TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

37
Chan Chee Sheng • Abu Hassan Daud TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

Transcript of TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

Page 1: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

Chan Chee Sheng • Abu Hassan Daud

TEKNOLOGI PENCEDUNGANPADI SECARA MEKANIKALPADI SECARA MEKANIKAL

Penerbit MARDI

Page 2: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

M A N U A L

TEKNOLOGI PENCEDUNGANPADI SECARA MEKANIKAL

Page 3: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL
Page 4: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia

M A N U A L

TEKNOLOGI PENCEDUNGANPADI SECARA MEKANIKAL

Chan Chee Sheng, PhDAbu Hassan Daud

Page 5: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

Diterbitkan oleh:Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)Ibu Pejabat MARDI, SerdangPeti Surat 1230150774 Kuala Lumpur, Malaysia

Dicetak oleh:Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Malaysia

Cetakan pertama 2016

©Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia 2016Hak Cipta Terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel, ilustrasi, isi kandungan buku ini dalam apa juga bentuk dan dengan apa cara pun sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau lain-lain sebelum mendapat izin bertulis daripada MARDI.

Page 6: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

v

KANDUNGAN

Penghargaan viPrakata viiPengenalan 1Infrastruktur asas pusat semaian padi 2Struktur bangunan 3Jenis-jenis mesin yang diguna dalam penyediaan tikar semaian 4Tapak semaian 5Pencedungan padi secara mekanikal 6Teknologi penghasilan tikar semaian 7Teknologi penyediaan tanah bendang 12Teknologi mencedung padi secara mekanikal 13Faktor-faktor yang mempengaruhi jumlah keperluan tikar semaian 14Perbandingan sistem penanaman padi secara pencedungan mekanikal dan tabur terus 16Masalah yang dihadapi oleh pengusaha perkhidmatan pencedungan secara mekanikal 19Kesimpulan 19Bibliografi 19Gerak kerja penyediaan dan penghasilan tikar semaian padi 21Alamat perhubungan 27

Page 7: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

vi

PENGHARGAANPenghargaan dan terima kasih kepada Pengarah dan kakitangan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan, Pusat Penyelidikan Padi dan Beras, Pusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan serta Pusat Komunikasi Korporat dan Kualiti atas initiatif, nasihat dan sokongan dalam menerbitkan manual ini. Penghargaan dan terima kasih juga turut disampaikan kepada pihak Pengurusan MARDI Seberang Perai dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menyediakan manual ini.

Page 8: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

vii

PRAKATATerlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pengarang Manual Teknologi Pencedungan Padi Secara Mekanikal atas daya usaha dalam menghasilkan manual yang boleh dijadikan sebagai panduan asas bagi kaedah pencedungan padi secara mekanikal di negara ini. Penerbitan manual ini amat sesuai dan tepat pada masa ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menghasilkan benih yang berkualiti tinggi dan tulen, seterusnya meningkatkan pengeluaran padi serta mencapai matlamat jaminan makanan negara.

Kerajaan mewajibkan semua pengeluar benih menghasilkan Benih Asas dan Benih Berdaftar menggunakan kaedah mencedung supaya penghasilan benih dapat mencapai piawaian minimum ladang dan piawaian biji benih padi Malaysia terutamanya dari segi ketulenan, penyakit, daya percambahan dan lembapan. Di samping itu, pengeluar benih Padi Sah juga disyorkan menggunakan kaedah mencedung supaya kualiti benih dihasilkan lebih terjamin. Kaedah mencedung secara mekanikal berbanding dengan manual dapat menjimatkan masa untuk kerja penanaman selain mendapat penapakan yang lebih sekata. Teknologi ini mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan sistem tabur terus terutamanya dalam pengawalan rumpai dan padi angin, di samping memperoleh hasil biji benih yang lebih berkualiti dan tulen serta hasil tanaman yang lebih stabil.

Diharapkan manual ini dapat memantapkan lagi penggunaan teknologi pencedungan padi secara mekanikal oleh pengeluar benih padi sama ada sektor kerajaan mahupun swasta dan seterusnya dapat memberi manfaat dan sumbangan ke arah meningkatkan hasil pengeluaran padi negara bagi mencapai sasaran tahap sara diri pada masa hadapan.

Dato’Dr.SharifbinHaronKetua Pengarah MARDI

Page 9: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL
Page 10: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

1

PENGENALAN• Kaedah mencedung padi secara mekanikal adalah dengan menggunakan mesin

jentanam untuk menanam anak benih padi ke petak bendang daripada tikar semaian padi yang disediakan di tapak semaian.

• Secara tradisional petani mengubah atau mencedung padi secara manual dengan menggunakan tenaga manusia. Kaedah tradisi ini memerlukan tenaga buruh yang ramai iaitu 20 – 30 orang sehari untuk mengubah kawasan sehektar bendang.

• Amalan ini tidak dapat diteruskan mengikut peredaran masa kerana memerlukan kos pengeluaran yang tinggi ditambah pula dengan kekurangan tenaga pekerja yang semakin meruncing pada masa itu. Oleh yang demikian, kaedah mencedung padi secara mekanikal diperkenalkan.

• Teknologi mencedung bermula di Jepun dan dibawa ke Malaysia pada awal tahun 1970-an. Bagaimanapun, penerimaan teknologi ini menghadapi sedikit masalah kerana memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi dan perkembangan infrastruktur ladang yang kurang sesuai dan lengkap untuk menampung operasi ini.

• Selepas pengenalan pencedungan padi secara mekanikal, penanaman padi secara sistem tabur terus pula diperkenalkan yang tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai dan berjaya menjimatkan kos pengeluaran.

• Sistem ini hanya memerlukan antara 2 – 4 jam tenaga buruh sehektar untuk menabur biji benih. Amalan ini mendapat sambutan yang baik dan sangat digemari dalam kalangan pesawah tempatan dan dapat menggantikan cara kaedah mengubah.

• Walaupun kos pengeluaran untuk kaedah tabur terus lebih murah, mudah dilaksanakan dan tidak memerlukan ramai tenaga buruh, ia menimbulkan banyak masalah lain seperti pertapakan anak benih yang kurang sempurna, pengawalan rumpai dan serangga perosak yang sukar, pokok padi mudah rebah, pertumbuhan dan kematangan tanaman padi yang kurang seragam. Akibatnya, pengeluaran padi nasional terjejas sedikit, tidak mampan dan tidak selaras untuk memenuhi keperluan nasional.

