Sosial Sbg Panduan Hidup Bdasrkn Alquran & Sunnah
-
Upload
sitiharijah -
Category
Documents
-
view
41 -
download
8
description
Transcript of Sosial Sbg Panduan Hidup Bdasrkn Alquran & Sunnah
Memahami Fiqh Hadharah Dalam Pembentukan Tamadun IslamPosted by Muhammad Firdaus bin Abdul Hadi Tuesday, October 11, 2011 Labels: Mahasiswa
Pengenalan
Usaha membangunkan sesebuah tamadun manusia sememangnya bukan suatu usaha yang
mudah. Ianya memerlukan beberapa gabungan kekuatan dan kemahiran dalam rangka
untuk menjayakannya samada ianya berbentuk sumber pembentukan tamadun, pedoman
dalam membentuk sesebuah ketamadunan, individu-individu yang terlibat dalam
pembangunan sesebuah tamadun, kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai dalam
membina tamadun dan sebagainya.
Apabila membicarakan soal pembangunan ketamadunan, maka apa yang paling penting
adalah soal membangunkan sesebuah tamadun yang sempurna, bukan sekadar
membangunkan sesebuah tamadun secara sambil-lewa. Misalnya, pembinaan sesebuah
rumah yang sempurna adalah tujuan utama sesebuah pembinaan, bukan semata-mata
membina sebuah rumah kerana, membina sebuah rumah yang tidak kualiti itu ibarat
menyediakan kemusnahan bagi penghuninya.
Maka, fahamlah kita bahawasanya, membangunkan tamadun yang tidak sempurna sudah
tentu akan membawa kepada penghuninya terdedah kepada risiko kemusnahan. Oleh
yang demikian, manusia sememangnya memerlukan pedoman dalam membangunkan
sesebuah tamadun yang sempurna, di samping kemahiran yang dimiliki untuk
membangunkannya.
Peranan Al-Qur’an dalam Pembangunan Tamadun
Pada perbahasan yang terbatas ini, kita cuba menekankan tentang kepentingan Al-Qur’an
sebagai sumber pembangunan sesebuah tamadun yang sempurna. Al-Qur’an (di samping
As-Sunnah) merupakan pedoman yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada umat
manusia agar mereka mampu menjalani kehidupan dengan lebih sempurna.
Allah s.w.t. mengingatkan kita tentang peranan Al-Qur’an sebagai hidayah kepada
manusia dalam firmanNya yang bermaksud:
“Al-Qur’an diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang
nyata mengenai petunjuk dan pemisahkan yang hak dari yang batil”(Surah Al-
Baqarah:186)
Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud:
“Segala sesuatu telah Kami terangkan dengan keterangan yang terperinci”. (Surah Al-
Isra’:13)
Maksudnya, Allah s.w.t. memberi penjelasan yang sangat terperinci termasuklah
berkenaan dengan pembangunan sesebuah tamadun yang sempurna kerana pembinaan
sesebuah tamadun yang sempurna sangat penting dalam usaha menjaga peranan syariat
Islam dalam masyarakat Islam tersebut.
Ianya berkaitan dengan segenap aspek kehidupan manusia dalam membentuk sesebuah
kemasyarakatan yang bermanfaat, termasuklah aspek budaya, ekonomi, sosial, politik dan
sebagainya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Telah Kami turunkan kepada engkau kitab itu untuk menjelaskan segala sesuatu dan
petunjuk dan rahmat dan kabar suka bagi orang-orang yang menyerahkan diri kepada
Allah”. (Surah An-Nahl: 90).
Tamadun dan Peradaban
Tamadun itu sendiri berasal dari perkataan Tamaddun dalam bahasa Arab, yang diambil
dari kata asal: madana (membangun sesuatu kawasan hingga menjadi sebuah bandar).
Manakala, tamadun dari segi istilahnya bermaksud suatu fenomena perubahan daripada
corak kehidupan yang mundur dan liar, kepada corak kehidupan yang maju, yang
berpusat di kota atau bandar. [Dr. Abdul Rahman, Sejarah dan Tamadun Islam, m/s: 181]
Istilah-istilah yang sinonim dengan tamadun adalah hadharah, peradaban dan thaqafah.
Namun, penggunaan istilah peradaban lebih meluas berbanding istilah-istilah lain. Para
sarjana Islam dan Barat mengetengahkan pelbagai ciri-ciri sebuah tamadun dan
peradaban. Namun, di sini, kita akan membincangkan mengenai dua pendapat daripada
ribuan pendapat-pendapat yang lain.
Menurut Jamaluddin Al-Surur, ciri-ciri tamadun (Islam) adalah [ibid]:
1) Negara dan kerajaan Islam
2) Kegiatan ekonomi
3) Kehidupan sosial
4) Perkembangan intelektual
Adapun dalam membincangkan mengenai sebuah tamadun, kita juga seharusnya
membincangkan mengenai sumber-sumber pembentukan sesebuah tamadun. Menurut Dr.
Abdul Rahman, sumber tamadun merujuk kepada sumber ilmu pengetahuan itu sendiri.
Sumber ilmu pengetahuan ada empat, iaitu: wahyu, pancaindera, akal fikiran, atau ilham.
Daripada sumber-sumber tersebutlah lahirnya pelbagai tamadun yang berbeza. Tamadun
yang bersumberkan wahyu akan menjadi sebuah tamadun Iman/Rabbani, manakala
tamadun yang berasaskan pancaindera akan menjadi sebuah tamadun materialistik.
Tamadun yang berasaskan akal fikiran akan menjadi sebuah tamadun intelek dan
tamadun yang berasaskan ilham (atau khayal) semata-mata akan menjadi sebuah tamadun
mistik.
Jadi, tamadun Islamlah yang merupakan sebuah tamadun yang sempurna dan hakiki,
kerana ianya bersumberkan kepada wahyu daripada Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. dan
membangunkan masyarakat Islam dengan berasaskan petunjuk wahyu. Islamlah yang
merupakan tamadun rabbani yang membentuk keseimbangan dalam ketamadunan
manusia, samada dari sudut kerohanian mahupun dari sudut kebendaan.
Apabila sesebuah tamadun dibangunkan atas pimpinan wahyu Allah s.w.t., maka
pembangunan tamadun tersebut pasti akan menjadi suatu proses pembangunan yang
sempurna. Ini kerana, pembentukan dan pembangunan tersebut berdasarkan prinsip-
prinsip fitrah yang sempurna, yang diajarkan oleh Allah s.w.t. sendiri, kepada manusia.
Maka, tamadun Islam merupakan sebuah tamadun Rabbani, yang membangun berasaskan
suluhan Ilahi, terutamanya pada generasi pertama umat Islam. Berkat keteguhan umat
Islam generasi awal yang berpegang teguh dengan Aqidah, Syariat dan Akhlak Islam,
maka Allah s.w.t. mencurahkan rahmatNya ke atas umat Islam, generasi demi generasi,
sehinggalah ke hari ini. [Dr. Abdul Rahman: Ibid]
Tamadun Insan Bukan Tamadun Bangunan
Sejarah sendiri sudah menunjukkan kepada kita tentang keagungan tamadun-tamadun
terdahulu sebelum kemunculan tamadun Islam. Namun, tamadun-tamadun tersebut
musnah kerana dibina secara tidak sempurna kerana kebanyakkannya mengabaikan sudut
pembangunan kerohanian manusia tatkala sibuk membangunkan sudut kebendaan
semata-mata.
Malah, tamadun yang dibina sebelum kedatangan Islam kebanyakkannya leka dengan
kebendaan sehingga mengabaikan seruan para Rasul a.s. ke arah mengabdikan diri
kepada Allah s.w.t.. Hal ini sebagaimana telah dijelaskan dalam Al-Qur’an yang berbunyi
(maksudnya):
“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhan lakukan terhadap kaum Ad?
(Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. Yang belum
pernah diciptakan bangunan-bangunan seumpama itu di negeri-negeri lain. Dan kaum
Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadi Al-Qura tempat tinggalnya).
Dan Fir’aun yang mempunyai bangunan-bangunan yang kukuh dan tinggi. Yang
bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan kerosakan di
negeri itu. Maka (dengan sebab itu), Tuhan menimpakan mereka (pelbagai) paluan azab
(yang tidak putus-putus). Sesungguhnya Tuhanmu tetap menguasai (setiap amalan)”
(Surah Al-Fajr: 6-14)
Lihatlah isyarat jelas daripada Allah s.w.t. bahawasanya, sehebatmana pun sesebuah
tamadun itu dibangunkan dari sudut kebendaan, namun jika ianya tidak dilengkapi
dengan konsep kehambaan kepada Tuhan yang merupakan pembangunan dari sudut
kerohanian, maka tamadun tersebut akan menuju kebinasaan, samada dengan tangan-
tangan mereka sendiri atau dengan siksaan daripada Allah s.w.t..
Apabila kita membicarakan soal pembangunan sesebuah tamadun kemanusiaan (Al-
Hadarah Al-Insaniyyah), maka sudut kesempurnaan manusia itu sendiri sangat perlu
diambil perhatian. Sudah semestinya, manusia berbeza dengan patung-patung atau robot-
robot, kerana manusia mempunyai sudut kerohanian di samping sudut kebendaan
(Madiyyah).
Maka, sebarang pembangunan tamadun yang tidak lengkap akan membawa musibah
kepada masyarakat yang menghuni di dalam tamadun tersebut. Oleh sebab itulah,
manusia perlu membina sebuah tamadun yang sempurna bagi kemaslahatan mereka di
dunia, dan kebaikan mereka di akhirat.
Dengan hanya membangunkan sudut kebendaan dalam membina sesebuah tamadun bagi
manusia, ia ibarat membina sebuah hutan batu bagi haiwan-haiwan yang menghuni di
dalamnya. Ia hanya menjanjikan kemusnahan di masa hadapan, biarpun indah buat
seketika tatkala dipandang mata. Ini kerana, kesempurnaan sudut kerohanian dengan
menanamkan aspek kehambaan diri kepada Allah s.w.t. telah diabaikan dalam pembinaan
tamadun sedemikian rupa.
Sekali lagi kita renungkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Alangkah banyaknya taman-taman dan mata air-mata air yang mereka tinggalkan. Dan
kebun-kebun serta tempat-tempat yang indah-indah. Dan nikmat kesenangan yang
mereka nikmatinya. Demikianlah, dan Kami wariskan semua itu kepada kaum yang lain.
Maka langit dan bumi tidak menangisi mereka serta mereka tidak diberi tangguh” (Surah
Al-Dukhan 25-29)
Keagungan kebendaan tamadun-tamadun terdahulu hanya menjadi bukti mereka pernah
wujud suatu ketika dahulu. Malah, ianya juga menjadi bukti bahawasanya, tamadun yang
dibina hanya untuk kenikmatan dunia, tanpa konsep kehambaan di jiwa masyarakatnya,
hanya mengundang malapetaka. Ianya terus menjadi bukti kekerdilan manusia di sebalik
ketamadunan yang agung, ketika berhadapan dengan ketentuan Allah s.w.t..
Pembangunan Tamadun Menerusi Kaca Mata Kehambaan Diri
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Inilah suatu kitab yang telah Kami turunkan kepada engkau, supaya engkau dapat
mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya”. (Surah Ibrahim: 2)
Al-Qur’an merupakan kitab panduan agar umat Islam mengeluarkan manusia daripada
kegelapan kebendaan dan kesesatan kepada cahaya keimanan dan kehambaan.
Adalah menjadi rahsia terbesar di mana, umat Islam pada peringkat awal mampu
membina sebuah masyarakat yang digeruni oleh empayar-empayar besar di sekelilingnya.
Ini kerana, Islam itu sendiri, di samping menjadi pedoman dalam kehidupan seseorang
secara individu, ia malah menjadi pedoman bagi manusia secara bermasyarakat (sosial).
