1
MOTIVASI BELAJAR DAN HARGA DIRI :
HUBUNGAN DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK DAN
KEGIATAN KOKURIKULUM PELAJAR SEKOLAH MENENGAH
DR. ABD. SUKOR SHAARI
YAHYA DON
YAAKOB DAUD
FAKULTI SAINS KOGNITIF DAN PENDIDIKAN
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
2
BAB I
PENGENALAN
Pengenalan
Motivasi ialah kemahuan dalam diri seseorang individu untuk melakukan sesuatu bagi
mencapai matlamat. Menurut Sternberg (2001), motivasi bererti dorongan atau
keperluan yang memimpin kepada sesuatu tindakan. Motivasi juga melibatkan sesuatu
proses yang memberikan kuasa dan arahan yang menggerakkan tingkah laku seseorang.
Motivasi juga berkait rapat dengan keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam
setiap usaha yang dilakukan (Mohamad Zaaba dan Zuraida Haji Ismail, 2004). Menurut
mereka lagi, jika seseorang pelajar itu terdorong untuk belajar dengan tekun bagi
mendapatkan keputusan yang cemerlang maka pelajar itu ialah seorang pelajar yang
bermotivasi. Antara ciri-ciri pelajar bermotivasi tinggi ialah mereka sentiasa ingin ke
sekolah awal, ingin ke perpustakaan, gemar membaca, gemar belajar dan menganggap
peperiksaan sebagai satu cabaran.
Oleh sebab itu, adalah amat penting bagi semua pihak yang terlibat dengan pendidikan
terutamanya pihak sekolah merancang dan melaksanakan pelbagai langkah bagi
meningkatkan minat dan motivasi pelajar. Pihak sekolah perlu menyediakan iklim
persekolahan yang positif bagi menggerakkan motivasi pelajar untuk menghasilkan
corak pembelajaran yang berkesan. Ini kerana iklim sekolah merupakan faktor terpenting
3
dalam menentukan kualiti pembelajaran murid-murid di sekolah seterusnya menentukan
keberkesanan sesebuah sekolah.
Kecemerlangan pendidikan merupakan agenda penting yang sering dibincangkan. Ini
kerana pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan amat bergantung kepada
sistem pendidikan dan rupa bentuk pelajar yang akan dihasilkan. Dalam usaha untuk
membaiki kualiti dalam bidang pendidikan ini, lebih banyak fokus perlu diberikan
kepada motivasi pelajar-pelajar. Ini kerana pelajar merupakan harapan negara pada masa
hadapan.
Walau setekal mana dan semantap manapun program pendidikan yang dirancang dan
dilaksanakan, ianya tidak akan mencapai hasil yang sepenuhnya jika para pelajar tidak
berminat untuk belajar. Menurut Mohamad Zaaba dan Zuraida Haji Ismail (2004),
walaupun kehadiran pelajar agak memuaskan, namun kehadiran secara fizikal tidak
menjamin penglibatan mental. Pelajar-pelajar dilihat gagal mengambil peluang
sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana ramai pelajar tidak
mempunyai komitmen terhadap pelajaran mereka.
Penyataan Masalah
Kajian-kajian terhadap motivasi belajar memang banyak. Antaranya ialah kajian
terhadap tahap motivasi pelajar (Rothman, 1990), tahap motivasi dan hubungannya
4
dengan penglibatan pelajar dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan gerak kerja
dalam kelas (Suhaimi Zakaria, 1991).
Kajian-kajian terhadap harga diri pelajar juga banyak. Antaranya yang mengaitkan harga
diri dengan pencapaian akademik (D’Amico & Cardaci, 2003; Roy, 2003), dan kajian
tentang hubungan harga diri dengan perlakuan tidak bermoral (Meriwater, 2003).
Menurut dapatan kajian oleh D’Amico dan Cardaci (2003) dan Roy (2003), tidak
terdapat hubungan antara harga diri dengan pencapaian akademik.
Banyak kajian terhadap motivasi belajar dan harga diri dilakukan dengan
menghubungkannya dengan pencapaian akademik tetapi kurangnya kajian terhadap
mencari mengkaji hubungan antara motivasi belajar dengan harga diri.
Selain itu, kurangnya kajian yang memfokuskan kepada mencari perbezaan motivasi
belajar dan harga diri mengikut kumpulan pencapaian akademik dan penglibatan
kokurikulum. Adakah pelajar yang datang daripada kumpulan pencapaian akademik dan
penglibatan kokurikulum yang berbeza mempunyai motivasi belajar dan harga diri yang
berbeza? Adakah corak motivasi belajar dan harga diri berbeza juga mengikut latar
belakang demografi?
