TEPAK SIRIH

2
DISEBALIK TEPAK SIRIH Dalam adat masyarakat Melayu, tepak sirih merupakan pembuka kata atau pembuka wadah sebelum sesuatu perbincangan dimulakan. Daun sirih merupakan satu elemen yang penting dalam tepak sirih disamping pinang, gambir, tembakau, cengkih dan juga kapur. Mengikut masyarakat Melayu tradisional, tepak sirih dikenali sebagai cerana dan kadang kala dikenali sebagai puan . Sirih puan bermaksud bahawa sirih akan diberikan sebagai tanda perkenalan atau tanda persahabatan. Adat ini bermula dengan menyapukan kapur pada daun sirih dan diserahkan pada tamu untuk dimakan sebagai tanda persediaan memulakan sesuatu perbincangan atau perbualan. Masyarakat Melayu menjadikan tepak sirih sebagai lambang budi dan simbolik dalam upacara pertunangan, perkahwinan, pengubatan dan sebagainya. Sirih amat sebati dengan kehidupan dan adat resam masyarakat Melayu. Sirih, pinang, kapur, tembakau dan gambir mempunyai maksud tersendiri yang menggambarkan corak kehidupan masyarakat Melayu yang mengutamakan nilai dan adat untuk membentuk sesuatu kehidupan yang aman dan harmoni. Dapat kita perhatikan dari cara menyusun tepak sirih, cara mengapur sehingga cara penggunaannya dalam sebarang adat istiadat yang menunjukkan bahawa ia mempunyai cara-cara tersendiri dan juga peraturan yang tertentu. Perhatikan sahaja apabila daun sirih yang menghijau dengan kapur yang putih, gambir yang bewarna keperangan, cengkih yang menghitam bersatu dalam satu kesatuan. Penyatuan yang menyatukan berbagai-bagai elemen ini membuktikan bahawa keharmonian dapat dicapai jika semuanya bersatu walaupun dalam keadaan yang berbeza. Sirih seringkali dikaitkan dengan sistem nilai dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu yang mementingkan sikap saling hormat- menghormati, berbudi-bahasa, bersatu-padu, hidup beradat dan berperaturan. Semenjak zaman nenek moyang kita lagi, tepak sirih beserta dengan bahan-bahannya dipercayai membawa makna dan pengertian yang tersendiri bagi orang yang menerima dan juga yang memberi. Maka salah satu fungsi tepak sirih dilihat sebagai tali penghubung rasa antara yang memberi dan juga yang menerima. Kedudukan dan penggunaan tepak sirih berkait rapat dengan sistem nilai masyarakat Melayu itu sendiri. Justeru itu, dalam apa jua cara sekali pun tepak sirih tetap menjadi keutamaan. Dalam masyarakat Melayu tradisional, setiap rumah biasanya ada menyimpan sebuah tepak sirih atau sekurang-kurangnya sebuah bekas yang digunakan untuk menyimpan sirih pinang yang bukan sahaja digunakan untuk majlis rasmi malah untuk kegunaan seharian. Tepak sirih atau puan selalunya berbentuk terbuka dan di atasnya inilah tersusun indah cembul yang mengandungi pinang, kapur, gambir dan sebagainya dengan kacip yang terselit disampingnya. Keadaan tepak sirih yang terbuka membawa maksud bahawa sifat keterbukaan diri amat penting sehingga diri dapat menerima segala perkara positif dan negatif sebagai asam garam dalam kehidupan.

Transcript of TEPAK SIRIH

Page 1: TEPAK SIRIH

DISEBALIK TEPAK SIRIH

Dalam adat masyarakat Melayu, tepak sirih merupakan pembuka kata atau pembuka wadah sebelum sesuatu perbincangan dimulakan. Daun sirih merupakan satu elemen yang penting dalam tepak sirih disamping pinang, gambir, tembakau, cengkih dan juga kapur. Mengikut masyarakat Melayu tradisional, tepak sirih dikenali sebagai ‘cerana’ dan kadang kala dikenali sebagai ‘puan’. Sirih ‘puan’ bermaksud bahawa sirih akan diberikan sebagai tanda perkenalan atau tanda persahabatan. Adat ini bermula dengan menyapukan kapur pada daun sirih dan diserahkan pada tamu untuk dimakan sebagai tanda persediaan memulakan sesuatu perbincangan atau perbualan.

