAGIAN B DAN C: Struktur dan Esei

Komen am

Secara keseluruhannya, mutu jawapan calon berada pada tahap sederhana. Hal ini kerana kebanyakan calon tidak dapat memberikan jawapan sebagaimana kehendak skema jawapan, sebaliknya memberikan jawapan yang lebih berbentuk umum. Calon pada umumnya masih kurang menguasai fakta dan maklumat dengan baik. Dari segi perancangan pula, majoriti calon mampu menjawab semua soalan sebagaimana yang diarahkan dan dalam masa yang ditetapkan.

PENGAJIAN AM (900/1)

Page 6: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SE

ME

STE

R 1

2

Dalam Bahagian B, mutu jawapan calon secara relatifnya berada pada tahap sederhana. Tahap penguasaan ilmu pengetahuan calon berada pada tahap yang sederhana dan terdapat juga calon yang tidak memahami kehendak soalan walaupun bahasa yang digunakan adalah mudah dan jelas. Dalam bahagian ini, kebanyakan calon dapat memberikan jawapan yang baik terhadap soalan 16 dan soalan 18. Hanya sebilangan kecil calon yang dapat memberikan jawapan baik terhadap soalan 17 dan soalan 19.

Dalam Bahagian C pula, kualiti jawapan calon secara umumnya berada pada tahap membimbangkan kerana ramai calon tidak berjaya mengemukakan lima idea sebagaimana dikehendaki oleh soalan. Selain itu, calon kebanyakannya memberikan hujah yang kurang mantap serta jawapan yang tidak menepati kehendak soalan. Walaupun tugasan soalan adalah jelas dan mudah difahami, namun pengetahuan calon yang kurang mengenai sesuatu topik itu menyebabkan mereka gagal mengemukakan jawapan yang mantap. Antara kekuatan calon yang dikenal pasti dalam bahagian ini ialah hampir keseluruhan mereka menunjukkan penguasaan teknik dan format penulisan esei yang baik. Hanya sebilangan kecil sahaja calon yang menulis karangan melebihi 400 patah perkataan.

Berkaitan dengan penggunaan bahasa, secara keseluruhan tahap penguasaan bahasa kebanyakan calon adalah masih kurang memuaskan, sungguhpun terdapat calon yang bahasa mereka lancar dan baik. Masih terdapat pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh calon semasa menulis karangan, seperti kesalahan ejaan, ayat yang terlalu panjang, dan struktur ayat.

Komen soalan demi soalan

BAHAGIAN B: Soalan Struktur

Soalan 16

Soalan ini menghendaki calon menyatakan dua hak rakyat Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menghuraikannya. Majoriti calon hanya mampu mengemukakan dua idea dengan tepat, iaitu berkaitan kebebasan diri dan kebebasan beragama. Terdapat juga calon yang berjaya mengemukakan idea dengan tepat, tetapi gagal memberikan huraian yang mantap. Antara contoh jawapan calon yang salah termasuklah hak mengundi dan hak memilih kerajaan.

Soalan 17

Soalan ini menghendaki calon menyatakan empat fungsi kerajaan dalam mentadbir negara. Didapati sebahagian besar calon tidak dapat memberikan respons yang tepat terhadap kehendak soalan yang dikemukakan. Kebanyakan calon memberi jawapan yang merujuk kepada tanggungjawab kerajaan secara umum, seperti menjaga hak asasi rakyat, memelihara keamanan dan keselamatan, menyediakan infrastruktur, dan menjaga alam sekitar.

Soalan 18

Soalan ini menghendaki calon menyatakan empat prinsip tadbir urus baik. Kebanyakan calon dapat memberikan respons yang tepat terhadap kehendak soalan ini dan memperoleh markah yang baik. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian kecil calon tidak dapat memberikan prinsip tadbir urus baik dengan betul.

Soalan 19

Soalan ini menghendaki calon menyenaraikan tiga kuasa Ketua Negara Malaysia dalam pentadbiran negara. Kebanyakan calon tidak dapat memberikan perbezaan antara Ketua Negara (Yang di-Pertuan Agong) dengan Ketua Kerajaan (Perdana Menteri). Hal ini menyebabkan jawapan yang dikemukakan

Page 7: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SE

ME

STE

R 1

3

oleh calon menyeleweng dari kehendak soalan seterusnya menjejaskan markah yang diperoleh. Perkara ini berlaku mungkin kerana istilah Ketua Negara ini jarang digunakan untuk merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong. Disebabkan perkara ini, ramai calon telah mengemukakan jawapan yang salah. Didapati juga bahawa calon kurang peka terhadap frasa ‘dalam pentadbiran negara’ sehingga menyebabkan calon memberi jawapan berkaitan dengan tugas-tugas Ketua Negara Malaysia dalam bidang perundangan.

