Siti Shamsiah Md Supi Pegawai Penyelidik Kanan Pusat SYARAK, … · 2020. 9. 9. · Perkataan...
Transcript of Siti Shamsiah Md Supi Pegawai Penyelidik Kanan Pusat SYARAK, … · 2020. 9. 9. · Perkataan...
-
1
PENGURUSAN HARTA KELUARGA ISLAM: SATU PENGENALAN
Siti Shamsiah Md Supi
Pegawai Penyelidik Kanan Pusat SYARAK, IKIM
Pengenalan
Harta dan wang ringgit secara umumnya ialah perkara yang amat penting kepada
manusia. Walaupun kedua-duanya bukanlah penentu mutlak terhadap kesempurnaan
hidup manusia, tetapi ia adalah perkara yang menjadikan setiap orang dapat menjalani
rutin kehidupan seharian dengan selesa dan sejahtera. Harta (termasuk wang)
menjadikan seseorang itu mempunyai kuasa beli bagi memiliki barang keperluan,
barang-barang mewah, (menambah) harta lain dan mendapat perkhidmatan yang
diperlukan. Iaitu, apa sahaja perkara yang diperlukan atau dihajati oleh manusia.
Secara umumnya kekayaan yang dimiliki, membolehkan seseorang mendapatkan
sesuatu atau apa sahaja yang boleh memberi kepuasan hati; menggembirakan
pembelinya; dapat memberi keseronokan kepada manusia; membiayai rawatan bagi
masalah-masalah kesihatan tertentu; dan sebagainya. Wang dan harta juga
membolehkan seseorang melaksanakan tanggungjawabnya terhadap orang-orang
yang berada di bawah tanggungannya dengan selesa, seperti suami terhadap isterinya;
bapa terhadap anak-anaknya; anak yang telah dewasa terhadap ibu bapa yang tua dan
uzur; dan yang seumpamanya.
Usaha bagi menambah atau membesarkan jumlah harta yang sedia ada adalah
sifat semula jadi manusia bagi mengukuhkan keyakinan adanya jaminan untuk terus
melangsungkan kehidupan dengan selesa sehingga akhirnya. Usaha menambahkan
-
2
kekayaan dari sudut kewangan atau harta juga akan mengurangkan rasa bimbang
sekiranya berlaku sebarang keperluan yang mendesak atau kecemasan yang
memerlukan pembiayaan-pembiayaan tertentu. Dalam keadaan seseorang itu tidak
mempunyai wang secara tunai yang mencukupi, harta yang dimiliki boleh dicairkan
untuk menyelesaikan ketidakcukupan tersebut. Begitulah pentingnya harta termasuk
wang dalam kehidupan pada hari ini.
Apabila harta yang dikumpulkan itu mempunyai lebihan, apatah lagi lebihan yang
ketara, maka timbullah isu berkaitan dengan peruntukan atau pengagihan harta
berkenaan dengan orang-orang yang berhampiran dengan pemilik harta berkenaan,
atau dengan bahasa mudahnya ialah kalangan ahli keluarga, kaum kerabat atau
individu-individu tertentu yang mempunyai nilai dan kedudukan yang signifikan dalam
kehidupan pemilik harta tersebut. Di sinilah bermulanya keperluan tentang pengurusan
harta keluarga bagi kalangan orang Islam.
Konsep Harta dan Peranan Manusia
Harta dalam bahasa Arab disebut sebagai "mal". Kata asalnya ialah "mala-yamilu-
mailan" yang bererti condong atau cenderung. Harta merujuk kepada sesuatu yang
boleh diambil dan dimiliki oleh seseorang manusia sama ada dalam bentuk aset fizikal
ataupun manfaat tertentu (Azman dan Muhamad Nasir, 2019: 9).
Mazhab Hanafi mendefinisikan mal sebagai sesuatu yang boleh diambil, disimpan
dan dimanfaatkan dalam keadaan biasa. Manakala pandangan jumhur fuqaha--
-
3
Mazhab Maliki, Shafii dan Hambali--mentakrifkannya sebagai sesuatu perkara yang
mempunyai nilai, perlu dibayar ganti rugi sekiranya dirosakkan. Sehubungan dengan
perkara ini juga al-Sarakhsi berpendapat bahawa sesuatu yang diiktiraf sebagai harta
itu ialah sesuatu yang dapat digunakan untuk maslahah manusia di samping
mempunyai nilai-nilai ekonomi (al-Sarakhsi, 1978: 79).
