Strategi wilayah di malaysia

12

Click here to load reader

description

strategi pembangunan wilayah di malaysia

Transcript of Strategi wilayah di malaysia

Page 1: Strategi wilayah di malaysia

1

1.0 Pengenalan

Pembangunan tidak seimbang dan tidak selaras di antara wilayah, negeri dan daerah

memberi kesan dalam usaha Malaysia mencapai matlamat menjadi negara maju menjelang

2020. Strategi pembangunan wilayah dilihat mampu mengatasi masalah ketidakseimbangan

antara bandar dan luar bandar. Oleh itu langkah agresif telah dilakukan oleh kerajaan untuk

membendung masalah tersebut seawal Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975). Strategi

pembangunan wilayah bertujuan untuk merapatkan lagi perhubungan antara negeri. Strategi

ini dilaksanakan berasaskan keupayaan tiap-tiap wilayah bagi pembangunan pertanian dan

perusahaan terutama di negeri yang kurang maju untuk menjamin supaya pembangunan

negara secara keseluruhannya adalah tumbuh dengan baik dan seimbang. Melalui peranan

Lembaga Kemajuan Wilayah usaha pembasmian kemiskinan ditumpukan kepada empat

strategi pembangunan wilayah iaitu strategi pembangunan tanah dan sumber asli, strategi

pembangunan ‘In Situ’ luar bandar, strategi penyebaran industri dan memodenkan kawasan

luar bandar dan pembentukan pusat pertumbuhan yang baru. Empat strategi yang

digariskan tersebut merupakan pendekatan yang dilakukan oleh pihak kerajaan yang

bertujuan untuk menambahkan daya pengeluaran pertanian negeri kurang maju,

memajukan kemudahan infrastruktur, mendirikan pusat pembangunan baru, menggalakkan

pembangunan perusahaan yang akan membawa kebaikan untuk semua pihak dan yang

paling penting adalah untuk membantu proses pertumbuhan wilayah di Malaysia.

Selain itu, pembangunan wilayah mempunyai tujuan mengurangkan jurang

pembangunan ekonomi antara wilayah. Beberapa matlamat negara seperti penyediaan,

penambahan dan pemodenan kemudahan awam bagi tujuan memperbaiki lagi taraf hidup

penduduk di wilayah kurang maju, dapat dicapai menerusi pembangunan wilayah. Matlamat-

matlamat pembangunan wilayah ini dicapai menerusi penggunaan sepenuhnya alam

semulajadi, tenaga manusia dan kewangan di samping pembandaran yang dirancang bagi

kawasan terpilih. Penghijrahan buruh dari kawasan-kawasan yang kurang sumber ekonomi

ke kawasan-kawasan yang berkeupayaan besar untuk berkembang boleh membantu

pencapaian matlamat pembangunan wilayah. Proses pembandaran juga membolehkan

penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk luar bandar

yang tinggal di sekitar bandar dan dengan demikian memberi peluang untuk mereka

menikmati mutu kehidupan yang lebih baik.

Page 2: Strategi wilayah di malaysia

2

2.0 Konsep

Pembangunan ialah proses perubahan daripada peringkat kurang maju kepada peringkat

yang lebih maju sama ada dalam aspek pemikiran manusia ataupun aspek fizikal atau

persekitaran. Konsep wilayah mengikut Bath (1973) adalah satu pembentukan kawasan

sempadan geografi yang melampaui batas-batas sempadan politik negeri atau pemerintah

dengan membentuk sempadannya sendiri berdasarkan kepentingan perancangan

pembangunan yang di olah dan ia dapat dibentuk daripada kriteria ekonomi dan sosial.

Menurut McLoughlin dan Brian (1978) menerusi pendekatan sistem, wilayah sebagai satu

sistem sendiri atau subsistem kepada sistem yang lebih besar iaitu negara. Sistem ini

mempunyai bahagian-bahagian atau subsistem yang saling berinteraksi dan berkaitan.

