“Tik,tok,tik,tok..,’. Bunyi detikan jam di dinding seolah –olah mengiringi irama detikan di
jantungku. Debaran kian terasa. Peluh mula timbul di celah-celah anak rambut di
dahiku. Tanganku tidak berhenti-henti menggerak-gerakkan tetikus. Sekali-sekala jari
jemariku ditekan-tekan sehingga mengeluarkan bunyi. Itu merupakan satu tabiat
burukku apabila aku berasa cemas. Kini giliran jari jemariku pula memainkan peranan,
dengan menaip halaman e-Gtukar di tapak pencarian Google. Setelah alamat
sesawang yang ditaip tadi kelihatan di paparan skrin komputer ribaku, dengan sepantas
kilat ak klik pada halaman yang dicari tadi. Dengan hati yang berdebar-debar, aku
menaip kata laluan dan ID pengenalanku pada halaman e-Gtukar seperti mana yang
telah aku lakukan dua bulan sebelum ini. Ini merupakan cubaan kali keduaku untuk
berpindah tempat berkhidmat setelah mencurahkan segala bakti dan jasa di sekolahku
sekarang. Sebuah sekolah rendah yang berada di daerah Hulu Selangor dengan jumlah
muridnya yang tidak sampai seratus orang keseluruhannya. Sekolah ini adalah sekolah
yang pertama dalam perkhidmatanku sebagai seorang guru bertauliah.
Setelah ID dan kata laluanku disahkan oleh sistem, maka paparan dalam sistem
pun tertera di skrin. Aku mula mencari paparan yang menyatakan keputusan di sebelah
kiri paparan utama. Tanpa teragak-agak, aku terus klik pada ikon tersebut dan
keputusan pertukaran pun keluar di paparan skrinku. Aku dapat melihat dengan jelas,
namaku beserta nombor pengenalan diri berada di paparan tersebut. Namun terdapat
sebaris ayat yang membuatkan mata dan diriku terkesima sebentar di hadapan skrin.
Aku membaca ayat tersebut dengan teragak-agak, satu persatu dan mengulangi ayat
tersebut berulang kali. Aku merasakan seolah –olah apa yang ku lihat itu satu paparan
yang tidak benar. Namun begitu, aku mula tersenyum puas dan menjerit kegirangan
apabila dengan jelas tertera ayat yang menyatakan bahawa permohonan aku untuk
berpindah diluluskan dan daerah serta sekolah pertukaran itu pula sama seperti yang
aku kehendaki. Aku mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana
permohonan aku diluluskan walaupun sekadar percubaan kali kedua.
Selepas menyemak keputusan tersebut, komputer ribaku disimpan kemas ke
dalam beg galas yang aku bawa dan meletakkannya di bahagian bawah tepi sebelah
kerusi pemandu. Dengan berbekalkan berita gembira itu aku pun keluar dari kereta dan
menuju ke restoran tempat semua rakan-rakan sekerja ku berada. Pada malam ini,
merupakan satu malam yang ditunggu-tunggu oleh semua guru di mana satu acara
terbesar telah diadakan bagi meraikan usaha keras para guru SK Lembah Beringin
terhadap tugasan kami bagi tahun ini. Ianya merupakan satu majlis makan malam
utama yang diadakan di Restoran Steamboat di daerah Hulu Selangor. Di tengah-
tengah kemeriahan majlis tersebut, pengerusi majlis dengan berseloroh bertanyakan
tentang keputusan pertukaran tersebut kepada aku dan seorang lagi rakanku yang
merupakan seorang guru Bahasa Inggeris. Rakanku itu juga memohon pertukaran
tetapi memohon pertukaran beliau adalah ke negeri lain. Percubaan ini merupakan
percubaannya kali ketiga.
Dalam majlis tersebut, pengerusi majlis telah membuat pengumuman yang
menyatakan bahawa keputusan pertukaran telah keluar dan beliau dengan berseloroh
menyatakan bahawa kemungkinan sekolah akan kehilangan seorang guru dan guru itu
adalah aku. Penonton yang lain dengan tegas menghalang keputusan itu. Mereka
menyatakan bahawa permohonan aku itu tidak mungkin berjaya kerana perkhidmatan
aku masih diperlukan di sekolah ini dan Guru Besar juga dengan berlelucon
menyatakan bahawa kelulusan dari pihak beliau diberi sekiranya terdapat pengganti.
Dalam keriuhan suasana usik mengusik itu, aku pun bangun dan bergerak ke arah
pengerusi majlis. Aku telah memohon kebenaran dari pihak pengerusi majlis untuk
membuat pengumuman secara terbuka pada waktu itu. Pengerusi majlis membenarkan
aku untuk membuat pengumuman. Kini, mikrofon berada dalam genggamanku. Aku
berada di hadapan semua hadirin yang hadir. Di kala semua mata memandang ke
arahku itu, perasaan sebak dan hiba mula menyelubungi diri. Namun aku gagahi juga
membuat pengumuman mengenai keputusan yang baru ku terima sebentar tadi.
