TEMBIKAR DAPUR MASAK TRADISIONAL DI PERBADANAN …journalarticle.ukm.my/14287/1/200-334-1-SM.pdf ·...

12
Jurnal Arkeologi Malaysia September 2019, Vol. 32, No.2, hlm. 1-12 ISSN 0128-0732 e-ISSN 2590-4302 Diterbitkan oleh Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia TEMBIKAR DAPUR MASAK TRADISIONAL DI PERBADANAN MUZIUM NEGERI KELANTAN, KOTA BHARU: ISU, PERSOALAN DAN CADANGAN (TRADITIONAL POTTERY STOVE AT KELANTAN STATE MUSEUM CORPORATION, KOTA BHARU: ISSUES, QUESTIONS AND RECOMMENDATIONS) Suresh Narayanen Abstrak Makalah ini membincangkan tentang hasil kajian dokumentasi yang dijalankan terhadap tembikar tradisional dalam koleksi Perbadanan Muzium Negeri Kelantan di Kota Bharu, Kelantan. Antara jenis tembikar yang direkodkan adalah belanga, bekas bara, periuk kukusan, buyung, geluk dan gunut beras - kesemuanya berasal dari Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan. Salah satu tembikar unik yang terdapat dalam koleksi muzium ini adalah tembikar dapur masak tradisional. Daripada segi corak, tembikar ini mempunyai persamaan dengan tembikar yang dibuat di Kampung Mambong. Walau bagaimanapun, berdasarkan rekod muzium dan hasil temu bual penulis bersama staf muzium didapati bahawa tembikar dapur masak tersebut bukan hasil buatan dari Kampung Mambong. Perkara ini telah melahirkan beberapa isu dan persoalan tentang asal-usul tembikar dapur masak di Perbadanan Muzium Negeri Kelantan. Selain perbincangan tentang hasil dokumentasi tembikar tradisional, makalah ini akan mencadangkan beberapa pendekatan yang boleh digunakan oleh pengkaji pada masa hadapan untuk mengenal pasti asal-usul tembikar dapur masak tradisional di Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan hubungannya dengan tradisi tembikar di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan. Kata Kunci: Dapur masak tradisional, asal-usul, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kampung Mambong Abstract This paper discusses the results of the documentation study carried out on traditional pottery in the collection of Kelantan State Museum Corporation in Kota Bharu, Kelantan. Among the potteries recorded were Belangga, Bekas Bara, Periuk Kukusan, Buyung, Geluk and Gunut Beras - all originated from Kampung Mambong in Kuala Krai, Kelantan. One of the unique types of pottery found in this museum was the traditional pottery stove. In terms of decoration, this pottery has similarity with pottery made at Kampung Mambong. However, based on the museum’s records and the author’s interviews with the museum staff, the pottery stove does not originate from Kampung Mambong. This has given rise to some issues and questions regarding the origin of the pottery stove. Apart from discussion on the documentation of traditional pottery, this paper will recommend several approaches that can be used by researchers in future to determine the origin of traditional pottery stove

Transcript of TEMBIKAR DAPUR MASAK TRADISIONAL DI PERBADANAN …journalarticle.ukm.my/14287/1/200-334-1-SM.pdf ·...

  • Jurnal Arkeologi Malaysia

    September 2019, Vol. 32, No.2, hlm. 1-12 ISSN 0128-0732 e-ISSN 2590-4302

    Diterbitkan oleh Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia

    TEMBIKAR DAPUR MASAK TRADISIONAL DI PERBADANAN MUZIUM NEGERI KELANTAN, KOTA BHARU: ISU,

    PERSOALAN DAN CADANGAN

    (TRADITIONAL POTTERY STOVE AT KELANTAN STATE MUSEUM CORPORATION, KOTA BHARU: ISSUES, QUESTIONS

    AND RECOMMENDATIONS)

    Suresh Narayanen

    Abstrak

    Makalah ini membincangkan tentang hasil kajian dokumentasi yang dijalankan terhadap tembikar tradisional dalam koleksi Perbadanan Muzium Negeri Kelantan di Kota Bharu, Kelantan. Antara jenis tembikar yang direkodkan adalah belanga, bekas bara, periuk kukusan, buyung, geluk dan gunut beras - kesemuanya berasal dari Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan. Salah satu tembikar unik yang terdapat dalam koleksi muzium ini adalah tembikar dapur masak tradisional. Daripada segi corak, tembikar ini mempunyai persamaan dengan tembikar yang dibuat di Kampung Mambong. Walau bagaimanapun, berdasarkan rekod muzium dan hasil temu bual penulis bersama staf muzium didapati bahawa tembikar dapur masak tersebut bukan hasil buatan dari Kampung Mambong. Perkara ini telah melahirkan beberapa isu dan persoalan tentang asal-usul tembikar dapur masak di Perbadanan Muzium Negeri Kelantan. Selain perbincangan tentang hasil dokumentasi tembikar tradisional, makalah ini akan mencadangkan beberapa pendekatan yang boleh digunakan oleh pengkaji pada masa hadapan untuk mengenal pasti asal-usul tembikar dapur masak tradisional di Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan hubungannya dengan tradisi tembikar di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan.