Dr. Abdul Karim Zaydan melanjutkannya dengan berpandangan bahawa terdapat
sekurang-kurangnya dua ciri utama untuk menentukan mal dalam Islam dengan
menekankan soal “kemampuan dalam menguasai” dan “boleh memanfaatkaannya”:
pertama: sesuatu benda yang boleh disimpan, dan dikumpulkan (boleh dijadikan hak
milik) seperti bangunan kediaman, kedai, dan wang, dan kedua: benda yang boleh
diambil faedah dan memberi manfaat umpamanya galian yang berada di dalam perut
bumi seperti minyak, logam dan batu berharga.
Sekiranya sesuatu benda atau barang itu tidak menepati kedua-dua ciri tersebut,
maka ia terkeluar daripada istilah harta (mal) mengikut perspektif Islam (Dr. Abdul Karim
Zaydan, 1986).
Sebaliknya pula, sesuatu itu tidak diiktiraf sebagai harta apabila mempunyai ciri-
ciri yang berikut:
1. Sesuatu yang tidak boleh dikuasai walaupun boleh diambil manfaat
daripadanya seperti cahaya matahari dan udara,
2. Sesuatu yang boleh dikuasai tetapi tidak dapat memberi manfaat seperti sebiji
gandum,
-
4
3. Sesuatu yang boleh dimanfaatkan tetapi ditegah oleh syarak untuk
dimanfaaatkan seperti bangkai dan najis, dan
4. Sekiranya sesuatu itu boleh dimanfaatkan oleh segolongan manusia, ia masih
dianggap sebagai harta bagi mereka, seperti babi dan arak, iaitu dikira harta
bagi kafir ahli dhimmah tetapi tidak bagi orang Islam (Wahbah al-Zuhailiy, 447)
Dari satu sudut yang lain pula, para fuqaha telah mengklasifikasikan harta kepada
beberapa jenis yang antaranya:
1. Aset mempunyai nilai (mutaqawwam) dengan tidak mempunyai nilai (ghayr
mutaqawwam),
2. Aset tetap (‘aqar) dan aset mudah alih (manqul),
3. Aset ada bandingan (mithli) dan aset tiada bandingan (qimi), juga
4. Aset tahan lama (isti’mali) dan aset pakai habis (istihlaki). (Azman dan
Muhamad Nasir, 2019: 12-18)
Berdasarkan firman-firman Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran, ternyata
segala harta kekayaan alam ini merupakan milik Allah SWT. Dalam Surah al-Baqarah
ayat 284, Allah berfirman dengan maksudnya, "Kepunyaan Allah sahajalah segala apa
yang ada di langit dan apa yang ada di bumi." Seterusnya Allah berfirman dalam Surah
asy-Syura, ayat empat dengan membawa erti, "Kepunyaan-Nyalah apa yang ada di
langit dan di bumi; dan Dialah Yang Tertinggi keadaan-Nya, lagi Maha Besar
(kekuasaan-Nya)." Allah SWT turut berfirman dalam Surah Yunus ayat 66 yang
membawa maksud, "Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit
dan yang ada di bumi." Selanjutnya dalam Surah Taha ayat enam Allah berfirman
-
5
dengan maksudnya, "Dialah juga yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada
di bumi serta yang ada di antara kedua-duanya, dan yang ada di bawah tanah basah di
bawah perut bumi."
Ayat-ayat tersebut jelas membuktikan bahawa Allah SWT ialah pemilik mutlak
setiap apa yang terdapat di alam ini. Walau bagaimanapun dengan kasih sayang Allah
setiap sesuatu yang terdapat di alam ini disediakan untuk manfaat manusia. Dengan
meletakkan Allah SWT sebagai pemilik mutlak, maka manusia ialah pemilik sementara.
Sebagai pemilik sementara, manusia diberi hak untuk menggunakan dan
memanfaatkan nikmat yang dikurniakan; memiliki harta dan kekayaan; menikmati
kebebasan untuk menggunakannya, dan semua itu boleh dilakukan asal sahaja berada
dalam batas-batas yang telah ditentukan oleh syariah dan tidak bertentangan dengan
larangan Allah.
Selanjutnya apabila Allah berfirman sebagaimana dalam ayat 61 Surah Hud yang
bermaksud, "Dialah (Allah) menjadikan kamu (manusia) daripada bahan-bahan bumi,
serta menghendaki kamu memakmurkannya (bumi)," ia memberikan kefahaman
bahawa Allah ialah pemilik mutlak manakala manusia pula berperanan sebagai
pentadbir dan pengurus harta tersebut, sesuai dengan tugas manusia sebagai khalifah
di atas muka bumi ini. Dapat disimpulkan di sini bahawa harta adalah amanah daripada
Allah, maka pengurusan harta adalah sesuatu yang amat dituntut terhadap pemiliknya.