Semua hadirin yang hadir pada waktu itu menjadi senyap seketika. Seorang dari
rakanku bertanyakan sama ada pengumuman ini satu gurauan atau satu perkara yang
benar. Suasana mula menjadi hening. Pengumuman yang baru ku sampaikan sebentar
tadi membuatkan suasana menjadi hiba seketika. Namun, aku sempat memberikan
sepatah dua kata yang akhirnya membuatkan semua hadirin kembali ceria dan
mendoakan kejayaan ku di tempat baru.
Namun begitu, hati ku menjadi gundah-gulana. Hati ku menjadi ragu-ragu.
Persoalan demi persoalan timbul yang membuatkan hati ku menjadi semakin gusar.
Apakah sekolah baruku itu dapat menerima ku seperti mana sekolah sekarang?
Apakah beban kerja yang akan aku pikul nanti? Bolehkah aku menerima keadaan
tempat baru? Di tempat baru sudah pasti guru-guru ada kumpulan mereka sendiri.
Sudah pasti aku keseorangan nanti. Seribu persoalan demi persoalan yang tiada
jawapan berlegar-legar di kepala ku. Apakan daya hanya doa yang mampu ku lakukan.
Aku mengharapkan supaya kedatangan ku ke sekolah baru akan member satu
pengalaman baru juga padaku.
Kini, hari yang ditunggu-tunggu tiba. Seawal jam 6 pagi lagi aku sudah bangun
dari tidurku. Seperti biasa, aku mempersiapkan diri ku seperti hari-hari bekerja sebelum
ini walaupun pada waktu itu adalah cuti sekolah. Tiba-tiba pagi itu hatiku menjadi
semakin berdebar-debar. Kaki ku terasa berat untuk melangkah ke tempat
berkhidmatku yang baru, seolah-olah ada seketul batu yang sangat besar terikat di kaki
ini. Debaran di hati juga semakin terasa. Aku berdebar-debar kerana aku berasa
sangat gementar untuk bertemu dengan majikan yang baru. Majikan baru ku nanti
merupakan seorang pentadbir perempuan. Kebiasaannya aku mendengar berita yang
disampaikan oleh rakan-rakan yang bahawa majikan perempuan lebih beremosi dan
agak cerewat dalam segala hal. Ini lebih membuatkan ku berdebar-debar untuk
berhadapan dengan pentadbir baru ini. Selain itu, aku juga berasa cemas kerana
apabila berada di tempat baru, aku perlu membina semula hubungan dan komunikasi
dengan rakan sekerja ku yang lain. Aku perlu memahami dan mengetahui budaya kerja
guru-guru di tempat baru. Perkara ini membimbangkan aku. Ini kerana aku bimbang
sekiranya aku tidak mampu menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan yang lain.
Walau bagaimanapun, arahan dari pihak atasan mesti dan lebih wajib
diutamakan berbanding dengan hal lain. Oleh itu, aku pergi juga melaporkan diri di
pejabat sekolah. Pada pagi itu, aku telah sampai awal dan melangkah dengan rasa
cemas menuju ke pejabat untuk melapor diri. Sewaktu saja aku sampai di sekolah
tersebut, salah seorang pekerja di pejabat menyapa ku dengan penuh berhemah.
Tanpa teragak – agak aku pun betanyakan kepada pekerja tersebut tentang tujuan
kehadiran ku pada pagi itu. Pekerja tersebut tersenyum ke arahku lalu menyampaikan
berita kehadiranku itu pada Guru Besar. Sementara pekerja tadi memberitahu Guru
Besar sekolah baruku itu tentangku, aku dikehendaki untuk duduk di kerusi menunggu
pelawat yang telah dikhaskan di tepi bilik Guru Besar.
Sewaktu aku menunggu itu sempat aku membaca carta organisasi sekolah bagi
mengetahui nama majikan yang bakal ku temui ini. Tertera di papan pada dinding
pejabat sekolah tersebut nama Guru Besar sekolah ku, Puan Sarah. Seorang Guru
Besar yang telah berkhidmat di sekolah ini bermula pada tahun 2008 sehingga
sekarang. Setelah mengetahui bahawa majikan yang bakal ku temui ini seorang
perempuan, aku mula menyiapkan mental dan penampilanku agar kelihatan kemas dan
baik untuk pertemuan kali pertama ini. Sehelai kemeja berwarna merah jambu dengan
seluar jeans biru yang longgar dipakai olehku memandangkan hari ini merupakan cuti
sekolah, jadi aku merasakan pakaian ku itu cukup sesuai untuk hadir sekadar
melaporkan kehadiranku di sekolah baru. Setelah menunggu lebih kurang lima minit,
aku mendengar suara dari dalam bilik itu memanggil aku untuk masuk. Tanpa
berlengah, aku terus menuju ke arah panggilan itu. Dengan langkah yang bersemangat
dan berdebar-debar, aku bergerak menuju kearah Puan Sarah. Seorang perempuan
yang kelihatan sudah berumur tetapi Nampak masih bertenaga dan aktif. Terdetik di
dalam hatiku mengatakan Puan Sarah mungkin berada dalam lingkungan usia empat
puluhan berdasarkan cara penampilannya yang berpakaian kasual, bermekap dan
memakai kasut tinggi. Kemas tetapi elegen. Dari jauh kelihatan Puan Sarah tersenyum
di atas kerusinya menyapa kehadiranku. Satu senyuman menyambut kedatanganku
buat kali pertama. Aku merasa lega kerana ianya kelihatan sebagai satu petanda baik.