5
Objektif Kajian
Objektif Am
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-
pelajar di sekolah-sekolah menengah dan hubungannya dengan pencapaian akademik
dan penglibatan kokurikulum.
Objektif Khusus
Objektif khusus kajian ini ialah :-
1. mengenal pasti tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah
menengah.
2. membandingkan perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di
sekolah menengah ini berdasarkan pencapaian akademik.
3. membandingkan perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di
sekolah menengah ini berdasarkan penglibatan kokurikulum.
4. membandingkan perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar ini
berdasarkan latar belakang demografi.
5. mengukur hubungan antara harga diri, motivasi belajar dengan pencapaian akademik
dan penglibatan kokurikulum.
6
Soalan Kajian
Berdasarkan kepada dimensi-dimensi permasalahan kajian yang dikemukakan, soalan-
soalan bagi kajian ini ialah:
1. Apakah tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar di sekolah
menengah?
2. Adakah terdapat perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar
di sekolah menengah ini berdasarkan pencapaian akademik?
3. Adakah terdapat perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar
di sekolah menengah ini berdasarkan penglibatan kokurikulum?
4. Adakah terdapat perbezaan tahap motivasi belajar dan harga diri pelajar-pelajar
ini berdasarkan latar belakang demografi?
5. Adakah terdapat hubungan antara harga diri, motivasi belajar dengan pencapaian
akademik dan penglibatan kokurikulum?
Signifikan Kajian
Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Penyataan ini menunjukkan bahawa para
pelajar merupakan generasi yang menjadi sumber bernilai kepada negara tetapi para
pelajar yang tidak bermotivasi, rendah harga diri dan tidak mempunyai disiplin tidak
mendatangkan banyak kebaikan kepada negara. Oleh itu, maklumat dan dapatan
daripada kajian ini, dijangka dapat menambahkan maklumat dan pengetahuan di
samping menjanakan satu kerangka kerja yang baharu terhadap masalah disiplin di
kalangan pelajar.
7
Di samping itu, kepada pelaksana dasar pada peringkat staf pentadbiran di jabatan
pendidikan negeri, pengetua-pengetua dan guru besar sekolah diharapkan dapat
menggunakan dapatan kajian ini untuk mengenal pasti hubungan antara motivasi belajar
dan harga diri dengan pencapaian akademik.
Penyelidikan ini juga penting kerana dapat mengenal pasti adakah perbezaan pencapaian
akademik dan penglibatan kokurikulum disebabkan rendahnya motivasi belajar dan
harga diri mereka. Ini kerana terdapat kekurangan dalam kajian-kajian lepas mengenai
faktor-faktor yang menjadi peramal terhadap tingkah laku pelajar dalam pencapaian
akademik dan penglibatan kokurikulum dari sudut psikososial pelajar sekolah menengah
terutama di Malaysia. Kajian ini merupakan satu pencetus usaha kepada kajian-kajian
lepas mengenai motivasi belajar, harga diri dan pencapaian akademik pelajar-pelajar
sekolah menengah.
Skop dan Batasan Kajian
Kajian ini hanya memberikan tumpuan untuk mengenal pasti hubungan antara motivasi
belajar, harga diri dengan pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum di
kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah. Selain itu, kajian ini juga bertujuan
mengukur adakah ciri-ciri demografi pelajar seperti jantina, etnik dan latar belakang
sosioekonomi mempunyai hubungan dengan pencapaian akademik dan penglibatan
kokurikulum mereka.
8
Walaupun terdapat beberapa kajian yang menyenaraikan beberapa pemboleh ubah lain
yang mempengaruhi pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum tetapi kajian
ini hanya terbatas untuk mengkaji pemboleh ubah-pemboleh ubah yang dinyatakan
sahaja. Pemboleh ubah yang digunakan dalam kajian ini dipilih selepas membuat
kajian-kajian lepas, berdasarkan kepada pelbagai pendapat yang berkaitan, diikuti
dengan penilaian penyelidik sendiri berdasarkan sebagai bekas guru di sekolah
menengah. Penyelidik lain mungkin memilih pemboleh ubah yang berbeza untuk
digunakan dalam kajian walaupun skopnya sama.
