KEBERKESANAN PEMBELAJARAN KOPERATIF DALAM MENGUASAI PENULISAN ULASAN BAGI PELAJAR TINGKATAN 2
NAMA PENYELIDIK: LATIFAH BINTI HAJI HAKIMNO. MATRIK: 710716135960001
NAMA SEKOLAH:SMK LUNDU
KM 2, JALAN LUNDU/PANDAN94500 LUNDU
SARAWAK
PUSAT PEMBELAJARAN SARAWAKFAKULTI PENDIDIKAN DAN BAHASA
OPEN UNIVERSITY MALAYSIA2015
1.0 Pendahuluan
1.1 Refleksi PdP yang Lalu
Sewaktu saya menyemak jawapan ulasan pelajar Tingkatan 2C SMK Lundu, saya rasa
sungguh terkejut kerana saya dapati walaupun mereka telah berada di sekolah menengah,
masih ramai lagi murid lemah di dalam penulisan ulasan. Pelajar di tingkatan 2
sepatutnya tidak menghadapi lagi masalah dalam penulisan ulasan. Di antara kelemahan
yang dilakukan oleh pelajar tersebut ialah pelajar tidak dapat memproses dan menulis
semula maklumat yang dipaparkan di dalam gambar dengan betul dan tepat. Tafsiran
terhadap gambar pada soalan tidak menepati apa yang dikehendaki oleh gambar dan
soalan yang diberikan.
Masalah lain yang saya dapati ialah pelajar tidak dapat menepati kehendak soalan. Ini
berkemungkinan berlaku disebabkan pelajar tidak membaca dan meneliti soalan dengan
betul. Kehendak soalan diabaikan semasa membuat isi penting untuk memulakan
penulisan ulasan. Pelajar akan terus menulis ulasan tanpa meneliti kehendak soalan dan
enulis ulasan hanya berpandukan kepada gambar yang telah diberikan.
Selain itu, kekurangan pengetahuan sedia ada pada pelajar-pelajar tingkatan 2 SMK
Lundu juga antara penyebab kepada kelemahan semasa mereka membuat ulasan. Pelajar
tidak mahu befikir ebelum menyelesaikan soalan ulasan yang diberikan.
1.2 Sorotan Literatur
Teori perkembangan kognitif menyatakan bahawa interaksi sesama pelajar yang
berkaitan dengan pembelajaran dapat meningkatkan penguasaan konsep-konsep yang
penting (Slavin, 1995). Menurut Piaget ( 1990), di dalam kognitif pelajar, wujud skema
yang memberi gambaran tentang bentuk tindakan atau cara berfikir yang digunakan oleh
pelajar di dalam memahami kehidupan mereka.
Aktiviti berpasukan akan dapat mewujudkan kerjasama dan keharmonian dalam kalangan
murid yang terdiri daripada pelbagai status sosial. Ini adalah selaras dengan sistem
pendidikan kita untuk melahirkan pelajar yang berupaya menghadapi arus pembangunan
ekonomi dan sosial yang begitu pantas. Menurut Jerome Bruner ( 1966 ) yang
mengemukakan strategi pembelajaran berlandaskan Concept Attainment, dengan
memahami dan mengingati sesuatu konsep pelajar akan mendapat gambaran yang lebih
jelas bagi membantu mereka meneroka dengan lebih mendalam perkara yang mahu
dipelajari.
Pembelajaran koperatif juga merupakan strategi pembelajaran dan pengajaran yang dapat
menghasilkan daya pemikiran yang tinggi melalui aktiviti berteraskan kemahiran berfikir.
Pembelajaran koperatif menggalakkan perkembangan otak dan penjagaan kesihatan
kerana proses pelaksanaan strategi pembelajaran ini memberi peluang kepada murid
merehatkan minda untuk melakukan aktiviti kinestatik, muzik, puisi dan lain-lain untuk
mengelakkan murid berasa bosan di dalam kelas.
Dalam perspektif kognitif pula, pembelajaran dianggap sebagai satu proses pemikiran
dan pembinaan, pelajar akan terlibat secara aktif dalam proses integrasi pengetahuan baru
dengan pengetahuan sedia ada untuk mencapai objektif pembelajaran yang dijangkakan.
Mengikut Slavin (1990), kumpulan murid yang mengikuti kaedah pembelajaran koperatif
membekal sokongan antara ahli kumpulan untuk pencapaian akademik yang cemerlang.