    Kata Kunci: Dapur masak tradisional, asal-usul, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kampung Mambong Abstract

    This paper discusses the results of the documentation study carried out on traditional pottery in the collection of Kelantan State Museum Corporation in Kota Bharu, Kelantan. Among the potteries recorded were Belangga, Bekas Bara, Periuk Kukusan, Buyung, Geluk and Gunut Beras - all originated from Kampung Mambong in Kuala Krai, Kelantan. One of the unique types of pottery found in this museum was the traditional pottery stove. In terms of decoration, this pottery has similarity with pottery made at Kampung Mambong. However, based on the museum’s records and the author’s interviews with the museum staff, the pottery stove does not originate from Kampung Mambong. This has given rise to some issues and questions regarding the origin of the pottery stove. Apart from discussion on the documentation of traditional pottery, this paper will recommend several approaches that can be used by researchers in future to determine the origin of traditional pottery stove

  • 2 Jurnal Arkeologi Malaysia 32(2): 1-12

    in Kelantan State Museum Corporation and its relationship with pottery tradition at Kampung Mambong in Kuala Krai, Kelantan.

    Keywords: Traditional pottery stove, origins, Kelantan State Museum Corporation, Kampung Mambong

    PENGENALAN Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK) di Kota Bharu, Kelantan merupakan salah satu muzium negeri di Malaysia yang memiliki koleksi tembikar tradisional dan tembikar moden yang banyak. Pada tahun 2014, satu lawatan telah dibuat oleh penulis dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang ke Kota Bharu, Kelantan untuk membuat dokumentasi tentang tembikar tradisional di PMNK. Tujuan lawatan ini adalah untuk mengumpul data bagi pengajian kedoktoran penulis yang melibatkan kajian etnoarkeologi dan analisis perbandingan antara tembikar prasejarah dan tembikar tradisional di Malaysia (Suresh Narayanen 2017).

    Oleh kerana ruang pameran tembikar di PMNK dalam proses penyelenggaraan pada tahun

    2014, majoriti tembikar telah dipindahkan ke bilik stor di bangunan belakang Muzium Perang (Memorial Peperangan Dunia ke-II), Kota Bharu. Kerja-kerja merekod dan dokumentasi tembikar telah dijalankan di situ dengan bantuan staf muzium. Secara umumnya, tembikar di PMNK terdiri daripada tembikar tanah, tembikar batu, seramik dan bekas tembaga dalam bentuk geluk, buyung, belanga, periuk masak, periuk kukusan, kendi, teko, dulang, balang, batil/molor, pinggan, mangkuk, cawan, pasu dan tempayan (Foto 1). Kesemua tembikar ini masih dalam keadaan yang sempurna dan sebilangan kecilnya telah melalui proses rekonstruksi disebabkan oleh kerosakan ketika kerja-kerja pemindahan. Turut ditemui di stor muzium ini adalah beberapa spesimen tembikar prasejarah khususnya dari tapak arkeologi Gua Cha, Hulu Kelantan.

    Foto 1. Koleksi tembikar prasejarah, tembikar tradisional dan tembikar moden di Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu

    Salah satu tembikar unik yang direkodkan di PMNK adalah tembikar dapur masak

    tradisional. Tembikar ini hampir sama daripada segi bentuk dengan tembikar Lapohan yang dibuat oleh masyarakat Bajau Darat di Semporna, Sabah (Chia 2003 & 2016; Suresh Narayanen 2009, 2010, 2011, 2014, 2017; Suresh Narayanen & Chia 2009, 2010, 2016, 2017; Chia & Suresh

  • 3 Suresh Narayanen

    Narayanen 2017). Ketika kerja-kerja penyemakan rekod pendaftaran artifak muzium, penulis mendapati bahawa maklumat tentang tembikar dapur masak tidak selengkap seperti tembikar-tembikar tradisional lain di PMNK. Contohnya, butiran tentang asal-usul, tahun buatan dan nama pemilik atau pembuat tembikar tidak dapat dikesan kerana tidak dicatat atau didaftarkan dalam sistem katalog koleksi artifak. Tambahan pula, temu bual bersama staf dan pegawai atasan muzium mendapati bahawa tembikar dapur masak tersebut bukan hasil produk dari Kampung Mambong di Kelantan. Berdasarkan rekod etnografi terdahulu, Kampung Mambong merupakan satu-satunya kawasan yang terlibat dalam pembuatan tembikar tradisional di Sungai Galas, tanah jajahan Kuala Krai, Kelantan sejak pertengahan 1850-an (Ibrahim Darus & Sahaimi Abdul Manaf 2005; Tajul Shuhaizam Said 2007; Tajul Shuhaizam Said et al. 2011; Hamdzun Haron & Narimah Abdul Mutalib 2013; Siti Mariam Mat Nor 2015; Suresh Narayanen & Chia 2016 & 2017; Suresh Narayanen 2017). Ketiadaan rekod pendaftaran yang lengkap telah menimbulkan beberapa isu dan persoalan tentang asal-usul tembikar dapur masak di PMNK. Selain itu, persoalan tentang hubungan budaya antara tembikar dapur masak di PMNK dan tembikar tradisional di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan masih belum dijawab.

