UCAPAN MENTERI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA YB. · PDF filementransformasikan pengajian tinggi...
Transcript of UCAPAN MENTERI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA YB. · PDF filementransformasikan pengajian tinggi...
Page | 1
UCAPAN
MENTERI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA
YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MAJLIS PENYAMPAIAN
ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2010,
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
14 JUN 2011 (SELASA), 9.00 PAGI, MAEPS, SERDANG.
Assalamualaikum wrt. wbt, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,
1. Pertamanya, sukalah saya melahirkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat
Allah Taala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita
bersama-sama dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 pada
pagi yang berbahagia ini. Terlebih dahulu, setinggi penghargaan dan ucapan
terima kasih saya ucapkan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi
kerana sudi mengundang saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya
menyempurnakan majlis penyampaian anugerah ini. Di kesempatan ini juga,
saya ingin merakamkan setinggi-setinggi penghargaan dan ucapan terima
kasih kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan seluruh
jawatankuasa yang terlibat menganjurkan majlis ini.
2. Pada tahun ini, saya difahamkan seramai 1083 orang pegawai
Kementerian Pengajian Tinggi dari pelbagai peringkat jawatan dan jabatan
telah terpilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kerana
Page | 2
prestasi mereka sepanjang tahun 2010. Daripada jumlah tersebut, seramai
107 orang adalah pegawai di peringkat Ibu Pejabat Kementerian Pengajian
Tinggi, 711 orang pegawai politeknik serta bakinya 265 orang pegawai dari
kolej komuniti seluruh negara. Sata ucapkan syabas dan tahniah kepada
kesemua penerima APC tahun 2010. Sesungguhnya majlis ini diadakan khas
untuk mengiktiraf sumbangan dan jasa bakti tuan-tuan dan puan-puan yang
telah menunjukkan komitmen dan dedikasi yang perlu dicontohi oleh semua
warga Kementerian Pengajian Tinggi yang lain.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
(SISTEM PENYAMPAIAN KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI)
3. Dalam konteks negara kita Malaysia, sektor pengajian tinggi
berperanan sebagai pemain dan penyumbang utama yang menggerakkan
transformasi kerajaan, transformasi ekonomi dan menggalas tanggungjawab
yang besar melalui pengeluaran modal insan berkualiti serta peningkatan ilmu
pengetahuan serta inovasi negara bagi menyokong Rancangan Malaysia
Kesepuluh (RMKe 10) dan Model Baharu Ekonomi (MBE). Bagi
merealisasikan peranan utama dan kritikal ini, kementerian telah
memperkenalkan beberapa dasar mahupun pelan yang bertujuan
mentransformasikan pengajian tinggi negara dan ia termasuk Pelan Strategik
Page | 3
Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan terbaharu, Pelan Tindakan
Pembangunan Modal Insan Inovasi. Bagi menjayakan pelaksanaan pelan-
pelan tersebut, kita memerlukan sistem penyampaian yang proaktif dan
dinamik di mana kementerian seharusnya bertindak sebagai PEMUDAH
CARA ATAU FASILITATOR (BUKAN REGULATOR) dengan menampilkan
perkhidmatan yang berkualiti, cekap, berkesan dan efisien serta
memenuhi kehendak pelanggan dan pemegang taruh melalui aspek
tadbir urus yang baik, budaya kerja cemerlang, sumber kewangan yang
mencukupi, sumber manusia yang kompeten dan infrastruktur yang
lengkap.
