Tempoh Adaptasi Seorang Pelatih Guru

download Tempoh Adaptasi Seorang Pelatih Guru

of 5

description

tempoh adaptasi seorang pelatih guru dalam persekitaran baru

Transcript of Tempoh Adaptasi Seorang Pelatih Guru

Jurnal Reflektif Minggu : Pertama (02-06 Februari 2015)

Minggu Pertama: Tempoh Transisi dan Adaptasi Seorang Guru Pelatih Dengan Persekitaran Baru

Pengenalan

Pada 02 Februari 2015 (Isnin), saya melaporkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Labu, Penaga atau akronimnya SMKPTL yang terletak dalam daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Ini merupakan kali pertama saya menjalani Amalan Profesional atau Praktikum sepanjang menuntut di IPG Kampus Pulau Pinang. Maka, saya menempuh satu tempoh masa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru iklim kerja, tempat tinggal, rakan sekerja yang lebih berpengalaman, pelajar, dan masyarakat setempat.

Sebelum sesi praktikum bermula, saya telah membuat sedikit persediaan awal tentang gambaran umum terhadap praktikum dengan berbual dan berbincang dengan rakan-rakan dari program PISMP yang telah menjalani beberapa sesi praktikum sebelumnya. Saya juga berbincang dan meminta bimbingan mentor, Puan Ross Lina bt Mansor tentang latar belakang masyarakat setempat(umumnya) dan pelajar (khususnya), serta cara-cara menangani tingkah laku pelajar secara umum bagi kawasan tersebut. Saya juga telah membuat sedikit pembacaan atas talian mengenai perkara-perkara yang perlu dilaksanakan sepanjang minggu pertama berada di sekolah.

Antara perkara yang menguji ketahanan diri saya ialah apabila melihat tingkah laku pelajar (bukan semua) yang agak kasar ketika berinteraksi dengan guru. Sebagai seorang pelajar, wajib keatas dirinya menunjukkan rasa hormat kepada guru-guru yang bersusah payah mencurah segala kudrat dan ilmu kepadanya. Selain itu, tugas-tugas bukan akademik seperti memantau sukan bola sepak dan olahraga, serta unit beruniform Kadet Polis yang kebiasaannya dijalankan waktu petang mengganggu jadual harian yang secara norma saya ikuti. Pada sebelah malam, saya perlu menyediakan segala persiapan seperti Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dan Bahan Bantu Mengajar (BBM) bagi pengajaran dan pembelajaran keesokan hari.

Saya juga begitu teruja kerana dapat mempraktikkan pengetahuan yang ditimba sewaktu di IPG dan menyumbang tenaga ke arah membentuk para pelajar yang akan menjadi belia pelapis negara pada masa akan datang. Seperti kalam Dr Yusuff al-Qardhawi, Ketua Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah, dan presiden Persatuan Ilmuan Islam Antarabangsa yang berbunyi jika kami ingin melihat masa depan sesebuah negara maka lihatlah pada golongan anak muda pada hari ini. Ini kerana anak muda (merupakan) cerminan masa hadapan negara.

Punca/ SebabPunca-punca atau faktor penyebab tempoh transisi dan adaptasi ini agak mencabar bagi saya boleh diringkaskan seperti berikut:

1. Jurang Ideal dan realiti masih jauhSemasa di IPG, saya banyak didedahkan dengan pelbagai teori pengajaran dan pembelajaran. Saya juga menyangkakan tahap intelektual dan tingkah laku para pelajar di SMKPTL berada di tahap yang sama dengan zaman persekolahan saya dahulu. Namun, saya terlepas pandang akan realiti kondisi para pelajar sekolah yang ternyata berbeza dengan gaya pembelajaran gaya mahasiswa di universiti-universiti atau peringkat yang lebih tinggi. Maka, timbul sedikit cabaran dalam mencari tempo dan gaya menerang sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

2. Adaptasi memerlukan pelazimanUmum mengetahui bahawa adaptasi memerlukan sedikit tempoh masa transisi untuk berlakunya pelaziman sesuatu perkara yang baru. Merujuk kepada teori-teori yang dikemukakan oleh ahli psikologi beraliran behaviorism seperti Pavlov dan Skinner, perubahan tingkah laku seseorang memerlukan medium transisi. 3. Tiada pengalaman dan persediaan yang cukup bagi menghadapi suasana dan iklim kerja baruAndaian dan tanggapan cetek terhadap kondisi pelajar dan tugas perlu dielakkan. Persediaan yang lebih mendalam amat perlu dilakukan agar gambaran tentang tugas, suasana dan iklim kerja jelas tergambar di fikiran. Perkara ini penting untuk mempersiapkan diri secara mental, fizikal dan emosi.

Kekuatan1. mempunyai sedikit pengalaman sebagai fasilitator program-program insaniyah mahasiswa luar dan dalam negara.Pengalaman sebagai fasilitator kepada peserta-peserta program yang rata-rata berumur belasan tahun amat berguna kepada saya, terutama ketika mendepani dan mengurus para pelajar. Kemahiran berkomunikasi, arahan yang spefisik dan eksplisit, suara yang jelas dan lantang, serta sikap tolenrasi dan demokratik memberi kelebihan kepada saya.

