Tugasan ESEI Didik Hibur

download Tugasan ESEI Didik Hibur

of 6

description

Didik hibur dalam pengajaran bahasa Melayu sekolah rendah

Transcript of Tugasan ESEI Didik Hibur

Strategi didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah.

1.0PengenalanKementerian Pendidikan Malaysia (2011), telah mencadangkan penyerapan teknik didik hibur dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kerajaan berhasrat memperkenalkan teknik didik hibur di sekolah rendah untuk merealisasikan hasrat transformasi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Perkara ini merangkumi pelbagai aspek yang melibatkan kemahiran membaca, menulis, bertutur dan mendengar serta menguasai tatabahasa dan seni bahasa.

2.0Apakah didik hibur?Pendekatan didik hibur merupakan pembaharuan yang telah diperkenalkan kepada murid-murid sebagai kaedah alternatif semasa proses pengajaran Bahasa Malaysia di sekolah. Tujuannya supaya sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia menjadi seronok untuk diikuti oleh murid-murid. Menurut Kamus Dewan (2000), didik didefinisikan sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar manakala hibur didefinisikan sebagai menggembirakan atau meriangkan. Oleh itu, didik hibur dapat dirumuskan sebagai satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi yang dilaksanakan secara terancang dan sistematik.

2.1Objektif pelaksanaan pendekatan didik hiburTerdapat tiga objektif utama pelaksanaan pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia di sekolah rendah iaitu mengguna dan memahami sesuatu pelajaran secara didik hibur, mengguna dan memahami bahasa yang indah atau bahasa badan dalam aktiviti dan mengguna dan memahami sesuatu kemahiran yang ditunjukkan secara didik hibur.

2.2Ciri-ciri didik hiburAktiviti didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran yang mengaplikasikan pelbagai pendekatan dan teknik seperti nyanyian dan permainan serta penggunaan pelbagai bahan yang menarik dapat membantu murid menguasai dan menghayati pembelajaran (Kementerian Pelajaran Malaysia 2012). Bagi menerapkan pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, beberapa ciri penting tentang didik hibur ini perlu dipertimbangkan . Antaranya, sesi pembelajaran di dalam atau di luar bilik darjah haruslah bersifat menyeronokkan di mana terkandung unsur kelakar, kecindan, unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan lain-lain (Zailah 2012). Konsep santai dan berhibur yang wujud dalam suasana pembelajaran murid dapat mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru di samping menimbulkan motivasi dalam kalangan diri murid untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya. Selain itu, penggunaan integrasi teknologi maklumat dan bahan bantu mengajar yang berkesan mampu menarik minat dan fokus murid terhadap isi pelajaran yang disampaikan melalui arahan yang jelas dan ringkas. Aktiviti didik hibur yang dilaksanakan haruslah melibatkan penyertaan keseluruhan murid di dalam kelas yang boleh dilakukan dengan memilih aktiviti secara berkumpulan atau berpasangan. Perkara ini membolehkan murid bersuara, menyumbangkan idea yang bernas dan dapat memberikan satu bentuk persembahan yang menarik secara bebas namun terkawal. Aktiviti didik hibur juga banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa badan. Dalam konteks didik hibur, bahasa badan ialah bahasa gerak badan yang diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran supaya dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian semasa melakukan sesuatu aktiviti. Bahasa gerak badan ini merupakan sebahagian daripada proses komunikasi dan berperanan menggambarkan sebarang reaksi dalam sesuatu aktiviti. Oleh itu, bahasa badan melibatkan apa jua anggota badan misalnya mata, kening, tangan, lengan dan bibir.

2.3Cara pelaksanaan didik hibur dalam pengajaran bahasa MalaysiaDidik hibur dilaksanakan secara penyerapan dalam pengajaran Bahasa Malaysia dengan berfokuskan kepada aktiviti mengguna dan memahami lirik lagu, bahasa indah, bahasa badan dan pantun dua kerat. Penyerapan ialah proses menyerapkan pelbagai bidang ilmu, nilai, murni, dan kemahiran bernilai tambah yang dipelajari semasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia (Kementerian Pendidikan Malaysia 2001). Terdapat empat unsur penyerapan sedia ada dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia, iaitu melalui pelbagai bidang ilmu serta tema, semangat kewarganegaraan dan nilai murni masyarakat Malaysia, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dan kemahiran bernilai tambah. Pendekatan didik hibur yang dilaksanakan secara penyerapan ini dapat dilaksanakan dengan menyerapkan pelbagai ilmu melalui aktiviti yang dicadangkan seperti nyanyian, bercerita, lakonan dan pantun dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia.

