Psikososial PJM3117
HUBUNGAN ORIENTASI MATLAMAT TUGASAN (TASK) DAN SEMANGAT
BERPASUKAN.
1.0 Pengenalan
Mengikut Wann (1997), psikologi sukan ialah satu bidang kajian saintifik yang
melibatkan kesan serta pengaruh sesuatu aktiviti terhadap perlakuan fizikal, afektif
serta kognitif ke atas mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung
dengan aktiviti tersebut. Weinberg dan Gould (1999) pula menjelaskan yang psikologi
sukan merupakan satu bidang kajian saintifik tentang manusia dan perlakuan mereka
dalam konteks sukan dan pergerakan. Secara ringkasnya, psikologi sukan dapat
ditakrifkan sebagai satu bidang kajian tingkahlaku secara saintifik yang berkaitan
dengan kesan serta pengaruh sesuatu aktiviti jasmani terhadap perlakuan fizikal, efektif
serta kognitif seseorang individu yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung
dalam sesuatu aktiviti jasmani.
Kejayaan sesuatu pasukan dalam sukan pula adalah berdasarkan kewujudan
semangat berpasukan untuk mencapai satu matlamat yang dikongsi bersama. Carron
(1982), menyatakan bahawa apa yang disebut sebagai semangat berpasukan
sebenarnya merupakan ciri-ciri kesepaduan dalam pasukan. Semangat berpasukan
adalah berpunca dari perasaan dipunyai atau tergolong dalam satu kumpulan atau
pasukan yang merupakan elemen penting dalam memenuhi keperluan individu pemain
sekaligus menyemarakan semangat berpasukan, meningkatkan hubungan sesama
pemain, kesetiaan terhadap pasukan, menghormati jurulatih serta meningkatkan
pencapaian pasukan. Semangat berpasukan adalah berkaitan dengan kesepaduan
pasukan, proses pembentukan sesuatu pasukan, pengukuran pasukan serta kaitan di
antara kesepaduan pasukan dan pencapaian pemain dalam sukan.
Mengikut penjelasan Carron (1982), kesepaduan pasukan merupakan proses yang
dinamik yang dijelmakan menerusi kecenderungan sesuatu kumpulan untuk bersatu
dan bersama mencapai matlamat dan objektif kumpulan tersebut. Setiap ahli dalam
pasukan harus mempunyai orientasi matlamat tugasan yang tinggi untuk
1
Psikososial PJM3117
menyemarakan semangat berpasukan yang mantap bagi mencapai sesuatu kejayaan.
Williams (1994), menjelaskan bahawa orientasi matlamat merujuk kepada situasi
pencapaian sebagai objektif dan matlamat utama dalam penyertaan sukan dengan
menunjukkan tahap kebolehan yang tinggi. Duda (1989), mengatakan bahawa orientasi
matlamat tugasan merujuk kepada atlet yang berusaha gigih ke arah mencapai
matlamatnya tanpa membandingkan prestasi individu lain, akan berusaha untuk berlatih
sehingga menguasai kemahiran, melakukannya dengan seronok khususnya dalam
bidang yang sesuai dengan minatnya dan cuba sebaik mungkin untuk mencapai
matlamatnya.
Dalam proses pembentukan sesebuah pasukan, orientasi matlamat tugasan akan dapat
membentuk kesepaduan tugasan dan kesepaduan social kerana semua ahli akan
berusaha untuk mencapai matlamat yang sama tanpa mementingkan kepentingan
individu. Kesepaduan tugasan merujuk kepada tahap di mana ahli kumpulan bersama-
sama berkerja untuk menyelesaiakan masalah atau sesuatu tugasan yang spesifik.
Sementara kesepaduan sosial pula merujuk kepada tahap hubungan interpersonal di
kalangan ahli kumpulan iaitu pemain akan berkerjasama dengan pemain yang lain atas
dasar adanya hubungan kekeluargaan dan hubungan sosial diantara mereka.
2.0 Masalah Yang Dikenalpasti
Semangat kerjasama secara berpasukan merupakan elemen yang penting bagi pemain
bola jaring kerana kerjasama antara pemain akan mempengaruhi tahap prestasi
pemain serta menggambarkan tahap kerja atau intensiti aktiviti yang dijalankan.
Latarabelakang dan personaliti setiap pemain bola jaring adalah berbeza walaupun
minat terhadap permainan bola jaring adalah sama. Memandangkan permainan bola
jaring memerlukan semua pemain bekerjasama bukan sahaja semasa dalam
permainan ketika dalam sesuatu perlawanan dalam pertandingan, tetapi juga ketika
mengikuti latihan di mana setiap ahli pasukan perlu menghadiri latihan yang kerap
mengikut jadual latihan serta menghadapi latihan yang keras dan meletihkan.
Pasukan bola jaring bawah 15 tahun SMK Wira Penrissen 2012, terdiri daripada 12
orang pelajar yang terdiri daripada individu bukan sahaja mempunyai personaliti dan
2
Psikososial PJM3117
latarbelakang sosial berbeza diantara satu sama lain, tetapi mereka juga bermasalah
dari aspek kecergasan fizikal, tahap kemahiran yang berbeza-beza, dan kemampuan
untuk berhadapan dengan tekanan latihan yang keras dan meletihkan.