Dalam hal ini sebuah Hadis oleh Rasulullah SAW telah membawa satu mesej yang jelas
dengan maksudnya:
-
6
"Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar bahawa beliau mendengar
Rasulullah SAW bersabda: 'Setiap kamu adalah penjaga dan akan ditanya
tentang jagaannya. Pemerintah merupakan penjaga dan akan disoal tentang
jagaannya. Seorang lelaki adalah penjaga ahli keluarganya dan akan disoal
tentang jagaannya. Seorang wanita di rumah suaminya adalah seorang
penjaga dan dia akan ditanya tentang jagaannya." (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim)
Konseptual Pengurusan Harta Keluarga Islam
Perkataan "mengurus" membawa maksud sebagai "menjaga supaya rapi, mengatur,
mengemaskan atau menyusun," manakala "menguruskan" pula memberi makna
sebagai "mengendalikan sesuatu supaya teratur atau sempurna" (Kamus Dewan, 2013:
1779).
Perkataan "keluarga" sebenarnya adalah gabungan dua perkataan bahasa Jawa
iaitu "kawula" dan "warga" (M. Saeful Amri & Tali Tulab, April 2018). Kawula bermaksud
abdi dan warga bermakna anggota. Gabungan ini membawa erti kumpulan individu
yang memiliki rasa pengabdian tanpa mengharapkan keuntungan untuk diri sendiri,
sebaliknya demi kepentingan seluruh individu yang bernaung di dalamnya. Sesebuah
keluarga juga adalah kelompok tertentu yang menjadikan sesebuah rumah tertentu
sebagai tempat tinggal bersama. Dalam perkara ini, sesebuah rumah adalah lambang
kepada kewujudan satu-satu keluarga. Selanjutnya dari sudut kemasyarakatan,
keluarga adalah satu struktur dalam masyarakat yang bersifat khusus dan ia saling
mengikat antara satu sama lain. Ikatan itu mengandungi tanggungjawab, rasa saling
memiliki dan saling berharap (mutual expectation) antara satu sama lain.
-
7
Setiap keluarga merupakan komponen asas kepada pembentukan dan
pembinaan peradaban manusia. Sebelum sesebuah masyarakat dapat dibentuk, ia
memerlukan unit-unit keluarga yang dapat dikumpulkan dan saling berinteraksi. Di
situlah bermulanya pembinaan kumpulan manusia yang lebih besar sehingga
terbinanya sebuah negara dan tamadun.
Dalam hal ini, pengurusan harta boleh memberi maksud sebagai suatu tindakan
menjaga, mengatur, menyusun sumber kuasa membeli terhadap sesuatu yang boleh
dikuasai dan boleh memberi manfaat supaya kelangsungan hidup satu-satu individu
yang melibatkan barangan terlaksana dengan lancar. Apabila ia melibatkan ahli
keluarga maka kelangsungan hidup itu perlu diluaskan lingkungannya bukan sahaja
bagi kepentingan individu berkenaan, malahan juga terhadap ahli keluarga yang ada
terutama mereka yang berada di bawah tanggungan individu terlibat (Suzana & Siti
Shamsiah, 2018).
Pengurusan harta keluarga juga termasuk merencanakan hal-ehwal yang
berkaitan dengan harta supaya menjadi sistematik, bersifat adil, memenuhi keperluan
secara spesifik, mengoptimumkannya sehingga tidak berlaku pembaziran dan sesuai
dengan matlamat individu dan kelompok individu yang tinggal bersama yang secara
umumnya mempunyai hak dan tanggungjawab secara bersama. Perencanaan itu juga
menghasilkan keputusan atau keadaan yang semua pihak atau ahli keluarga yang
mempunyai keperluan diberi perhatian dan tidak tercicir daripada agihan.
-
8
Apabila pengurusan harta keluarga ini dibincangkan dengan menggunakan
neraca Islam, maka pengurusan tersebut akan mengambil kaedah-kaedah atau
instrumen-instrumen yang disediakan oleh syariah, dan akan tertakluk dengan
peraturan-peraturan di bawah hukum syarak iaitu dengan kaedah-kaedah seperti faraid,
hibah, wasiat dan wakaf.