• Pencedungan padi mekanikal diperkenalkan sekali lagi pada pertengahan tahun 1980-an bagi mengatasi masalah sistem penanaman padi secara tabur terus, tetapi kurang mendapat sambutan dalam kalangan pesawah kerana memerlukan kos pengeluaran yang tinggi. Hanya selepas tahun 2000, sambutan petani untuk pencedungan padi secara mekanikal mula menampakkan perkembangan yang positif, khususnya kepada golongan pesawah yang terlibat dalam bidang pengeluaran benih padi.

• Amalan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila petani menghadapi masalah serangan padi angin dan siput gondang yang mengakibatkan penghasilan dan kualiti benih padi nasional merosot.

• Di samping itu, jaminan harga benih padi yang lebih baik dan tinggi juga mempengaruhi sambutan petani untuk menerima konsep teknologi ini. Ditambah pula, jentanam jenis pandu yang mengurangkan beban pekerja semasa mencedung berbanding dengan jenis berjalan kaki pada 1970-an dan 1980-an menambahkan kecenderungan dan minat petani terhadap sistem ini.

Page 11: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

2

• Menaikkan status taraf infrastruktur ladang bagi memudahkan pergerakan mesin dan pengangkutan ladang untuk pelaksanaan kerja ladang, penambahbaikan teknologi dengan penyediaan tikar semaian yang lebih baik dengan penggunaan talam semaian dan faktor-faktor lain menyumbang secara berkesan dalam penerimaan teknologi pencedungan padi mekanikal di seluruh negara.

• Pada masa kini, pencedungan padi mekanikal masih tidak popular dalam kalangan pesawah tempatan, tetapi kebanyakan pengeluar benih padi sama ada benih asas, berdaftar atau sah telah mengamalkan kaedah pencedungan ini untuk penghasilan benih padi yang lebih berkualiti tinggi dan tulen. Amalan ini juga memudahkan penjagaan kualiti benih padi yang lebih baik supaya tidak tercemar dengan benih padi angin, rumpai dan varieti asing.

• Tinjauan luar musim pada tahun 2006 oleh MARDI mendapati kira-kira 2,000 ha kawasan bendang di Selangor, Perak dan Pulau Pinang mengamalkan pencedungan padi secara mekanikal.

• Lembaga Pertubuhan Peladang Nasional mempunyai banyak mesin jentanam 6-baris jenis pandu dan telah diagihkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Terengganu. Jenama jentanam yang paling popular dalam kalangan pengusaha tempatan ialah jenis Kubota, Iseki dan Yanmar.

• Kesemua kawasan ini hanya memberi tumpuan pada pengeluaran biji benih padi untuk pasaran tempatan. Pembekal khidmat penanaman ini pula terdiri daripada Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pusat Benih Padi FELCRA Plantation dan pengusaha persendirian. Jenis pakej perkhidmatan yang biasanya ditawarkan oleh pengusaha persendirian terdiri daripada penyediaan tikar semaian, mesin jentanam dan perkhidmatan mencedung dengan mesin.

INFRASTRUKTUR ASAS PUSAT SEMAIAN PADI• Pusat semaian padi ini meliputi kawasan kerja harian dan kawasan tapak semaian

yang merangkumi kawasan tapak kilang pemprosesan pengeluaran tikar semaian dan tapak untuk memelihara anak benih pokok.

• Keperluan asas pusat semaian termasuklah bangunan operasi, mesin yang berkaitan dengan penyediaan tikar semaian, kawasan tapak semaian yang dilengkapi dengan sistem pengairan, sistem pengangkutan, bekalan elektrik dan air.

• Bangunan operasi ini dikenali sebagai kilang semaian.Tapak semaian di pusat semaian adalah untuk pemeliharaan anak benih padi sehingga umurnya lebih kurang 20 hari selepas benih padi ditabur ke dalam talam semaian.

• Penanaman padi secara pencedungan mekanikal memerlukan modal yang tinggi kerana kos permulaan yang mahal untuk pembelian jentera menanam, mesin untuk menabur benih dan sistem pengangkutan ditambah pula dengan sewa tanah untuk tumbesaran anak semai.

Page 12: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

3

STRUKTUR BANGUNAN• Keluasan tempat bekerja untuk kawasan penanaman seluas 100 ha ialah 10 m x 25

m dengan ketinggian 3 m.• Ruang kawasan yang diperlukan untuk operasi menabur biji benih dalam proses

penyediaan tikar semaian adalah seperti yang berikut: a) Tempat menyimpan talam, medium dan biji benih b) Tempat pemprosesan biji benih (membasuh, merendam dan mengetus) c) Tempat mesin menabur biji benih dan mesin konveyor (jika ada) d) Tempat percambahan biji benih e) Tempat pejabat

Ruang yang diperlukan untuk operasi menabur biji benih di pusat semaian

Prosesmenaburbenih

Pengangkutantalam bercambahke tapak semai

Ruangpercambahan

Ruang basuhrendam dan tusbenihPintu

masuk

Ruangmedium

Ruangtalamkosong

Pejabat Ruangbenih

Page 13: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

4

JENIS-JENIS MESIN YANG DIGUNA DALAM PENYEDIAAN TIKAR SEMAIAN• Mesin asas di dalam kilang pusat semaian adalah jenis mesin menabur biji benih

(seeding machine). Mesin lain yang berkaitan penyediaan tikar semaian adalah seperti mesin membekal talam, mesin melonggok talam, sistem pam untuk pengurusan pengairan dan sistem penghantaran talam.

• Konveyor, forklift atau gantri merupakan sistem saluran penghantaran yang paling popular diguna pakai bukan sahaja untuk menghantar talam semai yang telah bercambah ke tapak semaian terbuka, tetapi juga tikar semaian yang telah digulung untuk tujuan penghantaran dan pemasaran.

