usahawan kreatif
-
Upload
s-hashidah-mn -
Category
Documents
-
view
511 -
download
24
description
Transcript of usahawan kreatif
USAHAWAN KREATIF DAN INOVATIF DI MALAYSIA: ANALISIS
PERNIAGAAN NORDIN BATIK KELANTAN (USAHAWAN KAMPUNG/KECIL
MENENGAH)
Oleh:
Siti Hashidah binti Mohd Nasir (P 66513)
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia
1.0 PENDAHULUAN
Bidang keusahawanan merupakan salah satu bidang yang sangat penting bagi mana-mana
negara di dunia ini. Hal ini kerana keusahawanan merupakan salah satu bentuk disiplin ilmu
yang menjadi tonggak kepada perkembangan, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi bagi
sesebuah negara. Masyarakat yang mempunyai paling ramai usahawan dianggap sebagai
sebuah kumpulan masyarakat yang sempurna, berbakat, berdisiplin, berdikari, berjaya dan
lebih maju dari segi perkembangan mental dan sosio-ekonominya. Menjadi seorang
usahawan yang berjaya bukanlah satu tugas yang mudah. Namun, ianya juga bukanlah satu
tugas yang sukar untuk dicapai. Dalam membentuk individu menjadi seorang usahawan
berjaya, mereka haruslah memahami konsep asas keusahawanan dan memiliki ciri-ciri yang
seharusnya ada pada usahawan berjaya. Golongan usahawan memainkan peranan di dalam
membantu menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya inovasi sesebuah
negara. Perkara ini jelas kerana, tanpa kehadiran usahawan, maka banyak sumber alam tidak
dapat dimanfaatkan sepenuhnya, dan kerugian sumber akan berlaku. Usahawan juga
merupakan daya penggerak penerokaan bidang-bidang baru dan terkini selari dengan
kehendak masyarakat. Peranan usahawan itu sendiri dalam menyediakan menyediakan ruang-
ruang dan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada masyarakat sekeliling tidak
boleh dipertikaikan. Justeru itu, usahawan dianggap sebagai pemangkin dan pemacu
terpenting dalam proses pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dan kehadiran usahawan
sememangnya amatlah diperlukan.
Faktor pendorong kejayaan merupakan elemen terpenting bagi mencapai kelebihan
bersaing bagi usahawan-usahawan yang sedia ada di Malaysia. Walaupun ramai pencipta dan
1
inventor adalah terdiri daripada kalangan usahawan, namun terdapat ramai usahawan yang
berjaya bukannya disebabkan hasil pencapaian penciptaan mereka. Faktor kejayaan juga
menunjukkan prestasi samada suatu perusahaan itu telah berjaya atau tidak berjaya mencapai
sasaran misi dan visi yang telah dibentuk sebelum organisasi tersebut ditubuhkan. Organisasi
yang berjaya mengenalpasti dan menggunakan faktor-faktor kejayaan akan membentuk
keunikan bagi membolehkan mereka mencapai kelebihan bersaing. Tujuan analisis tentang
usahawan kreatif dan inovatif ini adalah untuk mengenal pasti keadaan pembangunan Nordin
Batik di Malaysia terutamanya negeri Kelantan. Kertas ini akan membincangkan secara
terperinci latar belakang kehidupan dan faktor-faktor kejayaan utama dan kritikal tokoh
usahawan batik di Kelantan iaitu Tuan Haji Nordin Bin Mahmood. Aspek perbincangan turut
menghuraikan ciri-ciri seseorang usahawan serta apa yang perlu ada untuk menjadi individu
yang bergelar usahawan berjaya. Berbeza dengan seorang peniaga, usahawan merupakan
seorang yang berfikiran kreatif, inovatif dan bersedia mengambil risiko dalam meneroka dan
mengemudi suatu perusahaan atau perniagaan yang diceburinya. Perbincangan turut menjurus
kepada analisis terhadap amalan keusahawanan, pengaruh persekitaran luaran dan dalaman,
tindakan kreatif dan inovatif serta cadangan tindakan kreatif atau inovatif yang dilakukan
oleh tokoh dalam perniagaan batik dan bagaimana mereka menempa kejayaan dalam
perniagaan yang diceburi diterangkan secara ringkas bagi tujuan memberi gambaran rahsia
kejayaan mereka.
2.0 DEFINISI USAHAWAN KREATIF DAN KEUSAHAWANAN
Disiplin ilmu keusahawanan merupakan satu disiplin ilmu yang masih muda usianya
berbanding dengan disiplin ilmu lain. Oleh itu, masih banyak isu-isu yang belum diterokai
dan diperjelaskan oleh para penyelidik dan ahli akademik. Maka, tidak hairanlah jika istilah
keusahawanan sering disamaertikan dengan peniaga, walaupun kedua-duanya adalah berbeza
dari beberapa sudut penjelasan, penerangan dan pentafsiran.
2.1 Usahawan Kreatif
Perkataan ‘entrepreneur’ (usahawan) adalah dalam bahasa Inggeris juga berasal
daripada bahasa Perancis iaitu ‘entreprendre’ yang bermaksud memikul (tugas),
tanggungjawab, menggalas atau mencuba. Dalam Bahasa Malaysia istilah usahawan
sebenarnya berasal daripada perkataan ‘usaha’. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan
Pustaka (2007), ‘usaha’ ialah daya upaya termasuk ikhtiar, kegiatan, perbuatan, dan
lain-lain hal untuk melaksanakan atau menyempurnakan sesuatu tugas dan pekerjaan
2
bagi tujuan untuk mencapai kejayaan. Usahawan disifatkan sebagai seorang yang
berkebolehan untuk mengesan dan merebut sesuatu peluang perniagaan, melibatkan
diri secara berterusan dan secara langsung, mencipta peluang baru dalam perniagaan,
dan mengusahakan perniagaan tersebut bagi tujuan mencapai ganjaran dari segi
kewangan (keuntungan) dan kepuasan diri. Biasanya usahawan dilihat sebagai
seseorang yang dinamik dan sentiasa mempunyai sifat ingin mencuba atau mencipta
sesuatu yang baru. Usahawan dikatakan sanggup mengambil risiko perniagaan untuk
berjaya.Stoner (1995) mendefinisikan usahawan sebagai pengasas kepada sesuatu
usaha teroka dan mewujudkan satu organisasi baru bagi usaha tersebut dan seterusnya
menguruskannya untuk mendapat keuntungan.