Interaksi dalam kumpulan kecil membantu pelajar menganalisis, berbincang dan sintesis
idea untuk meningkatkan tahap pemikiran dan pemahaman pelajar dalam konteks yang
lebih bermakna.
Teknik-teknik dalam pembelajaran koperatif sangat sesuai diaplikasikan dalam kelas
yang mempunyai murid dari pelbagai kebolehan kerana ia akan dapat memupuk nilai-
nilai murni dalam diri pelajar seperti saling menghargai, saling berkerjasama , sabar,
hormat-menghormati, bertolak-ansur dan bertanggungjawab. Pembelajaran koperatif
adalah merujuk kepada pembelajaran yang memerlukan murid daripada pelbagai
kebolehan berkerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama
( Slavin, 1983 ). Mereka terdiri daripada pelajar pada aras kebolehan yang berbeza. Ia
memberi peluang kepada murid untuk mendekati sesuatu masalah dengan pelbagai cara
( Effendi, 1998 ). Sasarannya adalah tahap pembelajaran yang maksimum bukan sahaja
untuk dirinya sendiri, tetapi juga untuk rakan-rakannya yang lain. Pembelajaran koperatif
menggalakkan murid berinteraksi secara aktif dan positif di dalam kumpulan.
Bagaimanapun kerja kumpulan haruslah dirancang dan guru perlu membantu sebagai
pemudah cara.
Guru tidak boleh membiarkan murid-murid begitu sahaja tetapi sebaliknya memberikan
mereka panduan untuk menjalankan aktiviti secara kumpulan. Setiap ahli kumpulan akan
hanya dapat mencapai matlamat peribadi sekiranya kumpulannya berjaya ( Slavin,
1990 ). Justru, demi mencapai matlamat peribadi, pelajar akan cuba memberi galakan
kepada rakan-rakan sekumpulan serta membantu mereka agar kumpulan mereka berjaya.
Ini membolehkan perkongsian idea dan pemeriksaan idea sendiri dalam suasana yang
tidak terancam.
Kumpulan yang ideal biasanya mempunyai ahli antara 4 hingga 5 orang yang
mempunyai tahap pencapaian yang berbeza. Mereka terdiri daripada 1 atau 2 orang
pelajar yang cemerlang, 2 orang pelajar sederhana dan 2 orang pelajar sederhana lemah.
Matlamatnya supaya pelajar yang cemerlang dapat membantu pelajar sederhana dan
sederhana lemah dalam merealisasikan objektif pembelajaran.
Banyak kajian telah dijalankan tentang kaedah pembelajaran secara koperatif dalam
pembelajaran dan pengajaran,baik di dalam negara mahupun di luar negara.Di antara
penyelidik-penyelidik di dalam negara yang dijadikan rujukan dalam kajian ini ialah Gan
Teck Hock (1999),Khairudin et al (2007) serta Zainab et al (2004).Penyelidik-penyelidik
luar negara pula ialah Veronica et al (2005) serta Larry Zafran (2002).
2.0 Isu / Fokus Kajian
Terdapat rungutan daripada segelintir pelajar bahawa mereka tidak berminat dalam
subjek Bahasa Melayu kerana ditafsirkan sebagai salah satu subjek yang membosankan
serta sukar untuk difahami. Oleh kerana pelajar ini kurang berminat dalam subjek
tersebut, ia akan menjejaskan tumpuan pelajar ketika berlakunya proses pengajaran dan
pembelajaran bagi subjek ini.
Kaedah pengajaran yang tidak berkesan dan membosankan merupakan salah satu punca
utama subjek Bahasa Melayu tidak diminati. Menurut Koh Boh Koon (1992) proses
pengajaran di dalam kelas seharusnya melibatkan dua pihak antara guru dan pelajar.
Sekiranya guru hanya menitik beratkan proses menghabiskan sukatan pelajaran
berbanding aspek penghayatan dan penerapan nilai, boleh menyebabkan interaksi dua
hala ini hilang fokus. Kesannya pelajar akan hilang minat (Atan Long, 1982) dan
beranggapan subjek tersebut sebagai suatu beban akademik.