Melalui permasalahan seperti ini, maka proses pengajaran dan pembelajaran di dalam
periodisasi latihan perlu dirancang dengan sistematik supaya para pelajar bukan sahaja
dapat menunjukkan perubahan tahap kecergasan fizikal serta kemahiran yang baik
untuk menghadapai pertandingan yang akan disertai, tetapi juga perubahan tingkahlaku
yang positif khususnya semangat berpasukan yang mantap.
Psikologi sukan adalah satu usaha untuk mengaplikasikan fakta-fakta kejiwaan serta
prinsip-prinsip pembelajaran, penampilan, dan perilaku manusia yang berkaitan dengan
sukan. Fuoss dan Troppmann (1981), menyatakan bahawa seseeorang atlet
seharusnya memberikan perhatian terhadap manfaat faktor-faktor kejiwaan, emosi,
dan sosial; dan bukan hanya terhadap faktor-faktor fizikal saja. Cox (2002) pula
menjelaskan bahawa ilmu pengetahuan yang menerapkan prinsip-prinsip psikologi di
dalam situasi sukan adalah bertujuan untuk meningkatkan prestasi seseorang dalam
suatu kegiatan sukan.
3.0 Huraian Masalah Mengikut Teori pembelajaran
3.1 Pengenalan
Semangat berpasukan adalah unsur yang menyatupadukan sesebuah sukan iaitu
pemain dengan pemain dan jurulatih dengan pemain dalam menjayakan peningkatan
kualiti. Semangat ini dipraktikkan melalui kerjasama, komitmen dan penyertaan pemain
dan jurulatih secara menyeluruh ke atas program dan perlawanan atau kejohanan yang
disertai bagi memastikan adanya peningkatan kualiti dari segi “performance” pemain.
Membina dan membentuk semangat berpasukan bukanlah usaha yang boleh
diserahkan kepada pemain secara individu kerana masalah-masalah dalam pasukan
adalah bersifat komplek, melibatkan semua yang terlibat dalam pembentukan pasukan
tersebut. Dalam keadaan yang demikian setiap pemain dan jurlatih perlu bertindak
secara berpasukan supaya segala kekuatan dalam pasukan dapat digemblengkan
3
Psikososial PJM3117
sepenuhnya disamping semua pihak perlu bertindak secara berpasukan untuk
meningkatkan moral pemain dan kepuasan bermain.
Pembinaan amalan semangat berpasukan akan secara langsung boleh
mengukukuhkan tiga aspek yang penting kepada proses pengukuhan pembentukan
pasukan iaitu melalui pertukaran maklumat dan idea-idea dan lebih meluas, semangat
saling percaya-mempercayai di kalangan pemain dan komunikasi yang lancar di dalam
pasukan. Melalui aktiviti-aktiviti penyerapan semangat berpasukan, pemain-pemain
akan mempunyai peluang yang luas untuk bertukar pengetahuan, pengalaman,
maklumat dan idea dengan rakan sebaya dan keadaan ini akan meningkatkan
kebolehan seseorang pemain untuk mencetuskan idea-idea baru yang kreatif dan
inovatif bagi mempertingkatkan kualiti pasukan yang diinginkan.
Dalam suasana perlawanan dalam sesuatu kejohanan, pemain akan mempunyai
perasaaan percaya-mempercayai sesama pemain dan ini membolehkan setiap individu
merasa bebas dan lebih yakin untuk bertindak dalam menjalankan tanggungjawab
mengikut posisi masing-masing. Dengan itu mereka akan dapat membuat keputusan-
keputusan dengan cepat, menggunakan budi bicara dengan sempurna dan
mengembangkan bakat serta potensi yang ada di dalam diri masing-masing bagi
menggerakkan proses peningkatan kualiti. Selain itu, keadaan sperti ini akan
memudahkan proses komunikasi di dalam pasukan dan seterusnya memupuk
kerjasama dan keadaan saling bergantungan di kalangan pemain, yang mana akhirnya
boleh membantu memantapkan prestasi pasukan.
3.2 Sejarah Teori Pembelajaran Sosial Albert Bandura
Albert Bandura dilahirkan di Mundare Northern Alberta Kanada, pada 04 Disember
1925. Teori pembelajaran sosial Albert Bandura merupakan perluasan dari teori
pembelajaran behaviourisme. Teori pembelajaran sosial ini dikembangkan oleh Albert
Bandura (1986). Teori ini adalah berdasarkan sebahagian besar dari prinsip-prinsip
teori-teori behaviourisme, tetapi memberi lebih banyak penekanan kepada kesan
daripada isyarat-isyarat tingkahlaku, dan proses-proses mental internal. Teori
4
Psikososial PJM3117
Pembelajaran Sosial yang dikemukakan oleh Bandura memberikan penekanan tentang
bagaimana perilaku manusia dipengaruhi oleh persekitaran melalui peneguhan
(reinforcement) dan pembelajaran peniruan (observational learning), dan cara berfikir
yang kita miliki terhadap sesuatu maklumat dan juga sebaliknya, iaitu bagaimana
tingkahlaku kita mempengaruhi persekitaran dan menghasilkan peneguhan
(reinforcement) dan peluang untuk diperhatikan oleh orang lain (observational
opportunity).