Usahawan kreatif menurut John Howkins sebagai seseorang yang secara
kreatifnya membuka kunci kejayaan yang berada dalam diri mereka sendiri daripada
melibatkan faktor- faktor luaran. Usahawan kreatif adalah individu yang mengambil
alih pencipataan atau penghasilan kerja-kerja kreatif and mampu membina struktur
perniagaan dalam memasarkan produk-produk yang kreatif. Seseorang usahawan
yang kreatif mampu bertindak kreatif dalam pelbagai aspek seperti penghasilan
produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, pengurusan, pemasaran dan penggunaan
sumber. Ramai usahawan yang salah faham mengenai konsep kreativiti yang mana
mereka beranggapan kreativiti memberi maksud penghasilan produk baru yang belum
pernah ada dalam pasaran. Namun konsep sebenar kreatif adalah mencari peluang-
peluang yang ada dalam diri mereka yang belum pernah dicungkil untuk
menghasilkan kelainan pada produk atau perkhidmatan tidak kira produk atau
perkhidmatan yang sedia ada mahupun produk baru.
2.2 Keusahawanan
Hisrich R.D., Peters M.P., and Shepherd D.A., (2007) mendefinisikan bahawa
keusahawanan pula merupakan bidang kerja yang bermakna bukan sahaja kepada diri
dan keluarga, tetapi juga kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.
Keusahawanan secara ringkasnya adalah merupakan satu proses dinamik dalam
penghasilan kekayaan secara berperingkat. Seorang usahawan yang berjaya, mampu
merealisasikan impiannya dan bijak dalam mengatur strategi perniagaan dengan
menggabungkan input-input yang sedia ada, membuat pengubahsuaian dan bersedia
menghadapi risiko untuk menjayakan sesebuah perniagaan bagi tujuan mencapai
3
keuntungan. Dalam era globalisasi dan dunia informasi kini, usahawan perlu
meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahirannya dari semasa ke semasa. Justeru
itu, keusahawanan adalah merupakan satu bidang yang memerlukan disiplin yang
tinggi, dinamik, dan berterusan. Pelbagai disiplin seperti pengurusan, ekonomi,
sosiologi, sosio-psikologi ataupun psikologi menyumbang ke arah kematangan dan
kemajuan disiplin keusahawanan sebagai suatu bentuk disiplin yang unik
dan tersendiri.
Menurut Hisrich dan Peter (2007), keusahawanan adalah suatu proses dinamik
untuk mencipta kekayaan. Kekayaan dicipta oleh individu yang menanggung risiko
besar dalam ekuiti, masa dan komitmen kerjaya atau menyediakan nilai untuk sesuatu
produk atau perkhidmatan. Ia adalah proses penciptaan sesuatu yang baru dengan
mengambil kira masa dan usaha dan juga risiko kewangan, psikologi dan sosial.
Ganjaran dari usaha itu, maka usahawan akan menerima manfaat dari segi kewangan,
kepuasan peribadi dan kebebasan.
3.0 CIRI-CIRI USAHAWAN KREATIF
1. Seorang usahawan yang kreatif adalah usahawan yang sengaja menghasikan idea baru,
konsep baru dan tanggapan baru. Maksudnya idea yang dikemukakan menyimpang jauh
daripada idea yang ada sekarang. Ada kalanya idea itu seolah-olah pelik dan mencabar
fikiran logik manusia normal.
2. Mengutamakan cara lain untuk melihat sesuatu yang sedang difikirkan. Maksudnya, ia
cuba lari daripada cara biasa melihat sesuatu. Semakin banyak sudut pandangan yang
digunakan semakin baik.
3. Memberi fokus kepada usaha mahu mengubah idea yang ada pada masa ini.
Maksudnya, tujuan utama pemikiran ini ialah untuk membawa perubahan, bukan untuk
meneruskan idea sekarang.
4. Mencari cara baru untuk menggantikan penyelesaian yang sedang digunakan sekarang.
Maksudnya, pemikiran ini cuba membuang cara kerja yang ada hari ini dan
menggantikannya dengan yang baru.
5. Pemikiran ini tidak pernah berpuas hati dengan jawapan yang digunakan sekarang.
6. Pemikiran ini sengaja menghasikan idea-idea yang boleh memeranjatkan fikiran-fikiran
biasa.
4
7. Pemikiran ini mengganggap idea yang baik tidak perlu kelihatan logik pada awalnya,
Ia gemar menggunakan logik songsang. Sebagai contoh, biasanya orang menyapu garam
pada ikan sebelum digorengkan. Logik songsang mengatakan goreng ikan dahulu, baru
sapu garam.
8. Menumpukan perhatian kepada kemungkinan-kemungkinan yang mungkin akan
berlaku pada masa akan datang, maksudnya, pemikiran ini gemar membayangkan apa
yang akan terjadi akibat adanya idea yang pelik itu.
4.0 USAHAWAN KAMPUNG/KECIL MENENGAH: PERNIAGAAN NORDIN
BATIK KELANTAN
Secara amnya, Kelantan adalah sebuah negeri yang memang dikenali sebagai sebuah negeri
yang kaya dengan pelbagai hasil kesenian yang halus dan bermutu tinggi. Antaranya ialah
songket, pertukangan perak, wau bulan dan hasil kraftangan termasuk juga batik. Batik
merupakan satu kesenian yang sungguh halus dan menarik kerana ianya menuntut kepakaran
dan ketelitian yang tinggi. Antara pengusaha batik yang terkenal dan tersohor di Kelantan
adalah Tuan Haji Nordin Bin Mahmood. Beliau merupakan antara golongan terawal yang
mempelopori industri batik di Kelantan dan tokoh batik yang masih berdiri gagah di arena
pembatikkan sehingga kini. Hasil kerja keras tanpa mengenal penat lelah dan iltizam yang
tinggi, beliau tidak pernah jemu untuk menceburi sektor batik dan pernah melalui pahit getir
sepanjang pembabitan beliau yang sudah lebih dari 50 tahun dalam bidang ini. Kini, beliau
mampu berbangga dengan hasil kerja kerasnya selama ini dengan terbina megahnya Wisma
Nordin, iaitu satu-satunya pusat pameran dan jualan batik yang pertama dan terbesar di negeri
Kelantan yang pernah dimiliki kaum bumiputera khususnya dalam kalangan pengusaha batik
Kelantan. Perniagaan Nordin Batik Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat bumiputera yang
menjalankan perusahaan batik di negeri Kelantan. Syarikat milik tuan Haji Nordin bin
5
Mahmood ini telah ditubuhkan pada tahun 1993 iaitu tambahan kepada perniagaan yang
dahulunya didaftarkan di bawah Ordinan Perniagaan 1956 sebagai pemilik tunggal pada 1hb
September 1981.