Senario pendidikan kini amat memerlukan guru-guru yang kreatif dan inovatif supaya
pengajaran dan pembelajaran lebih efektif. Bahasa Melayu bukanlah satu subjek yang
statik, tradisional, mementingkan penghafalan fakta, bersifat naratif dan diskriptif seperti
yang difahami oleh kebanyakan pelajar. Sehubungan itu guru Bahasa Melayu perlu
mempunyai kepercayaan yang positif dan keyakinan kendiri untuk menjadikannya
seorang yang berinovatif dalam menyusun proses pengajaran dan pembelajaran.
2.1 Tinjauan dan Analisis Masalah
Tugas utama seorang guru adalah untuk memudahkan pembelajaran para pelajar. Untuk
memenuhi tugas ini, guru bukan sahaja harus dapat menyediakan suasana pembelajaran
yang menarik dan harmonis, tetapi mereka juga perlu menciptakan pengajaran yang
berkesan. Ini bermakna guru perlu mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran
yang dapat merangsangkan minat dan motivasi pelajar di samping sentiasa memikirkan
kebajikan dan keperluan pelajar. Dalam sesi pembelajaran, guru kerap berhadapan
dengan pelajar yang berbeza dari segi kebolehan. Menurut Sharifah Alwiah Alsagof
(1984), pengajaran yang berkesan adalah merujuk kepada guru yang dapat membawa
pelajar kepada hasil pembelajaran yang diinginkan.
Menurut Johnson et al (1981), dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru boleh
merancangkan pelajaran mengikut tiga kaedah yang utama:
i) Pelajar bekerjasama dalam kumpulan kecil secara Pembelajaran Koperatif (PK)
dengan memastikan setiap ahli kumpulan mencapai matlamat yang ditetapkan.
ii) Pelajar-pelajar bersaing antara satu sama lain melalui pembelajaran persaingan.
iii) Untuk menempatkan kedudukan pelajar mengikut kebolehan masing-masing.
iv) Pelajar akan belajar secara perseorangan atau pembelajaran secara individu untuk
mencapai matlamat masing-masing pada kadar sendiri.
Kaedah Pembelajaran Koperatif (PK) dipilih sebagai subjek kajian atas dorongan oleh
dapatan-dapatan positif tentang keberkesanan PK di kebanyakan negara Eropah. Justeru,
pengkaji ingin mengesan keberkesanan PK dalam kalangan murid-murid sekolah
menengah di SMK Lundu yang berbeza dari konteks latar belakang dan budayanya.
Kaedah PK yang menekankan interaksi sosial antara rakan sebaya membawa kesan
positif terhadap pencapaian pelajar, perubahan hubungan antara ahli dan sikap terhadap
mata pelajaran dan sekolah.
Cooperative learning is group learning activity organised so that learning is dependent
on socially structured exchange of information between learners in groups and in which
each learner is held accountable for his or her own learning and is motivated to increase
the learning of others.
(Kagan & Olsen, 1992)
Setiap pelajar mempunyai kebolehan kognitif yang berbeza antara satu sama lain.
Howard Gardener (1983) membuat kajian terhadap pelbagai lapisan masyarakat
termasuklah kanak-kanak biasa dan istimewa, juga kelompok penduduk yang mempunyai
kriteria yang istimewa (special population).
Gardner juga mengatakan bahawa kecerdasan bukanlah semata-mata diwarisi. Jika
kedua-dua ibu bapa dikategorikan sebagai bodoh mengikut ukuran IQ tidak semestinya
anak-anak mereka juga bodoh, begitulah juga sebaliknya. Kajian terhadap kanak-kanak
istimewa mendapati ada di antara murid-murid yang lemah daya ingatannya adalah
dilahirkan oleh ibu bapa yang kedua-duanya adalah profesional. Dr. Roger Sperry turut
menyatakan kaitan kecerdasan dan fungsi otak manusia yang berbeza-beza mengikut
perkembangan usia dan jantina individu.
Otak kanan dan kiri mempunyai fungsi yang berbeza namun menurutnya manusia tidak
boleh dianggap menggunakan sebelah otak sahaja. Teori Kecerdasan Pelbagai Gardner
sudah mengenalpasti 8 jenis kecerdasan manusia (Chapman, 1993), iaitu verbal atau
linguistik. Kecerdasan ini berkait rapat dengan kemahiran penggunaan bahasa. Seseorang
yang cerdas verbal kebiasaannya mahir membaca, menulis dan berkomunikasi dengan
orang lain melalui pelbagai cara yang berkesan. Seterusnya ialah kecerdasan logikal atau
matematik. Kecerdasan ini melibatkan kemahiran menaakul, mengira, berfikir secara
logik dan memproses sesuatu maklumat yang diterima. Kecerdasan ke Tiga ialah visual
atau spatial ( ruang) . Kecerdasan ini melibatkan keupayaan berfikir dalam bentuk visual
dan gambar atau pun rajah.