Kajian ini hanya melibatkan pelajar-pelajar sekolah-sekolah menengah kebangsaan di
dua buah daerah di Kedah sahaja. Sekolah-sekolah ini hanyalah sekolah menengah
harian biasa. Maklumat yang didapati terbatas kepada kesediaan responden untuk
meluahkan perspektif mereka dengan baik. Oleh itu, untuk membuat generalisasi
dapatan ini kepada populasi yang lebih besar perlu dibuat secara berhati-hati.
Kajian ini akan menggunakan teknik "cross-sectional' iaitu direka bentuk untuk
mengukur topik yang khusus dan mengutip data hanya pada masa itu sahaja. Selain itu,
kajian ini dijalankan ketika responden baru sahaja memasuki persekolahan tingkatan 4.
Justeru, maklumat yang diberikan oleh responden yang digunakan untuk menganalisis
dapatan kajian dipengaruhi oleh tempoh masa ketika kajian ini dijalankan.
9
Definisi Operasional
Motivasi
Motivasi ialah kesedaran seseorang untuk meningkatkan usaha ke arah mencapai sesuatu
matlamat dengan syarat usaha tersebut dapat memenuhi keperluan individu itu sendiri
(Robbins,1998). Motivasi mempunyai tiga unsur yang penting iaitu usaha, matlamat dan
keperluan dan seseorang yang mempunyai motivasi akan berusaha dengan bersungguh-
sungguh untuk mencapai matlamat. Motivasi juga didefinisikan sebagai penggerak
kepada kemahuan-kemahuan dan keinginan untuk berjaya atau untuk mencapai sesuatu
rancangan untuk mengelakkan diri daripada kegagalan (Saedah, Zainon dan Tunku
Mohani,1996).
Motivasi Belajar
Mohd Zaaba dan Zuraida Hj Ismail (2004), mentakrifkan motivasi belajar sebagai usaha
dan kemahuan individu untuk belajar, bekerja kuat dan mencapai prestasi cemerlang di
sekolah. Motivasi ialah aras insentif yang ada pada seseorang dalam usaha untuk
mencapai matlamat akademik. Marshall (1987) pula mentakrifkan motivasi untuk belajar
sebagai nilai, kepentingan dan faedah yang diperoleh dari tugasan akademik tidak kira
sama ada tugasan itu menarik atau pun tidak. Ames (1990) pula mentakrifkannya
sebagai penglibatan jangka panjang yang berkualiti serta iltizam dalam proses
pembelajaran manakala Brophy (1987) menyatakan untuk belajar adalah kemahiran
yang diperoleh melalui pengalaman yang dirangsang secara terus melalui model atau
10
contoh, komunikasi jangkaan, arahan atau proses sosialisasi dengan individu yang
berpengaruh terutama guru dan ibu bapa.
Dalam kajian ini, motivasi untuk belajar adalah usaha dan kemahuan individu untuk
belajar, bekerja kuat dan mencapai prestasi cemerlang di sekolah. Motivasi adalah aras
insentif yang ada pada seseorang dalam usaha untuk mencapai matlamat akademik. Ini
bermakna individu ini bukan sahaja mahu berusaha malah menghargai dan seronok
belajar dan mendapat manfaat daripada pembelajaran yang dijalankan.
Harga Diri
Konsep ini bermaksud penilaian individu terhadap terhadap diri sendiri yang diakibatkan
oleh pengalaman dirinya dengan persekitaran.
Pencapaian Akademik
Pencapaian akademik merujuk kepada hasil yang diperoleh oleh pelajar-pelajar setelah
mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan. Secara khususnya pencapaian akademik merujuk
kepada penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran pada sesuatu tahap mengikut
ukuran peperiksaan. Pencapaian akademik pelajar dalam kajian ini diukur melalui dua
cara iaitu yang pertama melalui keputusan peperiksaan PMR 2003 bagi tujuh mata
pelajaran wajib yang diambil oleh semua calon PMR. Mata pelajaran tersebut ialah
Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah, Geografi dam Kemahiran
Hidup. Skor setiap subjek diberikan nilai seperti di bawah
11
A - 5
B - 4
C - 3
D - 2
E - 1
Pencapaian akademik ini kemudiannya dikategorikan ke dalam dua kumpulan berikut
iaitu Tinggi : Skor 21 - 35
Rendah : Skor 7 - 20
Selain itu, cara kedua ialah dengan mengambil markah dalam mata pelajaran
Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sahaja sebagai ukuran pencapaian
akademik.