Dewasa ini, Nordin Batik telah menjadi syarikat yang terulung di negeri Kelantan
malah kewujudan Wisma Nordin adalah satu mercu tanda perniagaan batik tersebut dan ianya
terletak pada Lot 74, Kampung Paloh Pintu Geng, Kota Bharu, Kelantan yang mana bernilai
lebih kurang RM2 juta. Di samping mengusahakan perusahaan batik, Tuan Haji Nordin juga
telah mengorak langkah dengan membangunkan sebuah hotel bajet yang dikenali dengan
nama Paloh Inn yang terletak pada bangunan yang sama, di mana sekarang ini diuruskan oleh
anak ketiganya, Puan Azlizan Nordin. Di bangunan Wisma Nordin juga, terletaknya
Showroom Nordin batik yang diuruskan oleh anaknya yang sulung iaitu Puan Azlinda Nordin
dan dibantu oleh Encik Ruhi Mukhlis Muhammad selaku Penolong Pengurus Showroom
Nordin batik.
6
4.1 Biodata Pengerusi Eksekutif
Tuan Haji Nordin bin Mahmood, dilahirkan pada 24 September 1949, di Jalan Gajah
Mati, Kota Bharu, Kelantan berusia 64 tahun merupakan Pengerusi Eksekutif Wisma
Nordin Group. Beliau menetap di Lot 1905, Jalan Wakaf Stan, Kubang Kerian, Kota
Bharu, Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Padang Garong, Kota
Bharu dan beliau telah melanjutkan pelajarannya di Sultan Ismail College (SIC).
Penglibatan beliau dalam bidang batik mula timbul sejak dari zaman kanak-kanaknya
lagi, yang mana beliau telah terdedah kepada dunia batik. Sebenarnya, batik telah
menjadi sebahagian daripada hidup Tuan Haji Nordin kerana bapanya, iaitu Haji
Mahmood bin Muhammad sendiri adalah seorang penggiat batik di sekitar awal 40-
an. Haji Mahmood telah menjadikan batik sebagai sumber pendapatan utama keluarga
dengan membuat sarang batik (batik cop) dan mengusahakan batik secara tradisional
di bawah rumahnya, di Jalan Gajah Mati bersama seorang pekerja, yang mana ia
diusahakan secara kecil-kecilan.
Berkat dari pemerhatian sejak kecil, minat Tuan Haji Nordin terhadap batik
mula tersemai. Pada tahun 1963, beliau telah mula membantu bapanya dalam
pembatikkan, dan kemudian telah keluar mencari pengalaman berniaga batik dengan
bapa saudaranya sendiri, Tuan Haji Muhammad Amin bin Idris. Pada tahun 1968
sehingga 1972, berbagai pengalaman yang ditimba sepanjang terbabit dalam bidang
penjualan yang mana Tuan Haji Nordin sebagai jurujual di kedai bapa saudaranya
yang terletak di Pasar Lama Kota Bharu, atau lebih dikenali sebagai ‘Pasar Zink
Merah’. Selepas lebih empat tahun sebagai jurujual, Tuan Haji Nordin telah membuat
keputusan untuk mengambil upah membuat batik sendiri, sekaligus mewarisi tradisi
7
batik dari bapanya. Dengan bermodalkan RM500, beliau telah membuka tapak di
Kampung Sireh dengan menubuh sebuah kilang dan diusahakan dengan dibantu oleh
tiga orang pekerja. Beliau membuat batik secara mengambil upah dari pembatik-
pembatik di sekitar Kota Bharu selama lebih kurang 15 tahun. Berkat kesabaran,
komited yang tinggi, dan idea yang kreatif, beliau berjaya bertahan dan muncul
sebagai penggiat batik yang tersohor di Kelantan. Pada tahun 2002, beliau memenangi
tempat kedua bagi Anugerah Tokoh Usahawan Kraf 2002 Peringkat Akhir, sebagai
ahli Persatuan Pembatik-pembatik Kelantan dan aktif sebagai ahli persatuan amal.
Sebagai seorang ketua keluarga, beliau merupakan seorang suami dan bapa yang
penyayang dan bertanggungjawab. Isteri beliau, Puan Hajah Asiah binti Mohd Zain,
merupakan pengurus pusat jualan Nordin Batik di Bazaar Buluh Kubu. Bapa kepada
enam orang cahaya mata ini, telah berjaya membesarkan anak-anak beliau, dan
menjadikan mereka sebagai bakal pewaris kepada perniagaan beliau, yang mana anak
sulung beliau, Azlinda Nordin telah dilantik sebagai Pengurus Showroom Nordin
Batik Sdn. Bhd, anak keduanya iaitu Fadli Nordin di pertanggungjawabkan menjaga
dan menyelia kilang kedua yang terletak di Kg. Penambang, Jalan PCB, Kota Bharu,
manakala anak ketiganya iaitu Azlizan Nordin pula bertindak sebagai Pengurus
Pentadbiran Paloh Inn. Aziana Nordin pula merupakan anak ke empat, memperolehi
Diploma Kesetiausahaan daripada Universiti Teknologi MARA Cawangan Dungun,
Terengganu. Manakala anaknya yang kelima iaitu Mohd. Faizal, bertanggungjawab
ke atas kerja-kerja pembinaan bagi projek terbaru Tuan Haji Nordin iaitu industri
burung layang-layang. Seterusnya anak bongsu beliau, Nur Afiqah masih lagi
menuntut di institut pengajian tinggi.
8
4.2 Profil Perniagaan
Nama Syarikat : Nordin Batik Sdn. Bhd.
No. Pendaftaran Syarikat : 280166 X
Alamat : Lot 184, Kampong Pintu Geng, 15100 Kota
Bharu, Kelantan Darul Naim.
Tarikh Penubuhan : 29 hb Oktober 1993
Setiausaha Syarikat : SAIFULDIN & PARTNER (M) SDN. BHD.
4355-D, Lot 1006, Seksyen 27, Tingkat 1,
Jalan Pengkalan Chepa, 15400 Kota Bharu,
Kelantan Darul Naim.
Status Syarikat Sendirian Berhad
Telefon 09-748 5394
Modal Berbayar RM 500,000.00
Bank / No. akaun PBB 3094046717
RHB 20303910137040
BCB 03010048987058
Jualan Setahun RM 4,500,000.00 (TAHUN 2012)
Kapasiti Pengeluaran
Sebulan
i. Batik Stensil – 4,600 helai
ii. Kain Kemeja Stensil – 3,000 helai
iii. Kaften Stensil– 2,000 helai
Jenis Produk Yang
Dikeluarkan
i. Batik Pasang Lukis
ii. Batik Kaften Lukis
iii. Batik Skaf Lukis
iv. Batik Pasang Stensil
v. Batik Kaften Stensil
vi. Batik Skaf Stensil
vii. Batik Sarong
viii. Kain Kemeja Stensil
Saluran Pengedaran i. Agensi Kerajaan
ii. Pelancong
iii. Jualan terus kepada pembekal
iv. Jualan terus kepada pengguna
Nilai Eksport : RM 330,000,000
9
Punca Bahan Mentah : Kain putih diimport terus dari Negara China dan
Singapura manakala ubat kain dibeli dari
pembekal tempatan.
