(2018) 3(1) JCIL
1
Journal of Contemporary Islamic Law, Vol. 3(1) (2018)
Garis Panduan dalam Penyediaan Borang Hibah di Mahkamah Tinggi Syariah
(Guideline in Preparing Hibah Document at The Shariah High Court)
ADILAH MOHD SA’AFIE, MOHD ZAMRO MUDA
ABSTRAK
Instrumen perancangan harta melalui hibah mula berkembang apabila munculnya pelbagai institusi yang
menawarkan penyediaan dokumen hibah. Pelbagai metod yang dilakukan oleh institusi terlibat untuk menarik
perhatian masyarakat dalam erti kata lain untuk memberitahu tentang kepentingan hibah sebagai salah satu
instrumen perancangan harta, seperti melalui media cetak dan media elektronik. Namun begitu, perkara yang
masih menjadi tanda tanya adalah sejauh mana dokumen yang disediakan oleh institusi tersebut diterimapakai di
Mahkamah Syariah apabila berlakunya perkara berbangkit kelak. Justeru itu, artikel ini bertujuan mencadangkan
garis panduan di Mahkamah Syariah dalam menentukan kesahan sesuatu kes hibah. Data-data kajian ini diperoleh
melalui kajian-kajian kes hibah yang lepas dan temu bual daripada hakim yang terlibat secara langsung dalam
menyelidik tentang kesahan sesuatu kes hibah. Hasil kajian ini mendapati bahawa kesahan sesuatu kes hibah perlu
menepati rukun dan syarat hibah yang telah digariskan di dalam Islam sama ada dengan adanya dokumen ataupun
sebaliknya. Wujudnya dokumen hibah juga terbukti lebih memudahkan proses pengesahan di Mahkamah Tinggi
Syariah. Satu garis panduan berhubung hibah dapat dihasilkan bagi memudahkan syarikat-syarikat khususnya dan
orang awam amnya dalam mengunakan hibah sebagai instrumen perancangan harta.
Kata Kunci: hibah, dokumen hibah, garis panduan, Mahkamah Syariah, kesahan hibah.
ABSTRACT
Instrument of wealth management through hibah starts to develop during the emergence of various type of
institutions offering for hibah document preparation. Various methods were implemented by the involved institution
to attract the potential clients or to give information about the importance through hibah as one of instruments of
wealth planning, such as through the printed and electronic media. However, the acceptance by the Shariah Court
to the documents provided by the institutions involved when there will be arising or conflict matters in future
remains a question. Therefore, this article proposes a guideline for Shariah Court in determining the validity of
hibah’s case. The data was collected from the case studies and interviews to the judges who are directly involved in
determining the genuinity of the cases. The findings of this research show that the genuinity of the cases must
principle to the rules and regulations of hibah in Islam either with the document or not. For the case with the
document, it helps to minimize a proceeding in Shariah High Court. A guideline about hibah can be generated as
the information and knowledge for the citizen especially those whom are using hibah as instrument in their wealth
management.
Keywords: hibah, document of hibah, guideline, Shariah Court, validity of hibah
PENDAHULUAN
Pelaksanaan hibah kini lebih dilihat sebagai kaedah
pemindahan harta milik pemberi hibah kepada
sesiapa yang dikehendakinya dan sekaligus menjadi
salah satu jalan keluar kepada masalah pembahagian
harta pusaka di Malaysia (Rusnadewi & Hisyam
2013). Perkembangan perancangan harta melalui
hibah juga dapat dilihat apabila munculnya pelbagai
institusi atau badan yang menawarkan perancangan
hibah termasuklah syarikat-syarikat persendirian,
pihak bank dan Majlis Agama Negeri. Statistik
menunjukkan bahawa permohonan pengesahan hibah
di Selangor semakin bertambah apabila pada tahun
2010 hanya 12 kes yang didaftarkan dan sehingga
2014 pula sebanyak 34 kes (Mahkamah Tinggi
Syariah Selangor 2016). Rentetan itu, banyak
produk-produk hibah yang diwujudkan seperti hibah
takaful, hibah amanah dan lain-lain. Fadzil (2015)
menyatakan dalam kajiannya bahawa apabila
munculnya kepelbagaian dalam produk hibah,
hukum syarak perlu dititikberatkan supaya selaras
dengan konsep hibah yang digariskan oleh hukum
(2018) 3(1) JCIL
2
syarak sekaligus memberi kesan di Mahkamah
Syariah apabila berlaku pertikaian kelak.
Isu yang pertama adalah ketidakseragaman
dalam jenis-jenis produk hibah. Syarikat-syarikat
yang menawarkan produk hibah mempunyai rukun-
rukun yang berbeza. Perkara ini dapat dilihat pada
CIMB Trustee Berhad yang mempunyai enam rukun
hibah dan Amanah Raya Berhad mempunyai empat
rukun hibah. Nurul Huda (2012) dan Badrul Hakimi
(2009) menyatakan bahawa perbezaan rukun-rukun
ini menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat.