Mesin menabur biji benih padi

Sistem penghantaran dan pemindahan semaian(sistem foklift dan pelet)

Page 14: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

5

TAPAK SEMAIAN• Keluasan sesebuah pusat tapak semaian yang diperlukan bergantung kepada kapasiti

pengeluaran, reka bentuk pusat tapak semaian dan amalan sistem penghantaran tikar semaian ke tapak semaian terbuka. Lazimnya untuk menampung antara 18,000 – 20,000 talam untuk semusim termasuk dengan jalan ladang, keluasan kawasan tanah yang paling minimum diperlukan ialah satu ekar.

• Tapak semaian lazimnya dibina di atas tapak tanah, tapak simen dan juga tapak simen yang berlapiskan tanah di atas. Tapak semaian ini akan terbahagi kepada petak-petak kecil untuk menampung 1,000 – 2,000 talam untuk kemudahan pemeliharaan anak benih padi.

• Reka bentuk tapak semaian dan struktur bangunan di pusat semaian perlu mengambil kira jalan ladang dan sistem penghantaran talam dan tikar semaian ke destinasi yang ditetapkan.

• Sistem pengairan lembangan (basin) dan pemercik (sprinkler) merupakan pengairan yang lazimnya diguna pakai. Keperluan lain termasuk langkah awal untuk menghalang dan mengelak serangan perosak seperti tikus, burung dan binatang lain seperti lembu.

Tapak semaian di pusat semaian

Page 15: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

6

PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL• Kejayaan dan keberkesanan pencedungan padi secara mekanikal banyak bergantung

pada tiga komponen utama teknologi ladang dan pengurusan yang boleh berinteraksi dengan komponen teknologi tersebut dengan cara yang teratur. Ketiga-tiga komponen terbahagi kepada teknologi seperti yang berikut:

a) Teknologi penghasilan tikar semaian b) Teknologi penyediaan tapak bendang c) Teknologi pencedungan padi secara mekanikal

• Pesawah dan pembekal perkhidmatan perlu mengintegrasikan ketiga-tiga komponen ini dengan betul dan terurus supaya mencapai sasaran penanaman yang akan memuaskan hasrat dan cita rasa petani.

• Penyediaan tanah perlu diselaraskan dengan jadual penanaman supaya apabila tikar semaian sampai ke tapak bendang, jentanam sudah bersedia untuk memulakan operasi penanaman dengan serta-merta. Perkara ini memerlukan perancangan jadual waktu yang rapi dan tepat. Infrastruktur ladang terutamanya jalan ladang amat mustahak untuk memastikan segala operasi penanaman berjalan dengan lancar berdasarkan jadual yang telah ditetapkan.

Page 16: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

7

TEKNOLOGI PENGHASILAN TIKAR SEMAIANIstilah untuk tikar semaian• Beberapa istilah tertentu telah digunakan untuk menerangkan berkenaan tikar

semaian. Istilah yang lazimnya digunakan adalah seperti yang berikut:

a) b)

c) d)

e)

Ketebalantikar semaian Tikar semaian yang

sudah digulung

Tikar semaiandi tapak semai

Talam anak benih yang sudah bercambah (talam bercambah)

Anak benih/semai padi

Ketinggian anak benih di tikar semaian

Page 17: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

8

Jenis medium untuk tikar semaian• Bahan yang sesuai sebagai medium untuk tikar semaian mestilah murah, mudah

didapati dan sesuai untuk merangsang pertumbuhan anak benih. Jenis-jenis medium yang diguna pakai adalah seperti sekam bakar, tanah serta medium campuran sekam bakar dan tanah.

1. Sekam bakar Sekam bakar biasanya menjadi pilihan utama kerana murah, ringan, mudah

diperoleh dan sesuai sebagai medium untuk tikar semaian. Bahan asing di dalam sekam bakar adalah seperti plastik, batu dan sebagainya perlu diasingkan terlebih dahulu sebelum digunakan. Kehadiran batu di dalam sekam mengganggu pengisian sekam ke dalam talam semaian. Semasa pencedungan dengan jentanam, kehadiran batu di dalam tikar semaian akan merosakkan kuku kambing jentanam. Sekam padi biasa dan abu sekam (berwarna putih) tidak sesuai sebagai medium tanaman untuk tikar semaian. Sekam padi biasanya tidak sesuai kerana tidak berupaya untuk memegang dan menahan air dan nutrien. Manakala abu sekam mempunyai nilai pH yang tinggi, terlalu halus dan semasa operasi menyediakan talam semaian, debunya akan mencemar persekitaran tempat bekerja. Sekam bakar basah juga tidak sesuai kerana melekit dan menyusahkan proses penyediaan tikar semaian.

2. Medium tanah Tanah merupakan medium yang paling sesuai kerana mengandungi unsur nutrien

semula jadi yang amat sesuai untuk merangsang pertumbuhan anak benih yang sihat, tetapi mempunyai beberapa kesukaran apabila diguna pakai. Antaranya perlu dikering, dihancurkan dan ditapis terlebih dahulu sebelum diguna dan operasi ini rumit dan memakan masa selain lebih berat dan mahal.

3. Medium campuran tanah dan sekam bakar Walaupun medium campuran tanah dan sekam bakar boleh mengatasi masalah

berat pada tikar semaian dan kos tanah, tetapi ia melibatkan proses tambahan percampuran. Operasi ini menimbulkan keadaan berdebu semasa penyelarasan pelaksanaan dan akan meningkatkan kos pengeluaran.

Penghasilan tikar semaian• Penghasilan tikar semaian yang baik dan berkualiti merupakan komponen teknologi

utama kejayaan teknologi sistem pencedungan padi mekanikal. Tikar semaian yang dihasilkan perlu mengikut ukuran piawaian dan kualiti yang ditentukan untuk memastikan pencedungan padi mekanikal berjalan dengan lancar dan tepat.

• Penyediaan tikar semaian bermula dengan pemilihan jenis biji benih, ujian peratusan percambahan, proses merendam, proses taburan medium dan biji benih, penyimpanan untuk percambahan dan diikuti dengan tumbesaran anak benih di tapak semai pusat semaian dan diakhiri dengan pemasaran tikar semaian yang sudah digulung.

• Biji benih berkualiti dengan peratus percambahan yang tinggi perlu diguna pakai dan perlu direndam di dalam air selama 24 jam dan ditus selama 24 jam lagi sebelum disemai ke dalam talam semaian. Kadar biji benih yang disyorkan ialah 60 – 70 kg/ha atau 200 – 250 g setalam.