Pengalaman dalam bidang
batik
: 42 tahun
Kajian dan Penyelidikan : Sentiasa mengadakan perbincangan dan kajian
dengan kakitangan yang terlibat mengenai
masalah yang timbul terutama sekali di bahagian
stensil dan teknik mewarna supaya ianya dapat
menghasilkan mutu yang menarik dan cantik.
10
4.3 Showroom Nordin Batik
Showroom Nordin Batik ialah sebuah pusat jualan kraftangan yang terletak di
bangunan Wisma Nordin, Lot 74, Kampung Paloh Pintu Geng, Kota Bharu, Kelantan.
Sebagai sebuah pusat kraftangan yang pertama seumpamanya di bandar Kota Bharu.
Usaha syarikat ini untuk memperkenal dan menaikkan kembali martabat hasil
kraftangan tempatan yang mana satu-satunya warisan tradisi nenek moyang kita dapat
dihargai oleh semua lapisan masyarakat dan dipelihara hasil seninya. Penumpuan
syarikat ini ialah untuk memasarkan barangan kraftangan dan hasil produk batik dan
juga songket. Pemilik Showroom Nordin Batik, Tuan Haji Nordin Bin Mahmood
telah mendapat khidmat nasihat dari pihak Kraftangan Malaysia untuk menjalankan
perusahaan penjualan kraftangan. Pada mulanya, Tuan Haji Nordin merancang untuk
menjadikan tapak jualan ini sebagai sebuah pusat pameran dan jualan barangan batik
sahaja, tetapi setelah dikaji dan ditinjau oleh pihak Kraftangan Malaysia, tapak jualan
ini berpotensi untuk dimajukan sebagai sebuah pusat kraftangan yang mengumpulkan
pelbagai jenis hasil seni dan kraftangan yang unik dan menarik. Dengan inisiatif
pemilik, maka wujudlah sebuah pusat pameran dan jualan kraftangan yang pertama di
negeri Kelantan dengan keluasan 11,200 kaki persegi yang dikenali sebagai
Showroom Nordin Batik. Bersama kakitangan seramai sepuluh orang yang diuruskan
oleh pengurus pusat pameran, Puan Azlinda Nordin pasti Showroom Nordin Batik
mampu muncul sebagai pusat kraftangan yang terkenal di Malaysia.
11
a) Objektif
Pusat pameran dan jualan kraftangan yang diwujudkan adalah salah satu projek
pelancongan yang bakal menarik minat pelancong bagi mengenali lebih dekat
kesenian dan kehalusan kraftangan masyarakat tempatan. Showroom Nordin Batik
diharapkan dapat mengiktiraf produk kraftangan ke peringkat antarabangsa, sekaligus
dapat memartabatkan nilai budaya Melayu yang sebenar. Syarikat juga berharap agar
pusat kraftangan ini dapat menjadi salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di
negeri Kelantan, khusus bagi pelancong yang ingin mendapatkan produk kraftangan
yang terbaik dan pelbagai dengan harga yang berpatutan.
b) Misi / Visi
Misi utama syarikat dalam mewujudkan pusat pameran dan jualan kraftangan ini ialah
untuk menyedia dan memasarkan produk-produk kraftangan dan tradisional yang
mempunyai ciri-ciri keaslian nilai seni dan budaya yang tinggi.
c) Sasaran Pelanggan
Syarikat telah mengenalpasti beberapa kategori pelanggan yang disasarkan bagi
melancarkan pameran dan penjualan produk kraftangan :
i. Rombongan pelancong luar negeri
ii. Rombongan pelancong tempatan
iii. Kakitangan kerajaan dan perbadanan
iv. Pemborong-pemborong tempatan dan luar negeri
d) Produk Pembuatan dan Jualan
Beberapa produk yang bakal dijadikan bahan pameran dan jualan di pusat kraftangan
syarikat ialah:
i. Produk batik (kain, baju siap, beg, bekas pensil dan lain-lain)
ii. Barang-barang haji dan ihram (kain ihram, tali pinggang haji, seluar haji
dan telekong sembahyang)
iii. Produk perak (pasu, mangkuk, perhiasan, replika dan lain- lain)
iv. Produk kayu ukir (bekas pensil, bingkai gambar, perhiasan, bingkai cermin
dan lain-lain)
v. Pasu antik (terdiri daripada pasu yang dibentuk dan dicorakkan dengan
teknik tradisional)
12
vi. Produk songket (kain, beg dan perhiasan rumah)
vii. Produk tembikar (terdiri daripada produk tembikar dalam pelbagai saiz
dan bentuk)
viii. Produk kaca (diimport khas dari negara China seperti gelas kaca, pasu
bunga, buah-buahan hiasan dan lain-lain
ix. Produk mengkuang dan rotan ( terdiri daripada tudung saji, beg, bakul,
topi, bekas bunga dan lain-lain)
x. Produk khat dalam pelbagai bentuk dan saiz dengan ukiran ayat-ayat suci
Al-Quran.
xi. Alatan sembahyang (seperti tasbih, sejadah, kopiah, songkok dan baju
melayu untuk dewasa dan kanak-kanak)
e) Aktiviti Pelancongan
Beberapa aktiviti pelancongan telah dirancang dan dijadualkan yang mana akan
beroperasi di salah satu sudut di tapak Showroom Nordin Batik ini bagi memberi
peluang kepada pelancong yang berkunjung untuk melihat dengan lebih dekat
bagaimana produk kraftangan dihasilkan. Antara aktiviti yang syarikat sediakan ialah
mini bengkel untuk mendemonstrasikan cara pembuatan batik bermula dari proses
‘chanting’ dan mewarna. Syarikat juga mengadakan demonstrasi membuat wau dan
tenunan songket.
f) Kemudahan dan Keistimewaan
Sebagai sebuah pusat pameran yang bakal dikunjungi oleh pelbagai lapisan
masyarakat dan dari serata negeri, syarikat akan memastikan pengunjung yang datang
mestilah dilayan dengan sebaik mungkin, dan kerana menyedari hakikat tersebut
syarikat akan menempatkan kakitangan yang mencukupi dan mesra pelanggan untuk
melayan pelanggan syarikat di setiap bahagian yang diwujudkan. Bukan itu sahaja,
antara kemudahan lain ialah kemudahan musalla, dan kawasan meletak kereta yang
mencukupi bagi menampung kehadiran pelancong. Syarikat juga telah mewujudkan
beberapa replika berbentuk produk kraftangan seperti rebana, keris, kain batik dan
‘chanting’. Dengan adanya replika ini mungkin boleh menarik minat pelancong untuk
berhenti dan singgah di pusat kraftangan syarikat ini.
13
g) Strategi Pemasaran
Syarikat telah merancangkan beberapa strategi pemasaran bagi memberikan
maklumat kepada umum berkenaan pusat pameran dan jualan kraftangan yang
diwujudkan melalui beberapa media seperti internet, akhbar dan media elektronik
yang mana dari segi penerimaan maklumat yang lebih menyeluruh dan meluas.