Jarang para pengkaji tamadun sedar bahawasanya, nilai rasa “kehambaan diri” dalam diri
individu muslim pada ketika itu menjadi asas kesempurnaan tamadun yang mereka bina.
Ketika seluruh masyarakat Islam menghayati makna kehambaan diri kepada Allah s.w.t.,
maka dalam masa yang sama juga mereka melihat, sudut pandang cabang bagi
kehambaan diri itu adalah sudut khilafah dalam diri mereka di mana mereka
bertanggungjawab memakmurkan bumi ini.
Bertolak dari rasa kehambaan diri kepada Allah s.w.t., maka mereka berusaha
menyebarkan risalah Islam kerana ianya adalah tanggungjawab masyarakat Islam itu
sendiri. Maka, dengan usaha dakwah yang murni tersebut, akhirnya meluaskan lagi
ketamadunan Islam. Hasil gabungan setiap individu yang melihat sudut diri dengan sudut
kehambaan yang sempurna, menyebabkan munculnya sebuah masyarakat yang penuh
kehambaan kepada Tuhan lalu membentuk sesebuah tamadun yang sempurna berteraskan
aspek kehambaan (Ubudiyyah) tersebut.
Rasa kehambaan diri kepada Allah s.w.t. ini lahir daripada pandangan hati terhadap
konsep tauhid yang murni di mana, tatkala cahaya tauhid mula menyinari sanubari insan,
maka muncul rasa penghayatan bahawasanya dirinya hidup di dunia ini sebagai hamba
Allah s.w.t. yang bertanggungjawab melaksanakan tugas kehambaannya di dunia ini.
Inilah asas utama dalam diri seseorang muslim yang akhirnya menumbuhkan sebuah
pokok ketamadunan yang agung dan sempurna. Asas ini digambarkan oleh Allah s.w.t
dalam Al-Qur’an yang bermaksud: Maha benarlah firman Allah s.w.t. di dalam Surah
Ibrahim yang bermaksud:
“Tidakkah mereka perhatikan, bagaimana Allah membuat perumpamaan mengenai
kalimah tayyibah (kalimah tauhid kepada Allah s.w.t.) seperti pokok yang baik, akarnya
kukuh (pasak ke dalam bumi) dan cabang-cabangnya merendang ke langit. Pohonnya
mengeluarkan buah-buahan pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat
perumpamaan-perumpamaan tersebut agar mereka selalu ingat.” (Surah Ibrahim: 24)
Sudah tentulah, cahaya tauhid ini seterusnya menumbuhkan buah keimanan, ketaqwaan,
akhlak mulia, kesolehan dan sebagainya. Sudut keimanan, ketaqwaan, akhlak mulia, amal
soleh yang dilakukan dan sebagainya inilah yang menjadikan mereka mampu akhirnya,
membina tamadun yang agung dan sempurna. Hal ini juga telah dijelaskan oleh Allah
s.w.t. yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah menulis di dalam kitab-kitab (Zabur dan
sebagainya) yang Kami turunkan sesudah tulisannya (pada Luh Mahfuz) bahawasanya
bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh” (Surah Al-Anbiya’: 105)
Maksud mewarisi bumi ini adalah, mereka membina sebuah tamadun yang agung lalu
menguasai dunia sebagaimana yang pernah dibina oleh masyarakat terdahulu. Tamadun
Islam suatu ketika dahulu benar-benar telah mencapai tahap kemakmuran yang sangat
memberangsangkan. Ianya natijah daripada keimanan dan amal soleh yang dikerjakan
oleh masyarakat Islam dalam rangka menunaikan kehambaan diri kepada Allah s.w.t..
Natijah daripada rasa kehambaan diri dalam masyarakat Islam akhirnya membawa
kepada usaha membangunkan bi’ah (persekitaran) yang baik secara berhikmah
sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Iaitu meraka (umat Islam) yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi,
nescaya mereka mendirikan solat, memberikan zakat, menyuruh membuat kebaikan
dan menegah daripda melakukan kejahatan dan kemungkaran” (Surah Al-Hajj: 41)
Sememangnya, usaha menyuruh ke arah kebaikan dan menegah kemungkaran yang lahir
daripada jiwa rasa kehambaan adalah jalan ke arah pembentukan sesebuah tamadun yang
sempurna. Hal ini dikuatkan lagi dengan firmannya yang bermaksud:
“Kamulah (wahai umat Islam) sebaik-baik umat, yang dikeluarkan bagi seluruh umat
manusia, (yang mana, diantara ciri-cirinya sebagai sebaik-baik umat), yang menyuruh
kepada kebaikan dan melarang daripada keburukan (dan kejahatan) serta beriman
kepada Allah…’’ (Ali Imran :110)
Hadarah Rabbaniyyah
Konsep ketamadunan dan pembangunan sesebuah peradaban dalam Islam perlu
berteraskan suluhan dan ajaran wahyu sama ada dari Al-Qur’an mahupun As-Sunnah. Ini
yang membezakan tamadun Islam dengan tamadun-tamadun yang lain di mana tamadun
Islam adalah sebuah tamadun yang berpaksikan hidayah dan petunjuk Allah s.w.t. (Al-
Hadharah Ar-Rabbaniyyah).
Adapun tamadun-tamadun lain dibangun atas kesimpulan dan pemikiran akal manusia
yang terbatas yang berteraskan ideologi dan falsafah rekaan manusia yang tidak
sempurna. Ini menjurus kepada sebuah pembangunan ketamadunan yang pincang dan
akhirnya membebankan para penghuninya.
Ilmu dan Pembangunan Tamadun
Al-Qur’an sebagai pedoman yang sempurna dalam pembentukan sesebuah tamadun yang
sempurna, pasti menjelaskan tentang antara teras pembangunan tamadun adalah dengan
perkembangan budaya keilmuan dalam sesebuah masyarakat. Al-Qur’an banyak
menekankan kepentingan menuntut ilmu.
Antaranya adalah sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ‘‘Bacalah dengan
nama Tuhanmu yang menciptakan’’ (Surah Al-Alaq :1)
Budaya ilmu sangat penting dalam kesempurnaan sesebuah tamadun. Manusia mampu
terus maju dalam segenap bidang, samada bidang agama mahupun keduniaan, bidang
kerohanian mahupun kebendaan, dengan perkembangan ilmu dalam diri mereka. Oleh
yang demikianlah, Islam menuntut manusia menuntut ilmu sebanyak mungkin dalam
rangka membentuk keperibadian muslim yang sempurna.
Malah, berdasarkan ayat tersebut juga kita fahami bahawasanya, Islam menggalakkan
kita menuntut ilmu yang bersifat bersepadu (intergrated knowladge) yang mana setiap
ilmu tersebut mendekatkan diri kita kepada kewujudan dan keagungan Allah s.w.t., bukan
menjauhkan kita daripada konsep ketuhanan sebagaimana sifat ilmu yang cuba
dikembangkan oleh masyarakat Barat moden iaitulah ilmu yang terpisah
(departmentalised knowladge).
Isyarat kesepaduan ilmu ini didapati pada firman Allah s.w.t. yang berbunyi: “bacalah
dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…”, yang menunjukkan bahawasanya, ilmu itu
semestinya sesuatu yang mendekatkan dirimu kepada Maha Pencipta itu sendiri
(taqarrub).
Maka, dewasa ini, cabaran dalam menghadapi nilai ilmu (aksiologi ilmu) yang bersifat
sekular (terpisah antara urusan keagamaan dengan urusan keduniaan) ini sangat perlu
ditangani dengan sebarang usaha pemurnian minda masyarakat Islam daripada penyakit
Sekularisme mahupun memperbaiki semula kerangka falsafah ilmu dengan agenda
Islamisasi Ilmu (Islamization of Knowladge) dan sebagainya.
Banyak ayat-ayat lain yang menggalakkan umat Islam mendalami ilmu-ilmu samada ilmu
agama mahupun ilmu keduniaan. Antaranya, firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Katakanlah (Hai Muhammad): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan
orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat
menerima pelajaran. (Surah Az-Zumar: 9)
Institusi Ulama’ dalam Penjagaan Ilmu-ilmu Agama
Namun, ada suatu aspek yang sangat penting untuk difahami oleh masyarakat Islam
adalah, kepentingan institusi ulama’ itu sendiri dalam memahami ilmu-ilmu agama.
Seseorang yang awam dan tidak mempunyai latar belakang ilmu agama yang mendalam
tidak boleh terus berusaha memahami ajaran Islam tanpa merujuk kepada para ulama’
dalam mendapatkan penerangan yang benar terhadap nas-nas Islam (Al-Qur’an dan As-
Sunnah).
Institusi ulama’ yang dimaksudkan adalah suatu institusi ulama’ yang berada dalam
kelompok majoriti umat Islam (As-Sawad Al-A’zhom), bukan mewakili golongan
terpinggir (syaz) seperti golongan mujasssimah, mu’tazilah, syiah dan sebagainya.
Insititusi ulama’ tersebut adalah para ulama’ ahlus-sunnah wal jamaah yang mewarisi
manhaj berinteraksi dengan nas-nas wahyu secara sahih daripada para sahabat r.a. dengan
sanad (silsilah) yang bersambung kepada generasi mereka.
Kepentingan merujuk para ulama’ ini dijelaskan sendiri dalam Al-Qur’an sebagaimana
firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“…Bertanyalah kepada Ahl Az-Zikr jika kamu tidak mengetahui” (Surah An-Nahl: 43)
Ayat ini mengingatkan kepada orang-orang awam dan orang-orang jahil supaya merujuk
Ahli Ilmu (Ahl Zikr) dalam urusan yang tidak diketahui, bukan terus merujuk kepada
sumber ajaran Islam seperti Al-Qur’an dan As-Sunnah, kerana ianya memerlukan kepada
beberapa ilmu asas yang penting sebelum berinteraksi dengan kedua-duanya. Oleh sebab
itulah, kefahaman yang sahih perlu diambil oleh para ulama’ yang merupakan pewaris-
pewaris bagi para Nabi dari sudut menjelaskan apa yang kesamaran daripada wahyu itu
sendiri.
Mengapa aspek ini turut ditekankan dalam perbincangan berkenaan pembentukan
sesebuah tamadun Islam yang gemilang? Ini kerana, sesuatu perkara tersebut jika
dilakukan atau diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka kesannya adalah negatif,
ibarat tikus membaiki labu. Golongan awam atau golongan yang tidak mempunyai latar
belakang pendidikan ilmu agama yang kuat serta tidak mendapat izin untuk
membahaskan ilmu-ilmu agama, maka sewajarnya memahami kadar kemampuan diri
mereka.
Ketika Rasulullah s.a.w. mengutuskan wakil-wakil Baginda s.a.w. untuk menyampaikan
kefahaman Islam terhadap masyarakat luar Madinah, Rasulullah s.a.w. memilih hanya
yang ahli (berkelayakan) sahaja dalam menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat,
seperti Muaz bin Jabal dan sebagainya. Ini menunjukkan tradisi asal dalam menjaga
kesucian Islam adalah dengan membataskan “siri penerangan Islam” kepada mereka yang
benar-benar berkelayakan dari sudut penguasaan ilmu-ilmu agama yang asas.
Hadith Rasulullah s.a.w. ada menyebut:
“Sesiapa yang bercakap mengenai Al-Qur’an dengan pendapatnya (tanpa ilmu), maka
tersedialah baginya tempat di neraka”. [riwayat Imam At-Tirmizi].
Maka, tidak wajar seseorang itu terpengaruh dengan hasutan jahat golongan liberal yang
mengajak kepada kebebasan mutlak dalam menafsirkan Al-Qur’an dan As-Sunnah
dengan fikiran sendiri. Ia adalah suatu seruan sesat yang mengajak kepada kesesatan lalu
membawa kemusnahan dalam sesebuah ketamadunan Islam.
