Tikar Bemban Satu Seni Rupa Iban Yang Harus Dipertahankan.pdf

11
1 Persidangan Antarabangsa Minoriti dan Majoriti: Bahasa, Budaya dan Identiti: Hilton, Kuching, Sarawak, Malaysia: 23 24 November 2010. Tikar Bemban Satu Seni Rupa Iban Yang Harus Dipertahankan Oleh Anna Durin, Rahah Hasan, Zarina Mohd. Shah. Abstrak Tikar bemban ialah sejenis tikar masyarakat Iban yang dianyam dan ia diperbuat daripada tumbuhan bemban dari jenis donax andurastrum. Pada zaman dahulu, tikar bemban sangat popular dalam kalangan orang Iban yang tinggal di Bahagian Samarahan, Sri Aman dan Betong Sarawak. Tikar bemban dianyam dengan motif-motif yang cantik. Motif-motif itu dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu motif mudah, motif sederhana dan motif kompleks atau kelas tinggi. Biasanya, penciptaan motif-motif dipengaruhi oleh alam sekitar, pandangan dunia dan kepercayaan tradisi masyarakat berkenaan. Motif-motif itu juga menyimpan gambaran budaya masyarakat yang menciptanya dan oleh itu ia boleh dijadikan artifak untuk mengkaji budaya penciptanya. Pada zaman dahulu, tikar bemban memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Iban misalnya sebagai alas duduk pada hari-hari biasa, dan juga alas duduk waktu keramaian, dalam persembahan ritual tertentu seperti kematian, perubatan, perkahwinan dan lain-lain. Pada masa kini, seni rupa tikar bemban mengalami masalah kepinggiran. Kebanyakan masyarakat Iban pada zaman kini, sama ada yang tinggal di rumah panjang ataupun di Bandar, tidak mementingkan seni rupa itu lagi. Oleh itu, hanya segelintir kecil sahaja daripada mereka yang masih boleh menganyam tikar bemban terutamanya, tikar bemban yang menggunakan motif-motif kompleks. Walau bagaimanapun terdapat juga syarikat kraftangan di sekitar Bandaraya Kuching dan di daerah Serian yang mengusahakan tikar bemban secara kecil-kecilan untuk tujuan komersial. Tikar bemban yang di pasaran hanyalah terdiri daripada yang dianyam dengan motif mudah dan sederhana sahaja. Oleh itu, menerusi kertas kerja ini kami ingin mencadangkan supaya tikar bemban yang bermotif kompleks perlu dianyam dengan banyak, dan pakar-pakar seni anyaman yang masih ada harus mengajar, melatih dan mendidik generasi muda Iban untuk menerus dan mempertahankan seni rupa berkenaan demi untuk kebanggaan dan identiti masyarakat Iban. Pendahuluan Tikar bemban ialah sejenis tikar yang dianyam daripada bilah-bilah bemban dan orang Iban di Sarawak telah menggunakan tikar bemban sejak zaman nenek moyang mereka dahulu lagi (Heinze, 1969). Tikar Bemban banyak digunakan orang Iban yang tinggal di Bahagian Kota Samarahan, Bahagian Seri Aman dan Bahagian Betong. Ini berkemungkinan kerana di ketiga- tiga bahagian itu mempunyai tanah yang berpaya, iaitu memang sesuai untuk tumbuhan berkenaan tumbuh dengan suburnya.

Transcript of Tikar Bemban Satu Seni Rupa Iban Yang Harus Dipertahankan.pdf

1

Persidangan Antarabangsa Minoriti dan Majoriti: Bahasa, Budaya dan Identiti: Hilton, Kuching, Sarawak, Malaysia: 23 – 24

November 2010.

Tikar Bemban Satu Seni Rupa Iban Yang Harus Dipertahankan

Oleh

Anna Durin,

Rahah Hasan,

Zarina Mohd. Shah.

Abstrak

Tikar bemban ialah sejenis tikar masyarakat Iban yang dianyam dan ia diperbuat daripada

tumbuhan bemban dari jenis donax andurastrum. Pada zaman dahulu, tikar bemban sangat

popular dalam kalangan orang Iban yang tinggal di Bahagian Samarahan, Sri Aman dan Betong

Sarawak. Tikar bemban dianyam dengan motif-motif yang cantik. Motif-motif itu dibahagikan

kepada tiga kategori, iaitu motif mudah, motif sederhana dan motif kompleks atau kelas tinggi.