Menurut Bandura, perlakuan seseorang adalah hasil interaksi faktor dalam diri (kognitif)
dan persekitaran. Berdasarkan teori ini terdapat beberapa cara peniruan iaitu proses
peniruan secara langsung seperti cara lontaran aras dada yang ditunjukkan oleh
jurulatih dan ditiru berulang kali oleh pemain. Proses peniruan yang kedua ialah melalui
sekat lakuan dan tak sekat lakuan iaitu contohnya kemahiran gerakan kaki yang betul
tidak perlu ditegur dan pergerakan kaki yang salah yang perlu ditegur. Sementara
proses peniruan yang seterusnya ialah elisitasi iaitu peniruan yang timbul apabila
seseorang melihat perubahan pada orang lain.
Dalam pembentukan pasukan, teori pembelajaran social ini menekankan kepada
kepentingan pemerhatian dan pemodelan tingkahlaku, sikap dan tindakbalas emosi
orang lain. Teori ini memberikan focus kepada pembelajaran melalui pemerhatian dan
pemodelan. Dari konteks sosial, teori ini adalah tentang bagaimana kedua-dua factor
alam sekitar dan kognitif mempengaruhi pembelajaran tingkahlaku manusia. Ia
memberikan tumpuan kepada pembelajaran dan tingkahlaku manusia yang berlaku
dalam bentuk pemerhatian, peniruan dan permodelan.
Dalam sesebuah pasukan, kemantapan semangat berpasukan adalah berdasarkan
orientasi matlamat tugasan setiap pemain yang membentuk pasukan tersebut kerana
setiap pemain adalah dari latar belakang sosial dan personaliti yang berbeza. Ini akan
menyebabkan komunikasi dan hubungan setia kawan antara pemain agak longgar
menyebabkan suasana latihan tidak begitu mesra antara pemain. Ini menyebabkan
pretasi latihan untuk membina, meningkat dan mengekalkan prestai para pemain
menjadi agak sukar.
5
Psikososial PJM3117
Keadaan tersebut boleh dikaitkan dengan Teori Pembelajaran Sosial oleh Albert
Bandura (1961). Menurut Bandura, individu dipergaruhi oleh keadaan persekitaran
mereka dan setiap pemain dalam sesebuah pasukan adalah saling memerlukan dan
mempengaruhi antara satu sama lain. Melalui permerhatian dalam suasana latihan,
tumpuan seseorang pemain terhadap tindakan pemain lain dapat membantu pemain
tersebut untuk lebih memahami arah pergerakan rakannya untuk menghantar ataupun
menerima bola. Dengan merekod dan menyimpan maklumat tingkahlaku yang
diperhatikan, diakhir sesi latihan, mengingat kembali apa yang direkod iaitu situasi-
situasi yang telah berlaku dengan tujuan untuk memotivasikan pemain untuk
menghasilkan satu prestasi latihan yang lebih baik dan juga meningkatkan saling
memahami dan mempercayai antara satu sama lain untuk meneguhkan semangat
berpasukan.
Bandura mengatakan individu lebih cenderung meniru gaya atau perlakuan orang lain,
berdasarkan kajiannya terhadap patung Bobo yang menfokuskan kepada pola
tingkahlaku berhubungkait dengan peniruan tingkahlaku. Dalam keadaan ini, pemain
yang kurang didedahkan dengan aktiviti latih tubi dan juga tayangan-tayangan video
permaianan semasa yang sebenarnya akan menyebabkan para pemain tidak dapat
menunjukkan sikap meniru dan memahami tujuan tingkahlaku yang telah ditiru dalam
situasi permainan yang sebenarnya.
Selain itu, latihan yang membosankan boleh menyebabkan pemain kurang
bersemangat untuk berlatih bersungguh-sungguh dan boleh menyebabkan pemain
berasa tidak puas hati serta berklik dalam sesebuah pasukan. Keadaan seperti ini,
boleh menyebabkan melemahkan semangat berpasukan sehingga menyebabkan
pemain mengamalkan sikap sambil lewa terhadap latihan yang dilaksanakan.
Kesannya, pemain tidak akan ada komunikasi yang baik dan kurang kesepakatan
antara satu sama lain kerana semangat berpasukan adalah rendah menyebabkan
matlamat untuk berjaya semasa mengharungi pertandingan tidak dapat dicapai.
6
Psikososial PJM3117
3.3 Kajian-kajian yang lepas
3.3.1 Kajian Mengenai Orientasi Matlamat Tugasan
Orientasi matlamat tugasan yang ada dalam diri setiap pemain sesebuah pasukan
adalah faktor penting untuk membentuk semangat berpasukan yang tinggi. Gano
Orway (2008) menyatakan bahawa pemain yang menunjukkan orientasi matlamat
tugasan ialah pemain yang dapat menggunakan lebih kawalan kendiri dan kurang
mengamalkan strategi pemikiran mudah mengalah jika dibandingkan dengan pemain
yang lebih menggunakan strategi orientasi matlamat ego. Van Yperen (1999) pula
menjelaskan bahawa pemain yang mempunyai orientasi matlamat tugasan dapat
meningkatkan pemerolehan kemahiran sukan serta sentiasa mematuhi arahan jurulatih
untuk sepanjang musim latihannya. Melalui kajian Gano Orway pada tahun 2008,
orientasi matlamat tugasan juga mampu menunjukkan bahawa pemain yang
mempunyai kawalan kendiri yang tinggi dalam membina semangat berpasukan yang
tinggi kerana mereka lebih ke arah tugasan penglibatan secara berpasukan.