Seruan ke Arah Kemajuan Teknologi dan Pengetahuan
Islam juga menyeru ke arah mengkaji alam ini dan segala yang mampu dikaji daripada
alam ini dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Ini kerana, pada kejadian alam ini ada
petanda bagi kekuasaan Allah s.w.t.. Maka, ramai ahli ilmuwan Islam menjumpai
perkaitan antara ayat-ayat Al-Qur’an dengan ilmu sains moden lalu usaha ini dikenali
sebagai tafsir Ilmiy(Tafsir Saintifik).
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“(Orang-orang bertaqwa adalah) orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri,
duduk mahupun ketika berbaring serta memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi
seraya berkata “Wahai Tuhan kami, Engkau tidak menjadikan semua ini (langit dan
bumi) dengan sia-sia…” [Surah Ali Imran: 191]
Dalam ayat ini bukan juga menceritakan tentang sifat orang-orang beriman yang
memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi, malah menggambarkan betapa fikiran
mereka tentang kejadian alam tersebut membawa kepada mengenal Allah s.w.t. dan
merasai keagunganNya. Inilah isyarat yang jelas tentang kepentingan ilmu dan
penyelidikan bagi pembangunan masyarakat yang sempurna sebagaimana yang
digambarkan sendiri di dalam Al-Qur’an.
Perkembangan ilmu pengetahuan sangat penting dalam mencapai kemajuan bagi
sesebuah tamadun manusia. Al-Qur’an menjadi inspirasi utama bagi muslimin untuk
mengkaji dan mengembangkan ilmu pengetahuan dari segenap sudut.
Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud:
“Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana ia diciptakan? (17) dan kepada
langit bagaimana ianya ditinggikan? (18) dan kepada gunung-ganang bagaimana ia
ditegakkan? (19) dan kepada bumi, bagaimana ia dihamparkan? (20)” (Surah Al-
Ghasyiyah: 17-20)
Perkataan bagaimana dalam setiap ayat tersebut sebagai isyarat terhadap galakan dalam
mengkaji alam ini seluruhnya, dengan diberi beberapa contoh yang dekat dengan orang-
orang musyrikin Makkah pada ketika itu. Sesungguhnya, pada penciptaan alam ini
terdapat tanda kekuasaan dan kewujudan Allah s.w.t.. Oleh sebab itulah Allah s.w.t.
mengingatkan perihal alam ini bagaimana ia “diciptakan”, menunjukkan adanya pencipta
dan Fa’il (Maha Pembuat) di sebalik alam ini iaitulah Allah s.w.t..
Allah s.w.t. berfirman lagi:
“Maka apakah mereka tidak melihat kepada langit di atas mereka,bagaimana Kami
menciptakannya (meninggikannya) dan menghiasinya, sedangkan langit itu tidak
mempunyai sebarang keretakan (cacat cela) sedikitpun?” (Surah Qaf: 6)
Ini menolak konsep Sekular dalam ilmu moden barat di mana ilmu Sains malah
menjauhkan mereka daripada konsep ketuhanan dan keagamaan. Lihatlah bagaimana
ulama’-ulama’ Islam terdahulu mengembangkan ilmu keduniaan dalam masa yang sama
mereka adalah para ulama’ yang mahir dalam bidang ilmu agama.
Masyarakat Barat sememangnya mencemburui masyarakat Islam kerana masyarakat
Islam memiliki suatu agama yang sangat menggalakkan perkembangan ilmu dan
kemajuan. Hal ini dapat disaksikan pada zaman kegemilangan Islam yang melahirkan
cendikiawan-cendikiawan Islam seperti Al-Farabi, Ibn Sina (Avicenna), Hujjatul Islam
Al-Ghazali (Algazel), Al-Biruni, Al-Khawarizmi, Al-Farghani, Al-Zahrawi (Abulcasis),
Al-Haitham (Alhazen) Ibn Rusyd (Averroes), Ibn Al-Hayyan (Gaber) dan sebagainya
yang mengembangkan ilmu-ilmu keduniaan secara bersepadu (tidak terpisah daripada
hidup beragama).
Sedangkan, masyarakat Barat perlu mengorbankan sudut keagamaan dan kerohanian
demi mencapai kemajuan dari sudut kebendaan. Maka, mungkin, kerana kedengkian yang
mendalam, akhirnya dunia Barat menyebarkan agenda sekularisme ke dunia Islam agar
masyarakat Islam masuk ke lubang biawak sebagaimana mereka (Barat) telah
memasukinya [hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim].
Kesempurnaan Akhlak: Nadi Kesempurnaan Tamadun Manusia
Pembagunan dari sudut ilmu semata-mata tanpa disertai dengan amal soleh dan
pembentukan akhlak mulia dalam diri, tidak membawa kepada sesebuah individu yang
sempurna, apatah lagi kepada sesebuah tamadun yang sempurna. Malah, dalam dunia
yang serba moden ini, kita dapati, mereka yang melakukan kerosakan kebanyakkannya
adalah mereka yang berilmu tetapi tidak berakhlak dan tidak bertaqwa.
Maka, dengan ilmu yang mereka miliki, mereka gunakannya ke arah kejahatan. Oleh
yang demikian, krisis sebenar dalam masyarakat moden hari ini adalah krisis akhlak,
bukan krisis ilmu pengetahuan. Ramai orang berilmu tetapi tidak beragama, tidak
berakhlak dan tidak bertaqwa, yang akhirnya menyebabkan mereka menggunakan ilmu
mereka ke arah kejahatan untuk kepentingan diri sendiri.
Al-Qur’an mengajar bahawa manusia merupakan suatu makhluk yang mampu terus
menyempurnakan diri ke arah kesempurnaan akhlak, menerusi konteks kehambaan
dirinya kepada Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, pembinaan peribadi yang memiliki
akhlak mulia sangat ditekankan oleh Allah s.w.t. sebagaimana dalam banyak firmanNya
antaranya adalah:
“Tidaklah sama kebaikan (akhlak) dengan keburukan…” (Surah Fussilat: 34).
Di sini, Allah s.w.t. mengingatkan bahawasanya, kesempurnaan sesebuah masyarakat
bergantung kepada kesempurnaan akhlak yang dimiliki oleh individu-individunya. Oleh
kerana kepentingan ini, Allah s.w.t. mengutuskan seorang Rasul yang mampu dijadikan
sebagai contoh untuk seseorang itu menyempurnakan akhlaknya. Hal ini sebagaimana
Allah s.w.t. menjelaskan kedudukan Rasulullah s.a.w. dengan berfirman:
“Sesungguhnya kamu (Muhammad) mempunyai akhlak yang agung” (Surah Al-
Qalam :4).
Maka, kita sebagai individu dalam masyarakat Islam perlu mencontohi akhlak Rasulullah
s.a.w.. Ia sebagai kunci keberkesanan pembentukan diri iaitulah dengan konsep
mencontohi dalam berakhlak mulia. Allah s.w.t. mengingatkan kepentingan mencontohi
Rasulullah s.a.w. sebagaimana dalam firmannya yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu ‘uswah hasanah’ (suri teladan yang
baik) bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari
kiamat dan orang yang banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab: 21)
Di samping seruan ke arah kesempurnaan akhlak, Islam juga menegah sebarang usaha
melebihkan hawa nafsu berbanding pedoman dan ajaran yang telah disampaikan oleh
Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, sebarang pembangunan tamadun berteraskan
hedonisme (kepuasan nafsu sebagai tujuan utama kehidupan) dari sudut kebudayaan
adalah tertolak sama sekali. Ianya justeru akan membawa kepada kesesatan dan
kepincangan dalam sesebuah masyarakat.
Hal ini sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai
tuhannya…?” (Surah Al-Furqan: 43)
Allah s.w.t. juga melakarkan suatu manhaj yang sempurna untuk seseorang menguasai
hawa nafsunya iaitulah dengan jalan menyucikan jiwa dan tarbiah diri. Ia selari dengan
konsep menyempurnakan akhlak dari dalam yang menjadi teras proses penyempurnaan
akhlak dalam Islam.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, (9) dan Sesungguhnya
merugilah orang yang mengotorinya. (10) (Surah As-Syams: 9-10)
Maka, dengan ini, secara jelas Islam menolak budaya hedonisme dan budaya hiburan
yang melampaui batasan keagamaan. Islam secara jelas menekankan konsep
bahawasanya dunia ini tempat mengumpul bekalan untuk akhirat kelak, bukan tempat
kelalaian dan kepuasan mutlak.
Konsep Kejujuran dalam Kemasyarakatan
Bagi membina sesebuah tamadun yang cemerlang, ia memerlukan kepada kejujuran
setiap individu dalam masyarakat tersebut, khususnya dalam hubungan kemasyarakatan
itu sendiri. Ini kerana, tamadun Islam yang sempurna dibina atas konsep kejujuran,
berbeza dengan tamadun kebendaan yang menjadikan hipokrasi (kemunafiqan) sebagai
nadi hubungan sosial.
Cuba lihat tamadun Barat yang sibuk menjaga etika zahir ketika di majlis-majlis rasmi
namun tidak mementingkan kesempurnaan dari sudut kerohanian. Boleh jadi sahaja,
seseorang itu kelihatan sopan di majlis rasmi, namun ketika bersendirian, terzahir sifat
kejahatan dari dalam dirinya yang mengajak kepada kemaksiatan dan keburukan. Tiada
akhlak bagi mereka melainkan untuk zahir semata-mata, sedangkan di hati penuh
kekotoran.
Tradisi membangunkan akhlak luaran semata-mata ini bukanlah tradisi pembentukan
akhlak Islam. Oleh sebab itu, Islam membangunkan akhlak manusia secara batin dan
zahir. Ini kerana, Islam sangat menekankan konsep kejujuran seseorang terhadap dirinya
sendiri dan kepada Allah s.w.t. sebagai konsep yang paling utama. Seseorang perlu
berakhlak dengan akhlak yang mulia kerana Allah s.w.t., bukan kerana ingin keredhaan
sesama manusia.
Oleh sebab itulah, Al-Qur’an mengingatkan kita konsep menginsafi kelemahan diri
terlebih dahulu berbanding mencari keaiban sesama manusia. Konsep sibuk melihat
keaiban orang lain berbanding keaiban diri sendiri membawa kepada sebuah masyarakat
yang bersifat suka menghukum, bukan lagi sebuah masyarakat rahmatan lil alamin.
Konsepamr bil ma’ruf wa nahy ani munkar tidak membawa kepada masyarakat yang
saling mencari keaiban sesama mereka namun ianya membawa kepada masyarakat yang
saling menyempurnakan sesama mereka dengan hikmah (kebijaksanaan) dan sekadar
yang diperlukan.
Lihatlah isyarat ini sebagaimana yang digambarkan dalam Al-Qur’an yang bermaksud:
“Adakah kamu menyuruh manusia kepada kebaikan sedangkan kamu melupakan diri
kamu…” (Surah Al-Baqarah: 44)
Begitu juga firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu berkata sesuatu yang kamu sendiri
tidak melakukannya? Amat besarlah kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan
apa yang ttidak kamu sendiri kerjakannya.(Surah As-Shaff: 2-3)
Inilah suatu asas yang penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat yang saling
hormat menghormati di mana setiap individunya sentiasa fokus terhadap penyempurnaan
diri sendiri sebelum sibuk menyempurnakan individu lain. Maka, proses membina
kesempurnaan diri sendiri selalunya akan terkait rapat dengan pembinaan kesempurnaan
sesebuah masyarakat jika setiap individunya melaksanakan tugas meyempurnakan diri
dan nasihat-menasihati sesama muslim ke arah kesabaran dan ketaqwaan.
Ikatan Persaudaraan sebagai Kekuatan Masyarakat
Islam menegaskan konsep persaudaraan di bawah persamaan aqidah mengatasi
hubungan-hubungan yang lain. Konsep persaudaraan dengan ikatan aqidah Islam adalah
konsep yang sangat kuat yang perlu dijaga.
