TUJUAN PERKHEMAHAN

download TUJUAN PERKHEMAHAN

of 5

description

perkhemahan

Transcript of TUJUAN PERKHEMAHAN

TUJUAN PERKHEMAHAN

Dewasa ini golongan remaja menghadapi cabaran besar dalam kehidupan yang semakin rumit. Dalam proses mencari identiti diri, golongan ini mudah terjebak dengan gejala negatif dan keruntuhan moral. Pada era 80-an, pergerakan Pengakap dan Pandu Puteri telah menyedari akan fungsi penganjuran aktiviti yang sihat seperti perkhemahan dapat mendidik golongan belia menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negaranya.

Banyak latihan dan pengalaman diperoleh dengan menyertai aktiviti perkhemahan. Pengalaman ini sangat berguna kepada belia yang sedang membesar untuk terus hidup dalam masyarakat yang lebih kompleks dan mencabar. Di antara faedah yang diperoleh remaja semasa menghadiri sesuatu perkhemahan ialah:

i. Mendidik Berdikari

Aktiviti berkhemah dapat mendidik sifat berdikari. Bermula dengan menyediakan persiapan diri, bekalan dan peralatan sendiri. Sebagai contoh semasa menuju ke tempat perkhemahan, peserta terpaksa berjalan kaki, berbasikal dan sebagainya. Kerap kali mereka terpaksa merentas bukit-bukau, danau dan sungai. Keadaan ini dapat melatih peserta supaya percaya kepada diri sendiri dan berani menghadapi cabaran dan rintangan. Latihan- latihan ini dapat melatih mereka supaya kuat juga sihat fizikal, jasmani dan mental.

Melahirkan belia yang serba boleh bukan sahaja terbatas pada bidang akademik semata-mata. Ini dapat kita lihat di dalam perkhemahan di mana, setiap peserta dipertanggungjwabkan menguruskan kesemua kegiatan hariannya tanpa bantuan daripada sesiapa pun contohnya, memasak, membasuh pakaian, menjaga keselamatan diri dan sebagainya.

Perkhemahan dapat menambahkan pengetahuan. Belia dari bandar dapat mengadakan perkhemahan di kawasan pergunungan, perkampungan dan tepi pantai. Mereka dapat melihat dan menyiasat tumbuh-tumbuhan, binatang, batu batan, dan sebagainya. Sesetengah tumbuh-tumbuhan, binatang dan batu batan ini tidak terdapat di kawasan bandar bahkan di kawasan perkampungan tertentu.

ii. Mengakui Kekuasaan Tuhan

Aktiviti berkhemah merupakan satu cara pendidikan untuk menyedarkan kita tentang kebesaran dan kekuasaan Allah dengan melihat alam ciptaan-Nya yang terbentang luas saujana mata memandang, sekaligus mewujudkan rasa keinsafan kepada - Nya dan juga menimbulkan rasa betapa kerdilnya kita di depan-Nya yang Maha Esa. Melalui aktiviti perkhemahan ini juga akan menggalakkan kita untuk berfikir tentang ciptaan-ciptaan Allah yang berbagai-bagai, seterusnya kita juga boleh melakukan kajian keatas spesimen-spesimen yang dijumpai untuk meningkatkan lagi keimanan kita kepada kebesaran Allah S.W.T yang menjadikan sesuatu pasti ada sebabnya. Ini akan menambah pengabdian kita kepada Allah swt.

iii. Sebagai Orientasi Sosial

Program perkhemahan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan, serantau mahupun di peringkat dunia, setiap peserta akan tinggal bersama. Mereka belajar, bergaul, bertukar fikiran, melakukan aktiviti dan berkenalan di antara satu sama lain. Peserta dapat mengenali pelbagai aspek seperti sosial, adat resam, kebudayaan, masakan dan sebagainya. Ini mewujudkan persaudaraan dengan semua orang tanpa mengira bangsa dan keturunan seterusnya mengurangkan jurang konflik diantara kaum, agama dan kebudayaan.

