Ulasan Kajian Tindakan 1 en Aziz

download Ulasan Kajian Tindakan 1 en Aziz

of 7

description

ULASAN KAJIAN TINDAKAN 1

Transcript of Ulasan Kajian Tindakan 1 en Aziz

ULASAN KAJIAN TINDAKAN 1Kami telah membaca dan menganalisis satu kajian tindakan yang telah dijalankan oleh Kamisah Osman,Zanathon Hj Iksan dan Lilia Halim mengenai sikap pelajar terhadap sains dan sikap saintifik di kalangan pelajar sains. Penulis menjalankan kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti punca murid-murid yang kurang berminat dengan sains dan yang tidak menguasai kemahiran saintifik. Penulis juga mendapati murid yang cemerlang di dalam peperiksaan dan mata pelajaran sains adalah murid-murid yang menguasai kemahiran saintifik, berminat dengan subjek tersebut dan dapat menjalankan aktiviti dengan seronok. Fokus penulis adalah kepada sikap saintifik yang dikuasai oleh murid-murid sekolah adalah rendah. Ini membawa kepada implikasi pengajaran dan pembelajaran sains yang lebih bersifat inkuiri dan hand-on tidak dapat difahami oleh murid dengan jelas. Tahap penguasaan literasi serta sikap positif terhadap sains dapat membantu murid agar menguasai pengetahuan sains dengan baik. Hal ini disebabkan kepada pengajaran guru yang lebih tertumpu kepada murid-murid yang akan menghadapi peperiksaan sahaja. Ini memberi impak yang negatif di mana murid-murid lebih mengamalkan teknik perkuliahan dan nota bagi mengikuti mata pelajaran sains ini. Mereka ingin mengelak dan kurang berminat untuk mengikuti aktiviti yang dijalankan. Ini akan menyebabkan keunikan dan keseronokan yang ada dalam sains yang akan diaplikasikan dalan kehidupan mereka juga akan gagal. Maka misi kearah pembudayaan literasi sains dan sikap saintifik tidak akan tercapai dan ia perlu dipertingkatkan agar penguasaan kognitif murid-murid dapat direalisasikan dalam melahirkan modal insan yang kreatif dan berdaya saing di peringkat global.Objektif utama yang dinyatakan oleh penulis bagi kajian ini adalah untuk meningkatkan penguasaan kemahiran saintifik dan minat terhadap sains. Oleh itu , guru harus memainkan peranan yang penting dalam menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih aktif supaya dapat menarik minat murid terhadap sains. Di dalam kajian ini, penulis telah mengkaji beberapa sikap terhadap sains. Antaranya sikap guru sains terhadap pengajaran guru di dalam dan luar kelas.Sikap guru ini akan diperhatikan dan dicontohi oleh murid dan ia menjadi pendorong kepada mereka ke arah pemikiran yang positif terhadap sains. Seterusnya, kerisauan terhadap murid-murid sains dapat ditonjolkan melalui sikap itu sendiri. Peratus kerisauan yang tinggi menunjukkan sikap murid-murid terhadap sains adalah negatif dan sebaliknya.Selain daripada itu, kepentingan guru dalam masyarakat juga menjadi faktor dimana ilmu yang diajar begitu penting di dalam kehidupan bermasyarakat dan seharian. Begitu juga dengan konsep kendiri yang positif yang menjadikan pengajaran dan pembelajaran sains lebih menarik dan menyeronokkan.Penulis juga mengetengahkan implikasi yang berlaku jika perancangan dibuat dengan teratur, ia akan membawa kepada literasi sains yang tinggi. Antara implikasi yang timbul ialah profil sikap saintifik yang menunjukkan pelajar mempunyai sikap saintifik yang tinggi. Kemahiran proses sains perlu dititik beratkan supaya sikap saintifik dapat dikembang dan disuburkan. Selain daripada itu penyemakan kurikulum pendidikan sains perlu supaya ia akan menjadi lebih relevan kepada murid. Pengajaran dan pembelajaran yang diwujudkan oleh guru perlulah lebih menarik supaya penyertaan murid akan lebih aktif dan bermakna.Pengalaman pembelajaran sains yang dialami oleh murid-murid didapati memberi kesan ke atas sikap terhadap sains dan sikap saintifik. Oleh itu menjadi tanggungjawab semua pihak iaitu guru, masyarakat, pentadbir dan ibu bapa untuk meningkatkan celik sains dikalangan murid-murid.