BAHAGIAN C: Soalan Esei

Soalan 20

Soalan ini menghendaki calon menghuraikan faktor yang mengakibatkan kegiatan rasuah berlaku dan menghuraikan langkah-langkah tertentu yang perlu dilakukan untuk mengawal gejala rasuah daripada terus berleluasa. Sebahagian besar calon telah memilih untuk menjawab soalan ini. Calon juga berjaya mengenal pasti kehendak soalan dengan baik. Kebanyakan mereka berjaya memberikan idea dan huraian yang relevan. Jawapan yang diberikan calon juga menunjukkan bahawa mereka mengikuti isu rasuah yang banyak dibincangkan dalam media massa. Namun, terdapat juga calon yang mengemukakan idea yang walaupun kelihatan rasional tetapi tidak menepati kehendak soalan dan kehendak skema jawapan yang telah ditetapkan.

Soalan 21

Soalan ini menghendaki calon menjelaskan pelbagai ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan Malaysia. Soalan ini juga telah menjadi pilihan untuk dijawab oleh sebahagian besar calon. Walau bagaimanapun, kebanyakan jawapan yang dikemukakan boleh dikategorikan sebagai lemah kerana tidak menepati kehendak soalan dan skema jawapan yang diperuntukkan. Antara jawapan yang dikemukakan oleh calon termasuklah ancaman penyeludupan barang, politik yang tidak stabil, dan kemasukan pekerja asing. Terdapat juga calon yang mengemukakan idea berkaitan dengan tuntutan bertindih dan pencerobohan oleh negara luar. Sebaliknya, idea ancaman yang dikehendaki ialah berkaitan dengan penyalahgunaan dadah, ancaman siber, pendatang tanpa izin, kegiatan pelampau agama, kegiatan pelanunan, dan ancaman ideologi.

Soalan 22

Soalan ini menghendaki calon menjelaskan bagaimana sistem persekolahan mampu memupuk perpaduan kaum di negara ini dan peranan pelbagai pihak lain. Soalan ini mengandungi satu tugasan, iaitu peranan pelbagai pihak termasuk sistem persekolahan dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia. Sistem persekolahan merupakan idea wajib yang perlu calon huraikan dan ditambah dengan empat idea pihak lain, seperti masyarakat, keluarga atau ibu bapa, kerajaan, pemimpin masyarakat, tokoh agama, media massa, pihak swasta, dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO). Soalan ini menjadi pilihan hampir kesemua calon dan kebanyakan calon yang menjawab soalan ini berjaya mengemukakan idea yang relevan seterusnya memperoleh markah yang relatifnya baik. Ramai calon mampu mengemukakan lima idea dengan tepat, namun huraian yang diberikan ke atas setiap idea masih kurang mantap.

Walaupun begitu, terdapat juga calon yang melakukan kesilapan dalam menginterpretasikan kehendak soalan. Terdapat calon yang mengemukakan kombinasi jawapan 2 + 3 idea, iaitu dua idea berkaitan sistem persekolahan dan tiga idea berkaitan pihak lain. Kombinasi jawapan yang tepat ialah 1 + 4 idea. Terdapat juga calon yang tidak menulis idea sistem persekolahan, sebaliknya menggantikan idea tersebut dengan idea pihak sekolah. Selain itu, terdapat juga calon yang menulis keseluruhan esei berkaitan dengan sistem persekolahan sahaja tanpa menyentuh peranan pihak lain.

Page 8: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SE

ME

STE

R 2

4

PRESTASI KESELURUHANPada Semester 2, sebanyak 43 078 calon menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran ini dan 52.51% daripadanya telah mendapat lulus penuh.

Peratusan calon mengikut gred adalah seperti yang berikut:

Gred A A– B+ B B– C+ C C– D+ D F

Peratusan 5.83 9.28 9.30 10.13 3.80 9.10 5.07 4.43 5.23 11.51 26.32

RESPONS CALON

Komen am

Secara keseluruhannya, calon berjaya menyempurnakan jawapan mengikut ketetapan kertas Pengajian Am 2 (900/2), iaitu menjawab kesemua soalan pada Bahagian A, 1 soalan pada Bahagian B, dan 1 soalan pada Bahagian C. Secara keseluruhannya mutu jawapan dan prestasi pencapaian calon adalah sederhana.

Dalam Bahagian A (Soalan Struktur), prestasi jawapan calon adalah lemah. Kebanyakan calon tidak menjawab keempat-empat soalan dalam bahagian ini. Walaupun calon telah cuba untuk mengemukakan jawapan yang baik, namun masih terdapat banyak kelemahan pada jawapan yang dikemukakan. Jawapan calon juga menunjukkan bahawa mereka mempunyai pengetahuan yang terhad tentang isu yang dibincangkan dan tidak memahami kehendak soalan dengan tepat.

