Adat Resam Perkahwinan Melayu Malaysia
Adat resam kahwin Melayu merupakan adat resam yang paling disayangi dan yang
paling dipegang teguh oleh kebanyakan orang Melayu, baik di kawasan luar bandar mahupun
di bandar. Sebagaimana mana-mana kaum, langkah sedaya upaya untuk menepati adat resam
ini termasuk menjual harta atau meminjam wang, untuk tujuan ini.
Adat resam kahwin Melayu memerlukan banyak wang untuk menepati semua
peringkat istiadatnya. Ia terdiri daripada lapan langkah yang boleh digolongkan kepada tiga
peringkat:
Peringkat pertama
Merisik atau menengok
Meminang atau bertunang
Menghantar belanja dan akad
Peringkat kedua
Berandam dan berasah gigi
Berinai
Peringkat ketiga
Bersanding
Mandi limau
Sambut-menyambut
Peringkat 1.1 : Merisik atau menengok
Sebaik sahaja ibu bapa seseorang lelaki memutuskan bahawa anaknya cukup umur
untuk berkahwin, mereka akan mencari-cari pasangan yang sesuai untuk dijadikan isteri
anaknya. Tanggungjawab untuk memilih pengantin perempuan jatuh kepada ibu bapa pada
keseluruhannya. Bagaimanapun, sebilangan besar orang Melayu kini, khususnya mereka yang
berpendidikan barat, membiarkan pilihan isteri hampir pada keseluruhannya kepada anak-
anak lelaki mereka. Terdapat juga ibu bapa Melayu yang berihsan yang memilih jalan tengah
dan memilih pengantin perempuan dengan persetujuan anak lelaki mereka atau sebaliknya.
Menurut adat resam kahwin Melayu, ibu bapa akan mengendalikan tugas memilih
pengantin perempuan untuk anak lelaki mereka dengan teliti. Selepas mereka memilih
beberapa orang anak dara yang sesuai, mereka akan memulakan penyiasatan dengan menanya
kawan-kawan dan saudara-saudara mereka serta anak-anak dara yang terpilih. Dalam
pemilihan mereka, ibu bapa anak lelaki memerlukan bahawa bukan sahaja sifat dan tingkah
laku anak dara itu tetapi juga ibu bapanya dapat diterima kerana mereka memegang teguh
kepada peribahasa, “Kalau hendak meminang anak, ‘pinang’ ibu bapanya dahulu.”
Antara sifat-sifat yang paling dikagumi oleh bakal mertua pada zaman dahulu(dan
masih oleh sebilangan orang pada hari ini) ialah kemahiran rumah tangga seperti memasak
dan menjahit. Bagaimanapun, pencapaian yang paling disanjung ialah keupayaan anak dara
untuk membaca al-Quran (baik memahami apa yang dibacanya mahupun tidak) dengan fasih
dan merdu. Tidak terdapat sebarang pencapaian pendidikan ketika itu yang lebih penting,
termasuk juga kenal huruf dalam bahasa Melayu.
Selepas membuat keputusan tentang bakal menantu perempuan berdasarkan
maklumat-maklumat yang dikumpulkan dan sebelum meminang, ibu bapa anak lelaki akan
membuat penyiasatan terakhir dengan menghantar sebilangan kawan atau saudara (biasanya
wanita) ke rumah anak dara itu untuk mengenalnya secara peribadi. Biasanya, utusan-utusan
itu dihantar ke rumah anak dara tanpa sebarang pengumuman kerana adanya makna khusus
untuk kunjungan tanpa persediaan itu. Orang Melayu pada zaman dahulu (serta sebilangan
kecil di kawasan luar bandar pada hari ini) mempercayai bahawa pada ketibaan utusan-utusan
di rumah anak dara itu, gadis itu sedang mandi atau mencuci, ini merupakan petanda yang
bertuah untuk masa hadapan perkahwinan kedua-dua orang muda itu. Sebaliknya, jika gadis
itu didapati masak di dapur, ia merupakan petanda yang kurang baik. Orang Melayu pada
zaman dahulu juga mempercayai bahawa jika perjalanannya ke rumah anak dara lambat atau
dihalang atas sebarang sebab atau kemalangan, ia merupakan petanda bahawa masa depan
perkahwinan itu tidak begitu bahagia. Bagaimanapun,[kepercayaan karut] ini tidak lagi
diambil berat oleh kebanyakan orang Melayu, termasuk juga mereka yang tinggal di kawasan
luar bandar.