Page 18: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

9

Operasi menabur biji benih dengan mesin penabur benih padi

v

v

v

vv

v

v

v

v

v

v Pelonggoktalam

Pembekaltalam

MediumMedium Biji benih Pengairan(2)

Pengairan(1)

Proses penaburan biji benih

Proses penghasilan tikar semaian di pusat semaian

v

v

v

v v

v

vv

v

v

v

vv

Susun atur pengeluar semaian tikar di pusat semaian

Pindahke tapak semai

Bekal talamBersih talam

Bekalan talam

Tamat

Pusingan keduaatau simpanan

Mula

Pemasaran

Medium

PercambahanProsespenaburanbiji benihBenih

bercambah

Loggok talam

Gulungsemaian tikar

Semaian tikaryang bergulung

Pemeliharaan anaksemai (pembajaan,

sembur racun,siram air dll.)

• Operasi menabur medium dan biji benih dilaksanakan di dalam bangunan pusat semaian. Talam kosong dibekalkan di sebelah kiri mesin menabur dan bergerak ke sebelah kanan mesin dengan menggunakan tali pinggang konveyor. Proses menabur biji benih bermula dengan mengisi sekam bakar yang sama rata untuk lapisan pertama di dalam talam dan diikuti dengan siraman air pertama. Kemudian biji benih berpecah mata tunas ditabur dan diikuti dengan liputan lapisan nipis sekam bakar untuk kali kedua di atas taburan tadi sebelum siraman air kali kedua dilaksanakan.

• Talam yang sudah siap akan keluar di sebelah hujung kanan mesin menabur, disusun bertingkat dan disimpan di kawasan yang sesuai selama 2 atau 3 hari supaya biji benih dapat terus bercambah. Selepas itu, talam bercambah akan dipindahkan ke tapak semaian terbuka untuk proses tumbesaran anak benih.

• Proses ini memakan masa antara16 – 20 hari. Ketinggian anak benih pada masa ini adalah lebih kurang 18 cm dengan pertapakan akar yang kukuh. Anak benih yang sudah membesar di dalam talam berbentuk tikar boleh digulung untuk dihantar ke tapak destinasi penanaman dengan lori.

Page 19: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

10

• Talam kosong yang ditinggalkan selepas anak benih digulung dikutip, dibasuh dan dibasmi kuman sebelum diguna semula pada pusingan atau musim berikutnya.

• Proses pengendalian menabur biji benih dengan mesin penabur dapat menghasilkan 600 – 2,000 talam sejam bergantung kepada keupayaan mesin menabur.

• Talam bercambah biasanya dipindahkan pada waktu petang untuk mengelak daripada terjadinya masalah ‘chlorosis’ iaitu daun anak benih akan menjadi kuning untuk satu tempoh yang tertentu. Serangan kulat dapat dihindar melalui semburan racun kulat pada peringkat rendaman ataupun ketika penyiraman air untuk kali kedua pada proses menabur.

• Kawalan serangga perosak tanaman hanya perlu dilaksanakan jika timbul sebarang masalah. Pertumbuhan anak benih yang sihat hanya boleh dicapai melalui penggunaan baja foliar pada peringkat awal tumbesaran benih padi.

• Penghantaran talam ke pusat tapak semaian terbuka dijalankan dengan menggunakan forklift dan pelet, gantri atau konveyor. Sistem yang sama digunakan untuk penghantaran tikar semaian yang sudah digulung ke tapak kilang semula untuk tujuan pemasaran. Kemudahan pengangkutan di dalam bangunan semaian biasanya banyak menggunakan forklift dan konveyor untuk melaksanakan kerja-kerja harian seperti penghantaran talam kosong atau talam bercambah, sekam bakar, benih dan lain-lain lagi.

Sistem gantri digunakan untuk penghantaran tikar semaian di pusat semaian

Page 20: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

11

Tikar semaian yang sesuai untuk pencedungan mekanikal• Kualiti tikar semaian yang bermutu rendah akan mengakibatkan dua masalah

kritikal. Pertama ialah ruang kosong ‘missing point’ di petak bendang disebabkan tikar semaian yang tidak turun dengan licin daripada papan penanaman di belakang jentanam semasa proses penanaman. Masalah kedua ialah bilangan anak benih yang ditanam setiap perdu mempunyai bilangan pokok yang berbeza.

• Tikar semaian yang berkualiti mempunyai ciri-ciri seperti yang berikut: 1. Kepadatan anah benih Kepadatan anak benih yang baik adalah antara 3 – 4 anak semai setiap

sentimeter persegi. Kurangnya keseragaman anak benih pada tikar semaian akan mengakibatkan ruang kosong atau anak benih yang terlalu kurang semasa proses penanaman di petak bendang. Ketulan anak benih dari papan penanaman jentanam yang biasanya diambil oleh jejari jentanam berdimensi 1.5 cm x 1.5 cm dalam keadaan biasa. Bilangan anak benih seperdu yang sesuai adalah antara 4 – 6 pokok setiap perdu. Tikar semaian yang diserang penyakit kulat tidak sesuai kerana mempunyai jurang atau tiada anak benih.

2. Ketinggian dan umur anak benih Ketinggian anak benih yang paling sesuai adalah antara 16 – 20 cm. Anak benih

yang terlampau tinggi akan menimbulkan masalah seperti anak benih tersangkut pada papan penanaman jentanam dan sebaliknya anak benih yang terlalu rendah akan menyebabkan anak benih terbenam ke dalam tanah selepas proses penanaman terutamanya tanah jenis berlumpur. Umur anak benih yang paling sesuai untuk pencedungan adalah antara 19 – 23 hari selepas biji benih direndam. Keupayaan beranak berkurangan jika umur anak benih terlalu tua digunakan dan seterusnya akan menjejaskan hasil padi.

3. Ketebalan tikar semaian Ketebalan tikar semaian yang sesuai ialah 25 mm. Tikar semaian yang tebal

akan menyebabkan ia tersangkut di papan menanam semasa proses menanam, manakala tikar semaian yang nipis akan menjadi lembik. Apabila diletak di atas papan menanam, tikar semaian yang nipis akan melerai, roboh dan hancur.