    Berikut adalah hasil dokumentasi tembikar dapur masak dan tembikar-tembikar tradisional lain yang direkodkan di PMNK, Kota Bharu. Makalah ini juga akan mencadangkan beberapa pendekatan yang boleh dilaksanakan oleh pihak muzium dan penyelidik pada masa hadapan untuk mengenal pasti asal-usul tembikar dapur masak di PMNK serta hubungannya dengan seni dan warisan tembikar tradisional di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan. Tembikar Tradisional dalam Koleksi Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK) Sebahagian besar daripada tembikar dalam koleksi PMNK merupakan tembikar tradisional dari Kampung Mambong di Kuala Krai, Kelantan. Antara jenis tembikar tradisional yang direkodkan adalah belanga, bekas bara atau bekas perasapan, periuk kukusan, geluk, buyung dan gunut beras (Foto 2-8). Kesemua tembikar ini merupakan ‘utilitarian vessel’ iaitu bekas kegunaan harian untuk memasak, merebus, mengukus dan menyimpan air.

    Menurut Tajul Shuhaizam Said (2007:175) dan Suresh Narayanen (2017:236), tembikar tradisional di Kampung Mambong pernah digunakan untuk tujuan ritual. Contohnya, bekas bara digunakan untuk membakar kemenyan ketika upacara kematian dan untuk mengasapi baju pengantin ketika majlis perkahwinan. Walau bagaimanapun, kedua-dua tradisi ini, tidak dipraktikkan di Kelantan pada hari ini. Tembikar bersaiz besar seperti gunut beras dan periuk kukusan tidak dibuat sekarang di Kampung Mambong kerana proses pembuatannya agak rumit dan memakan masa yang lama (Suresh Narayanen & Chia 2017).

    Daripada segi teknologi, tembikar Mambong dibuat dengan tangan menggunakan alat-alat

    tradisional seperti kayu pemukul (pengatok), batu pelandas (batu luru), gelang besi (besi kokok) dan dibakar secara teknik terbuka (Tajul Shuhaizam Said 2007; Suresh Narayanen 2017). Sumber tanah liat diperoleh daripada kawasan yang tidak jauh dari Sungai Galas dan pasir sungai digunakan untuk mendapatkan kesan kilauan pada tembikar. Teknik-teknik lain yang digunakan untuk membentuk tembikar termasuk teknik cantuman dan teknik lingkaran (Suresh Narayanen 2017; Suresh Narayanen & Chia 2017). Alat kayu dan buluh yang bermata tajam dan bersisi gerigi seperti kayu pengukir, buluh matik dan bilah pematik digunakan untuk membuat corak pada tembikar. Dulang tanah atau roda putar primitif merupakan alat yang penting dalam pembuatan tembikar Mambong dan teknologi ini masih digunakan sehingga ke hari ini untuk membuat tembikar (Suresh Narayanen 2017; Suresh Narayanen & Chia 2017).

  • 4 Jurnal Arkeologi Malaysia 32(2): 1-12

    Foto 2. Belanga

    (Sumber:Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu, 2014)

    Foto 3. Bekas bara/bekas perasapan

    (Sumber: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu, 2014)

    Foto 4. Periuk kukusan.

    (Sumber:Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu, 2014)

    Foto 5. Buyung berleher tinggi

    (Sumber:Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu, 2014)

    Foto 6. Geluk saiz kecil dan sederhana

    (Sumber:Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu, 2014)

    Foto 7. Geluk bertapak saiz besar

    (Sumber:Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu, 2014)

  • 5 Suresh Narayanen

    Foto 8. Gunut beras (Sumber: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu, 2014)

    Seperti yang dibincangkan di atas, tembikar dapur masak tradisional merupakan tembikar

    unik yang direkodkan di PMNK. Terdapat dua spesimen tembikar dapur masak di PMNK iaitu tembikar dapur masak bersaiz kecil dan tembikar dapur masak bersaiz besar (Foto 9-10). Kedua-dua tembikar tersebut mempunyai tiga tungku dibahagian bibir dan dihiasi dengan beberapa jenis corak seperti pucuk rebung, bulan sabit, bulatan kecil dikelilingi oleh corak titik berputus, corak V dan X serta kombinasi corak tekanan dan turisan (Foto 11-14). Tembikar dapur masak bersaiz kecil mempunyai ukuran 23.5 cm panjang, 14.7 cm lebar dan 15.5 cm tinggi (ukuran daripada dasar hingga tungku) manakala tembikar dapur masak bersaiz besar pula berukuran 48 cm panjang, lebar 33 cm dan 20 cm tinggi (ukuran daripada dasar hingga tungku). Berdasarkan rekod PMNK, kedua-dua tembikar tersebut telah dibeli oleh pihak muzium daripada Encik Yaacob Haji Osman pada tahun 1983 (Cik Siti Nur Farhana binti Che Lah 2014). Maklumat lain tentang Encik Yaacob Haji Osman dan hubungan beliau dengan pembuat atau komuniti pembuat tembikar dapur masak tradisional tidak terdapat dalam rekod muzium.