Sekiranya penumpuan diberikan kepada subsistem sahaja atau sistem keseluruhannya

tanpa melihat subsistemnya, ia tdak akan memberi makna yang berkesan. Kawasan ‘Desa’

pula di definisikan sebagai kawasan petempatan di luar kawasan operasi Pihak Berkuasa

Tempatan (PBT) dan ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung

(JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR-bagi kawasan

FELDA), termasuk Penempatan Orang Asli.

Menurut Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, wilayah

bermaksud sesuatu kawasan yang menjangkau dua atau lebih kawasan pentadbiran.

Menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa, Akta 172, wilayah terdiri dari dua negeri atau

lebih. Wilayah yang digariskan dalam RMK 9 merupakan Koridor Wilayah Ekonomi Negara

yang meliputi kawasan yang lebih luas merangkumi beberapa negeri. Ianya terdiri daripada

Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Tengah, Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan

Wilayah Selatan. Perancangan wilayah di peringkat conurbation (city region) pula tertumpu

kepada conurbation utama negara seperti yang diperuntukkan dalam Rancangan Fizikal

Negara (RFN) iaitu Kuala Lumpur Conurbation, Georgetown Conurbation, Kuantan

Conurbation dan Johor Bahru Conurbation.

Rancangan Wilayah (RW) merupakan dokumen perancangan yang mengandungi

strategi pembangunan spatial untuk mencapai pertumbuhan dan pengagihan seimbang

serta untuk mencapai rangka kerja infrastruktur yang bersepadu dan cekap. RW juga dilihat

sebagai satu rancangan untuk melampaui sempadan pengurusan pertumbuhan kawasan-

kawasan bandaraya atau conurbation (city region). Perancangan Wilayah mempunyai dua

peringkat iaitu rancangan wilayah bagi Koridor Wilayah Ekonomi Negara dan rancangan

wilayah peringkat conurbation/bandaraya (city region). Fokus utama perancangan Koridor

Wilayah Ekonomi Negara adalah untuk menyediakan peluang-peluang pembangunan

Page 3: Strategi wilayah di malaysia

3

ekonomi bagi negeri-negeri yang kurang membangun dan meningkatkan kualiti hidup

penduduk luar bandar. Bagi conurbation (city region), fokus utamanya adalah penyelarasan

dalam penyediaan rangkaian utama perkhidmatan perbandaran serta penyeragaman

gunapakai kaedah-kaedah dan piawaian bagi menghasilkan satu suasana perbandaran

yang setara, cekap dan efisien.

3.0 Konsep Strategi Pembangunan

Strategi pembangunan Rancangan Fizikal Negara (RFN) telah dikaji semula dan ditambah

baik untuk menyediakan satu ekspresi geografi dan tindak balas spatial yang proaktif

terhadap perubahan semasa termasuk komitmen konvensyen antarabangsa seperti

biodiversiti dan perubahan iklim. Masalah kelembapan ekonomi global semasa,

pengurangan perbelanjaan awam oleh Kerajaan, konsep 1Malaysia dan ekonomi

berpendapatan tinggi, koridor pertumbuhan wilayah dan lain-lain teras pembangunan

strategik utama negara seperti RRJP3, RMKe- 9, Dasar Perbandaran Negara (DPN), Pelan

Induk Perindustrian Ke-3 (IMP3), Dasar Pertanian Negara Ke-3 (NAP3), perhutanan,

pelancongan, pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti, pengangkutan, tenaga dan

teknologi hijau telah dikaji dan dianalisis. Bagi merealisasikan objektif sosio-ekonomi

nasional untuk berdaya saing di peringkat global, perpaduan negara, pembangunan

mampan dan kualiti hidup yang tinggi, terjemahan rancangan-rancangan dan dasar sektoral

negara ke dalam dimensi spatial memerlukan negara untuk merasionalisasi dan

memperkukuhkan rangka kerja perancangan spatial negara yang disokong oleh infrastruktur

strategik utama, mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, mempromosikan pembangunan

wilayah yang lebih seimbang, mengoptimumkan penggunaan tanah dan sumber alam

semula jadi, melindungi kualiti dan kepelbagiaan spatial dan alam sekitar dan

memudahcara perhubungan dan integrasi sosial di antara negeri secara bersepadu.