Sehingga hari ini, masih tiada lagi undang-
undang khusus yang boleh memberi panduan kepada
syarikat-syarikat mahupun institusi-institusi untuk
memastikan perkhidmatan yang ditawarkan
mematuhi prinsip yang digariskan oleh syarak.
Menurut Nasrul Hisyam (2015), perlu adanya
pemantauan berpusat yang mewujudkan satu polisi
umum yang boleh dijadikan sebagai asas kepada
pembentukan produk hibah.
Isu yang seterusnya adalah aspek dokumentasi
yang merupakan bahagian paling utama dalam hibah.
Alias Azhar (t.th.) menyatakan bahawa aspek
teknikal atau aspek dokumentasi dan perundangan
perlu diselaraskan agar hibah yang dilakukan
bermanfaat kepada pemberi dan penerima hibah.
Perkara ini dapat dilihat melalui kes CIMB Islamic
Bank Bhd v. LCL Corp Bhd & Anor [2012] 3 MLJ
869. Hakim dalam kes tersebut menyatakan bahawa
hibah bermaksud memindah milik sebuah aset tanpa
sebarang pulangan semasa hayat penghibah. Nassir
Aziz (2017) menyatakan dokumen menjadi dakwaan
dalam kes hibah dan kesahannya bergantung kepada
rukun, syarat dan kompilasi akad yang digunapakai.
Selain itu, aset hibah dipindah melalui dokumen
hibah yang dinamakan surat hibah dan fungsi
dokumen tersebut adalah untuk memastikan harta
yang diberikan kepada orang tersayang diterima
tanpa boleh dicabar oleh waris lain (Alias Azhar
t.th.). Justeru, satu garis panduan hibah perlu
diwujudkan bagi mengelakkan berlakunya hibah
tidak diterima di Mahkamah Syariah apabila
berlakunya pertikaian dan sekaligus mengelakkan
kekeliruan kepada masyarakat awam khususnya.
RUKUN DAN SYARAT HIBAH
Islam adalah sebuah agama yang lengkap yang
meliputi seluruh aspek sama ada ibadat, munakahat
mahupun muamalat. Secara umumnya, hibah
merupakan suatu pemberian hak milik sesuatu harta
tanpa perlu menukar ganti dengan harta atau benda
yang lain, atau dengan wang atau pada kadar yang
tertentu semasa pemberi hibah masih hidup yang
dilakukan secara sukarela. Firman Allah s.w.t dalam
Surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud: Dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia
menyayanginya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak
yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar
dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang
meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba
abdi...”.
Hadis juga menyatakan yang bermaksud:
Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w bersabda: “Wahai
kaum muslimat, janganlah seorang jiran wanita
merendah-rendahkan pemberian jirannya yang lain,
walaupun pemberian itu berupa kaki kambing”. (al-
Bukhari, Sahih, dalam Mawsu’ah al-Hadith, Kitab al-
Hibah wa Fadluha wa al-Tahrid ‘Alayha, hlm. 202,
No.2566).
Al-Sharbini (t.th.) dan Sayyid Sabiq (1999)
menyatakan bahawa hibah adalah akad pemberian
milik sesuatu benda tanpa ada tukar ganti yang
dilakukan secara sukarela. Islam juga telah
menggariskan rukun dan syarat hibah bagi menjamin
hak-hak pihak yang terlibat. Al-Zuhayli (1996)
menyatakan bahawa rukun hibah menurut ulama ada
empat iaitu pemberi, penerima, barang yang diberi
dan sighah. Perincian rukun dan syarat hibah adalah
seperti berikut:
1. Pemberi hibah atau al-wahib
Pemberi adalah orang yang memiliki barang yang
diberi dan sihat tubuh badan dan akal fikirannya
ketika pemberian dilakukan. Jumhur berpendapat
jika pemilik barang sakit (marad al-mawt) tetapi
memberi sesuatu kepada seseorang, kemudian
mati, maka pemberiannya terhad kepada 1/3
daripada harta peninggalannya. Kes ini adalah kes
hibah sewaktu marad al-mawt yang hukumnya
tertakluk pada hukum wasiat (al-Zuhayli 1996;
Sayyid Sabiq 1995).
2. Penerima hibah atau al-mawhub lahu
Semua orang layak menjadi penerima hibah.
Namun, menurut jumhur ulama jika semua harta
diberikan kepada sebahagian anak hukumnya
adalah makruh. Tetapi ada sebahagian ulama
berpendapat bahawa hukumnya adalah harus. Al-
Sharbini (t.th.) menyatakan bahawa penerima
hibah disyaratkan berkeahlian untuk mengurus
dan memiliki harta yang dihibahkan kepadanya.
Bagi penerima yang belum mukallaf, maka
walinya akan menerima bagi pihaknya. Justeru,
tidak sah hibah kepada anak dalam kandungan.