Dalam Bahagian B (Alih Bentuk Komunikasi) pula, kebanyakan calon dapat menginterpretasikan soalan dengan tepat seterusnya menghasilkan graf yang bersesuaian untuk menggambarkan maklumat yang diberikan dalam petikan. Sungguhpun begitu, terdapat segelintir calon yang masih melakukan kesilapan semasa menghasilkan graf. Antara kesilapan yang dapat dikenal pasti termasuklah tidak menulis petunjuk, label pada paksi, dan nilai unit pada paksi Y. Terdapat juga calon melukis media yang salah. Dari aspek membina jadual pula, kebanyakan calon berjaya menghasilkan sebuah jadual yang lengkap dan tepat. Hanya sebahagian kecil calon yang masih melakukan kesalahan semasa menghasilkan jadual, seperti tidak menulis tajuk, salah unit, butiran tidak lengkap, dan tidak menulis sumber.

Dalam Bahagian C (Karangan), secara keseluruhannya mutu jawapan calon berada pada tahap sederhana. Kebanyakan calon telah memilih untuk menjawab soalan 8 berbanding dengan soalan 7. Bagi calon yang menjawab soalan 7, kebanyakan idea yang dikemukakan adalah tidak relevan terhadap kehendak soalan. Bagi soalan 8 pula, prestasi jawapan calon adalah lebih baik. Calon dapat memahami kehendak soalan dengan tepat, iaitu cabaran mengekalkan kestabilan politik dan kesan ketidakstabilan politik.

PENGAJIAN AM (900/2)

Page 9: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SE

ME

STE

R 2

5

Komen soalan demi soalan

BAHAGIAN A: Soalan Struktur

Soalan 1

Soalan ini menghendaki calon menyatakan tiga cara kerajaan untuk mengukuhkan pengurusan kewangan awam. Sebahagian besar calon tidak berjaya mengemukakan jawapan yang tepat terhadap soalan ini. Antara jawapan calon yang salah termasuklah melantik pegawai kewangan yang baik, menggalakkan aktiviti import dan eksport, mengurangkan hutang negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Terdapat juga calon menulis konsep yang salah, iaitu berbelanja secara berhemah. Sepatutnya jawapan yang tepat ialah berbelanja secara berhemat. Dalam hal ini, maksud berhemat ialah berjimat semasa membelanjakan wang, manakala berhemah membawa maksud berbudi pekerti baik. Penulisan konsep yang salah ini telah menyebabkan jawapan yang dikemukakan tidak relevan. Antara jawapan yang boleh diberikan oleh calon termasuklah menguruskan pendapatan dengan cekap, menentukan kriteria penerimaan hasil secara sistematik, mengekalkan ketelusan fiskal dalam menerap piawaian antarabangsa, memungut cukai menggunakan teknologi moden, berbelanja secara berhemat, mengukuhkan peraturan mengenai pengurusan kewangan awam, dan memantau pengurusan kewangan awam.

Soalan 2

Soalan ini menghendaki calon menjelaskan dua faktor penghalang kepada integrasi kaum. Majoriti calon mengemukakan jawapan yang berkisar kepada faktor sikap individu, seperti dengki, prasangka dan tidak menghormati kaum lain. Jawapan sebegini menyebabkan idea calon dikategorikan sebagai tidak relevan. Terdapat juga calon mengemukakan jawapan yang tidak lengkap, seperti memberikan idea faktor budaya sahaja tanpa sosio atau sosial. Selain itu, calon juga mengemukakan huraian sebagai idea, seperti kewujudan sekolah vernakular, perbezaan fahaman politik, dan budaya yang berbeza. Antara jawapan yang sepatutnya diberikan oleh calon termasuklah sifat perkauman, ekonomi, sosiobudaya, penempatan, ideologi, pendidikan, dan teknologi.

Soalan 3

Soalan ini menghendaki calon menjelaskan dua tujuan pendekatan strategik Dasar Pertanian Negara Ketiga. Kebanyakan calon gagal memberikan jawapan tepat terhadap soalan ini. Terdapat juga calon yang langsung tidak menjawab soalan ini. Kebanyakan jawapan yang dikemukakan oleh calon adalah berkaitan dengan objektif Dasar Pertanian Negara Ketiga. Antara contoh jawapan yang salah termasuklah pendekatan perhutani, meningkatkan hasil pertanian, meningkatkan sekuriti makanan dan meningkatkan daya saing pengeluaran pertanian. Antara jawapan yang sepatutnya calon berikan termasuklah mengoptimumkan penggunaan sumber, membangunkan kegiatan perhutanan dan pertanian, membentuk asas pengeluaran yang lebih luas, memenuhi keperluan atau cita rasa pengguna, meluaskan pasaran pertanian keseluruh dunia, menggubal strategi pengeluaran pertanian huluan, dan melengkapkan industri berasaskan pertanian.

