UNIT 1 LATAR BELAKANG PSIKOLOGI SOSIAL -...
Transcript of UNIT 1 LATAR BELAKANG PSIKOLOGI SOSIAL -...
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
1
UNIT 1
LATAR BELAKANG PSIKOLOGI SOSIAL
Objektif unit: Selepas mempelajari unit ini anda akan dapat: 1. Menghuraikan mengenai latar belakang psikologi sosial 2. Membezakan teori-‐teori asas dalam psikologi sosial 3. Menjelaskan metodologi kajian dalam psikologi sosial
Kandungan: Topik 1: Pengenalan Topik 2: Apa itu psikologi sosial Topik 3: Pendekatan dan fokus psikologi sosial Topik 4: Kaedah yang digunakan dalam penyelidikan psikologi sosial Topik 5: Asas-‐asas teori psikologi sosial Topik 6: kaedah yang digunakan dalam penyelidikan psikologi sosial Topik 7: Penutup
Dalam kehidupan sehari-‐hari diri kita (pemikiran, perasaan, emosi dan tingkah laku) memang tidak terlepas daripada dipengaruhi oleh anasir-‐anasir yang datang daripada luar diri kita, seperti dari manusia-‐manusia lain yang berada dalam persekitaran sosial, dan juga oleh peristiwa yang berada dalam persekitaran fizikal. Kita menjadi diri kita sekarang ini (berpersonaliti seperti kita) adalah kuat dipengaruhi oleh anasir-‐anasir dari luar diri kita. Contohnya, tingkah laku agresif, tingkah laku prososial (menolong), sikap dan perubahan sikap, banyak dipengaruhi oleh orang lain dan persekitaran. Cuba anda bayangkan diri anda berada dalam situasi berikut. Pada waktu hujung minggu, anda mengambil kesempatan membeli barang dapur di pasar borong. Ketika leka memilih ikan di pasar borong tiba-‐tiba anda dikejutkan dengan teriakan “Beri laluan! Air panas! Air panas!”. Anda segera mengelak dan rupa-‐rupanya seseorang membawa troli berisi penuh sayuran. Anda lihat di sekeliling,
Topik 1: Pengenalan
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
2
orang ramai turut segera memberi laluan kepada penolak troli tersebut. Kemudian, setelah selesai urusan membeli di pasar tersebut, anda berehat seketika di sebuah kedai makan. Sambil menunggu pesanan teh tarik dan roti canai, anda membelek akhbar yang berada di atas meja kedai makan. Tiba-‐tiba datang seorang kanak-‐kanak berpakaian compang-‐camping bersama ibunya mendekati anda “Tolong saya pakcik... dari semalam saya belum makan lagi. Ini ibu saya, dia buta.” Kanak-‐kanak tersebut menghulur tin buruk dan anda lihat ada beberapa duit RM1 dan syiling di dalamnya. Anda melihat wajah ibunya memang dalam keadaan lapar dan mengharap bantuan. Apakah reaksi anda pada waktu itu? Ketika anda makan roti canai dan teh tarik, adakah anda masih berfikir tentang watak dua beranak tersebut? Mungkin anda merasa kasihan. Mungkinkah juga anda berfikir bahawa kedua beranak itu benar-‐benar dalam kesusahan dan mungkinkah anda terfikir bahawa ia adalah satu penipuan. Ketika sedang memandu pulang ke rumah, tiba-‐tiba seseorang memotong barisan di lampu isyarat. Anda lihat kereta tersebut melanggar kenderaan lain tanpa melibatkan kehilangan nyawa dan berlaku pertengkaran kecil yang membawa kepada kesesakan lalu lintas. Mungkinkah situasi-‐situasi sebegini mempengaruhi kehidupan anda pada hari tersebut?
Fenomena sosial yang digambarkan dalam topik pengenalan di atas adalah perkara yang biasa berlaku dalam kehidupan kita. Sama ada kita sedari atau pun tidak, sebenarnya tingkah laku kita secara langsung atau tidak dipengaruhi persekitaran sosial dan fizikal di mana kita berada. Pernahkah kita berfikir Bagaimanakah seseorang itu cuba mempengaruhi orang lain? Mengapa kita boleh tertarik kepada sesetengah orang dan tidak kepada yang lain? Mengapa kita memerlukan teman untuk melakukan aktiviti harian? Jika kita perhatikan, kehidupan seharian kita adalah saling dipengaruh dan mempengaruh persekitaran (sosial dan fizikal) di mana kita berada. Semua ini adalah berkait dengan psikologi sosial. Psikologi sosial memberi tumpuan utama dalam memahami ‘bagaimana’ dan ‘mengapa’ seseorang itu berkelakuan, berfikir, dan berperasaan dalam mana-‐mana situasi sosial. Psikologi sosial adalah satu bidang ilmu yang mengkaji secara saintifik bagaimana fikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang individu dipengaruhi dan berkait antara satu sama lain. Ahli psikologi sosial mengkaji bagaimana manusia mempengaruhi antara satu dengan lain dari segi fikiran, tingkahlaku dan perasaan dalam apa saja situasi sosial. Ahli psikologi sosial mengkaji tentang pemikiran (kognitif), perasaan (afektif) dan kelakuan (tingkahlaku) individu yang dipengaruhi sama ada:
• Individu terhadap individu lain • kumpulan terhadap individu atau individu terhadap kumpulan • kumpulan terhadap kumpulan yang lain
Ini berdasarkan prinsip asas psikologi sosial iaitu gabungan antara sosiologi (mengkaji kumpulan) dengan psikologi (mengkaji individu).
Topik 2: Apa itu Psikologi Sosial
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
3
Psikologi sosial adalah satu bidang ilmu yang mengkaji secara saintifik bagaimana fikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang individu dipengaruhi dan berkait antara satu sama lain.