4. Keupayaan pemegangan akar anak benih Pemegangan akar yang baik dan kukuh menjadi faktor utama yang akan

memudahkan kerja-kerja penggulungan tikar semaian untuk dihantar ke destinasi penanaman. Tikar semaian akan dibuka semula di tapak penanaman sebelum diletak di atas papan penanaman di jentanam.Tikar itu akan terbentuk semula seperti asal sebelum digulung di tapak semaian. Tikar semaian yang mudah terlerai apabila digulung tidak sesuai untuk pencedungan mekanikal.

Page 21: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

12

TEKNOLOGI PENYEDIAAN TANAH BENDANG• Penyediaan tanah yang sempurna menjadi syarat utama dalam sebarang usaha untuk

menjayakan penanaman padi secara mekanikal. Proses penyediaan tanah adalah sama dengan proses sistem tanaman tabur terus.

• Untuk melancarkan proses pencedungan secara mekanikal, jerami dan tunggul pokok perlu dibuang dari petak penanaman. Pertumbuhan seragam tanaman padi amat bergantung pada penyediaan tanah bendang yang baik dan sama rata.

• Lazimnya kawasan lopak pada petak bendang akan menjadi masalah kerana air sentiasa bertakung dan mengakibatkan operasi pencedungan tidak dapat berjalan dengan lancar dan mengakibatkan anak benih rebah atau tercabut.

• Masalah ini biasanya diatasi dengan sulaman secara manual yang memakan masa dan akan meningkatkan kos penanaman. Justeru, disyorkan supaya penyediaan tanah bendang disiapkan selewat-lewatnya satu atau dua hari sebelum penanaman dengan jentanam bermula.

• Ini bagi memastikan tanah bendang mendap dan permukaan tanah menjadi mampat dan stabil supaya penanaman yang seragam dapat dilaksanakan serta anak benih semaian tidak rebah apabila ditanam.

• Jika bendang tidak dapat ditanam dalam tempoh yang dijadualkan disebabkan oleh mesin, cuaca atau kontraktor, air perlu dimasukkan semula ke dalam bendang dan meliputi keseluruhan bendang supaya tanah tidak menjadi keras dan untuk kawalan rumpai.

• Tanah bendang perlu lembut, tetapi tidak berlumpur supaya apabila apabila satu gumpalan tanah sebesar bola golf lepas daripada satu meter tinggi akan tenggelam sedikit ke dalam permukaan tanah.

Kekerasan optimum tanah bendang untuk pencedungan mekanikal

Sesuai Terlalu lembut Terlalu keras

• Permukaan tanah yang terlalu keras akan menyebabkan anak semaian tidak dapat dicedung. Anak semaian akan terapung atau terletak di atas permukaan tanah sahaja. Sebaliknya tanah yang terlalu lembut dan berlumpur akan mengakibatkan pokok padi tertimbus dalam lumpur atau rebah.

• Keadaan bendang yang sesuai untuk pencedungan ialah tanah dalam keadaan tepu atau tanah bendang mempunyai sedikit air dan tidak melebihi 1 cm. Air bertakung yang melebihi 1 cm tidak sesuai kerana pergerakan jentanam akan menghasilkan gelombang air yang akan menyebabkan anak benih yang ditanam tercabut dan rebah.

Page 22: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

13

• Proses penyelenggaraan penanaman dengan jentanam sesuai di tanah bendang yang mempunyai kon indeks tanah melebihi 2.0 kg/cm2 pada 20 – 30 cm di bawah permukaan tanah.Tanah bendang yang terlalu lembut boleh mengakibatkan kerosakan teruk pada jentanam dan petak bendang jika jentanam tersangkut di tengah-tengah bendang yang memerlukan jentera berat untuk menariknya keluar.

TEKNOLOGI MENCEDUNG PADI SECARA MEKANIKAL• Untuk menghasilkan keputusan prestasi yang terbaik dalam proses pencedungan padi

secara mekanikal, tikar semaian yang berkualiti, seragam ketinggian dan berbentuk sama saiz diperlukan pada peringkat semaian.

• Kedudukan tikar semaian perlu terjamin di belakang papan jentanam supaya mekanisme mencedung dengan lengan dan jejari jentanam dapat menggenggam empat hingga enam anak benih padi daripada tikar semaian setiap kali dan melaksanakan penanaman secara berkesan dan berterusan.

• Kedalaman mencedung yang sama dapat dikekalkan dengan roda jentanam bergerak di atas lapisan keras dan penampung untuk papan penanaman bergerak di atas permukaan tanah sawah dengan lancar.

• Kadar tempoh penanaman untuk jentanam jenis enam baris sekali tanam adalah lebih kurang 4 jam/ha. Jarak di antara setiap barisan tanaman yang ditanam ialah 30 cm. Jarak ini ditetapkan oleh pengeluar jentanam dan tidak boleh diubah mengikut keperluan tempatan.

• Berdasarkan masa bekerja selama 6 jam sehari, sesebuah jentanam dapat mencedung antara 1.2 – 1.5 ha pada satu-satu masa. Kadar yang lebih tinggi sehingga 2.4 ha sehari dapat dicapai sekiranya penyediaan tanah sempurna, berbentuk segi empat dan mempunyai jalan sawah yang baik dan memuaskan.

• Proses menanam dengan menggunakan jentanam akan menjadi sukar untuk petak sawah yang tidak mempunyai kemudahan jalan yang baik untuk mengangkut tikar semaian.

Pencedungan mekanikal dengan jentanam jenis enam barisan sekali tanam

Page 23: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

14

Ketepatan masa untuk pencedungan• Waktu yang paling sesuai dan tepat untuk mencedung tikar semaian adalah sebaik

sahaja selepas digulung dari tapak semaian. Masalah pengangkutan timbul jika jarak di antara tapak semaian dan lokasi penanaman adalah jauh.

• Tikar semaian yang sudah digulung perlu ditanam dalam tempoh 24 jam. Pelbagai masalah akan dihadapi jika pencedungan dilaksanakan selepas 48 jam kerana tikar semaian menjadi kuning, kering, lembik, terlerai dan kemungkinan besar bentuk tikar semaian tidak kembali ke bentuk asal sebelum gulungan.