    Foto 9. Tembikar dapur masak tradisional

    bersiaz kecil (Sumber: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan,

    Kota Bharu, 2014)

    Foto 10. Tembikar dapur masak tradisional

    bersaiz besar (Sumber: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan,

    Kota Bharu, 2014)

  • 6 Jurnal Arkeologi Malaysia 32(2): 1-12

    Foto 11. Corak V dan U atau bulan sabit di ahagian badan (dinding bawah) dapur masak

    (Sumber: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu, 2014)

    Foto 12. Corak pucuk rebung, bulan sabit dan bulatan yang dikeliling oleh corak titik berputus di bahagian badan (dinding atas) dapur masak

    (Sumber: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu, 2014)

    Foto 13. Kombinasi corak tekanan takik, pucuk

    rebung, bulan sabit, corak V dan X (Sumber: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan,

    Kota Bharu, 2014)

    Foto 14. Corak bulatan dikelilingi dengan titik berputus, bulan sabit dan garisan berturis di

    bahagian tungku dapura masak. Sumber: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan,

    Kota Bharu, 2014)

    Menurut Encik Abustarim bin Yaacob (2014), tembikar dapur masak di PMNK bukan hasil produk dari Kampung Mambong di Kuala Krai, Kelantan. Tambah beliau lagi, tembikar dapur masak tersebut mungkin berasal dari kawasan lain yang pernah terlibat dalam pembuatan tembikar tradisional di Kelantan. Penjelasan Encik Abustarim bin Yaacob tentang asal-usul tembikar dapur masak tradisional hanya sekadar pendapat beliau dan tidak berasaskan pada mana-mana sumber atau rekod bertulis.

    Kajian etnografi penulis pada tahun 2014 di Kuala Krai mendapati bahawa tembikar dapur

    masak pernah dibuat di Kampung Mambong tetapi kini sudah pupus. Sehingga tahun 2014, terdapat empat orang pembuat tembikar tradisional di Kampung Mambong (Suresh Narayanen 2017). Namun, kesemua mereka tidak mempunyai pengalaman dan pergetahuan dalam membuat tembikar dapur masak. Hanya seorang bekas pembuat tembikar iaitu Che Bunga binti Awang

  • 7 Suresh Narayanen

    Hassan (komunikasi peribadi, 25 Februari 2014) mempunyai sedikit kemahiran membuat tembikar dapur masak. Namun, usia yang tua dan kesihatan yang kurang baik tidak mengizinkan beliau untuk membuat tembikar sekarang.

    Maklumat baharu yang diperoleh melalui kajian etnografi di Kampung Mambong pada tahun

    2014 telah membuka ruang kepada para penyelidik untuk membuat kajian lanjutan di Kuala Krai dan kawasan-kawasan lain di Sungai Galas untuk mendapatkan data tentang sejarah pembuatan dan penggunaan tembikar dapur masak tradisional di Kelantan. Kajian yang sistematik bukan sahaja akan menyelesaikan isu dan persoalan tentang asal-usul tembikar dapur masak di PMNK tetapi sekali gus memperkayakan lagi khazanah sejarah dan warisan tembikar tradisional khususnya di Kampung Mambong dan kampung-kampung lain di sepanjang Sungai Galas, Kuala Krai, Kelantan.

    ISU DAN PERSOALAN Antara isu dan persoalan berkenaan tembikar dapur masak tradisional di PMNK, Kota Bharu dan Kampung Mambong di Kuala Krai, Kelantan yang perlu diselesaikan adalah: (i) Dari manakah asal-usul tembikar dapur masak tradisional di PMNK?

    (ii) Wujudkah sebarang hubungan budaya antara tembikar dapur masak tradisional di PMNK dan tembikar dapur masak tradisional di Kampung Mambong?

    (iii) Apakah teknologi yang digunakan untuk membuat tembikar dapur masak di Kampung Mambong?

    (iv) Apakah signifikasi tembikar dapur masak tradisional dalam kehidupan masyarakat tempatan di kawasan Sungai Galas, Kuala Krai, Kelantan?

    (v) Apakah sistem perdagangan dan pertukaran tembikar dapur masak tradisional wujud antara Kelantan dan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia atau sistem ini tersebar luas hingga ke negara jiran di utara Semenanjung Malaysia?

    (vi) Apakah faktor-foktor yang menyebabkan kepupusan tembikar dapur masak tradisional di Kampung Mambong?

    Hipotesis Awal Antara hipotesis awal yang boleh dirangka tentang sejarah dan asal-usul tembikar dapur masak tradisional di PMNK, Kota Bharu, Kelantan adalah: (i) Tembikar dapur masak tradisional di PMNK berkongsi teknologi yang sama dengan

    tembikar tradisional di Kampung Mambong di Kuala Krai, Kelantan.