Matlamat pengurusan harta keluarga Islam adalah supaya harta tidak dibiarkan
begitu sahaja dan menjadi beku; harta dapat diurus dengan kaedah yang betul dan
tepat; dapat diagihkan kepada mereka yang layak mengikut kaedah yang dipilih, sama
ada ahli keluarga atau bukan; dan hak harta dapat ditunaikan dengan sempurna.
Menguruskan harta keluarga secara berkesan adalah ibarat menyediakan payung
sebelum hujan. Hujan adalah takdir yang tidak boleh dielakkan oleh mana-mana
manusia atau makhluk sekalipun, tetapi dengan adanya payung, maka ia dapat
melindungi mereka daripada basah ditimpa hujan.
Dalam hal ini setiap individu pemilik harta tidak akan tahu tarikh dan masa
kematiannya; kejadian-kejadian yang mengurangkan kemampuannya sebagai orang
yang sihat dan normal dari sudut fizikal; juga perubahan yang berlaku pada dirinya yang
menyebabkan ketiadaan upaya dari sudut mental. Dalam hal ini Rasulullah SAW
bersabda dengan maksudnya:
“Dari Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda dan menasihati seseorang:
'Gunakan lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu: masa mudamu
sebelum masa tuamu; masa sihatmu sebelum masa sakitmu; masa kayamu
sebelum masa miskinmu; masa lapangmu sebelum masa sibukmu dan masa
hidupmu sebelum masa matimu.” (HR al-Hakim).
-
9
Telah disebutkan sebelum ini bahawa setiap keluarga adalah unit asas dalam
masyarakat dan dari masyarakat terbinalah sesebuah bangsa dan negara. Susulan
daripada itu, pengurusan harta dalam konteks yang lebih luas akan menjamin perkara-
perkara berikut:
1. Memastikan harta beredar dan bergerak cergas dalam pelbagai sektor
kehidupan sehingga memungkinkan pengembangan harta dan
penggunaannya secara meluas dan menyeluruh, dan
2. Memberi galakan kepada muamalah kehartaan hingga dapat meluaskan
skop peredaran harta dan kekayaan sehingga dapat dinikmati oleh semua
masyarakat secara adil (Mohd Zamro Muda et. al, 2006: 11).
Bentuk-bentuk Keluarga
Setiap keluarga mempunyai struktur masing-masing. Ada kalangan kita mempunyai
struktur keluarga yang sama seperti orang lain, begitu juga sebaliknya. Goldenberg
telah membuat sembilan klasifikasi atau bentuk keluarga yang kebanyakannya boleh
mewakili bentuk keluarga yang terdapat dalam kalangan masyarakat negara ini. Bentuk-
bentuk keluarga yang disusun oleh beliau adalah sebagaimana berikut:
1. Keluarga nuklear (nuclear family): keluarga yang terdiri daripada suami,
isteri serta anak-anak kandung.
2. Keluarga besar (extended family): seperti keluarga nuklear yang terdiri
daripada suami, isteri, dan anak-anak kandung. Keluarga ini juga
mengandungi ahli keluarga dari arah garis vertikal (ibu, bapa, datuk, nenek,
-
10
menantu, cucu dan cicit), mahupun dari arah garis horizontal (adik-beradik
atau ipar) yang muncul dari pihak suami atau pihak isteri.
3. Keluarga campuran (blended family): keluarga yang terdiri daripada suami,
isteri, anak-anak kandung serta anak-anak tiri.
4. Keluarga common law (common law family): Keluarga yang terdiri daripada
lelaki dan wanita yang tidak terikat dalam perkahwinan sah serta anak-anak
mereka yang tinggal bersama.
5. Keluarga ibu atau bapa tunggal (single parent family): Keluarga yang terdiri
daripada lelaki atau wanita, mungkin karena bercerai, berpisah, ditinggal
mati atau mungkin tidak pernah menikah, serta anak-anak mereka tinggal
bersama.
6. Keluarga hidup bersama (commune family): Keluarga yang terdiri daripada
lelaki, wanita dan anak-anak yang tinggal bersama, mempunyai
pembahagian dari sudut hak dan tanggung jawab, serta memiliki kekayaan
bersama.
7. Keluarga bersiri (serial family): Keluarga yang terdiri daripada lelaki dan
wanita yang telah menikah dan mungkin telah punya anak, kemudian
bercerai dan masing-masing berkahwin lagi serta memiliki anak-anak
dengan pasangan masing-masing, dan mereka menganggap kesemua
mereka menganggap sebagai sebuah keluarga.
