Ucapan Hari Kemerdekaan

download Ucapan Hari Kemerdekaan

of 3

description

ucapan ringkas kemerdekaan

Transcript of Ucapan Hari Kemerdekaan

Selamat Pagi, Salam Sehati Sejiwa, Selamat Menyambut Bulan Kemerdekaan

Yang Dihormati Encik Jude Kuagang, Penolong Kanan 1,

Yang Dihormati Encik Rosli Abdul Kadir, Penolong Kanan Kokurikulum,

Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi. Terlebih dahulu saya berasa gembira kerana kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini sempena Majlis Kemuncak Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat SK.Pekan Telupid, bagi tahun 2015. Sememangnya, kita sebagai rakyat di negara ini sangat bertuah kerana terus dikurniakan suasana kehidupan yang aman, harmoni dan sejahtera.

Guru-guru dan murid sekalian,

Pada tanggal 31 Ogos 2015, genaplah negara kita menyambut kemerdekaan untuk kali ke-58. Keesokkan harinya pula, kita akan menyambut Hari Malaysia, iaitu 16 September 2015. Namun, saya percaya, dalam usia kemerdekaan yang baru melebihi setengah dekad, masih terdapat sebilangan masyarakat khususnya golongan generasi muda yang kurang arif mengenai peranan dan erti sebenar kemerdekaan yang telah dikecapi ini.

Pada zaman kini, erti kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan secara fizikal semata-mata malah, kita seharusnya sentiasa peka dan menghindari penjajahan yang lebih berbahaya iaitu penjajahan mental melalui pengaruh-pengaruh budaya serta amalan negatif yang berasal dari Barat.

Jika dibiarkan, tentu negara kita akan dijajah sekali lagi meskipun bukan secara fizikal tetapi impaknya dilihat agak setaraf dan mungkin lebih parah. Saya sememangnya tidak mahu perkara itu berlaku khususnya dalam kalangan murid-murid SK.Pekan Telupid.

Biarlah kita terus menanam semangat kemerdekaan melalui cara pemikiran minda kelas pertama sekali gus mempertahan kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para pemimpin negara yang terdahulu.

Murid-murid sekalian,

Tahukah anda bahawa sebelum merdeka, tahap pendidikan penduduk Malaysia berada dalam keadaan daif dan sangat ketinggalan jauh? Tidak kelihatan bangunan sekolah-sekolah yang cantik dan bersih seperti sekarang. Matapelajaran yang diajar pula sekadar untuk membolehkan rakyat tahu membaca. Tiada buku rujukan disediakan dan kebanyakan ilmu yang dituntut adalah bergantung kepada pengetahuan guru yang mengajar. Masyarakat kita kebanyakannya tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Ini kerana kedaifan hidup menjadikan mereka tidak berkemampuan untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Setelah 58 tahun merdeka, keadaan ini sudah jauh berbeza. Sesungguhnya, kita mengadakan Majlis Kemerdekaan ini, supaya rakyat terutamanya warga SK.Pekan Telupid akan lebih bersyukur atas nikmat keamanan dan kemajuan yang telah dikecapi hingga kita. Kita juga perlu memahami, dan mendalami maksud tema kemerdekaan pada kali ke-58 ini iaitu sehati sejiwa.

Para hadirin sekalian, Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SK.Pekan Telupid, bagi tahun 2015.

Semoga langkah tersebut akan menyemarakkan lagi semangat patriotisme kita kepada tanah air tercinta ini. Saya difahamkan ahli jawatankuasa penganjur telah membuat persiapan dan persediaan yang begitu rapi sejak beberapa minggu yang lepas. Mari kita berikan tepukan yang gemuruh kepada ahli jawatankuasa penganjur.

Sekian, terima kasih.