TUGASAN MTE3107 : KEPENTINGAN KAEDAH KOPERATIF
-
Upload
rafiza-diy -
Category
Education
-
view
571 -
download
2
description
Transcript of TUGASAN MTE3107 : KEPENTINGAN KAEDAH KOPERATIF
Disediakan Oleh : Rafiza Darus BM 1 (SK)
4
Bagaimanakah Kaedah Koperatif Dapat Membantu Meningkatkan Kefahaman Dalam
Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik?
Matematik merupakan sebuah bidang yang sangat luas untuk diterokai
kepentingannya. Ilmu matematik yang dipelajari bukan sahaja digunakan semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas malah ilmu ini turut diaplikasikan dalam
kehidupan seharian. Disebabkan kepentingan mempelajari subjek matematik yang tiada
tolok bandingnya, sudah menjadi tanggungjawab sebagai seorang guru dalam mendirikan
asas yang kukuh dalam menarik minat murid-murid untuk mempelajari subjek matematik di
peringkat rendah. Pembinaan asas yang kukuh ini mestilah menggunakan kaedah-kaedah
yang mencabar serta dapat melibatkan murid-murid secara aktif dalam proses pengajaran
dan pembelajaran matematik, jika tidak murid akan hilang minat dan tumpuan untuk belajar
sepertimana yang dinyatakan oleh Ahmad (1994), pengajaran dan pembelajaran yang
dikatakan menarik ialah pengajaran dan pembelajaran yang mencabar dan berkesan iaitu di
mana pengajaran tersebut berpusatkan murid. Oleh itu, saya telah memilih kaedah koperatif
sebagai salah satu kaedah yang dilihat dapat membantu meningkatkan kefahaman murid
dalam pengajaran dan pembelajaran matematik di dalam kelas memandangkan kaedah ini
mempunyai kelebihannya yang tersendiri.
Jika diteliti dari segi definisi pembelajaran koperatif yang didefinisikan sebagai suatu
strategi pengajaran dimana murid-murid saling membantu di antara satu sama lain di dalam
kumpulan kecil (Efendi, 1998), dapat disimpulkan bahawa kaedah koperatif mampu
menyediakan suatu ruang kepada murid-murid untuk meluahkan idea dan pendapat mereka
dalam menyelesaikan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru. Tambahan pula, kaedah
ini menitikberatkan pembelajaran berstruktur dalam kumpulan kecil untuk memenuhi lima
kriteria, iaitu saling bergantungan positif, kebertanggungjawapan, interaksi bersemuka,
penggunaan kemahiran interpersonal yang bersesuaian dan penilaian kendiri ke atas
matlamat kumpulan yang berterusan sepertimana yang dinyatakan oleh Felder et. al. (2004)
dan Ng Kim Choy (1999). Oleh sebab itu, murid-murid yang kurang memahami sesuatu
topik akan mendapat manfaat melalui bimbingan rakannya yang lebih berpengetahuan
dalam topik tersebut memandangkan kaedah pembelajaran jenis ini memerlukan setiap ahli
kumpulan bekerjasama untuk mencapai matlamat yang sama. Menurut Slavin (1990), selain
daripada idea berkerjasama, murid memberi penekanan kepada penggunaan matlamat
kumpulan dan kejayaan kumpulan dan hal ini boleh dicapai apabila semua ahli dalam
kumpulan tersebut memberi komitmen yang diperlukan.
Disediakan Oleh : Rafiza Darus BM 1 (SK)
5
Di samping itu, perkara ini dapat dibuktikan keberkesannya apabila saya sendiri telah
melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran matematik untuk sekumpulan murid
Tahun 4 dengan menggunakan kaedah koperatif sebagai salah satu usaha meningkatkan
kefahaman mereka dalam topik matematik yang diajar. Aktiviti yang saya laksanakan
melibatkan pengajaran dan pembelajaran untuk topik pertama iaitu Nombor dan Operasi di
bawah subtopik Wang hingga RM 100 000. Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran
untuk topik ini, sebanyak dua kumpulan telah dibentuk untuk menyelesaikan satu situasi
yang diberikan kepada setiap kumpulan. Penyelesaian masalah ini memerlukan kerjasama
antara ahli kumpulan dalam menyelesaikan masalah tersebut dengan cepat dan tepat. Tidak
ketinggalan, setiap kumpulan juga mempunyai seorang ketua yang dipilih sebagai wakil bagi
kumpulan tersebut dalam menguruskan sesi perbincangan kumpulan supaya teratur dan
berjalan lancar.
Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran, saya dapat lihat bagaimana kerjasama
yang diberikan oleh setiap ahli kumpulan dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan
kepada mereka. Pada masa tersebut, saya perhatikan terdapat seorang ahli kumpulan yang
tidak dapat menyelesaikan masalah yang melibatkan operasi darab dengan baik sehingga
meminta bantuan kalkulator daripada saya untuk membantu pengiraannya, tetapi
disebabkan pelaksanaan aktiviti penyelesaian masalah ini dilaksanakan secara koperatif,
ahli kumpulan yang lain telah membantu murid ini bagi menyelesaikan masalah operasi
darab tersebut. Di sini saya dapat lihat bahawa kerjasama antara ahli kumpulan dalam
menyelesaikan masalah yang diberikan kepada mereka telah melancarkan sesi pengajaran
dan pembelajaran matematik pada masa tersebut.
Tambahan pula, kaedah koperatif yang digunakan ini juga telah membantu
meningkatkan kefahaman murid dengan lebih cepat memandangkan terdapat perbincangan
kumpulan yang dilaksanakan untuk mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan masalah
yang dihadapi. Setiap ahli kumpulan dilihat cuba berkongsi pendapat mereka dalam
memahami kehendak tugasan yang diberikan supaya kesimpulan daripada perbincangan
tersebut dapat mencapai kehendak tugasan. Selain itu, setiap kumpulan juga masing-
masing bersaing antara satu sama lain bagi mempamerkan hasil tugasan yang terbaik
supaya mendapat pengiktirafan atas pencapaian yang ditunjukkan dengan bertungkus-
lumus menyiapkan tugasan dengan kadar cepat selain mengelakkan kesalahan. Hal ini telah
dijelaskan oleh Bonwell dan Eison (1991) yang mengatakan kaedah ini dibuktikan berkesan
kerana ia menghasilkan kesan dorongan, kesan pembangunan kognitif dan kesan perluasan
kognitif yang mendorong kepada sikap yang positif seperti ingin berusaha dengan lebih
gigih, di samping menggalakkan pertumbuhan kognitif di mana cara pemikiran yang lebih
baik boleh dikuasai melalui perkongsian idea antara ahli dalam kumpulan.
Disediakan Oleh : Rafiza Darus BM 1 (SK)
6
Tidak ketinggalan, kajian-kajian yang dilaksanakan oleh Johnson dan Johnson
(2000), Felder et. al (2003) dan Slavin et. al (1985) juga mengatakan kaedah ini telah
berjaya meningkatkan pencapaian murid di samping menggalakkan perkembangan generik
seperti motivasi untuk belajar, berinteraksi dan sikap saling bergantungan yang positif,
menerapkan kemahiran asas seperti kepimpinan, keupayaan membuat keputusan,
memupuk kerjasama, sifat toleransi antara kaum dan kepercayaan di antara murid serta
keupayaan berfikir secara kritikal. Berdasarkan kajian-kajian tersebut serta pengalaman
saya sendiri, dapat saya katakan di sini bahawa penggunaan kaedah koperatif
sememangnya mampu meningkatkan kefahaman murid dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran matematik memandangkan setiap murid akan lebih mudah mengingati
sesuatu perkara apabila mereka mengajar rakan-rakannya yang lain. Hal ini dapat
dibuktikan apabila kajian yang dijalankan di National Training Laboratories, Bethel, Maine,
purata kadar ingatan pelajar boleh meningkat sehingga 90% jika mereka mengajar sesama
sendiri dan menggunakan pengetahuan itu serta-merta.
