TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

13
TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA MAJLIS PELANCARAN KERJASAMA STRATEGIK ITBM-POS MALAYSIA SEMPENA #MALAYSIAMEMBACA TARIKH : 6 MEI 2019 (ISNIN) MASA : 11:00 PAGI LOKASI : PEJABAT POS BESAR KUALA LUMPUR

Transcript of TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

Page 1: TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

TEKS UCAPAN

YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK

MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

MAJLIS PELANCARAN KERJASAMA STRATEGIK ITBM-POS

MALAYSIA SEMPENA #MALAYSIAMEMBACA

TARIKH : 6 MEI 2019 (ISNIN)

MASA : 11:00 PAGI

LOKASI : PEJABAT POS BESAR KUALA LUMPUR

Page 2: TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

Salutasi

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

DAN SALAM SEJAHTERA.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih

kepada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Pos

Malaysia Berhad atas penganjuran majlis pada hari ini.

Sungguhpun acara ini diadakan pada hari pertama Ramadan,

saya meyakini dengan keberkatan yang Allah turunkan

sepanjang bulan ini, insya-Allah impaknya akan terbias kepada

usaha mencerdikkan akal budi bangsa yang sedang kita

laksanakan bersama-sama dengan pelbagai pihak di Malaysia;

baik agensi Kerajaan mahupun swasta.

Page 3: TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

Sebagaimana yang diucapkan oleh YBhg. Tuan Syed Md Najib

dan YBhg. Tuan Sakri sebentar tadi, usaha mencerdikkan akal

budi bangsa pada masa kini tidak lagi hanya boleh disogokkan

dengan susunan ataupun lambakan buku di perpustakaan serta

kedai buku semata-mata. Dalam erti kata yang lebih mudah,

tidak boleh kita nafikan situasi masyarakat pada masa kini

terlalu sibuk dengan pelbagai urusan seharian – sama ada yang

melibatkan hal ehwal kerjaya mahupun perkara yang berkaitan

keluarga.

Bagi pihak Kerajaan, kami berasa amat bersyukur kerana kadar

literasi keseluruhan rakyat Malaysia berada dalam purata 94.64

peratus sebagaimana yang dinyatakan oleh UNESCO. Kita

berada di kedudukan kedua terbaik di Asia Tenggara selepas

negara jiran, Singapura. Peratusan tersebut menunjukkan

hampir keseluruhan rakyat Malaysia berupaya untuk membaca

setiap aksara yang tercatat sama ada di buku ataupun terpapar

di mana-mana platform sekalipun.

Page 4: TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

Ia juga terserlah dalam laporan kajian tabiat membaca yang

dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) baru-

baru ini yang menunjukkan purata pembacaan rakyat Malaysia

telah meningkat kepada 15 naskhah buku setahun. Jumlah

tersebut berlaku peningkatannya berbanding dengan Laporan

Interim Membaca Rakyat Malaysia 2014 yang melaporkan kita

hanya membaca dua (2) naskhah buku setahun.

Walau bagaimanapun, jumlah 15 naskhah buku setahun masih

agak jauh daripada unjuran 40 naskhah berdasarkan ukuran

sebagai “Negara Maju”. Namun sebenarnya masih belum

terlewat untuk kita memulakan gerak langkah proaktif bermula

daripada detik ini bagi membudayakan lebih banyak rakyat

Malaysia membaca buku.

Di sini, saya kongsikan data yang baru diperoleh daripada PNM.

Pada tahun 2018, daripada 5.3 juta buku yang terdapat di PNM,

pengunjung perpustakaan meminjam 2,910,411 naskhah buku

termasuk 115,575 naskhah dalam talian (online).

Page 5: TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

Statistik pinjaman tersebut sebenarnya tidak kurang banyak

jumlahnya. Cuma persoalannya, adakah semua orang berupaya

untuk mengunjungi PNM yang berada di tengah-tengah kota

Kuala Lumpur paling kurang pun sekali pada setiap minggu?