Soalan 4

Soalan ini menghendaki calon menjelaskan dua prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Kebanyakan calon tidak dapat memberikan jawapan yang tepat kepada soalan ini. Hal ini demikian kerana mereka mengemukakan usaha-usaha untuk mencapai objektif Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan objektif yang ingin dicapai melalui dasar ini. Perkara yang ditanya dalam soalan adalah berkaitan dengan prinsip dasar dan bukannya objektif dasar tersebut. Didapati bahawa kebanyakan calon tidak memahami maksud perkataan prinsip yang digunakan dalam soalan sehingga menyebabkan mereka memberi jawapan yang tidak bertepatan dengan kehendak soalan. Antara contoh jawapan salah yang diberikan oleh

Page 10: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SE

ME

STE

R 2

6

calon termasuklah mengamalkan prinsip hormat menghormati budaya dan adat kaum lain, memupuk nilai-nilai murni, dan melahirkan masyarakat yang beretika serta bermoral. Jawapan yang sepatutnya dikemukakan oleh calon ialah berteraskan kebudayaan rakyat asal, menerima unsur kebudayaan lain, dan Islam sebagai unsur penting.

BAHAGIAN B: Soalan Alih Bentuk Komunikasi

Soalan 5

Soalan ini menghendaki calon menyediakan graf yang sesuai untuk menunjukkan bilangan calon tapisan keutuhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari tahun 2012 hingga tahun 2014. Sebahagian besar calon berjaya melukis media dengan tepat, iaitu graf bar kompaun. Walau bagaimanapun, kebanyakan calon hanya mendapat markah ‘08’ kerana penulisan label paksi Y yang tidak lengkap atau salah. Kebanyakan calon hanya menulis label paksi Y sebagai “Bilangan Calon Tapisan”atau “Bilangan Calon Tapisan Keutuhan”. Calon sepatutnya menulis “Bilangan Calon Tapisan Keutuhan oleh SPRM”. Selain itu, terdapat juga calon yang melakukan kesilapan dengan menulis unit yang salah pada paksi Y. Sepatutnya unit di paksi Y ialah Orang Calon atau Orang/Calon. Terdapat juga calon yang melukis media yang salah, iaitu melukis graf bar atau graf garis komponen. Kesalahan teknikal lain yang dilakukan calon adalah, seperti bar dirapatkan pada paksi Y, nilai bar yang diplot salah, salah nilai di paksi, dan tidak mewarna bar. Bagi jadual pula, terdapat calon yang tidak menulis tajuk, label tidak lengkap atau label tiada, unit tidak dinyatakan, salah nilai dan tidak menulis sumber. Hanya sebahagian kecil calon yang tidak sempat menyiapkan jadual dan media yang ditetapkan.

Soalan 6

Soalan ini menghendaki calon menyediakan graf yang sesuai untuk menunjukkan peratusan perubahan kuantiti buangan terjadual yang diuruskan mengikut negeri terpilih antara tahun 2011 dengan tahun 2012 dan antara tahun 2012 dengan tahun 2013 di Malaysia. Kebanyakan calon mampu menghasilkan graf bar positif dan negatif seperti yang dikehendaki oleh soalan. Walau bagaimanapun, masih terdapat kesalahan-kesalahan teknikal, seperti tidak menulis unit (%) pada paksi Y sebaliknya menulis tan metrik sebagai unit. Calon juga didapati salah dalam mengira peratus perubahan kerana tidak mendarabkannya dengan 100%. Seterusnya, terdapat segelintir calon melukis media yang salah, iaitu melukis graf histogram, dan graf garis. Dari aspek jadual pula, majoriti calon tidak memperoleh markah yang diperuntukkan kepada jadual kerana tidak menulis tajuk, label tidak lengkap, dan tidak menulis unit bagi data.

BAHAGIAN C: Soalan Esei

Soalan 7

Soalan ini menghendaki calon menjelaskan pelbagai usaha yang telah Malaysia lakukan untuk mewujudkan masyarakat yang saintifik dan progresif. Majoriti calon telah memilih untuk menjawab soalan ini. Kebanyakan daripada mereka berjaya mentafsir kehendak soalan dengan tepat dan betul, iaitu usaha untuk mewujudkan masyarakat yang saintifik dan progresif. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada idea-idea yang dikemukakan tidak lengkap atau tidak menepati skema jawapan yang telah ditetapkan. Kebanyakan idea yang diberikan oleh calon terlalu umum, seperti menyediakan kemudahan teknologi, menyediakan infrastruktur, memberi pendidikan, memperkenalkan dasar-dasar, dan mengadakan latihan kepada modal insan. Calon juga mengemukakan usaha yang tidak relevan, seperti melalui pendidikan, menarik pelabur asing, menarik pakar asing, dan menaik taraf infrastruktur. Kesilapan tersebut telah menyebabkan majoriti calon tidak memperoleh markah yang baik. Antara idea jawapan yang boleh dikemukakan oleh calon termasuklah mentransformasikan sistem pendidikan,

Page 11: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SE

ME

STE

R 2

7

melaksanakan Projek Mega Koridor Raya Multimedia, memberi pelbagai insentif untuk pembelian peralatan ICT, menyertai program angkasa lepas, melaksanakan Dasar Sains dan Teknologi Negara, mengadakan pusat maklumat sains dan teknologi, memperkasakan penyelidikan dan pembangunan, membangunkan tenaga manusia yang saintifik dan teknikal, mengembangkan literasi komputer, meningkatkan kemahiran ICT, dan membudayakan inovasi.

