Tarekat Kehidupan Harian
-
Upload
zizothehiro -
Category
Documents
-
view
225 -
download
0
Transcript of Tarekat Kehidupan Harian
-
7/24/2019 Tarekat Kehidupan Harian
1/7
-
7/24/2019 Tarekat Kehidupan Harian
2/7
Tarekat Kehidupan Harian
Bertajrid secara melulu memberi kesan yang tidak baik kepada orang yang mencintai jalan
kerohanian. Tidak mungkin seseorang yang baharu mahu memulakan latihan tarekat
kerohanian beramal seperti wali-wali yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri.
Tindakan mencampakkan segala-galanya yang dimilikinya secara tergesa-gesa membuatkan
dia berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang menggoncangkan imannya dan bolehmenyebabkan dia berputus asa. Dia tidak seharusnya meniru secara melulu kehidupan
wali-wali yang sudah mencapai makam keteguhan. Seseorang perlu melihat kepada dirinya
sendiri; mengenalpasti kedudukannya, kemampuannya dan daya tahannya.
Ketika masih di dalam makam asbab dia perlu bertindak sesuai dengan hukum sebab akibat.
Dia harus bekerja untuk mendapatkan rezekinya. Dia juga perlu mengadakan sebab bagi
mensejahterakan kehidupannya. Sebagai persediaan memasuki bidang kerohanian dia terlebih
dahulu perlu bergerak di atas landasan sebab musabab yang boleh memperkuatkan daya
tahan dan kesabarannya. Dia masih lagi terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih
melihat tindakan makhluk mempunyai kesan dan pengaruh. Oleh yang demikian adalah wajarjika dia juga mengadakan tindakan menurut hukum sebab musabab dengan menggunakan
bakat kemanusiaannya demi mengatur perancangan dengan rapi agar apa yang dia hajati
boleh tercapai. Jika niatnya benar dan baik, perjalanan sebab musabab akan membantunya
menuju ke arah yang dihajatinya. Tanda seseorang itu diletakkan di dalam sempadan asbab
sebagai kenderaannya menuju matlamat, adalah urusan dan tindakannya menurut peraturan
sebab musabab tidak menyebabkannya mengabaikan kewajipannya terhadap tuntutan agama.
Dia tetap berasa mudah untuk berbakti kepada Allah s.w.t, tidak menggunakan cara yang
diharamkan oleh Allah s.w.t, tidak gelojoh dengan nikmat dunia dan tidak dengkikan nikmat
yang Allah s.w.t kurniakan kepada orang lain. Apabila ahli asbab berjalan menurut hukum
sebab musabab yang tidak menyalahi syarak, jiwanya akan berkembang dengan baik danteratur, tanpa menghadapi kegoncangan yang dia tidak berdaya menanggungnya. Rohaninya
akan menjadi kuat sedikit demi sedikit dan menolaknya ke dalam suasana tajrid secara teratur
dan selamat. Akhirnya dia mampu bertajrid sepenuhnya.
Dalam kehidupan harian ada juga orang yang dipaksa oleh takdir supaya terjun ke dalam
lautan tajrid. Orang ini asalnya tergolong di dalam kumpulan ahli asbab yang hidup menurut
hukum sebab musabab seperti orang ramai. Kehidupan dalam daerahasbab itu tidak
menambahkan kemantapan rohaninya. Dia memerlukan perubahan bidang kehidupan
baharulah rohaninya boleh berkembang maju. Bagi tujuan menambahkan kekuatan
kerohaniannya takdir memisahkannya daripada apa sahaja yang menghalangnya daripadaberjalan kepada Tuhan. Pada peringkat permulaan menerima kedatangan takdir yang demikian,
sebagai seorang yang masih terikat dengan hukum sebab akibat, dia akan berusaha sedaya
upayanya untuk menahan takdir yang tidak diingininya itu. Bila dia tidak berdaya menolong
dirinya sendiri dia akan meminta pertolongan dengan orang lain yang mempunyai kuasa. Kuasa
yang ada dengan manusia tidak mampu juga menolongnya menyekat kemaraan takdir yang
mendatanginya itu. Dia boleh mengadakan sebab tetapi akibat yang diharapkan tidak berlaku.