Hubungan antara orientasi matlamat tugsan dan semangat berpasukan sememangnya
boleh mewujudkan satu kemahuan untuk berjaya secara bersama. Mengikut kajian
Raja dan Williams (1997), mereka mendapati korelasi positif antara orientasi matlamat
tugasan dengan kepuasan dan prestasi yang ditunjukkan, dan kesimpulan kedua-dua
pengkaji ini berpendapat bahawa orientasi matlamat tugasan boleh dijadikan sebagai
peramal prestasi, mengawal pemerolehan pengalaman melalui latihan. Kajian Raja dan
William ini disokong oleh Van Yperen & Duda(1997), iaitu melalui kajian mereka yang
dijalankan terhadap pemain bola sepak elit “American Football” yang hasilnya
menunjukkan hubungan yang positif antara peningkatan prestasi, menurut tunjuk cara
jurulatih, serta berorientasikan matlamat tugasan yang tinggi.
Semua kajian ini adalah berdasarkan kajian menggunakan ujian TEOSQ (Task Ego
Orientation Sport Questionaire) yang diasaskan oleh Duda pada tahun 1989. Orientasi
matlamat tugasan boleh membawa kepada kejayaan dalam sesuatu sukan kerana
setiap atlet akan mempunyai kawalan mental yang lebih baik. Mereka juga mempunyai
penetapan matlamat kejayaan yang dapat dikawal, serta percaya bahawa kejayaan
7
Psikososial PJM3117
adalah hasil pemikiran yang positif, usaha dan sokongan berpasukan, serta kerja
berpasukan. Hubungan positif antara orientasi matlamat tugasan dan pencapaian
dalam sukan iaitu atlet yang mempunyai orientasi matlamat tugasan yang tinggi
cenderung untuk mempamerkan kawalan kendiri yang lebih baik, merasai keseronokan
penglibatan dalam aktiviti fizikal, mempunyai imuniti kepada fikiran negatif, dan dapat
menunjukkan prestasi keseluruhan baik dalam pelbagai jenis sukan kerana adanya
semangat berpasukan yang tinggi.
3.3.2 Kajian Mengenai Semangat Berpasukan
Semangat dan kerjasama berpasukan merupakan faktor penting untuk mendapatkan
prestasi yang tinggi serta kejayaan dalam sukan secara berpasukan. Ukuran kejayaan
sesebuah pasukan berdasarkan keputusan menang dan kalah dalam sesuatu
perlawanan berkaitrapat dengan semangat berpasukan yang mana setiap pemain
dalam sesuatu pasukan bersatu untuk mencapai matlamat secara bersama.
Memetik artikel ibnu Suhali (2009) dalam blognya, mengatakan bahawa Esprit de Corps
berasal dari perkataan Perancis yang membawa maksud semangat bekerjasama,
semangat kekitaan ataupun semangat berpasukan. Dengan kata lain ini adalah suatu
semangat yang dapat menyatukan pemain khususnya dalam sesebuah pasukan seperti
pasukan bola jaring dan seumpamanya. Esprit de Corps amatlah penting dalam
sesebuah pasukan. Semangat ini harus diterapkan dari peringkat awal pembentukan
pasukan melalui kepelbagaian aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan kekitaan
dalam pasukan.
Dalam sukan, semangat berpasukan merupakan suatu unit sesebuah pasukan yang
berinteraksi untuk berkongsi kemahiran, matlamat dan tujuan bagi membantu ahli-ahli
pasukan berkerjasama dalam ruang sempadan tanggungjawab ataupun posisi
permainan yang telah ditetapkan. Menurut Daft (1999), semangat berpasukan merujuk
kepada sekumpulan dua atau lebih manusia yang berinteraksi dan menyelaras tugasan
atau kerja mereka bagi mencapai matlamat umum yang disasarkan bersama. Manakala
Lussier dan Achua (2001) menyatakan bahawa semangat berpasukan sebagai satu
8
Psikososial PJM3117
pemahaman dan komitmen di antara ahli pasukan ke arah pencapaian matlamat
pasukan dan mengurangkan perselisihan faham yang wujud dalam ahli pasukan kerja.
Dalam permainan bola jaring, apabila pemain dan jurulatih menghargai dalam suatu
suasana saling hormat-menghormati, maka mereka akan bekerja pada tahap mutu dan
daya produktiviti yang tinggi. Menurut Mokhtar (1999) pula, apabila sesuatu kumpulan
menjalankan tugas bersama-sama dan berusaha untuk mewujudkan kerjasama di
antara ahli, ia telah berfungsi sebagai kerja berpasukan. Dengan ini, semangat
berpasukan wujud apabila ahli dalam pasukan dapat merasakan bahawa mereka
berada dalam satu pasukan dan diterima baik oleh anggota-anggota lain dalam
pasukan tersebut, ada sesuatu sumbangan yang boleh mereka berikan kepada
pasukan, pandangan mereka di terima baik oleh anggota pasukan dan mereka rasa
tanggungjawab untuk memastikan kejayaan pasukan mereka.