Setelah memperkenalkan diriku kepada Puan Sarah, beliau pun mempersilakan
ku untuk duduk. Sesi perkenalan bermula. Setelah memperkenalkan sejarah
perkhidmatan ku padanya, Puan Sarah ada menyatakan bahawa dia akan bersara
pada tahun hadapan. Satu kenyataan yang membuatkan aku terperanjat. Terkejut
kerana tekaan ku padanya mengenai usia meleset sama sekali. Penampilannya yang
kemas serta pergerakannya yang bertenaga diusia yang hampir 60 tahun membuatkan
aku berasa kagum dan hormat padanya. Namun begitu dalam perbualan tersebut, aku
ada sedikit terkilan dengan ayat yang dinyatakan oleh Puan Sarah. Pada awal-awal
perbualan tersebut dia ada menyatakan bahawa sekolah ini semakin kekurangan
jumlah murid berbanding sebelumnya mungkin kerana faktor persekitaran seperti
sekolah baru di perumahan berdekatan. Puan Sarah juga ada menyatakan bahawa
disebabkan jumlah yang berkurangan itu, sebuah kelas dari setiap tahun ditutup bagi
memenuhi bilangan murid dalam satu kelas. Maka bilangan kuota guru juga mengikut
bilangan murid yang ada. Sekiranya mengikut bilangan kuota tersebut bilangan guru
sudah mencukupi lebih-lebih lagi opsyen yang aku miliki sebenarnya sudah maksimum
bilangannya di sekolah ini. Puan Sarah juga menyatakan bahawa aku merupakan guru
lebihan di sekolah ini yang dihantar oleh pihak jabatan selain kehadiran ku ini tidak
dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihaknya. Kenyataan yang diberikan itu
membuatkan ku sedikit terkilan kerana bukan tanggungjawabku menentukan
penempatan ku di mana-mana sekolah. Ya, sememangnya aku memilih sekolah ini
dalam senarai tiga sekolah pilihan yang diminta. Namun begitu keputusan akhir
penempatan ini merupakan keputusan yang dibuat oleh pihak Kementerian, bukan satu
keputusan mutlak dari aku. Kini aku merasa sedikit terkilan dan dapat merasakan
bahawa kehadiran ku seperti tidak dialu-alukan.
Sewaktu melangkah keluar dari bilik Guru Besar itu, hati ku diruntun rasa pilu
dan tidak senang. Kedatangan ku ke sekolah merupakan satu perkara yang tidak
disangka oleh mana-mana pihak. Aku pun bergerak meninggalkan perkarangan
sekolah setelah semua keperluan peribadiku diisi dalam rekod sekolah. Sampai sahaja
aku di rumah, aku menceritakan kisah sedih itu kepada ibuku. Seorang pendengar dan
penasihat hidupku. Ibu ku mendengar dengan penuh kesungguhan dan tersenyum
padaku lalu berkata, “Jangan sedih. Sebuah mutiara akan sentiasa bersinar walau di
mana ia berada. Yang penting percaya pada diri sendiri,”. Sebaris ayat yang
membuatkan aku berfikir dan termenung seketika. Ada kebenarannya kata-kata itu.
Sekiranya aku ingin menjadi seperti mutiara yang ibu ku katakana tadi, aku sepatutnya
kuat dan tahan cabaran. Aku memotivasikan diriku untuk lebih bersemangat dan
buktikan pada semua yang tidak menyangka kehadiranku ke sekolah ini bahawa aku
bukanlah satu beban yang akan merugikan mana-mana pihak. Berbekalkan semangat
baru itu, aku pun melangkahkan kaki ke sekolah di hari pertama perjumpaan semua
guru sebelum hari persekolahan bermula.
Dalam perjumpaan yang diadakan ini, semua guru diwajibkan hadir bagi
membincangkan tindakan yang perlu dilakukan oleh semua guru kelas dan guru-guru
bilik khas yang lain untuk lebih bersedia menerima murid setelah cuti persekolahan
yang panjang bagi memulakan sesi persekolahan yang baru. Dalam mesyuarat yang
diadakan itu, Guru Besar telah memperkenalkan aku kepada semua guru yang lain.
Mereka kelihatan agak terkejut dengan kehadiranku ini. Seorang cikgu yang duduk di
sebelah ku menyatakan bahawa kehadiran aku di sekolah ini kerana seorang cikgu lain
telah mendapat pertukaran ke sekolah di sebelah perumahan ini. Namun begitu guru
yang sepatutnya berpindah itu masih kelihatan di dalam mesyuarat tersebut. Pada
mulanya aku menganggap bahawa dia sudah melaporkan diri di sekolah baru namun
perlu menghadiri mesyuarat di sekolah lama sebagai mesyuarat terakhir sebelum
menutup tirai 2012. Mesyuarat bagaimanapun berakhir dengan tugasan-tugasan rutin
guru. Namun, tugasan serta jadual untuk diri aku masih belum ku terima. Guru
Penolong Kanan Pentadbiran menyatakan bahawa kehadiran ku di sekolah merupakan
kehadiran yang tidak dimaklumkan oleh pihak pejabat pelajaran, maka jadual ku tidak
disediakan oleh pihak jawatankuasa. Aku memahami situasi yang berlaku dan cuba
untuk menerima secara positif. Walau bagaimanapun GPK Pentadbiran mengingatkan
aku untuk hadir berjumpanya di biliknya bagi membincangkan mengenai jadual dan
opsyen yang berkaitan.