Soalan 8

Soalan ini menghendaki calon menghuraikan cabaran untuk mengekalkan kestabilan politik negara dan kesan negatif yang mungkin berlaku sekiranya Malaysia gagal mengekalkan kestabilan politiknya. Bagi soalan ini, calon berjaya mengenal pasti kehendak soalan dengan tepat, iaitu cabaran mengekalkan kestabilan politik dan kesan negatif sekiranya gagal mengekalkan kestabilan politik. Namun begitu, idea cabaran yang diberikan oleh calon kebanyakannya berfokus kepada cabaran yang terdapat dalam Wawasan 2020, seperti melahirkan masyarakat yang beretika dan bermoral, melahirkan masyarakat penyayang, dan mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Terdapat juga calon mengemukakan idea cabaran yang tidak relevan, seperti sikap mementingkan diri, sikap perkauman, dan rasuah. Bagaimanapun, tugasan kedua karangan ini, iaitu kesan negatif sekiranya Malaysia gagal mengekalkan kestabilan politik telah memberi kelebihan kepada calon kerana kebanyakan idea yang mereka berikan adalah bertepatan dengan kehendak soalan. Selain itu, antara idea yang kurang tepat diberikan oleh calon ialah, seperti keselamatan negara terjejas, kedaulatan negara terjejas, hubungan diplomatik terputus, dan pelaburan asing terjejas. Idea-idea yang tidak relevan tersebut menyebabkan jawapan calon dikategorikan sebagai menyeleweng. Antara idea jawapan yang boleh dikemukakan oleh calon termasuklah kepelbagaian parti politik, sikap pemimpin, taksub terhadap pemimpin tertentu, asas gabungan politik yang kurang mantap, dan pengaruh anasir luar. Manakala kesan ketidakstabilan politik ialah, seperti kebangkitan rakyat, ekonomi negara terjejas, perpecahan masyarakat, imej negara terjejas dan pembangunan negara menjadi perlahan.

Page 12: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SE

ME

STE

R 3

8

PRESTASI KESELURUHANPada Semester 3, sebanyak 42 835 orang calon menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran ini dan 56.59% daripadanya telah mendapat lulus penuh.

Peratusan calon mengikut gred adalah seperti yang berikut:

Gred A A– B+ B B– C+ C C– D+ D F

Peratusan 10.53 4.50 2.71 6.63 12.20 4.80 15.22 10.23 9.85 8.43 14.89

RESPONS CALON

BAHAGIAN A: Aneka Pilihan

Kunci jawapan

Nombor Soalan

Kunci Jawapan

Nombor Soalan

Kunci Jawapan

Nombor Soalan

Kunci Jawapan

1 D 6 C 11 C

2 D 7 A 12 B

3 C 8 C 13 B

4 B 9 A 14 A

5 B 10 D 15 D

Komen am

Daripada analisis yang dibuat, didapati soalan nombor 10, 11, dan 15 merupakan soalan aras sukar bagi calon kerana kurang daripada 30% calon yang dapat menjawabnya dengan betul. Soalan-soalan lain berada pada aras sederhana bagi calon.

BAHAGIAN B DAN C: Alih Bentuk Komunikasi dan Esei

Komen am

Secara keseluruhannya, calon berjaya menyempurnakan jawapan mengikut ketetapan kertas Pengajian Am 3 (900/3), iaitu 1 soalan pada Bahagian B dan 2 soalan pada Bahagian C. Walau bagaimanapun, mutu jawapan calon secara keseluruhannya kurang memuaskan. Kebanyakan calon gagal memberikan jawapan yang sesuai dengan kehendak soalan yang diberikan.

Sebahagian besar calon berjaya menjawab soalan 18 dengan baik dengan memberikan sekurang-kurangnya 2 idea yang tepat mengikut kehendak soalan yang dikemukakan. Calon juga mampu memberikan jawapan yang menepati kehendak soalan dengan memberikan sekurang-kurangnya 1 idea

PENGAJIAN AM (900/3)

Page 13: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SE

ME

STE

R 3

9

yang menepati kehendak soalan. Oleh yang demikian, prestasi calon bagi kedua-dua soalan yang dinyatakan adalah baik.

Kelemahan calon secara keseluruhannya adalah gagal mengemukakan idea mengikut kehendak soalan yang dikemukakan. Majoriti calon yang menjawab soalan 19 dan soalan 20 gagal mengemukakan idea dengan baik dan terdapat juga calon yang mengemukakan jawapan menyeleweng. Kelemahan ketara yang dapat dikesan adalah kegagalan calon untuk memahami kehendak soalan dengan baik. Keadaan ini menyebabkan calon gagal memberikan idea dengan tepat seperti yang dikehendaki dalam soalan. Situasi ini turut berlaku kepada calon-calon yang menjawab soalan 16.