Semangat berpasukan juga boleh merujuk kepada satu set nilai yang menggalakkan
tingkah laku seperti mendengar dan memberi respon yang membina terhadap pendapat
rakan sepasukan, menjelaskan keraguan, serta memberi sokongan penuh kepada ahli
pasukan. Ini termasuklah menghargai minat serta mengiktiraf pencapaian ahli pasukan
yang lain (Katzenbach & Doughlas, 1993). Ia merupakan gabungan usaha,
pengetahuan, kemahiran dan kebolehan berkomunikasi serta saling mempercayai yang
dilakukan secara sinergi untuk menghasilkan prestasi permainan melebihi input yang
dilakukan secara bersendirian. Melalui usaha ahli pasukan membolehkan pasukan
meningkatkan kadar latihan tanpa mementingkan kerperluan personaliti kendiri.
Walaubagaimanapun, semangat berpasukan yang mantap turut dirundung
kebimbangan terhadap kesan negatif perubahan tingkahlaku rakan sepasukan. (Ab.
Menurut Aziz Yusof (2004), antaranya berpunca daripada norma pasukan, keakraban
pasukan dan pemikiran pasukan.
3.3.3 Kesimpulan Kajian kajian yang lepas
Kerjasama dalam pasukan memainkan peranan penting dalam menghasilkan kejayaan
dalam sesuatu pertandingan. Ini kerana kerjasama secara berpasukan mempunyai
9
Psikososial PJM3117
banyak kelebihan daripada kerja individu ataupun secara perseorangan.
Kelebihan begitu kerjasama berpasukan dalam membentuk satu semangat berpasukan
adalah dari segi pemerolehan pengalaman, kemahiran, dan pemahaman percaturan
strategi yang telah direncanaka. Kajian dan pendapat ini telah menunjukkan bahawa
penglibatan secara kolektif lebih produktif adalah asas kejayaan permainan secara
berpasukan.
4.0 Penyelesaian Masalah Berdasarkan Teori
4.1 Pengenalan
Setiap masalah yang wujud sudah pasti ada jalan penyelesaiannya berdasakan teori-
teori pembelajaran dan juga melalui kajian terhadap subjek-subjek yang terlibat. Teori
pembelajaran sosial Albert Bandura (1986) dan kajian mengenai tahap orientasi
matlamat tugasan dan orientasi matlamat ego (Duda, 1989) tersebut mempunyai
implikasi terhadap sesuatu perancangan latihan. Teori dan kajian TEOSQ ini
mengatakan yang kejayaan sesuatu pasukan adalah disebabkan perlunya tindakan
pengukuhan yang positif. Pengukuhan yang positif jika diamalkan dalam proses latihan
akan memotivasikan pemain untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan diri untuk
mencapai kejayaan yang diharapkan. Dengan hal demikian, maka objektif penglibatan
pelajar dalam aktiviti sukan akan tercapai dengan jayanya.
Teori motivasi pencapaian kognitif sosial pula memberi tumpuan kepada perspektif
matlamat dan pengaruhnya terhadap pencapaian berdasarkan tingkahlaku, (Ames,
1984; Dwek dan Elliot, 1983; Nicholls, 1989). Teori ini didasari oleh dua perspektif
matlamat yang mengambarkan kriteria kecekapan seseorang individu untuk
menentukan kegagalan ataupun kejayaan dalam tindakannya , iaitu orientasi matlamat
tugasan dan orientasi matlamat ego. Teori pembelajaran sosial dan teori motivasi
kognitif social serta kajian TEOSQ adalah beriringan dan boleh dijadikan sebagai
panduan oleh guru dalam merancang dan melaksanakan strategi latihan sukan di
sekolah untuk memotivasikan atlet peri pentingnya semangat kerjasama secara
berpasukan. Latihan sukan yang berkesan bukan hanya menekankan kepada
perubahan tingkahlaku, malah pembangunan individu secara menyeluruh mengikut
10
Psikososial PJM3117
prinsip perkembangan JERIS iaitu dari aspek Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan
Sosial.
4.2 Langkah-langkah penyelesaian masalah
Semangat berpasukan di kalangan pemain pasukan bola jaring bawah 15 tahun boleh
diperkukuhkan melalui beberapa tindakan yang menjuruskan usaha untuk menbina
tahap keberkesanan komunikasi, kerjasama, komitmen, usaha dan saling
mempercayai dikalangan pemain. Tindakan-tindakan yang sesuai diambil bagi tujuan
ini ialah:
4.2.1 Mengadakan Ujian TEOSQ
Kajian ini dijalankan di awal pembentukan pasukan bola jaring bawah 15 tahun iaitu
untuk mengenalpasti motif penglibatan pelajar ini dan corak orientasi matlamat di
kalangan para pemain ini. Instrumen kajian yang digunakan adalah soal selidik Task
Ego Orientation Sport Questionaire (TEOSQ). Daripada soal selidik ini, dapat
diperhatikan bahawa keseluruhan pelajar yang menyertai pasukan bola jaring bawah 15
tahun ini lebih berorientasikan matlamat tugasan, berbanding dengan orientasi
matlamat ego.(Rujuk Jadual 1.0) Ini menunjukkan bahawa keseluruhan pemain ini
mempunyai penetapan matlamat kejayaan yang dapat dikawal, serta percaya bahawa
kejayaan adalah hasil pemikiran yang positif, usaha dan sokongan berpasukan, serta
kerja berpasukan. Tingkahlaku sebegini sudah pasti dapat membantu jurulatih untuk
merancang latihan dengan lebih berkesan kerana semangat berpasukan adalah
dibentuk melalui kesepaduan kerjasama di antara pemain adalah tinggi.