Konsep persaudaraan dengan ikatan aqidah ini menjangkau sempadan tempat dan
perbezaan bangsa. Ini kerana, Islam mengutamakan persamaan aqidah sebagai asas
persaudaraan itu sendiri seterusnya menjadi tali ikatan kukuh dalam sesuatu hubungan
kemasyarakatan. Allah s.w.t. berfirman tentang kepentingan persaudaraan Islam
walaupun berbeza bangsa:
“Wahai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari kalangan laki-laki dan
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu
saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi
Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha
mengetahui lagi Maha Mengenal. (Surah Al-Hujurat: 13)
Dalam ayat ini menegaskan tiga asas yang utama iaitu:
Pertama: Meraikan perbezaan antara bangsa dan kaum serta merai keistimewaaan tertentu
pada bangsa tertentu selagimana ianya tidak membawa kepada kezaliman. Hal ini
sebagaimana dijelaskan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadith sahih tentang
keistimewaan bangsa Quraisy tanpa menjadikannya sebab untuk merendah-rendahkan
bangsa lain.
Kedua: Persaudaraan Islam itu menjangkau sempadan tempat dan perbezaan bangsa.
Oleh kerana itulah, asas kesatuan masyarakat Islam perlu dibina berteraskan agama tanpa
mengabaikan hak-hak tertentu bagi sesuatu bangsa berdasarkan faktor sejarah dan
sebagainya.
Ketiga: Kemuliaan di sisi Allah s.w.t. bagi seseorang bukan merujuk kepada jantinanya
atau kepada bangsanya, tetapi merujuk kepada ketaqwaannya kepada Allah s.w.t..
Persaudaraan berteraskan aqidah juga merangkumi orang-orang Islam samada dari
kalangan orang-orang soleh mahupun dari kalangan orang-orang fasiq. Ini kerana, Islam
menyeru ke arah pembentukan sosial yang baik, di mana setiap individu membantu
sesama lain.
Rasulullah s.a.w. pernah menegur seorang sahabat yang mencela seorang peminum arak
di khalayak ramai kerana celaan kepada ahli maksiat sebegitu tidak pernah membawa
kepada kebaikan samada kepada diri si pencela atau kepada yang dicela. Malah, ianya
justeru merosakkan lagi akhlak si pencela dan menyebabkan orang yang dicela semakin
jauh daripada kebaikan.
Sebab itulah adanya konsep dakwah dalam Islam, di samping konsep tarbiah dan islah
(pemurnian). Maka, sewajarnya individu muslim melihat keruntuhan moral yang
melibatkan sesetengah individu muslim, dengan pandangan belas kasihan lalu mengajak
mereka ke arah kebaikan dengan penuh hikmah dan kelembutan.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu secara berhikmah dan dengan pelajaran
yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah
yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih
mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”. (Surah An-Nahl: 125)
Ayat ini memberi peringatan yang tegas bahawasanya, seseorang pendakwah itu bukanlah
seorang penghukum dengan sewenang-wenangnya menuduh sesat sesama muslim tanpa
alasan yang kukuh. Biar sebesar manapun maksiat seseorang ahli maksiat, namun, sifat
menghukum pada individu yang selayaknya menjatuhkan hukuman, tidak pernah
membantu ahli maksiat tersebut kembali ke pangkal jalan. Oleh sebab itulah, Allah s.w.t.
ingatkan kita di akhir ayat tersebut bahawasanya, hanya Allah s.w.t. sahaja yang lebih
mengetahui siapa yang mendapat petunjuk dan siapa yang tersesat.
Adapun masalah melibatkan fahaman-fahaman yang sesat seperti mu’tazilah,
mujassimah, liberal dan sebagainya, maka ianya juga perlu mengajak kepada kefahaman
yang sahih (as-sawad al-a’zhom) samada secara hikmah atau berbantahan dengan mereka
(jidal) dengan cara yang baik (ilmiah).
Konsep Berlemah Lembut Sesama Muslim dan Bersikap Tegas kepada Orang-
orang Kafir
Persaudaraan Islam ini juga berteraskan konsep “saling mesra sesama muslim dan
bersikap tegas terhadap orang-orang kafir”. Seseorang itu tidak boleh menzahirkan
kemesraan dengan orang-orang kafir dalam masa yang sama menzahirkan permusuhan
dengan sesama muslim atas alasan apa sekalipun. Ini jelas bertentangan dengan konsep
masyarakat Islam yang murni sebagaimana dalam firman Allah s.w.t. yang menyebut:
Muhammad itu adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengan Baginda
adalah bersikap keras (tegas) terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang
sesama mereka (muslim)…” (Surah Al-Fath: 29)
Ini adalah contoh terbaik masyarakat gemilang yang dibina oleh Rasulullah s.a.w..
Baginda s.a.w. dan para sahabat r.a. sangat jelas dengan mengutamakan hubungan
persaudaraan Islam mengatasi hubungan sesama bukan Islam. Bahkan, berdasarkan
catatan sejarah sendiri, Rasulullah s.a.w. yang sudah mengenali orang-orang munafiq
sekalipun, menzahirkan sikap berbaik-baik dengan mereka secara zahir, kerana mereka
menzahirkan keislaman.
Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari
agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai
mereka dan merekapun mencintaiNya, yang mana mereka bersikap lemah lembut
terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang
berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.
Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah
Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Ma’idah: 54)
Ini antara ciri-ciri suatu kaum yang mana Allah s.w.t. mencintai mereka dan mereka juga
mencintai Allah s.w.t., iaitulah bersikap lemah lembut kepada sesama orang-orang
beriman (biar selemah manapun iman di kalangan mereka) dan bersikap tegas terhadap
orang-orang kafir terutamanya yang memusuhi Islam. Pendirian dan dasar inilah yang
membawa kepada pembentukan masyarakat Islam yang jelas secara prinsipnya, yang
tidak mampu lagi dipermainkan oleh musuh-musuh Islam samada secara terang-terangan
ataupun secara bersembunyi. Tidak boleh melakukan sebaliknya iaitu berlemah lembut
dengan orang-orang kafir tetapi bersikap keras dan memusuhi sesama muslimin.
Tamadun yang dibina berdasarkan konsep kecintaan sesama muslim adalah suatu
tamadun yang mencapai kemuncak kebahagiaan kerana dinaungi oleh cinta Allah s.w.t.
kepada mereka. Ia adalah ketamadunan kecintaan, iaitu dibangun atas dasar cinta Allah
s.w.t. dan sesama muslimin.
Ini modul pembangunan ketamadunan Islam yang sempurna. Ciri-ciri persaudaraan Islam
perlu dipupuk secara sempurna agar tiada ruang-ruang untuk dimasuki oleh musuh-
musuh Islam lalu memusnahkan masyarakat Islam. Benarlah ilustrasi Rasulullah s.a.w.
tentang orang-orang beriman dengan sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud:
“Orang beriman dengan orang beriman yang lain bagaikan binaan yang saling kuat
menguatkan antara satu sama lain…” [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari]
Keadilan sebagai Pemangkin Kecemerlangan Tamadun
Konsep keadilan samada dari sudut perundangan mahupun keadilan sosial sangat
ditekankan dalam Al-Qur’an. Ini kerana, konsep keadilan itu sendiri adalah antara inti
terpenting dari keseluruhan ajaran Islam itu sendiri.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat ihsan serta memberi
kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan
permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil
pelajaran. (Surah An-Nahl: 90)
Ayat ini mengingatkan kita kepentingan konsep keadilan, ihsan dan larangan terhadap
kemungkaran dan permusuhan. Ini menunujukkan kepada kita asas utama dalam
pembentukan masyarakat yang baik adalah pada konsep keadilan dan konsep ihsan itu
sendiri.
Namun, keadilan itu perlu difahami dengan maknanya dari sudut pandang agama Islam
itu sendiri, bukan dari kefahaman selain Islam. Keadilan bagi agama Islam adalah
meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukan kesamarataan atau persamaan. Bukan setiap
kesamarataan itu adalah keadilan menurut Islam kerana ada jenis kesamarataan itu
membawa kepada kezaliman seperti menyamakan antara lelaki dengan perempuan dari
sudut tanggungjawab kekeluargaan, dari sudut mencari nafkah dan sebagainya yang
secara jelas menzalimi kaum wanita. Adapun jika kaum wanita itu sendiri mempunyai
kerja dan pendapatan, maka itu tidak menjadi masalah namun tidak diwajbkan dalam
Islam berdasarkan kesesuaian mereka.
Konsep keadilan yang digariskan oleh masyarakat antarabangsa justeru banyak
bercanggah dengan konsep keadilan Islam. Oleh sebab itu, ukuran keadilan sebenarnya
perlu diambil dari penilaian Islam, bukan dari selain Islam. Kita sebenarnya tidak wajar
keliru dengan menganggap setiap orang yang memperjuangkan “keadilan” itu sebagai
memperjuangkan keadilan kerana boleh jadi perjuangan “keadilan” sesetengah pihak itu
adalah “kezaliman” di sisi Islam. Jadi, atas slogan yang sama iaitulah “keadilan”, belum
tentu maksud dari slogan itu adalah sama.
Islam mempunyai garis panduan keadilan yang tersendiri berteraskan Al-Qur’an dan As-
Sunnah. Maka, memahami konsep keadilan menerusi kaca mata selain Islam yang
bercanggah dengan ukuran keadilan Islam adalah suatu kezaliman. Hanya keadilan
dengan makna yang digariskan oleh Islam itulah yang dimaksudkan sebagai apa yang
hampir dengan ketaqwaan itu sendiri sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“…dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu
untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. dan
bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu
kerjakan.” (Surah Al-Ma’idah: 8)
Lihatlah betapa keadilan itu suatu sifat yang hampir kepada ketaqwaan. Oleh yang
demikian, faktor emosi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada seseorang itu
membuat penilaian yang adil bagi sesuatu situasi samada emosi itu berbentuk kebencian
sehingga tidak menilai seseorang itu secara adil ataupun berbentuk kecintaan yang
melampau sehingga membenarkan kezaliman dilakukan oleh orang yang dicintai.
Begitu juga, ketika kita berhadapan dengan seseorang muslim yang melakukan
kezaliman, kita tidak seharusnya membalasnya dengan kezaliman dan permusuhan juga.
Itu bukanlah suatu akhlak Islam. Islam tidak pernah menyuruh seseorang itu memusuhi
atau membenci orang Islam yang zalim tetapi sebaliknya membantu orang yang
melakukan kezaliman sebaik mungkin.
Lihatlah ungkapan Rasulullah s.a.w. ketika bersabda:
“Bantulah saudaramu (seislam) yang zalim mahupun yang dizalimi”.
Para sahabat r.a. lalu bertanya: “Wahai Rasulullah. Bagi membantu yang dizalimi, maka
ianya jelas. Tetapi, bagaimana pula tentang orang yang zalim, bagaimana membantu
orang yang zalim tersebut?”
Rasulullah s.a.w. menjawab: “Kamu tegah dia daripada melakukan kezaliman, maka
itulah bererti kamu telah membantunya”.
Lihat bagaimana Rasulullah s.a.w. menggunakan istilah yang sangat lembut bagi
berhadapan dengan seseorang muslim yang zalim iaitulah: “bantulah saudaramu yang
zalim”, sehingga para sahabat r.a. turut tertanya-tanya tentang maksud perkataan
“bantulah” tersebut.
Kalau terhadap orang yang dizalimi, maka istilah “membantu” itu mudah difahami,
namun jika terhadap orang yang zalim, istilah “membantu” itu seolah-olah menggalakkan
lagi kezaliman itu. Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawasanya, membantu
orang yang zalim itu dengan menegahnya daripada kezaliman.