Setelah tamat mesyuarat, aku dikehendaki bergerak ke bilik guru dahulu bagi
mengenal pasti kedudukan meja guru ku. Setelah perbincangan dilakukan dengan
cikgu Sofia, aku telah memilih untuk duduk di meja di tepi tingkap. Pada asalnya,
terdapat dua tempat lain yang lebih sesuai dan aku suka dengan kedudukannya yang
strategik dan tidak mengganggu mana-mana pihak. Pada mulanya aku bertanya
tentang status meja berkenaan sama ada ianya kepunyaan orang lain atau tidak.
Kebanyakan guru yang berada di dalam bilik berkenaan mengatakan bahawa meja
tersebut adalah kosong. Namun apabila aku sedang membersihkan meja tersebut,
seorang guru perempuan lain masuk dan menyatakan bahawa meja tersebut adalah
meja kepunyaannya. Aku memohon maaf dan beransur dari meja tersebut. Akhirnya
aku berpindah ke meja yang lain. Aku menunggu seketika sekiranya meja tersebut
sudah bertuan dan akhirnya meja tersebut sememangnya masih belum dimiliki. Sedang
aku mula untuk berkemas, tiba-tiba arahan dikeluarkan bahawa meja lama yang ada di
bilik guru dibawa keluar dan digantikan dengan meja baru. Meja baru tersebut baru
sahaja tiba dan aku terlibat salah seorang guru yang bermeja lama dan perlu diganti itu.
Kelihatan beberapa guru lelaki membantu guru perempuan yang lain untuk
menjalankan proses penggantian tersebut. Aku pun menanti dengan sabar. Menunggu
sehingga semua meja yang baru bagi cikgu-cikgu yang senior di sekolah itu diberikan
kepada mereka terlebih dahulu. Akhir sekali giliran aku pula. Aku memberitahu kepada
cikgu lelaki berkenaan mengenai meja tersebut untuk meminta jasa baiknya
mengangkat ke tempat ku. Namun begitu, permintaan ku tadi dipandang sepi. Aku
masih mendiamkan diri lagi. Aku berfikiran positif bahawa guru tersebut perlu
menyelesaikan maslaah guru perempuan yang lain. Namun begitu, aku menanti
sehingga hampir masa untuk balik, namun tiada bantuan ku terima. Dengan perasaan
yang sedikit kesal, aku pergi sendiri ke bilik yang terdapatnya meja baru tersebut. Pada
mulanya aku beranggapan aku mampu untuk mengangkat sendiri namun, terasa meja
tersebut agak berat. Aku pun cuba berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini
dan akhirnya aku berjumpa dengan pekerja pembersihan di sekolah. Aku memintanya
untuk membantu aku mengangkat meja tersebut. Meja tersebut berjaya diangkat
sehingga ke tempat yang telah ditentukan di bilik guru tadi. Namun begitu, laci untuk
meja berkenaan masih di bilik stor di bawah. Aku pun turun sekali lagi. Kali ini bagi
mengangkat laci bagi meja tersebut.
Sedang aku berjalan menuju ke bilik stor itu, aku berjumpa dengan seorang guru
lelaki. Aku memintanya untuk membantu aku mengangkat laci tersebut memandangkan
ianya berat dan aku tidak mampu mengangkatnya. Namun begitu, guru lelaki
berkenaan tidak membantu aku malah memberi cadangan bahawa aku perlu
mengambil troli dan kerja akan lebih mudah menggunakannya. Cadangan itu
membuatkan aku terkesima. Namun tetap menyabarkan diri walaupun aku tahu
kehadiran aku sememanangnya tidak dimaklumkan awal. Walaupun begitu, aku berasa
kecewa dengan segelintar sikap guru ini yang kelihatan agak berkira dalam perbuatan.
Aku mengeluh sendiri. Aku dapat merasakan bahawa budaya kerja seperti ini perlu aku
hadapi untuk hari-hari mendatang. Aku berfikiran positif dan memberi motivasi pada diri
agar tidak berasa kurang bersemangat untuk bekerja. Namun begitu, terdapat juga
beberapa orang guru yang boleh diharap dan boleh dicontohi kerana sikap mereka
yang professional dan tidak berkira. Sekurang-kurangnya, aku gagah juga untuk
meneruskan pekerjaanku untuk hari-hari yang mendatang dengan lebih bersemangat.
