PROFESION KEGURUAN GGGA1123SEMESTER 1 2015/2015
Sarah Nadirah Bt Mohammad Kamal (P76316)Fazhani Binti Che Mat Zain (P79014)
Nurfarahin Bt Che Mohamad Ilias (P79056)___________________________________________________________________________
Task 1
Pada pendapat anda, sejauh mana benarkah jawatan guru itu dianggap sebagai satu jawatan mulia dan
dipandang tinggi oleh masyarakat. Jawapan anda perlu mempunyai jawapan pro (setuju) dan
kontra (tidak setuju). Setiap jawapan atau fakta perlu dibuktikan dengan contoh atau bukti.
Tema Hari Guru di Malaysia pada tahun 2015 ialah “Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan
Akhlak”. Menurut ahli jemaah nazir dan jaminan kualiti dari Kementerian Pendidikan Malaysia yang
berpusat di Putrajaya, definisi guru ialah kata guru merangkumi semua warga pendidik yang
menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta
pendukung kepada pembangunan negara. Mereka juga turut menyatakan bahawa guru merupakan
insan yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dalam bidangnya dan mempunyai keperibadian
terpuji serta berupaya menjadikan diri mereka sebagai suri teladan.
Profesion guru merupakan satu profesion yang mulia dan dipandang tinggi oleh masyarakat
dianggap mempunyai pro dan kontranya. Sesetengah pihak bersetuju sekiranya profesion guru
merupakan satu profesion yang mulia dan dipandang tinggi oleh masyarakat adalah kerana guru
merupakan penyampai ilmu, bertindak sebagai “role model” dan berperanan melahirkan modal insan
kelas pertama. Manakala, sesetengah pihak tidak bersetuju bahawa profesion guru merupakan satu
profesion yang mulia dan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana keperibadian atau sikap guru yang
melanggar etika, guru dibebani dengan tugas yang banyak dan melakukan pekerjaan sambilan bagi
mendapatkan pendapatan sampingan.
Jawatan guru dianggap sebagai satu jawatan mulia dan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana
guru merupakan penyampai ilmu kepada masyarakat. Walau pun kini dunia memiliki pelbagai sumber
untuk memperoleh maklumat dan ilmu, namun kita masih memerlukan guru sebagai wardah
penyampai ilmu. Di sekolah, guru merupakan ibu bapa kedua bagi murid-murid. Guru juga bertindak
sebagai penyampai ilmu, pembimbing, penasihat, agen perubahan dan pembentuk sikap murid-murid.
Menjadi seorang guru bukanlah senang, sebelum seseorang guru dilayakkan untuk mendidik anak
bangsa, guru juga perlu mempunyai kelulusan dan pakar dalam bidang pendidikan. Sebelum sesi
pembelajaran dan pengajaran berlaku, guru perlu merancang pembelajaran murid dengan teliti agar
murid tidak bosan dan dapat memahami subjek yang diajar dengan mudah. Guru perlu
mempersiapkan diri dengan kemahiran pedagogi dan generik agar sesuai dengan sesi pengajaran serta
pembelajaran murid dan peredaran masa kini. Jadi, tidak hairanlah perumpamaan mengatakan guru
ibarat lilin yang menerangi kegelapan orang lain. Perumpamaan ini jelas menunjukkan bahawa guru
sanggup berkorban dengan mencurah segala ilmu dan bakti agar murid berjaya di masa hadapan.
Jawatan guru juga dianggap sebagai satu jawatan mulia dan dipandang tinggi oleh masyarakat
kerana guru merupakan “role model” kepada murid dan masyarakat. Peranan guru sebagai “role
model” bukan sahaja tertumpu di sekolah malah juga di luar sekolah. Di sekolah guru menjadi “role
model” kepada murid. Manakala di luar sekolah, guru menjadi “role model” kepada masyarakat.
Guru yang menampilkan diri dengan personaliti yang baik akan dijadikan sebagai ikon atau role
model kepada murid dan masyarakat untuk menggapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Hubungan
antara guru dan murid adalah amat penting bagi meningkatkan motivasi murid untuk mencapai
kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan berupaya menempuh rintangan kehidupan selagi bergelar
murid atau mahasiswa.
Masyarakat memandang profesion guru sebagai profesion yang mulia kerana guru berperanan
melahirkan modal insan kelas pertama. Menurut Jim Canterucci (2005), terdapat empat ciri yang perlu
dikuasai oleh minda manusia bagi mencapai minda kelas pertama iaitu kesedaran kendiri, ingin tahu,
fokus dan inisiatif. Tanggungjawab guru tidak hanya menjalankan tugas mengajar subjek mata
pelajaran bagi mendapatkan skor yang tinggi malah guru juga berperanan menjana empat ciri tersebut
agar dapat melahirkan generasi yang sangat diperlukan oleh negara pada masa hadapan. Modal insan
kelas pertama tidak hanya dapat memenuhi keperluan pembangunan individu bahkan keluarga,
masyarakat, negara dan dunia. Dalam RMK-9, memupuk minda kelas pertama merupakan salah satu
dari Misi Nasional. Ini menunjukkan bahawa kerajaan sangat serius dalam membentuk dan
melahirkan modal insan kelas pertama terutama melalui sistem pendidikan. Hal ini kerana Malaysia
bermatlamat mencapai taraf negara maju dalam Wawasan 2020. Jadi, melalui sistem pendidikan,
guru yang berkualiti iaitu berkemahiran, berpengetahuan dan mempunyai sikap yang baik berupaya
untuk melahirkan generasi minda kelas pertama.