ULASAN KAJIAN TINDAKAN 2Kami telah membaca dan menganalisis satu kajian tindakan yang telah dijalankan oleh Nurzatulshima Kamarudin, Lilia Halim, Kamisah Osman dan T.Subahan Mohd Meerah berkaitan dengan pengurusan penglibatan pelajar dalam amali sains. Kajian ini mengfokuskan kepada kaedah pengajaran yang memberi peluang kepada murid-murid untuk menjalankan penyiasatan melalui perancangan, pelaksanaan dan perbincangan. Kajian ini melibatkan tiga orang guru sains yang berpengalaman dengan menggunakan pendekatan kualitatif ,mengumpul data melalui pemerhatian guru, temu bual murid dan analisis dokumen murid.Kajian ini bertujuan untuk mengkaji sejauh mana penglibatan murid dalam amali sains adalah tinggi apabila guru dapat menguruskan dan mengagihkan mereka dalam kumpulan yang kecil. Pengagihan tugasan juga memainkan peranan dalam penglibatan murid secara aktif dalam menjalankan amali sains ini. Kajian ini menunjukkan bahawa teguran dan ganjaran yang positif dan ikhlas dapat meningkatkan motivasi dan penglibatan murid dalam menjalankan amali sains.Ini terbukti dengan hasil dapatan kajian yang dibuat menunjukkan bahawa semua guru berusaha melibatkan semua murid dalam aktiviti amali yang diberikan. Murid akan berusaha dan bertanggungjawab bersama ahli kumpulan dalam mencapai objektif amali yang telah ditetapkan. Ini kerana jumlah murid yang terlibat dalam kumpulan adalah dalam jumlah yang kecil. Jadi arahan tugasan yang diberikan mestilah jelas dan tahap penglibatan murid dapat dinilai oleh ahli kumpulan itu sendiri.Di samping itu, pembelajaran melalui eksperimen lebih cepat berlaku kerana murid sendiri yang akan menjalankan penyiasatan. Melalui kaedah ini, penerapan pengetahuan kemahiran serta sikap saintifik dapat diterapkan melalui aktiviti yang dijalankan.Kajian menunjukkan teknik-teknik yang digunakan dapat menarik minat murid supaya mereka lebih aktif. Penerapan nilai-nilai murni dan ciri-ciri modal insan dapat diterapkan sama ada secara tersurat atau tersirat. Melalui kaedah yang digunakan ini, murid dapat merangka cara penyelesaian masalah dalam mengatasi masalah yang diwujudkan. Situasi ini dapat membantu pembentukkan insan yang lebih kritis dan kreatif serta berkemahiran dalam menyelesaikan masalah.Kaedah amali sains ini telah menjadi serampang tiga mata kepada elemen-elemen kurikulum iaitu pengetahuan, kemahiran saintifik dan nilai-nilai murni yang didapati menerusi aktiviti yang dijalankan.Tetapi banyak kajian yang menunjukkan bahawa guru-guru sains jarang sekali menggunakan amali sains dalam pengajaran. Jadi penglibatan murid tidak menyeluruh dan mereka tidak begitu serius dalam menjalankan amali. Kajian lanjut perlu dilakukan agar pelaksanaannya dapat mencapai objektif seperti yang diharapkan demi melahirkan lebih ramai modal insan yang celik sains.