Kita cuba berfikir secara praktikal – realitinya kebanyakan orang

membaca “bila masa sempat saja” – kecuali anda memang

seorang biblioholik ataupun bekerja yang memerlukan

pembacaan yang banyak. Itu faktanya yang sedang berlaku kini.

Mahu menjinjing buku ke hulu ke hilir bukanlah suatu perkara

yang mudah. Namun hakikatnya kita tetap mahu membaca

pada bila-bila masa sahaja.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan,

Kita telah meletakkan sasaran penting iaitu untuk menjadi

Malaysia sebagai Negara Membaca 2030. Bagi mendepani

sasaran tersebut, kita perlu memperbanyak sekurang-

Page 6: TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

kurangnya 31,700 judul baharu setahun bermula pada tahun

hadapan berbanding dengan hanya 19,713 judul pada tahun

lalu. Lebih-lebih lagi pada tahun 2020 nanti, Kuala Lumpur telah

dipilih oleh pihak UNESCO sebagai Kota Buku Dunia

berdasarkan komitmen semua pihak untuk melaksanakan

aktiviti berkaitan perbukuan sepanjang hari dan minggu

bermula Januari 2020.

Sehubungan itulah saya menyokong penuh malah

mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kerjasama strategik

yang dilaksanakan antara ITBM dan Pos Malaysia. Penyediaan

Sudut Membaca di beberapa Pejabat Pos di seluruh negara

merupakan langkah terbaik bagi menggalakkan lebih banyak

rakyat Malaysia mengisi ruang masa yang ada dengan

membaca. Sebelum ini, tidak ada sesiapapun terfikir Pejabat

Pos boleh menjadi alternatif kepada perpustakaan dan kedai

buku untuk mendapatkan bahan bacaan yang berkualiti; boleh

membaca buku dan boleh juga membeli buku.

Page 7: TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

Malah tidak keterlaluan sekiranya saya menyatakan bahawa

Pos Malaysia merupakan agensi pos pertama di dunia yang

menyediakan sudut membaca serta boleh membeli buku di

kaunter pos. Bagaikan dejavu ... sewaktu kecil, saya selalu ke

perpustakaan desa di Simpang Renggam untuk membaca

pelbagai buku. Kini, kalau ada orang yang bertanya kepada

saya, “Di mana boleh saya dapatkan buku Anak Mat Lela Gila

dan Putera Gunung Tahan?” Jawapan saya pantas lagi tuntas,

“Beli saja karya terbaik Pak Sako itu di Pejabat Pos.”

Bunyinya agak ironi, namun mungkin tidak mustahil sekiranya

Pejabat Pos menjadi tempat anak-anak kita mengisi masa

dengan membaca buku sementara ibu bapa berurusan di

kaunter. Mungkin juga Pejabat Pos di pusat membeli-belah

menjadi salah satu lokasi anak-anak muda melepak. Mungkin

boleh juga Pejabat Pos tidak akan dicitrakan lagi menjual

setem, mengutus surat dan menghantar bungkusan semata-

mata, malah menjadi salah satu “kedai ilmu” di tanah air kita.

Page 8: TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Apa yang dilaksanakan pada hari ini merupakan sokongan

korporat Pos Malaysia dalam mengaktifkan budaya membaca

sekali gus menggerakkan industri buku di Malaysia. Saya

berikan contoh bagaimana Goethe-Institut, Jerman yang sejak

60 tahun lalu boleh menjalankan operasinya sebanyak 159

pejabat di 98 buah negara di seluruh dunia.

Goethe-Institut ini ditubuhkan oleh Kerajaan Jerman untuk

mempromosikan serta memperkembangkan bahasa, budaya,

buku, sastera, pendidikan, muzik, filem dan seni Jerman dengan

begitu meluas. Di belakang Goethe-Institut, ada lebih 200

syarikat korporat dan agensi yang menaja dan bekerjasama

bagi menjamin kelangsungan Goethe-Institut antaranya

Volkswagen, Siemens, Mini, Mercedes Benz, Deutsche Bank,

Deutsche Telekom, Daimler, BMW Group, dan Allianz.