Sumber : National Training Laboratories, Bethel, Maine
Rajah 2.0 The Learning Pyramid (Piramid Pembelajaran)
Disediakan Oleh : Rafiza Darus BM 1 (SK)
7
Daripada kajian-kajian yang telah dilaksanakan serta pendapat tokoh-tokoh yang
telah dinyatakan, saya sangat yakin jika kaedah ini dapat diaplikasikan dengan baik di dalam
kelas, murid-murid akan lebih berminat dan akan lebih memahami sesuatu topik yang
diajarkan kepada mereka. Melalui pelaksanaan aktiviti secara koperatif, murid-murid akan
lebih selesa dalam meluahkan pandangan dan menonjolkan bakat mereka dalam
menyelesaikan sesuatu permasalahan yang diberikan. Hal ini dapat dibuktikan apabila
murid-murid dilihat lebih selesa belajar dengan rakan seusia mereka berbanding mendapat
bantuan daripada guru yang mungkin disebabkan oleh perasaan malu dan sebagainya.
Menurut Rogers dan Freiberg (1994), murid-murid lebih suka pengajaran yang tidak
terlalu formal dan pembelajaran koperatif ternyata mampu memenuhi syarat ini dalam
mewujudkan sesi pengajaran dan pembelajaran yang santai tetapi penuh dengan manfaat.
Oleh itu, semasa melaksanakan aktiviti yang melibatkan penyelesaian masalah yang rumit,
pemilihan kaedah koperatif dilihat mampu menguji tahap kefahaman murid berkaitan tajuk
yang dipelajari selain memudahkan tugas guru dalam memberi penerangan semula kepada
murid yang kurang memahami tajuk tersebut apabila masalah ini dapat diatasi dengan
bantuan ahli kumpulan yang mampu memberikan penerangan semula kepada rakannya
yang kurang memahami topik tersebut.
Walaupun kaedah koperatif yang digunakan semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran matematik ini jika dilaksanakan dengan serius ia akan membawa manfaat
kepada pelajar (Ahmad, 1994), tidak dinafikan terdapat juga beberapa kekangan yang perlu
diberi perhatian agar kaedah ini dapat dilaksanakan dengan cara yang lebih berkesan lagi.
Antaranya adalah aspek kawalan kelas di mana saya lihat pengajaran dan pembelajaran
menggunakan kaedah koperatif ini akan menyukarkan guru untuk mengawal kelas. Suasana
bising yang diwujudkan oleh setiap kumpulan disebabkan perbincangan yang dilaksanakan
sedikit sebanyak akan mengganggu tumpuan murid-murid yang berada di kelas lain. Oleh
sebab itu, aspek kawalan kelas perlu diberi perhatian dengan sebaik mungkin sama ada
dengan cara mewujudkan peraturan semasa melakukan aktiviti ataupun dengan cara lain
yang dapat mengurangkan masalah ini.
Selain itu, semasa pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan
kaedah koperatif ini juga guru perlu prihatin dari segi merangsang minat murid yang pasif
agar mereka turut bersama-sama melaksanakan aktiviti. Kelemahan yang dikenal pasti ini
adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri semasa mengendalikan sesi pengajaran dan
pembelajaran menggunakan kaedah ini apabila terdapat murid yang pasif dalam kumpulan
yang dibentuk. Jika guru tidak prihatin dan terus membiarkan murid pasif semasa
pelaksanaan aktiviti menggunakan kaedah koperatif, hal ini akan menjadikan mereka lebih
Disediakan Oleh : Rafiza Darus BM 1 (SK)
8
pasif lagi dan minat mereka terhadap subjek matematik juga akan semakin berkurang.
Setidak-tidaknya dengan cara memberi tumpuan dan motivasi kepada murid yang pasif
semasa melaksanakan aktiviti berkumpulan ini akan membantu merangsang hubungan
interpersonal mereka selain merangsang minat mereka untuk belajar selari dengan
pendapat Chua (2001) yang menyatakan motivasi dan minat serta semangat baru akan
diperolehi dengan pengisian pembelajaran yang positif dan konkrit untuk merangsang minda
murid.