Dia menghadapi keadaan di mana hukum sebab akibat tidak berdaya menembusi benteng
takdir. Setelah puas berusaha dan meminta pertolongan orang lain, dia tidak ada pilihan lagi
kecuali lari kepada Tuhan. Dia merayu sambil menangis, memohon Tuhan menolongnya,
melepaskannya daripada takdir yang menimpanya itu. Walau bagaimana sekalipun dia merayunamun tangan takdir yang mencengkamnya tidak juga terlepas. Akhirnya dia tidak berkuasa
2 / 7
-
7/24/2019 Tarekat Kehidupan Harian
3/7
Tarekat Kehidupan Harian
melawan lagi. Dia mengaku kalah dan tunduk kepada perjalanan takdir yang menguasainya.
Redalah dia dengan apa juga takdir yang menimpanya. Dia tidak lagi merayu kepada Tuhan,
sebaliknya dia menyerah bulat-bulat kepada-Nya. Tidak ada lagi ikhtiar, pilihan dan kehendak
diri sendiri. Jadilah dia seorang hamba Allah s.w.t yang bertajrid sepenuhnya. Bila seseorang
hamba benar-benar bertajrid maka Allah s.w.t akan menguruskan kehidupannya.
Beberapa banyak binatang yang melata yang tidak sanggup membawa rezekinya. Allah yang
menjamin rezekinya, juga terhadap kamu. Dia Maha Mendengar Maha Mengetahui. ( Ayat 60 :
Surah al-Ankabut )
Makhluk Tuhan seperti burung, ikan, ulat, semut, kuman dan berbagai-bagai lagi tidak memiliki
kebun dan kilang makanan. Mereka adalah ahli tajrid yang dijamin rezeki mereka oleh Tuhan.
Manusia tajrid juga dijamin rezekinya oleh Tuhan. Bukan sekadar rezeki yang dijamin oleh
Tuhan, malah segala aspek kehidupannya diuruskan oleh Tuhan. Tuhan mencabut kehendak
dirinya yang lama dan digantikan-Nya dengan kehendak yang lain yang sesuai dengankehendak-Nya. Tuhan memeliharanya daripada melakukan apa yang Dia murkai. Apa sahaja
yang Dia mahu hantarkan kepada hamba-Nya yang bertajrid, ditapis-Nya agar ia tidak
merosakkan iman dan iktikadnya. Dia memelihara hamba-Nya yang demikian daripada
gangguan manusia lain yang tidak mengerti. Dia yang membela hamba-Nya yang demikian
yang teraniaya. Penjagaan Tuhan terhadap hamba-Nya yang bertajrid melebihi penjagaan
seorang ibu terhadap anaknya yang masih bayi. Allah s.w.t menghalang tangan manusia yang
kotor dan aniaya daripada sampai kepada hamba-Nya yang menyerahkan urusan kepada-Nya.
Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang hamba-Nya itu dalam daerah tajrid adalah Dia
memudahkan baginya rezeki dan penyelesaian masalahnya dengan cara yang tidakdisangkanya. Jiwanya dijaga agar sentiasa tenteram walaupun berlaku kekurangan rezeki atau
dia ditimpa oleh kesusahan. Allah s.w.t membela hamba-Nya yang bertajrid secara langsung
atau dihantarkan-Nya makhluk-Nya untuk membantu hamba-Nya itu. Orang yang berperang
dengan hamba Allah s.w.t yang bertajrid sebenarnya berperang dengan Allah s.w.t kerana
hamba tersebut telah menyerahkan segala urusannya kepada Tuhannya dan Tuhan
menghantarkan tentera-Nya yang tidak kelihatan bagi melindungi hamba-Nya yang bertajrid itu.