Biasanya, penciptaan motif-motif dipengaruhi oleh alam sekitar, pandangan dunia dan

kepercayaan tradisi masyarakat berkenaan. Motif-motif itu juga menyimpan gambaran budaya

masyarakat yang menciptanya dan oleh itu ia boleh dijadikan artifak untuk mengkaji budaya

penciptanya. Pada zaman dahulu, tikar bemban memainkan peranan penting dalam kehidupan

masyarakat Iban misalnya sebagai alas duduk pada hari-hari biasa, dan juga alas duduk waktu

keramaian, dalam persembahan ritual tertentu seperti kematian, perubatan, perkahwinan dan

lain-lain. Pada masa kini, seni rupa tikar bemban mengalami masalah kepinggiran. Kebanyakan

masyarakat Iban pada zaman kini, sama ada yang tinggal di rumah panjang ataupun di Bandar,

tidak mementingkan seni rupa itu lagi. Oleh itu, hanya segelintir kecil sahaja daripada mereka

yang masih boleh menganyam tikar bemban terutamanya, tikar bemban yang menggunakan

motif-motif kompleks. Walau bagaimanapun terdapat juga syarikat kraftangan di sekitar

Bandaraya Kuching dan di daerah Serian yang mengusahakan tikar bemban secara kecil-kecilan

untuk tujuan komersial. Tikar bemban yang di pasaran hanyalah terdiri daripada yang dianyam

dengan motif mudah dan sederhana sahaja. Oleh itu, menerusi kertas kerja ini kami ingin

mencadangkan supaya tikar bemban yang bermotif kompleks perlu dianyam dengan banyak, dan

pakar-pakar seni anyaman yang masih ada harus mengajar, melatih dan mendidik generasi muda

Iban untuk menerus dan mempertahankan seni rupa berkenaan demi untuk kebanggaan dan

identiti masyarakat Iban.

Pendahuluan

Tikar bemban ialah sejenis tikar yang dianyam daripada bilah-bilah bemban dan orang

Iban di Sarawak telah menggunakan tikar bemban sejak zaman nenek moyang mereka dahulu

lagi (Heinze, 1969). Tikar Bemban banyak digunakan orang Iban yang tinggal di Bahagian Kota

Samarahan, Bahagian Seri Aman dan Bahagian Betong. Ini berkemungkinan kerana di ketiga-

tiga bahagian itu mempunyai tanah yang berpaya, iaitu memang sesuai untuk tumbuhan

berkenaan tumbuh dengan suburnya.

2

Tumbuhan Bemban

Bemban yang digunakan untuk menganyam tikar ialah terdiri daripada spesis donax

andusrastrum dan dalam bahasa Iban ia dinamakan bemban ai dan ai bermaksud air dan ia

dinamakan begitu kerana ia biasanya tumbuh di tepi sungai yang berlumpur dan juga di kawasan

berpaya (Blehaut:1992). Bunga bemban berwarna putih dan wangi. Kulitnya berwarna hijau tua

dan halus. Tumbuhan bemban ini mempunyai sejenis penyakit yang disebut dalam bahasa Iban

‘balu’ dan penyakit ini adalah disebabkan oleh daun-daun yang tua dan gugur kemudian melekat

kepada kulit bemban. Lama-kelamaan daun atau akar yang melekat pada kulit bemban berkenaan

menjadi reput dan seterusnya akan merosakkan batang bemban berkenaan dan akhirnya bemban

itu akan mati. Oleh kerana penyakit balu pada bemban itu, maka orang Iban mempunyai pantang

larang untuk menanam bemban. Adalah dilarang orang yang bukan balu untuk menanam bemban

kerana ditakuti dia akan menjadi balu (Anna Durin, 2002). Apabila seseorang menanam bemban

maka mereka harus berhati-hati kerana pada waktu itu mereka berkenaan tidak boleh memijak

bayang-bayang sendiri kerana ditakuti akan alah ayu atau lemah semangat dan hal ini boleh

membuatkan mereka jatuh sakit.

Gambar 1: Bemban Air (Donax Andurastrum)

Fungsi Tikar Bemban

Pada zaman dahulu orang Iban menggunakan tikar bemban sebagai alas duduk misalnya

untuk kegunaan harian, pada waktu-waktu tertentu seperti keramaian, kematian, sebagai alas

tidur, alas untuk meletakkan mayat, bertangas dan meletakkan beras yang hendak dipilih

antahnya. Fungsi-fungsinya menentukan jenis-jenis tikar bemban yang digunakan dan terdapat

3

beberapa jenis tikar bemban yang dicipta orang Iban untuk mengisi keperluan, seperti yang telah

dinyatakan di atas.