4.2.2 Mengadakan Tayangan Video
Tindakan ini diadakan bertujuan meningkatkan minat dan kesedaran pemain tentang
perlunya semangat berpasukan wujud dalam sesebuah pasukan. Mengikut teori
pembelajaran sosial, tingkahlaku yang diperolehi melalui peniruan iaitu mengikut
Bandura (1977) menyatakan bahawa "Learning would be exceedingly laborious, not to
mention hazardous, if people had to rely solely on the effects of their own action to
inform them what to do. Fortunately, most human behaviour is learned observationally
11
Psikososial PJM3117
through modelling: from observing others one form an idea of her new behaviour are
performed, and on later occasion this coded information serves as a guide for action".
Aspek-aspek yang sesuai ditekankan di tindakan ini ialah Konsep semangat
berpasukan. faedah kepada prestasi kerja secara berpasukan, dan peranan individu
untuk menjayakan semangat berpasukan.
4.2.3 Mengadakan latihan mengikut periodisasi latihan yang sistematik
Tujuan mengadakan latihan berdasarkan periodisasi latihan yang sistematik ini
diadakan untuk melengkapkan perkembangan kecergasan fizikal, pengetahuan dan
kemahiran asas bola jaring pemain adalah setara secara berpasukan. Dengan yang
demikian, pemain akan dapat mempamerkan peningkatan prestasi yang berkesan
disamping dapat mewujudkan semangat kesepaduan dan kekitaan dalam membentuk
sebuah pasukan bola jaring yang mantap. Semasa latihan ini tindakan yang dilakukan
ialah memberi penekanan kepada kemahiran-kemahiran kerjasama berpasukan,
kemahiran komunikasi, dan kemahiran mengaplikasikan strategi permainan. Mengikut
Johnson dan Johnson (1994), untuk sampai ke tahap sebuah pembentukan pasukan
yang mantap, para pemain perlu melalui beberapa fasa iaitu pembentukan,
pertelagaan, pembentukan norma, dan prestasi.
a) Fasa pembentukan
Ciri-ciri utama dalam fasa ini adalah percubaan untuk mengenali serta membiasakan
diri dengan ahli pasukan yang lain, membuat perbandingan sosial khususnya dari segi
kemampuan dan kebolehan, menilai kekuatan dan kelemahan masing-masing serta
menilai kemampuan aksi masing-masing. Pada tahap ini jurulatih perlu peka tentang
wujudnya budaya negatif atau berlakunya pergeseran di kalangan pemain, dan
tindakan segera perlu diambil agar ianya tidak menganggu prestasi serta tumpuan
semasa latihan.
b) Fasa pertelagahan
Fasa ini seringnya dipenuhi dengan pertelagahan serta persaingan di kalangan pemain
kerana wujudnya polarisasi, konflik serta tentangan di antara pemain dengan pemain
12
Psikososial PJM3117
serta pemain dengan jurulatih. Ini kerap berlaku khususnya semasa latihan pramusim,
apabila pemain berusaha menempatan diri sebagai pemain utama atau mendapat
tempat dalam pasukan dan juga berusaha untuk mendapatkan perhatian jurulatih.
Jumlah serta tahap pertelingkahan ini tertakluk kepada kebijaksanaan jurulatih
mengenal pasti kekuatan serta kelemahan setiap pemain.
Jika kekuatan serta kelemahan ini dijelaskan secara objektif kepada para pemain,
pertelagahan ini akan berkurangan dan para pemain mengetahui ekspektasi jurulatih
terhadap mereka (Carron, 1984). Untuk mengatasi masalah ini, jurulatih perlu
meletakkan satu piawai tentang satu perlakuan yang diingini bagi mengurangkan
tekanan dan perpecahan di kalangan pemain.
c) Fasa pembentukan norma
Pada fasa ini, pemain sudah dapat melupakan persaingan dan pertelagahan yang
timbul pada fasa sebelumnya iaitu fasa pertelagahan. Pemain sudah mula menjalin
hubungan yang positif serta mula menunjukkan sikap berkerjasama serta saling
membantu rakan sepasukan yang lain. Fasa ini amat penting kerana pada fasa iniah
konsep kesepaduan serta identiti pasukan mula terbentuk di kalangan pemain. Para
pemain mula mementingkan kehendak pasukan berbanding kehendak diri sendiri. Jika
wujud atau pemain atau atlet yang mementingkan diri pada tahap ini, ia perlu ditangani
segera agar tidak mengugat kesepaduan pasukan serta menyebabkan pemain tadi
dipinggirkan oleh rakan sepasukan yang lain.