Namun, uslub bahasa hadith yang tinggi ini menunjukkan isyarat Rasulullah s.a.w. agar
kita menangani orang yang menzalimi diri sendiri atau menzalimi orang lain, secara
lembut sehingga Rasulullah s.a.w. menggunakan istilah “bantulah” bagi orang-orang
yang zalim bahkan menyebut orang yang zalim tersebut sebagai “saudaramu” dengan
menunjukkan isyarat perlu menangani kezaliman tanpa mengabaikanukhuwwah
Islamiyyah. Maknanya, kepada orang yang zalim juga kita perlu lihat dengan penuh
kasihan sebagaimana kita melihat orang yang dizalimi. Bezanya, orang yang zalim itu
kita kasihan kerana dirinya yang menzalimi dan dirinya jugalah yang dizalimi oleh
dirinya sendiri. Jadi, kita menegah kezalimannya kerana kesihankan dirinya yang
dizalimi oleh dirinya sendiri, bukan kerana membencinya atau merasa kita lebih baik
darinya dan sebagainya.
Hubungan saling “membantu” inilah sebenarnya sumber melahirkan tamadun berteraskan
Ukhuwwah Islamiyyah yang tinggi yang seterusnya menjadikan sesuatu masyarakat itu
bersatu dalam kemurnian aqidah, syariat dan akhlak Islam. Tiga unsur ini sangat penting
bagi membentuk sesebuah masyarakat Islam yang sejati, bukan hanya salah satu sahaja
yang difokuskan sehingga mengabaikan sudut-sudut yang lain. Apa yang penting adalah
kerjasama dan sikap saling membantu ke arah kebaikan dan ketaqwaan.
Pertengahan dalam Setiap Urusan
Antara konsep pembinaan ketamadunan yang sempurna adalah konsepwasath atau
pertengahan. Ia suatu konsep antara dua keterlampauan samada keterlampauan dari sudut
ifrath (berlebih-lebihan dalam urusan) ataupun keterlampauan dari sudut tafrith (sambil-
lewa atau cuai).
Allah s.w.t. menjelaskan ciri-ciri keistimewaan umat Islam ini dengan berfirman yang
bermaksud:
“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang washath
(pertengahan)” (Surah Al-Baqarah: 143)
Kesederhanaan atau pertengahan bukan sahaja dalam urusan keagamaan tetapi juga
dalam urusan keduniaan seperti dari sudut ekonomi dan sebagainya. Hal ini turut
dijelaskan oleh Allah s.w.t. yang berfirman:
“Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (bakhil) dan
janganlah kamu terlalu mengulurkannya (boros) kerana itu kamu menjadi tercela dan
menyesal. (Surah Al-Isra’: 29)
Pertengahan dalam amalan juga boleh dikatakan suatu keseimbangan antara amalan zahir
dengan amalan hati. Seseorang itu tidak boleh menzahirkan amalan zahir yang baik tanpa
meraikan amalan hati seperti ikhlas dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. dalam hal ini:
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu
dengan menyebut-nyebutnya (ungkit) dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti
orang yang menafkahkan hartanya kerana riya (menunjuk-nunjuk) kepada manusia
sedangkan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian.” (Surah Al-Baqarah: 264)
Pertengahan, kesederhanaan dan keseimbangan dalam sesuatu urusan ini adalah antara
ciri-ciri sesebuah tamadun yang sempurna, yang meraikan segenap sudut yang dimiliki
oleh manusia, samada sudut kerohanian mahupun sudut kebendaan. Sebagaimana Islam
mementingkan sudut keagamaan manusia, Islam juga menjaga maslahat keduniaan
manusia yang diperlukan bagi mereka. Inilah keseimbangan dalam ajaran Islam yang
menjadi teras pembangunan sesebuah tamadun yang sempurna.
Toleransi Beragama dalam Islam
Islam sebagai agama yang mampu memberi penyelesaian terhadap konflik dalam
masyarakat, turut mengemukakan suatu sudut toleransi dalam beragama khususnya
melibatkan masyarakat berbilang agama. Orang-orang kafir dibenarkan berpegang
dengan agama mereka dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam masyarakat
Islam iaitulah, mereka tidak boleh menyebarkannya kepada orang-orang Islam.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); Sesungguhnya telah jelas jalan
yang benar daripada jalan yang sesat. Oleh kerana itu, sesiapa yang ingkar kepada
Thaghut (syaitan dan kesyirikan) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah
berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. dan Allah Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Baqarah: 256)
Ayat ini menerangkan betapa Islam meraikan kebebasan beragama. Namun, dalam masa
yang sama, Islam juga menekankan konsep bahawasanya, hanya Islam sahaja merupakan
agama kebenaran, yang mana sesiapa yang berpegang dengannya, ibarat berpaut kepada
tali yang kukuh dan tidak akan putus. Sedangkan, semua agama-agama selain Islam
tertolak di sisi Islam.
Allah s.w.t. berfirman dengan maksudnya:
“Sesungguhnya agama di sisi Allah (yang diredhai) adalah Islam…” (Surah Ali Imran:
18)
Toleransi beragama yang terkandung dalam ajaran Islam berbeza dengan fahaman
Pluralisme yang dikembangkan oleh golongan Liberal kerana ajaran Islam tetap
menekankan konsep satu-satunya agama kebenaran adalah agama Islam, berbanding
fahaman Pluralisme yang tidak meletakkan mana-mana agama sebagai agama kebenaran
secara mutlak tetapi menganggap semua agama benar berdasarkan persepsi para
penganutnya (secara relatif). Malah, lebih jauh lagi, sesetengah pihak yang
memperjuangkan Pluralisme ini mendakwa bahawasanya agama itu sendiri adalah
ciptaan manusia dalam bidang sosial dan kebudayaan.
Islam secara jelas menolak fahaman Pluralisme ini kerana toleransi Islam tidak sama
sekali menyebabkan Islam boleh disamakan dengan agama-agama lain. Oleh kerana
itulah, Islam memandang berat jenayah murtad (keluar dari agama Islam) kerana ianya
bererti meninggalkan kebenaran dan menuju kesesatan.
Berteraskan konsep toleransi Islam ini, tamadun Islam dibina dan terus dikembangkan
sehingga sampai ke Eropah sebelum kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah. Aqidah itu
sendiri adalah suatu elemen terpenting dalam membentuk kekuatan kesatuan dan
perpaduan dalam sesebuah masyarakat itu sendiri. Ia membangunkan masyarakat dengan
suluhan Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Shibghah Allah (celupan Allah). dan siapakah yang lebih baik shibghahnya selain dari
pada Allah? dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.” (Surah Al-Baqarah: 138)
Ayat ini menjelaskan bahawasanya, sebaik-baik acuan adalah acuan Allah s.w.t. dan
sebaik-baik pedoman adalah pedomanNya. Asas ini terbina di atas dasar tauhid yang
murni. Oleh kerana itulah, Islam sangat menjaga soal kekuatan dan kebenaran aqidah
umat Islam daripada kesesatan dan kerapuhan.
Tujuan Syari’ah: Ke Arah Pembinaan Masyarakat yang Sempurna
Allah s.w.t. menjadikan Islam sebagai panduan kehidupan seseorang manusia. Ia juga
menjadi pedoman dalam menjalani kehidupan secara bermasyarakat. Panduan dan
ketetapan hukum dalam Islam dikenali sebagai syariat. Syariat Islam itu sendiri
mempunyai tujuan (maqasid) dalam perlaksanaannya.
Allah s.w.t. berfirman yang bemaksud:
“…Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.
(Surah Al-Baqarah: 185)
Panduan tentang tujuan bagi sesuatu ketentuan syarak itu dikenali sebagaiMaqasid
Syar’iyyah yang dibahaskan oleh para ulama’ usul.
Lihat sahaja contoh tujuan hukum qisas sebagaimana firman Allah s.w.t. yang
bermaksud:
“Dan dalam (hukum) qishaash itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai
orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa. (surah Al-Baqarah: 179)
Tujuan diharamkan arak dan judi juga kerana ianya boleh menjadi punca permusuhan
sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah s.w.t.:
“Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian
di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari
mengingat Allah dan sembahyang; Maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan
itu).” (Surah Al-Ma’idah: 91)
Demikianlah antara contoh-contoh keindahan dan kesempurnaan syariat Islam di mana
tiada alasan bagi seseorang untuk meninggalkan ajarannya melainkan dengan sebab ingin
mendapat kecelakaan di dunia dan di akhirat.
Berhukum dengan Hukum Allah
Setelah kita fahami bahawasanya syariat Islam itu syumul (merangkumi segenap aspek
kehidupan manusia) dan mengandungi Maqasid (tujuan-tujuan kemaslahatan) samada
dari bagi individu mahupun masyarakat (mengikut tertib keutamaannya), maka
sewajarnya syariat Islam dijadikan asas pembentukan sesebuah tamadun dalam segenap
aspek seperti aspek pendidikan, pembelajaran, politik, ekonomi, sosial, budaya dan
sebagainya.
Sebagai dasar penyempurnaan tamadun Islam itu juga, maka, Islam menganjurkan
umatnya berhukum dengan hukum Allah s.w.t. samada dalam kehidupan peribadi,
masyarakat mahupun negara. Ini kerana, Islam mengandungi segenap ajaran yang
melengkapkan segenap sudut kehidupan manusia.
Apa yang lebih penting juga adalah, dalam ilmu politik Islam (Siasah Islamiyyah atau
Siasah Syar’iyyah), pemimpin yang bertanggungjawab dalam memimpin sesebuah
masyarakat Islam bertanggungjawab berhukum dengan hukum Allah s.w.t. iaitulah
dengan melaksanakan syariat Islam dalam segenap urusan pentabdiran.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Kitab kepadamu dengan membawa
kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah
wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penantang (orang yang tidak
bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat” (Surah An-Nisa’: 105)
Dari isyarat ini secara jelas Allah s.w.t. menolak sebarang bentuk idea pemisahan antara
agama dengan urusan keduniaan, seperti fahaman Sekularisme dan sebagainya. Ianya
bukanlah suatu dasar yang mampu membina sesebuah tamadun yang sempurna, ianya
malah akan membawa kepada pembinaan sesebuah tamadun yang penuh kecelaan di
sebalik zahir kemajuan yang tersergam indah. Ini kerana, pembangunan tamadun dengan
acuan Sekularisme hanya merosakkan kemanusiaan masyarakat di sebalik kemajuan
kebendaaan.
Hal ini sebagaimana dijelaskan sendiri oleh Prof. Renan Dupont yang berkata:
“Kita (Barat) mendakwa bahawa kita hidup pada abad ilmu
pengetahuan…Namun, kehidupan yang keluar dari hukum alam yang
dijalani oleh manusia pada umumnya pada masa sekarang mencekik dan
mematikan interaksi penting yang diperlukan bagi keselamatan mental
dan perkembangan sumber daya kemampuam manusia…Dilihat dari
banyak aspek, manusia moden lebih mirip dengan “binatang darat”
yang menghabiskan hidupnya di dalam zoo! Binatang-binatang tersebut
diberi makan dan perlindungan yang cukup, namun tidak memenuhi hajat
asasi bagi fungsi fizikal mahupun intelektualnya.Manusia moden bukan
sahaja asing dengan alam sekitarnya, bahkan ia terasing daripada
realiti dirinya sendiri (erti seorang manusia).” [Dr. Yusuf Al-Qaradhawi:
Tamadun Islam: Alternatif Masa Hadapan: 110-112]
Islam sama sekali menolak usaha pembangunan ketamadunan yang menjauhkan manusia
daripada hakikat kemanusiaan diri mereka sendiri. Oleh sebab itulah, sudut kerohanian
manusia sangat dipentingkan dalam ajaran Islam malah, ianya menjadi nadi kekuatan dan
kesempurnaan sesebuah masyarakat dan tamadun itu sendiri.
Islam juga tidak membataskan usaha ke arah mengajak kebaikan dan mencegah
keburukan dengan suatu cara sahaja, kerana Allah s.w.t. memberikan setiap manusia, cara
mereka berfikir yang berbeza-beza walaupun dalam melihat ke arah satu tujuan yang
sama. Maka, asas dalam dakwah Islam meraikan sebarang bentuk usaha dakwah dan islah
dalam masyarakat Islam selagimana bersesuaian dengan Al-Qur’an, As-Sunnah, Ijma’
dan Qiyas.