Pada keesokan harinya, aku perlu berjumpa dengan GPK Pentadbiran seperti
yang diminta oleh beliau di dalam mesyuarat sebelum ini. Tanpa berlengah lagi aku pun
berjalan menuju ke pejabat. Sampainya aku di sana, aku membaca nama yang ada
serta jawatan yang tertera pada papan yang dilekatkan di setiap pintu bagi mengenal
pasti bilik mana yang harus ku tuju. Akhirnya kelihatan papan yang menunjukkan nama,
Pn Salmi dan jawatannya, GPK Pentadbiran di sebelah pintu bilik Guru Besar. Setelah
selesai mengenal pasti bilik yang mana harus ku tujui, aku pun melangkah dengan
penuh tertib menuju ke bilik berkenaan. Aku mengetuk pintu dengan ketukan yang agak
ringan dan bagi ku cukup sekadar boleh didengari oleh pihak di sebelah dalamnya. Aku
mendengar suara yang memberi kebenaran untuk ku masuk. Aku pun bergerak masuk
seperti yang diminta. GPK Pentadbiran sekolah aku merupakan seorang guru kanan
perempuan yang berada dalam lingkungan usia hujung empat puluhan. Setelah aku
melangkah masuk, GPK mempersilakan aku untuk duduk di kerusi yang berada di
hadapannya. Tanpa melengahkah waktu, aku pun duduk dengan tertib di hadapan
Puan Salmi.
Puan Salmi pun menyatakan tujuan dia memanggil aku untuk menerangkan
kedudukan ku di sekolah ini. Beliau menyatakan bahawa sebenarnya seorang guru di
sekolah ini telah secara tidak sengaja memohon pertukaran ke sekolah berdekatan
dengan harapan bahawa permohonannya tidak akan dilayan atau ditolak. Walau
bagaimanapun, nasibnya agak bertuah dan permohonannya diluluskan. Walau
bagaimanapun, guru tersebut tidak mahu berpindah dan sedang berusaha untuk
memohon kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah untuk menarik semula penempatan
baru itu. Oleh sebab itu, cikgu tersebut masih kelihatan di sekolah ini seperti mana yang
aku lihat dalam mesyuarat semalam. Puan Salmi juga menyatakan bahawa disebabkan
cikgu tersebut masih dalam proses rayuan, beliau akan masih di sekolah ini dengan
jadual yang telah dikeluarkan kepadanya. Oleh yang demikian, kedudukan aku di
sekolah ini sekadar memenuhi jadual guru ganti. Melalui berita ini, ia serba sedikit
membuatkan hati ku berasa kurang termotivasi. Aku merasakan kedatangan aku tidak
dialu-alukan bukan satu halusinasi tetapi realiti sebenar dan aku tidak selesa dengan
layanan dan komunikasi beberapa orang guru lain yang menganggap aku sebagai guru
baru yang baru ditempatkan buat kali pertama dan ada juga yang menganggap aku
sebagai guru ganti yang tidak berkelayakan sedangkan aku sudah berkhidmat selama
lima tahun. Keadaan ini mengecewakan aku dan aku sememangnya berada dalam
keaadan yang kurang selesa.
Setiap hari, aku ke sekolah dalam keadaan yang tidak bersemangat dan kurang
motivasi diri. Kerja ku setiap hari hanyalah menggantikan guru yang cuti sakit atau
keluar kerana bermesyuarat. Tugasan ini aku lakukan selama sebulan. Dalam tempoh
sebulan ini jugalah aku telah bergerak secara sendirian. Bukan kerana aku tiada kawan
tetapi aku masih dalam proses mengenali guru-guru di sini. Ada sebahagian
daripadanya sukar didekati, ada yang mudah didekati tetapi mempunyai beberapa sikap
yang aku kurang senangi dan ada juga yang mudah didekati serta menghiburkan
apabila berkomunikasi bersama. Bagi golongan ini, aku akan mudah berkawan rapat
dengan mereka. Namun begitu, Cikgu Azman, guru yang sepatutnya berpindah itu perlu
melaporkan diri di sekolah baru tetapi dia masih enggan berbuat demikian. Pihak
Pejabat Pendidikan Daerah terpaksa mengambil tindakan tegas terhadapnya dan
memberi kata dua kepadanya untuk melaporkan diri juga di sekolah baru dalam kadar
segera. Jika tidak penerimaan gajinya untuk bulan seterusnya akan dihentikan seketika
sehingga dia melaporkan diri ke tempat bertugas yang sepatutnya.
Akhirnya setelah mendapat amaran dari pihak pejabat pelajaran daerah, Cikgu
Azman dengan terpaksa telah berpindah ke sekolah baru tersebut. Oleh itu bermulalah
tugas rasmi ku sebagai tenaga pengajar di sekolah ini. Namun bagitu, tugasan yang ku
terima merupakan menerimaan tugas yang disandang oleh Cikgu Azman sebelum ini.
Aku diberi tugasan untuk mengajar mata pelajaran Matematik tahun 6, 4 dan 3 serta
menjadi guru penyelaras ICT sekolah. Pada mulanya aku merasakan tugas yang
diterima ini boleh dipikul dengan baik memandangkan hanya ini sahaja tugasan yang
diterima olehku. Walau bagaimanapun, aku mengingatkan diri, walau apa pun tugasan
yang diberi aku sebagai guru, perlu melakukan yang terbaik dan memberi contoh
teladan yang boleh diikuti oleh anak bangsa. Sebulan sudah berlalu. Kini sudah
sepatutnya penyerahan tugas yang di sandang oleh Cikgu Azman dulu diserahkan
secara rasmi pada pihak sekolah. Namun begitu, dia masih belum berbuat demikian.
