Sister in Islam Wajah Gerakan Islam Liberal Di Malaysia

download Sister in Islam Wajah Gerakan Islam Liberal Di Malaysia

of 5

Transcript of Sister in Islam Wajah Gerakan Islam Liberal Di Malaysia

Sister in Islam wajah gerakan Islam Liberal di Malaysia

Seperti kita sedia maklum Islam Liberal merupakan satu aliran pemikiran yang menghendaki kepada keterbukaan dalam berijtihad yang melampaui batas-batas agama yang telah sedia ada sepertimana di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Golongan Islam Liberal ini juga dikatakan mempunyai pelbagai fahaman dan pemikiran yang menjadi dasar kepada perjuangan mereka antaranya ialah pertama, gagasan Islam Liberal mendukung idea pluralisme agama. Menurut Jaffary Awang & Kamarudin Salleh (2007), pluralisme agama merujuk kepada kepelbagaian agama yang wujud di kalangan manusia adalah benar sebagai menuju Tuhan yang satu. Dengan erti kata lain, dapat disimpulkan bahawa pluralisme agama merupakan pegangan yang percaya bahawa Islam bukanlah satu-satunya agama yang benar. Konsep pluralisme agama ini dikatakan telah diperkenalkan di Barat oleh W.C Smith dengan nama universal theology of religion yang kemudiannya dikembangkan oleh John Hick serta Hans Kung sebelum diperkenalkan dalam dunia Islam. Menurut Khalif Muammar (2006), pendukung fahaman Islam Liberal juga menolak autoriti agama dan menganut fahaman kebebasan untuk berijtihad oleh mana-mana individu mengenai apa jua bentuk permasalahan agama. Metodologi yang digunakan adalah relativisme, iaitu kebenaran adalah bersifat relatif dan tidak boleh didakwa oleh mana-mana pihak. Penolakan terhadap autoriti agama bagi penganut fahaman Islam Liberal ini adalah penting agar kebebasan berpendapat atau ijtihad dapat dilaksanakan. Atas dasar kebebasan berpendapat dan berijtihad inilah maka Islam Liberal banyak merujuk kepada karya-karya Orientalis. Antara Orientalis Barat yang bertanggungjawab mengorbit aliran pemikiran Islam Liberal ialah Leornard Binder dan Charles Kurzman yang telah menyokong kuat idea-idea utama yang mendasari pemikiran mereka seperti ijtihad yang bebas tanpa sekatan, pluralisme beragama, penolakan Syariah dan sebagainya. Selanjutnya, pengaruh Islam Liberal ini dikatakan turut dikembangkan di Malaysia. Antara tokoh-tokoh yang dikatakan cuba mengembangkan fahaman ini dalam negara Malaysia ialah Kasim Ahmad (Azizan 2006), Farish Noor, Syed Akbar Ali (Anis Shakila 2006), Zainah Anwar (Ramnaizuddin 2005), Reza Shah-Kazemi (Ariffin 2009), Astora Jabat dan Zainudin Idrus (Hafiz Firdaus 2007). Sementara dalam bentuk pertubuhan pula Musawah (Wan Salim 2009), Jemaah al-Quran Malaysia (Zamihan 2008), Sisters In Islam (SIS), Suruhanjaya Antara Agama atau Inter Faith Commision (IFC) (Ariffin 2009), Pertubuhan Pertolongan Wanita atau Womens Aid Organisation (WAO) All Womens Action Society (AWAM) (New Straight Time 8 Mac 2008) dan The Joint Action Group for Gender Equality (JAG) (Utusan 06/10/2009). Di sini jelas pertubuhan Sisters In Islam merupakan pertubuhan yang membawa aliran fahaman Islam Liberal.Sisters In Islam (SIS) adalah satu di antara gerakan feminisme yang memperjuangkan emansipasi wanita. Ia telah dibentuk dalam tahun 1988 dan didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (Non Governmental Organisation; NGO) pada tahun 1993 di bawah nama SIS Forum (Malaysia) Berhad. Sungguhpun kemunculan SIS boleh dianggap baharu berbanding pertubuhan-pertubuhan atau NGO-NGO wanita yang hadir lebih dahulu sebelumnya, namun SIS sejak awal kemunculannya lagi telah berjaya menjadi sebuah gerakan feminisme yang paling popular