Kecerdasan ke Empat ialah pergerakan badan atau kinestetik. Kecerdasan ini melibatkan
keupayaan menyelesaikan sesuatu masalah menggunakan pergerakan badan. Kecerdasan
ke Lima ialah muzikal atau rima. Kecerdasan ini melibatkan keupayaan mencipta muzik
ataupun rentak tertentu, berupaya memahaminya, menterjemahkannya dan
menghargainya. Kecerdasan ke Enam ialah interpersonal yang melibatkan keupayaan
memahami emosi, perasaan, ciri-ciri dan keupayaan orang lain dan bagaimana
berinteraksi dengan mereka. Seterusnya kecerdasan intrapersonal yang melibatkan
keupayaan memahami diri sendiri dan menggunakan pengetahuan itu bagi meningkatkan
potensi diri sepanjang hayat. Akhir sekali ialah kecerdasan naturalis yang melibatkan
keupayaan memerhati, memahami dan menghargai alam sekitar. Semasa pembelajaran
koperatif ini dijalankan kesemua murid dari pelbagai kecerdasan ini dapat saling bantu-
membantu . Murid yang mempunyai kecerdasan interpersonal dengan mudah berinteraksi
dengan rakan mereka. Murid yang lebih cenderung kepada kemahiran bahasa dapat
membantu rakan yang mungkin lebih berminat di dalam Matematik atau pun murid yang
berkebolehan interpersonal dapat membantu rakan yang mempunyai masalah dalam
pembelajaran agar lebih fokus . Dalam hal ini, satu jalinan bimbingan melalui rakan
sebaya dapat diwujudkan . Justru itu, satu persaingan sihat dapat diwujudkan menjurus ke
arah pencapaian objektif pembelajaran dan pengajaran.
Kaedah pengajaran yang menarik akan memberi impak positif kepada pelajar.
Kemahiran dan keupayaan guru melaksanakan pengajaran melalui teknik yang betul dan
terkini akan merangsang diri pelajar menggunakan kaedah pembelajaran yang betul.
Guru perlu menyediakan suasana pembelajaran dan persekitaran yang sesuai, menarik
dan selesa dalam bilik darjah. Suasana yang menarik ini akan menyeronokkan pelajar
sekaligus akan memudahkan guru melaksanakan pengajaran mereka.
Kebolehan guru untuk mendiagnostik keupayaan pelajar menguasai ilmu pengetahuan
dan kebolehan menyediakan pengalaman pembelajaran baru yang boleh memenuhi
keperluan mereka secara individu. Guru hendaklah bertindak sebagai seorang doktor iaitu
merawat dan menyediakan ubat untuk pesakitnya. Oleh itu peranan guru adalah
membantu, memulih dan membimbing sesuatu kemahiran sehingga mereka mampu
menguasainya. Guru perlu memilih objektif pengajaran, memberikan pengalaman
pembelajaran yang sesuai untuk pelajar dan membuat penilaian terhadap pencapaian
pelajar. Perancangan yang teliti terhadap perkara itu diharapkan akan menghasilkan
kejayaan seperti yang dirancang.
3.0 Objektif Kajian / Soalan Kajian
Smith (1980) dan Sofiah Osman (1986) dalam hasil kajian mereka menunjukkan bahawa
kebanyakan guru bahasa tidak dapat mengajar bahasa dengan berkesan. Menurut
mereka, hal ini berpunca dari cara pengajaran guru yang tidak menarik serta
membosankan. Kajian ini adalah bertujuan untuk melihat sejauh mana keberkesanan
pembelajaran Bahasa Melayu yang dijalankan secara koperatif kepada murid-murid
Tingkatan 2 SMK Lundu, khususnya di dalam penulisan ulasan yang betul dan boleh
menghasilkan pencapaian akademik yang lebih baik dalam bidang penulisan berbanding
dengan kaedah tradisional yang berpusatkan guru.
Objektif Kajian
Selepas kajian ini selesai dijalankan, pelajar-pelajar diharap akan mencapai objektif
berikut:
i. Objektif Umum
Meningkatan nilai GNP sekolah dengan peningkatan peratus kelulusan Bahasa
Melayu.
ii. Objektif Khusus
Untuk menentukan sama ada pembelajaran secara koperatif dapat membantu
pelajar menguasai kemahiran penulisan ulasan.