Namun begitu, cikgu Azman akan turun ke padang setiap petang bagi melihat
peningkatan kemahiran latihan murid bola baling dibawah seliaannya.
Pada suatu petang, aku telah mengambil kesempatan itu untuk berjumpa
dengan cikgu Azman. Aku mengharapkan bahawa dia akan memberikan sedikit
taklimat atau penjelasan penting berkaitan laman web sekolah serta semua yang
berkaitan ICT terutama pembinaan VLE Frog 1Bestarinet yang dilancarkan oleh
kementerian bagi menggalakkan penggunaan pembelajaran secara maya seiiring
dengan perkembangan teknologi terkini. Aku sangat memerlukan penjelasan serba
sedikit mengenai tugasan yang sudah dilaksanakan olehnya untuk memahami tindakan
seterusnya yang perlu aku lakukan. Pada petang itu, aku datang ke sekolah dalam jam
lima petang. Namun begitu, kelibat cikgu Azman masih tidak kelihatan, yang ada
hanyalah cikgu Azri yang sedang melatih murid untuk pertandingan olahraga yang akan
diadakan tidak lama lagi. Aku bercadang untuk menunggu cikgu Azman di padang.
Sementara itu, aku melihat latihan yang dijalankan oleh murid-murid olahraga. Tidak
lama kemudian, kelibat cikgu Azman kelihatan dari jauh. Dengan kadar segera, aku pun
meninggalkan padang dan menuju kearahnya.
Apabila jarak semakin menghampiri, kelihatan cikgu Azman sedang minum air
Ice Lemon Tea, satu minuman dalam tin sambil terduduk di tepi gelanggang futsal di
tepi padang. Aku pun bergerak menghampirinya dengan senyuman. Namun begitu,
senyuman ku tadi tidak dibalas. Kemudian aku berdiri di hadapan cikgu Azman yang
sedang duduk itu lalu memintanya dengan baik mengenai kata laluan dan meminta
khidmat nasihat untuk pembinaan halaman frog sekolah. Walau bagaimanapun, aku
dimarahi olehnya dengan tidak semena-mena sehingga aku tertanya-tanya di mana
silap aku. “Nanti bagi la! Ada je semua tu!!” dengan suara yang lantang dan keras itu.
Aku terkesima sebentar. Kenapa perlu sampai begitu sekali balasan yang aku terima?
sedangkan aku hanya sekadar bertanya. Jika dia berada dalam keadaan yang tidak
selesa mengapa tidak memberi isyarat atau menyatakan dengan sewajarnya bahawa
nant dia akan hubungi aku semula. Murid-murid yang berdekatan dengan kami pada
waktu itu memandang kea rah aku dan cikgu Azman dek lantaran suara yang agak
kasar sebentar tadi. Aku menjadi malu dan geram di situ kerana aku merasakan tidak
adil untuk aku menerima tindakan seperti itu. Namun, aku masih menyimpan rasa sabar
di hatiku ini. Dengan nada yang rendah, aku menyatakan padanya yang aku akan rujuk
dia kembali pada lain kali. Setelah itu aku terus beredar dan terus memandu pulang ke
rumah.
Tibanya aku di perkarangan rumahku,aku dengan geram menceritakan hal
tersebut kepada ibuku. Ibuku meminta aku supaya bersabar dan mengulas tindakan
cikgu Azman tadi yang tidak kena pada keadaan. Ibuku juga menasihatiku supaya tidak
marah keterlaluan dan memaafkan perkara yang berlaku. Hati aku pada mulanya
berasa marah dan ingin sahaja aku membalas dengan perbuatan yang sama juga nanti,
tetapi lama kelamaan aku merasakan tindakan seperti itu tidak rasional dan tidak
matang. Guruku pernah berkata, seorang yang mempunyai pelajaran atau ilmu sentiasa
berada di darjat yang lebih baik daripada orang lain dan orang yang berilmu sentiasa
bertindak mengikut ilmu dan akalnya tanpa sesekali menggunakan nafsunya. Selepas
aku teringat kata-kata itu, cepat-cepat aku beristighfar dan menenangkan diri. Aku
orang yang berilmu. Aku tidak akan sesekali bertindak mengikut nafsu kerana nafsu
yang menjadi raja dalam keputusan akan menunjukkan kebodohan serta kejahilan diri
sendiri. Pada keesokan harinya aku membuka halaman facebook ku. Tiba-tiba aku
terlihat satu kenyataan yang ditulis oleh cikgu Azman di halaman web sekolah yang
berbunyi seakan memerli seseorang. Aku mendiamkan diri dan mengharapkan agar
cikgu Azman bermaksud pada perkara lain. Kemudian, tanganku dengan cepat
membuka halaman lain dan menyiapka segala tugasan ku yang tergendala.