Pada akhir kajian dan selepas menilai, ibu bapa anak lelaki itu akan mengadakan
majlis kecil antara keluarga kedua-dua pihak serta bersama-sama saudara-saudara rapat untuk
memutuskan hari yang baik untuk meminang.
Peringkat 1.2 : Meminang atau bertunang
Ibu bapa bakal pengantin lelaki kemudian menugaskan sebilangan orang tua yang
rapat untuk bertemu dengan ibu bapa anak perempuan agar mendapat persetujuan. Ibu bapa
anak perempuan akan meminta sedikit masa demi adat untuk membuat pertimbangan atas
alasan bahawa mereka harus berunding dengan saudara-saudara mereka (walaupun mereka
telah tahu tentang kunjungan utusan sebelum ketibaannya, dan telah memberikan
persetujuan). Ini mungkin mengambil masa beberapa hari atau paling lama, seminggu. Ibu
bapa anak perempuan kemudian menugasi sebilangan saudara yang terdiri daripada kedua-
dua lelaki dan perempuan, untuk menyampaikan keputusan mereka untuk menerima
pinangan. Dan adalah semasa ini bahawa syarat-syarat perkahwinan seperti hantaran kahwin,
belanja, hari upacara perkahwinan, dan sebagainya dibincangkan dan diselesaikan. Inilah
sebabnya utusan merangkumi orang-orang lelaki.
Pada zaman silam, dan pada takat yang tidak begitu biasa pada hari ini, adat
menghantar tanda mendahului adat menghantar mas kahwin dan belanja, khususnya jika
upacara melangsungkan perkahwinan ditangguhkan selama beberapa bulan. Tanda itu
biasanya adalah dalam bentuk cincin emas atau berlian, dengan nilainya bergantung kepada
kehendak hati serta keupayaan kewangan keluarga lelaki. Tanda itu biasanya diiringi oleh
hadiah-hadiah yang lain kepada bakal pengantin perempuan, seperti kain, sarung, selipar atau
kasut, gula-gula, buah-buahan, dan sebagainya.
Penghantaran tanda biasanya disertai dengan majlis kenduri oleh kedua-dua keluarga.
Sesetengah orang juga menyampaikan cincin dan hadiah-hadiah yang lain dengan cara
mengadakan perarakan ke rumah bakal pengantin perempuan. Penerimaan cincin dan hadiah-
hadiah iringan secara tradisi bermaksud penerimaan syarat-syarat perkahwinan yang berikut
antara kedua-dua pihak:
* Jika lelaki itu, atas apa-apa alasan, gagal untuk mengahwini anak perempuan yang
ditunangkan, cincin pertunangan serta hadiah-hadiah yang lain tidak boleh dituntut balik.
* Jika perempuan itu, atas apa-apa alasan kecuali kematiannya, gagal memenuhi tujuan
pertunangan itu, maka semua hadiah, termasuk cincin pertunangan, harus dikembalikan
kepada lelaki pada kadar sekali ganda, baik dari segi bilangan atau nilainya.
Inilah adat yang telah diikuti oleh orang-orang Melayu sejak dari zaman silam. Terdapat juga
dua cara pertunangan yang lain selain daripada cara yang tersebut di atas, iaitu:
1. Pertunangan antara dua buah keluarga yang amat rapat atau bersaudara tanpa cincin
pertunangan atau persetujuan bertulis ketika anak-anak mereka masih bayi atau kanak-kanak
lagi.