    (ii) Tembikar dapur masak tradisional di PMNK mempunyai asal-usul dari kawasan lain di Kelantan.

    (iii) Tembikar dapur masak tradisional di PMNK merupakan produk budaya asing yang berasal dari kawasan luar Kelantan atau Semenanjung Malaysia.

  • 8 Jurnal Arkeologi Malaysia 32(2): 1-12

    PENDEKATAN/KAEDAH Dalam menyelesaikan isu dan persoalan serta membuktikan salah satu hipotesis di atas, beberapa pendekatan atau kaedah boleh digunakan dalam kajian masa hadapan oleh para penyelidik. Antaranya adalah (i) kajian etnografi, (ii) analisis morfologi dan saintifik, (iii) temu bual khas bersama staf muzium dan (iv) kolaborasi penyelidikan. Kajian etnografi Kajian etnografi di Kampung Mambong dan kampung-kampung lain di sepanjang Sungai Galas, Kuala Krai adalah penting bagi mendapatkan data dan maklumat tentang pembuatan tembikar dapur masak tradisional. Berdasarkan kajian-kajian sebelum ini, tembikar dapur masak tradisional tidak pernah dilaporkan di Kelantan mahupun di negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung Malaysia. Daerah Semporna dan Kota Belud di Sabah merupakan dua kawasan utama di Malaysia yang terkenal dalam pembuatan tembikar dapur masak tradisional iaitu Lapohan (Alman 1960; Pike 1970; Sather 1971; Spoehr 1973; Piper 1980; Chia 2003, 2016; Ono 2006; Suresh Narayanen 2009, 2010, 2011, 2014, 2017; Suresh Narayanen & Chia 2009, 2010; Chia & Suresh Narayanen 2017).

    Kajian etnografi yang dijalankan oleh penulis pada tahun 2014 di Kampung Mambong telah

    menyumbang sedikit maklumat tentang pembuatan dan penggunaan tembikar dapur masak tradisional. Namun, disebabkan oleh kekangan masa, penulis tidak berpeluang untuk mengumpul maklumat lengkap tentang teknologi, bentuk dan fungsi tembikar dapur masak yang dibuat di Kampung Mambong. Aspek-aspek lain seperti kepentingan, signifikasi dan faktor-faktor yang menyebabkan kepupusan tembikar dapur masak juga tidak berjaya direkodkan.

    Adalah disarankan bahawa kajian lanjutan harus dijalankan di Kampung Mambong pada

    kadar yang segera kerana ramai penduduk yang mengenali sejarah pembuatan tembikar dapur masak kini sudah tiada (meninggal dunia) atau sudah berpindah ke tempat lain. Selain itu, ramai pembuat tembikar muda di Kampung Mambong tidak mempunyai kemahiran atau pengetahuan tentang teknik membuat tembikar dapur masak tradisional. Kajian etnografi pada masa hadapan harus berfokus kepada kumpulan responden yang terdiri daripada bekas pembuat tembikar dan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas di Kampung Mambong dan kampung-kampung lain di sepanjang Sungai Galas kerana mereka mungkin mempunyai maklumat baharu dan penting untuk dikongsi tentang tembikar dapur masak di Kuala Krai, Kelantan.

    Diharapkan kajian etnografi yang terancang dan sistematik di Kampung Mambong dan

    kawasan-kawasan sekitarnya dapat menyumbang data yang banyak tentang tembikar dapur masak tradisional. Penulis juga percaya bahawa isu berkaitan asal-usul tembikar dapur masak di PMNK boleh diselesaikan melalui kajian etnografi di Kampung Mambong dan Sungai Galas, Kuala Krai, Kelantan.

    Analisis morfologi dan analisis saintifik Dua kaedah analisis ini boleh digunakan untuk mengenal pasti asal-usul tembikar dapur masak di PMNK. Analisis morfologi merujuk pada teknik yang digunakan untuk memahami ciri-ciri fizikal tembikar seperti saiz, bentuk, berat, corak dan warna tembikar manakala analisis saintifik merujuk pada teknik yang digunakan untuk menentukan teknologi dan komposisi kimia dalam tembikar. Terdapat beberapa teknik saintifik yang digunakan dalam analisis tembikar seperti teknik pembelauan sinar-X (XRD), teknik pendarflour sinar-X (XRF), teknik Scanning electron microscopy (SEM) dan teknik petrografi keratan nipis.

    Kelulusan daripada Jabatan Muzium Malaysia untuk mendapatkan sampel tembikar untuk

    analisis saintifik adalah sukar disebabkan oleh bilangan tembikar dalam koleksi muzium-muzium negeri yang agak sedikit. Maka, dicadangkan pecahan daripada bahagian dasar tembikar dapur masak di PMNK boleh digunakan sebagai sampel untuk analisis saintifik. Teknik ini dapat

  • 9 Suresh Narayanen

    dijalankan tanpa merosakkan bentuk asal dan corak pada permukaan badan, bibir dan tungku tembikar.