Disamping bersetuju dengan pernyataan profesion guru merupakan satu profesion yang mulia
dan dipandang tinggi oleh masyarakat, ada juga kontra disebalik pernyataan tersebut. Keperibadian
dan sikap guru menyebabkan sesetengah pihak tidak bersetuju bahawa profesion guru merupakan
profesion yang mulia. Keperibadian dan sikap guru yang negatif dan melanggar etika menyebabkan
jatuhnya imej perguruan yang dianggap mulia dalam kalangan masyarakat. Guru bersikap tidak adil
dan pilih kasih kadang kala menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan murid dan ibu bapa.
Guru juga kurang bertimbang rasa sekiranya murid melakukan kesalahan dan bertindak menghukum
murid seperti merotan, berdiri di luar kelas dan sebagainya. Sinar Harian (20 Mei 2015) telah
melaporkan kes di mana pelajar nyaris buta dirotan guru di Ipoh. Ini menambahkan kebimbangan
dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat di mana mereka melihat guru pada masa kini tidak
demokratik dan mengamalkan cara autokratik serta mempunyai emosi yang tidak stabil dan mudah
naik angin terhadap murid. Jelas ini semua ini telah melanggar etika sebagi seorang guru.
Keperibadian dan sikap negatif ini adalah disebabkan beberapa faktor seperti kurangnya pegangan
agama, bebanan tugas yang berlebihan, kurang motivasi diri dan gangguan emosi.
Selain daripada keperibadian dan sikap guru, guru turut dibebani dengan tugas yang banyak telah
menyebabkan sesetengah pihak tidak bersetuju dengan pernyataan profesion guru merupakan satu
profesion yang mulia dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Sesetengah pihak mendakwa guru
dihujani dengan tugas yang semakin banyak dan berat. Guru dilihat memikul pelbagai jenis peranan
selain dari tugas utamanya ialah untuk mengajar seperti menjalankan tugas perkeranian. Tugas
perkeranian di sekolah adalah seperti pengurusan buku teks, kegiatan sukan dan kokurikulum dan
sebagainya. Ini memperlihatkan bahawa guru perlu menanggung bebanan tugas di luar bidang tugas
sebagai seorang guru. Peningkatan bebanan tugas ini akan memberi impak kepada kualiti pengajaran
guru dalam bilik darjah. Memetik laporan Berita Harian bertarikh 1 April 2010 yang bertajuk “Seksa
jadi guru”, penulis Khairul Azran Hussin mengupas isu tekanan hidup yang ditanggung oleh guru
dengan bebanan tugas yang berlebihan. Laporan tersebut turut menyatakan bahawa sebuah
jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji bebanan yang berlebihan tugas yang tanggung oleh
guru seperti pentadbiran dan perkeranian. Ini jelas menunjukkan bahawa guru pada masa kini sangat
dibebani dengan tugas yang banyak selain daripada tanggungjawab utama adalah untuk mengajar.
Tugas utama guru ialah untuk menyampaikan ilmu yakni mengajar. Namun terdapat sesetengah
guru bukan sahaja melakukan tugas sebagai guru malah turut melakukan kerja sambilan bagi
memperoleh pendapatan sampingan. Kerja sambilan yang dilakukan oleh guru ini telah menyebabkan
ada pihak yang tidak bersetuju dengan pernyataan jawatan guru dianggap sebagai satu jawatan mulia
dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Menurut Suhaimi dan Norasmah (2014), pekerjaan sambilan
ialah cara untuk pendapatan walaupun seseorang itu sudah mempunyai pendapatan yang tetap. Guru
yang menjalankan kerja sambilan semestinya mempunyai alasan mereka yang tersendiri. Pastinya,
pekerjaan sambilan tersebut dapat membantu mereka menambah pendapatan bulanan yang sedia ada.
Namun, mereka perlu ingat bahawa pekerjaan utama mereka ialah menjadi guru dan tanggungjawab
guru ialah mengajar. Terdapat pelbagai jenis pekerjaan sambilan yang dilakukan oleh guru tetapi yang
paling biasa didengar oleh masyarakat ialah menjalankan perniagaan.
Kesimpulannya, jawatan guru dianggap sebagai satu jawatan mulia dan dipandang tinggi oleh
masyarakat mempunyai pro dan kontranya. Namun secara keseluruhannya, guru berperanan untuk
mendidik anak bangsa. Guru yang berkualiti sangat diperlukan negara kerana tanpa guru maka
tiadalah profesion seperti doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Ini dapat ditonjolkan dengan
usaha kerajaan untuk melahirkan guru yang berkuaiti dan memastikan mereka terus kekal berkualiti
sepanjang tempoh perkhidmatan. Pentingnya guru berkualiti ibarat kata pepatah, seorang doktor yang
gagal akan memusnahkan seorang pesakitnya tetapi seorang seorang guru yang gagal akan
memusnahkan seluruh generasinya.
Rujukan
Berita Harian. 2010. Seksa jadi guru. 1 April
Mohd Suhaimi & Norasmah. 2014. Aktiviti kerja sampingan dan kesan ke atas komitmen guru bekerja sampingan mengikut persepsi guru. Sains Humanika, 3 (1): 31-36
Norashid & Hamzah. 2014. Beban tugas dan motivasi pengajaran guru di sekolah menengah daerah Ranau. Jurnal Pemikir Pendidikan, 5: 35-57
Sinar Harian. 2015. Pelajar nyaris buta dirotan guru. 20 Mei
Shahabuddin Noor Shafrin, Haslinda. 2013. Modul memperkasa sahsiah waja diri pelajar abad ke-21. Siri Pendidikan. Penerbitan PTS Akademia
Top Related