Unit 3 Konsep Asas Kesihatan
description
Transcript of Unit 3 Konsep Asas Kesihatan
36 Konsep Asas Kesihatan
UNIT 3
KONSEP ASAS KESIHATAN
HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir unit ini, anda di harap dapat :
1. Menerangkan definisi kesihatan secara menyeluruh.
2. Membincangkan apakah yang dimaksudkan dengan kesihatan menyeluruh dan kesihatan
optima.
3. Menerangkan komponen-komponen kesihatan dan kesejahteraan secara terperinci.
4. Membincangkan kepentingan pendidikan kesihatan.
PETA KONSEP TAJUK
KONSEP ASAS KESIHATAN
Kesihatan Holistik
kesihatan individu
Kesihatan masyarakat
Kesihatan persekitaran
Kesihatan dan Kesejahteraan
Komponen Kesihatan dan Kesejahteraan
PsikologiRohaniFizikalSosial
VokasionalPersekitaran
Kesihatan Optimum
Kepentingan Pendidikan Kesihatan
37 Konsep Asas Kesihatan
PENGENALAN
Rajah 3.1 : Kesan yang timbul akibat tidak menjaga kesihatan dengan baik
Sebagai seorang guru dan juga seorang pelajar, anda mungkin boleh memahami
situasi seperti dalam rajah 3.1 di atas. Pada pendapat anda, apakah perkara yang penting yang
mampu mengubah situasi di atas?
Perkara yang sinonim dengan kesihatan sudah pastilah penyakit. Senarai penyakit yang banyak
membuatkan manusia lebih rasa bimbang. Terutama yang sedang mengalami kesakitan. Pihak
Kementerian Kesihatan juga sering menjelaskan betapa perlunya kita menjaga kesihatan
terutama dalam kehidupan yang serba serbi memerlukan wang ringgit. Memikirkan tentang
kesihatan lebih awal akan berkemungkinan dapat menghindarkan penyakit yang menyulitkan
kehidupan.
Tanpa kesihatan yang sempurna, hidup kita mungkin pincang. Manusia kini hampir lupa tentang
kesihatan mereka, ditambah lagi bila mereka merasakan mereka sihat dan menggunakan
sepenuhnya untuk perkara yang tidak berfaedah seperti bergaduh, merempit, merokok setiap
masa tanpa menghiraukan orang lain sedangkan tabiat tersebut secara terang boleh menjejaskan
kesihatan dan pelbagai lagi perkara yang boleh merugikan. Bila berlakunya kesakitan, waktu itu
barulah sedar betapa penting kesihatan yang telah dibazirkan.
38 Konsep Asas Kesihatan
ISI KANDUNGAN
Apa itu definisi kesihatan?
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan ialah satu tahap atau keadaan apabila
seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan
sosial, dan bukan semata-mata bebas daripada penyakit atau tidak upaya. Definisi ini melibatkan
dua aspek penting dalam kesihatan, iaitu aspek negatif (penyakit tidak sihat, cedera, cacat, tidak
upaya atau lemah), dan aspek positif (kesejahteraan dari segi mental, fizikal dan sosial).
Perkataan ‘kesihatan’ dikatakan berasal daripada perkataan Inggeris lama untuk perkataan heal
(hael) yang bermaksud keseluruhan (whole) . Ia merujuk kepada kesihatan yang menyeluruh, iaitu
berkaitan individu secara keseluruhan termasuklah integriti, sihat atau kesejahteraan.
Kesihatan bersifat holistik dan merangkumi pelbagai dimensi atau domain. Kesihatan holistik
bermaksud mengambil kira pelbagai pengaruh dan interaksi dimensi-dimensi tersebut. Dimensi
kesihatan bagi individu adalah seperti berikut:
Kesihatan fizikal.
Kesihatan mental
Kesihatan emosi
Kesihatan sosial
Kesihatan rohaniah
Kesihatan seksual
Selain kesihatan individu terdapat dua lagi dimensi kesihatan yang lebih luas yang mempengaruhi
individu iaitu:
i. Kesihatan masyarakat iaitu hubungan antara kesihatan dan cara masyarakat
distrukturkan, disusun dan dibangunkan. Ini termasuklah keperluan infrastruktur asas
untuk kesihatan.
ii. Kesihatan persekitaran – bermaksud persekitaran fizikal di mana orang ramai tinggal dan
ini termasuklah perkara-perkara seperti perumahan, pengangkutan, kemudahan sanitasi
dan air bersih serta pencemaran.