-
11
8. Keluarga gabungan/komposit (composite family): Keluarga yang terdiri
daripada suami dengan beberapa isteri dan anak-anaknya (poliandri), atau
isteri dengan beberapa suami dan anak-anaknya (poligini) dan mereka
hidup bersama.
9. Keluarga tinggal bersama (cohabitation family): Keluarga yang terdiri
daripada lelaki dan wanita yang hidup bersama tanpa ada ikatan
perkahwinan yang sah.
Setiap individu mempunyai struktur keluarga yang tersendiri dan pengiktirafan
terhadap setiap orang yang menjadi ahli keluarga bagi sesebuah keluarga tentunya
mempunyai asas dan justifikasi yang tersendiri. Sudah tentu pengiktirafan itu dibuat
kerana kewujudan individu itu memberi makna dalam kehidupannya. Walaupun
demikian, syariah mempunyai prinsip-prinsip yang jelas maka bentuk keluarga no. 4 dan
no. 9 dengan sendirinya tertolak untuk diterima sebagai keluarga Islam. Manakala bagi
bentuk keluarga no. 8 Islam hanya mengiktiraf poligami yang terdiri daripada seorang
suami dengan isteri maksimum seramai empat orang sahaja.
Tujuan mengenal pasti bentuk dan struktur keluarga masing-masing adalah
supaya pemilik harta dapat membuat susunan mengikut keutamaan ahli-ahli keluarga
yang mempunyai keperluan yang lebih berbanding dengan ahli keluarga yang lain; dan
tidak berlaku keciciran dalam merencanakan pengagihan harta.
-
12
Konsep Maslahah dalam Pengurusan Harta Keluarga
Konsep maslahah perlu dijadikan sebagai neraca dalam pengurusan harta keluarga.
Apabila konsep ini diguna pakai dalam membuat peruntukan atau agihan harta kepada
ahli keluarga atau bukan ahli keluarga, maka pertimbangan yang akan dibuat itu akan
cenderung kepada keputusan dan kedudukan yang adil. Dan keadilan itu menghampiri
ketakwaan. Sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat lapan Surah al-Maidah yang
bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa
menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi
menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap
sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.
Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih
hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
Ujar Imam al-Ghazali dalam menjelaskan maslahah:
"Maslahah pada asalnya bermaksud untuk mendapatkan manfaat, atau
menjauhkan mudarat. Walaupun begitu, bukan ini yang kami maksudkan.
Mendapatkan manfaat dan menjauhkan mudarat adalah objektif kehidupan
dan satu keperluan untuk memenuhi objektif tersebut. Apa yang kami
maksudkan dengan maslahah adalah memelihara objektif syarak (maqasid
al-shariah) iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta
manusia. Setiap tindakan yang dapat memenuhi lima kepentingan tersebut
adalah maslahah. Manakala setiap tindakan yang menjejaskan lima
kepentingan tersebut adalah mafsadah, dan menghilangkan mafsadah
adalah satu maslahah" (Imam al-Ghazali, 1997: 174).
-
13
Terdapat tiga tahap maslahah yang dijaga oleh syariah iaitu daruriyyat, hajiyat dan
tahsiniyat:
1. Daruriyyat mesti merangkumi lima perkara iaitu penjagaan agama, nyawa,
harta, akal dan keturunan. Sebahagian ulama menambah penjagaan
maruah (Jasser Auda, 2014: 7). Maslahah pada tahap daruriyyat merupakan
perkara yang menjadi teras kepada kehidupan manusia. Sekiranya perkara
daruriyyat ini tidak ada, kehidupan akan menjadi kucar-kacir. Kualiti hidup
akan terjejas teruk.
2. Hajiyat adalah perkara yang diperlukan oleh seseorang untuk
menghilangkan kesusahan dan meringankan beban dalam setiap sudut
kehidupannya. Ia adalah sesuatu yang menjadi keperluan manusia bagi
menyelesaikan masalah hidup seharian (Jakim, 2018: 9). Sekiranya
kemudahan dalam peringkat hajiyat tidak ada, kehidupan tidak terjejas,
namun taraf kehidupan berada di tahap yang masih tidak selesa.
3. Tahsiniyat adalah sesuatu yang mencantikkan kehidupan atau tujuan hidup.
Contoh bagi tahap tahsiniyat ialah pakaian baharu yang mewah, wangi-
wangian, kediaman mewah dengan perhiasan yang indah-indah (Jasser
Auda, 2014: 9). Tahap ini perlu dibuat dengan berhati-hati kerana individu
Muslim perlu tahu menyusun keutamaan dalam kehidupan masing-masing.