3.1 Penyesuaian Semula Strategi Pembangunan Wilayah dan Desa

Pendekatan pembangunan wilayah ini bertujuan mencapai pembangunan sumber-sumber

alam semulajadi, tenaga manusia dan kewangan di wilayah-wilayah secara lebih berkesan.

Pendekatan ini juga menyelaraskan usaha pembangunan secara lebih berkesan. Dalam

usaha menyesuaikan semula strategi-strategi pembangunan wilayah dan bandar yang sedia

ada, tiga isu perlu dipertimbangkan dalam rangka dasar pembangunan wilayah. Isu pertama

ialah penumpuan dalam pembangunan industri dan pusat pertumbuhan bandar. Usaha-

usaha untuk mengurangkan penekanan perancangan mengikut negeri dan menumpukan

perhatian kepada perancangan berasaskan wilayah memberi kesan langsung terhadap

Page 4: Strategi wilayah di malaysia

4

penempatan industri-industri serta pemilihan pusat-pusat pertumbuhan yang perlu diberi

keutamaan dalam proses pembangunan. Pada masa lalu,

pembangunan kawasan-kawasan perindustrian berlaku di merata-rata tempat dan sumber-

sumber diagihkan secara meluas sehingga tidak memberikan hasil yang berkesan. Bandar-

bandar baru pula mengalami masalah menarik peneroka ke dalam rancangan-rancangan

pembangunan tanah di samping mewujudkan kegiatan-kegiatan selepas pengeluaran.

Isu kedua ialah keperluan menyeimbangkan strategi "kemakmuran penduduk" dan

"kemakmuran tempat". Salah satu strategi untuk mengurangkan jurang pembangunan

ekonomi antara wilayah ialah memindahkan penduduk ke tempat terdapatnya pekerjaan.

Strategi ini dikenali sebagai strategi "kemakmuran penduduk" dan dilaksanakan dengan

mempercepatkan pertumbuhan di kawasan-kawasan pertumbuhan utama, sama ada di

dalam atau di luar wilayah, untuk menikmati faedah berbanding dan ekonomi bidangan. Di

samping itu, strategi ini juga membantu melicinkan perjalanan pasaran buruh bagi

menggalakkan pekerja-pekerja berpindah supaya mereka dapat menikmati pulangan yang

tinggi daripada sumbangan tenaga mereka. Satu lagi strategi ialah memindahkan pekerjaan

ke tempat terdapatnya penduduk dan strategi ini dikenali sebagai strategi "kemakmuran

tempat". Program-program yang dilaksanakan di bawah strategi ini bertujuan menyediakan

pekerjaan kepada penduduk yang tinggal di sesuatu kawasan tertentu dan pengaliran

masuk penduduk ke kawasan ini, sekiranya berlaku, merupakan satu unsur yang kurang

penting. Kedua-dua pendekatan ini mempunyai kebaikan masing-masing di samping

mempunyai unsur tukar ganti. Pada masa lalu, program-program untuk mengurangkan

jurang pembangunan antara negeri telah memberi lebih penekanan terhadap strategi

"kemakmuran tempat" sehingga terlalu banyak kawasan yang mempunyai sumber-sumber

terhad dimajukan. Akibatnya, pertumbuhan telah tersebar ke terlalu banyak pusat sehingga

tidak dapat menikmati faedah ekonomi bidangan.

Isu ketiga ialah peranan penghijrahan penduduk dalam usaha mengurangkan jurang

pembangunan antara wilayah. Berdasarkan pendekatan yang menggunakan wilayah

sebagai unit perancangan, pusat-pusat terpilih yang mempunyai kemampuan untuk

berkembang akan dimajukan bagi menampung penghijrah-penghijrah arah-bandar yang

datang dari wilayah berkenaan, sementara kegiatan-kegiatan di kawasan luar bandar

terutamanya pertanian, akan dipergiatkan semula supaya pendapatan tenaga buruh yang

tidak berpindah dapat ditingkatkan. Di samping itu, pendekatan perancangan sedemikian

akan menggalakkan penghijrahan penduduk antara wilayah ke pusat-pusat yang

mempunyai peluang pembangunan.