39 Konsep Asas Kesihatan
Rajah 3.2 : Senario apabila kita menjaga kesihatan dengan baik
Bolehkah anda mengenal pasti apakah perbezaan antara senario kesihatan dalam
rajah 3.1 dengan rajah 3.2? Rajah manakah merupakan senario yang mahu dilihat pada hari ini?
Pada pendapat anda, apakah strategi dan kaedah yang boleh membantu manusia mencapai
tahap kesihatan yang menyeluruh?
Salah satu strategi yang boleh membantu manusia untuk mendapatkan kesihatan yang baik
adalah dengan melaksanakan kesihatan yang menyeluruh dan kesihatan optima. Inilah strategi
utama yang kita akan bincangkan dalam unit pelajaran ini.
Tuliskan satu atau dua ayat sendiri, apakah yang dimaksudkan dengan pendekatan
atau strategi pelaksanaan kesihatan menyeluruh dan kesihatan optima.
40 Konsep Asas Kesihatan
Takrifan kesihatan yang lebih menyeluruh dan holistik dikemukakan oleh Pertubuhan Kesihatan
Sedunia sebagai ‘suatu keadaan kesempurnaan fizikal, mental dan sosial yang mencukupi,
dan bukannya hanya ketiadaan penyakit atau kelemahan’. Di sini, kesihatan terbentuk hasil
dari satu keadaan keseimbangan di antara seseorang individu dengan persekitaran fizikal, biologi
dan sosialnya. Keseimbangan ini juga membolehkan individu tersebut berfungsi dengan baik.
Berkaitan dengan takrifan ini, individu yang sihat dilihat sebagai individu yang bercirikan
kesempurnaan anatomi, berkeupayaan menjalankan tanggung jawab keluarga, kerja dan komuniti
serta bebas dari risiko penyakit dan kematian yang mengejutkan.
Dari sejarah yang telah dicatatkan, ahli falsafah dan pakar kesihatan telah memerhatikan bahawa
aktiviti fizikal yang berterusan merupakan bahagian utama dalam kesihatan hidup. Ahli falsafah
'Hippocrates' pernah mengatakan bahawa makanan sahaja tidak akan menyihatkan seseorang;
dia perlu bersenam. Untuk makanan dan senaman, walaupun mempunyai kualiti yang berbeza,
namun saling bergandingan ke arah kesihatan. Adalah perlu, untuk memiliki kekuatan senaman
(cergas), sama ada secara semula jadi ataupun buatan, mengetahui yang mana satu dapat
menambahkan isi saiz otot dan yang mana satu mengurangkannya; dan bukan hanya itu malah
pembahagian senaman dan makanan adalah berbeza terhadap seseorang pesakit, umur individu,
jantina dan sebagainya.
Saban hari kita membuat pilihan melakukan aktiviti yang sama ada meningkatkan atau
mengurangkan tahap kesihatan yang ada sekarang. Walaupun setiap orang menginginkan suatu
kehidupan yang sihat, berkualiti, namun bukan setiap orang secara sukarelanya akan membuat
perubahan gaya hidup yang diperlukan untuk meningkatkan kesihatan. Walau bagaimanapun,
anda mungkin merupakan antara mereka yang cuba untuk memperoleh gaya hidup yang lebih
sihat ini. Peningkatan konsep kesihatan ini akan menunjukkan tingkah laku gaya hidup yang lebih
sihat dan positif yang dapat mempengaruhi kesihatan, kualiti dan kesejahteraan hidup kita.
Tidak kira di mana tahap kesihatan anda, terdapat banyak pilihan corak tingkah laku yang dapat
anda lakukan menuju ke arah kesihatan dan kualiti hidup yang lebih baik, tetapi hanya diri anda
dapat menentukan pilihan anda. Pilih dengan bijak dan menikmati pilihan tersebut.
41 Konsep Asas Kesihatan
Kesihatan dan Kesejahteraan
Kesihatan mempunyai pelbagai cabang, kualiti dinamik menceritakan bagaimana sihatnya anda
dan berkemampuan untuk berfungsi setiap masa dan di mana juga. Menjadi lebih sihat adalah
lebih penting daripada tidak menjadi sakit. Kesihatan adalah sesuatu yang wujud dari psikologi,
rohani, fizikal, sosial, vokasional dan sumber persekitaran yang membenarkan kehidupan yang
memuaskan dan produktif. Kesihatan yang optimum boleh diukur dengan berfungsi pada tahap
yang tinggi, sentiasa mempunyai tingkah laku yang positif, hidup yang menggembirakan dan
mempunyai rasa harmoni dengan alam dan kemanusiaan.