Untuk menentukan sama ada pembelajaran Bahasa Melayu secara koperatif
dapat menarik minat dan meransang pelajar untuk membuat ulasan dengan
baik
Untuk menentukan sama ada pembelajaran secara koperatif dapat mengubah
persepsi pelajar bahawa penulisan ulasan tidak sukar dan menyeronokkan.
Untuk melihat sejauh mana penglibatan pelajar semasa proses pembelajaran di
dalam bilik darjah.
Untuk mendapatkan maklumat terhadap persepsi pelajar terhadap penggunaan
pendekatan koperatif dalam pembelajaran dan pengajaran guru Bahasa
Melayu.
4.0 Kumpulan Sasaran
Kajian ini melibatkan 25 orang pelajar Tingkatan 2C SMK Lundu yang terdiri daripada
12 orang pelajar Melayu, 9 orang pelajar Dayak dan 4 orang pelajar Cina.
5.0 Tindakan Yang Dicadangkan
Metodologi kajian merupakan proses atau alat serta method yang digunakan untuk
melaksanakan sesuatu penyelidikan bagi mendapatkan sesuatu maklumat. Bab ini akan
membincangkan kaedah yang digunakan dalam kajian ini. Kajian ini melibatkan dua
fasa iaitu yang pertama ialah menjalankan ujian, yang mana melibatkan proses mengenal
pasti sampel yang hendak dikaji dengan menjalankan Ujian Pra . Kemudian diikuti proses
mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh sampel dengan menjalankan sesi soal selidik.
Setelah masalah dikenal pasti dengan jelas, pengkaji akan merancang dan menentukan
strategi untuk menguji. Pengkaji seterusnya akan memastikan perancangan disusun dan
diatur dengan kemas. Segala maklumat yang diperoleh akan dikumpulkan dan dianalisis.
Berpandukan dapatan analisis tersebut pengkaji akan mentafsir kelemahan sampel ,
seterusnya membuat kesimpulan terhadap pencapaian sampel.
Fasa kedua ialah fasa di mana pengkaji membuat tindakan hasil daripada dapatan
penyelidikan fasa yang pertama. Di peringkat ini pengkaji akan mengenal pasti kaedah
yang hendak digunakan dalam mengatasi masalah sampel. Pengkaji merancang satu
kaedah yang bersesuaian dan diharapkan akan dapat membantu menyelesaikan masalah
kajian. Seterusnya pengkaji akan melaksanakan kaedah yang telah dikenal pasti tersebut.
Kaedah yang dijalankan akan diperkenalkan terlebih dahulu kepada sampel yang terlibat.
Setelah kaedah dijalankan pengkaji akan mengumpulkan maklumat dengan membuat
Ujian Pos. Dapatan Ujian Pos akan dianalisis dan ditafsirkan untuk memastikan kejayaan
yang dijalankan.
Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif dan kualitatif. Kaedah kuantitaif digunakan
bagi mendapatkan data tentang pencapaian murid berdasarkan ujian pra dan ujian pasca.
Kaedah kualitatif pula diperolehi secara temu bual dan pemerhatian. Data kuantitatif
diproses untuk mendapatkan frekuensi dan peratusan sementara data kualitatif diproses
bagi menyokong data kuantitatif. Data kualitatif diperoleh melalui temu bual dan
pemerhatian. Data daripada temu bual dan pemerhatian ini digunakan sebagai data
sokongan kepada data kuantitatif yang dikemukakan dalam laporan kajian ini.
Kajian ini diperkukuhkan dengan menggunakan data daripada hasil soal selidik. Data
primer diperolehi daripada hasil soal selidik 1 dan soal selidik 2 yang diedarkan kepada
responden iaitu pelajar Tingkatan 2C. Melalui pengumpulan data tersebut pengkaji
dapat merangka jenis maklumat yang ingin dikenal pasti daripada responden dan
maklumat yang dirasakan perlu . Menurut Syed Arabi (1992), kaedah soal selidik akan
dapat membantu pengkaji menjimatkan masa dalam mengumpul data terhadap responden
yang ramai tanpa bersekemuka dengan responden.