4. Pelan Tindakan Fasa Dua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang
kita lancarkan minggu lalu turut tidak menolak kepentingan sistem
penyampaian kementerian yang berkualiti dan kukuh selari dengan tuntutan
semasa. Saya difahamkan, beberapa strategi telah dikenalpasti bagi
membangunkan sistem penyampaian kementerian yang berkesan khususnya
dalam tempoh lima tahun ini dan ia termasuklah:
1. Meningkatkan amalan tadbir urus terbaik pada semua peringkat;
2. Menambah nilai dan mambina upaya kapasiti sumber manusia
melalui pengayaan ilmu dan pengalaman;
Page | 4
3. Menerapkan nilai integriti dan pembudayaan inovasi di kalangan
warga kementerian;
4. Meningkatkan penggunaan ICT secara meluas dengan
penambahbaikan terhadap akses dan infrastruktur;
5. Menambahbaik keberkesanan pengurusan sumber kewangan secara
optimum dan seimbang dan
6. Memberi fokus kepada infrastruktur bukan fizikal atau pembangunan
intelektual berbanding fizikal dengan tumpuan penekanan kepada
keberhasilan (outcome).
Tuan-tuan dan Puan-Puan,
(FAKTOR HUMAN TOUCH ATAU SENTUHAN INSAN DALAM SISTEM
PENYAMPAIAN)
5. Sebuah kementerian kerap kali dinilai dari sudut kualiti sistem
penyampaian perkhidmatannya. Dalam dunia teknologi yang serba canggih,
sistem penyampaian ini amat didukung oleh faktor penggunaan ICT yang
meluas. Dalam era digital kini, adalah amat mudah bagi sebuah kementerian
seperti KPT membangunkan laman sesawang, blog, facebook dan lain-lain
untuk membolehkan warganya mendapatkan maklumat terkini berkaitan
prosedur pentadbiran dan aktiviti lainnya.
Page | 5
6. Tidak dinafikan, media komunikasi dan interaksi ini adalah saluran
penyampaian dalam meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan
berasaskan internet kepada semua pelanggan. Ini dilihat penting dalam
usaha kementerian meningkatkan kecekapan pengurusan serta menjamin
pertanggungjawapan awam pada tahap yang tinggi. Umum bersetuju bahawa
ia adalah suatu yang baik, meningkatkan keberkesanan lagi memudahkan
urusan antara KPT dengan warga serta pelanggannya. Walau
bagaimanapun, era digital ini telah menjadikan sistem penyampaian ini
bersifat mekanistik, terlalu tinggi pergantungannya kepada mesin dan
amat impersonal sifatnya. Saya tidak menafikan kadang kala bahasa
emel mahupun sistem automatic reply dalam sistem pengurusan
kementerian umpamanya boleh menimbulkan salah faham, kekeliruan
dan sebagainya.
7. Justeru itu, kita perlu berusaha untuk mengurangkan krisis komunikasi
melalui teknologi yang tidak boleh memperlihatkan reaksi dan sensitiviti di
kalangan yang memberi dan yang menerima perkhidmatan. Malah, kita perlu
mengembalikan elemen HUMAN TOUCH ATAU SENTUHAN INSAN dalam
sistem penyampaian perkhidmatan kementerian dan dari masa ke semasa,
sistem penyampaian perkhidmatan ini perlu ada interaksi manusia pada
Page | 6
tahap-tahap tertentu. PERSOALANNYA, bagaimanakah caranya KPT boleh
membangunkan sistem penyampaian yang bukan sahaja efisen malah mesra
tetapi tidak kurang aspek human touch nya? Saya percaya persoalan ini
perlu diambil kira dan diberi fokus utama oleh kita kerana sistem
penyampaian ini amat penting malah menjadi salah satu daripada Projek
Agenda Kritikal atau CAP dalam PSPTN yang membantu ke arah
kejayaan transformasi pengajian tinggi di negara.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
(MELAHIRKAN PEKERJA BESTARI UNTUK MENGUASAI EKOSISTEM
PENGAJIAN TINGGI)
8. Sebagai sebuah kementerian yang berteraskan dunia akademia,
adalah amat perlu agar setiap warga KPT mendukung perubahan positif
dengan mengurus pekerja berilmu, membangunkan budaya bekerja
secara berkumpulan, berintegriti, berupaya mengurus bakat dan
kepemimpinan bertransformasi. Dalam merealisasikan hasrat kerajaan ini,
adalah amat perlu untuk menguruskan perbelanjaan secara berhemah (value
for money) dan peruntukan yang diberikan perlu diurus secara bijak, telus dan
sebaik mungkin agar seiring dengan dasar kerajaan masa kini yang
mementingkan pengurusan nilai (value management). Kaedah pengurusan
Page | 7
nilai kini menjadi alat pengurusan (management tools) bagi mendapatkan
pulangan optimum dan langkah penjimatan terutama melibatkan pengurusan
projek berimpak tinggi dengan kos yang munasabah serta memberi manfaat
yang besar.