Melalui promosi yang bakal diadakan, syarikat dapat menarik minat pelancong dan
masyarakat tempatan untuk membeli produk kraftangan dengan harga istimewa. Di
samping itu, syarikat juga giat mempromosikan rangkaian produk dengan
mengadakan lawatan promosi dari sekolah ke sekolah, lawatan ke jabatan-jabatan
kerajaan, agensi pelancongan, dan menaja pakaian bagi pengacara televisyen dan
artis, selain dari mengadakan karnival jualan dengan tawaran harga yang menarik.
4.4 Proses Pembuatan Batik
Kain di ‘chanting’ Proses skrin
Produk sedia dipasarkan
14
5.0 ANALISIS FIRMA DAN PERNIAGAAN NORDIN BATIK KELANTAN
5.1 Amalan Keusahawanan
Nordin Batik Sdn. Bhd. adalah merupakan sebuah Syarikat Sendirian Berhad yang
ditubuhkan bagi tujuan mengilang dan mengedar batik tradisional untuk pasaran di
dalam dan di luar negeri Kelantan. Ianya ditubuhkan pada tahun 1993 tambahan
kepada perniagaan yang dahulunya didaftarkan dibawah Ordinan Perniagaan 1956
sebagai pemilik tunggal pada 1hb. Sept. 1981. Dengan kegigihan dan ketabahan
pemiliknya iaitu Tuan Haji Nordin bin Mahmood, syarikat ini telah berkembang maju
tahun demi tahun di dalam perusahaan batik tradisional. Beliau telah pun memulakan
perusahaan batik ini semenjak 1972, bertempat di Kampung Sireh, Kota Bharu
dengan 3 orang pekerja. Pengeluaran pada masa itu bertumpukan kepada batik sarong
dan batik ela. Di sini juga dinyatakan peringkat-peringkat amalan keusahawanan yang
diamalkan oleh Tuan Haji Nordin dalam pembuatan batiknya iaitu:-
i. Input - Sentiasa mengenal pasti jenis kain yang bermutu dan diimport.
Kebanyakan kain yang diimport adalah dari China. Jenis kain juga dikelaskan
mengikut gred-gred yang tertentu. Gred yang mahal akan menghasilkan batik yang
mahal dan bermutu nilainya.
ii. Transformasi - Pada awalnya, pengilangan dibuat dengan 15 orang pekerja.
Syarikat mendapat bekalan kain putih dari Koperasi Pembatik-pembatik Kelantan
Berhad untuk mengilang batik sarong dan batik ela. Tahap pengeluaran adalah
sebanyak 15-20 pasang sehari. Kerja-kerja ini dilakukan secara mengambil upah dari
pembatik-pembatik di sekitar Kota Bharu.Syarikat terpaksa berpindah ke Kampung
15
Pintu Geng, Kota Bharu, kerana proses pembesaran di mana tempat lama didapati
tidak lagi sesuai kerana sempit. Pada masa ini bilangan pekerja telah meningkat
kepada 50 orang dengan kuantiti pengeluaran sebanyak 100 meter sehari. Syarikat
memasuki era baru dalam industri batik tradisional dengan mengeluarkan batik tulis
yang terdiri dari kain sutera Jacquard, Rayon Jacquard dan Rayon Fuji. Bilangan
pekerja meningkat kepada 60 orang dengan pengeluaran sebanyak 100 pasang sehari
(400 meter).
iii. Output - Syarikat telah dilesenkan sebagai pengilang berlesen dibawah
Seksyen 13, Akta Cukai Jualan. Syarikat telah diberi kebenaran oleh Jabatan Kastam
dan Eksais di Raja untuk mengimport kain putih dari China dan Singapura tanpa
bayaran cukai jualan. Di samping itu, syarikat juga diberi pengecualian duti import
oleh Perbendaharaan Malaysia untuk tujuan yang sama. Jumlah pekerja meningkat
kepada 80 orang dan pengeluaran meningkat kepada 120 pasang sehari (480 meter).
Bilangan pekerja bertambah kepada 110 orang seiring dengan pertambahan
permintaan yang mana pengeluaran meningkat kepada 440 pasang sehari (1760
meter). Syarikat telah menambahkan bilangan pekerja kepada 140 orang dengan
purata pengeluaran di antara 550-750 pasang sehari dengan penggunaan kain putih di
antara 2200 hingga 3000 meter sehari dan semuanya adalah terdiri daripada kain
sutera yang diimport terus daripada negara China.
5.2 Pengaruh Persekitaran
Perkembangan fesyen terkini menjadikan industri batik semakin berkembang dengan
pelbagai idea yang dihasilkan oleh pelukis batik adalah sangat berdaya saing. Faktor
ini mengapa pengurusan harus sentiasa peka dengan keadaan semasa. Persekitaran
memainkan peranan penting dan amat dititikberatkan oleh Tuan Haji Nordin dalam
memastikan kualiti batik yang dihasilkan benar-benar memberi kepuasan kepada
citarasa pelanggan malah pengaruh persekitaran yang sering memberi kesan adalah
dari sudut:-
i. Luaran - Persekitaran luaran seperti pelanggan, persaingan, pengaruh kerajaan,
pembekal, institusi kewangan dan pertubuhan bukan kerajaan adalah persekitaran
yang mempengaruhi secara langsung aktiviti keusahawanan dari luar usaha teroka.
Malah dengan terbentuknya faktor-faktor ini maka pengusaha batik yang lain
16
sentiasa bertungkus lumus bagi memastikan produk mereka sentiasa mendapat
tempat dihati pelanggan dengan pelbagai variasi corak yang terbaru dan terkini.
ii. Dalaman - Komponen persekitaran dalaman terdiri daripada sumber, struktur dan
budaya. Sumber merupakan aset utama bagi pengeluaran produk. Sumber ini
termasuklah usahawan sendiri, aset kewangan, sumber manusia, bahan mentah,
kemudahan fizikal, teknologi dan reputasi. Usahawan perlu menguruskan sumber-
sumber ini dengan cekap agar perniagaan terus maju. Usahawan sendiri
merupakan sumber yang paling dekat dengan perniagaan. Diri usahawan yang
menyumbang tenaga, idea, kemahiran, pengetahuan dan pengalaman. Usahawan
perlu bekerja keras, jujur, berwawasan, bersemangat, tidak mudah putus asa,
menepati janji. Sumber kewangan diperlukan untuk mendapat lain-lain sumber.