Kaedah ini juga didapati amat menjimatkan masa dan tenaga dalam membantu pengkaji
menyelesaikan sesuatu kajian terhadap responden. Bagi mencapai objektif kajian,
pengkaji memerlukan empat maklumat yang dianggap penting iaitu:
a) Maklumat mengenai minat responden terhadap subjek bahasa Melayu.
b) Maklumat mengenai persepsi terhadap kepentingan subjek bahasa Melayu .
c) Maklumat mengenai penglibatan responden semasa proses pembelajaran di dalam
bilik darjah dengan menggunakan pendekatan koperatif.
d) Persepsi responden terhadap penggunaan pendekatan koperatif dalam
pengajaran dan pembelajaran guru bahasa Melayu
Soal selidik yang bersesuaian telah direkabentuk bertujuan mendapatkan maklumat bagi
membantu pengkaji mencapai matlamat dan objektif kajian. Bentuk skala yang
digunakan dalam kajian ini adalah mengikut skala yang popular iaitu jenis ‘skala likert’
dengan menggunakan 5 markah.
Penyelidik juga menggunakan kaedah temu bual bersama responden. Memandangkan
responden adalah pelajar Tingkatan 2 yang boleh memberikan respon yang baik
menggunakan kaedah penyoalan lisan. Melalui temu bual, pengkaji lebih dekat dengan
responden dan mengetahui tahap kefahaman mereka dengan lebih mendalam.
Kaedah pemerhatian turut juga digunakan oleh pengkaji bagi mendapatkan hasil kajian
yang jitu. Dalam kaedah pemerhatian, pengkaji boleh melihat perubahan sikap, minat
serta penglibatan responden sebelum kajian dimulakan dan selepas kajian dijalankan.
Perubahan sikap responden akan dinilai dan dicatat.
Jadual Pelaksanaan Kajian:
Bil Aktiviti Tarikh Pelaksanaan
1. Mengenal pasti masalah dan pengumpulan data awal. 17 Jun 2015
2. Menulis kerta cadangan (proposal) kajian tindakan. 6 – 29 Julai 2015
3. Merancang Tindakan - (individu / panitia). 9 Julai 2015
4. Melaksanakan tindakan – aktiviti 1 13 Julai 2015
5. Membincangan masalah yang timbul dalam tindakan 1
(dalam panitia)
13 Julai 2015
6. Ujian untuk mengesan pencapaian murid. 18 Ogos 2015
17. Refleksi Kajian. 19 Ogos 2015
18. Menulis Laporan Kajian 20 – 31 Ogos 2015
19. Pembentangan dapatan kajian.
6.0 Bibliografi
Ahmad Najdi Hj. Fadzil Fadzil (2003). Keberkesanan pembelajaran secara koperatif
dalam mata pelajaran Bahasa Arab tinggi tingkatan empat.
http://www.gemaislam.net/e-tesis_ba/15.html
Atan Long (1982). Pedagogi kaedah am mengajar. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti
Atan Long (1992). Pedagogi kaedah am mengajar. Petaling Jaya. Fajar Bakti.
Cheah T. T., Adlan A., Baskaran N. dan Lim C. L. (2002). Keberkesaan kaedah
pembelajaran koperatif dalam pembelajaran bacaan pemahaman teks di kalangan
murid SJK(C) dan SJK(T): Jurnal Pendidikan MPSAH Jld 6, pp21-35.
Kamus Dewan (2007). Edisi keempat. Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khairudin Mustafa,Hj Ibrahim Ismail,Sabri Awang Soh dan Hjh Zanariah Mohamad
(2002).Sikap Murid-murid Terhadap Kaedah ”Think Pair Square”Pembelajaran
Koperatif Dalam Pangajaran Dan Pembelajaraan Matematik .Maktab Perguruan
Kota Baharu ,Kelantan
Sharifah Alwiah Alsagoff (1984), Ilmu pendidikan pedagogi: Kuala Lumpur Heinemann
Asia.
Yahaya, Azizi dan Sihes, Ahmad Johari dan Ghazali, Shahzalina (2008) Amalan
pembelajaran koperatif di kalangan guru-guru mata pelajaran teknik dan
vokasional di tiga buah Sekolah Teknik di Selangor. In: International Conference
On Teaching And Teacher Education (UIAM). (unpublished)
Zahrah (1996). Amalan pembelajaran koperatif oleh guru matematik.
http://www.myrummy.com/Amalan_Pembelajaran_Kooperatif_oleh_Guru_Matem
atik.html
Top Related