Islam Menolak Haiwanisasi Tamadun Manusia
Masyarakat Barat ketika terlalu tertekan dengan kezaliman pihak gereja dan para
pemerintah yang zalim, maka cuba mencari alasan untuk keluar dari cengkaman mereka.
Justeru, sasaran utama mereka adalah dengan cuba merobohkan “kesucian” agama yang
dianggap sebagai alat untuk mencengkam masyarakat Barat pada ketika itu.
Maka, revolusi Saintifik pada abad ke-16 dan ke-17 secara umumnya memberi kesan dan
pengaruh dalam minda masyarakat Barat pada ketika itu lalu menjadi permulaan ke arah
fahaman Sekular diterapkan.
Kemunculan fahaman Protestan bagi menyaingi pengaruh pihak gereja Katolik
sememangnya memainkan peranan penting dalam melemahkan cengkaman institusi
gereja dalam masyarakat Barat. Kemudian, muncul pula beberapa ideologi ke arah
menolak agama dan ketuhanan lalu diketengahkan dalam masyarakat Barat yang
kebanyakkannya cuba dikaitkan dengan sains kerana pada ketika itu, semacam
berlakunya pertembungan antara sains dan Kristian itu sendiri.
Pada siri awal petembungan pihak gereja Katolik dengan para cendikiawan Barat adalah
melibatkan penolakan konsep ketuhanan dalam ajaran Kristianiti namun tidak menolak
ajaran moral dan akhlak yang disampaikan oleh pihak gereja, sebagaimana diperjuangkan
oleh kelompok Deists (Votaire, Rousseau, Immanuel Kant dan sebagainya).
Namun, pertembungan itu mewujudkan fahaman Atheisme yang menolak konsep
ketuhanan dan keagamaan secara mutlak. Maka, golongan ini cuba mencari bukti-bukti
saintifik bagi menolak konsep ketuhanan sehinggalah akhirnya mereka berjaya menemui
teori Darwinisme lalu mengembangkannya dan membelanya.
Darwinisme secara asasnya menjelaskan betapa manusia berasal daripada haiwan. Maka,
falsafah ini secara tidak langsung mencetuskan idea Haiwanisasi manusia itu sendiri.
Apabila falsafah ini menjelaskan kaitan bahawasanya manusia daripada haiwan, maka
sudah tentu banyak idea sosial kerimbaan diperkenalkan. Idea-idea seperti “hanya yang
kuat yang boleh terus hidup”, “pertarungan untuk mempertahankan kewujudan” dan
sebagainya justeru melahirkan beberapa ideologi radikal seperti Nazi, Komunis dan
sebagainya.
Malah, usaha haiwanisasi tamadun manusia tidak terhenti setakat itu, namun sejak
berkembangnya ideologi Hedonisme yang melihat kepuasan nafsu sebagai antara tujuan
utama dalam kehidupan, justeru menghancurkan lagi sudut moral dan kerohanian
manusia. Ia selari dengan dasar umum sekular yang cuba memisahkan manusia daripada
cara hidup beragama.
Islam menolak keras usaha atau agenda Haiwanisasi tamadun manusia ini, malah
mengaitkan agenda haiwanisasi tamadun sebagai sesuatu kesesatan yang nyata.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan
manusia, yang mana mereka mempunyai hati (akal), tetapi tidak dipergunakannya untuk
memahami (ayat-ayat Allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya
untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi)
tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang
ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah
Al-A’raf: 179)
Allah s.w.t. menjelaskan Haiwanisasi tamadun (Animalization of Civilization) itu sebagai
sesuatu agenda kesesatan yang nyata. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka (orang-orang kafir) itu
mendengar atau memahami. Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak,
bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu). (Surah Al-Furqan: 44)
Allah s.w.t. sendiri menjelaskan perihal golongan yang menolak hidup beragama seperti
binatang. Ini menjadi suatu isyarat yang jelas bahawasanya, fahaman-fahaman yang ingin
mempromosikan anti-ketuhanan sebagai fahaman-fahaman kebinatangan atau mengajak
manusia kepada menjadi binatang, sedangkan Allah s.w.t. sudah memuliakan manusia
dengan akal fikiran dan hati yang penuh keinsafan.
Realiti ini turut diakui sendiri oleh beberapa ahli ilmu dari Barat. Antaranya Arnold
Toynbee (seorang penulis dari Britain) pernah menyatakan bahawa:
“Tamadun ini (Barat) telah mengaburi mereka, lalu menjual roh mereka
untuk digantikan dengan ‘panggung wayang’ dan ‘radio’. Natijah dari
kehancuran tamadun ini, yang disebabkan oleh transaksi baru ini, adalah
kekosongan rohani yang disifatkan oleh Plato sebagai “masyarakat
khinzir” dan dilukiskan oleh Aldus Hoksly sebagai, “Dunia Kebongkakan
Baru”.” [Al-Qaradhawi: m/s116]
Begitu juga seorang tokoh keagamaan terkenal bernama Srila Prabhupad pernah berkata:
“Maka, jika manusia jadi tidak berminat tentang agama, maka mereka
menjadi binatang. Bagaimana seseorang itu mendapat bahagia atau
keamanan dalam masyarakat haiwan?” [Wawancara beliau di bawah tajuk
‘Religion With No Conception of God’]
Ini pengakuan dibuat oleh ilmuwan bukan beragama Islam, namun masih boleh membuat
penilaian akal tentang malapetaka yang dihadapi oleh sesebuah masyarakat atau tamadun
tanpa mengamalkan corak hidup beragama. Inilah yang sudah dijelaskan sendiri oleh Al-
Qur’an sejak seribu empat ratus tahun dahulu, melalui junjungan Besar Saidina
Muhammad s.a.w..
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan
manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan
mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. (Surah Ar-Rum: 41)
Kekosongan Sudut Kerohanian dan Menolak Perkara-perkara Ghaib
Penyakit ketamadunan insan yang dibawa oleh masyarakat Barat sejak berabad lamanya
adalah penyakit pemujaan terhadap kebendaan dalam segenap maknanya, sehingga
mengabaikan sudut kerohanian. Lalu, wujud krisis pemikiran dalam diri kebanyakan
masyarakat walaupun mereka digelar sebagai para sarjana mahupun golongan
profesional, iaitulah tidak dapat merasai sudut yang dinamakan sebagai sudut kerohanian,
dalam diri mereka.
Sudut kerohanian atau sesuatu yang di luar pancaindera merupakan suatu konsep yang
dianggap sebagai tidak releven terutamanya jika dinilai dari kaca mata ‘saintifik’ menurut
mereka, kerana kewujudannya gagal dibuktikan di dalam makmal. Akhirnya, banyak
perkara yang mereka tidak dapat faham tentang diri mereka sendiri, sehingga akhirnya
menilai diri hanya dari selaput luaran iaitulah selaput emosional dalam diri.
Oleh kerana itulah, tamadun Barat banyak menyajikan ilmu psikologi yang lebih
membincangkan sudut emosional manusia, sehingga sebahagian besar daripada mereka
yang terlibat dalam mengembangkan ilmu tersebut, tidak mahu menyentuh langsung
mengenai kerohanian (spiritual) dan sebagainya. Mereka lebih mengutamakan
falsafahBehaviourism yang menganggap sikap dan kejahatan itu diwarisi melalui
keturunan, berbanding konsep ajaran agama tentang wujudnya syaitan dan hasutan jahat
nafsu dalam diri.
Lebih malang lagi apabila mereka bersikap menolak perkara-perkara ghaib seperti
kewujudan Tuhan, malaikat, syaitan, roh dan menolak unsur-unsur yang berlawanan
dengan adat seperti mukjizat para nabi, karamah bagi para wali, sihir dan sebagainya.
Apa yang menjadi suatu kekesalan, ramai orang Islam terpengaruh dengan kesempitan
pemikiran sebegini sehingga sesetengah perkara seperti karamah para wali dan orang-
orang soleh juga cuba diingkari hanya kerana penilaian akal mereka tidak dapat
menjangkaunya. Inilah minda Abu Jahal dan Abu Lahab ketika berhadapan dengan kisah
Isra’ Mi’raj yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.. Malangnya, minda Abu Jahal yang
sepatutnya dianggap ketinggalan zaman, digunapakai oleh kebanyakan masyarakat
moden termasuklah sesetengah orang Islam.
Penyakit kekosongan sudut kerohanian inilah sebenarnya yang membentuk wajah
murung masyarakat dunia, sehingga mereka seolah-olah robot yang hidup dalam hutan
batu-bata. Upacara keagamaan hanya tinggal adat, bukan lagi suatu yang dilakukan
dengan penuh keyakinan dan penghayatan. Malah, ramai juga yang sudah meninggalkan
cara hidup beragama kerana memahami minda beragama adalah suatu penyakit
pemikiran yang tidak memahami ‘ketuhanan’ hukum Sains.
Corak hidup tanpa beragama ini merosakkan institusi kemasyarakatan secara amnya
kerana Sains tidak mengajar kepentingan untuk berakhlak mulia dan berbuat kebaikan.
Maka, manusia hidup dalam keadaan bebas daripada nilai-nilai tertentu kerana setiap
daripada mereka mendakwa mereka bebas menilai sesuatu perkara itu samada perlu
dilakukan ataupun tidak. Inilah kemuncak kehancuran Haiwanisasi Tamadun yang
dibawa oleh tamadun Barat.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi
ini, dan semua yang ada di dalamnya. sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada
mereka kebanggaan (Al Quran) mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu.”
(Surah Al-Mu’minun: 71)
Umat Islam: Kebangkitan Setelah Kejatuhan
Mungkin ancaman besar dalam ketamadunan manusia sejagat adalah penguasaan
tamadun Barat dan usaha ‘Haiwanisasi Tamadun’ mereka biar atas nama apa sekalipun.
Hanya umat Islam menerusi agama mereka sahaja yang mempunyai penyelesaian bagi
krisis ketamadunan baru ini. Ajaran Islam perlu diketengahkan dalam segenap aspek
kehidupan bagi membasmi usaha ke arah menghaiwankan tamadun kemanusiaan ini. Ini
dijelaskan sendiri oleh Sheikhu Sheikhna Abu Al-Hasan Ali An-Nadwi dalam buku beliau
‘Maza Khasira Al-‘Alam bi Inkhithath Al-Muslimin’ (Apa yang Merugikan Alam dengan
Kejatuhan Muslimin) dan sebagainya.
Namun, kita mungkin menyaksikan umat Islam hari ini hampir tidak berupaya untuk
melakukan sesuatu malah terhadap diri mereka sendiri, apatah lagi untuk mengubah
suasana dunia ini. Ramai orang beralasan dengan ketiadaan khilafah Islamiyyah, maka
tiada apa yang dapat dilakukan. Mereka mungkin terlupa sirah Rasulullah s.a.w. yang
menyebarkan dakwah Baginda s.a.w. tanpa bergantung kepada mana-mana naungan
kekuasaan sehinggalah Allah s.w.t. memberikan kemenangan kepada Baginda s.a.w.
setelah melalui proses perjuangan dan dakwah yang lama.
Allah s.w.t. berfirman kepada Rasulullah s.a.w. di hujung usia Baginda s.a.w. yang
bermaksud:
“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia
akan masuk dalam agama Allah berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan
memuji Tuhan engkau dan memohon ampunan-Nya. Sesungguhnya Dia Maha penerima
Taubat” [Surah An-Nashr: 1-4]
Ayat ini diturunkan setelah suatu proses mujahadah dan dakwah yang lama. Maka,
motivasi yang paling penting dalam diri setiap umat Islam adalah, sebagaimana umat
Islam suatu ketika dahulu bermula dari bawah lalu berjaya, maka tidak mustahil juga kita
akan berjaya sebagaimana mereka dengan bermula dari bawah.