Tikar bemban yang digunakan sebagai alas duduk untuk hari-hari biasa terdiri daripada

yang dianyam dengan bilah-bilah yang kasar dan ini terdiri daripada tikai belebak atau tikai

tampung. Maksud tikai belebak ialah tikar bemban yang dianyam daripada bemban yang panjang

dan oleh itu, bilah-bilah itu tidak perlu disambung-sambung. Tikai tampung pula dianyam

daripada bemban yang pendek dan kerana ia pendek maka bilah-bilah harus disambung-

sambung. Tikai empeda ialah tikar bemban yang dianyam daripada kulit dalaman bemban dan

oleh bilah-bilah besar dan hanya sesuai dianyam dengan motif-motif yang kecil, seperti motif

Anyam Dua, motif Cit Padi dan motif Anyam Apit. Biasanya tikai empeda digunakan untuk

meletakkan beras apabila hendak memilih antah padi tersebut. Untuk waktu keramaian biasanya

tikar bemban yang digunakan adalah dari jenis tikai halus atau tikai bujang dan tikar-tikar ini

biasanya dianyam dengan motif kelas tinggi atau motif kompleks. Untuk bertangas biasanya

menggunakan tikar yang menggunakan bilah kasar dan biasanya tikai belebak.

Gambar 2: Tikar Bemban

4

Etika Seni Anyaman Tikar Bemban

Dalam proses penganyaman tikar bemban terdapat beberapa pantang larang yang harus

dipatuhi sekiranya orang yang menganyam itu hendak selamat dari segala perkara-perkara buruk

yang berkaitan dengan kepercayaan tradisi orang Iban. Misalnnya, seseorang yang baru belajar

menganyam mesti bermula daripada motif-motif yang mudah seperti motif Anyam Dua, motif

Mata Punai, dan motif Buah Empit/ Empelanjau. Kemudian pergi kepada motif Bintang Senulau,

motif Buah Andu, motif Burung Punai, motif Bintang Senagir dan seterusnya kepada motif yang

dalam peringkat tinggi seperti motif Nabau Betabu, motif Burung Helang, motif Gerasi

Bejengkau dan pergi kepada motif yang tinggi dan kompleks seperti motif Bulan Sebayan, motif

Sepit Api, motif Remaung Tali Gantung, motif Mulung Merangau, motif Pipit Banda, motif

Dulang Sempandai, motif Kapal Bejarut dan lain-lain.

Gambar 3: Motif Bintang Senulau (Mudah/Simple)

Peringkat-peringkat menganyam motif itu harus dipatuhi kerana dalam kepercayaan orang

Iban tradisi, sekiranya seseorang melanggar pantang-larang berkenaan, perkara tersebut boleh

menyebabkan mereka lemah semangat dan jatuh sakit, dan sekiranya tidak dapat diubati maka ia

boleh membawa maut. Seorang wanita yang layak menganyam motif-motif yang terdiri dalam

kelas tinggi dan yang kompleks adalah terdiri daripada yang sudah tuai bulu. Tuai bulu

bermaksud wanita berkenaan memiliki ubat enda layu dan mereka juga mempunyai pengalaman

yang luas dalam ilmu seni anyaman dan melalui pengalaman itu maka mereka memiliki

kepakaran yang sangat tinggi. Ubat enda layu bermaksud sejenis azimat pelindung yang

dipercayai pemberian daripada deities seperti Indai Abang, Kumang, dan Lulung. Kepercayaan

tradisi berkaitan deities itu juga sangat mempengaruhi penciptaan motif-motif kompleks seni

anyaman orang Iban (Derek, 1992).

Seperti seni anyaman orang Melayu yang dinyatakan oleh Haziyah Hussin (2006),

pengaruh alam sekitar dalam penciptaan motif itu sangat ketara kerana banyak motif seni

anyaman orang Iban yang menggunakan nama tumbuhan misalnya motif daun Rotan, motif

5

Paku-Pakis, motif Mayang Nipah, dan motif Lelingkuk yang berunsurkan akar. Selain tumbuhan,

terdapat juga motif yang berunsurkan haiwan seperti motif Iku Enseluai, dan motif Ular Sawa.

Terdapat juga motif yang dicipta kerana pengaruh ritual animisme, iaitu seperti motif Mulung

Merangau dan motif yang berunsurkan budaya bejalai atau pegi seperti motif Kapal Bejarut.