Penglibatan Kokurikulum
Penglibatan kokurikulum pelajar bermaksud keaktifan pelajar untuk mengambil
bahagian dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum di sekolah sama ada dalam bidang unit
beruniform, sukan dan persatuan. Dalam kajian ini, dua bentuk pengukuran digunakan
iaitu penggunaan penilaian kendiri pelajar sama ada aktif atau tidak aktif dan yang kedua
melalui jawapan pelajar sama ada mereka memegang jawatan atau tidak memegang
jawatan dalam sukan, persatuan dan unit beruniform.
Latar Belakang Demografi
Ia meliputi jantina, pendapatan keluarga dan latar belakang keluarga.
12
BAB 11
TINJAUAN LITERATUR
Pendahuluan
Bab ini akan membincangkan tentang konsep-konsep dan teori yang mendasari kajian
serta meninjau kajian-kajian berkaitan yang ada hubungan dengan motivasi belajar,
harga diri dan motivasi pencapaian. Topik-topik ini menyediakan latar belakang penting
terhadap penyataan masalah, pembentukan soalan penyelidikan, objektif kajian dan
kerangka konseptual kajian.
Konsep Motivasi
Ahli-ahli psikologi berpendapat bahawa tingkah laku manusia dipengaruhi oleh beberapa
faktor. Ada kalanya manusia bertindak berasaskan perasaan dan nalurinya sendiri dan
ada kalanya mereka dipengaruhi oleh alam sekeliling. Apa yang mendorong manusia
bertindak untuk mencapai sesuatu tujuan ialah motivasinya. Motivasi juga sebagai satu
set proses yang memberi tenaga kepada tingkah laku seseorang itu dan menghala tingkah
laku itu kepada satu-satu matlamat. Baginya motivasi bukan sahaja melibatkan sesuatu
keperluan yang menggerakkan tingkah laku seseorang itu tetapi juga hala tuju yang
diambil oleh seseorang itu untuk memuaskan keperluan itu.
Abdul Rahman Aziz (1997) mengatakan bahawa motivasi adalah usaha yang dilakukan
secara berterusan untuk membangkitkan kesedaran dalam diri seseorang agar mereka
13
giat berusaha untuk mencapai kejayaan. Baginya kesedaran dapat dibangkitkan dengan
membawa individu meneroka potensi dirinya.manusia yang mendenal dirinya akan dapat
mememui kekuatan dalaman yang ada padanya.
Mohd. Shahrani Ahmad dan Zainol Madon (2003) pula memberi definisi motivasi
sebagai satu proses membangkitkan, mengarahkan dan mengekalkan tingkah laku ke
arah tujuan tertentu, yang sebelumnya tidak ada gerakan ke arah tujuan tersebut. Bagi
mereka, motivasi merupakan suatu kuasa dalaman yang kompleks yang tidak dapat
difahami secara langsung tetapi mempengaruhi tingkah laku seseorang. Motivasi
merupakan dorongan dari dalam yang berupa harapan dan keinginan yang
menggerakkan individu untuk melakukan tindakan bagi mencapai sesuatu tujuan tertentu
atau mencapai kejayaan dalam hidup serta mengelakkan kegagalan.
Menurut Colquitt, LePine dan Noe (2000), motivasi untuk belajar didefinisikan sebagai
arah, kemahuan dan tingkah laku yang mengarah kepada pembelajaran berterusan dan
juga telah didapati positif kepada prestasi pembelajaran. Kajian mereka dijalankan
secara analisis meta.
Selain itu, Saifuddin Haji Masduki(1997) mendefinisikan motivasi sebagai penggerak
kepada kemahuan dan keinginan untuk mencapai sesuatu untuk berjaya. Baginya, faktor
penggerak merujuk kepada keperluan untuk mencapai tiga matlamat iaitu, pertama ialah
pencapaian yakni pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam bidang
14
akademik dan kokurikulum. Kedua ialah satu kuasa dalaman yang menggerakkan pelajar
bersaing bagi memegang jawatan atau ketua dalam pasukan atau persatuan-persatuan di
sekolah dan ketiga ialah penggabungan iaitu pelajar menunjukkan hubungan yang baik
antara sesama mereka, juga dapat dilihat apabila pelajar-pelajar menilai sokongan
daripada rakan-rakan mereka dan juga penglibatan mereka.
Shiv Khera (1998) pula memberikan definisi motivasi sebagai sesuatu yang
menggalakkan atau merangsang tindakan ataupun perasaan. Motivasi merupakan satu
daya pendorong kepada seseorang untuk bertindak dan melakukan sesuatu. Ia adalah
daya yang secara harafiah boleh mengubah kehidupan seseorang.