2. Pertunangan yang dibuat untuk memenuhi kehendak salah seorang mendiang ibu bapa
(baik secara lisan sebelum kematiannya atau melalui wasiat tertulis). Cara ini amat dihormati
oleh orang-orang Melayu.
Peringkar 1.3 : Menghantar belanja dan akad
Pada zaman silam, istiadat menghantar mas kahwin dan belanja perkahwinan diadakan
sehari atau dua (kekadang lebih lama) sebelum upacara akad, tetapi kini diadakan bersama-
sama, mungkin untuk mengurangkan perbelanjaan. Selain daripada mas kahwin dan belanja
perkahwinan tersebut, barang-barang yang berikut juga dihantar:
1. cincin yang bertatahkan batu permata
2. kain sutera yang mencukupi untuk menjahit sehelai baju perempuan
3. dua helai sarung sutera
4. beraneka jenis kuih
5. beraneka jenis buah-buahan
6. puan (mangkuk sirih) atau kotak sirih yang dilengkapi dengan bahan-bahan (ini bukannya
hadiah tetapi akan dipulangkan)
7. satu atau dua buah cerek air mawar yang diperbuat daripada logam perak atau loyang
(juga akan dipulangkan).
Kesemua barang tersebut mengiringi perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin
perempuan untuk melangsungkan upacara perkahwinan. Untuk upacara akad, pengantin lelaki
pada zaman silam memakai pakaian haji atau pakaian bangsa Melayu yang mudah. Upacara
akad sebenarnya adalah satu-satunya istiadat yang diperlukan oleh agama Islam dan undang-
undang untuk menghalalkan perkahwinan. Upacara-upacara amal yang lain hanya merupakan
keperluan adat resam.
Pada ketibaan perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan, anggota-
anggota perarakan disambut masuk ke rumah. Pengantin lelaki berduduk di atas sehelai tikar
sila di bahagian utama ibu rumah, berdekatan imam. Barang-barang yang dibawanya
dibariskan di tengah ibu rumah antara dua baris tetamu yang berduduk, dengan wang belanja,
cincin, serta puan di hadapan baris.
Imam kemudian memilih dua orang wakil daripada tetamu-tetamu untuk menerima
dan menyemak hantaran, serta untuk menjadi saksi kepada upacara akad nikah. Selepas
barang-barang itu disemak dan diterima oleh imam bagi pihak ibu bapa pengantin perempuan,
kesemua barang itu, kecuali puan serta cerek air mawar dan dulang bunga rampai (jika
disediakan), dihantar kepada kaum perempuan. Imam kemudian mendaftarkan nama
pengantin lelaki ke dalam sebuah buku, dan selepas kemasukan itu ditandatangani oleh
pengantin lelaki serta kedua-dua saksi tersebut, imam akan membaca upacara perkahwinan
dalam bahasa Arab (bagaimanapun, pada hari ini, sebilangan besar imam Melayu yang
bersikap wajar membaca upacara dalam bahasa yang difahami oleh pengantin lelaki dan para
hadirin). Pada akhir upacara, imam memegang tangan kanan pengantin lelaki dan
mengisytiharkan kenyataan akad kepadanya, mula-mulanya dalam bahasa Arab (tidak wajib)
dan kemudian dalam bahasa Melayu:
“… bin …, aku nikahkan dikau dengan … binti … yang telah memperwakili ia akan daku
dengan mas kahwinnya sebanyak $… (tunai/berhutang) dan belanjanya $…”
Adat resam mengizinkan mas kahwin dihutang dengan tarikh pembayarannya tidak
disebut. Oleh itu, imam akan menambahkan perkataan “berhutang” atau “tunai” sejurus
selepas menyatakan jumlah mas kahwin dalam kenyataan akadnya. Imam kemudian berjabat
tangan dengan pengantin lelaki sebagai tanda untuknya menjawab tanpa teragak-agak atau
kesilapan:
“Aku terima nikahnya … binti … dengan mas kahwinnya $… (tunai/berhutang) dan
belanjanya $…”
Jika jawapan pengantin lelaki disebut dengan tidak teragak-agak serta dengan jelas kepada
mereka yang duduk berdekatannya, khususnya oleh kedua-dua saksi, jadi upacara akad dikira
sah.