Bagi Bahagian B, mutu jawapan calon adalah lemah kerana ramai calon yang gagal mengemukakan idea analisis data dengan tepat dan relevan. Terdapat sebilangan besar calon yang mengemukakan huraian analisis data yang tidak relevan dan tidak lengkap. Akibatnya, calon gagal memperoleh markah yang baik bagi huraian data yang dikemukakan. Majoriti calon juga tidak dapat mengemukakan idea yang relevan bagi idea analisis pengetahuan, iaitu alasan Malaysia menjadi pilihan pelajar antarabangsa (soalan 16) dan membuat tafsiran kemasukan pelaburan asing dari negara terpilih ke Malaysia (soalan 17).

Untuk Bahagian C pula, pada keseluruhannya majoriti calon gagal mengemukakan 5 idea yang relevan. Terdapat ramai calon yang mengemukakan esei yang menyeleweng kerana idea yang diberikan dalam jawapan adalah tidak relevan dengan tugasan soalan. Misalnya, terdapat calon yang tidak memahami istilah jenayah siber menyebabkan jawapan mereka menyeleweng. Mereka menganggap jenayah siber ialah jenayah yang berlaku di kafe siber. Sebahagian besar calon hanya dapat mengemukakan satu atau dua idea sahaja. Terdapat juga idea yang dikemukakan tersasar daripada skop yang sepatutnya dibincangkan. Huraian yang dikemukakan juga lemah dan tidak mantap bagi menyokong idea. Walaupun tugasan bagi soalan 18, soalan 19, dan soalan 20 mudah untuk difahami, namun pengetahuan calon agak terbatas berkaitan isu yang dikemukakan.

Komen soalan demi soalan

BAHAGIAN B: Soalan Alih Bentuk Komunikasi

Soalan 16

Soalan ini menghendaki calon membandingkan enrolmen pelajar antarabangsa yang menuntut di institusi pengajian tinggi tempatan mengikut negara terpilih dan jantina pada tahun 2012 dan tahun 2013 serta memberikan alasan Malaysia menjadi pilihan bagi pelajar-pelajar dari luar negara untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat pengajian tinggi.

Antara idea analisis perbandingan data yang boleh dikemukakan oleh calon adalah seperti yang berikut:

(a) Mengikut negara secara keseluruhan. Paling banyak pada tahun 2012 dan 2013 ialah negara Iran manakala paling sedikit bagi tempoh yang sama ialah negara Nigeria.

(b) Mengikut jantina. Secara keseluruhan semua negara yang tersenarai dalam jadual, enrolmen pelajar antarabangsa lelaki lebih ramai berbanding enrolmen pelajar perempuan pada tahun 2012 dan tahun 2013 ATAU secara keseluruhan semua negara, enrolmen pelajar antarabangsa lelaki lebih ramai berbanding pelajar perempuan pada tahun 2012 dan pada tahun 2013 ialah negara Iran, Indonesia, Iraq, Yemen, dan Nigeria ATAU secara keseluruhan enrolmen pelajar lelaki lebih ramai berbanding enrolmen pelajar perempuan bagi kedua-dua tahun 2012 dan tahun 2013.

(c) Enrolmen pelajar lelaki paling banyak pada tahun 2012 dan tahun 2013 adalah dari negara Iran, sementara enrolmen pelajar lelaki paling sedikit pada tahun 2012 adalah dari negara Nigeria dan tahun 2013 adalah dari Yemen ATAU secara keseluruhan enrolmen pelajar lelaki pada tahun 2013 adalah lebih ramai berbanding enrolmen pelajar lelaki pada tahun 2012

Page 14: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SE

ME

STE

R 3

10

(d) Pelajar perempuan paling ramai pada tahun 2012 dan tahun 2013 ialah dari negara Iran, manakala pelajar perempuan paling sedikit pada tahun 2012 dan tahun 2013 ialah dari negara Nigeria ATAU secara keseluruhan enrolmen pelajar perempuan pada tahun 2012 adalah lebih ramai berbanding enrolmen pelajar perempuan pada tahun 2013.

Idea alasan Malaysia menjadi pilihan pelajar dari luar negara untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat pengajian tinggi pula ialah terdapatnya pelbagai institusi pengajian; kos pengajian yang rendah; penyediaan pelbagai kemudahan; keharmonian sosial dan budaya; kestabilan politik; dan bahasa pengantar. Calon dikehendaki mengemukakan 2 idea analisis data bandingan enrolmen pelajar luar negara mengikut negara dan jantina serta 2 alasan Malaysia menjadi pilihan pelajar dari luar negara untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat pengajian tinggi.