Kesihatan sentiasa mengubah kualiti kehidupan. Kesihatan kita boleh berubah dari hari ke hari,
minggu ke minggu lain melalui perubahan dalam minda, tubuh, nilai, sikap, kepercayaan,
kebiasaan dan tingkah laku. Kesejahteraan ialah petanda kepada kesihatan yang optimum.
Keseronokan dan pendekatan yang positif kepada gaya hidup akan membawa kepada
kesejahteraan hidup pada tahap tinggi. Kontinum ini penting untuk meningkatkan perkembangan
dalam semua aspek kehidupan. Fokus kepada tanggungjawab kendiri, pengisian kendiri dan
kualiti hidup yang lebih baik. Konsep kesejahteraan ialah memperkayakan sikap ke arah
kesihatan yang akan menolong mengurangkan faktor potensi risiko penyakit dan meningkatkan
kesejahteraan.
Tujuan utama mencapai kesihatan optimum
i. Menikmati hidup dengan lebih sempurna (life to your years).
ii. Panjang umur (years to your life).
iii. Minda, tubuh dan rohani yang sihat.
iv. Meningkatkan keyakinan diri.
v. Lebih bertenaga untuk menjalani kehidupan yang sempurna.
vi. Lebih ceria dan periang.
vii. Tingkah laku positif.
viii. Kurang risiko penyakit.
ix. Antibodi yang kuat untuk melawan serangan penyakit berjangkit.
x. Boleh mengawal diri tanpa bergantung kepada orang lain.
xi. Mengurangkan kos rawatan.
42 Konsep Asas Kesihatan
xii. Perhubungan sosial yang sihat.
xiii. Meningkatkan kepekaan terhadap peranan persekitaran.
xiv. Berperanan dengan efektif sebagai pelajar atau pekerja.
xv. Lebih berpeluang mencapai kejayaan dalam hidup.
xvi. Lebih berpeluang mengecap setiap detik dalam hidup dan pengalaman.
Kesihatan dan kesejahteraan mempunyai hubungan yang sangat rapat. Ia dapat digambarkan
dalam tiga keadaan iaitu berjalan ke belakang, berdiri statik dan berjalan ke hadapan. Contohnya,
mendapat penyakit adalah seperti berjalan ke belakang. Tidak sakit tetapi tidak merasa sejahtera
adalah seperti seseorang berdiri statik dan menjadi sihat secara keseluruhan adalah seperti
seseorang yang berjalan ke hadapan dan bila sikap serta akhlak lebih sihat, anda berjalan dengan
pantas ke arah kesihatan yang optimum atau kesejahteraan.
Isikan tempat kosong di bawah mengenai apakah tujuan utama mencapai kesihatan
optimum.
Rajah 3.3 : Rajah menunjukkan tujuan utama mencapai kesihatan optimum
A
43 Konsep Asas Kesihatan
kesejahteraan
psikologi
rohani
fizikal
sosial
vokasional
persekitaran
Komponen-Komponen Kesihatan dan Kesejahteraan
Untuk menikmati gaya hidup yang sihat, banyak komponen kesejahteraan perlu digunakan.
Kedudukan dalam 'kontinum sejahtera dan sakit' banyak bergantung kepada pilihan aktiviti
kesihatan harian yang di lakukan. Ia dipengaruhi oleh tahap kesihatan anda dalam setiap
komponen kesihatan berikut: psikologi, rohani, fizikal, sosial, vokasional dan persekitaran.
Kejayaan kesihatan optimum berkaitan dengan sejauh mana baiknya anda dalam tiap-tiap
komponen yang ditunjukkan dalam rajah di bawah:
Rajah 3.3 : Komponen Kesihatan dan Kesejahteraan
(Sumber: Seiger, et al, 1998)
44 Konsep Asas Kesihatan
Psikologi
Kesejahteraan psikologi adalah kombinasi aspek emosi dan mental. Ia bukanlah keadaan yang
statik tetapi dinamik dan berubah dari hari ke sehari. Kita akan merasakan hari yang baik, hari
yang buruk dan hari yang biasa. Tiada siapa yang boleh mengawal secara keseluruhan emosi
seseorang (kegembiraan, kesedihan, ketakutan, marah, malu, kesunyian, bersalah). Walau
bagaimanapun, orang yang mempunyai emosi yang sihat berupaya untuk mengekalkan
keseimbangan psikologi dan tahu bila untuk meluahkan emosi dengan tepat dan selesa. Mereka
juga dapat menunjukkan hormat dan minat pada yang lain.