3.0Strategi penyerapan ilmu dalam aktiviti didik hibur3.1Nyanyian dalam didik hiburNyanyian merupakan salah satu aktiviti yang disarankan dalam didik hibur yang melibatkan perkembangan kreatif dan daya estetika. Aktiviti nyanyian yang dirancang dapat menyumbang kepada proses perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, meliputi perkembangan intelek, emosi, sosial dan fizikal. Kamus Dewan (2000) mendefinisikan nyanyian sebagai satu gubahan muzik yang dilagukan dengan suara. Terdapat dua kemahiran yang ditekankan adalah aktiviti menyebut seni kata lagu dengan jelas, manakala kedua murid dapat memahami seni kata lagu melalui persembahan nyanyian. Aktiviti nyanyian adalah kaedah yang paling digemari oleh murid kerana aktiviti ini mencetuskan perubahan dalam aktiviti yang lazim dalam pembelajaran mereka dalam bilik darjah dan dapat membantu mereka menguasai perbendaharaan kata, sebutan, intonasi, rima dan tekanan, struktur serta bentuk ayat. Aspek nyanyian ternyata dapat menceriakan sesi pengajaran dan pembelajaran, mengukuhkan aspek kemahiran asas berbahasa serta membantu murid mengingati perkara yang dipelajari dengan mudah. Selain itu, menyanyi juga memberi peluang kepada murid-murid untuk terlibat sepenuhnya dalam aktiviti pembelajaran dan biasanya melibatkan seluruh bilik darjah. Dalam melaksanakan aktiviti nyanyian, guru perlu mengikut langkah yang sepatutnya iaitu tiga langkah yang dicadangkan. Sebagai pra persediaan, guru perlu memilih dan menentukan jenis lagu yang sesuai dengan murid dan sepadan dengan objektif pengajaran. Pada aspek penyampaian pula, guru boleh menggunakan bahan bantu mengajar seperti kad imbasan perkataan, kad gambar, carta, radio dan lembaran senikata lagu bagi membantu guru dalam melatih murid menyanyi pada peringkat memperkenalkan lagu yang akan mereka pelajari. Pada langkah penutup pula, selain menyanyi bersama-sama, guru boleh memberikan latihan bertulis untuk mengukuhkan pengetahuan dan pemahaman murid.

3.2 Bercerita dalam didik hiburBercerita adalah aktiviti yang menarik dan sesuai untuk sesi pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia kerana sifat kanak-kanak yang suka mendengar cerita. Bercerita juga amat memikat dan bersifat menghiburkan menyebabkan murid-murid cepat menumpukan perhatian jika sesuatu pengajaran itu dapat disampaikan dalam keadaan yang menyeronokkan. Kamus Dewan Bahasa (2000) mendefinisikan bercerita sebagai mengisahkan sesuatu cerita, bercakap atau berbual. Bagi guru yang ingin bercerita, perlu memilih dan menggunakan perkataan yang sesuai, berkebolehan melahirkan sesuatu gaya, suara, mimik muka dan intonasi yang boleh memikat perhatian pendengar. Guru juga harus membina ayat yang betul, penggunaannya tepat, mudah dan menarik. Pendek kata, semua unsur yang terdapat dalam bahasa lisan terutama dalam percakapan yang natural, perlu diwujudkan semasa bercerita.Pada peringkat permulaan cerita, guru perlu terlebih dahulu membina perhubungan yang baik dengan murid-murid. Permulaan cerita juga lebih menarik jika guru berjaya membawa imaginasi murid-murid ke zaman berlakunya cerita dan peristiwa yang disampaikan itu. Dalam masa yang sama, guru berperanan membimbing murid supaya membaca dialog dengan gaya, nada dan intonasi yang betul. Seterusnya, pada peringkat pembentukan cerita, penggunaan bahasa mestilah mudah dan sesuai dengan tahap murid-murid. Perkembangan penceritaan juga harus lancar dan tidak membosankan dengan kepelbagaian suara, gerak geri dan mimik muka yang pelbagai, penggunaan bahan rangsangan yang sesuai, urutan cerita yang berkesinambungan serta mampu menarik penglibatan murid secara menyeluruh. Sebagai penutup kepada cerita yang disampaikan, guru perlu memastikan bahawa kesudahan cerita itu dapat memenuhi objektif yang ingin dicapai oleh guru.

3.3Lakonan dalam didik hiburLakonan adalah satu aktiviti, atau pergerakan tubuh badan atau segala bentuk perlakuan yang meliputi segala kegiatan hidup manusia. Ia dilakukan oleh watak-watak tertentu sebagai mencerminkan keadaan sebenar, atau meniru cara dan bentuk kegiatan-kegiatan yang berlaku dalam hidup masyarakat. Kamus Dewan (2000) mendefinisikan lakonan sebagai perihal memainkan sesuatu drama, sandiwara dan sebagainya. Walaupun aktiviti berlakon dilaksanakan secara tidak formal tetapi aktiviti ini dapat membantu dalam meningkatkan kemahiran murid-murid untuk berbahasa dengan baik. Ini dilihat melalui aktiviti lakonan ini, murid boleh bertutur dengan bahasa yang betul, berinteraksi dengan orang lain, menjadi pendengar yang baik dan peka, mewujudkan kerjasama yang baik dalam kumpulan, mendorong kepada pemikiran aktif dan kreatif serta akan dapat memahami semua aspek kehidupan apabila menghadapi keadaan sebenar. Beberapa jenis lakonan yang boleh dilaksanakan oleh guru dalam bilik darjah adalah seperti lakonan berdasarkan permainan, lakonan spontan, lakonan bisu, lakonan berkait, lakonan bersenikata, lakonan boneka, lakonan nyanyian, lakonan puisi dan lakonan kaku.