Page 5: Strategi wilayah di malaysia

5

4.0 Strategi Pembangunan Wilayah dan Desa

Strategi pembangunan mempunyai implikasi penting terhadap prestasi ekonomi dan kualiti

kehidupan di Semenanjung Malaysia. Strategi pembangunan yang dipilih bermatlamat untuk

menjadikan negara ini suatu tempat yang menarik untuk didiami, bekerja, berekreasi,

melabur, berniaga dan melancong. Untuk mencapai matlamat tersebut, tanah yang

mencukupi dan bersesuaian perlu disediakan bagi menyokong inisiatif perniagaan,

mengekalkan pertumbuhan ekonomi serta menyediakan infrastruktur dan utiliti. Pada masa

yang sama, mempertingkatkan kesesuaian untuk didiami, memudahcara pembangunan

semula bandar, melindungi alam sekitar dan menggunakan sumber asli secara berhemah.

4.1 Keseimbangan Wilayah

Keseimbangan wilayah diterjemahkan sebagai peluang setara untuk mencapai

kesaksamaan tahap pendapatan, kualiti kehidupan dan pembangunan individu, dan tidak

semestinya sama dalam bentuk pembangunan fizikal. Secara umumnya, tidak semua

tempat mempunyai peluang yang sama meningkatkan potensi pertumbuhan dan

pembangunan, seperti pewujudan dan pengoperasian industri berteknologi tinggi. Matlamat

utama adalah untuk mengurangkan jurang dan kadar pertumbuhan antara wilayah dalam

negara.Tanah dan sumber asli di wilayah kurang maju yang masih belum digunakan

sepenuhnya, perlu dipergunakan untuk meningkatkan rantaian nilai dan produktiviti wilayah

tersebut dan membantu mengurangkan ketidakseimbangan wilayah. Industri dan aktiviti

yang berasaskan sumber dan perhutanan, aktiviti hiliran asas pertanian, eko atau resort

pelancongan, industri asas kraf dan lain-lain aktiviti khusus perlu digalakkan dan disokong.

Dalam erti kata lain, aktiviti ekonomi yang berdaya maju yang dibangunkan berdasarkan

kelebihan sumber sedia ada dan kelebihan berbanding sesuatu wilayah perlu dihalakan ke

wilayah yang kurang maju.

Penyediaan kawasan perusahaan SME yang sesuai, insentif dan infrastruktur

strategik dalam wilayah tersebut, terutamanya penyediaan Zon Ekonomi Khas (SEZ) serta

rangkaian ICT dan pengangkutan di kawasan potensi pelancongan, perlu dipertingkatkan

untuk memudahcara pembangunan masing-masing. Ini akan mempercepatkan integrasi

mereka ke dalam aktiviti K-ekonomi untuk menggalakkan keseimbangan wilayah. Secara

khusus, usaha ini termasuklah penyambungan lebuh raya persekutuan ke negeri Kelantan.

Keseimbangan wilayah juga ditafsirkan sebagai satu permulaan bagi membolehkan

pembangunan mampan dijalankan di semua kawasan yang berpotensi dalam negara pada

masa hadapan. Justeru itu, kemasukan Conurbation Kuantan yang semakin membangun,

Page 6: Strategi wilayah di malaysia

6

sebagai satu wilayah-bandar, akan dipromosikan bersama dengan Conurbation George

Town dan Johor Bahru. Kuantan akan bertindak sebagai pintu masuk bagi sektor

pertumbuhan ekonomi baru dan canggih.