Dalam menghadapi keadaan emosi yang tidak stabil, mereka boleh mendapatkan pertolongan
dari golongan yang profesional atau mendapat sokongan dari kumpulan tertentu. Sekiranya
keadaan mental sihat, anda boleh mencapai realiti kehidupan, tindak balas positif terhadap
perubahan hidup dan dengan cara yang sihat untuk mengendalikan ketegangan serta masalah
peribadi dan juga anda percaya pada pembelajaran seumur hidup. Untuk memenuhi keperluan
intelektual, anda menjadikan minda anda aktif dan ingin tahu, sentiasa berkeinginan untuk belajar
dari semua pengalaman hidup.
Rohani
Rohani yang sihat adalah rasa positif tentang matlamat dan makna dalam kehidupan. Anda boleh
menggunakan agama, falsafah, kepercayaan, nilai, kesetiaan, prinsip, moral atau etika untuk
menerangkannya. Dengan mengetahui tujuan hidup dan lebih selesa untuk menyatakan sayang,
kegembiraan, keamanan dan memenuhi keperluan diri adalah bahagian-bahagian rohani yang
sihat. Ia juga meliputi sikap menolong diri sendiri dan orang lain dalam mencapai potensi
maksimum.
Kesihatan rohani juga merupakan jalinan perasaan dalaman pada diri sendiri, kepentingan orang
lain dan alam sekeliling. Akhir sekali kerohanian anda juga termasuklah memberikan harapan
sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini dan menghargai alam sekitar.
Fizikal
Kesihatan fizikal termasuklah cergas dari segi fizikal, amalan pemakanan yang berkhasiat dan
mendapat rehat dan tidur yang cukup. Amalan seks serta penggunaan dadah dan alkohol
memainkan peranan penting dalam komponen kesejahteraan ini. Kesejahteraan fizikal meliputi
45 Konsep Asas Kesihatan
kesedaran diri dan penjagaan aspek fizikal sendiri, yang meliputi ujian kendiri secara tetap dan
berterusan, pemeriksaan perubatan, pemulihan kecederaan dan penyakit, penggunaan ubat yang
betul dan mengambil langkah yang betul bila ditimpa penyakit.
Sosial
Kesejahteraan sosial bermaksud mendapat kepuasan, kepercayaan dalam perhubungan dan
interaksi yang baik dengan orang lain. Ini juga meliputi sikap yang adil serta mengambil berat dan
menghargai perbezaan pada semua orang. Adalah dicadangkan untuk mendapat kesejahteraan
sosial, seseorang itu perlu mempunyai hubungan yang baik dengan ahli keluarga, kawan dan
orang lain agar boleh dihubungi ketika keadaan memerlukan. Orang yang sejahtera secara
sosialnya, akan merasa perhubungan sihat dalam masyarakat yang didiaminya.
Vokasional
Kesejahteraan vokasional bermakna kepuasan di sekolah, kerja dan pada masa lapang. Tanya
diri anda sekarang, adakah apa yang anda buat sekarang dalam hidup ini adalah
merangsangkan, mencabar dan dihargai? Jika ya, anda mempunyai tahap kesejahteraan
vokasional yang tinggi. Jika tidak, mungkin anda perlu pertimbangkan perubahan dengan
mendapatkan latihan dalam bidang yang anda minati. Akhirnya komponen vokasional
termasuklah bekerja secara harmoni dengan yang lain untuk mencapai matlamat.
Persekitaran
Manusia bergantung kepada udara, air dan sumber dari tanah untuk hidup. Kesejahteraan alam
sekitar merujuk kepada impak alam semula jadi terhadap kesihatan. Ianya termasuk menghindar
diri daripada melakukan sesuatu yang membahayakan, seperti pencemaran udara yang boleh
menjejaskan kesihatan. Komponen ini termasuklah kepekaan terhadap alam sekitar ke arah
memelihara bumi menerusi empat 'R'; reducing, reusing, recycling, responsibility (mengurangkan,
menggunakan semula, mengitar semula, bertanggungjawab). Menurut Edward et. al. (1997:6)
‘…total fitness is striving for the highest level of existence, including mental, psychological, social,
spiritual and physical components. It is dynamic, multi dimension, and related to heredity,
environment and individual interests’.