Seseorang hamba perlulah menerima dengan rela kedudukan yang Tuhan kurniakan
kepadanya. Berserahlah kepada Allah s.w.t Yang Maha Mengerti dan Maha Mentadbir. Apa
yang penting dilakukan bukanlah mengubah dengan serta merta bentuk kehidupan yangsedang dimiliki. Tumpuan awal hendaklah ditujukan kepada mengubah suasana hati walaupun
suasana kehidupan belum berubah. Ketika masih dalam daerahasbab tidaklah wajar jika
seseorang mencampakkan segala-galanya. Mulailah dengan kehidupan yang sedia ada tetapi
dengan suasana hati yang berbeza. Hati hendaklah dipaksakan supaya sentiasa mengingati
Allah s.w.t, ada hubungan dengan-Nya. Segala sesuatu dan segala perkara hendaklah dilihat
sebagai ada pertalian dengan urusan dan pentadbiran Tuhan. Tidak ada sesuatu yang bebas
bergerak sendiri tanpa tadbir Ilahi.
Beriman kepada Qadak dan Qadar memainkan peranan yang penting dalam tarekat kehidupan
harian. Qadak dan Qadar adalah urusan Tuhan. Apa sahaja yang dinisbahkan sebagai urusanTuhan walaupun boleh dijelaskan melalui bakat dan nilai yang ada dengan manusia tetapi
3 / 7
-
7/24/2019 Tarekat Kehidupan Harian
4/7
Tarekat Kehidupan Harian
maksud yang sebenar melampaui penjelasan tersebut. Beriman kepada Qadak dan Qadar
mengandungi penyerahan tanpa takwil terhadap apa yang tidak mampu dihuraikan secara
terperinci melalui kekuatan akal, logik dan dalil. Walau bagaimana pun bolehlah dikatakan
Qadak dan Qadar adalah suasana Ilmu Tuhan mengenai segala perkara yang Dia berkehendak
menciptakan. Suasana dalam Ilmu Tuhan adalah awalnya itulah akhirnya dan zahirnya itulahbatinnya, tidak ada perpisahan. Penciptaan manusia pertama dengan penciptaan manusia
terakhir tidak ada jarak masa, ruang dan zaman dalam Ilmu Tuhan, tetapi perkara tersebut ada
pada penciptaan yang nyata atau makhluk. Oleh sebab itu Tuhan mengetahui hal-ehwal
manusia pertama dan terakhir sekaligus. Tuhan mengetahui yang azali dan yang abadi
sekaligus. Tidak ada sesuatu yang melindungi sesuatu yang lain pada pengetahuan Tuhan.
Tuhan mengetahui roh seseorang dan pada masa yang sama juga Dia mengetahui jasadnya.
Tidak akan berlaku keadaan Tuhan tersalah meletakkan roh kepada jasad yang bukan
untuknya. Roh adalah urusan Tuhan. Segala maklumat yang berhubung dengan penciptaan
sesuatu makhluk itu telah disimpankan pada roh urusan-Nya itu. Roh urusan-Nya akan
bergerak menurut ketentuan yang Tuhan letakkan padanya dan ia mengheret yang di bawahjagaannya menurut ketentuan yang sama. Dengan cara yang demikian apa yang Tuhan telah
tentukan pada Ilmu-Nya berlaku dalam alam makhluk.
Qadak dan Qadar memperkenalkan Kudrat, Iradat dan Ilmu Tuhan yang menguruskan segala
perkara mengenai makhluk seperti penciptaan, keutuhan sebagai ciptaan yang mampu
mengeluarkan kesan dan ciptaan itu menjadi asas kepada kewujudan di dunia dan di akhirat.
Medan takdir menjadi cermin yang padanya manusia dapat melihat sesuatu mengenai Tuhan
dan melaluinya manusia mengenal Tuhan. Beriman kepada Qadak dan Qadar mempereratkan
hubungan hamba dengan Hadrat Tuhan yang "Dia beserta kamu walau di mana kamu berada";
" Ke mana kamu hadapkan muka kamu di sana ada Wajah Tuhan (perihal tentang Tuhan";"Tidak ada daya dan upaya melainkan beserta Allah". Tanpa iman kepada Qadak dan Qadar
tidak boleh wujud hubungan yang erat di antara hati hamba dengan Tuhan.