3. Harta yang dihibahkan atau al-mawhub
Barang yang dihibah hendaklah barang yang
dimiliki yang tidak ada apa-apa halangan atau
sekatan untuk diberikan kepada penerima hibah.
Menurut al-Zuhayli (1996), syarat-syarat barang
yang dihibahkan adalah seperti berikut:
i. Harta yang sah untuk jual beli.
ii. Harta milik pemberi hibah.
iii. Barang ada pada waktu pemberian.
4. Sighah iaitu ijab dan qabul
Bagi memastikan sesuatu hibah itu sah, rukun
ijab dan qabul perlu dipenuhi. Al-Mahalli (t.th.)
menyatakan syarat hibah hendaklah ada ijab dan
qabul secara berlafaz seperti kata pemberi hibah:
“aku hibahkan kepada kamu barang ini, lalu
berkata penerima hibah: aku terima”. Mazhab
(2018) 3(1) JCIL
3
Maliki dan mazhab Shafi’i mensyaratkan
perlunya ada qabul dalam sesuatu hibah.
Manakala mazhab Hanafi pula tidak
mensyaratkan qabul dan hibah hanya memadai
dengan qabd, sedangkan mazhab Hanbali
menyatakan hibah sah apabila berlaku keterikatan
di antara pemberi hibah dan penerima hibah
(Sayyid Sabiq 2004). Selain itu, syarat ijab dan
qabul adalah bersambungan dan berturut-turut
serta tidak diselangi dengan waktu yang lama. Al-
Sharbini (1939) menyatakan ijab dan qabul
hendaklah secara berlafaz bagi mereka yang
boleh bercakap serta dilakukan secara berturutan
di antara ijab dan qabul.
SYARAT AL-QABD DALAM HIBAH
Pandangan Imam Shafi’i dan Abu Hanifah, al-qabd
adalah syarat luzum yang bermaksud akad hibah
tidak berkuatkuasa dan sempurna dengan hanya ijab
dan qabul semata-mata (Ibn Qudamah t.th.; Ibn
Rushd 1996; al-Nawawi 1995). Hal ini bermakna,
akad hibah tidak mengikat sehingga al-qabd
disempurnakan. Justeru, pemberi hibah berhak
menarik balik hibah tersebut selama mana harta
berkenaan masih berada dalam milikannya.
Mengikut mazhab Hanbali dan Maliki,
penerimaan barang tidak menjadi syarat dalam hibah
dan memadai hanya dengan akad semata-mata. Oleh
itu, apabila berlakunya kematian salah satu pihak
sama ada pemberi hibah atau penerima hibah
sebelum berlaku penyerahan barang, hibah tersebut
tidak terbatal.
Menurut Nasrul Hisyam (2011) pelaksanaan al-
qabd dilakukan bergantung kepada jenis harta yang
dihibah. Terdapat pelbagai kaedah lain dalam
melaksanakan qabd. Bagi harta tak alih, al-qabd
boleh dilakukan dengan cara mengosongkan harta
dan bagi harta alih, harta yang dihibah dipindahkan
kepada penerima untuk disimpan dalam jagaannya.
Manakala, bagi harta yang dalam gadaian pula, tidak
boleh dihibahkan kerana bukan dimiliki sepenuhnya
oleh pemberi hibah.
RUKUN DAN SYARAT YANG MENENTUKAN
KESAHAN HIBAH DI MAHKAMAH SYARIAH
Di Malaysia, institusi yang mempunyai bidang kuasa
dalam menguruskan dan memberi pengesahan
tentang sesuatu hibah adalah Mahkamah Tinggi
Syariah. Sebagai contoh, Seksyen 61(3)(b)(vi)
Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003
memperuntukkan bahawa: “Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan
memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua
pihak dalam tindakan dan prosiding itu adalah orang
Islam dan tindakan dan prosiding itu adalah berhubung
dengan-
(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat
tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian
wang, oleh seorang Islam.
Siti Madihah (2016) menyatakan bahawa
Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa
terhadap kes hibah yang meliputi hak orang Islam.
Terdapat prosedur-prosedur tertentu yang perlu
dipatuhi dalam menentukan kesahan kes hibah di
mana mahkamah akan melihat terhadap beberapa
aspek, iaitu:
1. Pemberi hibah atau al-wahib
Kebanyakan kes-kes yang difailkan di Mahkamah
Syariah, rukun ini sentiasa dipatuhi yang mana
pemberi hibah tersebut ada atau wujud dan
memenuhi syarat yang digariskan dalam Islam.
Hal ini dapat dilihat dalam kes Nordina Kun Thon
Binti Abdullah v Lima yang Lain [14100-044-
0172-2013]. Dalam kes ini, pemberi hibah adalah
Abdul Manan Bin Jasmani.