46 Konsep Asas Kesihatan
Kepentingan Pendidikan Kesihatan
Terdapat beberapa kepentingan pendidikan kesihatan yang perlu dititikberatkan dalam membantu
pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak di sekolah. Pendidikan Kesihatan penting dalam
membentuk perubahan dan juga merupakan keperluan individu bagi proses perkembangan fizikal,
mental, sosial, emosi dan rohani. Sebagai contoh, Pendidikan Kesihatan dapat memupuk sikap
bertanggungjawab pada kesihatan dan mengembangkan ilmu. Perubahan tingkah laku dan sikap
diharapkan berlaku dalam usaha meningkatkan kualiti kesihatan.
Pendidikan Kesihatan penting bagi melahirkan insan yang berpelajaran dan berpengalaman
mengenai kesihatan. Di samping itu, Pendidikan Kesihatan dapat membentuk hubungan dan
perlakuan mesra serta melahirkan rasa empati terhadap masalah kesihatan yang di alami. Melalui
Pendidikan Kesihatan ini juga kemahiran bagi menghadapi dan menangani masalah dan isu
berkaitan dengan kesihatan dapat kuasai. Hal ini secara tidak langsung menjadikan gaya hidup
sihat sebagai rutin harian dan berperanan aktif dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat
secara keseluruhan.
Antara peranan pendidikan kesihatan termasuklah:
i. Peranan Pendidikan Kesihatan dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.
Contohnya, perkembangan fizikal, perkembangan mental dan perkembangan sosial.
ii. Pendidikan kesihatan merupakan proses berterusan yang membantu memudahkan
pelajar mempelajari amalan positif, memupuk sikap bertanggungjawab pada kesihatan
dan mengembangkan ilmu.
iii. Agen perubahan tingkah laku dan memenuhi keperluan individu khususnya murid.
iv. Mempertingkatkan pengetahuan kesihatan diri, keluarga, masyarakat dan persekitaran.
v. Menguasai kemahiran bagi menghadapi dan menangani masalah dan isu berkaitan
dengan kesihatan.
vi. Membentuk sikap yang positif terhadap kesihatan berasaskan pengetahuan dan
pengalaman.
vii. Menjadikan gaya hidup sihat sebagai rutin harian.
viii. Berperanan aktif dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat secara menyeluruh.
47 Konsep Asas Kesihatan
Secara ringkasnya, kepentingan mata pelajaran Pendidikan Kesihatan ialah:
i. Memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengenali diri sendiri dan mengamalkan
penjagaan kebersihan diri.
ii. Memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak untuk membolehkan
mereka mengamalkan gaya hidup sihat.
iii. Memberi kefahaman kepada kanak-kanak tentang keselamatan diri dan orang lain, alatan
dan tempat aktiviti.
iv. Mengetahui isu-isu pendidikan kesihatan yang mempengaruhi hidup seharian.
RUMUSAN
1. Perkataan ‘kesihatan’ dikatakan berasal daripada perkataan Inggeris lama untuk
perkataan heal (hael) yang bermaksud keseluruhan (whole). Ia merujuk kepada kesihatan
yang menyeluruh, iaitu berkaitan individu secara keseluruhan termasuklah integriti, sihat atau
kesejahteraan.
2. Kesihatan terbentuk hasil dari satu keadaan keseimbangan di antara seseorang individu
dengan persekitaran fizikal, biologi dan sosialnya. Keseimbangan ini juga membolehkan
individu tersebut berfungsi dengan baik. individu yang sihat dilihat sebagai individu yang
bercirikan kesempurnaan anatomi, berkeupayaan menjalankan tanggung jawab keluarga,
kerja dan komuniti serta bebas dari risiko penyakit dan kematian yang mengejutkan.
3. Kesihatan adalah sesuatu yang wujud dari psikologi, rohani, fizikal, sosial, vokasional dan
sumber persekitaran yang membenarkan kehidupan yang memuaskan dan produktif.
Kesihatan yang optimum boleh diukur dengan berfungsi pada tahap yang tinggi, sentiasa
mempunyai tingkah laku yang positif, hidup yang menggembirakan dan mempunyai rasa
harmoni dengan alam dan kemanusiaan.