Kini dua minggu berlalu bagaikan semalam berlaku. Hal yang terjadi di padang
sudah lama aku padamkan dengan harapan akan bermula hari yang baru. Cikgu
Azman masih belum menyerahkan segala keperluan tugasan yang perlu disiapkan oleh
aku. Aku mengadukan hal ini kepada dua lagi teman baikku. Mereka mencadangkan
agar aku menceritakan segala permasalahan mengenai tugasan rasmi pada pentadbir
supaya mereka dapat memberi pandangan atau cadangan yang lebih baik untuk
menyelesaikan masalah ini. Pada tengah hari itu, aku dipanggil oleh Puan Sarah, Guru
Besar sekolah ke biliknya. Dia telah bertanyakan mengenai tugasan yang baru ku
terima sama ada timbul masalah atau tidak. Pada mulanya aku tidak mahu
menceritakan masalah aku padanya tetapi Puan Sarah terlebih dahulu bertanya sama
ada cikgu Azman sudah memulangkan segala yang berkaitan sekolah kepadaku. Aku
dengan jujur dan jelas menyatakan perkara sebenar dan memberitahu Puan Sarah
yang aku masih menunggu pemberian sekolah yang disimpan oleh cikgu Azman.
Puan Sarah merupakan seorang majikan dan ketua yang aku sangat hormati
bukan kerana penampilannya tetapi kerana pengalamannya dalam bidang pendidikan
yang lebih lama berbanding aku serta usianya yang lebih tua daripada usia ayahku.
Bagi aku, Puan Sarah harus dihormati sama seperti aku menghormati orang tua aku.
Oleh kerana aku bekerja dengan orang yang sudah berpengalaman ini dia memahami
situasi aku. Puan Sarah dengan secara sukarelanya telah mencadangkan kepada aku
supaya dia sendiri akan memaklumkan kepada cikgu Azman mengenai perkara
tersebut. Selang beberapa hari, Puan Sarah menghubungi aku sekali lagi dan
menyatakan bahawa cikgu Azman telah menghantar segala keperluan sekolah yang
disimpan dan diserahkan kepada sekolah kembali pada sebelah petang hari
sebelumnya. Walau bagaimanapun untuk pengurusan ICT sekolah, halaman web
sekolah di facebook dan kumpulan perbincangan guru atas talian masih diurus selia
oleh cikgu Azman lagi.
Walaupun dia tidak lagi guru yang berkhidmat di sekolah ini, namun dia masih
enggan menyerahkan segala kata laluan dan tugasan pengurusan tersebut kepada aku.
Aku masih member peluang dan beranggapan bahawa cikgu Azman mempunyai niat
yang baik untuk merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua buah sekolah
memandangkan dia juga merupakan guru penyelaras ICT di sekolah barunya itu. Kini di
halaman rasmi sekolah, cikgu Azman sentiasa member infi terkini kepada berita
semasa serta hal-hal berkaitan pengurusan dan isu pendidikan semasa. Dalam tempoh
ini juga aku Puan Sarah ada menyatakan bahawa cikgu Azman sedang memohon
rayuan pertukaran semula balik ke sekolah ini. Namun begitu keputusan masih belum
pasti. Tidak lama kemudian, keputusan rayuan pertukaran keluar dan rayuan cikgu
Azman itu ditolak oleh pihak jaba tan pelajaran negeri. Oleh kerana rayuannya ditolak,
cikgu ini telah mengemukakan aduan berkaitan pertukaran yang tidak adil baginya ini
kepada pihak kementerian secara terus di halaman rasmi kementerian. TIndakan
terburu-buru dan emosi cikgu Azman ini telah membangkitkan kemarahan pegawai
yang berkaitan dengan penempatan pertukaran guru di pejabat pelajaran daerah. Oleh
yang demikian, cikgu ini dikenakan boleh memohon pertukaran tetapi tidak akan
dibenarkan memohon pertukaran ke sekolah asal dalam tempoh lima tahun.
Namun begitu, cikgu ini sentiasa menulis ayat-ayat yang tidak sepatutnya seperti
mempertikaikan keputusan pihak atasan termasuk keputusan yang dibuat oleh Puan
Sarah Guur Besar sekolah ini yang tidak lagi menjadi majikannya. Pengurusan halaman
juga tidak diserahkan padaku selaku penyelaras ICT sekolah. Kemudian perkara
menjadi lebih buruk apabila aku menulis satu komen yang tidak ditulis kepada sesiapa
sekadar hanya gurauan di kumpulan perbincangan guru dan kakitangan dalam
facebook telah disalah ertikan. Rentetan dari itu, cikgu Azman seakan menganggap aku
sebagai satu ancaman dan beban yang perlu dihalangi. Komen yang telah aku tulis itu
telah di ‘print screen’ kan dan diletakkan di dalam paparan utama akaun facebooknye
dengan menuduh aku sebagai seorang kaki kipas, pengampu kepada pihak pentadbir.
Aku sangat terkejut mendengar berita itu. Aku mendapat tahu mengenainya apabila
salah seorang rakan sekerja ku menceritakan hal itu kepada aku. Aku tidak tahu hal ini
kerana akaun ku telah disekat oleh cikgu Azman dari meilhat segala aktiviti yang
dilakukan.