Beriman kepada Qadak dan Qadar juga membuatkan manusia mengakui keberkesanan
bakat-bakat yang Tuhan kurniakan kepadanya menyertai penciptaannya. Pengakuan tersebut
membuat manusia menghargai bakat-bakat kurniaan Tuhan itu dan menggunakannya menurut
peraturan Tuhan demi mencari keredaan-Nya. Beriman kepada Qadak dan Qadar cara begini
membuat manusia melihat bakat-bakat dirinya sebagai alat yang Tuhan amanahkan kepadanya
untuk dijaga dan digunakan sebaik mungkin. Alat-alat tersebut akan diserahkan kembali kepada
Tuhan, Pemilik sebenar yang akan memerikasanya.
Dalam perjalanan takdir seseorang manusia, muncul kehendak diri kepada sesuatu.
Bakat-bakat diri digerakkan bagi mendapatkan apa yang dikehendaki itu. Biasa terjadi kekuatan
bakat diri tidak mampu mendapatkan apa yang diingini. Kejadian seperti ini menambahkan
kesedaran manusia kepada Pemilik sebenar yang berkuasa mengatasi hak yang ada pada
pengguna. Dengan demikian pengguna akan rasa bersyukur dalam menggunakan alat yang
dipinjamkan kepadanya dan dia juga sentiasa ingat kepada Pemilik sebenar, berhajat
kepada-Nya dan tunduk kepada keputusan-Nya yang Mutlak. Manusia itu juga sedar bahawa
Pemilik sebenar boleh mengambil balik apa yang dipinjamkan-Nya kepada hamba-Nya, pada
bila-bila masa yang Dia kehendaki dan tiada siapa dapat menghalang-Nya.
4 / 7
-
7/24/2019 Tarekat Kehidupan Harian
5/7
Tarekat Kehidupan Harian
Terjemahan kepada suasana beriman kepada Qadak dan Qadar bergantung kepada
kedudukan seseorang. Orang yang didudukkan di dalam medan asbab perlu melihat kepada
perjuangan, usaha, ikhtiar, doa dan sebagainya dalam melaksanakan tuntutan imannya itu.
Orang yang berada dalam medan tajrid tidak melihat kepada perkara-perkara yang demikian.
Mata hatinya tertutup daripada melihat kepada kekuatan dirinya dan bakatnya. Walaupunseseorang itu bermakam pada asbab atau tajrid, pasti ada sesuatu yang berlaku pada dirinya,
ada perbuatan, perkataan dan lain-lain. Perkara yang berlaku pada ahli asbab adalah serupa
dengan yang berlaku pada ahli tajrid. Misalkan, pada ahli asbab ada perbuatan memanjat
pokok kerana mahu memetik buah kelapa. Pada ahli tajrid juga ada perbuatan yang serupa.
Ahli asbab melihat perbuatan tersebut sebagai perbuatan dirinya. Dia menggunakan
bakat-bakat yang lahir bersama kelahirannya. Ahli tajrid melihat perbuatan tersebut sebagai
takdirnya. Takdir yang menggunakan bakat-bakat yang tersimpan pada dirinya. Oleh yang
demikian, orang yang berada dalam medan asbab secara fikiran dan perasaannya, tidak
seharusnya menggunakan hujah ahli tajrid untuk merombak kepercayaan kepada Qadak dan
Qadar. Ahli tajrid pula tidak seharusnya menyalahkan huraian mengenai Qadak dan Qadaryang dibuat oleh ahli asbab dengan menggunakan fikiran dan perasaan asbab. Mengetahui
kedudukan masing-masing boleh mengelakkan perbalahan yang tidak berkesudahan tentang
Qadak dan Qadar.