Selepas upacara akad, pengantin lelaki akan berjabat tangan dengan semua tetamu,
bermula dengan imam dan bapa mertuanya, jika dia menghadiri majlis itu. Pengantin lelaki
diiringi balik ke rumahnya dan tetamu-tetamu, baik lelaki mahupun perempuan, dihidangkan
dengan jamuan yang terdiri daripada kari dan nasi minyak.
Pada waktu yang sama, majlis pengantin perempuan akan menyediakan nasi pengantin dan
menghantarnya kepada pengantin lelaki di rumahnya. Pengantin lelaki akan menjemput
beberapa kawan yang paling rapat untuk bersarapan bersama-sama.
Peringkat 2.1 : Berandam dan berasah gigi
Berandam dan berasah gigi diamalkan pada zaman silam, bersama-sama istiadat yang
berkenaan, tiga hari atau lebih sebelum hari akad nikah. Rambut pengantin perempuan di dahi
serta bulu keningnya dipepat (seringnya, pengantin lelaki juga mengamalkan adat ini).
Kemudian, gigi pengantin perempuan diasah dan dikilap supaya menjadikannya sama rata dan
berkilat. Tugas ini dilakukan oleh seorang tukang andam yang juga merupakan “emak
pengantin” (bukan ibu sebenar).
Bagaimanapun, amalan ini kini sudah lapuk, dan hanya adat berandam diamalkan oleh
pengantin perempuan di kawasan luar bandar pada hari ini (pengantin lelaki tidak lagi
mengamalkan adat ini), manakala orang bandar Melayu lebih suka menghantar bakal
pengantin perempuan ke kedai solek yang banyak terdapat di semua bandar di Malaysia.
Walaupun demikian, di kawasan-kawasan terpencil, masih terdapat orang Melayu yang
mematuhi peribahasa, “Biar mati anak, jangan mati adat”.
Selepas berandam, pengantin perempuan akan mandi dengan air sintuk-limau yang
dianggap secara tradisi sebagai dapat menghapuskan nasib malang pada pengantin
perempuan.
Selepas mandi istidat itu dan sebelum bakal pengantin perempuan tidur pada malam
yang sama, sepuluh hujung jarinya dan pusat kedua-dua tapak tangan serta pinggir tapak kaki
diinai dan dibiarkan kering sehingga pagi berikut. Ini adalah amalan berinai yang sebenar dan
mendahului apa yang dikenali sebagai istiadat berinai.
Peringkat 2.2 : Istiadat berinai
Istiadat berinai terdiri daripada tiga peringkat:
1. Berinai curi diadakan pada waktu petang hari selepas hari yang tangan dan tapak kaki
bakal pengantin perempuan diinai. Bakal pengantin perempuan dihiasi dan didudukkan di
atas pelamin. Kaedah yang dihuraikan di bahagian Berinai besar dipatuhi.
2. Berinai kecil yang diadakan pada waktu petang hari selepas hari berinai curi. Kaedahnya
sama sahaja dengan berinai curi.
3. Berinai besar.
Istiadat berinai besar
Ketika pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan dalam pakaian pengantin,
dia didudukkan di atas pelamin yang terletak di hadapan sekumpulan tetamu (kebanyakannya
wanita), saudara rapat, jiran, dan kawan keluarga pengantin perempuan. Di hadapan pengantin
lelaki terletak sebuah dulang berkekaki yang besar yang mengandungi tiga buah pinggan,
bersama-sama beberapa tangkai daun wangi. Pinggan-pinggan itu masing-masing
mengandungi nasi kunyit, bertih, dan air daun setawar kisar. Di tengah dulang itu terletak
selonggok pes inai.