Pada fasa ini juga, para pemain mula melihat dan menilai sumbangan unik setiap
pemain demi kejayaan pasukan. Persaingan sesama sendiri kini bertukar menjadi
bantuan kepada rakan-rakan yang memerlukan. Jurulatih perlu bijak menggunakan
peluang ini untuk menanam semangat pasukan yang jitu, membincangkan tentang
matlamat pasukan serta menjelaskan sumbangan yang boleh diberikan oleh setiap ahli
pasukan demi untuk menyemarakkan lagi semangat pemain utuk berjaya dan berfungsi
sebagai satu pasukan.
13
Psikososial PJM3117
d) Fasa prestasi
Pada fasa ini, para pemain sudah bersedia sebagai satu pasukan untuk mencapai
matlamat yang disasarkan. Fasa ini dinamakan sebagai fasa “kematangan hubungan”.
Ini adalah kerana para pemain sudah mengetahui peranan yang perlu dimainkan oleh
setiap individu dalam pasukan, menghargai setiap sumbangan yang diberikan serta
memeberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi demi kejayaan pasukan.
Untuk mencapai tahap ini, jurulatih perlu mewujudkan suasana berkerjasama di
kalangan pemain serta mengelakkan persaingan yang negatif dalam pasukan. Pujian,
harus diberikan kepada pasukan terlebih dahulu sebelum diberikan kepada individu
tertentu dalam pasukan. Pujian kepada individu haruslah kepada peranan yang
dimainkan demi untuk pasukan dan bukannya pujian yang bersifat individu. Ini akan
memupuk semangat serta kesepaduan yang berterusan dalam pasukan.
4.2.4 Kesimpulan
Mengikut Carron (1984), menyatakan bahawa kejayaan sesuatu pasukan bukanlah
kerana wujudnya hubungan yang baik antara pemain, tetapi lebih terarah kepada
kemampuan berinteraksi dengan menggunakan kemahiran dan strategi yang berkesan
dalam sesuatu pertandingan. Oleh yang demikian, orientasi matlamat tugasan yang
ditunjukkan oleh setiap pemain dalam sesebuah pasukan adalah asas pembentukan
kesepaduan yang akan mewujudkan semangat berpasukan yang mantap kerana
penyertaan dalam sesuatu pasukan yang kukuh tahap kesepaduannya mendatangkan
kepuasan jika dibandingkan dengan menyertai pasukan yang kurang mantap dari segi
kesepaduan pasukannya. Seseorang jurulatih perlu memastikan untuk menerapkan
nilai-nilai semangat berpasukan di kalangan pemain kerana ia dapat membantu
meningkatkan kebarangkalian untuk berjaya serta menimbulkan kepuasan di hati
semua individu yang terlibat dalam pasukan berkenaan.
5.0 Kepentingan Psikologi Sukan
Mengikut Cox (1998), psikilogi sukan merupakan satu bidang yang luas dan terbuka
sehingga ia memudahkan orang awam dan peminat sukan memberi komen berkaitan
14
Psikososial PJM3117
psikologi sukan. Menurut pakar psikologi sukan, Wann (1997), bidang ini membabitkan
bidang sukan dan pergerakan. Cox (1998) pula menjelaskan bahawa psikologi sukan
merupakan satu bidang sains atau prinsip-prinsip psikologi diaplikasi dalam bidang
sukan. Bagi Weinberg dan Gould (1999) pula mengatakan bahawa psikologi sukan
merupakan satu bidang kajian saintifik tentang manusia dan perlakuan mereka dalam
konteks sukan dan pergerakan. Penjelasan ahli-ahli psikologi ini memberikan satu skop
yang lebih luas dalam bidang psikologi sukan dengan mengambil kira segala bentuk
perubahan yang berlaku kepada atlet, pegawai serta penonton digelanggang atau
padang permainan serta melibatkan mereka yang menyaksikan atau mengikuti
perkembangan aktiviti tersebut dari jauh.
Secara amnya, psikologi sukan merupakan proses memilih dan memotivasikan atlet
supaya atlet tersebut boleh bersaing atas usaha dan keupayaannya sendiri. Selain itu
psikologi sukan juga menjurus kepada “Psych-out” lawan dan proses ini dapat
mengurangkan atau menangani tekanan yang dihadapi oleh atlet. Psikologi sukan juga
juga dapat mencegah penggunaan dadah dikalangan atlet serta membina strategi
berpasukan dan menerapkan pembelajaran kemahiran kepada atlet. Menurut USOC
ahli psikologi sukan boleh dibahagi kepada dua iaitu ahli psikologi sukan gunaan
(applied sport psychology) dan penyelidik psikologi sukan (experimentel sport
psychologist).
Psikologi sukan berperanan dalam mengkaji serta membantu untuk mengetahui serta
cara mengatasi kemerosotan prestasi seseorang atlet yang disebabkan oleh faktor
psikologi seperti kurang motivasi, sering hilang tumpuan, darah gemuruh, dan kurang
yakin. Disamping itu, psikologi sukan juga memainkan peranan dalam membantu untuk
dalam masalah atlet yang melibatkan biomekanik, fisiologi mahupun kemahiran pemain
tersebut. Psikologi sukan merupakan satu perkara yang amat penting dalam dunia
sukan yang semakin kompetatif dan perlu dipraktikkan dalam bidang sukan bukan
sahaja yang melibatkan ahli sukan tetapi semua yang melibatkan diri dalam sukan.