4. Untuk menikmati gaya hidup yang sihat, banyak komponen kesejahteraan perlu digunakan.
Kedudukan dalam 'kontinum sejahtera dan sakit' banyak bergantung kepada pilihan aktiviti
kesihatan harian yang di buat. Ia dipengaruhi oleh tahap kesihatan anda dalam setiap
komponen kesihatan berikut: psikologi, rohani, fizikal, sosial, vokasional dan persekitaran.
48 Konsep Asas Kesihatan
5. Terdapat beberapa kepentingan pendidikan kesihatan yang perlu dititikberatkan dalam
membantu pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak di sekolah. Pendidikan Kesihatan
penting dalam membentuk perubahan dan juga merupakan keperluan individu bagi proses
perkembangan fizikal, mental, sosial, emosi dan rohani. Sebagai contoh, Pendidikan
Kesihatan dapat memupuk sikap bertanggungjawab pada kesihatan dan mengembangkan
ilmu. Perubahan tingkah laku dan sikap diharapkan berlaku dalam usaha meningkatkan kualiti
kesihatan.
6. Secara ringkasnya, kepentingan mata pelajaran Pendidikan Kesihatan ialah:
Memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengenali diri sendiri dan mengamalkan
penjagaan kebersihan diri.
Memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak untuk membolehkan
mereka mengamalkan gaya hidup sihat.
Memberi kefahaman kepada kanak-kanak tentang keselamatan diri dan orang lain, alatan
dan tempat aktiviti.
Mengetahui isu-isu pendidikan kesihatan yang mempengaruhi hidup seharian.
49 Konsep Asas Kesihatan
Kesejahteraan
Emosi
Jalinan perasaan dalaman
Sosial
Interaksi yang baik
Penjagaan aspek fizikal
VokasionalKepuasan di
sekolah, kerja dan masa lapang
Persekitaran
Elak daripada bahaya
B
A
PETA KONSEP
Isikan tempat kosong dengan istilah atau frasa yang sesuai bagi melengkapkan peta
konsep kesihatan dan kesejahteraan di bawah.
50 Konsep Asas Kesihatan
KATA KUNCI
1. Kesihatan.
2. Kesihatan Menyeluruh.
3. Kesihatan Optima.
4. Kesihatan dan Kesejahteraan.
5. Kepentingan Pendidikan Kesihatan.
PENILAIAN KENDIRI
1. Berikan definisi kesihatan yang telah dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO)
secara terperinci?
2. Dengan menggunakan perkataan sendiri, bagaimana individu boleh mencapai kesihatan yang
optima berdasarkan faktor persekitaran?
3. Jelaskan dengan terperinci, apakah komponen-komponen utama yang terdapat dalam
kesihatan dan kesejahteraan?
4. Terangkan dengan lebih jelas apakah kepentingan pendidikan kesihatan kepada pelajar
sekolah?
RUJUKAN
Seiger, L., Kanipe, D., Vanderpool, K., & Barnes, D. (1998). Fitness aAnd Wellness Strategies. 2nd edition. USA:WCB/McGraw-Hill. World Health Organization. (2006). Constitution of the World Health Organization -Basic Documents, Forty-fifth edition, Supplement, October 2006
51 Konsep Asas Kesihatan
Menikmati hidup dengan lebih sempurna ('life to your years').Panjang umur ('years to your life').
Minda, tubuh dan rohani yang sihat.
Meningkatkan keyakinan diri.
Lebih bertenaga untuk menjalani kehidupan yang sempurna.
Lebih ceria dan periang.
Tingkahlaku positif.
Kurang risiko penyakit.
Antibodi yang kuat untuk melawan serangan penyakit berjangkit.
Boleh mengawal diri tanpa bergantung kepada orang lain.
Mengurangkan kos rawatan.
Perhubungan sosial yang sihat.
Meningkatkan kepekaan terhadap peranan persekitaran.
Berperanan dengan efektif sebagai pelajar atau pekerja.
JAWAPAN SERTA MAKLUMBALAS
A
52 Konsep Asas Kesihatan
Kesejahteraan
Psikologi
Emosi
Mental
Rohani
Positif tentang matlamat
Jalinan perasaan dalaman
Sosial
Interaksi yang baik
Kepuasan & Kepercayaan
Fizikal
Penjagaan aspek fizikal
Kesedaran diri
Vokasional
Bekerja secara harmoni
Kepuasan di sekolah, kerja dan
masa lapang
Persekitaran
Peka kepada alam sekitar
Elak daripada bahaya
B
A