Perkara yang sama berlaku dalam kes Nur
Huda Harith v Harith Abd Rahman, Kasim Bin
Suntong [10400-044-0008-2015]. Dalam kes ini,
pemberi hibah adalah Abibah binti Kasim dan
terbukti bahawa pemberi hibah berada dalam
keadaan waras, sihat, suci hati, sedar dan tanpa
paksaan dari mana-mana pihak. Kes Zaiton Binti
Mohamod v Khursiah Jan Binti Wali Ahmad,
Irwan Shah Bin Wali Ahmad dan Nurul Ain Binti
Wali Ahmad [10300-044-0503-2014] juga telah
dibuktikan adanya pemberi hibah iaitu Wali
Ahmad Bin Sulaiman.
Tidak timbul isu berkaitan pemberi hibah
dalam konteks pemilikan barang berkenaan
sepanjang kajian dilakukan. Kes-kes yang
dikemukakan di Mahkamah Syariah memenuhi
syarat bahawa pemberi hibah adalah seorang yang
sihat, secara sukarela dan pemilik kepada barang
yang diberi. Justeru, rukun pemberi hibah ini
dipenuhi oleh kebanyakan kes hibah yang
dikemukakan.
2. Penerima hibah atau al-mawhub lahu
Pada kebanyakan kes seperti kes Shamsiah Binti
Abu Bakar v Ab Samad bin Abu Bakar, Hasiyah
@ Asiah binti Abu Bakar dan Rokiah binti Abu
Bakar [01200-044-0187-2008] menyatakan
bahawa penerima hibah adalah individu yang
mampu untuk menguruskan harta yang
dihibahkan. Dilihat juga dalam kes Yasmin Bin
Abd Talib v Majlis Agama Negeri Sembilan
[10300-044-0536-2012], penerima hibah dalam
kes ini adalah anaknya sendiri iaitu Yasmin Binti
Abdul Talib dan merupakan seorang yang
mukallaf serta mampu mengurus serta memiliki
harta yang dihibahkan kepadanya dan kes Rafizah
binti ab Karim, Kamar bin Ab Karim dan 4 Yang
Lain [10100-044-0487-2011] juga memenuhi
rukun yang kedua iaitu adanya penerima hibah.
Berdasarkan kes-kes yang dikemukakan
dapat disimpulkan bahawa rukun penerima hibah
(2018) 3(1) JCIL
4
adalah dipenuhi iaitu seorang yang mampu
menguruskan harta yang dihibahkan.
3. Harta yang dihibahkan atau al-mawhub
Berdasarkan kepada analisis temu bual yang
dilakukan, penulis mendapati rukun ini tidak
dipenuhi pada kebanyakan kes. Hal ini merujuk
kepada kes Zaiton Binti Mohamod v Khursiah Jan
Binti Wali Ahmad, Irwan Shah Bin Wali Ahmad
dan Nurul Ain Binti Wali Ahmad [10300-044-
0503-2014]. Hakim dalam kes ini telah
memutuskan bahawa hibah yang dilakukan tidak
sah kerana harta masih dalam gadaian.
Manakala pada kes Aridah Binti Dulmukti v
Samingah Binti Dolmukti@Dulmukti dan
Marwiyah Binti Sarum [10300-044-0535-2013]
yang mana hakim telah memberi pengesahan
hibah ke atas tuntutan yang dilakukan oleh anak
angkat si mati. Hal ini kerana, dokumen harta
tersebut dengan jelas menyatakan masih milikan
sempurna si mati semasa hibah tersebut diberikan
yang bebas daripada sebarang sekatan dan
halangan seperti cagaran bank disebabkan hutang
atau kaveat.
Dalam kes Yasmin Bin Abd Talib v Majlis
Agama Islam Negeri Sembilan [10300-044-0536-
2012] yang mana harta dalam kes ini merangkumi
hartanah dan wang simpanan. Pemohon juga telah
mengemukakan salinan carian persendirian dan
salinan penyata pengesahan deposit wang
simpanan. Melalui dokumen yang dikemukakan,
mahkamah merujuk kepada seksyen 48 dan 49
Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri
Selangor 2003:
Seksyen 48 - kandungan dokumen boleh dibuktikan
samada dengan keterangan primer atau dengan
keterangan sekunder.
Seksyen 49 - keterangan primer ertinya dokumen
itu sendiri yang dikemukakan untuk pemeriksaan
mahkamah.
Oleh hal yang demikian, dapat dilihat
bahawa rukun harta yang dihibahkan perlu wujud
ketika akad dan dimiliki sepenuhnya oleh
pemberi hibah melalui bukti pemilikan seperti
geran pemilikan. Berdasarkan kepada kes yang
dikemukakan, syarat bagi barang ini kebanyakaan
tidak dipenuhi.
4. Sighah
Dalam hibah, sighah merangkumi ijab dan qabul.