Pemodenan pertanian dan peningkatan pendapatan sektor pertanian, walau

bagaimanapun, masih merupakan faktor asas dalam pembasmian ketidakseimbangan

wilayah. Penghijrahan keluar dari wilayah yang kurang maju juga perlu dijangka di dalam

strategi pembangunan negara untuk memudahcarakan pengukuhan pertanian dan

menambah baik produktiviti tenaga kerja. Terdapat juga keperluan untuk memperkukuhkan

program pembangunan pendidikan, latihan teknikal dan sosial di negeri-negeri kurang maju

bagi menggalakkan penduduknya supaya dapat berintegrasi lebih efektif ke dalam ekonomi

bandar conurbation tersebut. Hasrat untuk mencapai keseimbangan wilayah merupakan

salah satu tonggak utama dalam pembangunan negara yang selaras dengan RMLT. Sistem

3-peringkat pentadbiran negara, telah menyumbang kepada keseimbangan wilayah dengan

peruntukan pembangunan diagihkan secara saksama di antara negeri-negeri mengikut

keperluan, sumber dan keutamaan masing-masing.

Pada masa kini, kerajaan persekutuan sedang berusaha untuk melonjak dan

meningkatkan prestasi ekonomi di dalam wilayah bagi menyokong pertumbuhan negara

yang tinggi dan mampan. Untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi wilayah, strategi

khusus telah dirangka dan dilaksanakan untuk empat wilayah ekonomi di Semenanjung

Malaysia, iaitu Wilayah Tengah, Wilayah Selatan, Wilayah Utara dan Wilayah Timur.

Pendekatan wilayah ini telah mengenal pasti koridor pembangunan ekonomi tempatan yang

utama di sepanjang Koridor Pertumbuhan bagi melaksanakan inisiatif pemangkin berimpak

tinggi. Contoh-contoh pembangunan ekonomi ialah agropolitan dan SEZ, berhubung dengan

Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan

Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) melibatkan Iskandar Malaysia. Untuk menyokong

inisiatif ekonomi wilayah negara, Rancangan Fizikal Negara RFN Ke-2 mencadangkan

pengukuhan empat conurbation pertumbuhan utama sebagai pintu masuk antarabangsa

dan negara serta hab wilayah bagi setiap wilayah ekonomi tersebut, iaitu Wilayah Tengah -

Conurbation Kuala Lumpur, Wilayah Utara - Conurbation George Town, Wilayah Timur -

Conurbation Kuantan, Wilayah Selatan - Conurbation Johor Bahru.

Conurbation ini merupakan pemangkin dalam memacu pembangunan di wilayah

ekonomi berkenaan. Conurbation di Pantai Barat adalah lebih jelas, bagaimanapun

Conurbation Kuantan yang baru bermula di Pantai Timur memerlukan bantuan khas

Page 7: Strategi wilayah di malaysia

7

daripada Kerajaan dari segi insentif fiskal dan bukan fiskal serta pembangunan sosial dan

infrastruktur fizikal yang bersepadu. Salah satu instrumen ekonomi utama yang digunakan

adalah penetapan SEZ yang akan menarik pelaburan awam dan swasta ke dalam wilayah

tersebut.

4.2 Trend dan Hala Tuju Pembangunan Luar Bandar

Pembentukan perhubungan yang kuat antara bandar dan luar bandar adalah amat penting

dalam memastikan pembangunan kawasan luar bandar yang mampan. Kawasan luar

bandar lazimnya dikaitkan dengan aksessibiliti lemah ke pusat bandar, di mana

penduduknya bergantung hampir sepenuhnya kepada pendapatan dan pemasaran hasil

pertanian. Kekurangan inovasi teknologi dan sokongan juga menyebabkan produktiviti dan

hasil pendapatan rendah. Di peringkat awal pembangunan, kemiskinan lazimnya dikaitkan

dengan aktiviti pertanian pekebun-pekebun kecil di kawasan luar bandar.

Untuk menambah baik daya tarikan ke kawasan luar bandar, adalah penting untuk

memperkenalkan elemen-elemen utama seperti penyediaan peluang pekerjaan bukan

pertanian, meningkatkan sumber pendapatan, mempertingkatkan kualiti hidup, penyediaan

kemudahan sosial yang lebih baik dan menambah baik akses dan sistem perhubungan.