Kebanyakan calon dapat menyatakan idea sebagaimana yang dikehendaki dan dapat menghuraikan idea dengan tepat, khususnya huraian berkaitan dengan data. Calon juga dapat mengemukakan alasan Malaysia menjadi pilihan bagi pelajar-pelajar dari luar negara untuk melanjutkan pelajaran mereka pada peringkat pengajian tinggi dengan tepat. Walau bagaimanapun, ramai juga calon yang gagal memberikan huraian lengkap, misalnya calon tidak memberikan peratus daripada jumlah keseluruhan atau menyatakan nilai perbezaan. Terdapat juga calon yang gagal memberikan alasan dengan tepat, misalnya memberikan idea yang tidak relevan (kepelbagaian kaum dan budaya; negara yang aman; kaya dengan keindahan alam semula jadi; dan negara yang selamat).

Soalan 17

Soalan ini menghendaki calon menghuraikan tafsiran keadaan kemasukan pelaburan asing dari negara terpilih ke Malaysia pada tahun 2009 dan tahun 2010. Calon dikehendaki menghuraikan jumlah keseluruhan kemasukan pelaburan asing dari tahun 2009 dan tahun 2010 menunjukkan peningkatan, atau jumlah keseluruhan kemasukan pelaburan asing tahun 2010 lebih tinggi berbanding tahun 2009; pada tahun 2009 dan tahun 2010 pelaburan asing utama atau terbesar ialah negara Amerika Syarikat, sementara China merupakan pelabur asing terendah. Peratus kemasukan pelaburan asing dan nilai pelaburan yang meningkat pula ialah negara Amerika Syarikat dan China manakala peratus yang menurun tetapi jumlah nilai pelaburan meningkat ialah negara Taiwan dan Singapura. Kemudiannya, calon dijangka mengemukakan alasan bagi setiap idea yang diberikan.

Secara keseluruhan, calon tidak dapat menjawab soalan ini dengan baik dan mutu jawapan yang dikemukakan oleh calon boleh dikategorikan sebagai lemah. Kekuatan calon yang dikenal pasti ialah mampu memberikan idea 1 dan idea 2 sahaja, iaitu idea berkaitan dengan jumlah keseluruhan kemasukan pelaburan asing dari tahun 2009 hingga tahun 2010 yang menunjukkan peningkatan ATAU jumlah keseluruhan kemasukan pelaburan asing tahun 2010 adalah lebih tinggi berbanding tahun 2009 dengan memberikan alasan kestabilan politik Malaysia, kestabilan ekonomi Malaysia, dan dasar Malaysia yang menarik pelabur asing. Sementara idea 2 berkaitan dengan pada tahun 2009 dan tahun 2010 pelabur asing utama ialah negara Amerika Syarikat, sementara negara China merupakan pelabur asing terendah dengan memberikan alasan Amerika Syarikat merupakan rakan dagang Malaysia yang telah lama.

Selain itu, kebanyakan calon teliti dari aspek penulisan unit dan nilai yang terdapat dalam carta. Hanya sebilangan kecil sahaja calon yang didapati masih cuai dari segi penulisan unit dan nilai. Kebanyakan calon gagal menjawab idea 3 dan idea 4. Idea 3 merujuk kepada peratus kemasukan pelabur asing dan nilai pelaburan meningkat ialah Amerika Syarikat dan China. Idea 4 pula merujuk kepada peratus menurun tetapi jumlah nilai pelaburan meningkat, iaitu Taiwan dan Singapura. Sebahagian besar calon menulis idea berdasarkan peratus yang tertera atau tersurat pada carta pai yang diberikan.

Page 15: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SE

ME

STE

R 3

11

BAHAGIAN C: Soalan Esei

Soalan 18

Soalan ini menghendaki calon menghuraikan pelbagai manfaat yang diperoleh Malaysia hasil hubungan diplomatik dengan negara jiran dan serantau. Antara idea yang boleh dikemukakan oleh calon termasuklah keselamatan dapat dikekalkan, ekonomi negara dibangunkan, isu sosial dan budaya ditangani, adanya kerjasama politik, masalah pencemaran merentas sempadan dapat diselesaikan secara bersama, kesepakatan dalam menyuarakan isu antarabangsa, meningkatkan kualiti pendidikan, pemindahan teknologi, dan bekalan sumber tenaga atau buruh.

Kebanyakan calon yang menjawab soalan ini dapat memahami kehendak soalan dengan baik seterusnya dapat memberikan idea yang relevan, seperti menjamin keselamatan, meningkatkan ekonomi, pemindahan teknologi, meningkatkan kualiti pendidikan, dan bekalan sumber tenaga kerja atau buruh. Hal ini terbukti apabila calon dapat mengemukakan idea tersebut dengan baik dan mampu menghuraikannya dengan baik.

Dari aspek kelemahan calon pula, antaranya adalah disebabkan calon mengemukakan idea yang tidak relevan dengan kehendak soalan yang dikemukakan. Sungguhpun terdapat calon yang dapat mengemukakan lima idea seperti yang dikehendaki, namun ada antara idea yang diberikan itu tidak relevan dan tidak jelas. Secara keseluruhannya, jawapan calon untuk soalan ini berada pada tahap sederhana dan lemah.