Ijab dilakukan oleh pemberi hibah manakala
qabul dilakukan oleh penerima hibah. Dalam kes
hibah, ijab dan qabul ini amat berkait rapat
dengan qabd. Pertama sekali pihak mahkamah
akan meneliti kandungan lafaz ijab dari pemberi
hibah kemudian melihat kepada penerima hibah.
Hal ini merujuk kepada kes Aridah Binti
Dulmukti v Samingah Binti Dolmukti@Dulmukti
dan Marwiyah Binti Sarum [10300-044-0535-
2013]. Hakim Mahkamah Shah Alam
memutuskan kes hibah ini adalah sah. Bagi kes
ini, lafaz hibah yang dituturkan oleh pemberi
hibah adalah jelas dan teratur, tidak tergagap, dan
bahasa yang tersusun dan sekaligus penerima
hibah turut menuturkan lafaz qabul. Maka lafaz
ijab dan qabul memberi kesan yang sempurna.
Selain itu, dalam kes Saharain Bin Nordin v
Noridah binti Nordin [2008] 1 JH 73, menyatakan
lafaz ijab dan qabul dalam kes ini tidak
dinyatakan secara terperinci. Oleh itu, kes ini
diputuskan sebagai tidak sah dan terbatal kerana
gagal membuktikan kewujudan ijab dan qabul.
Oleh yang demikian, dapat dilihat bahawa rukun
sighah menjadi salah satu rukun dalam kes hibah.
Ketiadaan salah satu sighah boleh memberi kesan
kepada kesahan hibah itu sendiri.
AL-QABD SEBAGAI SYARAT KESEMPURNAAN
HIBAH
Al-Qabd ini dilihat dalam kes Aridah Binti
Dulmukti v Samingah Binti Dolmukti@Dulmukti dan
Marwiyah Binti Sarum [10300-044-0535-2013].
Dalam kes ini dibuktikan bahawa penerima hibah
menetap dan menjelaskan cukai-cukai ke atas rumah
yang dihibahkan. Hal ini menunjukkan penguasaan
ke atas harta yang dihibahkan.
Oleh itu, mahkamah akan menilai al-qabd
sebagai syarat kesempurnaan dalam hibah. Dalam
konteks pembuktian di Mahkamah Syariah, al-qabd
dapat ditunjukkan dengan qarinah, iaitu fakta yang
menjadi petunjuk mengenai kewujudan hibah
tersebut. Siti Madihah (2016) menyatakan apabila
pertukaran hak milik dilakukan, ia menjadi hujah
yang kuat dalam membuktikan hibah tersebut benar-
benar berlaku.
PERMOHONAN DENGAN DOKUMEN DAN
PERMOHONAN TANPA DOKUMEN HIBAH
Berikutan berlakunya banyak institusi yang
menawarkan produk hibah, Siti Madihah (2016)
berpendapat bahawa perlunya satu jalan keluar atau
garis panduan bagi memastikan dokumen hibah yang
dibuat mampu disahkan oleh Mahkamah Tinggi
Syariah tanpa ada sebarang pertikaian pada masa
akan datang. Hal ini sekaligus dapat memberi
panduan kepada mana-mana agensi atau mana-mana
individu untuk membuat perancangan harta melalui
hibah. Maka, keperluan ini adalah kerana terdapat
dokumen hibah yang dikemukakan masih bermasalah
sehingga pengesahan hibah tidak dapat dilakukan di
Mahkamah Tinggi Syariah.
Seterusnya, hasil temu bual yang dijalankan
juga menyatakan bahawa permohonan pengesahan
hibah boleh dikemukakan dengan adanya dokumen
hibah atau tanpa dokumen hibah. Permohonan
dengan dokumen perlu mengemukakan dokumen
hibah bersama dengan dokumen harta yang
dihibahkan. Manakala permohonan tanpa dokumen
hibah, permohonan perlu dikemukakan bersama
(2018) 3(1) JCIL
5
bukti-bukti lain yang menunjukkan hibah tersebut
telah berlaku. Contohnya, hal ini telah diperuntukkan
dalam Seksyen 3(2)(c) Enakmen Keterangan
Mahkamah Syariah Selangor 2003:
Semua fakta dikatakan terbukti setelah
membawa bukti-bukti yang menyakinkan pihak
mahkamah serta membolehkan pihak mahkamah
membuat keputusan.
Rentetan itu, sebarang tuntutan hendaklah
dibuktikan sebagaimana yang diperuntukkan di
bawah Seksyen 72 Enakmen Keterangan Mahkamah
Syariah Selangor 2003, iaitu:
Beban untuk mengemukakan keterangan dalam
sesuatu kes mal terletak pada orang yang mengatakan
atau menegaskan sesuatu fakta (al-mudda’ii) dan
orang yang mengangkat sumpah untuk menafikan
atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-muda’a
‘alaih).