( Taylor, Peplau & Sears, 2006)
Adakah psikologi sosial itu sebagai satu sains? Ramai yang masih keliru dan percaya bahawa ‘sains’ hanya merujuk kepada bidang-‐bidang yang menggunakan bahan radas di makmal seperti kimia, biologi dan fizik. Bagaimana pula dengan kajian tentang perasaan, proses mental manusia, cinta dan apa saja berkaitan dengan perhubungan manusia dikatakan sebagai sains? Secara realitinya, sains bukan hanya merujuk kepada sesuatu bidang tertentu sahaja. Sesuatu bidang itu dikelaskan sebagai sains sekiranya mempunya dua perkara, iaitu: (1) mempunyai set nilai, dan (2) menggunakan kaedah saintifik dan sistematik dalam mencapai objektif penyelidikan. Sehubungan itu, adakah bidang psikologi sosial mempunyai nilai dan menggunakan kaedah saintifik? Jawapannya ialah ‘ya’. Psikologi sosial menggunakan kaedah saintifik untuk memahami dan mengenalpasti bagaimana kita mempersepsi individu perseorangan/ berkumpulan serta persekitaran sosial, bagaimana kita mempengaruhi orang lain, dan bagaimana tingkahlaku dan personaliti kita dipengaruhi persekitaran. Terdapat empat nilai asas yang menjadikan kesemua bidang ilmu termasuk psikologi sosial bersifat saintifik:
Ketepatan Komitmen untuk mendapatkan dan menilai maklumat berkaitan dunia (termasuk tingkahlaku sosial dan fikiran) secara berhati-‐hati, tepat, sahih dan emperikal.
Objektiviti Komitmen untuk mendapatkan maklumat atau menilai sesuatu maklumat yang boleh diukur dan bebas daripada bias.
Skeptisme Komitmen untuk menerima hasil/keputusan penilaian secara tepat hanya jika ianya telah diuji berkali-‐kali ketepatannya.
Berfikiran terbuka
Komitmen untuk menukar atau menerima pandangan sekiranya dapatan atau penemuan yang terkini membuktikan pandangan kita yang asal adalah tidak tepat.
Psikologi sosial mengaplikasikan nilai-‐nilai tersebut di atas kasikannya dalam memahami sifat tingkahlaku sosial dan pemikiran sosial.
Topik 3: Psikologi Sosial Sebagai Satu Sains
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
4
Psikologi umumnya didefinisikan sebagai sains yang mengkaji proses mental dan tingkah laku manusia. Psikologi sosial pula secara ringkas didefinisikan sebagai sains yang mengkaji pengaruh persekitaran terhadap proses mental dan tingkah laku. Dengan demikian terdapat tiga konsep asas yang perlu diperincikan: sains, proses mental dan tingkah laku. Proses mental pula merupakan aktiviti yang berlaku di dalam minda manusia dan tidak dapat diperhatikan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1. Manakala tingkah laku merupakan kesemua tindakan atau tingkah laku yang dapat dilihat.
Rajah 1: Komponen proses mental
Tindakan dan personaliti seseorang boleh mempengaruhi tindakan dan pemikiran kita. Contohnya, sekiranya anda sedang beratur panjang untuk berususan di kaunter bank, tiba-‐tiba seseorang memotong barisan anda. Bagi seorang perokok pula, mereka tahu akan bahaya merokok berdasarkan tanda amaran dan gambar kesan merokok pada kotak rokok. Tetapi tetap membeli dan merokok. Banyak lagi contoh realiti dalam kehidupan kita yang menunjukkan sesuatu fenomena sosial sama ada yang dirancang atau tidak. Kita juga sering terpengaruh dengan penonjolan fizikal seseorang. Adakah anda akan memberi layanan yang sama sekiranya bertemu dengan dua orang bayi yang mana seorang adalah comel, putih gebu dan berpakaian mahal dan wangi. Manakala seorang lagi comot, berhingus kering, kulit gelap dan berpakaian berjenama pasar malam? Bagaimanakah layanan anda terhadap kedua-‐dua bayi tersebut? Banyak faktor yang mempengaruhi tindakan dan pemikiran seseorang. Antaranya:
Proses Mental
Pemikiran (ingatan, fikiran, persepsi, pentaakulan,
penilaian) pembentukan imej, dan kepercayaan) Emosi
(sedih, gembira, risau)
Perasaan (benci, suka)
Motif (niat atau hasrat)
Sub topik 3.1: Psikologi Sosial, Proses Mental dan Tingkah laku Manusia
Sub topik 3.2: Psikologi Sosial Memahami Sebab-‐Sebab Berlakunya Tingkah Laku dan Pemikiran
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
5
a. Faktor proses kognitif: Proses kognitif memainkan peranan penting dalam
tingkahlaku sosial dan pemikiran sosial. Ahli psikologi sosial tahu tentang kepentingan proses kognitif dan sedar bahawa dalam kita cuba memahami tingkahlaku individu dalam situasi sosial, kita mestilah memahami pemikiran individu tersebut terhadap situasi sosial tersebut. Contohnya: Sesuatu itu penting bagi kita, tetapi mungkin tidak bagi orang lain. Kelewatan selama 15 minit dalam temujanji mungkin merupakan suatu perkara besar bagi kita, tetapi mungkin ia adalah perkara biasa bagi orang lain!
b. Faktor persekitaran: Keadaan fizikal persekitaran turut mempengaruhi perasaan,
pemikiran dan tingkahlaku seseorang. Contohnya: Perasaan kita mungkin berbeza apabila melintasi kawasan perkuburan pada waktu siang berbanding pada waktu malam. Corak pemanduan pengguna di jalan raya mungkin juga berbeza pada waktu pagi berbanding pada waktu tengahari?
c. Faktor budaya: Budaya merujuk kepada suatu sistem yang dikongsi bersama dari segi
bahasa, makna, persepsi, dan kepercayaan setiap individu yang berada dalam sesuatu kelompok atau kumpulan. Faktor budaya semakin menjadi tumpuan bagi penyelidik psikologi tingkahlaku manusia.
d. Faktor biologi: Terdapat ahli psikologi sosial yang mengkaji hubungan faktor biologi dengan tingkahlaku dan pemikiran sosial. Sebenarnya, ianya dikenali psikologi genetik yang menyiasat potensi peranan genetik dalam pelbagai aspek tingkahlaku manusia. Mengapa seseorang kelihatan lebih menarik daripada orang lain? Ada juga yang kelihatan menarik kerana mempunyai potongan badan yang menarik, wajah yang jelita, anak mata bewarna biru dan lain-‐lain sifat semulajadi yang diwarisi.