Kejayaan Rasulullah s.a.w. adalah inspirasi paling utama bagi setiap individu muslim
dalam berusaha untuk kembali memartabatkan Islam dan umat Islam di persada dunia.
Kejayaan dan keagungan Rasulullah s.a.w. disebut-sebut termasuklah di sisi sarjana Barat
sebagai berkata:
“(Nabi) Muhammad adalah seorang Rasul yang paling berjaya
berbanding para rasul yang lain dan berbanding tokoh keagamaan yang
lain”. [Encyclopedia Britannica]
Agama Islam sama sekali tidak membenarkan para penganutnya bersikap putus asa dalam
segenap urusan kehidupan mereka. Maka, suasana muram masyarakat Islam di serata
dunia bukanlah suatu alasan untuk umat Islam terus berduka cita atau bersedih. Al-
Qur’an sendiri mengajar cara penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi dalam
kehidupan umat Islam, apatah lagi aspek kebangkitan semula umat Islam setelah diuji
dengan penguasaan musuh-musuh Islam ke atas mereka.
Banyak langkah yang perlu dilakukan oleh setiap individu muslim. Apa yang penting
adalah kerjasama samada secara langsung ataupun tidak langsung ke arah satu matlamat
yang sama iaitulah mengembalikan kalimah Allah sebagai kalimah yang tertinggi, dengan
segenap makna dan perlaksanaannya.
Kembali kepada Taqwa
Antara pintu asas bagi penyelesaian sesuatu masalah adalah taqwa kepada Allah s.w.t..
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya akan dijadikan untuknya jalan
keluar (dari masalah) dan Dia mengurniakan rezeki dari sumber yang tidak disangka-
sangka” (Al-Thalaq: 2-3)
Inilah janji Allah s.w.t. bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka, setiap individu muslim
dalam sebuah ketamadunan Islam perlu muhasabah diri mereka terutamanya, lalu
berusaha membangunkan aspek ketaqwaan kepada Allah s.w.t. dalam dirinya. Inilah asas
kebangkitan semula umat Islam dan asas pembangunan semula sebuah tamadun Islam
yang lebih cemerlang dan gemilan yang diajarkan oleh Al-Qur’an.
Tashih Al-Aqidah (Memurnikan Aqidah)
Dalam konsep aqidah Islam, ada dua unsur paling utama sebagai asas bagi unsur-unsur
yang lain iaitulah Tauhid (Mengesakan Allah) dan Tanzih(menyucikan Allah daripada
kekurangan). Maka, seseorang itu adalah seorang muslim jika dia mengucap dua kalimah
syahadah dan menekankan unsur tauhid dalam dirinya. Namun, jika seseorang muslim
tersebut mempunyai fahaman yang menafikan konsep Tanzih, maka aqidahnya tetap tidak
sempurna. Disebabkan hal demikian, maka aqidahnya perlu diperbetulkan agar dia benar-
benar berpegang dengan aqidah Islam yang murni.
Sememangnya isu pemurnian aqidah umat Islam tidak timbul di zaman Rasulullah s.a.w.
secara meluas, kerana para sahabat r.a. sudah berpegang teguh dengan aqidah Islam yang
murni. Namun, setelah beberapa tempoh masa dan peredaran zaman, umat Islam semakin
berkembang sehingga banyak orang-orang bukan Arab memeluk Islam lalu menyebabkan
perselisihan banyak berlaku dalam melibatkan kefahaman terhadap Al-Qur’an dan As-
Sunnah itu sendiri.
Setelah munculnya golongan-golongan sesat seperti Khawarij, Mu’tazilah, Mujassimah,
Syiah, Qadariyyah, Jabariyyah dan sebagainya, maka upaya untuk mempertahankan
kemurnian aqidah Islam disemarakkan oleh para ulama’ Sunnah. Kemuncak usaha
membendung fahaman-fahaman sesat ini adalah pada zaman Imam Abu Al-Hasan Al-
Asy’ari dan Imam Abu Manshur Al-Maturidi yang menyusun hujah-hujah dari sudut akal
dan naql (nas-nas) untuk mematahkan pemikiran fahaman-fahaman sesat tersebut.
Maka, sejak dari itulah, istilah Ahlus-Sunnah wal Jamaah dipopularkan bagi merujuk
kepada dua golongan tersebut iaitulah Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah. Maka, para
pembesar dan khalifah Islam terus mempertahankan mazhab Ahlus-Sunnah wal Jamaah
ini di sepanjang zaman, terutamanya dengan menubuhkan madrasah-madrasah yang
mempertahankan mazhab Ahlus-Sunnah seperti yang dilakukan oleh Wazir Nizham Al-
Mulk dari pemerintahan Saljuk yang membina madrasah An-Nizhamiyyah di Baghdad,
Naisabur dan sebagainya dalam mempertahankan mazhab Al-Asya’irah terutamanya.
Kita tidak boleh melupakan bagaimana suatu kepimpinan dalam masyarakat Islam
tersebut berpegang dengan aqidah yang sesat dalam bab ketuhanan, maka ianya akan
merosakkan masyarakat Islam itu sendiri. Kita lihat bagaimana Imam Ahmad bin Hanbal
r.a. dan sebagainya dipenjara kerana mempertahankan aqidah sahih (Ahlus-Sunnah)
ketika ditindas oleh pemimpin yang membela fahaman Mu’tazilah pada ketika itu. Maka,
timbul ramai ulama’ mula menyusun kitab-kitab menolak fahaman-fahaman sesat
tersebut.
Kitab-kitab para ulama’ Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah mula membongkar topeng
kesesatan fahaman-fahaman sesat tersebut kerana ianya suatu kemungkaran dan
kezaliman yang paling besar, walaupun dipelopori oleh tokoh-tokoh yang zahir mereka
seperti ahli ilmu dan ahli agama. Oleh sebab itulah, sesetengah golongan tersebut
(terutamanyaMujassimah) takut untuk berhadapan dengan para ulama’ Al-
Asya’irahkhususnya, yang menghimpunkan segenap hujah dalam menolak kesesatan
mereka, lalu mereka mengambil jalan selamat untuk berselindung di sebalik nama-nama
besar seperti Hanabilah dan sebagainya, padahal aqidah mereka bertentangan dengan
aqidah Imam Ahmad.
Lihatlah juga betapa Sultan Salahuddin Al-Ayubi dan Sultan Muhamamad Al-Fateh yang
merupakan dua tokoh yang sangat agung dalam lakaran sejarah Islam, sangat
mementingkan pegangan aqidah yang sahih dalam masyarakat Islam.
Sultan Salahuddin sendiri adalah seorang tokoh berpegang dengan mazhabAl-Asya’irah
dalam aqidah, iaitu salah satu golongan Ahlus-Sunnah wal Jamaah selain Al-
Maturidiyyah. Imam Al-Maqrizi menyebutkan bahawa:
“Salahuddin pada zaman kanak-kanaknya telah menghafaz aqidah yang
disusun oleh Qutubuddin Abu Al-Ma’ali Mas’ud bin Muhammad An-
Naisaburi. Maka, dia juga menyuruh anak-anaknya menghafaznya…
Malah, beliau menyuruh umat Islam pada zamannya berpegang dengan
mazhab Al-Asya’irah dalam aqidah… Bahkan, ia adalah antara faktor
mazhab Al-Asy’ari tersebut ke serata dunia Islam” [Al-Mawa’iz 4/160]
Antara usaha Sultan Salahuddin Al-Ayubi juga setelah menguasai Mesir, beliau
mengubah Al-Azhar kepada sebuah madrasah yang berpegang dengan mazhab As-Sunnah
(Al-Asya’irah khususnya) yang mana sebelum itu bermazhab Syiah. Ini menunjukkan
kepentingan Tashih Al-Aqa’id atau pembersihan aqidah daripada fahaman-fahaman sesat
agar pembentukan tamadun Islam tersebut dibangunkan secara sempurna.
Antara jalan kegemilangan adalah dengan menyemaikan aqidah Islam yang sahih dalam
masyarakat Islam. Ini kerana, mana-mana organisasi atau jemaah yang berusaha untuk
mengembalikan kegemilangan tamadun Islam, namun tidak menumpukan pembentukan
aqidah yang sahih dalam kelompok mereka, pasti sukar untuk mendapat kejayaan kerana
jika sesebuah tamadun Islam yang agung dibina dengan aqidah yang sesat seperti
fahaman Mujassimah, Mu’tazilah mahupun Syiah, maka ianya akan menjadi malapetaka
lain pula kepada umat Islam.
Ketika Imam Hasan Al-Banna mengasaskan sebuah gerakan Islam bernama Al-Ikhwan
Al-Muslimun, beliau juga menekankan kepentingan beraqidah dengan aqidah yang sahih
sebagaimana disebutkan dalamRisalah Al-‘Aqa’id beliau yang secara jelas mengandungi
mazhab Al-Asy’ari dalam aqidah beliau. Ini bertepatan dengan pegangan majoriti ulama’
Islam yang berpegang teguh dengan aqidah Ahlus-Sunnah wal Jama’ah iaitulah samada
mazhab Al-Asy’ari mahupun Al-Maturidi.
Ini menunjukkan kepentingan berpegang dengan aqidah Islam menurut manhaj yang
sahih (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah) khususnya bagi mereka yang terlibat dalam
mana-mana kelompok atau jemaah yang membawa agenda islah dan dakwah dalam
masyarakat Islam. Jika aqidah mereka pun menyimpang dari aqidah ahlus-sunnah, maka
mereka sebenarnya adalah penyakit dan malapetaka bagi umat Islam itu sendiri.
Kepentingan Tarbiah Sufiyyah dan Tazkiyyah An-Nufus (Penyucian Jiwa)
Antara jalan untuk mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam adalah dengan
membentuk generasi yang bakal memimpin masa hadapan dengan tarbiah sufiyyah yang
sempurna kerana tarbiah sufi yang muktabar sejak zaman dahululah yang melahirkan
para pemimpin dan pembangun Islam yang berwibawa termasuklah seperti Sultan
Salahuddin Al-Ayubi.
Dalam sejarah menjelaskan betapa Sultan Salahuddin Al-Ayubi banyak mendapat tarbiah
sufi dan sentiasa mengadakan hubungan baik dengan golongan sufi.
Sheikh Dr. Abdul Qadir Nuri berkata:
“Sholahuddin Al-Ayubi dalam tempoh perperangan sentiasa berhubungan
dengan para ulama’ sufi untuk meminta pendapat mereka dan berbincang
dengan mereka”. [Siyasah Sholahuddin Al-Ayubi fi Bilad As-Syam wa Al-
Jazirah- tesis PhD di Universiti Baghdad]
Sejak zaman berzaman, tarbiah sufi merupakan suatu madrasah tarbiah dan tazkiyyah an-
nufus (penyucian jiwa) yang membawa kepada kesuburan makna taqwa dalam diri.
Maka, gabungan unsur aqidah yang murni dan tarbiah jiwa yang muktabar sangat
diperlukan dalam masyarakat Islam khususnya dalam melahirkan generasi baru yang
benar-benar menterjemahkan Islam dalam diri mereka seterusnya dalam masyarakat.
Kita lihat juga setelah kejatuhan sistem khilafah Islamiyyah, dalam rangka untuk
mengembalikannya, Imam Hasan Al-Banna turut mementingkan sudut tarbiah kesufian
dalam pergerakan beliau, kerana mengetahui kepentingan manhaj tarbiah mereka dalam
membentuk kesempurnaan akhlak dalam diri para ‘amilin. Ia terzahir dalam banyak siri
penulisan beliau bahkan dalam slogan utama beliau tentang Al-Ikhwan yang
menyebutnya sebagai Haqiqah Sufiyyah. Bahkan, beliau sendiri adalah kelahiran
daripada didikan tarbiah sufi dan secara peribadi masih terus rapat dengan golongan sufi
khususnya Ikhwan Al-Husofiyyah.