Hubungan simbiotik antara petempatan bandar dan luar bandar perlu diperkukuhkan melalui

penambahbaikan perhubungan dan laluan pengangkutan supaya peluang pekerjaan di

bandar-bandar utama boleh menyediakan pekerjaan tambahan kepada para petani dan

penduduk desa dengan jarak perjalanan berhampiran dengan kediaman mereka. Keadaan

ini juga akan membolehkan pekerja menetap di kawasan luar bandar dan bekerja di pusat

bandar berdekatan. Ini akan meningkatkan pendapatan isirumah luar bandar dan

membolehkan keluarga menetap di desa, di mana kos sara hidup adalah lebih rendah

berbanding dengan kawasan bandar.

Pelaburan Kerajaan yang berterusan di kawasan luar bandar telah menghasilkan

peningkatan dalam aksessibiliti dan kemahiran individu. Jalan luar bandar yang ditambah

baik, membolehkan penduduk luar bandar untuk berulang-alik ke pusat pekerjaan bukan

pertanian yang kebanyakannya terletak di pusat bandar utama yang berhampiran.

Pendapatan bukan pertanian juga telah meningkat dengan pengenalan industri asas sumber

dan industri asas pertanian, di samping peluang pekerjaan (separuh masa dan bermusim)

dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan di bandar-bandar bersaiz kecil dan sederhana.

Perjalanan untuk bekerja di pusat bandar yang menawarkan pekerjaan dalam sektor bukan

pertanian telah menghasilkan pendapatan isirumah yang lebih tinggi. Walaubagaimanapun,

Page 8: Strategi wilayah di malaysia

8

pekebun-pekebun kecil yang kekurangan pekerja ladang tempatan dan sokongan teknologi

termasuk harga pasaran yang rendah untuk produk hasil pertanian, telah mengakibatkan

kawasan ladang ditinggalkan dan kemerosotan dalam pendapatan hasil ladang secara

umumnya.

Strategi-strategi utama ke arah pembentukan masyarakat luar bandar yang makmur,

berdaya maju dan mampan adalah menambah baik produktiviti pertanian dan nilai ditambah

dalam rangkaian penawaran dan pemasaran melalui penggabungan ladang-ladang pekebun

kecil serta memperkenalkan koperasi perladangan dengan pengurusan professional. Kedua,

membangunkan tenaga sumber manusia yang merupakan penggerak utama kepada

peningkatan produktiviti dan inovasi. Ketiga, menggalakkan dan memudahcara penggunaan

teknologi termasuklah akses kepada internet jalur lebar serta membangunkan Pusat ICT

Desa. Seterusnya, menyediakan aksessibiliti yang baik, terutamanya perkhidmatan

pengangkutan awam yang tetap dari PPK dan PPD ke pusat pekerjaan di pusat bandar

besar untuk membantu perjalanan ulang-alik pekerjaan bukan pertanian.

Selain itu, mewujudkan peluang bagi pelbagai sumber pendapatan bukan pertanian

dengan membangunkan perusahaan enterpris luar bandar yang berdaya saing, mempunyai

kepelbagaian dan berdaya maju, termasuk inisiatif eko dan agropelancongan, industri luar

bandar, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (PPP) produk-produk

pertanian dan program Satu Daerah Satu Industri (SDSI). Kemudian, merangkumkan

petempatan luar bandar dan perkampungan ke dalam kawasan pentadbiran PBT untuk

memastikan piawaian umum bagi bangunan, kebersihan dan infrastruktur dipatuhi.

Kekurangan kawalan terhadap struktur bangunan dan kerja-kerja membaik-pulih di

kampung-kampung seringkali menyebabkan kemerosotan persekitaran fizikal dan alam bina

kampung-kampung berkenaan. Akhir sekali, menaiktaraf Pusat Petempatan Desa (PPD)

bagi mewujudkan perkhidmatan sosial dan perniagaan yang berkualiti serta menjana

peluang pekerjaan sektor sekunder dan tertiari.