Dalam aktiviti perkhemahan, setiap peserta akan menyelesaikan sendiri semua masalah yang berbangkit dengan bantuan kawan-kawannya. Sehubungan dengan itu setiap peserta seharusnya bekerjasama. Semangat bekerjasama ini sangat penting dan perlu dipupuk serta ditanam bagi membentuk satu masyarakat yang kukuh dan penuh berdisiplin.

iv. Rekreasi

Peserta yang menyertai sesuatu perkhemahan akan merasa seronok. Mereka dapat mengalih suasana dari bilik darjah dan rumah kepada suasana yang lebih luas dan terbuka lapang serta bebas daripada segala halangan dan masalah proses pembelajaran secara formal. Mereka dapat menenangkan fikiran untuk mengingati dan menghafal buku-buku pelajaran. Jiwa pelajar akan menjadi tenteram dan terhibur apabila menghadiri sesuatu perkhemahan.Jiwa yang damai akan melahirkan peribadi yang mulia dan kewarasan berfikir.

v. Menghargai Alam Semulajadi

Berkhemah kini bukan sahaja menjadi kegiatan riadah dan sukan yang diminati oleh berjuta-juta manusia tetapi juga ia didorong oleh naluri dan perasaan sayang serta kesediaan untuk melindungi alam sekitar semula jadi yang penuh dengan keindahan dan keajaiban. Mungkin juga sebagai satu pengajaran sebelum segala keindahan khazanah alam luput dan hilang bersama-sama tamadun manusia yang tidak henti-henti membinasakannya.

Sudah menjadi lumrah sesuatu yang nampak tidak bernilai pada mulanya akan nampak semakin berharga apabila kita semakin hampir kehilangannya. Begitu juga dengan alam semulajadi kita yang semakin hari semakin lenyap dari muka bumi ini akibat daripada pelbagai provokasi. Seolah-olah ada satu keanehan dimana apabila dunia sedang pesat membangun, kecintaan terhadap alam maya ini bertambah-tambah. Seolah-olah kasih sayang yang tiba-tiba datang dengan mendadak terhadap seorang ibu yang sedang sakit tenat dan nazak walaupun kasih sayang itu diabaikan sahaja sebelumnya.

Pinggiran hutan yang penuh dengan misteri akan melahirkan satu perasaan yang aneh dan penuh dengan kebanggaan apabila kita mendapat peluang untuk berdikari atau menemui cabaran-cabaran tanpa bantuan sesiapa pun yang sebelum ini kita memperolehinya dengan mudah dengan adanya bantuan daripada teknologi-teknologi yang canggih, pembantu rumah yang sentiasa melayani kehendak kita serta berbagai-bagai kemudahan lagi.

vi. Berkhemah Untuk Merapatkan Hubungan Kekeluargaan.

Perkhemahan keluarga mengalami pertumbuhan besar selepas Perang Dunia II. Bermula dari beberapa keluarga bercambah menjadi berjuta- juta keluarga. Untuk menyahut kelahiran semula minat untuk berkhemah kerajaan tempatan dan kebangsaan telah memajukan taman-taman lipur dan kawasan-kawasan perkhemahan khas. Lebih dari 9,308,000 hektar telah dikenal pasti sebagai taman lipur tempatan, negeri dan kebangsaan, hutan lipur untuk tujuan perkhemahan. Kerajaan negeri dan persekitaran dengan senang hati memberi maklumat-maklumat kepada bakal pekhemah tentang tempat-tempat dan kemudahan- kemudahan yang terdapat untuk berkhemah dan banyak sekali terdapat buku dan brocer panduan tentang perkhemahan diterbitkan.

Daripada aktiviti ini hubungan kekeluargaan akan dapat dieratkan lagi apabila kita bersama-sama melakukan aktiviti-aktiviti di tapak perkhemahan seperti memasang khemah, membuat unggun api, memasak serta mandi bersama-sama di sungai. Selain dapat mengeratkan lagi hubugan kekeluargaan kita juga berpeluang untuk lebih memahami pasangan masing-masing serta mempunyai lebih masa untuk bersama-sama melakukan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan dan membaiki semula hubungan yang telah lama tegang.

vii. Meningkatkan Pengetahuan Dalam Bidang Kesihatan

Perkhemahan juga dapat meningkatkan pengetahuan para belia tentang kesihatan serta sebagai usaha untuk mempromosikan perihal kesihatan agar setiap individu menjadi lebih prihatin, berpengetahuan dan berkeupayaan dan mempertingkatkan status kesihatan mereka.

Sepanjang perkhemahan para peserta akan diberikan penerangan mengenai topik-topik kesihatan seperti taklimat pertolongan cemas, bahaya merokok dan juga aktiviti yang menjurus kepada hidup sihat seperti bersenam, mengamalkan diet yang seimbang serta menjauhi amalan-amalan yang menjejaskan kesihatan seperti menghisap rokok, mengambil pil atau dadah dan sebagainnya.