Sumber kewangan terdiri daripada modal sendiri, pinjaman bank, pinjaman
daripada saudara mara atau rakan, pelabur-pelabur dan penajaan sumber
kewangan dalaman. Sumber manusia atau pekerja amat dititikberatkan malah
pekerja itu sendiri yang akan merealisasikan matlamat usahawan dan menjadikan
sektor batik bermutu nilainya. Manakala sumber fizikal pula adalah harta
digunakan dalam pengeluaran dan pentadbiran usaha teroka. Ianya terdiri daripada
bangunan, peralatan, mesin dan jentera serta semua harta yang ada di lokasi usaha
teroka. Selain itu, struktur usaha teroka adalah kaedah mengorganisasikan terma
komunikasi, rantaian perintah, autoriti dan aliran kerja. Usahawan batik perlu
menanam budaya yang positif dalam organisasi perniagaan daripada peringkat
awal penubuhan usaha teroka. Hal ini perlu untuk memastikan satu suasana yang
kondusif atau baik wujud dalam organisasi bagi pengurusan yang lebih berkesan.
Dalam pada itu juga, suasana tempat mencanting batik atau tempat melukis batik
juga haruslah mempunyai ruang yang mencukupi dan luas agar ianya dapat
memberi keselesaan kepada pelukis batik agar dapat menterjemahkan serta
menghasilkan batik yang bermutu nilainya.
iii. Kebaikan - Aspek kebaikan yang diterapkan terutamanya disiplin para pekerja
atau sumber manusia itu sendiri memainkan peranan penting di samping dapat
menaikkan imej firma. Selain itu juga, ianya dapat membantu keluarga masing-
masing terutama pekerjanya yang terdiri golongan remaja dan ibu-ibu tunggal
dengan kepakaran yang dimiliki malah memberi peluang pekerjaan kepada
17
masyarakat setempat dalam penghasilan produk batik. Setiap produk yang
dihasilkan disusun dengan lebih teratur, lebih kemas agar ianya mampu menarik
minat pelanggan untuk melihat hasil keluaran batik. Selain itu, faktor demografi
dilihat dikenal pasti dan dianalisa oleh usahawan dalam bentuk umur, jantina dan
lain-lain yang akan mempengaruhi usahawan dalam membuat keputusan tentang
lokasi dan jenis keluaran.
iv. Masalah - Kebanyakan masalah pengusaha batik adalah bermula daripada
persaingan dalam pasaran. Selain itu, lokasi firma haruslah strategik dan
memudahkan para pelanggan untuk singgah selain kurangnya publisiti, iklan serta
promosi. Selain itu, masalah faktor cuaca menjadi pemangkin kepada warna
dalam menghasilkan corak dan batik yang menarik serta eksklusif. Selain itu,
masalah kelembapan dan kegawatan ekonomi telah melanda negara, semua
perniagaan menjadi lembap, begitulah juga dengan perniagaan industri batik
menerima nasib yang sama. Walau bagaimanapun dengan pengalaman yang ada
pada Encik Nordin Mahmood, beliau masih lagi bertahan untuk mengeluar dan
memasarkan keluaran kilang beliau. Di samping itu, beliau juga telah berjaya
mengubah haluan corak batik daripada corak lukis tangan kepada corak stensil
(skrin printing – manual) yang menjadi kesukaan orang ramai. Skrin printing
menggunakan meja meja panjang dan mampu mengeluarkan 2000 meter sehari
jika perlu.
5.3 Pengurusan Organisasi
i. Pekerja - Syarikat memberi peluang kepada tenaga kerja untuk mencurahkan idea
mereka bagi menghasilkan batik yang lebih bermutu. Semangat harus diberikan
kepada mereka bagi mendapatkan hasil kerja yang lebih baik. Di samping
itu, dengan perbanyakkan pameran merupakan satu alternatif dalam
memperkenalkan industri batik di persada antarabangsa dengan lebih produktif
dan kompetitif.
ii. Operasi Syarikat - Syarikat telah diluluskan Pengecualian Duti Import/Cukai
Jualan ke atas Mesin dan Peralatan oleh MIDA sebagaimana Rujukan MIDA
100/32114/0061/002 JKM pada 19 September 2000. Dengan kelulusan ini
syarikat telah menempah 2 buah mesin iaitu mesin kalender dan mesin clureng
18
dari Pekalongan, Indonesia dengan harga RP125,000,000.00 juta =
RM52,500.00 dan dijangkakan syarikat akan memperolehi mesin tersebut pada
pertengahan bulan Jun ini. Kegunaan mesin adalah untuk pengering dan
pengilat khusus untuk pengeluaran batik sarong dan Batik Jawa Tulin.
iii. Sosial – Peranan sosial yang dimainkan oleh usahawan atau perniagaan meliputi
peringkat-peringkat berikut.
a) Input – Mengadakan bengkel atau seminar kepada para pengusaha termasuk
pelukis batik bagi mencurahkan idea mereka dalam menghasilkan tahap batik
yang tinggi nilai komersialnya. Menghasilkan pelbagai corak sama ada bebas,
abstrak atau tumbuh-tumbuhan mengikut gaya semasa dan terkini.Di samping itu,
mengadakan pameran di setiap ekspo sama ada di peringkat negeri atau
antarabangsa, menempatkan beberapa orang wakil yang mampu memberikan
maklum balas kepada para pelanggan.
b) Transformasi – Mengadakan kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya
batik kerana ianya menggambarkan budaya kita sebagai orang Melayu yang tidak
dapat dipisahkan dengan batik. Selain itu, tahun 2003 telah menyaksikan kejayaan
besar dalam sejarah perniagaan bagi Tuan Haji Nordin. Setelah melalui pelbagai
rintangan dan jatuh bangun di dalam industri batik serta mendapat persaingan
yang sengit dari pengusaha-pengusaha batik profesional di sekitar Kota Bharu,
beliau telah mengambil langkah yang berani pada masa yang tepat untuk
mengembangkan lagi empayar perniagaannya. Dengan tertubuhnya Wisma
Nordin pada pertengahan 2003, yang terbahagi kepada beberapa cabang
perniagaan, iaitu ruang pameran dan pusat jualan kraftangan (SHOWROOM
NBSB), tempat penginapan dengan bilik berhawa dingin serta kemudahan yang
selesa (PALOH INN), dewan untuk pelbagai kegunaan (DEWAN CENGKIH) dan
sektor pemaju perumahan (NBM ENGINEERING & DEVELOPMENT) yang
dibina di atas tapak dengan keluasan 2 ¼ ekar di alamat 74, Kg. Paloh Pintu Geng,
15050 Kota Bharu, Kelantan. Pada masa yang sama, pihak kerajaan telah
mengadakan kempen penggalakkan pemakaian batik di kalangan kakitangan
kerajaan dan juga swasta sebagai sebahagian pakaian rasmi semasa bekerja. Hasil
dari galakan daripada kerajaan juga, industri pembatikkan Malaysia telah
menunjukkan perkembangan yang positif. Usaha ini disambut baik oleh seluruh
19
pengusaha batik, dan pihak syarikat Tuan Haji Nordin juga tidak ketinggalan
untuk menghasilkan produk yang lebih baik, mempelbagaikan corak dan fabrik
kain demi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
c) Output – Ianya sebagai pemangkin kepada kemajuan negara dalam meningkatkan
ekonomi negara di samping memperkenalkan batik di persada antarabangsa. Ia
juga menjadi amalan masyarakat di negara ini agar menjadikan pakaian batik
sebagai satu wadah atau kemestian dalam menghadiri majlis-majlis rasmi tidak
kira mereka Melayu, Cina dan India serta kaum lain juga sebagai jati diri rakyat
Malaysia dalam merealisasikan semangat 1Malaysia.