Masyarakat Melayu menjadikan tepak sirih sebagai lambang budi dan simbolik dalam upacara pertunangan, perkahwinan, pengubatan dan sebagainya. Sirih amat sebati dengan kehidupan dan adat resam masyarakat Melayu. Sirih, pinang, kapur, tembakau dan gambir mempunyai maksud tersendiri yang menggambarkan corak kehidupan masyarakat Melayu yang mengutamakan nilai dan adat untuk membentuk sesuatu kehidupan yang aman dan harmoni. Dapat kita perhatikan dari cara menyusun tepak sirih, cara mengapur sehingga cara penggunaannya dalam sebarang adat istiadat yang menunjukkan bahawa ia mempunyai cara-cara tersendiri dan juga peraturan yang tertentu. Perhatikan sahaja apabila daun sirih yang menghijau dengan kapur yang putih, gambir yang bewarna keperangan, cengkih yang menghitam bersatu dalam satu kesatuan. Penyatuan yang menyatukan berbagai-bagai elemen ini membuktikan bahawa keharmonian dapat dicapai jika semuanya bersatu walaupun dalam keadaan yang berbeza.

Sirih seringkali dikaitkan dengan sistem nilai dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu yang mementingkan sikap saling hormat-menghormati, berbudi-bahasa, bersatu-padu, hidup beradat dan berperaturan. Semenjak zaman nenek moyang kita lagi, tepak sirih beserta dengan bahan-bahannya dipercayai membawa makna dan pengertian yang tersendiri bagi orang yang menerima dan juga yang memberi. Maka salah satu fungsi tepak sirih dilihat sebagai tali penghubung rasa antara yang memberi dan juga yang menerima. Kedudukan dan penggunaan tepak sirih berkait rapat dengan sistem nilai masyarakat Melayu itu sendiri. Justeru itu, dalam apa jua cara sekali pun tepak sirih tetap menjadi keutamaan. Dalam masyarakat Melayu tradisional, setiap rumah biasanya ada menyimpan sebuah tepak sirih atau sekurang-kurangnya sebuah bekas yang digunakan untuk menyimpan sirih pinang yang bukan sahaja digunakan untuk majlis rasmi malah untuk kegunaan seharian.

Tepak sirih atau puan selalunya berbentuk terbuka dan di atasnya inilah tersusun indah cembul yang mengandungi pinang, kapur, gambir dan sebagainya dengan kacip yang terselit disampingnya. Keadaan tepak sirih yang terbuka membawa maksud bahawa sifat keterbukaan diri amat penting sehingga diri dapat menerima segala perkara positif dan negatif sebagai asam garam dalam kehidupan.

Page 2: TEPAK SIRIH

Penampilan tepak sirih yang mempunyai pelbagai rupa dan bentuk dapat menggambarkan nilai estetika mahupun rasa keindahan yang terdapat dalam diri individu masyarakat Melayu itu sendiri. Keindahan flora dan fauna yang terdapat di sekeliling mereka dijelmakan kembali dalam bentuk-bentuk dan corak-corak yang dihasilkan pada tepak sirih. Kebiasaannya, corak dan motif yang tercipta merangkumi unsur-unsur alam seperti tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan, binatang, kosmos dan sebagainya, di mana secara tidak langsung menggambarkan bahawa masyarakat Melayu memiliki idea serta daya kreativiti yang tersendiri.

Meskipun penggunaan sirih pinang tidaklah diamalkan secara meluas pada zaman ini, namun sirih pinang tetap mempunyai fungsi yang penting dalam adat pertunangan dan perkahwinan. Pada majlis tersebut daun sirih bersama dengan komponen tepak sirih yang lain dihias cantik dan dipanggil sebagai ‘sirih junjung’ menjadi sebahagian barang hantaran pengantin. Barangan hantaran yang disertakan dengan sirih junjung menjadikan sesuatu majlis itu bertambah bererti dan berseri. Malah, sirih junjung dijadikan sebagai kepala adat dan mendahului barang-barang hantaran yang lain. Tanpa sirih junjung, upacara tersebut seolah-olah kelihatan tidak sempurna. Hal ini demikian kerana, sirih pinang menjadi lambang pengikat hubungan dan tanda persahabatan yang erat.

Dalam majlis pertunangan atau perkahwinan, bukan makanan atau minuman yang dihidangkan terlebih dahulu. Malah, sebagai tanda persaudaraan atau perhubungan, sirih junjung akan dihulurkan. Tetamu atau rombongan pengantin perlu menerimanya sebagai tanda kesudian, kerana huluran sirih junjung oleh tuan rumah melambangkan keinginan untuk menjalinkan hubungan.

Secara tidak langsung, masyarakat Melayu cuba menerapkan nilai yang diamalkan dalam kehidupan berbudaya. Gambaran realiti kehidupan inilah yang cuba diterapkan dalam mempersembahkan sirih kepada tamu. Sirih pinang merupakan lambang daun budi yang perlu dipertahankan dalam adat budaya Melayu. Generasi muda zaman sekarang perlu sedar bahawa sirih bukan hanya sekadar hidangan diplomatik, tetapi mempunyai makna yang mendalam bagi memastikan masyarakat Melayu terus mengutamakan nilai murni di dalam kehidupan seharian.