Untitled 1.odp

download Untitled 1.odp

If you can't read please download the document

Transcript of Untitled 1.odp

Ketika Tanah Melayu diperintah Jepun pada tahun 1943, Pejabat Tanah Jajahan British dan Pejabat India British telah merangka sebuah kerajaan baru untuk Tanah Melayu dan telah dipersetujui oleh kerajaan British di London. British begitu yakin akan berjaya menawan Tanah Melayu semula daripada Jepun berikutan kejayaan Tentera Berikat di Eropah menawan semula beberapa negara daripada Jerman. Bentuk pemerintahan baru ini telah dirangka tanpa perwakilan dan pengetahuan orang Melayu kerana British menganggap kedaulatan Tanah Melayu tidak lagi wujud setelah kalah dalam peperangan. Kerajaan baru ini dikenali sebagai Malayan Union. British menganggap hak mutlaknya untuk menentukan bentuk pemerintahan dan kerajaan Tanah Melayu apabila berjaya mengusir Jepun.

Tujuan utama penubuhan Malayan Union ialah untuk memiliki dan menguasai Tanah Melayu. Tanah Melayu juga ialah sebuah negeri yang kaya dengan sumber ekonomi daripada sumber bumi. Kedudukan geografi Tanah Melayu pula sangat sesuai dijadikan sebagai sebuah negeri pengguna dan agen pasaran barangan dagangan Inggeris di timur. Selain itu, British juga telah menjangkakan akan kehilangan beberapa buah negeri tanah jajahannya akibat Peperangan Dunia Kedua. Daripada pengalaman pentadbiran pula, Tanah Melayu dianggap mudah diperintah kerana orang Melayu dianggap mempunyai budi bahasa yang tinggi, bersikap lemah lembut dan mudah mengikut telunjuk.

Berita rancangan Inggeris menubuhkan Malayan Union telah tersebar luas dalam akhbar-akhbar di India dan London. Berita ini juga segera mendapat liputan akhbar di Singapura dan Pulau Pinang kerana terdapat beberapa kumpulan elit dan ahli parlimen Inggeris yang tidak menyetujuinya. Ini adalah kerana kemenangan tentera Inggeris adalah dengan kerjasama Tentera Berikat dan Tanah Melayu bukanlah Tanah Jajahan Inggeris. Sebelum perang meletus, British telah berjanji untuk memulangkan kuasa Raja-raja Melayu dibawah Dasar Decentralisasi. Malayan Union dikhuatiri akan mengakibatkan huru-hara dan akan merugikan kerajaan British. Untuk mengatasi masalah itu kerajaan British telah menghantar sebuah jawatan kuasa meminta persetujuan Raja-raja Melayu yang diketuai oleh Sir Harold Mac Michael sebaik saja Jepun menyerah kalah.

Sir Harold Mac Michael telah tiba di Tanah Melayu pada bulan Oktober 1945. Beliau telah berjaya memperdaya dan memujuk raja-raja negeri Melayu dengan pelbagai muslihat dan ancaman. Beliau juga telah mempergunakan nama dan pengaruh Sultan Ibrahim Johor bagi mendapatkan tandatangan raja-raja Melayu dan kembali ke London pada 26 Disember 1945. Beliau telah berjaya menyakinkan pihak kerajaan British mengenai tandatangan yang diperoleh adalah secara sukarela daripada raja-raja Melayu.

Di dalam perlembagaan Malayan Union, kesemua 9 buah negeri Melayu, Melaka dan Pulau Pinang disatukan sebagai sebuah tanah jajahan Inggeris yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Singapura tidak dimasukkan kerana British menganggap Singapura telah menjadi milik mutlak Inggeris yang diperoleh melalui perjanjian dengan Sultan Hussin. Semua bidang kuasa raja-raja Melayu dalam kerajaan Malayan Union termasuk hak menentukan dasar luar negeri diambil alih oleh Gabenor . Raja-raja Melayu walaupun diberi hak terhadap agama dan adat resam Melayu tetapi tidak mempunyai kuasa ke atasnya kerana baginda hanya bertaraf ahli biasa dalam Majlis Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Gabenor Malayan Union. Perlembagaan Malayan Union juga mengiktiraf taraf kerakyatan pendatang asing melalui lunas Jus Soli mengikut kelahiran dan juga kelonggaran diberi kepada kaum pendatang yang memohon menjadi rakyat Malayan Union.

Sebelum perang meletus, orang Melayu telah terdedah dengan pelbagai pandangan agar pihak Inggeris tidak memperkecil keupayaan dan hak-hak orang Melayu dalam pelbagai bidang kehidupan. Masalah pendidikan, ekonomi dan pengambilan pegawai dan kakitangan kerajaan dianggap tidak seimbang kerana British mengenepikan orang Melayu. Kerajaan British juga terus membawa masuk sebegitu banyak buruh asing dan hal ini tidak disenangi oleh cendekiawan Melayu kerana mewujudkan keadaan yang tidak seimbang dalam pola masyarakat.

Apabila Sir Harold Mac Michael datang dan berjaya mendapat tandatangan raja-raja Melayu, orang-orang Melayu berasa yakin bahawa segala yang dijanjikan oleh British sebelum perang untuk memulangkan kuasa raja-raja adalah pembohongan belaka. Penjelasan British yang menyatakan Malayan Union adalah ke arah persediaan untuk bekerajaan sendiri tidak dapat diterima oleh orang-orang Melayu kerana perlembagaan Malayan Union itu sendiri akan melenyapkan maruah dan ketuanan Melayu.

Dalam suasana kebimbangan dan bercampur marah itu Dato Onn telah diminta mengetuai orang Melayu kerana beliau pernah menyeru supaya orang Melayu bersatu padu untuk membaiki nasib di tanah air sendiri. Gagasan fikiran dan pandangannya di akhbar-akhbar sebelum perang dan cita-citanya untuk menyatupadukan orang Melayu pernah diucapkan ketika menghadiri Kongres Melayu di Singapura pada tahun 1940. Beliau dilihat sebagai seorang tokoh yang amat sesuai untuk semua golongan masyarakat dari rakyat biasa hingga kerabat diraja termasuk berhadapan dengan pegawai-pegawai tertinggi Inggeris kerana latar belakangnya.