Soalan 19

Soalan ini menghendaki calon menjelaskan kepentingan kestabilan politik di rantau Asia Tenggara kepada Malaysia dan peranan penting yang harus Malaysia mainkan untuk mewujudkan kestabilan dan keselamatan di Asia Tenggara. Calon sepatutnya mengemukakan idea kepentingan kestabilan politik, iaitu dari aspek pembangunan ekonomi, menjamin kestabilan politik, mengelak campur tangan kuasa asing, dan Malaysia tidak terbeban dengan masalah pelarian. Idea peranan Malaysia pula, ialah mewujudkan kestabilan dan keselamatan dengan mendukung ZOPFAN, menyokong Zon Bebas Senjata Nuklear (SEANWFZ), mencetuskan Pergerakan Kesederhanaan Global, membantu dalam penyelesaian damai antara kerajaan Filipina dengan MILF, penyelesaian konflik Selatan Thailand, dan membangkitkan isu berkaitan kestabilan politik serantau.

Dari aspek kekuatan calon, calon berjaya memahami kehendak soalan dengan baik, iaitu mengemukakan kepentingan kestabilan politik dan peranan malaysia dalam mewujudkan kestabilan dan keselamatan di rantau ini. Calon berjaya mengemukakan idea pembangunan ekonomi, idea mendukung ZOPFAN, dan idea menyokong SEANWFZ.

Kelemahan calon sangat ketara ialah kurangnya pengetahuan tentang isu yang cuba diketengahkan dalam soalan yang dikemukakan. Idea dan huraian yang diutarakan tidak berkaitan dengan kehendak soalan. Majoriti calon sekadar mampu mengemukakan satu idea, iaitu sama ada idea pembangunan ekonomi atau mendukung ZOPFAN atau idea menyokong SEANWFZ. Selain itu, calon gagal mengemukakan idea dengan tepat mengikut kehendak soalan walaupun memahami kehendak soalan dengan baik. Idea-idea yang dikemukakan calon tidak sesuai dengan kehendak soalan, seperti menjamin keselamatan, mengatasi jenayah rentas sempadan, mengatasi masalah pendatang tanpa izin, dan menerima bantuan kemanusiaan.

Page 16: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SE

ME

STE

R 3

12

Soalan 20

Soalan ini menghendaki calon menghuraikan sebab-sebab kegiatan jenayah siber sukar dibendung walaupun kerajaan Malaysia telah menggubal beberapa undang-undang siber. Calon sepatutnya memberikan idea berkaitan dengan kesukaran mengenal pasti penjenayah siber, peningkatan penggunaan dalam talian, perlakuan jenayah, penglibatan golongan pakar, kecanggihan teknologi, merentasi sempadan, kekurangan keselamatan siber, sikap pengguna, dan kekurangan penguatkuasaan undang-undang.

Kebanyakan calon memahami kehendak soalan dan menjawab soalan ini dengan mengemukakan idea penjenayah sukar dikesan, peningkatan pengguna Internet, orang yang pakar dalam jenayah siber, kecanggihan teknologi, dan kekurangan penguatkuasaan undang-undang. Calon juga berjaya menjawab dengan mengemukakan satu atau dua idea yang tepat. Walau bagaimanapun, masih terdapat sebahagian kecil calon yang gagal memahami kehendak soalan dengan baik dan salah tafsir soalan, iaitu mereka membincangkan langkah dan usaha.

Antara idea yang dikemukakan oleh calon termasuklah kelemahan undang-undang, kecuaian ibu bapa atau masyarakat, sikap pihak sekolah, suka akan hiburan, masalah keluarga, kawalan keselamatan yang longgar, teknologi yang kurang canggih, kekurangan kemahiran berkaitan jenayah siber, dan pengaruh media massa. Terdapat juga segelintir calon mengemukakan jenis jenayah siber sebagai jawapan, seperti ancaman penggodam, ancaman cetak rompak, ancaman scammer, penyebaran virus, dan pemalsuan identiti. Selain itu, terdapat juga calon yang menghuraikan tentang cabaran dihadapi oleh kerajaan dalam mengatasi jenayah siber, menyebabkan jawapan mereka menyeleweng dari kehendak soalan.

Page 17: SASBADI STPM2018 - Laman Utama - Portal Rasmi Majlis ...

SASBADI

MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA

STPM2018STPM2018Pengajian Am(900)

MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIAPersiaran 1, Bandar Baru Selayang,68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.Tel: +603-6126 1600 Faks: +603-6136 1488e-mel: [email protected]

STPM2018STPM2018

SASBADI SDN. BHD. (139288–X)(Anak syar ikat mi l ik penuh Sasbadi Holdings Berhad (1022660-T))Lot 12, Jalan Teknologi 3/4, Taman Sains Selangor 1,Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.Tel: +603-6145 1188 Faks: +603-6145 1199Laman web: www.sasbadisb.com e-mel: [email protected]

LA

PO

RA

N P

EP

ER

IKS

AA

N S

TP

M 2

01

8 P

EN

GA

JIA

N A

M (9

00

)

ISBN 978-983-77-1293-5

40pp