Motivasi pelajar merupakan masalah utama terutama ketika pengajaran dan pemelajaran
dalam kelas. Banyak pelajar berasa bosan ketika belajar. Perasaan bosan ini
menyebabkan kurangnya perhatian mereka kepada guru. Keadaan ini menjadi salah satu
punca kepada pencapaian akademik yang rendah dan berhenti dari sekolah. Mengikut
Rothman (1990), kajian terhadap 2500 pelajar gred lapan mendapati separuh daripada
responden mereka mengatakan mereka berasa bosan di sekolah. Kajian mereka
mencadangkan supaya dicari strategi baru bagi mengurangkan kebosanan pelajar dan
meningkatkan motivasi belajar mereka.
Stipek (1988) pula mengatakan perlunya ditingkatkan motivasi dalaman pelajar untuk
belajar. Beliau percaya terdapat banyak cara untuk meningkatkan motivasi dalaman
15
pelajar ini. Antaranya ialah dengan memberikan tugasan yang mencabar, penggunaan
bahasa positif dalam kelas dan pembelajaran secara koperatif. Eccles, Midgeley dan
Adler (1984) menyokong pandangan ini dan mengatakan bahawa motivasi akan
meningkat jika pelajar diberikan lebih banyak autonomi dan kawalan terhadap
pembelajaran mereka.
Stodolosky, Salk dan Glaessner (1991) mendapati persepsi pelajar terhadap subjek
mempengaruhi motivasi mereka untuk belajar. Mereka membandingkan pandangan
pelajar terhadap dua buah subjek iaitu matematik dan pengajian sosial. Mereka
mendapati penilaian minat mereka terhadap subjek tersebut. pelajar terhadap matematik
dipengaruhi oleh kejayaan manakala pandangan terhadap pengajian sosial dinilai melalui
sejauhmanakah
Pandangan ini turut disokong oleh Suhaimi Haji Zakaria (1991). Menurut beliau,
motivasi belajar dan disiplin merupakan kunci utama kejayaan seseorang pelajar.
Justeru, motivasi untuk belajar perlu diberikan penekanan untuk menggalakkan
pembelajaran serta menyekat perlakuan yang tidak sopan. Beliau menambah lagi,
motivasi merujuk kepada penglibatan pelajar dalam aktiviti pembelajaran dan gerak
kerja dalam kelas. Disiplin pula merujuk kepada pembentukan pelajar terhadap
perlakuan yang boleh diterima. Motivasi yang rendah akan menghasilkan suasana
perlakuan yang negatif.
16
Hasil kajian Jenkins (1995) melaporkan, terdapat hubungan yang sonsang antara
komitmen pelajar dengan jenayah sekolah. Pelajar yang terlibat dalam salah laku
jenayah adalah mereka yang kurang komitmen terhadap sekolah dan pelajaran.
Kurangnya komitmen dalam pelajaran sering dihubungkan dengan tidak wujudnya
motivasi dalam diri pelajar untuk mencapai kejayaan.
Biasanya pelajar yang berjaya ialah pelajar yang mempunyai motivasi yang tinggi. Ini
kerana motivasi merupakan satu daya yang paling kuat untuk memperoleh
kecemerlangan (Toh Hon Leong, 2000). Menurut beliau lagi, pelajar yang cemerlang
ialah pelajar yang dapat memfokus kepada faktor-faktor penyebab kecemerlangan.
Mereka dapat mencurahkan lebih masa, tenaga dan usaha kepada aktiviti yang penting
dan kritikal untuk mencapai prestasi cemerlang. Menurut kajian dan penyelidikannya,
beliau mendapati terdapat beberapa faktor yang amat penting untuk mencapai kejayaan.
Faktor-faktor tersebut yang dikenali sebagai faktor kejayaan kritikal adalah seperti
berikut iaitu:-
a) strategi Motivasi
b) strategi Berusaha
c) strategi Belajar
d) strategi Pengurusan Masa
e) strategi Kesihatan Diri
f) strategi Peperiksaan
17
Hubungan antara Motivasi dengan Pencapaian Akademik
Kajian-kajian lalu menunjukkan bahawa motivasi pencapaian merupakan pemboleh
ubah yang berkaitan dengan pencapaian akademik (Uguroglu, 1982) dan menjadi
peramal yang tekal bagi pencapaian akademik (McKay 1984). Ini menunjukkan motivasi
pencapaian mempunyai perkaitan yang kuat dengan prestasi akademik pelajar. Kajian
Saifuddin Haji Masduki (1997), mendapati bahawa pencapaian akademik mempunya
hubungan yang signifikan dengan matlamat motivasi. Arah hubungan adalah positif. Ini
bermakna semakin tinggi motivasi semakin tinggi pencapaian akademik manakala
kekuatan hubungan adalah sederhana (r =0.29).