Di kebanyakan petempatan luar bandar, termasuk FELDA, peneroka dan ahli

keluarga turut terlibat dalam aktiviti hiliran pertanian seperti pembuatan kuih-muih

tradisional, sos, kerepek, kraftangan dan jahitan. Contoh yang paling berjaya adalah

program Satu Kampung Satu Industri atau SAWARI. Ia merupakan model yang

diperkenalkan oleh FELDA, di mana satu wilayah mengeluarkan satu jenis produk. Menerusi

program ini, ramai peneroka FELDA telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka,

manakala produk-produk tertentu telah berjaya dieksport. Daerah-daerah yang telah berjaya

melalui hasil aktiviti ini adalah seperti Tumpat bagi pengeluaran sambal daging, Kuala

Page 9: Strategi wilayah di malaysia

9

Kangsar dengan labu sayong dan Marang untuk keropok lekor. Aktiviti-aktiviti ini perlu

diperkukuhkan, dibangunkan dan diperkembangkan lagi.

5.0 Dasar-dasar Pembangunan Negara

Lima belas tahun telah berlalu sejak Rangka Rancangan Jangka Panjang dilaksanakan

untuk mencapai matlamat-matlamat DEB. DEB telah dirangka untuk mencapai matlamat

menyeluruh perpaduan negara dan pembinaan sebuah negara menerusi pembasmian

kemiskinan tanpa mengira kaum dan penyusunan semula masyarakat bagi menghapuskan

pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dan kedudukan kawasan. Sebelum tahun 1971,

sebahagian besar pembangunan ekonomi tertumpu kepada usaha menggalakkan

pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan dalam sektor pertanian dan infrastruktur dan

pembangunan kawasan luar bandar. Peristiwa 13 Mei, 1969 membuktikan bahawa

penekanan yang diberi terhadap pertumbuhan ekonomi semata-mata adalah tidak memadai

untuk mengatasi sepenuhnya masalah sosioekonomi yang tidak seimbang di kalangan

masyarakat Malaysia. Oleh yang demikian, DEB yang dirangka pada tahun 1970 mengakui

bahawa sebarang usaha pembangunan yang dibuat tanpa mengambilkira sepenuhnya

masalah-masalah sosioekonomi yang tidak seimbang antara kumpulan etnik dan wilayah

akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang tidak disertai oleh pengagihan yang

akhirnya boleh membawa kepada sebuah masyarakat yang berpecah-belah dan negara

yang kurang terjamin.

Oleh itu, penekanan yang lebih kuat hendaklah diberi kepada matlamat perpaduan

dan integrasi negara menerusi pengagihan pendapatan dan peluang-peluang ekonomi yang

lebih saksama di kalangan semua rakyat Malaysia. DEB menggambarkan keazaman

Kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara bersatupadu, adil, stabil dan progresif.

Matlamat-matlamat DEB dijangka dapat dicapai dalam keadaan ekonomi yang berkembang

dengan pesat supaya tidak ada mana-mana golongan mengalami kerugian atau merasa hak

mereka diketepikan. Berdasarkan kesedaran ini, DEB bertujuan mewujudkan satu susunan

sosioekonomi yang adil bagi rakyat Malaysia meningkatkan pencapaian mereka menerusi

satu sistem yang membolehkan penglibatan, pengurusan dan penguasaan mereka secara

lebih saksama dalam proses pembangunan negara. Banyak kemajuan telah dicapai ke arah

matlamat perpaduan dan pembinaan sebuah negara sejak 15 tahun yang lalu. Kemajuan

juga telah dicapai dalam usaha mengagihkan kekayaan, pendapatan dan peluang-peluang

ekonomi dengan lebih saksama. Pada masa yang sama, kejayaan yang besar juga telah di

perolehi dalam pembangunan sosial untuk memenuhi keperluan asas dan lebih ramai rakyat

Page 10: Strategi wilayah di malaysia

10

Malaysia telah menikmati kemudahan-kemudahan pelajaran, kesihatan dan lain-lain

perkhidmatan awam yang lebih baik.