3.4Pantun dalam didik hibur Pantun merupakan suatu bentuk tradisi lisan yang masih hidup sehingga sekarang. Fungsinya yang terdapat dalam hampir kesemua aspek kehidupan seperti kegiatan berunsur ucapan, kegiatan seni, dan kegiatan berunsur pendidikan menyebabkan pantun terus digemari.Menurut Kamus Dewan (2000), pantun merupakan sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap yang mempunyai pembayang dan maksud. Bagi melaksanakan aktiviti pantun di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, guru perlu mempertimbangkan beberapa prinsip penting. Aktiviti berpantun hendaklah menepati objektif pengajaran yang berupaya untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehan berbahasa dalam kalangan murid. Pemilihan pantun perlulah sesuai dengan tahap kebolehan, kognitif dan minat murid di samping mudah dan senang difahami. Pantun yang baik adalah menggunakan unsur-unsur alam sebagai pembayang. Jadi, guru harus menitikberatkan perkara tersebut bagi membolehkan murid memahami penggunaan pantun dengan cara yang beretika dari peringkat awal lagi. Sementara itu, pantun yang dipilih juga perlu terdiri daripada pantun yang bermakna dalam kalangan murid-murid agar dapat menyumbang kepada pembentukan peribadi yang mulia. Terdapat beberapa jenis pantun dua kerat yang boleh diperkenalkan kepada murid-murid seperti pantun jenaka, pantun kasih sayang, pantun kiasan dan pantun budi.

4.0Faktor kejayaan pendekatan didik hibur dalam pengajaran guruFaktor kejayaan pendekatan didik hibur dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran adalah dipengaruhi oleh guru dan aktiviti yang dirancangkan dan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Jemaah Nazir Sekolah (2004), menyatakan tentang sumbangan guru terhadap suasana pembelajaran yang kondusif. Standard ini menggariskan bahawa guru perlu mewujudkan suasana riang dan merangsang pembelajaran di dalam bilik darjah. Ini membuktikan bahawa kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran adalah terletak kepada kebijaksanaan dan kepakaran guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Oleh itu, sebagai guru, terdapat beberapa perkara yang perlu dan sentiasa dititikberatkan iaitu dari segi perwatakan, penggunaan bahasa, tindakan, sikap dan kebolehan guru dalam membuat perancangan, pelaksanaan dan pengubahsuaian terhadap sesuatu aktiviti yang membawa kepada pembelajaran yang bermakna dalam kalangan murid.Kejayaan pendekatan didik hibur secara berkesan juga bergantung kepada aktiviti yang dirancang. Oleh itu, semasa merancang sesuatu aktiviti guru hendaklah mengambil kira beberapa aspek seperti kesesuaian aktiviti dengan tahap murid yang hendak diajar, menjalankan aktiviti yang murid sedia ketahui berdasarkan silang budaya yang sama, tempoh pelaksanaan dan peruntukan masa pembelajaran yang fleksibel dan aktiviti dapat dilaksanakan dan diselesaikan bersama murid tanpa menghadapi banyak halangan atau masalah. Selain itu, aktiviti yang dipilih haruslah tidak menjurus ke arah permusuhan atau konflik antara murid dalam kelas. Guru hendaklah menyediakan arahan yang jelas, mudah difahami dan aktiviti yang dirancang berjaya memberi kepuasan kepada semua murid terlibat secara keseluruhannya.

1 766 patah perkataan

Rujukan

Abdul Rashid Jamian. (2013). Pelaksanaan Pembelajaran Menyeronokkan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Universiti Putra Malaysia. Diakses pada 30 Ogos 2014 dari laman web: www.ukm.my/jpbm/pdf/49-63%20Rasid.UPM.pdf

Jemaah Nazir Sekolah. (2004). Standard Kualiti Pendidikan Malaysia. Pernyataan Standard SKPM 1 Edisi Disember 2004. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2001). Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2011). Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Zailah Zainudin. (2012). Didik Hibur. IPG Kampus Raja Melewar. Diakses pada 29 Ogos 2014 dari laman web: http://web.moe.gov.my/bpk/v2/kssr/index.php/berita/didik_hibur