Fitnah kehidupan harian lebih banyak mengenai ahli asbab daripada ahli tajrid. Orang tajrid
dipertahankan oleh perasaan reda dengan apa juga takdir yang menimpanya. Ahli asbab pula
perlu bertahan dengan kepercayaan kepada hari akhirat. Beriman kepada Akhirat menjadi
benteng yang mempertahankan ahli asbab daripada jatuh ke dalam jurang kemusnahan, sama
ada kemusnahan pada jiwa atau pada akidah apabila berhadapan dengan kegoncangan yang
berlaku pada kehidupannya. Akhirat adalah pemisah di antara orang yang beriman denganorang yang kafir. Di dalam dunia ini orang yang beriman boleh mengadakan ikhtiar
sebagaimana yang dilakukan oleh orang kafir, tetapi sering terjadi usaha orang kafir lebih
mendatangkan keuntungan. Orang yang beriman mesti meyakini bahawa pengadilan di dunia
tidak muktamad. Banyak daripada balasan baik untuk orang yang beriman disimpan di akhirat,
bukan kerana Tuhan berkira dengan orang yang beriman tetapi kerana balasan yang Tuhan
sediakan itu tidak layak dimuatkan di dalam dunia. Dunia ini terlalu sempit untuk dimuatkan
dengan balasan baik yang Tuhan sediakan untuk orang mukmin. Orang mukmin melakukan
kebaikan dengan kekuatan rohani yang berunsur nur atau cahaya. Cahaya boleh meliputi ruang
yang luas dan melintasi zaman. Cahaya daripada sebahagian bintang mengambil masa beratus
tahun untuk sampai ke bumi dan ada pula bintang yang cahayanya tidak akan sampai ke bumi.Cahaya rohani manusia lebih latif daripada cahaya bintang. Nabi Ibrahim a.s yang mempunyai
kekuatan rohani yang tinggi, berdoa kepada Tuhan agar Kaabatullah dikunjungi orang bagi
mengerjakan haji. Kekuatan doa Nabi Ibrahim a.s yang timbul daripada rohani yang suci bersih
itu menarik manusia berduyun-duyun ke Makkah, sehingga ke hari kiamat. Ruang yang ada
dalam dunia ini tidak cukup memuatkan balasan kepada kebaikan yang dilakukan oleh Nabi
Ibrahim a.s yang hanyalah sepotong doa, belum dicampurkan dengan kebaikan-kebaikan yang
lain. Ruang yang cukup luas bagi memuatkan balasan orang mukmin berada di akhirat. Oleh
kerana orang mukmin perlu menunggu untuk mendapatkan balasannya maka Tuhan
menggandakan balasan tersebut.
Keadaan orang kafir berbeza daripada orang mukmin. Orang kafir berbuat kebaikan bukan
5 / 7
-
7/24/2019 Tarekat Kehidupan Harian
6/7
Tarekat Kehidupan Harian
atas dasar beriman kepada Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada balasan kebaikan bagi mereka di
akhirat. Balasan kebaikan orang kafir diselesaikan di dunia ini juga. Sebab itulah usaha mereka
yang sedikit mendapat pulangan yang banyak. Tuhan sentiasa memberi lebih banyak daripada
apa yang mereka usahakan supaya mereka tidak ada hak lagi untuk membuat tuntutan di
akhirat.
Allah s.w.t ciptakan manusia sebagai hamba-Nya dan untuk-Nya. Sebab itu hati hamba
cenderung untuk kembali kepada-Nya. Dia telah sediakan jalan kembali kepada-Nya. Itulah
jalan yang lurus. Orang yang mengikuti jalan yang lurus bertindak sesuai dengan tujuan dia
diciptakan dan citarasanya yang asli. Apabila tujuan, tindakan dan citarasa bersepakat akan
lahirlah kedamaian dalam hati. Kesejahteraan hati diperolehi di atas jalan yang lurus. Jika
seseorang hamba lari dari jalan yang lurus hatinya akan memberontak. Akibatnya dia tidak
akan merasakan kedamaian. Dia akan merasakan kekosongan di dalam jiwa. Rasa
kekosongan itu menggerakkannya mencari tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang dicarinya.