Sebagai kesimpulannya, psikologi sukan boleh ditakrifkan sebagai satu bidang kajian
saintifik yang melihat kesan serta pengaruh sesuatu aktiviti terhadap perlakuan fizikal,
efektif serta kognitif mereka yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung
15
Psikososial PJM3117
dengan aktiviti sukan.
6.0 Kepentingan Sosiologi dalam Sukan
Sosiologi merupakan kajian saintifik tentang tingkahlaku manusia. Sosiologi juga boleh
menunjukkan kepada kita bagaimana manusia bertingkahlaku dan bertindak, apakah
ciri-ciri kumpulan dan masyarakat, dan bagaimana semua ini bergabung dan
mempengaruhi tingkahlaku manusia. C. Wright Mills (1916-1962) mengatakan bahawa
untuk kita memahami sosiologi, kita perlu terlebih dahulu memahami masyarakat di
mana kita tinggal agar kita mendapat satu gambaran yang lebih mendalam tentang
kehidupan masyarakat kita. Pendekatan sosiologi memerlukan fakta dan idea yang
sistematik dan diuji berdasarkan bukti. Ini akan memberi kita peluang untuk
mempelajari sesuatu yang baru. Manakala ilmu logik (common sense knowledge)
adalah subjektif, tidak konsisten dan tidak semestinya diterima oleh masyarakat. Ahli
sosiologi mencari sesuatu yang objektif, konsisten dan baru.
Sosilogi sukan pula adalah satu bidang kajian yang mengaplikasikan konsep sosiologi
untuk melihat dan memahami secara saintifik apa yang berlaku dalam dunia sukan.
Kajian saintifik sosiologi sukan termasuklah usaha untuk mengkaji dan memahami
interaksi yang wujud antara individu dalam pasukan dan mereka yang terlibat dalam
aktiviti sukan seperti guru pendidikan jasmani, jurulatih, murid, penonton, pengurusan
dan media masa. Sosialisasi sukan ialah satu proses mengkaji hubungan manusia
dalam mempelajari mengenai budaya serta bagaimana menjadi dalam sesuatu
kumpulan dalam masyarakat.
Proses sosiolisasi dalam pendidikan jasmani dan sukan berlaku menerusi dua cara
iaitu;
a) Sosiolisasi yang berlaku ke dalam pendidikan jasmani dan sukan itu sendiri iaitu
bagaimana individu melibatkan diri ke dalam proses pendidikan jasmani dan aktiviti
sukan adalah kesan dari pengaruh, dorongan serta impak agen-agen sosiolisasi.
Secara ringkasnya, dapat dikatakan pengaruh agen-agen sosiolosasi ini membantu
untuk membentuk sikap, nilai dan perlakuan yang diperlukan.
16
Psikososial PJM3117
b) Sosialisasi menerusi pendidikan jasmani dan sukan pula ialah bagaimana
pendidikan jasmani dan aktiviti sukan itu sendiri menjadi alat kepada proses sosiolisasi.
Elemen-elemen dalam proses pendidikan jasmani dan aktiviti sukan seperti sikap
bekerjasama, toleransi, berdisplin, serta menghormati individu lain dan peraturan
membantu dalam proses pembentukan sikap, nilai dan perlakuan individu yang terlibat.
Kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa sosiologi sukan merupakan satu kajian
saintifik yang disokong oleh fakta yang konsisten untuk membuat pentafsiran dan
rumusan terhadap perubahan tingkahlaku yang terjadi akibat proses penerimaan
ataupun penolakkannya dalam kumpulan ataupun masyarakat.
Rujukan:
Lussier. R.N. and Poulos.M.(1998). Organizational Behaviour: A Skill Building Approach. Australia: Irwin and McGraw-Hill.
Mohd Anuar Abdul Rahman (2007). Keberkesanan Dan Kepimpinan Kerja Berpasukan Peringkat Jabatan Sekolah Menengah Di Malaysia. Tesis Ph.D: Universiti Teknologi Malaysia.
Duda, J.L., (1989). Relationship between task and ego orientation and the perceived purpose of sport among high school athletes. Journal of Sport and Exercise Psychology, 11, 318-335.
Weinberg, R.S., & Gould, D. (1999). Foundations of sport and exercise psychology, Champaign, IL: Human Kinetics.
Ibnu Suhaili. Menyemai semangat spirit de corps. 2009 dirujuk pada 15 April 2012 daripada http://ibnusuhaili88.blogspot.com
Carron, A.V.(1982). Cohesiveness in Sport groups:Interpretation and consideration. dalam Journal of Sport Pyschology,4 123-138
Johson, W.D.& Johnson,P.F (1994). Joining together.Group theory and group skills. Bosto,MA:Allyn and Bacon Wann, D.L (1997). Sport Physcology. Upper Saddle River, NJ: Prentice Hall
17
Psikososial PJM3117
Mahmood Nazar Mohamed, Pengantar Psikologi: Satu Pengenalan Asas kepada Jiwa dan Tingkah Laku Manusia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1990.
Atan Long, Psikologi Pendidikan, DBP, Kuala Lumpur, 1978.
Anshel, M H. (2003). Sport Psychology: From theory to practice. USA: Pearson, Education, Inc.
Shaharudin Abd. Aziz. (2001). Mengaplikasi teori psikologi dalam sukan. Kula Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
18
Top Related