Konsep maslahah dan susunannya perlu difahami kerana ia berfungsi sebagai
panduan dalam pengurusan harta keluarga. Ia boleh dijadikan sebagai neraca atau alat
pengukur kepada pengagihan harta dan wang yang dimiliki kepada orang lain.
-
14
Pembahagian Pengurusan Harta Keluarga
Terdapat dua perancangan iaitu perancangan semasa hidup dan perancangan selepas
berlakunya kematian pemilik harta, iaitu faraid. Antara bentuk perancangan dalam
pengurusan harta keluarga semasa hidup ialah:
1. Hibah semasa hidup, dalam keadaan sihat,
2. Hibah semasa hidup, dalam keadaan sakit tenat (marad al-maut),
3. Wasiat ikhtiariyyah (sukarela),
4. Wasiat wajibah (pemberian harta pusaka kepada cucu yang kematian ibu
atau bapa sebelum kematian datuk atau nenek),
5. Wakaf keluarga/khas,
6. Sedekah tatawwu' (sukarela dan spontan),
7. Nazar dan sebagainya (Mohd Zamro Muda et. al, 2006: 13).
Cabaran dan Sikap Negatif dalam Pengurusan Harta Keluarga
Menguruskan harta bukan sekadar suatu pelaksanaan tanggungjawab yang
memerlukan penelitian tertentu, tetapi ia mempunyai cabaran-cabaran tertentu yang
antaranya ialah:
1. Kekurangan ilmu yang bersangkutan dengan kaedah atau instrumen
pengurusan harta, termasuklah dari sudut hukum-hakam,
2. Kurang kefahaman terhadap peruntukan undang-undang dan prosedur
tertentu,
3. Kerenah birokrasi, dan
-
15
4. Waris tidak dapat dikesan (isu mafqud).
Sikap dan Amalan Negatif Masyarakat Islam
1. Suka bertangguh-tangguh dan berlengah-lengah,
2. Mengambil mudah dan tidak berasa penting terhadap pengurusan harta,
3. Tidak ada kerjasama dan muafakat oleh kalangan waris dan ahli keluarga,
4. Bergantung harap pada pihak-pihak tertentu,
5. Tamak,
6. Cuai, dan
7. Tidak mahu mempelajari atau tidak mengambil tahu undang-undang yang
berkaitan. (e-HUDA969)
Cadangan/ Panduan Penyelesaian
1. Menginsafi bahawa setiap urusan dan permasalahan manusia harus
diselesaikan dengan bertunjangkan tauhid (Muhammad Wasiullah Khan,
1989: 8). Pengurusan bagi permasalahan manusia dengan bertunjangkan
tauhid menjurus kepada penunaian tanggungjawab atau kewajipan sebagai
amal salih yang dilakukan secara syura demi keredaan Allah SWT bagi
mencapai al-falah, iaitu kesejahteraan dunia dan akhirat, dan membendung
al-fasad iaitu penyelewengan (Mohd Affandi Hassan, 1992: 56).
2. Menginsafi bahawa pada hakikatnya hak pemilikan ialah hak Allah SWT.
Keupayaan serta kemampuan manusia untuk memiliki apa-apa sahaja di
dunia ini adalah kerana izin-Nya dan juga pemberian-Nya. Hal yang
demikian adalah kerana setiap sesuatu adalah berasal daripada Allah, dan
-
16
Allah SWT telah pun menjelaskan bahawa harta itu merupakan milik-Nya.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah at-Taha ayat enam yang
bermaksud, “Dialah juga yang memiliki segala yang ada di langit dan yang
ada di bumi serta yang ada di antara kedua-duanya, dan juga yang ada di
bawah tanah basah di dalam perut bumi.”
3. Harta memiliki hak yang tersendiri. Memahami harta sebagai wasilah dalam
melaksanakan tanggungjawab dan memelihara maslahah. Maka pemilik
harta sebenarnya memegang amanah. Mereka mempunyai hak untuk
menikmati faedah daripadanya, dan untuk dinikmati secara bersama-sama
dengan orang yang berhak di bawah perlindungan syariah dengan tujuan
untuk mewujudkan suatu suasana yang dapat menjamin kebajikan sosial.
Rujuk Surah al-Qassas, ayat 77 yang bermaksud, “Dan carilah pada apa
yang dianugerahkan Allah padamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan
janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi,
dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat
baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.”