• Tikar semaian yang kering akan menghadapi masalah menggelongsor di atas papan penanaman jentanam. Kaedah yang paling sesuai ialah tikar semaian yang dihantar oleh lori dari tapak semaian terus diambil dan dihantar ke jentanam untuk proses pencedungan tanpa sebarang penangguhan kerana tikar semaian yang dipindah berkali-kali akan menjejaskan kualitinya.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI JUMLAH KEPERLUAN TIKAR SEMAIAN• Jumlah tikar semaian yang diperlukan untuk mencedung bergantung pada keluasan

petak bendang. Ini merupakan faktor penting bagi pembekal perkhidmatan untuk menyediakan jumlah tikar semaian yang diperlukan. Jumlah tikar semaian yang diperlukan untuk pencedungan sesuatu petak kawasan bergantung kepada faktor-faktor seperti yang berikut:

Tetapan mesin (machine setting)• Terdapat tiga jenis penetapan paiwaian untuk mengawal pengambilan anak benih padi

dari papan penanaman mesin jentanam yang akan menentukan jumlah tikar semaian yang diperlukan. Penetapan pada jentanam adalah seperti yang berikut:

i. Kawalan bilangan perdu seunit kawasan (berbeza antara 50 – 90/3.3 m2). Ini bersamaan dengan jarak anak benih perdu antara 12 – 22 cm di dalam barisan

ii. Kawalan penyaluran menegak tikar semaian di papan penanaman iii. Kawalan penyaluran mendatar tikar semaian dipapan penanaman

Jarak di antara anak semai yang biasa digunakan adalah antara 16 cm atau 18 cm dan di antara baris ialah 30 cm

30 cm

16 cm atau 18 cm

Page 24: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

15

• Lazimnya, tetapan pada setiap jentanam yang ditentukan oleh pembekal perkhidmatan adalah lebih kurang 250 tikar semaian untuk satu hektar petak bendang yang berbentuk segi empat.

Keadaan kualiti tikar semaian• Jika kualiti tikar semaian kurang memuaskan, tikar semaian yang lebih banyak

diperlukan untuk pencedungan. Antara sebab utama yang mengakibatkan masalah ini ialah tikar semaian tersangkut pada papan penanaman jentanam, tikar semaian terlerai atau terputus dan tikar semaian tidak dapat ditanam dengan sepenuhnya.

Keadaan jentanam• Jentanam lama yang digunakan selalunya menimbulkan masalah seperti pengawalan

tetapan pada mesin yang menentukan jumlah tikar semaian yang diperlukan. Untuk mengelak masalah ruangan kosong pada petak bendang, penetapan mesin untuk mengambil lebih banyak anak benih seperdu diperlukan.

Rupa bentuk bendang• Rupa bentuk fizikal bendang yang paling sesuai dan menjimatkan keperluan jumlah

tikar semaian ialah bendang bersegi empat panjang, besar serta penanamannya mengikut panjang petak tersebut.

• Ini akan mengurangkan masalah anak benih bertindih dalam proses menutup petak (menyempurnakan penanaman).

• Dibandingkan dengan petak bukan berbentuk segi empat, banyak anak benih akan bertindih pada penjuru petak. Petak yang bersaiz kecil memerlukan anak benih yang lebih banyak disebabkan tindihan yang banyak.

Pemandu jentanam• Sikap, kecekapan dan keprihatinan pemandu jentanam merupakan faktor penting

dalam menentukan jumlah bilangan tikar semaian yang diperlukan pada satu petak bendang.

• Pemandu yang cekap dan berpengalaman boleh mengurangkan masalah anak benih bertindih semasa proses penanaman.

• Terdapat pemandu yang suka mengundur jentanam bila terdapat ruang kosong. Justeru, akan menyebabkan anak benih ditanam dua kali pada barisan yang sama.

• Pemandu yang berpengalaman dapat memastikan anak semai yang ditanam dekat dengan batas bendang dengan baik, jarak di antara barisan penanaman sama dan ruangan kosong yang minimum dengan barisan tanaman yang lurus.

Page 25: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

16

PERBANDINGAN SISTEM PENANAMAN PADI SECARA PENCEDUNGAN MEKANIKAL DAN TABUR TERUS• Terdapat banyak perbezaan yang nyata dan kritikal antara sistem tanaman padi

secara mekanikal dan tabur terus.

Pertapakan semai• Pertapakan anak benih padi yang tumbuh lengkap dalam sistem pencedungan

mekanikal lebih seragam dan terurus. Dalam sistem tabur terus, benih yang baru bercambah mata perlu ditus selama satu atau dua hari. Sistem tabur terus jarang mencapai keseragaman anak benih kerana sukar mendapat taburan yang sekata dan kadangkala benih tidak tumbuh. Pencedungan mekanikal lebih terjamin terutamanya selepas hujan lebat sebab anak benih masih terus dipegang oleh tanah. Sebaliknya, benih yang ditabur terus berkemungkinan besar akan dihanyutkan oleh air hujan jika hujan lebat selepas menabur.

Kos pengeluaran• Kadar kos penanaman antara dua sistem ini amat berbeza. Kos sistem tabur terus

jauh lebih murah berbanding dengan sistem pencedungan secara mekanikal. Penggunaan jentanam dan penyediaan tikar semaian yang dilakukan oleh pengusaha kontrak menyebabkan kos penanaman melambung tinggi. Secara umumnya, kos pertapakan sistem pencedungan mekanikal (penyediaan semai dan penanaman dengan jentanam) adalah antara RM900 – RM1,000 sehektar, manakala sistem tabur terus berjumlah RM400/ha termasuk upah menabur benih yang lazimnya menggunakan mesin penyembur. Walau bagaimanapun, kedua-dua sistem ini memerlukan sulaman susulan jika proses menanam mempunyai ruang kosong yang boleh menaikkan kos penanaman.