Istiadat berinai besar bermula dengan para tetamu lelaki naik ke pelamin, satu demi
satu, untuk membuang sedikit nasi kunyit pada sebelah kiri kanan pengantin lelaki. Perbuatan
yang sama kemudian dilakukan dengan bertih. Ini diikuti oleh tangkai daun wangi yang
dicelupkan ke dalam air daun setawar dan kemudian digunakan untuk menyentuh kedua-dua
belakang tangan pengantin lelaki. Akhirnya, tetamu akan mengambil sedikit pes inai dari
longgok di tengah dulang dan selepas meletakkannya pada daun sirih yang disediakan oleh
emak pengantin, akan meletakkannya pada tapak tangan pengantin lelaki. Daun sirih itu
bertujuan untuk mengelakkan mengotorkan tangan pengantin. Sejurus selepas ini, emak
pengantin akan merapatkan kedua-dua tangan pengantin dan menaikkannya pada aras dada
sebagai tanda menyembah kepada tetamu yang melakukan istiadat ini. Istiadat ini biasanya
dilakukan oleh semua tetamu yang minat, tetapi bilangan mereka harus merupakan bilangan
ganjil dan bukannya genap.
Ketika tetamu lelaki telah siap, para tetamu perempuan akan turut menjalankan istiadat
ini dengan cara yang tepat sama. Selepas semua tetamu yang minat telah menjalankan istiadat
ini, seorang wakil daripada kalangan tetamu lelaki akan ke depan untuk membaca doa
selamat. Pengantin lelaki kemudian akan pulang ke rumah sendiri, dan pengantin perempuan
turut didudukkan di atas pelamin untuk menjalankan istiadat yang sama. Istidat ini diakhiri
seperti biasa dengan jamuan kari dan nasi.
Kenduri berinai besar adalah jauh lebih besar, berbanding dengan kenduri berinai curi
dan kenduri berinai kecil. Selain itu, pengantin lelaki tidak terlibat dalam istiadat berinai di
rumah pengantin perempuan bagi isitiadat berinai curi dan berinai kecil. Sesetengah pengantin
lelaki Melayu pada zaman silam juga menjalankan istiadat berinai di rumah sendiri tetapi
istiadat ini tidak lagi dijalankan.
Peringkat 3.1 : Bersanding
Bersanding bermaksud duduk bersebelah-sebelahan di satu tempat yang istimewa.
Amalan ini dianggap sebagai kemuncak majlis perkahwinan dalam adat resam kahwin
Melayu. Bersanding adalah acara terpenting dan sekali seumur hidup bagi sepasang
pengantin. Majlis perkahwinan tidak dikira lengkap jika kedua-dua mempelai tidak
disandingkan di atas pelamin. Di atas pelamin itu ada kerusi yang dihias cantik.
Jika tiada acara bersanding, majlis perkahwinan tidak akan sempurna dan tidak ramai
yang sudi menghulurkan wang sumbangan. Tetamu di bandar sanggup menghulurkan wang
RM50 – RM100 jika majlis diadakan di dewan bersama persembahan yang meriah.
Waktu paling sesuai untuk bersanding ialah waktu tengah hari, iaitu semasa tetamu
ramai di bawah khemah atau dewan. Biasanya majlis persandingan diingati sampai bila-bila
dan merupakan ‘detik abadi’ yang patut dikenang.