Tingkahlaku individu yang terlibat dalam interaksi sosial boleh dianalisis secara saintifik berdasarkan tiga pendekatan atau peringkat analisis, iaitu: a. Analisis peringkat individu digunakan oleh ahli psikologi klinikal dan personaliti. Analisis
ini menerangkan tingkahlaku seseorang individu merupakan satu ciri unik dan juga sebagai kesan pengalaman silam yang mempengaruhi tingkahlaku meraka sekarang. Antara ciri-‐ciri individu yang dianalisis ialah sikap, keperluan, tret dan perasaan. Tret personaliti dan motif boleh menerangkan bagaimana seseorang itu bertingkahlaku seperti yang mereka lakukan sekarang dan mengapa dua individu yang berbeza menunjukkan reaksi tingkahlaku yang berbeza dalam situasi sosial yang sama.
b. Analisis peringkat sosial pula digunakan oleh ahli sosiologi, ahli ekonomi, ahli sains
politik dan lain-‐lain pakar bidang sains sosial lain. Pakar-‐pakar tersebut memberi tumpuan terhadap perhubungan antara individu-‐individu. Setiap orang mempunyai
Topik 4: Pendekatan dan Fokus Psikologi Sosial
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
6
status sosial dalam perhubungan tersebut. Setiap status merupakan jangkaan-‐jangkaan bagaimana seseorang yang berstatus berkenaan harus berfikir, berasa dan bertingkah laku. Contohnya, kelompok lelaki mungkin berbeza dengan kelompok wanita dari segi corak pemanduan di atas jalan raya. Kelompok remaja pula berbeza dengan kelompok dewasa dari segi nilai terhadap insiden rasuah. Tingkahlaku sosial boleh dihuraikan berdasarkan konflik antara kumpulan/etnik, kesukaran sesuatu tempoh masa seperti zaman kemelesetan ekonomi, polisi kerajaan atau perubahan teknologi. Matlamat utama analisis sosial adalah untuk mengenalpasti hubungan antara faktor tekanan sosial yang luas dan pola umum dengan tingkahlaku sosial. Bagi mengenalpasti kadar jenayah di sesebuah tempat, penyelidik sains sosial akan cuba mengaitkan dengan faktor keadaan semasa seperti kemiskinan, migrasi atau apa saja perubahan yang berlaku pada masyarakat/komuniti tersebut pada masa itu.
c. Analisis kebudayaan adalah pada idea-‐idea yang telah dipersetujui bersama mengenai
kehidupan sosial dan bukan sosial manusia. Ini termasuk sistem-‐sistem kepercayaan yang kompleks; begitu juga nilai-‐nilai yang diletakkan oleh ahli-‐ahli masyarakat pada pelbagai jenis aktiviti.
Ketika awal era 1900-‐an, terdapat tiga perspektif teoritikal utama yang dibentuk oleh ahli-‐ahli psikologi. Antara teori-‐teori utama psikologi yang telah menyumbangkan secara bererti pada perkembangan disiplin psikologi sosial ialah (a) teori psikoanalisis, (b) teori kognitif, dan (c) teori behaviourisme. a. Teori Psikoanalisis Teori psikoanalisis memberikan pengaruhnya yang kuat pada perkembangan bidang psikologi sosial di peringkat awal. Ahli-‐ahli teori psikoanalisis melihat personaliti seseorang sebagai hasil akhir gerak kuasa dalaman yang bertindak dalam diri individu. Salah satu andaian asas teori ini ialah bahawa kebanyakan tingkah laku manusia bergantung pada naluri-‐naluri sejadi yang terdapat dalam diri individu. Teori ini juga menekankan pentingnya penentu-‐penentu tingkahlaku bawah-‐sedar. Faktor-‐faktor bawah-‐sedar ini merupakan faktor yang di luar daripada kesedaran individu, dan berperanan mengatur tindakannya. Ini tidak bermakna teori-‐teori psikoanalisis mengetepikan pengalaman sedar, malahan teori-‐teori tersebut berpegang bahawa pengalaman sedar mesti ditafsir berdasarkan kesimpulan-‐kesimpulan yang dibuat pada faktor-‐faktor bawah-‐sedar. Kaedah analisis adalah menggunakan kaedah kaji diri, iaitu kaedah pengkaji meminta individu untuk menerang atau melaporkan secara lisan pengalaman lepas dan sekarang. Pengalaman-‐pengalaman sedar subjektif memainkan peranan yang penting dalam teori-‐teori psikoanalisis. Dengan menganggap manusia sebagai aktif dan bukannya reaktif, teori psikoanalisis cenderung untuk mengurangkan kepentingan keadaan-‐keadaan rangsangan luaran sebagai penentu-‐penentu tingkah laku. Sebaliknya teori ini memberi penekanan pada kepentingan keadaan-‐keadaan dalaman manusia. Dengan kata lain usaha-‐usaha untuk menganalisis tingkah laku
Topik 5: Asas-‐asas Teori Psikologi Sosial
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
7
manusia cenderung untuk memfokus pada keadaan dalaman manusia daripada memberikan perhatian terhadap keadaan-‐keadaan luaran, seperti keadaan-‐keadaan tanda saran, ganjaran, atau hukuman-‐hukuman. Beberapa tokoh tertentu dikaitkan dengan teori psikoanalisis ini adalah seperti berikut:
• Sigmund Freud, menumpukan perhatiannya pada kepentingan identifikasi kanak-‐kanak terhadap ibu-‐bapanya. Ketika kanak-‐kanak berada dalam proses asimilasi dan sosialisasi, orang lain yang signifikan (misalnya, ibu dan bapa) bertindak sebagai agen penyalur budaya.