Manakala Surah al-Hadid ayat tujuh bermaksud, “Berimanlah kepada
Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian daripada hartamu yang
Allah telah jadikan kamu menguasainya, maka orang-orang yang beriman
antara kamu dan menafkahkan (sebahagian) daripada hartanya (nescaya)
ia memperoleh pahala yang besar.”
Sebaliknya agama melarang penyelewangan terhadap harta. Jika
berlaku penyelewengan terhadap harta, maka akan berlaku rantaian
-
17
kerosakan terhadap ahli keluarga dan masyarakat, seterusnya kepada
negara. Rujuk Surah al-Fajr ayat 20 yang bermaksud, “Dan kamu pula
kasihkan harta secara tamak haloba.” Juga Surah an-Nisaa’ ayat 29 yang
bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan
(gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu,
judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan
secara suka sama suka antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-
bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”
4. Memiliki ilmu-ilmu yang berkaitan dengan pengurusan harta keluarga
termasuk perkara hutang-piutang, nazar, pewakafan, dan mempunyai
inisiatif untuk menguruskan harta.
Mengguna pakai ilmu-ilmu berkaitan bersesuaian dengan kedudukan
dan peranan dalam sesebuah keluarga atau rumah tangga, iaitu sebagai:
a) pemilik harta,
b) pemegang amanah,
c) waris,
d) penerima harta secara hibah, wasiat (juga penerima hak wakaf).
Sebagai pemilik harta pula perlu melihat pada struktur ahli keluarga,
individu yang berkepentingan dan keadaan masing-masing. Antara mereka
yang tersebut ialah:
a) ahli keluarga dan ia waris,
b) ahli keluarga tetapi bukan waris (termasuk bukan Muslim) dan
berkeperluan. Contohnya adik-beradik angkat dan anak angkat.
-
18
c) bukan ahli keluarga tetapi memberi makna dalam kehidupan.
Contohnya jiran sekampung atau setaman dan sahabat karib.
5. Mengguna pakai konsep sulh dan syura. Sulh adalah mekanisme akad yang
dilakukan untuk menyelesaikan pertikaian (Qal’ajiy, Qunaibiy dan Sanu,
1996: 248), dalam keadaan saling reda-meredai bagi mencapai keputusan
yang damai antara dua atau lebih pihak yang berselisih faham. Rujuk Surah
an-Nisaa’ ayat 128 yang bermaksud, “Perdamaian itu lebih baik (bagi
mereka daripada bercerai-berai).”
Konsep syura atau dalam budaya kita sebagai bermesyuarat adalah
amalan yang amat digalakkan dalam Islam. Rujuk Surah Ali Imran ayat tiga
yang bermaksud, “Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan
(peperangan dan soal-soal keduniaan itu). Kemudian apabila engkau telah
berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka
bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang
yang bertawakal kepada-Nya.”
Penutup
Sebagai kesimpulan kepada perbincangan ini, kita dapat melihat betapa harta yang
Allah SWT kurniakan kepada manusia adalah amanah yang akan
dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Harta yang dimiliki haruslah digunakan dan
dimanfaatkan dengan cara yang betul dan tidak melangkaui prinsip-prinsip syariah.
Lebihan harta yang dimiliki juga perlulah diurus dengan kaedah-kaedah yang telah
disediakan oleh syariah supaya agihan dapat dibuat dengan cara yang adil dan hak
-
19
pihak-pihak yang memerlukan dapat ditunaikan. Selain itu hak harta juga dapat
dilaksanakan.
Dalam perbincangan tentang pengurusan dari perspektif Islam, prinsip "al-falah"
telah diberi penekanan (Azman Che Omar, 2001: 52). Maka, prinsip ini amat baik untuk
dijadikan sebagai matlamat akhir bagi sebarang pengurusan dan dalam konteks
perbincangan ini adalah pengurusan harta keluarga. "Al-falah" memberi maksud
sebagai "kemenangan" secara menyeluruh kehidupan seseorang insan. Ia turut meliputi
kemenangan di dunia dan akhirat; dan juga kemenangan jasmani serta rohani.
Bagi mereka yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam
pengurusan harta peribadinya, atau harta keluarganya maka Allah SWT telah
merakamkan janji baik sebagaimana yang disebut dalam firman-Nya dalam Surah an-
Nahl, ayat 97:
"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia
beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan
kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka
dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka
kerjakan."