Dalam kes Aridah Binti Dulmukti v Samingah
Binti Dolmukti@Dulmukti dan Marwiyah Binti
Sarum [10300-044-0535-2013], ketiadaan dokumen
hibah yang dikemukakan kerana hibah telah dibuat
secara lisan oleh pemberi hibah tidak menghalang
proses pengesahan hibah. Ini kerana pihak yang
memohon telah mengemukakan dua orang saksi dan
saksi berkenaan memberikan keterangan secara
afidavit. Mahkamah meluluskan tuntutan yang telah
dibuat oleh pemohon. Kewujudan dan keterangan
yang dinyatakan oleh dua orang saksi memenuhi
peruntukan Seksyen 83 Enakmen Keterangan
Mahkamah Syariah Selangor 2003:
Semua orang adalah bertanggungjawab untuk
memberikan syahadah atau bayyinah sebagai saksi
dengan syarat bahawa mereka adalah aqil, baligh,
adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak
berprasangka.
Terdapat contoh kes yang ditolak oleh
mahkamah berikutan tiadanya bukti pemilikan harta
yang sah. Situasi ini boleh dirujuk kepada kes Azrai
Bin Abdul Aziz v Asiah Binti Mahmud, Muhammad
Aqil Bin Azrai, Muhammad Shahmi Bin Azrai dan
Muhammad Ariq Bin Azrai [10300-044-0221-2013].
Dalam kes ini, bukti-bukti mengenai kewujudan
harta-harta sama ada geran tanah, kereta mahupun
salinan penyata akaun bank telah diragui.
Oleh yang demikian, berdasarkan kes yang
diputuskan, sama ada permohonan yang
dikemukakan dengan dokumen hibah atau tanpa
dokumen hibah masih diterima di peringkat
Mahkamah Tinggi Syariah dengan mengemukakan
bukti-bukti yang berkaitan agar mahkamah dapat
melakukan penilaian dengan sebaiknya dan
seterusnya meluluskan permohonan hibah tersebut.
GARIS PANDUAN PENYEDIAAN BORANG
HIBAH
Penyediaan dalam borang hibah secara umumnya
perlu menepati rukun dan syarat yang digariskan
dalam Islam. Namun begitu, dari sudut penyediaan
borang hibah di Malaysia perlu menepati ciri-ciri
yang berikut:
1. Pemberi Hibah - memastikan keadaan pemberi
hibah dalam keadaan:
i. Sihat dan secara sukarela, bukan paksaan.
ii. Pemilik mutlak harta.
2. Penerima Hibah
i. Sesiapa sahaja.
ii. Seorang ahli tasarruf jika dia boleh
menguruskan bagi dirinya sendiri dan bagi
seorang yang bukan ahli tasarruf, maka
penerimaan boleh dilakukan oleh wali
(pemegang amanah hartanya).
3. Barang atau harta yang dihibahkan
i. Tiada apa-apa sekatan atau halangan dan
harta yang bernilai.
ii. Mengemukakan bukti pemilikan harta
seperti geran tanah, geran kenderaan dan
apa-apa dokumen yang berkaitan.
4. Sighah
i. Ijab dilafazkan oleh pemberi hibah seperti
“aku hibahkan harta ini kepada......”.
ii. Qabul dilafazkan oleh penerima hibah
seperti “aku terima harta ini”.
iii. Dalam satu majlis
5. Syarat kesempurnaan al-qabd – iaitu al-qabd
dibuktikan oleh penerima hibah melalui perbuatan
atau tindakan seperti:
i. serahan kunci atau;
ii. menjaga harta hibah atau;
iii. pengusahaan harta hibah atau;
iv. membayar cukai harta harta hibah atau;
v. pemegangan buku akaun atau;
vi. pemegangan geran tanah
6. Saksi
i. Dua orang lelaki
ii. Hadir pada masa akad
Contoh Borang Hibah
Maklumat Pemberi Hibah:
Nama:........................................
No. Pengenalan:.....................
Alamat:......................................
Status Kesihatan:.....................
No. Telefon:.............................
Maklumat Penerima Hibah:
Nama:.......................................
No. Pengenalan:......................
Alamat:.....................................
No. Telefon:............................
Butiran Harta yang Dihibahkan
Jenis harta:................................
Status harta:..............................
Dokumen pemilikan:..............
Maklumat Penerimaan Hibah:
Nama:.......................................
No. Pengenalan:......................
Alamat:.....................................
No. Telefon:............................
(2018) 3(1) JCIL
6
Maklumat Saksi 1:
Nama:.......................................
No. Pengenalan:......................
Alamat:......................................
Maklumat Saksi 2:
Nama:.......................................
No. Pengenalan:......................
Alamat:.....................................
Maklumat Saksi 3:
Nama:.......................................
No. Pengenalan:......................
Alamat:.....................................
Maklumat Saksi 4:
Nama:.......................................
No. Pengenalan:......................
Alamat:.....................................