• Alfred Adler, salah seorang anak murid Freud, telah memberikan tumpuan khusus pada konsep kuasa, iaitu dari segi persaingan kuasa antara perseorangan.
• Karen Horney, seorang neo-‐Freudion, memberikan tumpuan pada jangkaan-‐jangkaan budaya terhadap peranan-‐peranan tingkah laku lelaki dan wanita dalam masyarakat.
• Erich Formm pula telah menyumbangkan beberapa perbincangan tentang perhubungan individu dengan masyarakat, khususnya memberi penekanan pada tingkah laku ambivalens (pertentangan) dalam kalangan individu dalam bertindak balas pada tekanan sosial dan permintaan-‐permintaan masyarakat.
b. Teori Kognitif Teori kognitif dalam psikologi sosial moden mengemukakan andaian mengenai jenis-‐jenis pemerhatian yang seharusnya dilakukan pada tingkahlaku manusia. Teori ini menekankan pada proses kognitif iaitu proses cara mana manusia mendapatkan maklumat dan memahami tentang alam ini. Mengikut pandangan teori ini, dalam menganalisis tingkahlaku individu, kita perlu terlebih dahulu memahami tentang cara bagaimana individu memperleh pengalaman-‐pengalaman dan bagaimana pengalaman-‐pengalaman tersebut disusun, diproses dan ditafsir. Teori ini menitikberatkan pengalaman sedar. Teori ini juga mendalwa bahawa struktur dan susunan kognitif merupakan salah satu sumber motivasi yang menggerakkan dan mengarahkan tingkahlaku. Ini berbeza dengan pandangan teori psikoanalisis yang lebih menekankan pengaruh bawah-‐sedar sebagai penentu tingkahlaku. Oleh kerana teori kognitif menekankan organisasi pengalaman sebagai aspek tunjang fungsi psikologi, maka keadaan-‐keadaan dalam persekitaran yang mempengaruhi pengalaman-‐pengalaman diberikan perhatian penting. Keadaan-‐keadaan rangsangan luaran dianggap penting apabila ianya memberi kesan kepada pengalaman individu. Ini kerana tidak semua rangsangan memberikan kesan yang sama pada individu-‐individu. Antara tokoh terkenal dalam teori ini ialah Kurt Lewin menerusi Teori Lapangan Lewin. Dalam teori tersebut konsep ruang hidup digunakan untuk menerangkan keseluruhan pengalaman individu. Lewin menyedari bahawa ruang hidup seseorang (yang dialami) mungkin atau tidak mungkin sesuai dengan keadaan-‐keadaan fizikal sebenar persekitaran. Teori-‐teori kognitif lain yang melibatkan pelbagai aspek tingkah laku telah dibentuk oleh Festinger (1957), Newcomb (1953), dan Heider (1958). Hampir kesemua teori kognitif dalam psikologi sosial moden berasal dari teori lapangan Lewin dan teori Gestalt. c. Teori Behaviourisme Teori-‐teori yang tergolong dalam teori behaviourisme begitu berperanan dalam psikologi sosial sezaman. Ini kerana kebanyakan aspek yang dibincangkan dalam bidang psikologi sosial melibatkan pengaruh dan hubungan sosial, iaitu merupakan tumpuan utama teori behaviourisme. Falsafah-‐falsafah sains yang diberi nama positivisme logik dan empirisme
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
8
saintifik mendasari kebanyakan teori behaviourisme ini. Andaian asas falsafah-‐falsafah tersebut ialah bahawa pengetahuan individu dapat dihubungkan dengan pengalamannya; dan hubungan tersebut boleh diperiksa dan disahkan. Ini bermakna ahli-‐ahli teori ini menolak sebarang konsep yang tidak membolehkan pemerhatian dilakukan ke atasnya. Dengan perkataan lain, ahli behaviorisme mengkaji tingkahlaku yang boleh diperhatikan. Asas pendekatan behaviourisme diambil daripada kajian-‐kajian dan tulisan-‐tulisan awal Thorndike dan Ivan Pavlov. Thorndike menekankan hakikat bahawa tingkah laku dibentuk dan ditentukan oleh konsekuennya atau kesannya. Terdapat dua konsekuen penting tingkah laku, iaitu ganjaran dan hukuman. Ganjaran (konsekuen positif dan diingini) beroperasi untuk memperteguh tindakan-‐tindakan tertentu; sebaliknya hukuman (konsekuen negatif dan tidak diingini) beroperasi untuk menghapuskan terjadinya tindakan-‐tindakan tertentu (pelaziman operan).Ringkasnya, pelaziman operan berpandangan bahawa personaliti manusia adalah dibentuk melalui pemberian ganjaran atau hukuman. Pavlov pula menekankan hakikat bahawa perhubungan mudah antara peristiwa-‐peristiwa yang berlaku sebelum dengan peristiwa-‐peristiwa yang berlaku bersama-‐sama dengan tingkah laku sekarang berperanan membentuk tingkah laku akan datang, yakni yang sama seperti tingkah laku sekarang sekiranya kondisi-‐kondisi yang sama wujud lagi di masa akan datang (pelaziman klasik). Ringlasnya, pelaziman operan merupakan pandangan dimana manusia membentuk personalitinya melalui perhubungan perkaitan – manusia takut pada waktu malam, bukan kerana malam tersebut (kerana gelap), tetapi malam adalah dikaitkan dengan adanya hantu, yang manusia takuti. Dua aliran pemikiran ini masih dominan sekarang ini, khususnya dalam mempengaruhi pengikut-‐pengikut behaviourisme. Prinsip peneguhan telah dijadikan asas oleh tokoh-‐tokoh seperti Miller dan Dollard (1941); begitu juga oleh B. F. Skinner (1938) dalam kajiannya pada tingkah laku operan. Teori-‐teori behaviourisme mula mempengaruhi bidang psikologi sosial secara berkesan di tahun-‐tahun 1950an. Antara tokoh-‐tokoh yang terpengaruh ketika itu ialah Miller dan Dollard (1950) (telah membentuk teori-‐teori personaliti dan psikoterapi). Robert Sears (1957), John Whiting (1953), dan yang lain telah menerima guna behaviourisme sebagai satu pendekatan untuk mengkaji pemeliharaan anak dan proses sosialisasi. Kemudiannya, tokoh-‐tokoh ini, juga yang lain, menggunakan pendekatan behaviourisme dalam menganalisis fenomena-‐fenomena lain yang lebih kompleks seperti peniruan (Dollard dan Miller, 1950), peneguhan sosial (Gewirtz dan Baer, 1958), dan identifikasi (Bandura dan Walters, 1963).