2. Mengetahui dan mempelajari teori-teori psikologi dan pedagogiMenguasai ilmu-ilmu psikologi dan sosiologi membantu saya memahami konteks dan demografi para pelajar di sini. Semakin banyak saya mengkaji dan memahami sosio budaya mereka, semakin kurang bagi saya untuk cepat menghukum mereka, bahkan menambah rasa ingin membantu para pelajar ke arah yang lebih baik.

3. Kemahiran interpersonal yang baikSewaktu di IPG Kampus Pulau Pinang, saya pernah melaksanakan ujian mengesan kecerdasan pelbagai yang diketengahkan oleh Howard Gardner. Setelah melaksanakan ujian tersebut, didapati saya mempunyai sedikit kekuatan dalam berinteraksi dengan orang ramai. Maka, saya boleh menjalinkan hubungan profesional yang baik dengan warga sekolah secara keseluruhan, dari pihak pentadbir, guru-guru, kakitangan sekolah dan para pelajar.

Cadangan idea untuk menyelesaikan isuPerkara utama yang perlu saya fokuskan ialah menyesuaikan diri secepat mungkin bagi mengelak terjejasnya aspek-aspek praktikum yang lain. Antara idea yang saya fikirkan ialah:

1. Cuba mengubah (berusaha memperbaiki) diri terlebih dahulu berbanding cuba memaksa keadaan berubah mengikut kehendak diri. Memetik kata-kata Rumi yang berbunyi yesterday I was clever, so I wanted to change the world. Today I am wise, so I am changing myself, saya kira usaha megubah diri sendiri lebih mudah dilaksanakan berbanding asyik menyalahkan keadaan sekeliling. Maka, saya perlu kekalkan rasional akal mengatasi desakan emosi ketika berdepan dengan cabaran-cabaran dalam tempoh ini.

2. menyusun atur kembali jadual harian merujuk kepada teori kognitif Piaget, dan Piramid Keperluan MaslowSebagai seorang yang agak bersikap konservatif, saya lebih gemar mengikuti rutin harian yang telah saya atur dan rancang semenjak dahulu. Namun, dengan wujudnya kerja dan tugasan baharu yang diterima sewaktu praktikum semestinya memerlukan saya untuk merubah dan mengatur kembali rutin-rutin dan jadual harian yang tersedia. Penyusunan rutin baharu ini perlu mengambil kira faktor keutamaan, seperti yang digariskan oleh Abraham Maslow, seorang ahli psikologi beraliran humanis. Peringkat-peringkat keutamaan ini juga diulas oleh Dr Yusuff al-Qardhawi di dalam kitabnya Fiqh Aulawiyat atau terjemahan Bahasa Malaysia Fiqh Keutamaan.

3. Berjiran Sebelum BerumahPepatah Arab berjiran sebelum berumah mencerminkan konsep membina hubungan yang baik dengan masyarakat sekeliling adalah perlu diutamakan dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Dalam konteks ini, saya perlu membina hubungan baik dengan semua warga sekolah sejak hari pertama melaporkan diri. Saya juga perlu mengelakkan sebarang konflik yang meretakkan hubungan dengan mereka, dan lebih fokus kepada kerjasama dan usaha yang membina. Ini bermakna saya perlu mempraktikkan sikap demokrasi, autokratik dan laissez faire dengan adil dan bertepatan dengan keadaan.

Tempoh masaSaya menggunakan tempoh seminggu terawal bulan Februari (awal Praktikum) untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan iklim kerja di sini. Dalam tempoh ini saya memastikan langkah-langkah dan idea untuk menyelesaikan isu dilaksanakan dengan optimum, tanpa mengabaikan tanggungjawab dan tugas lain.

Tindakan susulanBagi kemaslahatan jangka panjang (long-term goal) saya perlu sentiasa menjaga hubungan profesional dengan para guru, kakitangan sekolah dan pelajar. Saya perlu berkolaborasi dengan para pelajar bagi membuat muhasabah (refleksi) dan menilai prestasi PdP dengan kadar yang kerap dari semasa ke semasa. Jika berkesempatan, saya juga ingin membuat refleksi mengenai diri saya secara keseluruhan bagi memperbaiki ruang kelemahan yang ada.Selain itu, saya juga perlu memperbaiki tahap efisiensi dan produktiviti kerja sehari hari agar stress bebanan kerja berada di tahap optimum. Saya menyedari akan keperluan untuk membuat persediaan lebih awal dalam menyediakan RPH dan ABM, serta aktiviti-aktiviti bukan akademik yang lain. Di samping itu, saya juga perlu sentiasa mengulangkaji pendekatan dan strategi mendekati masyarakat yang turut melibatkan ilmu sains sosial. Saya kira kitab karangan tokoh Arab Mesir, Abbas As-sissi atTariq ila al-Qutub atau terjemahannya Bagaimana Menyentuh Hati mencakupi bidang ini. Dalam konteks sekolah, sekali lagi ditekankan peri pentingnya kerjasama dan sokongan warga sekolah kepada kemandirian saya di sini.