    Keputusan analisis morfologi dan saintifik tembikar dapur masak di PMNK boleh

    dibandingkan dengan data baru hasil daripada kajian etnografi di Kampung Mambong dan Sungai Galas, Kuala Krai. Selain itu, data analisis terdahulu, contohnya hasil analisis sampel tanah liat dan tembikar tradisional dari Kampung Mambong oleh Tajul Shuhaizam Said (2007) dan Suresh Narayanen (2017) boleh digunakan sebagai data sekunder untuk kajian perbandingan. Interpretasi daripada hasil analisis perbandingan akan menjelaskan sama ada tembikar dapur masak di PMNK berkongsi ciri-ciri morfologi dan komposisi kimia yang sama dengan tembikar di Kampung Mambong atau sebaliknya. Temu bual khas bersama staf muzium Selain kajian etnografi dan temu bual bersama bekas pembuat tembikar dan warga emas di Kampung Mambong dan Sungai Galas, individu atau kumpulan lain yang relevan untuk ditemu bual adalah bekas pegawai atau staf muzium yang pernah berkhidmat di PMNK pada atau sebelum tahun 1980-an. Usaha harus diambil untuk mencari mereka dan penulis percaya bahawa hasil temu bual bersama mereka akan menyumbang maklumat tambahan daripada segi sejarah dan asal-usul tembikar dapur masak di PMNK. Selain itu, informasi tentang latar belakang penjual tembikar dapur masak iaitu Encik Yaacob Haji Osman boleh diperoleh melalui kaedah ini. Kolaborasi penyelidikan

    Kerjasama antara penyelidik khususnya daripada bidang arkeologi, sejarah dan antropologi dalam dan luar negara khususnya di tanah besar Asia Tenggara amat penting dalam menyelesaikan isu asal-usul tembikar dapur masak di Kelantan. Oleh kerana negeri Kelantan bersempadan dengan Thailand di utara Semenanjung Malaysia, ada kemungkinan tembikar dapur masak di PMNK mempunyai pengaruh budaya dari kawasan perkampungan tembikar di selatan Thailand (Encik Wan Jaafar bin Wan Jusoh, komunikasi peribadi, 27 Februari 2014). Sebagai contohnya, kajian etnografi di Thailand dari tahun 1980-an hingga 2000-an oleh Lefferts (1988), Cort & Lefferts (1996, 2000, 2005), Lefferts & Cort (1997, 1998, 1999, 2000, 2003, 2008) dan Cort et al. (1997) menunjukkan bahawa tembikar tradisional pernah dibuat di beberapa buah wilayah di bahagian utara, timur laut dan tengah Thailand. Sebaliknya, kajian tentang tembikar tradisional di selatan Thailand, berhampiran dengan sempadan negeri Perlis, Perak, Kedah dan Kelantan di utara Semenanjung Malaysia masih sedikit atau tidak pernah dilaporkan (Suresh Narayanen 2017). Sebelum ini, Lefferts & Cord (2008:172) pernah melaporkan bahawa tembikar tradisional di Kelantan mempunyai persamaan dengan tembikar Cham yang dibuat di Vietnam.

    Oleh yang demikian, jaringan kerjasama antara pengkaji dalam bidang tembikar tradisonal di

    Malaysia dan tanah besar Asia Tenggara perlu diperluaskan supaya mereka dapat berkongsi dan bertukar pendapat dan idea tentang hasil kajian mereka tentang tembikar tradisional di negara masing-masing. Ini boleh dilaksanakan melalui bengkel, seminar dan persidangan akademik pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Isu dan masalah tembikar tradisional seperti asal-usul, teknologi, hubungan budaya serta genealogi pembuat tembikar di Malaysia turut dapat diselesaikan melalui kerjasama serantau antara institusi penyelidikan tempatan dan luar negara di Asia Tenggara. KESIMPULAN Selama 35 tahun, tembikar dapur masak tradisional disimpan di PMNK, Kota Bharu tanpa melalui sebarang kajian ilmiah. Maklumat tentang bila, di mana, bagaimana dan siapa yang telah membuat tembikar tersebut tidak diketahui kerana butiran ini tidak didaftarkan dalam rekod muzium. Penulis percaya bahawa tembikar dapur masak di PMNK mempunyai hubungan dengan tradisi dan warisan tembikar tradisional di Semenanjung Malaysia kerana corak yang diukir pada tembikar dapur masak adalah sama dengan corak yang digunakan pada tembikar tradisional di negeri Perak, Kelantan dan Pahang (Suresh Narayanen & Chia 2017). Diharapkan pendekatan-pendekatan yang dicadangkan