Tambahan pula, pihak pentadbir juga memanggil aku untuk membincangkan hal
ini. Mereka merasa tidak selesa dengan tindakan cikgu tersebut yang diaanggap
melanggar hak asasi sekolah ini. Dia dianggap tidak menghormati privasi sekolah ini
dengan sentiasa menulis kenyataan yang berbentuk perli, provokasi dan tuduhan tidak
berasas. Pihak pentadbir juga menyatakan bahawa mereka sudah membaca kenyataan
atau tuduhan yang dibuat oleh cikgu terbabit. Puan Sarah berasa tidak puas hati
dengan tindakan cikgu terbabit dan meminta aku untuk memadamkan akaunnya dari
halaman sekolah di facebook. Ini kerana sebarang kenyataan atau perkara yang
ditimbulkan di halaman maya facebook akan dibaca oleh mana-mana orang di seluruh
dunia. Apabila cikgu tersebut membuat tuduhan dan penyataan yang tidak
bertanggungjawab, ia akan terkesan bukan sekadar kepada individu yang dituju malah
memberi kesan yang negative kepada pandangan sekolah di mata masyarakat. Secara
jujurnya sememangnya aku berasa geram dengan kenyataan tersebut ettapi aku
mengambil keputusan untuk tidak memerangi orang seperti ini dengan emosi.
Segala tindakannnya itu dilihat sebagai tindakan yang tidak matang, tidak
berfikiran jauh serta cetak pengetahuan. Tambahan pula aku merasakan bahawa
sekiranya aku berbalas penyataan dengan guru tersebut di atas talian, terutamanya di
halaman facebook, kesan buruk akan diterima bukan sahaja pada aku malah memberi
kesan yang lebih negative kepada sekolah, pentadbir serta profesion keguruan itu
sendiri. Namun begitu, perkara ini berlarutan hingga berbulan lamanya. Permintaan
pihak pentadbir meminta aku untuk memadam akaunnya dari halaman rasmi sekolah
ditunda berkali-kali olehku dengan harapan bahawa cikgu Azman ini sentiasa ada
peluang untuk memperbaiki diri dan hubungan dengan warga sekolah. Tetapi harapan
hanyalah tinggal harapan. Malah perkara menjadi semakin serius apabila cikgu Azman
membuat penyataan mengenai senarai guru yang akan menerima anugerah
perkhidmatan cemerlang pada tahun ini di halaman rasmi sekolah. Senarai ini
merupakan satu perkara sulit dan peribadi. Ianya hanya diketahui oleh pihak pentadbir
dan penerima anugerah sahaja. Tindakan melampau ini membuatkan Puan Sarah
meminta dengan lebih serius kepada aku untuk membuang akaun cikgu tersebut dari
halaman rasmi sekolah.
Disebabkan permintaan yang serius ini, aku terpaksa juga melakukan perkara
tersebut terhadap akaun cikgu Azman. Pada malam tersebut, aku berusaha mencari
jalan untuk membuang cikgu tersebut dari akaun rasmi sekolah. Akhirnya aku berjaya
membuang cikgu itu dari akaun rasmi sekolah. Namun begitu tindakan ini tidak kekal
lama dan kali ini akaun dia muncul kembali dan akaun aku pula ditukar peranan malah
dia juga membuat satu penyataan yang sangat tidak bertanggungjawab di kumpulan
perbincangan guru dan kakitangan sekolah. Tindakannya ini sebenarnya bukan
menunjukkan kehebatannya tetapi memperlihatkan betapa cetak pemikirannya kerana
dari segi logik akalnya seorang penyelaras ICT perlu mengurus tadbir halaman maya
rasmi sekolah. Ini sememangnya di bawah bidang tugas guru penyelaras ICT. Namun
begitu apabila dia membuat sekatan terhadap aku, halaman tersebut kini telah ditadbir
urus oleh seorang penyelaras yang tiada kena mengena lagi dengan sekolah. Ini
merupakan satu perbuatan yang melanggar hak peribadi sekolah serta satu tindakan
tidak bertanggungjawab. Puan Sarah kini merasakan perkara ini sudah terlampau
serius dan memanjangkan hal ini kepada pihak pegawai ICT yang bertanggungjawab di
Pejabat Pendidikan Daerah bagi menasihati cikgu berkenaan mengenai isu ini.
Oleh itu, guru berkenaan telah pun dipanggil oleh pihak PPD dan diberi
peringatan serius untuk tidak melanggar hak peribadi sebuah sekolah dan melanggar
etika pekerja bertanggungjawab. Tidak lama dari isu berkenaan diketengahkan kepada
pihak atasan, cikgu tersebut telah memadamkan segala halaman yang berkaitan
dengan sekolah. Aku berasa kecewa dengan tindakan yang dilakukan oleh guru
tersebut. Dia bukan sahaja menjadikan aku sebagai musuhnya tetapi aku dianggap
sebagai orang yang memberi ancaman terhadap kerjayanya sedangkan aku tidak
pernah merancang untuk menjatuhkan mahupun mencampuri urusan orang lain.
Segala yang berlaku kini menjadi pengalaman berharga dan satu cabaran buat aku
untuk terus maju ke hadapan. Benarlah bak kata pepatah Melayu, rambut sama hitam,
hati lain-lain.
Top Related