Akuan Pemberian Hibah
Saya .....(nama pemberi hibah)..... No. Kad Pengenalan
......................... dengan ini sihat akal fikiran, bukan dalam
keadaan paksa menghibahkan harta milik saya .....(harta
yang dihibahkan)..... kepada .....(nama penerima hibah).....
No. Kad Pengenalan @ Pengenalan Diri
................................
Akuan Penerimaan Hibah
Saya ......(nama penerima hibah)....... No. Kad Pengenalan
@ Pengenalan Diri ................................ dengan niat suci
hati menerima harta .....(harta yang dihibahkan)..... yang
dihibahkan oleh .........(nama pemberi hibah)......... No. Kad
Pengenalan .........................
Tandatangan pemberian hibah, ................................................ Nama (tarikh)
Tandatangan penerima hibah,
................................................ Nama (tarikh)
Tandatangan saksi 1, ................................................ Nama (tarikh)
Tandatangan saksi 2, ................................................ Nama (tarikh)
Tandatangan saksi 3, ................................................ Nama (tarikh)
Tandatangan saksi 4, ................................................ Nama (tarikh)
Nota: Akuan pemberi dan akuan penerima
dilakukan dalam satu majlis. Saksi terdiri daripada
dua orang lelaki atau seorang lelaki dua orang
perempuan atau empat perempuan.
Akuan Penyerahan/Penerimaan Barang (al-
Qabd)
Saya secara sukarela dengan ini menyerahkan ......(harta
yang dihibahkan)..... kepada .....(nama penerima hibah/
wali harta).....
Saya dengan suci hati dengan ini menerima ......(harta yang
dihibahkan)..... kepada .....(nama penerima hibah/ wali
harta).....
Lain-lain Bukti :
Gambar
Rakaman Video
Tandatangan pemberi hibah, ................................................ Nama (tarikh)
Tandatangan penerima hibah, ................................................ Nama penerima hibah/wali harta (tarikh)
Tandatangan saksi 1, ................................................ Nama (tarikh)
Tandatangan saksi 2, ................................................ Nama (tarikh)
Tandatangan saksi 3, ................................................ Nama (tarikh)
Tandatangan saksi 4, ................................................ Nama (tarikh)
Nota: Akuan pemberian dan penerimaan boleh
dilakukan pada majlis yang berasingan dengan majlis
ijab dan qabul.
PENUTUP
Secara keseluruhannya, penulis mendapati
pengesahan hibah boleh dibuat sama ada hibah
berkenaan dilakukan tanpa dokumen atau dengan
adanya dokumen. Mahkamah memutuskan sesuatu
kes adalah berdasarkan kepada rukun yang
digariskan di dalam Islam dengan meneliti dan
membuat pemerhatian ke atas setiap satu rukun yang
ada. Dalam mengesahkan setiap rukun tersebut juga,
mahkamah melihat kepada syarat-syarat yang
digariskan dalam Islam. Berdasarkan kes-kes yang
telah diteliti, penulis berpendapat bahawa satu draf
awal garis panduan dalam menyediakan panduan
hibah yang lengkap dapat diwujudkan. Di dalam
borang tersebut merangkumi rukun-rukun yang telah
dibincangkan sebelum ini. Garis panduan ini juga
merangkumi proses-proses pembuktian yang mana
wujudnya hibah yang dibuat dan seterusnya disahkan
oleh Mahkamah Tinggi Syariah melalui bukti yang
wujud. Hal ini sekaligus menepati tujuan bagi
penyediaan garis panduan penyediaan dokumen
hibah agar sesuatu hibah dapat disahkan dengan
wujud bukti berlakunya hibah di antara pemberi
hibah dan penerima hibah. Penyediaan garis panduan
ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pihak
mahkamah dalam menyelesaikan kes-kes hibah,
dapat memberi pendedahan kepada institusi-institusi
yang menawarkan penyediaan borang hibah dan
(2018) 3(1) JCIL
7
khususnya kepada orang ramai agar hibah yang
dilakukan dapat mencapai hajat yang dikehendaki.
RUJUKAN
al-Quran al-Karim.
Alias Azhar. t.th. Hibah Komersial di Malaysia: Satu
Tinjauan di Syarikat Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.
Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Selangor
2003.
Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.
Ibn Qudamah, ‘Abd Allah bin Ahmad. T.th. al-
Mughni. Juz 6.Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi.
Ibn Rushd, Muhammad bin Ahmad. 1996. Bidayah
al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid. Beirut:
Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
al-Mahalli, Jalalludin. t.th. Kanzu al-Raghibin Sharh
Minhaj al-Talibin. Jil 2. Beirut: Lubnan.
Mahkamah Tinggi Syariah Selangor. 2016. Statistik
Kes Hibah 2010-2014. Shah Alam.
Muhammad bin Ismail al-Bukhari. 2002. Terjemahan
Shahih Bukhari Jilid I, II, III, IV. Terj.
Zainuddin Hamidy. Singapura: Darel Fajr
Publishing House.