Selanjutnya, al-falah akan menatijahkan kemenangan yang diistilahkan sebagai
al-fauz. Al-fauz adalah istilah yang merujuk kepada kemenangan dan benar-benar
diterima di alam akhirat. Dalam al-fauz pemilik harta yang mengurus hartanya dengan
bijak akan memperoleh timbangan baik yang berat di Padang Mahsyar; mendapat
keampunan daripada Allah; terselamat daripada azab neraka; mendapat keredaan
daripada Allah; mendapat limpahan rahmat-Nya; dan diterima masuk ke dalam syurga
dengan segala nikmat di dalamnya secara kekal abadi (Haron Din, 2015: 764).
-
20
RUJUKAN
Al-Quran al-Karim.
Abdul Karim Zaydan. Al-Madkhal li Dirasat al-Shari'ah al-Islamiyyah. Beirut: Maktabah
al-Quds, 1986.
Azman bin Mohd Nor & Muhamad Nasir bin Haron. Konsep Harta dari Perspektif
Syariah. Dalam Faraid dan Perancangan Pewarisan, suntingan oleh Muhammad
Hisham bin Mohammad. Kuala Lumpur: IKIM, 2019.
Azman Che Omar. Pengurusan di Malaysia dari Perspektif Islam. Kuala Lumpur: DBP,
2001.
e-HUDA969. “Sikap Negatif Berhubung Pengurusan Pusaka, 11 Mei 2011.” http://e-
huda969.blogspot.com/2011/05/sikap-negatif-berhubung-pengurusan.html [capaian
pada 2 September 2020].
Helbert Goldenberg & Irene Goldenberg. Family Therapy: An Overview. Edisi ke-8.
Brooks/Cole Cengage Learning, 2013.
Haron Din. Manusia dan Islam. PTS Publications & Distributors, 2015.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Maqasid Syariah. Putrajaya: Jakim, 2018.
Jasser Auda. Memahami Maqasid Syariah. Terj. oleh Marwan Bukhari A. Hamid. Batu
Caves: PTS Islamika Sdn. Bhd., 2015.
Kamus Dewan. Edisi Ke-4. Kuala Lumpur: DBP, 2013.
M. Saeful Amri & Tali Tulab. "Tauhid: Prinsip Keluarga dalam Islam (Problem Keluarga
di Barat." Jurnal Studi dan Penelitian Hukum Islam [April 2018]: 95-134.
http:/jurnal.unissula.ac.id/index.php/ua [capaian pada 9 Oktober 2019].
http://e-huda969.blogspot.com/2011/05/sikap-negatif-berhubung-pengurusan.htmlhttp://e-huda969.blogspot.com/2011/05/sikap-negatif-berhubung-pengurusan.html
-
21
Mohd Zamro Muda, Wafaa Yusof & Zamzuri. Konsep Harta dan Kepentingan
Pengurusannya menurut Perspektif Islam. Dalam Prosiding Seminar Kebangsaan
Pengurusan Harta dalam Islam. Sidang editor Zamzuri Zakaria et.al. Bangi: UKM, 2006.
Mohd Affandi Hassan. The Tawhidic Approach in Management and Public
Administration-Concepts, Principles and Alternative Model. Kuala Lumpur: Institut
Tadbiran Awam Negara, 1992.
Muhammad Ibn Abi al-Fadhl al-Sarakhsi. Al-Mabsut. Jil. 20. Beirut: Dar al-Ma’rifah,
1978.
Muhammad Ibn Muhammad al-Ghazali. Al-Mustasfa min 'Ilm al-Usul, suntingan oleh
Muhammad Sulayman al-Ashqar. Beirut: al-Risalah Publishing House, 1997.
Muhammad Rawwas Qal’ajiy, Hamid Sadiq Qunaibiy dan Qutb Mustafa Sanu. Mu’jam
Lughat al-Fuqaha’. Beirut: Dar al-Nafa’is, 1996 (1416H).
Muhammad Wasiullah Khan. Pendidikan dan Masyarakat dalam Dunia Islam. Terj.
Mohamad Nordin Zainuddin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.
Nurul Syafini Binti Abd Rahman et. al. Pemakaian Konsep Wasiat Wajibah di Malaysia.
http://conference.kuis.edu.my/pasak2017/images/prosiding/ekonomi/01-Syafini.pdf
[capaian pada 9 Oktober 2019].
Suzana Samsudi & Siti Shamsiah Md Supi. "Konsep Pengurusan Kewangan menurut
Maqasid al-Shariah." Pembentangan di International Conference on Law and Islamic
Jurisprudence (2nd ICIJ 2018), Prince of Songkla University, Phuket Campus, Thailand,
30 April 2018.
Wahbah al-Zuhailiy. Al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh. Juz. 4. Damsyik: Dar al-Fikr, 1985
(1405H).