Dapatan ini menunjukkan faktor motivasi adalah penting dalam usaha untuk
meningkatkan prestasi akademik pelajar. Bagi beliau, motivasi pencapaian merupakan
keperluan yang paling penting antara tiga jenis keperluan motivasi yang mempengaruhi
komitmen pelajar dan pencapaian akademik. Oleh yang demikian untuk meningkatkan
prestasi akademik pelajar perlu sentiasa diberi motivasi bagi mengekalkan tahap
motivasi mereka agar sentiasa tinggi.
Kajian Entwistle (1980) mendapati bahawa kaedah belajar yang baik dan teratur serta
motivasi yang tinggi merupakan sebahagian daripada faktor yang berkaitan dengan
prestasi akademik yang tinggi. Hsiang (1993) mengatakan bahawa motivasi pelajar
merupakan pemboleh ubah yang sangat penting terhadap pencapaian akademik pelajar
tetapi ia tertakluk kepada sikap mereka terhadap pelajaran. Sikap positif, yakin diri dan
18
iltizam yang tinggi terhadap pelajaran boleh memberi hasil pencapaian akademik yang
tinggi.
Menurut kajian Nabilah Hashim (2004), pelajar yang mendapat pencapaian akademik
yang baik adalah mereka yang mengamalkan pembelajaran yang aktif di dalam dan di
luar kelas manakala pelajar yang mendapat pencapaian akademik yang rendah adalah
mereka yang mengamalakn pembelajaran yang pasif. Pengkaji berpendapat mereka yang
mengamalkan pembelajaran yang aktif ialah mereka yang mempunyai tahap motivasi
yang tinggi manakala mereka yang mengamalkan pembelajaran yang pasif ialah mereka
yang mempunyai tahap motivasi yang rendah atau tidak bermotivasi.
Harga Diri
Konsep ini adalah sebahagian dari konsep diri global yang ada pada seseorang individu,
yang mana ia termasuklah ciri-ciri seperti nilai, kebolehan, matlamat hidup dan harga
diri. Harga diri merupakan persepsi seseorang terhadap dirinya yang diakibatkan oleh
pengalaman dirinya dengan persekitaran dan dipengaruhi oleh pengukuhan terhadap
persekitaran. Mereka mengenal pasti tujuh ciri-ciri harga diri iaitu tersusun, pelbagai,
hierarki, stabil, berkembang, boleh dinilai dan boleh dibezakan.
Baumeister dan Tice (1984) pula mendefinisikan harga diri sebagai penilaian terhadap
diri yang berbentuk global dan lazimnya dinilai daripada darjah seseorang itu berupaya
menerima pelbagai bentuk kenyataan penilaian terhadap dirinya. Individu yang
19
mempunyai harga diri yang tinggi lebih menekankan dan mementingkan kebolehan,
kekuatan serta kualiti diri yang baik. Sebaliknya mereka yang rendah harga diri
menumpukan perhatian kepada kelemahan, kekurangan serta kualiti yang tidak baik
yang terdapat dalam diri mereka.
Randall (1996) pula mendefinisikan harga diri sebagai perasaan relatif negatif atau
positif mengenai diri sama ada lebih positif atau negatif pada individu dan juga
interpretasi individu terhadap kejayaan dan kegagalan terhadap kehidupan seharian.
Menurut Harter (1990), harga diri seseorang itu akan berbeza selepas satu peringkat
perkembangan iaitu selepas kita menerokai keupayaan diri dan belajar lebih banyak
kemahiran. Kita selalunya akan mempunyai harga diri yang lebih tinggi dalam satu
bidang berbanding dengan yang lain. Menurut Harter lagi, kanak-kanak yang berumur
antara 4 hingga 7 tahun boleh menilai diri mereka dalam empat domain peribadi iaitu
kognitif, fizikal, sosial dan tingkah laku. Sebaliknya antara umur 8 hingga 12 tahun,
perkembangan harga diri bertambah kepada skolastik, atlit, penerimaan sosial rakan
sebaya, tingkah laku dan penonjolan fizikal. Semasa remaja pula, lebih banyak bidang
diperoleh iaitu semangat berkawan dan kemahiran kerja. Apabila dewasa pula, bidang
harga diri bertambah semakin banyak. Antaranya ialah kecerdikan, sifat jenaka, moral,
sukan, penonjolan fizikal, sosial, dan pengurusan rumah tangga.
