Tekanan Emosi Dalam Kalangan Murid
-
Upload
dhiya-ainanie -
Category
Documents
-
view
28 -
download
3
description
Transcript of Tekanan Emosi Dalam Kalangan Murid
TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID
PERANAN GURU MENANGANI TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID
Tekanan emosi yang dialami oleh murid-murid pada masa kini sering dilihat
berpunca dari rumah dan keluarga yang kucar-kacir. Namun begitu, guru
memainkan peranan penting bagi membantu murid-murid menangani masalah
tersebut. Hal ini kerana murid-murid menghabiskan masa hampir 8 jam berada di
sekolah setiap hari dan kadang-kala masa ini melebihi masa mereka bersama-sama
ibu bapa mereka. Chan dan Rodziah (2012) menulis disebabkan murid
menghabiskan banyak masa di sekolah, guru juga menjadi pemangkin kepada
kecerdasan emosi murid. Tambahnya lagi Pusat Perkembangan Kurikulum turut
menggariskan bahawa terdapat beberapa subjek seperti Pendidikan Islam dan
Pendidikan Moral yang boleh memenuhi perkembangan emosi murid walaupun tiada
satu subjek khas bagi pembelajaran emosi dan sosial dalam kurikulum. Justeru, di
sinilah guru perlu mencari ruang bagi membangunkan perkembangan emosi murid
secara tidak langsung dalam kurikulum yang dijalankan.
Mohd Sahandri et.al. (2011) menggariskan beberapa elemen yang
membolehkan guru membantu murid menangani tekanan emosi yang dihadapi.
Antaranya ialah guru perlu mempamerkan sentuhan peribadi dan menunjukkan
perasaan belas kasihan. Dalam aspek mempamerkan sentuhan peribadi(personal
touch), guru-guru perlu berhubung dengan murid-muridnya secara profesional.
Guru-guru akan mendorong murid-murid untuk berkongsi pengalaman di dalam
kelas, mengambil berat dan memahami setiap muridnya secara personal serta cuba
memahami masalah yang dialami oleh murid-muridnya. Melalui cara ini guru
berpeluang untuk mengenali personaliti murid dengan lebih dekat di samping
mengetahui latar belakang keluarga dan persekitarannya. Pengetahuan yang
diperoleh oleh guru dapat digunakan bagi membantu murid menghadapi tekanan
emosi yang yang dilalui. Sebagai contoh dalam kes Ahmad, guru-guru pasti akan
memberi layanan yang berbeza sekiranya mereka mengetahui latar belakang dan
masalah keluarga yang dihadapi oleh Ahmad. Layanan yang seakan-akan tidak
memahami masalah yang dihadapi murid akan menyebabkan murid berasa lebih
tertekan dan mencari jalan alternatif bagi memuaskan dirinya.
Dari segi menunjukkan belas kasihan pula, guru akan sentiasa mengambil
berat masalah peribadi yang dihadapi oleh murid. Sikap prihatin yang ditunjukkan
oleh guru memberi peluang kepada murid untuk berkongsi masalah. Murid
sememangnya tidak mengharapkan bantuan yang besar daripada guru seperti
bantuan kewangan, tetapi perkara yang lebih penting ada individu yang sentiasa
cuba memahami mereka. Hal ini kerana perasaan terbiar yang dialami di rumah
membuatkan mereka mencari peluang mendapatkan kasih sayang daripada para
guru pula terutamanya guru-guru wanita. Tambahan lagi guru sememangnya
diibaratkan sebagai ibu dan bapa kepada semua murid ketika berada di sekolah.
Maka, tidak salah bagi seorang guru untuk mempamerkan rasa belas kasihan dan
memberi sedikit kasih sayang kepada murid-murid.
Abdul Ghani dan Abd. Rahman (2009) pula berpendapat bagi menguruskan
murid yang menghadapi gangguan emosi yang menunjukkan masalah tingkah laku,
guru perlu menguruskannya dari aspek kemanusiaan. Hal ini kerana mereka
mencatatkan bahawa memperkasa kecerdasan emosi bagi membentuk tingkah laku
murid dan mengurus tingkah laku murid melalui pemikiran kritis merupakan elemen
dalam aspek kemanusiaan. Nilai-nilai penting dalam aspek kemanusiaan ini ialah
keadilan, dorongan, kebebasan, keyakinan dan kepercayaan. Aspek kemanusiaan
ini akan membantu guru mengurus tingkah laku murid menjadi insan yang lebih
bertanggungjawab dan membentuk sahsiah murid. Oleh itu, dalam hal ini guru
merupakan model terbaik bagi murid dan hubungan baik antara guru dan murid
boleh membawa kepada kecerdasan emosi murid yang lebih baik.
Roslee et.al. (2004) dalam kajiannya pula mencadangkan pendekatan
kaunseling kelompok boleh digunakan bagi menangani masalah emosi dalam
kalangan murid. Kajian yang dijalankan terhadap kelompok anak-anak yatim terpilih
mendapati kaunseling kelompok dapat membawa kepada perubahan sikap yang
positif, mewujudkan kemesraan dan sikap keterbukaan. Hal ini kerana dalam
kaunseling kelompok yang dijalankan, murid akan meluahkan perasaan yang negatif
dan akan mewujudkan kepercayaan dan kebebasan ahli kelompok. May dan
Housley (dlm. Roslee et.al, 2004) menyatakan pendekatan kaunseling kelompok
boleh ditawarkan kepada murid yang memerlukan bantuan emosi secara lebih
berkesan dan bertujuan dengan syarat ia dibuat perancangan secara terperinci.
Dalam kaunseling kelompok tersebut, guru akan menggunakan pelbagai kemahiran
seperti membina perhubungan, menstruktur, memberi maklum balas, berempati, dan
memberi dorongan minima yang dapat membantu melancarkan proses kaunseling
kelompok yang dijalankan.
Berdasarkan isu-isu yang dikemukakan, jelaslah dilihat bahawa isu tekanan emosi
dalam kalangan murid merupakan isu yang acap kali berlaku di sekolah. Tekanan
emosi yang ditunjukkan dalam pelbagai bentuk memerlukan kemahiran dan
pengetahuan guru untuk menanganinya dengan baik. Isu tekanan emosi dalam
kalangan murid turut mendorong Kementerian Kesihatan menjalankan kajian melalui
projek rintis Program Minda Sihat Menangani Stres dalam Kalangan Murid (Hakimi,
Utusan Malaysia 2011). Beberapa buah sekolah menengah di seluruh Malaysia
telah dipilih bagi menjalani projek rintis ini.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada waktu itu, projek rintis
tersebut akan diperluaskan di semua sekolah sebagai satu usaha meningkatkan
kesejahteraan dalam kalangan murid dan warga sekolah serta sebagai persediaan
mengelakkan perkara lebih serius berlaku. Keprihatinan pihak kementerian dalam
memandang serius isu tekanan yang dihadapi oleh murid amat wajar. Hal ini kerana
murid yang berada dalam keadaan tertekan pasti akan mengundang pelbagai
masalah lain di samping tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran.
Oleh itu, seharusnya semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru dan ahli
masyarakat setempat saling membantu dalam menangani isu ini.