Page 26: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

17

Perbandingan kos pengeluaran tanaman pencedungan mekanikal dan tabur terus kawasan Seberang Perai Utara

Komponen Aktiviti Tabur terus Pencedunganmekanikal

Penyediaan tanah (RM/ha) Pusingan 1 – traktor 4 rodaPusingan 2 – traktor 4 rodaPusingan 3 – traktor 2 roda

220.00200.00160.00

220.00200.00160.00

Peringkat semaian dan penanaman (RM/ha)

Mencedung berjenteraMenyulamTabur terus 7 beg benih

–50.00

280.00

950.0050.00

–Peringkat penjagaan tanaman (RM/ha)

Upah membajaKawalan rumpaiKawalan serangga/penyakit/kulatKawalan tikus/siput dan lain-lain

150.00350.00600.00280.00

150.00270.00600.00280.00

Pengurusan tuaian Penuaian (RM/ha)Pengangkutan padi (anggap 7 t/ha)

360.00140.00

360.00140.00

Kos pengeluaran (RM/ha) Jumlah kos operasiSewaan tanah

2,790.001,125.00

3,380.001,125.00

Jumlah kos keseluruhan 3,915.00 4,505.00Hasil padi Hasil (t/ha)

Potongan lembapan dan kotoran (%)Hasil bersih (t/ha)

7.0185.74

7.0136.09

Pendapatan Harga padi (RM/t)Harga benih (RM/t)Pendapatan daripada jualanPendapatan daripada subsidi hargapadi (RM248.10/t)

1,150.00–

6,601.001,424.10

–1,300.007,917.001,510.90

Jumlah pendapatan (RM) 8,025.10 9,427.90Pendapatan bersih (RM) 4,110.10 4,922.90

Page 27: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

18

Penyelenggaraan tanaman• Pertumbuhan anak benih padi pada peringkat awal penapakan agak lambat dalam

sistem tabur terus berbanding dengan pencedungan mekanikal. Oleh itu, terdapat banyak ruangan kosong pada peringkat awal penapakan yang menggalakkan pertumbuhan rumpai dalam sistem tabur terus.

• Selain itu, ketiadaan air bertakung di peringkat awal penapakan juga memberi kesan kepada pertumbuhan rumpai yang lebih serius berbanding dengan sistem pencedungan mekanikal yang lebih awal dibekalkan air bertakung selepas proses menanam. Keadaan ini akan mengurangkan hasil jika masalah rumpai tidak dikawal dengan segera dan berkesan.

• Tanaman padi yang berbaris dan tersusun dalam sistem pencedungan mekanikal dapat memudahkan pelaksanaan kerja-kerja asas seperti meracun rumpai, mengawal serangga perosak dan menabur baja. Dalam sistem tabur terus pula, pertumbuhan anak benih padi tertumpu secara berselerak dan kepadatan anak benih bergantung pada kadar benih yang digunakan. Untuk mendapat kesan yang sama seperti penanaman secara mekanikal, lorong kerja dalam sistem tabur terus perlu dibina dengan membuang sebaris anak padi.

• Tanaman mekanikal berbaris memudahkan pengenalan jenis rumpai dan serangan perosak tanaman. Ini membolehkan tindakan susulan dapat diambil dengan segera untuk membendung dan mengatasi masalah ini yang akan menjimatkan kos untuk kawalan rumpai, padi angin dan serangga perosak.

• Dalam pencedungan mekanikal, pengairan boleh dimulakan sejurus selepas proses penanaman selesai. Dalam sistem tabur terus pula, pengairan hanya boleh dibekalkan seminggu selepas siap menabur dan ketinggian aras air bergantung pada ketinggian anak benih padi yang tumbuh. Kemasukan air pada peringkat awal ke bendang dan bertakung dapat mengawal masalah rumput dengan berkesan.

• Beberapa amalan agronomi khususnya pembajaan untuk pencedungan mekanikal mengalami perubahan ketara berbanding dengan sistem amalan tabur terus. Pembajaan awal amat penting supaya anak benih padi dapat beranak dengan cepat dan mencukupi supaya tidak menjejaskan hasil. Amalan kawalan lain seperti kawalan rumput dan serangga perlu berubah mengikut keadaan supaya sumber input tidak dibazirkan.

• Tarikh penanaman untuk kaedah tabur terus boleh diputuskan oleh pesawah, tetapi untuk kaedah pencedungan mekanikal pula, pesawah perlu berbincang dengan pembekal perkhidmatan untuk menentukan tarikh penanaman.

Prestasi tanaman• Prestasi hasil kedua-dua sistem penanaman tidak banyak berbeza, tetapi keputusan

hasil secara umum, pencedungan mekanikal lebih stabil dari musim ke musim berbanding dengan amalan tabur terus. Dalam sistem tanaman tabur terus, prestasi hasil berubah-ubah dari musim ke musim dan banyak dipengaruhi oleh tahap pengurusan tanaman.

• Dengan pengurusan tanaman yang baik terutamanya dalam pengawalan rumpai dan padi angin, hasil padi yang lebih tinggi dapat diperoleh dengan sistem mekanikal. Hasil yang melebihi 7 t/ha boleh diperoleh oleh mereka yang mengamalkan pencedungan mekanikal untuk pengeluaran biji benih.

Page 28: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

19

MASALAH YANG DIHADAPI OLEH PENGUSAHA PERKHIDMATAN PENCEDUNGAN SECARA MEKANIKAL• Antara masalah yang dihadapi oleh pengusaha perkhidmatan pencedungan padi

mekanikal adalah seperti yang berikut: 1. Jadual pengairan banyak bergantung kepada musim hujan. Jadual penanaman

pula bergantung pada jadual pengairan yang tidak tepat yang akan menjejaskan jadual pencedungan.

2. Pelanggan tidak dapat mengambil tikar semaian yang disediakan pada masa yang telah ditetapkan.

3. Masalah dalam mendapatkan pemandu jentanam dan pekerja tetap untuk menyediakan tikar semaian kerana kerja menanam adalah bermusim dan menurut jadual waktu yang ditetapkan.

KESIMPULAN• Pencedungan padi secara mekanikal mempunyai banyak kelebihan berbanding

dengan sistem tabur terus terutamanya dalam pengawalan rumpai dan padi angin, hasil biji benih yang berkualiti dan tulen serta hasil tanaman yang lebih stabil.

• Kelebihan ini telah mengakibatkan pihak berkuasa mengesyorkan pengeluar biji benih berdaftar dan sah menggunakan kaedah pencedungan mekanikal.

• Faktor lain yang menpengaruhi penggunaan teknologi ini secara meluas termasuk taraf infrastruktur kawasan bendang, jentanam, teknologi penghasilan tikar semaian, kesediaan pembekal perkhidmatan, umur petani dan harga padi.