20
Guru-guru dan ibu bapa tidak boleh mengabaikan kepentingan persepsi terhadap diri
kerana ketidaktepatan penilaian terhadap diri oleh kanak-kanak menyebabkan sukarnya
mereka menyelesaikan kerja-kerja sekolah dan menyesuaikan diri dengan kehidupan di
luar sekolah (Philips, 1987). Kanak-kanak yang meletakkan diri mereka mempunyai
keupayaan diri yang rendah meletakkan cabaran yang rendah berbanding pelajar yang
tinggi harga diri (Harter, 1983).
Kajian oleh Meriwether (2003) terhadap tingkah laku tidak bermoral mendapati bahawa
semua perlakuan tidak bermoral ini dilakukan oleh responden yang rendah harga diri
mereka sebaliknya Roy (2003) mendapati harga diri yang tinggi tidak membantu
meningkatkan prestasi sekolah. Ini menunjukkan dapatan yang masih tidak konsisten
terhadap hubungan antara harga diri dengan pencapaian akademik.
Hubungan antara Motivasi, Harga Diri dan Pencapaian Akademik
Murphy dan Roopchand (2003) mengkaji hubungan antara motivasi intrinsik terhadap
pembelajaran dan harga diri. Beliau membandingkan dua kumpulan pelajar iaitu pelajar
tradisional dan matang dengan pendekatan belajar. Dapatan beliau daripada 160 sampel
menunjukkan bahawa harga diri dan motivasi intrinsik mempunyai hubungan. Pelajar
perempuan yang lebih matang mendapat skor motivasi intrinsik yang lebih tinggi.
Dapatan kajian yang sebaliknya telah dilaporkan oleh Roy (2003) iaitu dalam kajian
mereka mendapati bahawa individu yang tinggi perasaan harga diri secara umumnya
21
tidak membantu prestasi sekolah dan prestasi kerja. Walau bagaimanapun, kejayaan
akademik dan kerjaya menjadi pemangkin kepada harga diri. Menurut beliau, harga diri
yang tinggi tidak menghalang remaja daripada menghisap rokok, meminum alkohol,
menghisap dadah, terlibat dengan seks dan semua perlakuan yang tidak bermoral.
Pembuli di sekolah menurut beliau didapati mempunyai harga diri yang tinggi.
D'Amico dan Cardaci (2003), melaporkan kajian hubungan antara efikasi diri, harga diri
dan pencapaian skolastik menggunakan 151 subjek. Dapatan kajian mereka
menunjukkan bahawa efikasi diri mempunyai hubungan yang signifikan dengan
pencapaian skolastik tetapi tidak terdapat hubungan antara harga diri dengan pencapaian
skolastik.
Hubungan Latar Belakang Personal dengan Pencapaian Akademik.
Banyak pendapat dari kajian-kajian lepas menyatakan bahawa latar belakang personal
mempunyai hubungan dengan pencapaian akademik. Antara pemboleh ubah yang dilihat
memberi pengaruh terhadap pencapaian akademik ialah jantina, bangsa dan latar
belakang keluarga seperti tahap pendidikan ibu bapa, komitmen ibu bapa terhadap
pendidikan anak-anak, struktur keluarga dan status ekonomi.
Kajian Jenkins (1995) mendapati bahawa faktor jantina memainkan peranan utama
mempengaruhi komitmen pelajar terhadap sekolah. Philips dan Zimmerman (1990)
mendapati pada gred ketiga dan kelima, tidak wujud perbezaan harga diri tetapi pada
22
gred 9, pelajar perempuan lebih banyak percaya mereka tidak ada keupayaan yang tinggi
dalam bidang akademik.
Sharifah Md Noor (1991) pula dalam kajiannya mendapati bahawa faktor bangsa
mempunyai hubungan signifikan dengan pencapaian akademik. Dapatan beliau
menunjukkan bangsa India mempunyai hubungan yang negatif dan signifikan dengan
pencapaian akademik. Dalam kajiannya, Sharifah mendapati kanak-kanak India tidak
menguasai pencapaian akademik yang tinggi berbanding kanak-kanak Melayu dan Cina.
Selain daripada faktor bangsa, beliau turut mengaitkan kedudukan status sosioekonomi
mereka yang rendah turut menyumbang kepada masalah ini. Ini bermakna keadaan ini
mungkin berbeza jika kajian dibuat ke atas mereka yang mempunyai taraf sosioekonomi
yang tinggi.