Ahli-‐ahli psikologi sosial menggunakan kaedah saintifik dalam memperolehi ilmu. Mereka bergantung kepada pemerhatian-‐pemerhatian yang sistematik dan terkawal dalam memeriksa sesuatu tingkah laku manusia. Dengan menggunakan kaedah saintifik yang mengikut prosedur-‐prosedur tertentu sesuatu ilmu itu lebih dipercayai. Metodologi adalah satu sistem peraturan, prinsip dan prosedur yang memandu penyiasatan pada sesuatu fenomena. Metodologi atau perkaedahan penyelidikan menyediakan panduan-‐panduan untuk mengumpul bukti-‐bukti mengenai fenomena yang berlaku, dan untuk menerang mengapa ia berlaku. Dengan menggunakan kaedah saintifik hasil-‐hasil kajian boleh disemak oleh penyelidik-‐penyelidik lain.
Topik 6: Kaedah Yang Digunakan Dalam Penyelidikan Psikologi Sosial
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
9
Dalam kes psikologi sosial, objek kajian saintifiknya adalah tingkah laku dan proses mental. Kita cuba memahami tingkah laku (khususnya tingkah laku manusia) melalui pembentukan idea yang sistematik dan pengujiannya melalui penyiasatan empirikal. Penyiasatan empirikal bermaksud sesuatu bentuk penyelidikan bagaimana pemerhatian dibuat, dan dicatatkan dengan cara yang orang lain boleh memeriksa kembali, mengenai apa yang sebenarnya terjadi dalam dunia sebenar mengenai perhubungan manusia. Ahli-‐ahli psikologi sosial bergantung kepada pemerhatian-‐pemerhatian yang sistematik dan terkawal dalam mengkaji tingkah laku manusia. Kebanyakan manusia ingin tahu apa yang sedang berlaku di sekitar mereka. Mereka membuat pemerhatian dan membina penerangan mengenai apa yang mereka lihat. Langkah-‐langkah Kajian Saintifik Terdapat langkah-‐langkah tertentu dalam menjalankan kajian saintifik, seperti dihuraikan di bawah ini:
⇒ Hipotesis. Hipotesis adalah penerangan tentatif tentang sesuatu fakta. Untuk memastikan sama ada sesuatu hipotesis itu boleh diterima atau ditolak ianya perlu diuji terlebih dahulu. Satu pengujian hipotesis yang terkawal dalam mana satu atau lebih faktor (pembolehubah) dimanipulasi dikenali sebagai eksperimen.
⇒ Teori. Penerangan ke atas sesuatu fenomena yang melibatkan sebilangan hipotesis dipanggil teori. Teori saintifik secara tipikalnya mengandungi satu set konsep asas dan pernyataan-‐pernyataan mengenai perhubungan antara konsep-‐konsep tersebut. Sesuatu teori adalah lebih umum daripada hipotesis dan mempunyai fungsi untuk menyusun hipotesis-‐hipotesis dan mentafsirkan fakta-‐fakta dalam bentuk-‐bentuk yang berhubungan dan bermakna. Walau bagaimana pun teori boleh diuji melalui ramalan-‐ramalan atau andaian-‐andaian yang mempunyai hipotesis-‐hipotesis khusus. Secara tipikalnya, sesuatu kajian saintifik menyediakan ujian-‐ujian ke atas satu kepelbagaian hipotesis yang berkaitan dengan sesuatu teori, dan pengkaji-‐pengkaji menilai sesuatu teori dalam konteks satu gabungan bukti yang lebih besar. Hubungan antara teori dan hipotesis dalam penyelidikan psikologi sosial ditunjukkan seperti dalam Rajah 1.
Sub topik 6.1: Kaedah Penyelidikan Saintifik
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
10
Rajah 1: Teori dan Hipotesis dalam Penyelidikan
Sumber: Lippa (1994) dalam Ma’rof (hal. 24; 2001)
Reka bentuk Penyelidikan dalam Psikologi Sosial Ahli-‐ahli psikologi sosial menggunakan kaedah penyelidikan yang juga digunakan oleg ahli-‐ahli sains sosial lain dalam memperolehi ilmu dan dalam menyelesaikan masalah masnusia. Kaedah-‐kaedah penyelidikan dalam psikologi sosial dibahagi kepada dua iaitu kaedah pemerhatian dan kaedah eksperimen. Kajian berdasarkan kaedah pemerhatian adalah kajian lapangan, pemerhatian ikut serta, pengukuran secara tidak langsung, penyelidikan arkib, penyelidikan tinjauan (survei) dan penyelidikan korelasi (korelasi). Manakala kajian yang menggunakan kaedah eksperimen adalah eksperimen makmal, eksperimen lapangan, dan eksperimen semulajadi. a. Kajian lapangan Dengan menggunakan kaedah kajian lapangan pengkaji memerhati, dengan beliau seboleh mungkin tidak mempunyai tujuan mengubah tingkah laku subjek-‐subjek yang diperhatikan. Kaedah kajian lapangan memberi kelebihan tertentu kepada pengkaji apabila mengkaji manusia dalam persekitaran semula jadi. Dalam persekitaran sedemikian manusia yang diperhatikan bertingkah laku tanpa menyedari bahawa tingkah lakunya diperhatikan. Dengan demikian mereka bertingkah laku secara semula jadi, tidak dibuat-‐buat. Tetapi kekurangan yang jelas ialah kajian lapangan ini membataskan kawalan penyelidik kepada banyak faktor yang berpengaruh, terdapat di dalam lapangan atau persekitaran di mana sesuatu kajian dijalankan.