Ketidak-pastian yang menguasainya membuatnya mencari menurut sangkaan. Sangkaan tidakmenemukannya dengan yang sebenarnya dicari. Bila pencarian berlaku di luar daripada
sempadan yang lurus yang ditemui hanyalah bayangan. Bayangan tidak membawa
kebahagiaan yang sejati. Harta kekayaan, pangkat kebesaran dan lain-lain yang digunakan
bagi mencari di luar daripada sempadan jalan yang lurus hanya memberi pulangan yang
sia-sia. Hanya jalan yang lurus boleh membawa hamba kepada kebenaran yang dicari. Pada
jalan yang lurus, harta dan pangkat akan mendatangkan keberkatan kepada dirinya dan
memberi manfaat kepada makhluk Tuhan. Segala pemilikan menjadi alat bagi mendapatkan
keredaan Allah s.w.t, berbakti kepada-Nya dan membantu makhluk-Nya. Bila tindakan dibuat
sesuai dengan peraturan jalan yang lurus hati akan menjadi damai dan sejahtera. Tiada lagi
pemberontakan dan tiada lagi kekosongan.
Suka, duka, senang, susah, bahagia, celaka dan semuanya ditanggung oleh hati kerana hati
yang memerintah sekalian anggota dan hati yang membuat keputusan dan pilihan. Hati perlu
diperkuatkan agar ia dapat membuat pilihan yang baik dan benar dan mengawal anggotanya
daripada lari ke jalan yang tidak lurus. Kekuatan hati boleh dipertingkatkan dengan amalan zikir.
Hati perlu dibenamkan ke dalam suasana zikir sebanyak mungkin. Kekuatan zikir hati menyata
sebagai zikir anggota. Bila anggota sudah dikuasai oleh zikir ia tidak lagi keluar daripada jalan
yang lurus.
Tarekat kehidupan harian perlu dilakukan dalam suasana hati yang mengingati Allah s.w.t iaituzikir. Seseorang itu perlu berzikir ketika berjalan, memandu, memasak, berbaring dan pada
semua keadaan. Kepenatan bekerja perlu direhatkan dengan zikir. Biar roh zikir menguasai
semua aktiviti kehidupan. Berjalan ke bilik mesyuarat dengan zikir, bagi memperolehi
keberkatan pada semua keputusan yang akan dibuat nanti. Menunggu kapal terbang sampai
dengan berzikir, menaiki kapal terbang dengan zikir dan turun dari kapal terbang juga dengan
zikir. Jika seseorang itu dicabut nyawanya maka dia keluar' bersama ingatan kepada Allah
s.w.t.
Selain daripada melakukan zikir beserta kegiatan harian, zikir perlu juga dibuat secara khusus,
terutamanya pada waktu malam, setelah segala kegiatan harian berakhir. Zikir secara khususmemudahkan zikir secara perbuatan dan perkataan dalam kehidupan harian.
6 / 7
-
7/24/2019 Tarekat Kehidupan Harian
7/7
Tarekat Kehidupan Harian
Zikir mengubah suasana hati. Tarekat kehidupan harian mengubah kerohanian tanpa
mengubah penghidupan harian. Orang masih boleh bekerja, menjaga isteri dan anak-anak
serta berkhidmat kepada masyarakat. Bila tidak ada perubahan yang mendadak tidak ada pula
kegoncangan yang mencabar iman. Dunia dan kehidupannya menjadi tarekat. Takwa
(memelihara batasan yang ditentukan Tuhan) menjadi suluk. Perkataannya menjadi zikir,perbuatannya menjadi zikir dan perasaannya juga zikir. Roh amal bagi tarekat kehidupan harian
adalah ikhlas. Apabila seseorang sudah berjaya mencapai makam ikhlas dalam menjalani
kehidupannya dengan mematuhi perintah Tuhan, sesungguhnya dia sudah memperolehi nikmat
yang sangat besar. Dia sudah berjaya mengikuti kehidupan Rasulullah s.a.w dan
sahabat-sahabat baginda s.a.w.
7 / 7