5.4 Analisis SWOT
Secara umumnya, analisis SWOT (Strengths, Weakness, Opportunities & Threats)
telah digunakan untuk membuat penilaian dan analisis setelah semua maklumat
diperoleh. Pendekatan SWOT adalah satu model analisis yang paling hampir kepada
situasi sebenar kerana ia memberi peluang untuk penilaian secara serentak dalam
membuat keputusan, menilai objektif, pelbagai faktor dan strategi (Siti Maimon,
2003). Dalam pendekatan SWOT, saya mengambil langkah untuk mengetahui serba
sedikit tentang perniagaan Tuan Haji Nordin dari segi:-
Kekuatan (Strengths).
Apakah kecekapan yang ada pada perniagaan anda? Apakah yang anda benar-benar
cemerlang dalam melakukan sesuatu?
Ya, sentiasa peka dengan perkembangan semasa dalam industri batik kerana sekarang
banyak persaingan di antara pengusaha batik sama ada dalam Kelantan atau luar dari
Kelantan. Saya mesti sentiasa kemaskinikan corak serta padanan warna yang terbaru
agar setiap batik yang dihasilkan lebih berkualiti dan mendapat tempat pertama di hati
pelanggan.
Kelemahan(Weakness).
Adakah perniagaan anda kekurangan daripada segi sumber-sumber atau kebolehan?
Adakah perniagaan anda terdedah kepada ancaman pesaing-pesaing?
Boleh dikatakan banyak kekurangan terutamanya permintaan yang banyak dari para
pelanggan, semakin banyak permintaan maka banyaklah jumlah kain yang diperlukan
dan di situlah sumber-sumber kain dari pengedar perlu kita hubungi. Selain daripada
20
itu, para pekerja dilatih untuk mengetahui tentang mutu kain, warna, fabrik dan
sebagainya.Ya, banyak persaingan serta ancaman dari pesaing-pesaing lain
terutamanya dari segi sumber kain.
Peluang-peluang (Opportunities). Bolehkah perniagaan anda menjual lebih banyak
atau mencari pasaran baru atau membuat produk/ servis baru?
Seperti yang dikatakan tadi, perniagaan ini boleh berkembang jika wujudnya idea-
idea baru untuk dihasilkan bagi menjamin mutu batik yang tinggi. Banyak peluang
boleh diketengahkan dan produk ini bukan sahaja setakat kain atau kemeja batik
sahaja, mungkin kita akan perkenalkan produk baru berasaskan batik seperti lampu,
kotak, pensel, payung dan pelbagai barangan lain yang mempamerkan ciri-ciri batik.
Ancaman(Threats). Adakah produk dan teknologi anda boleh ditewaskan? Atau
adakah pasaran semakin mengecil?
Ya, kemungkinan ianya boleh berlaku di kalangan pengusaha batik sekarang
terutamanya timbul cara baru yang lebih lengkap, lebih canggih dan ada juga di
kalangan pengusaha yang berkemampuan akan menggunakan teknik lukisan batik
secara digital, dan itulah yang menjadikan kita tewas. Sebenarnya banyak cara yang
boleh kita ketengahkan dalam menghasilkan produk batik yang lebih berkualti dan
bermutu.
5.5 Ringkasan Analisis
Secara keseluruhan, kejayaan Tuan Haji Nordin bin Mahmood sebagai usahawan
kampung yang kreatif dan inovatif dalam perusahaan batik tradisi di Kelantan
dipengaruhi oleh kemahiran-kemahiran keusahawanan yang tinggi yang ada dalam
dirinya. Semua ilmu dan kemahiran ini berjaya beliau perolehi melalui pelbagai
pengetahuan dan pengalaman luas dan berguna yang telah beliau lalui sepanjang
bergelar usahawan. Sehingga ke hari beliau telah berjaya mendapat gelaran Tokoh
Usahawan Batik yang berjaya. Hal ini menjadikan beliau layak untuk dianggap
sebagai seorang yang mempunyai ciri-ciri kretif dan inovatif. Untuk lebih memahami
dan melihat dengan lebih jelas lagi tentang analisis Perniagaan Nordin Batik Sdn Bhd
dari konteks perusahaan yang bercirikan kreatif dan inovatif, sila rujuk Jadual 1.
21
Jadual 1: Ringkasan Analisis Usahawan Kreatif dan Inovatif: Perniagaan Nordin Batik
Sdn Bhd.
Aktiviti / Proses Strategi & Langkah Pengurusan PerniagaanProduk Sentiasa mengenal pasti jenis kain yang bermutu dan diimport
dari China. Jenis kain juga dikelaskan mengikut gred-gred yang tertentu. Gred yang mahal akan menghasilkan batik yang mahal dan
bermutu nilainya. perkenalkan produk baru berasaskan batik seperti lampu, kotak,
pensel, payung dan pelbagai barangan lain yang mempamerkan ciri-ciri batik
Pengeluaran mengubah haluan corak batik daripada corak lukis tangan kepada corak stensil (skrin printing – manual) yang menjadi kesukaan orang ramai.
Skrin printing menggunakan meja meja panjang dan mampu mengeluarkan 2000 meter sehari jika perlu.
Pengurusan organisasi
Mengadakan bengkel atau seminar kepada para pengusaha termasuk pelukis batik bagi mencurahkan idea mereka dalam menghasilkan tahap batik yang tinggi nilai komersialnya.
Pengurusan pekerja memberi peluang kepada tenaga kerja untuk mencurahkan idea mereka bagi menghasilkan batik yang lebih bermutu.
Perkhidmatan pelanggan
kemaskinikan corak serta padanan warna yang terbaru agar setiap batik yang dihasilkan lebih berkualiti dan mendapat tempat pertama di hati pelanggan
Pemasaran memberikan maklumat kepada umum berkenaan pusat pameran dan jualan kraftangan yang diwujudkan melalui beberapa media seperti internet, akhbar dan media elektronik
mempromosikan rangkaian produk dengan mengadakan lawatan promosi dari sekolah ke sekolah, lawatan ke jabatan-jabatan kerajaan, agensi pelancongan, dan menaja pakaian bagi pengacara televisyen dan artis, selain dari mengadakan karnival jualan dengan tawaran harga yang menarik.
perbanyakkan pameran merupakan satu alternatif dalam memperkenalkan industri batik di persada antarabangsa dengan lebih produktif dan kompetitif.