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
11
b. Pemerhatian ikut serta Pemerhatian ikut serta adalah satu kaedah pengkaji turut bersama-‐sama dalam kehidupan orang yang dikaji. Misalnya dalam mengkaji ideologi, ajaran dan kegiatan sesuatu kumpulan ‘pertubuhan bawah tanah’ seseorang pengkaji akan melibatkan diri dan seterusnya turut sama dalam aktiviti-‐aktiviti kumpulan tersebut. Ketika bersama-‐sama dengan kumpulan berkenaan, pengkaji memerhati dan mencatat maklumat-‐maklumat yang diperlukan. Faedah utama kaedah pemerhatian ikut serta ialah kaedah ini memberi peluang kepada pengkaji untuk lebih mendekati fenomena yang tidak boleh didekati dengan cara lain. Dengan menjadi ahli kumpulan ‘pertubuhan bawah tanah’ dalam contoh di atas ahli-‐ahh psikologi sosial berupaya mengetahui dengan lebih dekat mengenai cara-‐cara orang dalam kumpulan tersebut berfikir, bertindak dan seumpamanya. Walau bagaimana pun kelemahan kaedah ini pula ialah kemungkinan kehadiran pengkaji, sekiranya disedari oleh subjek-‐subjek kajian boleh mempengaruhi tingkah laku mereka (kesan hawthorne), dan dengan demikian tingkah laku sebenar yang diharapkan untuk dikaji sukar dapat diperhatikan. c. Pengukuran secara tidak langsung (Tanpa penonjolan diri) Pengukuran Secara Tidak Langsung membolehkan ahli-‐ahli psikologi sosial menilai fakta-‐fakta yang berkaitan tanpa secara langsung mengukurnya. Melalui kaedah ini subjek-‐subjek tidak menyedari pemerhatian yang dilakukan. Ini kerana dalam membuat pengukuran tingkah laku subjek, pengkaji tidak menampilkan dan mendedahkan dirinya kepada mereka. Sebagai contoh, bilangan botol atau tin minuman keras (bir) yang terdapat di tempat pembuangan sampah subjek boleh dijadikan indikator kekerapan subjek meminum bir dalam sehari atau seminggu. Faedah utama kaedah ini ialah bahawa ia memberi peluang kepada ahli-‐ahli psikologi sosial untuk mengukur tingkah laku subjek yang dikaji tanpa mencampurtangani kehidupan mereka. Di pihak lain kita tidak sentiasa pasti sama ada melalui kaedah ini pengkaji dapat benar-‐benar mengukur apa yang sebenarnya ingin diukur. Misalnya banyaknya kuantiti bilangan botol minuman keras yang diminum, dan tidak semestinya menggambarkan subjek seorang pemabuk. Mungkin dia pengumpul botol dan tin! Dengan demikian, faktor-‐faktor luaran boleh mempengaruhi kebolehpercayaan hasil-‐hasil kajian. Persoalan-‐persoalan etika juga boleh diutarakan mengenai beberapa bentuk kaedah pengukuran secara tidak langsung ini. Kita sebagai pengkaji mungkin berasa bersalah apabila melanggar bahagian-‐bahagian peribadi orang-‐orang yang dikaji tanpa kesedaran dan kerelaan mereka.
d. Penyelidikan arkib Penyelidikan arkib biasanya menggunakan maklumat-‐maklumat yang telah sedia terkumpul untuk tujuan lain. Negara kita juga mempunyai Arkib Negara yang menyimpan pelbagai jenis maklumat untuk tujuan rujukan. Ahli-‐ahli psikologi sosial juga, untuk sesetengah kajiannya, menggunakan data-‐data arkib sebagai asas kajian mereka. Laporan-‐laporan polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan seumpamanya boleh digunakan untuk mengkaji masalah-‐masalah yang berkaitan dengan psikologi sosial, seperti masalah penderaan anak, tingkah laku langsang di kalangan remaja dan seumpamanya.Antara kelebihan kaedah ini ialah kebolehdapatan data, dan mengurangkan kos dalam mendapatkan data yang berkaitan. Kemungkinan besar data seperti ini tidak dapat diperolehi melalui cara lain. Namun salah satu kelemahan dalam menggunakan kaedah ini ialah ketidakupayaan ahli-‐ahli psikologi sosial membentuk jenis-‐jenis ukuran yang sesuai dengan matlamat kajian mereka. Pihak
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
12
polis tidak akan bertanya soalan-‐soalan yang sama atau mengumpulkan maklumat yang sama mengenai orang yang disyaki sebagaimana seorang ahli psikologi sosial yang sedang menjalankan penyiasatan saintifik. Rekod-‐rekod polis juga adalah hasil usaha pegawai-‐pegawai yang berbeza-‐beza, yang mungkin menjalankan tugas dengan cara yang berbeza. Dengan demikian, pengumpulan data adalah tidak sistematik dan tidak terkawal. e. Penyelidikan tinjauan Kebanyakan kajian dalam bidang sains sosial dijalankan dengan menggunakan kaedah tinjauan atau survei. Kaedah tinjauan melibatkan sebahagian kecil orang (dipanggil sampel) daripada sejumlah orang yang menjadi unit kajian (dipanggil populasi). Dengan demikian kejayaan kajian tinjauan salah satunya bergantung kepada kaedah dalam pemilihan sebahagian kecil orang-‐orang tersebut (sampel). Orang-‐orang yang dipilih untuk menyertai kajian dipanggil responden. Maklum balas daripada responden kepada soalan atau temu bual yang dijalankan menjadi asas dalam membuat pernyataan-‐pernyataan atau kesimpulan-‐kesimpulan umum mengenai keseluruhan populasi yang responden wakili. Faedah utama kaedah penyelidikan tinjauan ialah kaedah ini memberi peluang kepada penyelidik menilai populasi secara keseluruhan, misalnya apakah tanggapan populasi (contohnya masyarakat atau penduduk) pada isu-‐isu tertentu, dan bagaimana mereka bertingkah laku. f. Penyelidikan korelasi (korelasi) Korelasi