  • 10 Jurnal Arkeologi Malaysia 32(2): 1-12

    oleh penulis di atas boleh menjana maklumat baharu tentang sejarah dan asal-usul tembikar dapur masak di PMNK serta hubungannya dengan tembikar tradisional di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan. Kajian perbandingan yang bersifat komprehensif dan holistik serta kerjasama antara institusi penyelidikan dari dalam dan luar negara juga penting dalam memberi gambaran yang lebih jelas tentang hubungan budaya antara tembikar dapur masak di Kelantan dan kawasan-kawasan lain di Malaysia dan Asia Tenggara. PENGHARGAAN Penulis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Dr. Omar Osman, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), USM, Prof. Dato’ Dr. Mokhtar Saidin dan bekas Timbalan Pengarah PPAG, USM, Prof. Dr. Stephen Chia Ming Soon yang telah memberikan sokongan, dorongan dan kepercayaan yang tinggi untuk menjalankan kajian ini. Kajian ini telah dibiayai oleh Geran Universiti Penyelidikan USM. Penulis juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Penolong Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Encik Abustarim bin Yaacob dan stafnya iaitu Cik Siti Nur Farhana binti Che Lah yang telah meluangkan masa dan tenaga untuk menyemak semula rekod-rekod lama berkenaan tembikar dapur masak tradisional. Tidak dilupakan pembuat tembikar di Kampung Mambong di Kuala Krai, Kelantan yang telah berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka tentang tembikar tradisional, khususnya tembikar dapur masak.

    RUJUKAN Alman, J.H. 1960. Bajau Pottery. Sarawak Museum Journal 9: 583-602. Chia, S. 2003. The Prehistory of Bukit Tengkorak as a Major Pottery Making site in Southeast Asia.

    Sabah Museum Monograph 8. Kota Kinabalu: Jabatan Muzium Sabah. Chia, S. 2016. Arkeologi Bukit Tengkorak, Sabah. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia. Chia, S. dan Suresh Narayanen 2017. On the origin of the Bajau pottery tradition in Semporna,

    Sabah. Dlm. Mohd Anis Md Nor (peny.). Perspectives on Bajau/Sama’ Diaspora, Sabah Museum Monograph Vol. 13, hlm. 123-131. Kota Kinabalu: Jabatan Muzium Sabah.

    Cort, L.A dan Lefferts, H.L. 1996. Little things mean a lot: pots and cloth in northeast Thailand. Kertas kerja dibentangkan di ACSAA VII, Minneapolis, Minnesota, USA.

    Cort, L.A dan Lefferts, H.L. 2000. Khmer Earthenware in Mainland Southeast Asia: An Approach through Production. Udaya Journal of Khmer Studies 1(1): 48-68.

    Cort, L.A dan Lefferts, H.L. 2005. Not Primitive, Certainly Not Simple: Women’s Earthenware Production in Mainland Southeast Asia. Taasa Review: The Journal of The Asian Arts Society of Australia 14(4): 7-9.

    Cort, L.A., Lefferts, H.L. dan Reith, C. 1997. Before Paddle-And-Anvil: Contributions from Contemporary Mainland Southeast Asia. Kertas kerja dibentangkan di Ceramic Technology and Production Conference, British Museum, London.

    Hamdzun Haron dan Narimah Abdul Mutalib 2013. Technology and Production Process of Malay Traditional Heritage Pottery in Malaysia. Jurnal Teknologi (Sciences & Engineering) 64(1): 81-88.

    Ibrahim Darus dan Sahaimi Abdul Manaf 2005. Tembikar Tradisional. Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

    Lefferts, H.L. 1988. Contemporary Burmese earthenware. Crossroad 4(1): 121-127. Lefferts, H.L. dan Cort, L.A. 1997. Women at the Centre of an Industrializing craft: Earthenware

    Production in Northeast Thailand. Kertas kerja dibentangkan di Association for Asian Studies Annual Meeting, Chicago, USA.

    Lefferts, H.L. dan Cort, L.A. 1998. Little things mean a lot: pots and cloth in northeast Thailand. Journal of the Siam Society 84(1-2): 9-15.

    Lefferts, H.L. dan Cort, L.A. 1999. Women at the centre of an industrializing craft: Earthenware pottery production in Northeast Thailand. Museum Anthropology 23(1): 21-32.

    Lefferts, H.L. dan Cort, L.A. 2000. An approach to the study of contemporary earthenware technology in mainland Southeast Asia. Journal of the Siam Society 88(1-2): 204-211.

  • 11 Suresh Narayanen

    Lefferts, H.L. dan Cort, L.A. 2003. A preliminary cultural geography of contemporary village-based earthenware production in mainland Southeast Asia. Dalam J. Miksic (peny.). Earthenware in Southeast Asia 300-310. Singapore: Singapore University Press.

    Lefferts, H.L. dan Cort, L.A. 2008. Gender and ethnicity in contemporary village-based ceramics production in Thailand. Dlm. K. Boonyalop (peny.). Humanity and Ceramics: From Past to Present, 66, 153-200. Bangkok: Princess Maha Chakri Sirindhorn Anthropology Research Centre (dalam Bahasa Inggeris dan Thailand).