Beberapa aktiviti pelancongan telah dirancang dan dijadualkan yang mana akan beroperasi di salah satu sudut di tapak Showroom Nordin Batik ini bagi memberi peluang kepada
22
pelancong yang berkunjung untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana produk kraftangan dihasilkan.
Kajian & Penyelidikan
Sentiasa mengadakan perbincangan dan kajian dengan kakitangan yang terlibat mengenai masalah yang timbul terutama sekali di bahagian stensil dan teknik mewarna supaya ianya dapat menghasilkan mutu yang menarik dan cantik.
6.0 CABARAN-CABARAN YANG DIHADAPI.
Setiap insan di dunia ini tidak boleh lari dari cabaran dan dugaan dalam hidup, begitu juga
dengan Tuan Haji Nordin bin Mahmood sendiri. Pelbagai asam garam dalam selok-belok
perniagaan telah beliau lalui. Beliau juga telah merasa bermula dari bawah, kemerosotan
ekonomi, karenah pelanggan dan banyak lagi. Antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh
beliau adalah masalah untuk bertapak dalam industri batik. Untuk menjadikan batik beliau di
kenali orang ramai, beliau pernah menjual kain batik dari rumah ke rumah dengan
menggunakan basikal dan beliau berjalan kaki sambil memikul kain batik sekiranya basikal
beliau rosak. Setelah orang ramai mula mengenali akan kain batik tersebut, beliau mula
mendapat tempahan dari pelusuk Kota Bharu.
Di samping itu juga, kehidupan keluarga beliau yang serba kekurangan telah
menaikkan lagi motivasi beliau untuk berdikari sendiri. Betapa susahnya hidup beliau
sehingga beliau mengambil langkah untuk meneruskan usaha bapa beliau dalam
mengusahakan batik tradisional. Sehinggalah beliau berjaya menjadikan syarikat beliau
antara yang elit di Kelantan pada masa ini. Apa yang menarik perhatian saya adalah beliau
tidak langsung meninggi diri malah selalu mengingati asal usul beliau. Sampai begitu sekali
beliau merendahkan diri namun beliau percaya pasti ada hikmah di sebalik apa yang di
lakukannya. Cabaran yang paling besar yang pernah di tempuhi dan tidak mungkin di
lupakan adalah kegawatan ekonomi Malaysia pada sekitar tahun 1993 sehingga hujung 1998.
Di antara tahun itu, perniagaan beliau mula jatuh dan permintaan terhadap batik merudum
secara mendadak sehinggakan tiga perempat dari pengusaha batik di negeri Kelantan telah
kerugian teruk dan ada yang telah lingkup. Pelbagai inisiatif telah di lakukan oleh beliau
untuk mengukuhkan kembali perniagaan beliau hinggalah diperkenalkan kain sutera dan
penggunaan teknik lukis tangan. Sejak dari itu bermulalah evolusi dalam batik sehingga ke
hari ini.
23
Beliau telah menanam sikap sentiasa maniskan muka apabila berdepan pelanggan
walaupun mereka silap dan cerewet. Tapi masih tidak terlepas dari pelanggan yang menipu,
tidak membayar batik yang sudah di ambil, dan lain- lain. Inilah asam garam perniagaan yang
beliau pernah lalui.
7.0 KESIMPULAN
Usahawan yang mengusahakan batik merupakan seseorang yang berfikiran kreatif, inovatif
dan bersedia mengambil risiko dalam mengusahakan usaha teroka yang diceburinya.
Usahawan akan cuba menghasilkan idea-idea perniagaan yang baru, mengoptimumkan
penggunaan sumber-sumber yang sedia ada dalam membangunkan perniagaannya sehingga
berjaya. Usahawan juga dikatakan mencipta kekayaan dari hasil usaha terokanya. Peranan
usahawan adalah sangat penting dalam membina masyarakat yang sempurna dan sihat. Pihak
kerajaan telah mewujudkan banyak program-program bagi menggalakkan penyertaan
individu sebagai usahawan. Persediaan untuk menjadi usahawan bolehlah diibaratkan sebagai
langkah bersiap sedia menuju medan perang. Individu yang terlibat hendaklah mempastikan
bahawa mereka bukan sahaja mempunyai kelengkapan fizikal yang standing dengan musuh
dalam bidang perniagaan yang akan diceburi tetapi juga mempunyai kekuatan spiritual dan
mental yang seimbang dengan cabaran yang akan ditempuhi. Walaupun kerjaya sebagai
usahawan sesuatu yang dianggap mencabar, namun pada masa yang sama hasil dan
ganjarannya amatlah memberangsangkan.Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya,
seseorang individu itu perlu mempunyai ciri-ciri unik seorang usahawan. Ciri-ciri inilah yang
membezakan individu yang bergelar usahawan dengan bukan usahawan. Seseorang usahawan
itu boleh menjadi seorang pengurus dan peniaga kecil, namun belum pasti mereka ini boleh
menjadi usahawan yang berjaya. Profil usahawan berjaya boleh dijadikan contoh dan sumber
inspirasi kepada seseorang individu dalam mengejar cita-citanya menjadi usahawan berjaya
dan cemerlang.
Andersson, S.(2003). High-growth firms in the Swedish erp industry. Journal of small
business and enterprise development 10(2):180-193.
24
Azizi Hj. Yahaya,(2008). Pembentukan Personaliti Remaja Johor. Sekundai. Universiti
Teknologi Malaysia.
Dinnis, A & Helms,M.(2000). Women entrepreneurship: a study case of Portugal. Journal of
international business of entrepreneurship.8 (2):65-88.
Erni et.al,(2001). Penglibatan kaum wanita dalam aktiviti keusahawanana di negeri Johor:
Kajian terhadap faktor-faktor kritikal kejayaan dan kegagalan pengendalian perniagaan.
(Dlm) Thuaibah et.al
Ibrahim,I.(2000).Kedudukan wanita dalam isalam. Dalam Abdul Rahman,S.F.(Penyunting).
Pemartabatan wanita di Malaysia.Pp.9.
Ismail Abdul Wahab.2004. Profil dan cabaran usahawan wanita di Malaysia. Pusat
pembangunan usahawan Malaysia (MEDEC) Shah Alam: Universiti Teknologi MARA.
Kuehl,C.R & Lambing,P.(2000). “ Entrepreneurship.”Edisi Ketiga. Upper saddle river, New
Jersey:Prentice-Hall.
Norlizah Che Hassan.(2008). Perkaitan cara gaya keibubapaan dengan konsep kendiri dan
tingkah laku delinkuen remaja. Tesis PhD.Univerasiti Malaya.
25