adalah salah satu kaedah statistik yang mengukur darjah perkaitan antara set-‐set data. Jenis statistik ini mengukur darjah dalam mana perubahan dalam nilai salah satu pembolehubah berkaitan dengan perubahan-‐perubahan dalam pembolehubah-‐pembolehubah lain. Sebagai contoh, bilangan jam yang penonton-‐penonton habiskan dengan menonton program-‐program ganas di televisyen mungkin mempunyai hubungan dengan kekerapan tingkah laku langsang mereka. Kelebihan utama penyelidikan ini ialah ianya salah satu cara yang cepat dan murah untuk menentukan korelasi antara banyak pembolehubah. Korelasi mungkin memberitahu kita mengenai perhubungan-‐perhubungan yang tidak boleh dikaji melalui cara lain. Namun demikian, kajian korelasi bukanlah kajian sebab-‐akibat. Contohnya, sekiranya terdapat korelasi yang signifikan antara obesiti dengan stress. Kita tidak boleh menyatakan bahawa obesiti menyeban stress atau sebaliknya. Ini menerlukan analisis lanjutan yang dinamakan sebagai ‘analisis regresi’ iaitu analisis penentuan faktor penyebab terhadap sesuatu pembolehubah. g. Eksperimen makmal Sesuatu eksperimen adalah satu pengujian pada sesuatu hipotesis yang memerlukan perbandingan berancang antara dua atau lebih keadaan. Orang yang menjalankan ujian dipanggil pengeksperimen. Peserta dalam kajian dipanggil subjek. Faktor-‐faktor yang dimanipulasikan oleh pengeksperimen dinamakan pembolehubah bebas. Kesan pembolehubah bebas pada sesetengah tingkah laku diukur, dan dinamakan pembolehubah bersandar. Kelebihan utama eksperimen makmal ialah bahawa melalui kaedah ini membolehkan penemuan mengenai perhubungan antara sebab (pembolehubah bebas) dan akibat (pembolehubah bersandar). Ini adalah matlamat utama sains, dan dengan demikian juga dapat menerangkan mengapa eksperimen makmal adalah kaedah yang sering dipilih dan disukai oleh ahli-‐ahli psikologi sosial, khususnya mereka yang berorientasikan psikologi. Makmal dapat menyediakan pengeksperimen dengan kawalan yang teliti pada pemilihan subjek, dan seterusnya dapat menentu dan mengawal pembolehubah-‐pembolehubah yang
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
13
tidak diambil kira dalam eksperimen. Kawalan yang ketat mestilah diperseimbangkan dengan prosedur yang dibentuk bina untuk melahirkan "tingkah laku sebenar" subjek-‐subjek. Salah satu cara untuk memastikan kesahan luaran eksperimen makmal adalah dengan membandingkan hasil-‐hasil eksperimen tersebut dengan hasil-‐hasil kajian yang dijalankan pada situasi sebenar (di luar makmal). h. Eksperimen lapangan Eksperimen lapangan merupakan pengujian hipotesis yang dijalankan di bawah keadaan-‐keadaan kehidupan sebenar subjek. Penyelidik yang menjalankan eksperimen lapangan cuba melihat dua situasi sekaligus, yakni situasi makmal dan situasi sebenar. Eksperimen jenis ini menggabungkan tindakan kawalan dengan tingkah laku yang sesuai yang berlaku tanpa unsur-‐unsur rekaan yang terdapat dalam makmal. Pengeksperimen tidak perlu bersembunyi daripada diketahui subjek, dan subjek pula biasanya tidak menyedari bahawa mereka menyertai sesuatu eksperimen. Situasi-‐situasi lapangan menawarkan kepada ahli-‐ahli psikologi sosial peluang untuk mengkaji tingkah laku yang mungkin sukar disiasat melalui eksperimen makmal. Walau bagaimana pun, kajian ini nampaknya hilang kuasa kawalannya pada pembolehubah-‐pembolehubah luaran lain yang mungkin mencampuri pembolehubah bersandar, yang seterusnya boleh menjejaskan kebolehpercayaan dan kesahan hasil eksperimen. Dengan menjalankan kajian di luar makmal membolehkan pelbagai pembolehubah seperti kebisingan, suhu, dan kehadiran orang lain untuk mempengaruhi kesahan dalaman sesuatu eksperimen itu. Kekurangan kawalan ke atas pembolehubah-‐pembolehubah tersebut melemahkan keyakinan dalam kesimpulan tentang perhubungan sebab dan akibat yang telah dikenal pasti. i. Eksperimen semulajadi Eksperimen semulajadi merupakan eksperimen yang terdapatnya faktor-‐faktor alam semulajadi (sebagai pembolehubah bebas) memanipulasi pembolehubah bersandar. Bencana alam seperti banjir, kebakaran, gempa bumi dan angin puting beliung secara rambang sering memberikan kesan pada kehidupan manusia. Penyelidik yang oportunis akan mengambil kesempatan pada manipulasi semulajadi ini dengan membuat perbandingan antara kumpulan-‐kumpulan manusia yang dikesani sesuatu bencana alam tersebut dengan kumpulan manusia yang tidak dikesani. Salah satu kebaikan eksperimen semulajadi, berbanding eksperimen lapangan ialah kejadian pembolehubah bebas adalah tanpa gangguan atau campur tangan daripada pengeksperimen. Tambahan pula terdapat banyak peristiwa yang tidak boleh dimanipulasi secara sebenar dan secara etika. Misalnya ahli-‐ahli psikologi sosial tidak boleh mewujudkan bencana alam, rusuhan, peristiwa bunuh diri, pembunuhan, revolusi, dan peristiwa-‐peristiwa lain. Sekiranya peristiwa-‐peristiwa sedemikian ingin dikaji, satu kaedah lain selain daripada eksperimen-‐eksperimen makmal diperlukan. Kelemahan utama eksperimen jenis ini ialah bahawa peristiwa-‐peristiwa yang menjadi pembolehubah bebas jarang-‐jarang berlaku dan di luar kawalan pengkaji.