    Ono, R. 2006. Ethnoarchaeology of Pottery Stove Production and Use among the Sama, East Coast of Borneo. People of Culture in Oceania 22: 31-51.

    Pike, M. 1970. Pottery Making of Dusunic and Bajau Groups in Sabah. Borneo Research Bulletin 2(1): 7-8.

    Piper, M. 1980. World Wildlife Fund expedition to Semporna, Bodgaya group of Islands. Report on Human Settlements, 25th August-12th September, 1-39. Kota Kinabalu: Sabah Museum Department.

    Sather, C.A. 1971. Bajau Pottery-making in the Semporna District. Borneo Research Bulletin 3(1): 10-11.

    Siti Mariam Mat Nor. 2015. Reka Bentuk dan Ragam Hias Tembikar Mambong: Satu Perbandingan Lama dan Baru. Tesis Sarjana, Universiti Malaysia Kelantan.

    Spoehr, A. 1973. Zamboanga and Sulu: An Archaeological Approach to Ethnic Diversity. Ethnology Monograph 1. Pennsylvania: Department of Anthropology, University of Pittsburgh.

    Suresh Narayanen 2009. A study on traditional pottery-making in Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. Proceedings of the Symposium of USM Fellowship Holders 2009. Institute of Graduate Studies, Universiti Sains Malaysia, Penang, Malaysia.

    Suresh Narayanen 2010. Teknologi Pembuatan Tembikar Tradisional di Tampi Kapur, Semporna, Sabah. Jurnal Arkeologi Malaysia 23: 70-81.

    Suresh Narayanen 2011. The Past and Present Pottery in Semporna, Sabah. Tesis Sarjana, Universiti Sains Malaysia.

    Suresh Narayanen 2014. Pembuatan Tembikar Dulu dan Kini di Semporna Sabah: Satu Analisis Perbandingan antara Tembikar Bukit Tengkorak dan Tembikar Bajau. Dalam Mokhtar Saidin dan Jeffrey Abdullah (peny.). Sumbangan Sabah Kepada Arkeologi Asia Tenggara: Hasil Penyelidikan 20 Tahun (1993-2013), Monograf Muzium Sabah 12, 243-259. Kota Kinabalu: Jabatan Muzium Sabah.

    Suresh Narayanen 2017. Past and Present Pottery-Making Traditions in Malaysia: An Ethnoarchaeological Perspective. Tesis Doktor Falsafah, Universiti Sains Malaysia.

    Suresh Narayanen dan Chia, S. 2009. Traditional Pottery-Making in Semporna, Sabah: An Ethnoarchaeological Perspective. Kertas kerja dibentangkan di 19th Indo-Pacific Prehistory Association Congress, Hanoi, Vietnam.

    Suresh Narayanen dan Chia, S.2010. Ethnoarchaeological Research on Bajau Pottery-Making in Semporna, Sabah. Kertas kerja dibentangkan di International Seminar on Bornean Archaeology: The Past, Present and Future Prospects, Miri, Sarawak (dalam penerbitan).

    Suresh Narayanen dan Chia, S. 2016. Etnografi Tembikar Tradisional di Kuala Tembeling, Jerantut, Pahang: Teknologi, Sejarah dan Asal Usul. Dalam Hamid Mohd. Isa, Nasha Rodziadi Khaw, Mohd. Jeffrey Abdullah dan Samsol Sahar (peny.) Prosiding Seminar Etnoarkeologi: Etnoarkeologi, Etnografi dan Orang Asli, 90-107. Pulau Pinang: Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

    Suresh Narayanen dan Chia, S. 2017. Tembikar Tradisional di Perak, Kelantan dan Pahang: Satu Kajian Perbandingan Dari Segi Teknologi, Jenis dan Fungsi. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Arkeologi Kebangsaan Ke-3, Pulau Pinang, Malaysia (dalam penerbitan).

    Tajul Shuhaizam Said. 2007. Estetika Tembikar Tradisi Mambong, Kelantan. Tesis Doktor Falsafah, Universiti Sains Malaysia.

    Tajul Shuhaizam Said, Harozila Ramli dan Mohd. Fauzi Sedon. 2011. Local Genius of Mambong Pottery in Kelantan, Malaysia. International Journal of Humanities and Social Science 1(21) Special Issue: 147-155.

  • 12 Jurnal Arkeologi Malaysia 32(2): 1-12

    SUMBER LISAN Abustarim bin Yaacob. 2014. Penolong Pengarah di Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu. Temu bual, 27 Februari 2014 Che Bunga binti Awang Hassan. 2014. Bekas pembuat tembikar di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan. Temu bual, 25 Februari 2014 Siti Nur Farhana binti Che Lah. 2014. Pembantu Tadbir dan Pegawai Artifak di Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu. Temu bual, 21 Disember 2014 Wan Jaafar bin Wan Jusoh. 2014. Ketua Pembantu Muzium di Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu. Temu bual, 27 Februari 2014

    Suresh Narayanen (PhD) Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang Email: [email protected] Diserahkan: 20 Jun 2019 Diterima: 15 Julai 2019