RUMUSAN HASIL KAJIAN LEPASSetelah membaca, menganalisis dan meneliti kajian tindakan yang telah dijalankan , didapati bahawa matapelajaran Sains mampu menjadi mata pelajaran yang menarik dan menyeronokkan dan bermakna kepada murid. Ini kerana dalam pengajaran sains, kemahiran saintifik yang terdiri daripada kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif sering digunakan oleh guru ketika di dalam kelas atau ketika menjalankan amali. Melalui pendekatan ini murid lebih memahami sesuatu yang dipelajarinya dengan lebih mendalam. Dalam pengajaran sains kemahiran proses sains amat penting selain dapat menarik minat murid untuk mempelajari sains dan membuat murid dapat berfikir secara kreatif dan kritis. Murid bebas melakukan eksperimen untuk menguji sesuatu teori yang dipelajari semasa di dalam kelas. Secara tidak langsung, semasa menjalankan aktiviti ini, murid dapat merasai sendiri pengalaman dan dapat mengaitkan sesuatu konsep yang telah dipelajari semasa di dalam kelas. Di samping itu, kaedah kemahiran saintifik yang digunakan seperti kaedah eksperimen amat dinantikan oleh murid sekolah rendah. Ini kerana mereka dapat membina dan meneroka untuk mendapatkan sesuatu pengetahuan berkaitan sains. Guru hendaklah akur dan menyedari bahawa tahap pemikiran murid sekolah rendah ini masih terhad dan mempunyai pemikiran yang berbeza-beza di kalangan murid-murid. Guru perlu memupuk kemahiran saintifik seawal dari sekolah rendah kerana ia boeh membantu murid memahami prosedur dan piawai kerja seorang saintis..Daripada kajian yang berkaitan hands on, didapati bahawa minat murid serta penglibatan mereka sepanjang aktiviti berlangsung amat memberansangkan. Ini adalah kerana murid berpeluang merasai dan menyentuh sendiri bahan-bahan bantu mengajar yang disediakan oleh guru tanpa rasa takut atau bimbang di marahi. Hasilnya murid akan merasai pengalaman sendiri ketika mengendalikan alatan atau bahan. Ini akan menambahkan lagi minat murid terhadap pengajaran guru berkenaan seterusnya meminati mata pelajaran Sains sekolah rendah dan seterusnya dapat meningkat prestasi mata pelajaran Sains itu sendiri. Secara tidak langsung, ia dapat memperkembangkan potensi diri murid untuk berfikir secara mencapah. Kesimpulannya, kemahiran saintifik perlu didedah dan diterapkan pada setiap murid seawal di sekolah rendah lagi.Kemahiran saintifik perlu ada pada murid murid supaya mereka dapat meneroka, mencari dan memahami alam sekitar. Kemahiran ini juga membantu murid dalam mencari jawapan kepada sesuatu masalah. Jadi, matapelajaran Sains sekolah rendah bukannya matapelajaran yang sukar dan harus digeruni oleh murid-murid tetapi ia merupakan satu bidang yang seronok untuk diterokai sekiranya guru-guru pandai menggunakan kaedah dan pendekatan yang sesuai. Sebaliknya adalah menjadi tanggungjawab guru, sekolah, masyarakat, pentadbir dan pihak-pihak lain yang berkenaan untuk merancang dan merangka supaya matapelajaran ini menjadi matapelajaran yang diminati di sekolah sejajar dengan konsep celik sains dikalangan murid-murid.

RUJUKANAbdul Wahab Ismail. (1989). Falsafah Sains dan Teknologi. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Chan Fok Cheong, (1983). Ulangkaji dalam Sains. Kertas Kerja Seminar Sains Kebangsaan.

Jurnal Akademik Jilid XIII 2001/2002, Maktab Perguruan Terengganu.

Ng Soon Boon. (1999). Pemupukan Kemahiran Berfikir dan Strategi Berfikir Melalui Pengajaran dan Pembelajaran Sains. Kertas Kerja Seminar Pendidikan Kimia Kebangsaan.

Poh Siew Hiang. (1988), Pedagogi Sains. Penilaian dan Pengurusan Kurikulum Sains. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Stanley Laja Anak Jimbau. (2004). Mengkaji Minat dan Sikap Serta Cara-cara Meningkatkan Minat Murid-murid Terhadap Pembelajaran Sains di Sekolah Kebangsaan Bandaran No.3 Sibu. Dipetik dari laman sesawanghttp://www.ebookscenter.co.uk/7729664/Kajian-Tindakan-an-Sains.html pada 20 September 2012