BIBLIOGRAFIChiu, Y.C., Fon, D.S. dan Chen, L.H. (1998). A simulation model of a seeding system for rice nursery.

Jour. of Agr. Eng. Res. 69: 239 – 248Fon, D.S. (1995). Recent developments in agricultural mechanization in Taiwan. AMA 26: 58 – 62Hussain, M.D. dan Abu Hassan, D. (1993). Menanam padi dengan jentera model 6 baris jenis pandu

di atas. Teknol. Padi 9: 35 – 37Sariam, O., Hussain, M.D., Azmi, M., Abu Hassan, D., Alias, I. dan Mohamad, H. (2008). Potensi

penanaman (menggubal) padi berjentera di Malaysia. Bul. Teknol.Tanaman Bil. 5: 21 – 31

Page 29: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

20

Page 30: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

21

GERAK KERJAPENYEDIAAN DAN

PENGHASILAN TIKAR SEMAIAN PADI

Page 31: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

22

Page 32: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

23

GERAK KERJA PENYEDIAAN DAN PENGHASILAN TIKAR SEMAIAN PADI

Aktiviti 1 (35 hari sebelum tikar semaian digulung)

Ujian percambahan• Mengambil 100 biji benih untuk ujian percambahan

daripada setiap stok pembelian• Direndam dan disusun di dalam piring percambahan

selama 14 hari• Selepas itu, peratus percambahan ditentukan

Sasaran• Memastikan kadar peratus percambahan biji benih melebihi

80%• Jika sasaran percambahan pada kadar 80% gagal dicapai,

maka penambahan kadar biji benih perlu dilakukan• Jika kadar percambahan bawah 50%, maka stok sedia ada

yang diuji perlu diganti

Aktiviti 2 (25 hari sebelum tikar semaian digulung)

• Penyediaan tapak semaian• Mencuci rumpai, memeriksa prasarana tapak semaian,

sistem pengairan dan saliran yang sedia ada dan mengumpan tikus atau memeriksa/pasang pagar tikus

• Penyediaan mesin-mesin dalam kilang semaian• Servis mesin menabur biji benih, sistem penghantaran

talam kosong dan talam berisi (sekam dan benih) dan lain-lain

Sasaran• Memastikan penyediaan tapak semaian sedia untuk diguna pakai• Mamastikan semua penyediaan asas di dalam kilang

semaian siap sedia

Page 33: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

24

Aktiviti 3 (20 hari sebelum tikar semaian digulung)

Membasuh biji benih• Biji benih perlu dibasuh dengan air supaya segala bahan

asing dan hampas dapat diasingkan• Kemudian benih padi direndam dalam air bersih selama

24 – 48 jam• Kadangkala penggalak akar dicampur bersama air tadi

Sasaran• Biji benih yang bersih dan bebas daripada bahan asing

dapat menghindarkan serangan kulat• Keadaan ini dapat merangsang pertumbuhan akar yang

sihat dan cergas

Aktiviti 4 (19 hari sebelum tikar semaian digulung)

Mengetus biji benih• Biji benih yang sudah direndam dan dituskan selama 24

jam sehingga pecah mata dan kemudian diikuti dengan kepastian percambahan

Sasaran• Mengetus untuk memastikan biji benih pecah mata

(bercambah) dan cukup kering supaya mesin menabur biji benih (seeding machine) dapat berjalan lancar

Page 34: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

25

Aktiviti 5 (18 hari sebelum tikar semaian digulung)

Proses menabur biji benih• Proses bermula dengan membekal talam bersih yang

kosong pada sebelah kiri hujung mesin. Talam diisi dengan sekam padi serta diratakan dan diteruskan dengan siraman air pertama diikuti dengan taburan biji benih

• Kemudian diteruskan dengan menabur selapis sekam nipis dan diakhiri dengan siraman air kedua di sebelah hujang kanan mesin. Ketinggian sekam di dalam talam tidak boleh melebihi tiga suku inci

Sasaran• Memastikan proses menaburkan biji benih untuk

penyediaan tikar semaian disempurnakan dengan baik

Aktiviti 6 (16 hari sebelum tikar semaian digulung)

Penghantaran talam biji benih yang sudah bercambah ke tapak semaian• Waktu yang paling sesuai untuk menghantar keluar

talam biji benih yang sudah bercambah adalah pada sebelah petang

• Pastikan air disiram serta-merta selepas talam siap disusun

Sasaran• Memastikan tumbesaran anak benih padi sihat dan subur

Aktiviti 7 (1 – 15 hari sebelum tikar semaian digulung)

• Pemeliharaan anak benih padi• Anak benih padi perlu disiram dengan air setiap hari pada

sebelah pagi atau petang• Baja foliar, penggalak akar dan racun kulat atau serangga

perlu diguna pakai jika keadaan memerlukan

Sasaran• Memastikan supaya anak benih padi sihat dan senang

diguna pakai oleh jentanam dalam proses penanaman secara mekanikal

Page 35: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

26

Aktiviti 8 (0 hari menggulung tikar semaian)

Penggulungan tikar semaian• Menggulung tikar semaian dilakukan dan diisi ke dalam lori

untuk dipasarkan

Sasaran• Memastikan pengisian ke dalam lori untuk penghantaran

dan pemasaran dilaksanakan dengan lancar dan baik

Aktiviti 9 (Hari selepas menggulung tikar semaian)

Penggunaan semula atau penyimpanan talam semaian terpakai• Talam terpakai perlu dikutip, dibersihkan dan disusun

dalam longgokan untuk diguna semula atau disimpan untuk musim depan

Sasaran• Memastikan talam terpakai diguna semula atau disimpan

Page 36: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

27

ALAMAT PERHUBUNGANUntuk maklumat lanjut tentang teknologi dan khidmat perunding, sila hubungi:

Pusat Penyelidikan KejuruteraanPusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan

Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI-UPM43400 Serdang, Selangorwww.mardi.gov.my

Page 37: TEKNOLOGI PENCEDUNGAN PADI SECARA MEKANIKAL

Chan Chee Sheng • Abu Hassan Daud

TEKNOLOGI PENCEDUNGANPADI SECARA MEKANIKALPADI SECARA MEKANIKAL

Penerbit MARDI