Bersanding melibatkan peringkat seperti berikut
1. Bersanding selepas akad nikah
2. Bersanding di luar rumah pengantin perempuan
3. Bersanding di dalam rumah pengantin perempuan
4. Bersanding malam
5. Bersanding di rumah pengantin lelaki
6. Bersanding semula
Peringkat 3.2 : Mandi Limau
Sebelum istiadat mandi limau dijalankan, terdapat satu adat yang amat penting pada
zaman silam tetapi kini telah lapuk. Pada awal pagi selepas malam bersatu, emak pengantin
akan menanyakan bukti yang konkrit daripada pengantin lelaki tentang keperawanan
pengantin perempuannya. Mengikut adat, pengantin lelaki akan menyerahkan sehelai sapu
tangan berwarna putih yang memberikan bukti yang diperlukan. Emak pengantin kemudian
akan menunjukkan sapu tangan itu mula-mulanya kepada ibu bapa pengantin perempuan dan
kemudian yang paling penting sekali kepada ibu bapa pengantin lelaki. Pada zaman silam,
bukti tentang keperawanan pengantin perempuan adalah amat penting kepada orang Islam
umumnya. Penyerahan bukti sebelum istidat mandi limau adalah wajib dan amat penting
sehingga ketiadaan bukti hampir selalu menimbulkan masalah yang seringnya mengakibatkan
perceraian serta-merta.
Selepas kedua-dua pasangan ibu bapa pengantin lelaki dan pengantin perempuan telah
memuaskan diri tentang kesucian pengantin perempuan, istiadat mandi limau akan dijalankan.
Kedua-dua suami isteri sekali lagi berduduk di atas pelamin dalam pakaian yang terbaik di
hadapan sekumpulan tetamu yang terdiri daripada saudara, jiran, dan kawan rapat kedua-dua
keluarga. Untuk istiadat ini, mereka tidak berpakaian pengantin tetapi memakai pakaian
Melayu yang biasa. Selepas berduduk selama sepuluh hingga lima belas minit, mereka akan di
bawa turun dan didudukkan pada sebuah bangku atau dua buah kerusi di ibu rumah atau bilik
yang lain di rumah. Mandi istiadat dilakukan oleh emak pengantin, dan terdiri daripada
memercikkan air sintuk dan limau purut pada kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan.
Selepas upacara ini disiapkan, pengantin lelaki akan membawa pengantin perempuan
balik ke bilik tidur dengan setiap mereka memegang salah satu hujung sapu tangan. Sarung
yang digunakan oleh kedua-dua suami isteri dalam istiadat mandi diberikan kepada emak
pengantin, bukan sahaja sebagai hadiah tetapi juga sebagai tolak bala dan buang geruh.
Kedua-dua pengantin tidak dibenarkan memerah air dari sarung tersebut, apa lagi dengan
menyimpannya.
Seluruh adat ini yang dipegang teguh pada zaman silam kini tidak lagi diamalkan sama
sekali oleh hampir semua (jika bukan semua) orang Melayu.
Peringkat 3.3 : Sambut-menyambut
Pada hari istiadat mandi, sebuah kenduri akan diadakan di rumah pengantin
perempuan. Semasa ini, suami dan ibu bapa mertua akan membawanya membuat kunjungan
pertama ke rumah mereka. Di rumah suaminya, mereka akan menjalankan istiadat bersanding
sekali lagi, jika ibu bapa mertuanya merupakan orang berada. Lagi sebuah kenduri yang
terdiri daripada beratus-ratus tetamu akan diadakan. Kekadangnya, hiburan sepanjang siang
dan malam yang terdiri daripada muzik dan tarian tempatan akan diadakan untuk menghibur
isteri yang baru ini. Istiadat yang diadakan di rumah pengantin lelaki kekadang lebih besar
daripada istiadat bersanding di rumah pengantin perempuan, tetapi kenduri-kenduri
perkahwinan yang diadakan di rumah pengantin perempuan biasanya adalah lebih banyak dan
lebih mewah daripada kenduri-kenduri yang diadakan di rumah pengantin lelaki.
Selepas tinggal di rumah suaminya selama beberapa hari, isteri baru itu yang diiringi
oleh suami dan ibu bapa mertuanya akan kembali ke rumah perempuan untuk mendiami
sekurang-kurangnya beberapa bulan. Pada kepulangannya ini, sebuah kenduri yang kecil akan
diadakan.