Kejayaan DEB dari segi pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula corak

guna tenaga serta pemilikan kekayaan adalah membanggakan walaupun prestasi ekonomi

negara dalam sebahagian besar tempoh RME telah dipengaruhi oleh suasana ekonomi

dunia yang tidak pasti. Pencapaian kadar pertumbuhan ekonomi dalam negeri yang tinggi

pada tahun-tahun tujuh puluhan telah mempercepatkan kemajuan ke arah matlamat-

matlamat DEB. Walau bagaimanapun, awal tahun lapan puluhan merupakan tempoh yang

lebih mencabar disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dunia yang bermula sejak akhir

tahun 1979 dan keadaan ini telah melembabkan pencapaian matlamat penyusunan semula

dalam DEB sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dasar Ekonomi Baru ini membantu dalam mencari kesepaduan antara kaum. Usaha

penyusunan semula masyarakat ini juga mengambil faktor pembentukan wilayah dan

penempatan desa. Kerajaan berusaha keras untuk memastikan pembangunan wilayah dan

desa ini seimbang antara satu sama lain. Ini kerana, jika salah satu di antara dua perkara

tersebut, ianya akan memberi kesan kepada proses pembangunan negara. Tanggungjawab

yang digalas oleh Pihak Berkuasa Tempatan sangat besar kerana mereka menjadi agen

pelaksana dalam memastikan hasrat perancangan negera tercapai.

Page 11: Strategi wilayah di malaysia

11

6.0 Kesimpulan

Peranan penting pembangunan wilayah dan bandar dalam usaha mengurangkan jurang

pembangunan ekonomi antara wilayah telah diakui. Usaha pembangunan ini juga memberi

peluang kepada penduduk di wilayah kurang maju menikmati mutu kehidupan yang serupa

dan peluang-peluang yang sama sebagaimana yang dinikmati oleh penduduk di wilayah

lebih maju. Walau bagaimanapun, bagi mencapai matlamat tersebut secara lebih berkesan,

strategi pembangunan wilayah dan bandar akan terus dikaji semula. Dalam tempoh

Rancangan Malaysia, usaha penyesuaian semula strategi pembangunan wilayah hendaklah

dirangka dalam bentuk rancangan-rancangan dan program-program supaya menjadi lebih

kemas dan jelas serta sesuai dilaksanakan di peringkat kawasan. Proses perancangan ini

mengambil masa yang sangat panjang. Setiap perancangan pastinya ada kekuatan dan

kelemahan tertentu.

Berjayanya rancangan ini bergantung kepada rakyat untuk menerima dan menjadi

tanggungjawab kerajaan untuk memastikan perancangan ini mendatangkan faedah dalam

masa jangka panjang. Soal berjaya atau sebaliknya bergantung kepada keadaan semasa

dan penerimaan rakyat. Akhirnya, pelaksanaan sedemikian memerlukan sokongan daripada

agensi Kerajaan yang terlibat dalam pembangunan dan juga rakyat.

Page 12: Strategi wilayah di malaysia

12

7.0 Rujukan

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia Kementerian Perumahan

dan Kerajaan Tempatan (2010). Rancangan Fizikal Negara Ke-2. Kuala Lumpur.

Bahagian Rancangan Fizikal Negara

Mohd Koharuddin Mohd Balwi, Taib Dora, Fadhilah Zaini, Hamdan Abd Kadir, Hamidah

Abd Rahman, & Aminah Mohd Khalid. (2003). Gerakan Daya Wawasan (GDW)

sebagai Pembinaan Pemangkin Nilai-Nilai Proaktif, Kreatif dan Cemerlang Komuniti

Bandar di Malaysia. Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor

Portal Rasmi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia Kementerian

Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2014). Diperoleh pada Mei 8, 2014 daripada

http://www.townplan.gov.my/content.php?ID=42

Rancangan Malaysia Kelima. Diperoleh pada Mei 7, 2014 daripada

http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/RMK/RM5.pdf