Page 9: TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

Sehubungan itulah, saya amat mengalu-alukan penglibatan

lebih banyak syarikat di Malaysia untuk memberikan kerjasama

terhadap pembangunan dan pembentukan budaya Malaysia,

khususnya dalam bidang perbukuan. Apa yang Pos Malaysia

bersama-sama ITBM laksanakan pada hari ini perlu dijadikan

contoh atau penanda aras (benchmark) oleh pihak lain seperti

hospital swasta, syarikat telekomunikasi, syarikat automobil,

institusi kewangan dan pusat membeli-belah bagi bersama-

sama mencerdikkan akal budi bangsa kita dengan menyediakan

Sudut Membaca.

Selain itu, saya amat memuji dengan inisiatif penyediaan

khidmat terjemahan ITBM melalui kaunter Pejabat Pos.

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh YBhg. Tuan Sakri

sebentar tadi, ia merupakan salah satu matlamat Kementerian

Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memudahkan masyarakat

bagi melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.

Page 10: TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

Kita memahami ITBM yang merupakan agensi di bawah KPM –

lokasinya hanya di Kuala Lumpur yang sudah tentu akan

menyulitkan pelajar-pelajar yang mahu menterjemahkan sijil

pendidikan bagi tujuan penyambungan pendidikan di luar

negara. Berbanyak-banyak terima kasih Pos Malaysia atas

persetujuan untuk menyediakan khidmat yang besar

manfaatnya ini melalui kaunter Pejabat Pos.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Mantan Presiden Republik Checz, Václav Havel pernah berkata,

“Pencapaian keilmuan sesuatu bangsa sepatutnya diukur pada

pencapaian sasterawannya, tradisi perbukuannya dan gedung

ilmunya.” Perkara ketiga yang dimaksudkan oleh Václav Havel

ialah perpustakaan dan kedai bukunya. Jika mengikut kayu ukur

beliau, saya optimis pencapaian keilmuan bangsa Malaysia akan

menjadi suatu yang membanggakan sekiranya inisiatif yang

dilaksanakan bersama ITBM dan Pos Malaysia ini

Page 11: TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

dikembangkan ke pelbagai sektor lain. Lebih-lebih lagi Malaysia

akan menjadi Kota Buku Dunia pada tahun 2020 akan datang.

Sesungguhnya merimbunkan keilmuan dan mencerdikkan akal

budi bangsa Malaysia boleh direncanakan dengan sangat baik

sekiranya kita tidak bekerja secara silo. Pelaksanaan kerja

secara kerjasama sebegini biasanya menjanjikan hasil yang

lebih baik. Saya percaya, gandingan ITBM dan Pos Malaysia ini

ialah suatu manfaat yang sangat besar dalam agenda

memasyarakatkan ilmu dan buku.

Akhir sekali, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk

mendeklamasikan sebuah puisi karya Baha Zain berjudul

“Buku”:

Buku adalah teman bicara yang pendiam:

Tatkala sunyi engkau ramah di sisi,

Tatkala sibuk engkau setia menanti

Page 12: TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

Terbuka di atas meja atau tegak berdiri di rak almari,

Sampai aku datang membelai, helai demi helai;

Dan dari kulit ke kulit sampai selesai.

Kata orang, engkau adalah amanah bangsa,

Mengabadikan luka-luka sejarah, dan kesucian daulatnya,

Menyuarakan mimpi-mimpi rakyat dan bayangan masa

depan.

Engkau bukan sekadar teman, tetapi pengingat zaman,

Tentang akar hidup di dasar bumi, dan arah pucuk di udara,

Supaya orang tidak lupa daratan, dan bijak mentadbir dunia.

Siapakah yang bijak tidak dicerdikkan oleh buku?

Buku adalah guru yang menerangi akal perasaan,

Seperti kolam jernih sewaktu terang bulan,

Memancarkan keindahan, memancarkan kebenaran.

Bercintalah dengan buku sewaktu guru tiada,

Buku tidak memilih dan memihak kepada sesiapa,

Kata-katanya yang baik mengajar orang menjadi manusia.

Page 13: TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DR. MASZLEE MALIK …

- Baha Zain, 2012

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum

Warahmatullahi Wabarakatuh.