Motif-motif yang berunsurkan hantu semangat adalah seperti motif Gerasi Bejengkau dan motif

Anak Buau. Seperti juga yang terdapat dalam seni rupa Melayu, iaitu terdapat motif seni

anyaman Iban yang berunsurkan cakerawala seperti motif Senagir dan motif Senulau yang telah

dinyatakan di atas.

Gambar 4: Motif Bintang Senagir (Sederhana)

Gambar 5: Motif Burung (Sederhana

6

Motif Seni Tikar Bemban sebagai Simbol Budaya Iban

Sebagai simbol budaya, sudah tentu motif-motif seni anyaman tikar bemban masyarakat

Iban mempunyai pelbagai gambaran budaya masyarakat berkenaan dan budaya yang

dimaksudkan itu adalah seperti yang berkaitan dengan kepercayaan tradisi atau animisme dan

cerita mitos.

Sebagai simbol kepercayaan tradisi atau animisme seni tikar bemban mempunyai motif-

motif yang berunsurkan mahluk ghaib misalnya gergasi, deities, penunggu dan sebagainya.

Motif-motif seperti corak Gerasi Bejengkau yang menggambarkan kepercayaan Iban tradisi yang

percaya kepada kewujudan hantu gergasi dan dalam motif atau corak berkenaan, motif hantu

gergasi-hantu gergasi itu dianyam secara berpegang tangan dan ini adalah lambang kepada

kepercayaan Iban yang menyatakan pada waktu senja kanak-kanak dilarang bermain di luar

rumah panjang kerana takutkan antu gerasi berayah tunsang yang bermaksud gergasi-gergasi itu

menari songsang.

Gambar 6: Motif / Corak Gerasi Bejengkau (Kategori Tinggi)

7

Kepercayaan mengenai semua benda hidup atau bukan hidup mempunyai semangat telah

diterapkan kepada beberapa motif seni anyaman Iban, iaitu motif Remaung (harimau), motif

Lang atau Menaul (helang), motif Nabau (ular sawa yang besar) dan motif Burung. Amalan

animisme juga telah membuatkan masyarakatkan Iban pada zaman dahulu mempraktikkan head

hunting maka tercipta juga motif seni tikar bemban yang berunsurkan budaya berkenaan, seperti

motif Mulung Merangau (nama ritual animisme), motif Sepit Api (nama gelaran deity atau bapa

deity Keling) dan motif Pipit Banda Dua Betunga, Beipa Beila-ila dan motif ini melambangkan

budaya kayau anak, iaitu satu daripada aktiviti head hunting yang dibuat secara senyap-senyap

atau mengendap menunggu masa yang baik untuk membunuh atau memotong kepala

mangsanya. Dalam cerita mitos deity Sepit Api digambarkan sebagai seorang wira yang gagah,

berani dan mempunyai ilmu sakti yang amat tinggi dan begitu juga anaknya deity Keling. Keling

digambarkan dalam cerita mitos Iban, seorang pemuda yang gagah perkasa, sangat tampan dan

seperti bapanya yang memliki ilmu sakti sangat tinggi. Oleh yang demikian, kedua-dua deities

ini biasanya dipuja oleh masyarakat Iban tradisi apabila mereka mengadakan ritual berkaitan

dengan amalan animimse seperti ritual Mulung Merangau.

Gambar 7: Motif Remaung (Kategori Tinggi dan Kompleks)

8

Gambar 8: Motif Kapal Bejarut (Kategori Tinggi dan Kompleks

Gambar 8: Motif Mulung Merangau (Kategori Tinggi dan Kompleks)

9

Gambar 9: Motif Anak Buau (Kategori Tinggi)

Alam cakerawala, seperti bulan dan bintang juga mempunyai pengaruh dalam seni anyaman

tikar bemban masyarakat Iban, maka dengan itu terciptalah motif Bulan dan motif Bintang.

Motif Bulan juga menggambarkan budaya tentang kepercayaan masyarakat Iban berkenaan

dengan alam selepas manusia meninggal dunia atau menua sebayan maka dengan itu terciptanya

motif Bulan Sebayan. Oleh kerana motif-motif yang telah dinyatakan di atas mempunyai

pengaruh hantu semangat, deities dan alam selepas mati maka tidak semua orang Iban

dibenarkan menganyam motif-motif berkenaan kerana ditakuti boleh membuatkan penganyam

tersebut menjadi lemah semangat dan seterusnya boleh jatuh sakit atau meninggal dunia. Mereka

yang layak hanyalah yang terdiri daripada yang memliki ubat enda layu atau tuai bulu atau Indu

Takar.