Kesimpulannya, pendidikan adalah proses dan aktiviti yang bertujuan untuk
menghasilkan perubahan yang dikehendaki dalam diri seseorang di mana sistem pendidikan
negara memberikan penekanan kepada perkembangan potensi individu secara menyeluruh
dan bersepadu (Wan Zahid, 2000). Bertitik tolak daripada hasrat ini, tanggungjawab guru
juga menjadi semakin mencabar dan memerlukan pelbagai usaha dalam membantu setiap
murid untuk meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran. Oleh sebab itu, perancangan
pengajaran yang menarik serta mampu meningkatkan kefahaman mereka dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran matematik terutamanya adalah ‘pintu’ untuk menemui impian
tersebut. Dan ‘kunci’ yang diperlukan untuk membuka ‘pintu’ tersebut adalah dengan
menggunakan kaedah koperatif semasa sesi pengajaran dan pembelajaran kerana melalui
kaedah ini, kefahaman murid akan lebih meningkat dan kekal lama kerana murid-murid akan
terlibat secara aktif dalam menstrukturkan pengetahuan mereka dan pada masa yang sama,
mereka memberi semangat antara satu sama lain dalam mencapai pembelajaran masing-
masing (Lie, 2004).
Akhir sekali, saya juga berharap dengan pengalaman serta ilmu pengetahuan yang
saya peroleh semasa melaksanakan tugasan ini akan membantu saya menjadi seorang
guru yang berkaliber serta mampu mendepani pelbagai cabaran dalam dunia pendidikan.
Tidak ketinggalan, saya juga berharap dengan ilmu yang diperoleh ini ia akan menjadi
sumber rujukan saya dalam usaha mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran
yang memberangsangkan terutamanya dalam mata pelajaran matematik ini dari semasa ke
semasa.
(1 503 patah perkataan)
Disediakan Oleh : Rafiza Darus BM 1 (SK)
9
RUJUKAN
Ahmad Md. Shariff. (1994). Strategi Pendidikan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Bonwell, C.C. & Eison, J.A. (1991). Active Learning: Creating Excitement in the Classroom.
ASHE-ERIC Higher Education Report No. 1. Washington, D.C.: School of Education
and Human Development, George Washington University.
Chua Yock Chuan .(2001). Personaliti dan Motivasi Pelajar. Jurnal Pendidikan : PKPSM
Johor. (hlmn 61-64).
Efendi Zakaria. (1998). Pembelajaran Koperatif. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.
Felder, R.M., & Brent, R. (2004). The ABC’s Of Engineering Education : ABET, Bloom’s
Taxonomy, Cooperative Learning. American Soviety for Engineering Eduction.
Session 1375.
Felder, R.M., and Brent, R. (2003). Designing And Teaching Courses To Satisfy ABET
Engineering Criteria. Journal on Engineering Education. 92(1), 7 – 25.
Johnson, D.W, dan Johnson, R.T. (2000). Coperative Learning Methods : A Meta- Analysis.
Dicapai pada 25 Februari 2014, daripada http://www.co-operation.org/pages/cl-
methods.html
Lie. A. (2004). Cooperative Learning : Changing Paradigms of College Teaching. Petra
Christian University, Surabaya, Indonesia.
Ng Kim Choy (1999). Prinsip-prinsip Pembelajaran Koperatif. Sandakan : Maktab
Perguruan Sabah. Tidak Diterbitkan.
Rogers,C & Freiberg,J. (1994). Freedom to Learn. (3rd ed.). New York : Macmillan.
Slavin, R.E (1990). Cooperative Learning: Theory, Research and Practice. Massachussetts:
Simon & Schuster Inc.
Slavin, R.E. & Karweit, N.A. (1985). Effects Of Whole Class, Ability Grouped, And
Individualized Instruction On Mathematics Achievement. American Education
Research Journal. 22(3)., 351 – 367.
Wan Mohd Zahid Wan Nordin (2000). Penekanan Kepada Perkembangan Potensi Individu
Secara Menyeluruh Dan Bersepadu. Berita Harian : m.s 7.