Muhammad Fadzil Athif. 2015. Penawaran produk
hibah patuh syariah dalam industri perancangan
dan pengurusan harta umat Islam di Malaysia.
Prosiding Kolokium Antarabangsa Siswazah
Pengajian Islam 2015, hlm. 37-43.
Nasir Aziz. 2017. Dokumentasi Hibah. Temubual.
Nasrul Hisyam Nor Muhamad. 2011. Hibah dalam
Undang-undang Islam: Prinsip dan Amalan.
Johor Bahru: Penerbit UTM Press.
Nasrul Hisyam Nor Muhammad. 2015. Cabaran
Aplikasi Hibah di Malaysia. Prosiding Seminar
Hibah Dalam Pengurusan Harta Islam 2015,
hlm. 1-8.
Al-Nawawi, Abi Zakaria Muhyiddin bin Syarf. 1995.
Kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab li al-
Syirazi. Jeddah: Maktabah al-Irsyad.
Nurul Huda binti Abdullah. 2012. Pelaksanaan
amanah hibah di CIMB Trustee Berhad dan
Amanah Raya Berhad. Disertasi Sarjana, Jabatan
Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Rusnadewi Abdul Rashid & Nor Hisyam Ahmad.
2013. Pengurusan harta melalui hibah:
kepentingan dan manfaat dari pelbagai aspek
untuk kemajuan ummah. Jurnal Hadhari 5(1):
91-104.
Sayyid Sabiq. 1416H/1995. Fiqh al-Sunnah. jil. 3.
Kaherah: al-Fath li cIlam al-
cArabi.
Sayyid Sabiq. 1999. Fiqh al-Sunnah. Jil. 3. Kaherah:
Dar al-Fath li al-I’lam al-‘Arabi.
Sayyid Sabiq. 2004. Fiqh al-Sunnah. Jil. 4. Terj. Nor
Hasanuddin. Jakarta: Penerbit Pena.
Siti Madihah binti Ruzmi. 2016. Hibah sebagai
instrumen perancangan harta. Bandar Baru
Bangi. Temu bual, 11 Julai.
al-Sharbini, al-Khatib. t.th. al-Iqna’ fi Hal al-Alfaz
Abi Suja’. Jil. 2. Beirut: Dar Kutub al-Ilmiyyah.
al-Sharbini, al-Khatib. 1939. Mughni al-Muhtaj. Jil.
2, 3 & 4. Mesir: Maktabah al-Halabi.
al-Zuhayli, Wahbah. 1996. al-Fiqh al-Islam wa
Adillatuh. Jil. 5. Damsyik: Dar al-Fikr.
al-Zuhayli, Wahbah. 1999. Fiqh dan Perundangan
Islam. Terj. Ahmad Shahbari Salamon. Jil. V.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Zamro Muda
Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah,
Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 Bangi, Selangor,
MALAYSIA
Adilah Mohd Sa’afie
Pelajar Sarjana
Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah,
Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 Bangi, Selangor,
MALAYSIA
Journal of Contemporary Islamic Law
(2018)Vol. 3(1)
Editor-In-Chief
Dr. Mohd Al Adib Samuri
Co-Editor
Assoc. Prof. Dr. Salmy Edawati Yaacob
Secretary
Dr. Nurul Ilyana Muhd Adnan
Senior Editors
Prof. Dr. Abdul Basir Mohamad
Prof. Dr. Mohd Nasran Mohamad
Assoc. Prof. Dr. Shofian Ahmad
Assoc. Prof. Dr. Zaini Nasohah
Assoc. Prof. Dr. Ibnor Azli Ibrahim
Assoc. Prof. Dr. Zuliza Mohd Kusrin
Chief Managing Editor
Dr. Mat Noor Mat Zain
Arabic Copy Editor
Anwar Fakhri Omar
Bahasa Copy Editor
Dr. Mohd Zamro Muda
Md. Yazid Ahmad
Editor
Dr. Mohammad Zaini Yahaya
Dr. Nik Abd. Rahim Nik Abdul Ghani
Dr. Azlin Alisa Ahmad
Mohd Hafiz Safiai
Published by:
Centre for Contemporary Fiqh and Sharia
Compliance,
Faculty of Islamic Studies,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 Bangi, Selangor, Malaysia.
Suggested citation style:
Author, (2018), Title, Journal of Contemporary
Islamic Law, 3(1), pages, http://www.ukm.my/jcil
eISSN 0127-788X
Copyrights:
This work is licensed under a Creative Commons
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works
3.0 Unported License
(http://creativecommons.org/licenses/by-nc-nd/3.0/).
You can download an electronic version online. You
are free to copy, distribute and transmit the work
under the following conditions: Attribution – you
must attribute the work in the manner specified by
the author or licensor (but not in any way that
suggests that they endorse you or your use of the
work); Noncommercial – you may not use this work
for commercial purposes; No Derivate Works – you
may not alter, transform, or build upon this work.
Top Related