Oleh kerana subjek kajian dalam penyelidikan psikologi sosial adalah manusia,
Sub topik 6.2: Masalah Penyelidikan Psikologi Sosial
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
14
banyak cabaran yang perlu dihadapi ahli psikologi sosial itu sendiri ketika menjalankan penyelidikan. Terdapat lima masalah utama penyelidikan yang dihadapi ahli psikologi sosial sepertimana yang dihuraikan dalam bahagian ini. a. Kesan 'hawthorne' -‐ Tindakan pengkaji yang hanya untuk mengkaji sesuatu tingkah
laku mungkin boleh mempengaruhi tingkah laku subjek yang dikaji. Kesan hawthorne merupakan kesan yang terjadi apabila subjek kajian mengetahui bahawa diri mereka dikaji, mereka akan bertingkah laku tidak sebagaimana biasa (secara tidak natural). Sudah tentu tingkah laku seperti ini akan menjejaskan hasil kajian.
b. Sukar menentukan hubungan sebab-‐akibat -‐ Asal usul tingkah laku seseorang
kadangkala begitu kompleks, melibatkan banyak faktor-‐sosial, psikologikal, sejarah peribadi, dan Iain-‐lain. Dengan demikian adalah lebih sukar bagi ahli-‐ahli psikologi sosial berbanding ahli-‐ahli sains semulajadi untuk menyisihkan antara sebab dengan akibat kerana banyak pembolehubah cenderung untuk terlibat sama. Secara relatifnya agak mudah untuk menentukan mengapa air mendidih, atau apakah kesan tekanan pada isipadu gas. Tetapi agak sukar untuk menentukan mengapa seseorang itu jatuh cinta, atau mengapa ia jatuh cinta pada orang yang sepertinya juga. Sehubungan ini sesuatu tingkah laku itu biasanya dipengaruhi oleh banyak faktor, sehinggakan kadangkala sukar untuk menentukan faktor mana yang dominan pengaruhnya. Sebab sesuatu tingkah laku selalunya pelbagai dan kadangkala boleh mengelirukan.
c. Tingkah laku manusia sukar diramalkan -‐ Manusia mempunyai emosi, motif dan ciri-‐ciri personaliti khusus lain. Manusia pelbagai sifatnya dan tidak serupa. Personaliti setiap manusia adalah unik. Dengan demikian tingkah laku seseorang individu sukar untuk diramalkan. Dalam sesuatu kajian misalnya, manusia mungkin memberikan maklumat palsu secara sengaja untuk menutupi keburukannya; atau secara tidak sengaja tersalah tafsir kehendak soalan; atau pun mungkin tidak memahami sebab-‐sebab tingkah laku mereka sendiri.
d. Pengkaji sukar memisahkan diri daripada subjek/isu yang dikaji -‐ Ahli-‐ahli psikologi sosial, tidak seperti ahli-‐ahli sains semulajadi, kadangkala merupakan sebahagian daripada subjek-‐subjek yang mereka kaji. Dengan demikian lebih sukar untuk mengekalkan sikap terpisah daripada subjek dan hasil kajian. Kesannya, objektiviti menjadi sukar untuk dicapai. Ahli-‐ahli psikologi sosial yang mengkaji isu-‐isu seperti hubungan kaum atau kemiskinan boleh secara sengaja atau tidak sengaja melibatkan perasaan mereka dalam kajian misalnya dari segi pemilihan subjek, kaedah dan mentafsirkan hasil kajian; lebih-‐lebih lagi sekiranya kaum atau kemiskinan tersebut ada kaitan dengan diri mereka.
Dalam mempersepsikan sesuatu fenomena sosial, kita perlu ambil kira bahawa cara fikir, sikap dan tingkahlaku seseorang itu adalah berbeza antara satu budaya dengan budaya yang lain. Contohnya, masyarakat barat dan masyarakat timur mempunyai
Topik 7: Penutup
SKP 3501-‐ PSIKOLOGI SOSIAL UNIT 1
15
pandangan yang berbeza mengenai kehidupan pasangan gay. Walau bagaimanapun, sungguhpun pemikiran antara kedua masyarakat ini berbeza dari segi sikap, namun bagaimana ‘proses’ perubahan sikap dan tingkahlaku adalah sama iaitu dengan pengaruh sosial.
1. Berikan definisi psikologi sosial. 2. Apakah yang membezakan psikologi sosial dengan bidang sains sosial yang lain? 3. Mengapakah psikologi sosial dikatakan sebagai sains? 4. Huraikan tiga teori asas yang menyumbang kepada perkembangan bidang ilmu psikologi
sosial. 5. Jelaskan faktor budaya dalam mempengaruhi tindakan sosial dan pemikiran sosial
seseorang.