9. Selain itu, kita harus mengakui bahawa usaha untuk melonjakkan peranan
kritikal Kementerian Pengajian Tinggi dalam mentransformasikan negara
tidak hanya bergantung kepada kekuatan dasar atau pelan strategik semata-
mata. Sebaliknya, ia turut didasari oleh faktor modal insan yang berkualiti
dalam sektor pengajian tinggi itu sendiri yang bukan hanya melibatkan pihak
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) semata-mata, tetapi Pegawai Tadbir
Diplomatik atau PTD di kementerian. Hari ini, tahap hubungan antara pegawai
kementerian dan pihak IPT masih perlu diperkukuhkan apatah lagi masing-
masing mendapat latihan, kemahiran dan penguasaan yang berbeza.
10. Sehubungan dengan itu, SAYA MENCADANGKAN supaya
semua pegawai kementerian yang kebanyakannya dalam Skim
Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatiik (PTD) dan juga Skim
Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (DH), mengikuti
program-program in –house di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Misalnya,
kita boleh mencadangkan agar latihan yang perlu dihadiri selama tujuh
Page | 8
hari setahun mengambil kira kehadiran tiga atau empat hari program di
Universiti.
11. Saya percaya usaha murni ini dapat menjana mereka sebagai
PEKERJA BESTARI (KNOWLEDGE WORKERS) yang bersikap terbuka,
berinovasi dan kreatif dalam membantu menyelaraskan pembangunan
universiti dengan tepat. Lebih penting, ia akan membolehkan setiap
pekerja dan pegawai di kementerian mempunyai jiwa atau roh yang
sama dengan jiwa dan roh universiti. Apatah lagi, setiap detik dan ketika,
pembangunan IPT sentiasa bergerak pantas dan pastinya dalam hal ini,
banyak pembaharuan dan trend yang berlaku yang memerlukan keupayaan
pegawai-pegawai kementerian memahami perkembangan ini dengan sebaik
mungkin. Pendek kata, cadangan ini adalah satu keperluan mendesak yang
harus dilaksanakan segera kerana persefahaman dan kefahaman akan
membolehkan sesuatu keputusan melibatkan kepentingan dan pembangunan
universiti dibuat dengan mesra dan tepat.
Page | 9
Tuan-tuan dan Puan-puan,
(PENUTUP)
12. Sebagaimana dalam zaman k-ekonomi, modal insan merupakan
kekuatan negara. Maka, pegawai dan kakitangan juga adalah modal insan
kementerian yang akan menentukan kejayaan kita mentransformasikan
sektor pengajian tinggi. Mereka adalah aset kita yang paling penting dan kita
perlu memberi perhatian berterusan. Hari ini, sebahagian daripada mereka
berjaya mencapai tahap kecemerlangan. Pencapaian ini mestilah dipertahan,
dipertingkat dan dilanjutkan. Ini penting supaya usaha-usaha kita
menyumbang kepadfa keberkesanan kementerian dapat dilakukan secara
mapan dan lestari.
13. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada penerima-
penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2010. Semoga
komitmen cemerlang yang diberikan menjadi contoh ikutan dan
pengaruh positif ke arah kecemerlangan KPT secara keseluruhan.
Semoga kualiti dan kecemerlangan terus menjadi teras kepada budaya kerja
demi kemajuan dan kemakmuran negara. Sekian Wabillahi Taufiq
Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.