Penjelasan Terhadap Makna Islam yang Sebenar kepada Masyarakat
Masyarakat Islam yang sedang dijajah seribu satu bentuk penjajahan, terutamanya
penjajahan pemikiran dengan seribu satu macam ideologi, maka pasti sedikit sebanyak
memberi kesan terhadap kefahaman mereka tentang agama Islam yang mereka anuti itu
sendiri. Agama Islam adalah jalan atau cara seseorang itu menunaikan kehambaan dirinya
kepada Allah s.w.t..
Oleh yang demikian, aspek yang paling asas bagi seseorang untuk memahami seterusnya
menghargai Islam adalah dengan menghayati sudut kehambaan dalam dirinya. Ini yang
sangat ditekankan sejak di awal perbahasan kerana pembangunan jati diri sebagai seorang
muslim itu hanya lengkap setelah tersematnya penghayatan terhadap kehambaan diri
dalam diri seseorang muslim.
Janji Allah s.w.t. Tentang Keagungan Islam dan Umatnya
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Mereka (musuh-musuh Islam) hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan
mulut (ucapan-ucapan) mereka, sementara Allah tidak menghendaki selain
menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukainya.
Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (al-Quran) dan
agama yang benar untuk Dia memenangkan atas segala agama walaupun orang-orang
musyrik tidak menyukainya (Surah at-Taubah: 32-33).
Inilah janji Allah s.w.t. untuk memenangkan orang-orang yang berpegang dengan agama
Allah s.w.t., iaitulah agama Islam. Bagi setiap individu muslim, penghayatan terhadap
ayat ini merupakan suatu anjakan ke arah pembentukan tamadun Islam yang agung. Al-
Qur’an mengajar umat Islam agar terus yakin dengan janji-janji Allah s.w.t..
Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud:
“dan demi sesungguhnya, Kami telah menulis di dalam kitab-kitab yang Kami turunkan
sesudah tulisannya pada Luh Mahfuz bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-
hamba-Ku yang soleh” (Surah Al-Anbiya’: 105).
Jangan Merasa Kerdil di Hadapan Musuh-musuh Islam
Sememangnya sesetengah masyarakat Islam mungkin terpegun dengan keagungan
tamadun Barat dan sebagainya, dari segenap kemajuan kebendaan dan ilmu pengetahuan
yang mereka kecapi kini, apatah lagi setelah dibandingkan dengan ketinggalan dan
kemunduran yang berlaku dalam tamadun umat Islam masa kini, lalu terdorong kepada
rasa kerdil di hadapan perbandingan antara ketamadunan tersebut.
Percayalah bahawasanya, dialog ketamadunan antara tamadun Islam dengan tamadun
Barat tidak pernah selesai dibincangkan oleh para ilmuwan Barat, walaupun dari sudut
zahirnya nampak mereka sudah selesa dengan apa yang mereka kecapi. Namun, para
ilmuwan Barat khususnya mereka yang terlibat dalam mengkaji sejarah ketamadunan
mendapati potensi tamadun Islam untuk kembali mengatasi tamadun Barat sentiasa
wujud dalam diri masyarakat Islam itu sendiri.
Jangan lupa sejak seorang cendikiawan dari Universiti Harvard bernama Samuel
Huntington melancarkan buku beliau bertajuk ‘The Clash of Civilization’, para intelektual
Barat terus berbincang mengenai idea-idea asas dalam buku tersebut terutamanya
berkenaan pertembungan antara tamadun Islam dengan tamadun Barat yang mana
menurut ramalan Samuel Huntington, masyarakat Islam mungkin akan bertambah lebih
ramai berbanding penganut agama Kristian itu sendiri.
Kerisauan tentang pertembungan ini turut diteruskan oleh para sajrana Barat moden
termasuklah Prof. Marc Cogen daripada Universiti Ghent di dalam artikel beliau bertajuk
‘The West, Europe and The Islam’ yang membincangkan beberapa persoalan dalam buku
karangan Samuel Huntington tersebut.
Kita dapati daripada segenap kerisauan para sarjana Barat ini, secara jelas menunjukkan
isyarat yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya yang bermaksud:
“Janganlah kamu berasa lemah (kerdil) dan janganlah pula kamu bersedih, padahal
kamu adalah orang-orang yang paling tinggi (kedudukannya) jika kamu orang-orang
beriman” (Surah Ali Imran: 139)
Ayat Al-Qur’an ini menjelaskan potensi yang ada dalam diri umat Islam yang ditakuti
oleh musuh-musuh Islam iaitulah kuasa keimanan kepada Allah s.w.t. yang menjadikan
umat Islam terdahulu sebagai umat yang terbilang, maka ianya juga boleh menjadi faktor
kepada umat Islam masa kini untuk mencapai kegemilangan sebagaimana umat Islam
terdahulu.
Apa yang malang adalah, kebanyakan dari kalangan umat Islam tidak menyedari potensi
tersebut dalam diri mereka, sebagaimana ianya telah diketahui oleh sebahagian
cendikiawan Barat itu sendiri dengan kajian yang mereka lakukan. Ini kerana, ramai
dalam kalangan umat Islam yang sudah tenggelam dalam lautan syahwat dan nafsu
sehingga mengabaikan unsur kehambaan diri mereka, sehingga membawa kepada
kelemahan dari sudut keimanan dan keyakinan.
Allah s.w.t. juga berfirman tentang orang-orang kafir pula:
“Biarkanlah mereka (di dunia ini) makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh
angan-angan (kosong), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat perbuatan
mereka)”. (Surah Al-Hijr: 3)
Bahkan, kita juga perlu ingat, keagungan tamadun yang dibina oleh dunia Barat
terutamanya dari sudut kebendaan adalah warisan daripada keagungan tamadun Islam
sebelum mereka. Mereka mengambil asas-asas pembangunan tamadun daripada tamadun
Islam, namun mereka menumpukan pembangunan dari sudut kebendaan semata-mata.
Ilmu pengetahuan termasuklah ilmu-ilmu seperti Sains, Astronomi, Geografi dan
sebagainya dikembangkan daripada tulisan-tulisan para sarjana dan ilmuwan Islam.
Maka, umat Islam yang suatu ketika dahulu sebagai pemimpin bagi kemajuan
ketamadunan, sememangnya mempunyai persediaan untuk bangkit semula sebagai
pemimpin dalam ketamadunan manusia, jika mereka mengambil langkah-langkah yang
tepat dan teratur.
Ingatlah perkataan Colombus, seorang pelayar terkenal di dunia Barat yang berbunyi:
“…yang memberi ilham kepadaku untuk tujuan yang mulia ini adalah
buku-buku dari Averroes (Ibnu Rusyd).” [Dr. Abdul Rahman bin Abdullah,
Sejarah dan Tamadun Islam: 306-307]
Polupasi Umat Islam Semakin Cepat Berkembang
Antara khabar gembira yang dapat dijadikan motivasi buat umat Islam dalam
mengembalikan kegemilangan tamadun mereka adalah, masyarakat Islam semakin cepat
berkembang dalam dunia secara amnya.
Hillary Rodman Clinton berkata:
“Islam ialah agama yang paling cepat bergembang di Amerika… Banyak
perkara yang boleh dipelajari oleh dunia daripada Islam. Ia kini diamalkan
oleh seorang daripada empat orang di muka bumi ini”. [Los Angeles
Times, 31 Mei 1996]
Dalam USA TODAY pada 17 Febuari 1989 [m/s: 4A] ada menyebut juga:
“Orang Islam adalah kumpulan yang paling pantas berkembang di dunia”.
Seorang penulis Amerika, Dan Rathers berkata:
“Orang Islam kini sudah lebih banyak berbanding orang Yahudi di
Amerika Utara” [CBS News]
Ini merupakan antara isyarat awal kemenangan Allah s.w.t. terhadap umat Islam, biarpun
dihimpit seribu satu cabaran. Ia secara jelas menunjukkan bukti, biar sekuat mana usaha
musuh-musuh Islam untuk memadam cahaya Allah, namun cahayaNya terus dipancarkan
secara lebih meluas oleh Allah s.w.t..
Maka, pembangunan tamadun Islam bermula dari diri setiap individu muslim itu sendiri,
yang mana bermula dengan kesedaran tentang kehambaan diri seterusnya melangkah
mengikut ajaran-ajaran Allah s.w.t. dalam kehidupan, lalu mengajak manusia lain ke jalan
Allah s.w.t..
Di sebalik perkembangan ini, tidak dapat dinafikan, ada aspek yang kita risaukan iaitulah,
kuantiti umat Islam bertambah sedangkan kualiti mereka semakin berkurangan. Ia
sebagaimana diilustrasikan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai “banyak tetapi bagaikan buih di
persisiran laut”. Maka, seharusnya tarbiah-tarbiah kerohanian sangat perlu dikembangkan
dalam masyarakat Islam agar mereka dapat membersihkan diri daripada penyakit ‘cinta
dunia dan takut mati’ atau dengan nama lain Al-Wahn.
Al-Qur’an dan Penyelesaian Krisis Ketamadunan
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Dan Kami turunkan secara beransur-ansur dari Al-Qur’an, ayat-ayat suci yang menjadi
penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Dan (sebaliknya) Al-Qur’an tdak
menambah (apa-apa) kepada orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka)
melainkan kerugian semata-mata” (Surah Al-Isra’: 82)
Imam Al-Razi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Al-Quran itu adalah penawar yang
memang boleh menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani bagi diri seseorang manusia.
Penyakit ketamadunan berpunca daripada penyakit individu yang menghuni di dalamnya.
Maka, peranan Al-Qur’an dalam merawat krisis ketamadunan adalah dengan menjadi
penawar kepada penghuni sesebuah tamadun tersebut.
Maka, Al-Qur’an yang berperanan sebagai penawar bagi manusia samada zahir mahupun
batin sudah tentu menjadi penawar bagi sesebuah ketamadunan dengan maknanya yang
lebih luas. Ia memberi pedoman yang lengkap bagi seseorang manusia menjalani
kehidupan sebagai seorang hamba dan seterusnya memberi tunjuk ajar yang sempurna
kepadanya untuk mentadbir alam selaku khalifah di muka bumi ini.
Al-Qur’an membentuk kemanusiaan dalam diri manusia lantaran membawa kepada
sesebuah pembentukan kemanusiaan dalam tamadun tersebut. Maka, sempurnalah
pembentukan tamadun manusia dengan pengisian sepenuh makna kemanusiaan di
dalamnya. Kesempurnaan makna kemanusiaan adalah pada hakikat kehambaan kepada
Allah s.w.t.. Islam dalam segenap ajarannya berpaksikan konsep menanam
Ubudiyyah(rasa kehambaan diri) dalam diri manusia seterusnya membentuk tamadun
gemilang berteraskan unsur kehambaan tersebut.
Oleh itu, umat Islam tidak boleh berputus asa terhadap suasana yang berlaku dalam
masyarakat Islam sebaliknya mereka perlu berusaha dalam kemampuan yang mereka
miliki untuk menyumbang sesuatu ke arah pembangunan masyarakat Islam. Apa yang
paling penting adalah mereka menanamkan kekuatan iman dan keyakinan yang teguh
dalam diri mereka dalam rangka menunaikan kehambaan mereka kepada Allah s.w.t..
Itulah kunci pembangunan sesebuah ketamadunan yang sempurna menurut acuan Islam.
Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
‘‘Perumpamaan umatku adalah bagaikan curahan air hujan, tidak siapa mengetahui
bahagian mana yang terbaik, yang pertama ataupun yang penghabisan’’ [Hadith riwayat
Imam Ahmad, At-Tirmizi, Ibn Hibban dan At-Tabrani r.h.l.. Hadith ini adalah hadith
hasan menurut Imam At-Tirmizi]
Wallahu a’lam