Kajian Habibah Elias (1993) pula terhadap pelajar-pelajar universiti mendapati bahawa
prestasi peperiksaan pelajar-pelajar Cina dalam kursus-kursus kreatif dan kuantitif
adalah lebih tinggi daripada pelajar-pelajar Melayu. Beliau berpendapat keadaan ini
berlaku mungkin disebabkan oleh input latihan yang diikuti yang menekankan tentang
ciri-ciri cabaran, persaingan, maklum balas segera tentang kemajuan, usaha dan
kecemerlangan adalah lebih sesuai dengan nilai-nilai hidup kumpulan etnik Cina yang
sudah biasa dengan ciri-ciri tersebut dalam amalan hidup mereka. Oleh sebab itulah
mereka mendapat faedah dalam bentuk peningkatan prestasi yang lebih tinggi
berbanding dengan pelajar Melayu.
23
Latar belakang keluarga dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan tahap
pencapaian anak-anak dalam pelajaran. Kajian Anderson (1994) mengenai kesan
penglibatan ibu bapa ke atas pencapaian akademik mendapati jika ibu bapa terlibat
secara langsung dan aktif dalam pendidikan anak-anak mereka, anak-anak mereka akan
mencapai keputusan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan jika dibandingkan dengan
pelajar yang ibu bapa tidak terlibat secara langsung dalam pendidikan mereka.
Mengikut kajian Kuen (1991), terdapat perkaitan yang signifikan antara penglibatan ibu
bapa dengan pencapaian akademik pelajar. Dalam kajiannya, beliau mendapati bahawa
71.7% daripada 60 pelajar yang dikaji, suka jika ibu bapa lebih banyak bertanyakan
pelajaran mereka di sekolah, manakala 88.3% pelajar pula lebih suka jika ibu bapa
mereka memberi perhatian terhadap pelajaran.
Namun begitu dapatan kajian Rusli Md Zain (1998) pula mendapati kesan yang
sebaliknya iaitu penglibatan ibu bapa tidak mempunyai hubungan yang positif dengan
pencapaian PMR pelajar-pelajar sekolah berasrama penuh yang dikaji. Ini bermakna
penglibatan atau pengaruh ibu bapa bukanlah faktor penentu kejayaan mereka dalam
pencapaian akademik.
Sementara itu, Saifuddin Hj Masduki (1997) pula, dalam kajiannya mendapati bahawa
terdapat hubungan yang signifikan antara pencapaian akademik dengan pendapatan ibu
bapa dan tahap pendidikan ibu bapa. Dapatan beliau menunjukkan arah kedua-dua
24
hubungan adalah positif. Ini bermakna semakin tinggi pendapatan ibu bapa dan tahap
pendidikan mereka, maka semakin tinggi tahap pencapaian akademik anak-anak mereka.
Rusli Md Zain (1998) dalam kajiannya juga melaporkan terdapat hubungan positif antara
pencapaian akademik dengan pendapatan keluarga. Ini kerana mereka yang
berpendapatan tinggi dapat memenuhi segala perbelanjaan anak-anak seperti penyediaan
buku-buku tambahan.
Dapatan ini selaras dengan dapatan kajian Siti Nor Yaakob (1990) yang mendapati
bahawa terdapat hubungan signifikan yang tinggi antara taraf pendidikan ibu bapa
dengan pencapaian akademik anak-anak. Ibu bapa yang mempunyai pendidikan
menengah dan yang berpelajaran mempunyai pengaruh yang lebih besar terhadap anak-
anak mereka.
Namun begitu, terdapat juga pendapat yang bercanggah dengan pendapat yang
dikemukakan di atas. Kajian Nik Yasin Nik Zain (1981) dan Asfawasin Zakaria (1990)
mendapati bahawa kolerasi antara sosioekonomi dan pencapaian akademik adalah tidak
signifikan. Mengikut Nik Yasin Nik Zain (1981), terdapat pelajar-pelajar dari kelas
bawahan yang mempunyai pencapaian akademik yang lebih baik daripada kelas
menengah. Baginya kelas ekonomi ibu bapa adalah tidak penting, tetapi tahap
penglibatan ibu bapa terhadap pelajaran anak-anak adalah lebih berpengaruh terhadap
pencapaian akademik pelajar. Mengenai struktur keluarga pula, kajian Jenkins (1995)
mendapati tidak terdapat hubungan yang signifikan antara struktur keluarga dengan
Top Related