Masalah yang Dihadapi oleh Seni Tikar Bemban

Pengaruh pemerintahan Brooke di Sarawak sejak 1841 banyak menyumbang kepada

perubahan budaya masyarakat Iban dan oleh itu aktiviti atau praktik head hunting sudah lama

ditinggalkan. Oleh kerana praktik head hunting itu tidak diamalkan lagi maka dengan itu ritual-

ritual berkaitan dengan head hunting juga dipinggirkan, seperti ritual mulung merangau yang

telah dinyatakan di atas. Semasa pemerintahan Brooke juga terdapat mubaligh-mubaligh Kristian

yang dibawa ke Sarawak untuk mengajar masyarakat Iban tentang agama berkenaan. Oleh itu

ramai daripada mereka telah menganut agama Kristian. Di Bahagian Betong (lokasi kajian),

tidak kurang daripada 85% orang Iban di situ ialah beragama Kristian dan kebanyakan mereka

Kristian Anglika.

10

Perubahan kepercayaan kepada agama Kristian juga turut menyumbangkan kepada

kepupusan penciptaan motif-motif baru yang berkaitan dengan hantu semangat, deities dan ritual

head hunting.Selain itu, perubahan ekonomi kepada tahap yang lebih baik juga turut dirasai oleh

seni tikar bemban kerana masyarakat Iban sama ada di bandar-bandar atau di rumah panjang

lebih berminat menggunakan perabot-perabot seperti kerusi, settee, kusyen dan lain-lain sebagai

tempat duduk. Ramai antara mereka terutamanya generasi baru yang berpendidikan tinggi tidak

berminat untuk menyambung seni berkenaan. Mereka yang memiliki kemahiran menganyam

motif kompleks seni tikar bemban tersebut hanyalah yang terdiri daripada golongan tua (50

tahun ke atas).

Cadangan untuk Memelihara dan Memperkembangkan Seni Tikar Bemban

Pada zaman dahulu pengaruh animisme telah membantu penciptaan motif dan juga

menentukan pantang-larang pantang-larang tertentu terhadap penganyam tikar bemban, namun

pada masa kini, amalan animisme tersebut telah banyak ditinggalkan. Oleh itu, menerusi kertas

kerja ini saya ingin mencadangkan supaya agama baru yang dianuti itu digunakan untuk

menguatkan semangat seseorang penganyam supaya tidak takut meneruskan seni motif kompleks

tikar bemban. Selain itu, kertas kerja ini juga mencadangkan supaya seni tikar bemban ini

diperkenalkan semula kepada generasi baru Iban dan juga masyarakat lain di Malaysia (tidak

kira apa budaya dan agama). Tujuannya adalah untuk memperkembangkan seni tikar bemban

supaya dianyam oleh seluruh rakyat Malaysia. Maka dengan itu diharapkan ia menjadi satu seni

yang boleh menyatu-padukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Maka dengan

cara begitu kertas ini mohon supaya institusi-institusi kraftangan pusat dan negeri mengambil

langkah untuk mengekal dan memajukan seni ini. Kertas ini juga mencadangkan kepada mereka

yang mahir dalam seni ini supaya tampil ke hadapan untuk membantu memelihara dan

mengembangkan seni rupa tikar bemban kepada seluruh rakyat Malaysia. Sebagai pengakiran

kata, diharapkan seni tikar bemban terus maju dan mampu menyatukan-padukan rakyat Malaysia

yang berbilang bangsa, budaya dan agama sekaligus menjadi lambang identiti budaya orang Iban

di Sarawak.

11

Bibliografi:

Anna Durin, 2002. Tikar Bemban Dalam Seni Dan Budaya Masyarakat Iban Di Sarawak.

Latihan Ilmiah, Jabatan Sosio-Budaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti

Malaya.

Blehaut, Jean-Francois, 1992. Sarawak Literary Society.

Haziyah Hussin, 2006. Motif Alam dalam Batik dan Songket Melayu. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa Dan Pustaka.

Heinze, Susi, 1969. Art Teaching for Upper Secondary Schools. Kuching: Borneo Literature

Bureau.

Muhammad Afandi Yahya, 1995. Simbolisme dalam Seni Bina Rumah Melayu Kelantan. Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Munan, Heidi, 1989. Sarawak Crafts. Methods, Material and Motifs. Singapore: Oxford

University Press.