dan terkehadapan di Malaysia. Sejak dari awal penubuhan, SIS dilihat sebagai gerakan feminisme yang paling aktif dan vokal dalam memperjuang dan mempertahankan ideanya. Fenomena ini telah menjadikan SIS sebagai sebuah gerakan wanita yang sentiasa dibayangi kontroversi di sebalik kejayaannya. Lebih dari itu, perjuangan SIS yang mendaulatkan hak-hak asasi manusia dan prinsip-prinsip sejagat, serta pendekatan agamanya yang berasaskan tafsiran dari perspektif hak-hak kemanusiaan, telah mengundang dakwaan yang mengaitkannya dengan aliran fahaman Islam Liberal. Sebelum mengaitkan SIS dengan aliran Islam Liberal, pengenalan terhadap organisasi SIS dan peranannya sebagai gerakan feminisme Islam di Malaysia perlu dibincangkan secara teliti. Sejarah SIS bermula dengan sebuah study group yang terdiri dari kalangan sahabat wanita dan golongan profesional termasuk wartawan. Apabila SIS mula membawa fahaman feminism dengan memperjuangkan hak wanita selari dengan hak kaum lelaki, maka mereka mula mempertikaikan keadilan melalui hukum syariah yang pada pandangan mereka adalah sangat tidak adil dan tidak mengikut hak asasi manusia. Fahaman ini juga jelas mempertilkaikan keadilan Allah S.W.T terhadap hak-hak wanita dalam Islam. Sebagai contoh, kumpulan wanita ini telah lama mendesak kerajaan agar menerima kes keganasan rumah tangga sebagai satu bentuk jenayah. Malangnya terdapat bantahan ketika itu dari pihak Pusat Islam sendiri yang berpendapat bahawa undang-undang keganasan rumah tangga tidak boleh disabitkan ke atas pihak suami yang memukul isterinya yang nusyuz. Alasan yang diberikan ialah kerana Islam membenarkan si suami memukul isterinya yang nusyuz berasaskan dalil dari al-Qur`an. Menurut mereka, hujah sedemikian sangat-sangat tidak masuk akal, kerana sebagai orang Islam, mereka percaya bahawa Islam itu agama keadilan, Allah itu Maha Adil dan mustahil yang Allah itu memuliakan ketidakadilan, menyokong keganasan dan penindasan terhadap kaum wanita . Akhirnya, mereka menyimpulkan bahawa persepsi yang salah terhadap ajaran Islam, tafsiran terhadap nas agama iaitu ayat al-Qur`an dan Hadith serta hukum fikah yang dicemari dengan budaya silam yang menganjurkan doktrin patriarki, menjadi punca kepada keberlangsungan ketidakadilan terhadap kaum wanita. Jadi, bagi menangani kecelaruan tafsiran berhubung persamaan hak dan persepsi sehala yang melebihkan kaum lelaki ini, keperluan untuk melihat semula tafsiran teks al-Qur`an menjadi tuntutan kumpulan feminisme ini. Secara kesimpulannya, Bagi SIS, perkara pertama yang perlu diusahakan ialah menilai kembali tafsiran al- Qur`an memandangkan kitab suci itulah yang menjadi sumber asas kepada Islam. Untuk itu, SIS mengutarakan kepentingan mewujudkan versi tafsir al-Qur`an progresif. Tafsir versi ini diperlukan agar ajaran al-Qur`an menepati nilai-nilai kemodenan, menjunjung universalisme, hak asasi manusia dan seumpamanya, yang mewakili dan memberi fokus yang setara dan saksama kepada lelaki dan wanita serta semua lapisan manusia, berasaskan pandangan semesta Islam yang bersifat maju dan berkembang itu. Maka dengan ini jelaslah bahawa gerakan SIS merupakan gerakan yang mengembangkan faham liberal di Malaysia yang berselindung di bawah pertubuhan wanita yang kononnya memperjuangkan hak wanita sejagat selari dengan hak kaum lelaki. Dalam pada yang sama cuba mempertikaikan hukum syariah demi hak asasi manusia. Malah mereka menuntut agar Al-Quran perlu melalui pentafsiran semula agar sesuai dengan peredaran zaman yang kononnya tidak sesuai dengan keadaan semasa terutama sekali dalam hal ehwal hak wanita muslim.